Popular Posts

Rabu, 12 Februari 2014

KATAKAN...





Katakan pada...
senja yang menyuram!



pada kabut yang telah menghitamkan
cakerawala
saat jingga telah kehilangan warna
dan langit pun tak lagi memerah
jua diantara tembang serak buana...



katakanlah
pada jiwa yang gelisah....



pada sunyi yang manakah dia harus berdiam
saat hening telah begitu menggetarkan
saat embun bening jua sudah berjatuhan
dan menetes ke dalam sukma kehidupan...



katakanlah....



pada waktu yang manakah dia harus menunggu
saat banyak musim telah datang serta berlalu
saat lidah pun sudah terbungkam kelu
dan tak dapat lagi mengatakan"aku rindu"...



katakanlah....



pada sejadah manakah dia harus berdoa
saat air matanya telah menjadi suara jiwa
saat malam tak dapat menjawab tanya
dan terbungkam kerana nyanyiannya...



katakanlah
wahai senja yang suram....



pada setiap kabut yang telah kau taburkan
pada setiap ranting yang telah kau patahkan
pada mentari yang telah kau tenggelamkan
dan pada langit yang telah kau hitamkan...



katakanlah...



walaupun air mata akan berubah jadi darah
saat kata menjadi pedang yang membuat jiwa binasa
biarkan saja kematian datang padanya
kerana hidup dan mati bukan lagi apa-apa...



katakan
wahai senja yang suram
katakanlah
dan jangan kau diam...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AGAR KAU TAHU...





Ketika gemuruh rasa menghentak sukma,
ku terpaku, diam dan membisu,
sepertinya darahku pun telah jadi beku,
tiada canda dan tawa menyertai...



aku lemah dibelantara malam yang sungguh sunyi,
mengingatmu bagai menyusuri lautan yang tiada bertepi,
lelah menuai mimpi yang tiada pasti,
aku terjebak dalam belenggu rasa penuh illusi...



layakkah ku berharap atas cinta yang tidak lagi memanggil,
patutkah ku genggam segala janji,
kerana semua telah hangus terbakar amarah,
kerana semua telah lenyap dari pandangan...



aku hanya serpihan usang tiada erti,
mencuba sentuh cinta dalam kemurniannya,
meski lelah menderaku dalam perjalanan,
semua hanya kerana rasa yang ku miliki,
tidak pernah memilih ke mana aku harus pergi...



bila suatu saat nanti dapat ku raih,
kan ku genggam dan ku letakkan didada,
kan ku semayamkan di jantung jiwa,
agar kau tahu putihnya cinta yang ku miliki hanya kepadamu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Ahad, 19 Januari 2014

HARTA YANG DIPINGGIRKAN...




Hari ini Dollah dilepas dan dibebaskan setelah dipenjara selama 10 tahun. Sebagaimana diduga, tiada siapa yang menyambut di pintu gerbang penjara itu. Dia sudah tiada siapa-siapa; keluarga dan kawan semuanya entah ke mana.


Dollah berkelana, berpelisiran di pekan kecil. Dia membawa diri dengan mengikuti langkah kaki membawanya pergi. Dari satu deretan kedai ke satu deretan kedai sehinggalah petang melewati malam.


Setelah penat mengorak langkah, dia berhenti berehat di kaki lima. Cadangnya mahu melelapkan mata di situ. Menumpang teduh sambil menikmati erti kebebasan setelah terkurung di balik kadang besi bertahun-tahun lamanya.


Di tangan tiada pun wang, perut berkeroncong. Kali ini dia tidak mahu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuap nasi seperti dahulu. Dollah sudah taubat nasuha. Walaupun imannya serapuh dedak ayam, tetapi perihal jenayah tidak mahu lagi diulangi.

Sementara menahan lapar dan berkira-kira hendak mencari rezeki halal itu, tiba-tiba sebuku roti kaya dicampakkan kepadanya.

“Nah! Ambil tu. Makanlah.” Kata seorang anak muda yang bergelendangan senasib dengannya. Sebuku roti kaya terbang melayang ke kakinya.

Dollah mengutip dan menyuap ke dalam mulut perlahan-lahan. Inilah kedaannya sekarang. Daif. Miskin. Papakedana.

Hari-hari terus berlalu, nasibnya belum juga berubah. Masih terkais-kais mencari makan. Di celah-celah tong sampah, tepi longkang dan apa sahaja yang boleh dimakan.

Arif pulang dari sekolah dengan mengheret beg melalui celah-celah lorong. Beg lebih besar daripada tubuh kerdilnya yang berusia seputar sembilan tahun. Di pertengahan jalan Arif ditahan sekumpulan kanak-kanak nakal si kaki buli dan ponteng sekolah. Seperti biasa mereka mahukan wang. Duit Arif selalu tersedekah di situ. Jika tidak diberikan “wang perlindungan” teruk Arif kena belasah.

Bunyi kecoh kanak-kanak membingitkan telinga Dollah yang sedang melelapkan mata di hujung kaki lima deretan kedai berhampiran. Tubuhnya tersorok di balik timbunan kotak. Dollah kurang senang tidurnya terganggu. Sambil berbaring dan matanya dijengkilkan, Dollah menyergah, “Hoi budak! Kau buat apa tu?”

