Solehah...
Sepatah perkataan yang mudah disebut. Perkataan yang memberi maksud sesuatu
yang paling baik diantara perhiasan-perhiasan dunia yang lain. Perkataan yang
indah bilamana ia benar melambangkan maksudnya. Perkataan yang cantik bila ia
dimiliki dengan sebenarnya oleh pemiliknya.
Namun solehah
ternyata bukan mudah pada realiti kehidupan ini. Solehah itu bukan hanya boleh
dinilai di penghujung perjalanan, namun sentiasa diberi nilai dalam setiap
tahap-tahap kehidupan.
Mudahkah menjadi anak yang solehah? Bila balik bertemu ibu ayah sekali sekala,
dua tiga hari di kampung, mempamer dan menonjolkan akhlak terbaik, mentaati
tanpa jemu setiap permintaan ibu dan ayah. Tapi bila tinggal lebih lama, hati
mula jemu, mula kurang sabar, suara tidak lagi rendah dan lunak – disuruh mula
berdalih dan merasa berat, ditegur mula memberontak mempertahankan kesilapan...
Wahai anak, di
manakah solehahmu pada ayah ibu yang terlalu banyak pengorbanan dilakukan
untukmu…?
Mudahkan menjadi
gadis yang solehah? Di akhir zaman yang mendatangkan fashion yang menampakkan
keindahan berharga seorang perempuan, mampukah menepis nafsu yang sering ingin
cantik di pandangan awam,,, Membiarkan diri dan tubuh dijamah pandangan lelaki
murahan kerana tipis dan pendeknya pakaian...?
Dengan akhir zaman
yang membuka seluas-luasnya ruang perhubungan lelaki dan perempuan, dengan
ransangan filem-filem, lagu-lagu dan bahan bacaan yang menghidup kan rasa cinta
hingga menyala-nyala dalam dada, mudahkah untuk menepis kedatangan SMS, call, chatting
YM, Facebook, email dan pelbagai medium yang bertalu-talu dari lelaki yang
'soleh' dan tak soleh?
Awalnya mungkin
mudah, dengan prinsip cinta hanya untuk suami dan isteri, tapi jika
konsistennya SMS yang mengambil berat lagi prihatin hingga menghidupkan warna
merah muda dalam hati, mampukah lagi menolak? Mampukah lagi mengelak dari
serangan-serangan perasaan ‘fitrah’ yang ingin disayangi dan menyayangi,
lebih-lebih lagi teman-teman disekeling juga tidak lagi sendiri ?
Mudahkah menjadi
solehah, jika pergaulan yang dirasakan sederhana mengundang curiga dimata
masyarakat? Mengundang cemburu di hati si isteri-isteri? Mengundang fitnah di
hati yang berlainan jenis?
Mudahkah menjadi
isteri solehah? Di awal mahligai cinta dibina dalam pernikahan, waktu kasih
membara, solehah itu seolah pasti terjadi, ada ketaatan sebelum dipinta, ada
layanan kelas pertama, ada pengorbanan yang tidak terasa, ada kelembutan yang
mempesona, diri terhias tersembunyi dan nyata..
Namun, bila masa
berlalu memaparkan suami sebagai insan biasa-biasa punya banyak alpa, yang
terus zahir pada suami adalah terlalu banyak keburukan dan kelemahan. Hingga
tidak merasa perlu mentaati dirinya yang dulu pernah paling ditaati, hingga
acuh tak acuh pada suami yang dulu mendapat cinta kelas pertama, hingga tidak mampu
melihat apatah lagi mensyukuri pemberian suami pada keluarga.
Pudar kasih, luput
sayang, yang ada hanya lah hati yang luka berbisa. Tiada penghormatan, tiada
penghargaan, yang ada hanya ungkitan kesilapan pasangan . Tiada kesyukuran,
tiada keredaan hingga diri memikirkan untuk meruntuhkan, melarikan diri dari
perjanjian dan ikatan yang dibuat atas nama ALLAH…
Dimanakah solehah? Waktu belum dituntut menjadi pasangan, di luar ikatan mampu
menjadi solehah memenuhi segala permintaanya, memohon maaf penuh perasaaan atas
kesilapan padanya, mengasihinya sepenuh jiwa raga, tidak mahu melukai hanya
ingin mencintai… merasa hebatnya aura sayang dua jiwa dipenuhi kata-kata sopan
lagi manja…namun bila ikatan pernikahan yang benar-benar menuntut soleh dan
solehah,.. terus sirna, kesopanan dan kelembutan hilang ditelan kejemuan…
solehah, dimanakah solehah…?
Solehah…bagaimanakah
untuk solehah..? Bagaimanakah untuk terus solehah selepas diri jauh
meninggalkan solehah…? Bagaimanakah untuk tetap solehah diwaktu tidak lagi
ingin solehah?
Bagaimana bertahan
untuk solehah sewaktu sukarnya ingin menjadikan diri solehah?
Sukarnya
solehah…sewaktu masih sendiri, terasa sukar menjaga kesucian diri dan hati..
kerana diluar sana
tarikan untuk memudarkan solehah terlalu tinggi,… dan sewaktu sudah bersuami,
mungkin lebih sukar kerana ada pula hati suami untuk ditaati , dijagai agar
tidak tercalar, sedangkan hati dan iman sendiri masih terkontang kanting kering
nur rabbani…
Solehah itu
anugerah Ilahi. Mahal harganya, Tidak terhitung nilai kepayahannya, Kerana
syurga balasannya.
Ya ALLAH ajari saudari
semuslimku yang baik hatinya untuk solehah dalam menghadapi ujian-ujian dari Mu,
ujian kesenangan atau kesusahan.
Bantulah mereka untuk
memilih solehah dari yang lainnya dalam keadaan sukar atau mudah. Bantulah diri
hamba Mu itu agar mampu mentaati Mu, yang dengannya menjadikan mereka mampu
mentaati ibubapa dan sesiapa pun yang perlu di taati.
Bantulah mereka menunaikan
segala suruhan Mu agar mampu di tunai hak-hak sahabat dan saudara mara demi cinta
kerana Mu.. Bantulah mereka menjauhi segala larangan Mu agar Engkau memberikan
jalan keluar atas segala urusan mereka… Bantulah kami ya ALLAH, dengan rahmat
da kasih sayang Mu, perbaikilah urusan kami dan jangan biarkan kami membuat
keputusan sendiri walau sekelip mata.
Bantulah diri
saudari semuslimku yang baik hatinya untuk memilih solehah walau memilih
solehah terasa letih, sakit dan sukar bagi mereka, namun izinkan semuany bertemu
Asiah ra, Maryam ra, Khadijah ra dan Fatimah ra di dunia sana yang berkekalan...
Amiin….
Wallahu`alam
Jagalah Hati….
Wassalam