Tiada
keuntungan yang sangat besar dalam hidup ini, kecuali orang yang tidak memiliki
sandaran, selain bersandar kepada Allah swt. Dengan menyakini bahawa memang
Allah jua yang menguasai segala-galanya;mutlak , tidak ada satu celah pun yang
luput dari kekuasaan Allah, tidak ada satu noktah sekecil apa pun yang luput
dari genggaman Allah. Segala-galanya
dengan sempurna Allah yang membuat, Allah yang mengurus dan Allah yang
menguasai.
Sedangkan
keberuntungan bagi orang-orang yang bersandarnya kepada Allah mengakibatkan
dunia ini, atau siapapun, terlampau kecil untuk menjadi sandaran baginya.
Sebab, seseorang yang bersandar pada sebatang tiang akan sangat takut jika tiangnya
diambil kerana dia akan terguling dan terjatuh. Bersandarlah pada sebuah
kerusi, takut kerusinya diambil. Begitulah orang-orang yang panik dalam
kehidupan ini kerana dia bersandar kepada hartanya, bersandar pada
kedudukannya, bersandar pada kekuatan fizikal dan pelbagai sandaran lain.
Padahal,
semua yang kita sandari sangat mudah bagi Allah mengambilnya semula. Namun,
andaikata kita hanya bersandar kepada Allah yang menguasai tiap kejadian, kita
tidak pernah akan panik, insya Allah.
Kedudukan
diambil, tiada masalah kerana jaminan dari Allah tidak tergantung pada kerusi
itu, malahan kedudukan itu sering memperbudak diri kita, bahkan tidak jarang
menjerumus dan menghinakan diri kita. Kita lihat ramai orang yang hidupnya
porak peranda kerana jawatannya. Maka, jika kita bergantung kepada kedudukan
dan kuasa, kita akan kehilangannya. Akibatnya, kita akan berusaha
bermati-matian untuk kekalkan posisi itu hingga sikap kita jadi jauh dari
kearifan.
Tetapi bagi
orang yang bersandar kepada Allah dengan ikhlas, mereka merelakan kehilangan
milikan jika ia tidak mendekatkannya pada Allah serta tidak membuat mereka
terhormat pada pandangan Allah. Tidak mengapa jika kita tidak mendapat pujian
dan penghormatan dari makhluk, tetapi mendapat penghormatan yang besar dari
Allah swt. Percayalah, walaupun kita punya gaji RM100 ribu sebulan, tidak sukar
bagi Allah membuatkan kita perlukan RM 120 ribu sebulan. Jika kita punyai
simpanan RM 50 ribu, tetapi Allah beri penyakit seharga RM 100 ribu, bukankah
ia lahirkan kekalutan hidup?
Semakin
kita bergantung pada sesuatu maka, semakin diri kita diperbudakkan. Oleh kerana
itu, para isteri jangan terlalu bergantung pada suami, kerana suami bukanlah
pemberi rezeki. Suami hanya salah satu jalan rezeki dari Allah. Bila suami
keluar rumah untuk mencari rezeki, alangkah indahnya jika sang isteri
menitipkan doa kepada Allah… “ Ya Allah,
Engkaulah penguasa suami hamba. Lindungilah matanya agar terpelihara, kirimkanlah
harta padanya andai ada rezeki yang halal lagi berkah buat kami, pimpinlah
suami hamba agar dia upaya berikhtiar di jalan-Mu hingga berjumpa dengan
peruntukan rezeki yang berkat. Tetapi jika tiada peruntukan rezekinya,
tolonglah diadakan ya Allah, kerana Engkaulah yang Maha Pembuka dan Penutup
Rezeki, jadikan pekerjaannya menjadi amal soleh…Amin!”
Suami yang
pergi bekerja dengan dibekalkan doa sang isteri akan melahirkan sebuah keluarga
yang sungguh-sungguh menyandarkan dirinya hanya kepada Allah.Yang hatinya bulat
tanpa ada celah, tanpa ada retak dan tanpa ada lubang sedikit pun; mutlak dan penuh
hatinya hanya kepada Allah, maka bakal dicukupi segala keperluannya. Allah Maha
Pencemburu pada hamba-Nya yang bergantung kepada makhluk, apalagi bergantung
pada benda-benda mati. Mana mungkin? Sedangkan setiap makhluk ada dalam
kekuasaan Allah.
Oleh itu,
harus bagi kita untuk terus menerus mengurangkan pergantungan. Kerana makin
banyak bergantung, maka persiapkan diri untuk lebih banyak kecewa! Maka sudah
semestinya hanya kepada Allah sajalah kita bergantung harap, kita menyandarkan
segala sesuatu dan sekali-kali tidak kepada yang lain, insya Allah.
Wallahu`alam
Jagalah
Hati…
Wassalam