Bercempera kaki buli bertempiaran lari. Dollah kembali melelapkan mata tanpa mempedulikan Arif di situ.

Arif berasa terhutang budi lalu menghampiri Dollah, “Terima kasih pakcik. Terima kasih.”

Dollah tetap Dollah, kantuknya masih sedap dilayan. Dia membiarkan Arif terkulat-kulat. Dollah tetap teruskan dengkuran sambil menahan kelaparan.

Keesokan hari di tengahari itu Dollah masih di situ. Dia merengkot. Kali ini dia benar-benar kelaparan. Sehari semalam perutnya tidak berisi.

Arif pulang dari sekolah. Dijinjitnya sebungkus nasi. Dia mendapatkan Dollah. “Nah pakcik. Arif ada bawa makanan.”

Dollah bingkas dari tempat tidur. Sebaik diletakkan nasi bungkus di atas lantai, segera Dollah menyabar dan memakan segala isinya.

“Terima kasih. Kenapa kau tak balik lagi. Baliklah.” kata Dollah dengan kasar. Sebenarnya di hati Dollah ada rasa malu dan resah. Mana tahu ada orang tuduh dia mahu menculik anak ini!

“Di rumah tiada siapa-siapa pakcik.”

“Ayah kau pergi mana?”

“Kata ummi, ayah sudah mati. Arif tinggal dengan daddy dan ummi. Mereka sibuk bekerja. Lewat tengah malam baru balik. Pakcik boleh ajarkan Arif. Arif tak tahu buat kerja sekolah.”

“Aku bukannya cikgu. Kau pergilah tanya daddy sana.” mulut Dollah penuh dengan nasi bungkus itu.

Arif membuka buku latihannya, lalu dia membaca, “Rukun iman ada enam perkara. Pertama ialah mengucap dua kalimah syahadah. Pakcik, macam mana mengucap dua kalimah syahadah?”


“Ummi kau tak ajar ke?”

Arif menggelengkan kepala. Buku latihan tersebut tertera nama Arif Hakim bin Abdul Syakur. Dollah tergamam, kunyahannya terganggu. Ada sesuatu yang terdetik di hatinya.

“Asshaduallaillaha illallah, wa asshaduana Muhammadar rasulullah.”
Arif melemparkan senyuman.

Seminggu dua ini Arif kerap datang melawat Dollah. Dollah mulai senang dengan kehadiran anak kecil itu. Kadang-kadang mereka berkongsi makanan yang Arif bawa. Dollah dan Arif semakin mesra. Namun di hati Dollah ada sebuah persoalan yang besar melanda. Dollah antara acuh tidak acuh mengajar Arif membaca dan menulis sebagai membalas budi anak kecil itu memberinya makanan.

Pada suatu malam sedang Dollah merayau-rayau mencari makanan, dia terserempak Arif. Kali ini Arif berpimpinan tangan dengan seorang wanita. Susuk tubuh wanita itu dia amat kenal.

“Faridah! Faridah!” Dollah memanggil bekas teman wanitanya.

Wanita itu menoleh. Segera dia melorong tangan Arif supaya terus masuk ke dalam hotel mewah. Sebaik pintu hotel tertutup, wanita itu berhenti di muka pintu hotel. Tercegat menantikan Dollah menghampirinya.

“Nak apa abang Dollah? Cukup-cukuplah jangan menyusahkan saya lagi.”

“Bukan. Aku bukan nak menyusahkan kau. Aku kebetulan berada di sini. Cuma aku nak tanya, budak itu anak siapa? Nama dia Arif, kan?”

Faridah tergamam, dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Jelas di wajah Faridah kelihatan resah.

“Maaf bang. Sebenarnya, selepas dua bulan abang kena tangkap, saya baru tahu yang saya mengandungkan anak abang. Itulah Arif Hakim anak abang. Tapi saya beritahu Arif ayahnya sudah mati. Maafkan saya abang. Saya tidak mahu memusnahkan masa depannya.” Faridah menjawab gugup. Dia tergagap-gagap. Ada nada kesal di situ.

Seperti ombak menghempas pantai. Gelombang membadai hebat. Begitulah yang Dollah rasakan setelah mendapat tahu kebenaran. Sangkaannya tepat.

“Tak mengapalah Faridah. Terima kasih Faridah kerana melahirkan anak itu. Terima kasih. Jika begitu, ayah Arif kekal sudah mati. Ayah Arif kekal sudah mati. Ayah Arif kekal sudah mati . . . .” Dollah melangkah pergi menghilang di balik kepekatan malam.

Tiga hari Dollah menanggung ribut di jiwa. Hatinya berbelah bahagi. Selama itu juga dia menghilangkan diri dari pandangan Arif dan selama itu juga rindunya bukan kepalang.

Dollah menyelongkar dan terus menyelongkar tong sampah di belakang restoran mewah di pekan itu. Entah macam mana dia terpandangkan secebis kertas bertulisan tangan yang sudah kusam. Dia membelek kertas itu yang tercatat serangkap kata-kata:


Anak itu anugerah,
Anak itu amanah
Anak itu harta
Harta yang membuat orang miskin menjadi kaya
Kaya di dunia
Kaya di akhirat

Dollah termenung sejenak. Cuba memahami kata-kata itu. Puas dia meneroka maksud, kertas itu dicampakkan kembali ke dalam tong sampah.

Keesokan hari Arif terserempak Dollah yang sedang membongkok memunggut kotak. Di tangan kiri Dollah ada seguni plastik berisi botol-botol.

“Pakcik! Pakcik!” teriak Arif.

Dollah terkedu, tidak tahu berbuat apa. Dollah terperangkap. Tubuh Dollah segera dipeluk anak kecil itu.


“Ke mana Pakcik pergi, puas Arif cari. Arif tak ada kawan. Arif rindukan pakcik. Pakcik sudah makan?” soal Arif bertalu-talu tanpa sempat Dollah menjawabnya.


Sukar Dollah hendak membalas setiap tikaman kata-kata anak itu.


“Jangan sentuh aku. Jangan! Sudah! Mulai hari ini kau jangan cari aku. Kau bukan anak aku. Baliklah. Pergi balik!!!” Dollah mengherdik Arif.


“Tapi apa salah Arif? Kenapa pakcik benci Arif? Kenapa semua orang melarikan diri daripada Arif? Tidak kasihankah pakcik kepada Arif? Siapa mahu ajarkan Arif lepas ni? Arif tak pandai! Siapa mahu temankan Arif? Arif keseorangan pakcik. Arif sunyi,” airmata Arif berderai laju meminta simpati. Kaki Dollah dipegangnya kuat-kuat, seolah-olah Arif sudah melakukan dosa besar dan sedang meminta ampun!


Hati kebal Dollah berkocakkan. Jiwanya bergoncangan bagaikan gempa besar melanda. Sebetulnya Dollah tidak sampai hati melihatkan anaknya sedemikian rupa. Siapa sangka itu anaknya. Siapa sangka anak yang begitu baik adalah zuriatnya. Siapa sangka Allah mempertemukannya dengan anak kecil ini. Siapa sangka Dollah bukan seorang sahaja menderita cinta, tetapi anaknya juga menderita kasih sayang.


“Tapi Arif. Pakcik ni jijik. Pakcik tidak bekerja. Pakcik papa kedana. Pakcik miskin. Arif sepatutnya berkawan dengan orang yang sebaya dengan Arif. Jangan hancurkan masa depan Arif dengan mengambil contoh seperti pakcik. Pakcik ini kotor nak.”

“Pakcik, Arif tak ada kawan. Biarlah Arif berkawan dengan orang miskin. Arif tahu, pakcik orang baik. Kata ustaz, orang miskin pun makhluk Allah. Arif juga miskin pakcik. Arif miskin ayah!”

“Anak ku . . . .” luntur juga hati Dollah. Hatinya benar-benar tersentuh sementelah mendengarkan kepetahan dan ketaatan anak itu, apatah lagi perkataan AYAH itu terzahir dari mulut mungel tersebut.

“Pakcik, izinkan Arif panggil pakcik ayah?”

“Boleh Arif boleh. Malah kaulah anak aku?”

“Tapi ummi cakap ayah sudah mati.”

“Tidak nak. Tidak. Sebenarnya pakciklah ayah kandung kamu. Ayah kandung kau belum mati lagi nak.” semakin erat Dollah memeluk anaknya itu.

“Sekejap pakcik. Sekejap.” Arif meleraikan pelukan Dollah. Kemudian dia membuka zip beg sekolahnya. Arif mengeluarkan sekeping gambar.

“Ini gambar arwah ayah Arif. Ummi yang beri. Semenjak hari itu, hari-hari Arif bawa gambar ini.”

Sebaik gambar itu Dollah dan Arif lihat bersama, ternyata gambar itu gambar Dollah sewaktu muda. Arif tercengang, mereka tergamam lalu berdakapan kembali. Kali ini lebih erat.

“Ayahhhh . . . . ke mana ayah menghilang? Arif rindukan ayah!” Arif tersendu sendan.

Seorang pemuda menghampiri anak beranak itu. Sebaik sampai di sisi, lelaki itu segera menikam Dollah.

“Mati kau. Mati kau! Aku sudah lama berdendam dengan kau Dollah!”

“Ayah! Ayah! . . .” teriak Arif sambil menepis tangan pemuda itu.

“Allah . . .” Dollah rebah ke tanah. Pemuda itu segera melarikan diri membiarkan Dollah bergelimpangan.

Arif pantas memangku kepala ayahnya.

“Arif, nampaknya sampai di sini sahaja pertemuan kita. Jangan jadi macam ayah, ya nak? Jadilah anak yang soleh!” nafas Dollah semakin sesak.

“Ayah bersabarlah ayah. Ayah mengucap ayah, Lailaha ilallah.” Arif menalkinkan ayahnya yang semakin nazak.

Dollah mengikut setiap bait kata-kata syahadah itu. Payah-payah dia menyebut dan sebaik Dollah mengakhiri lafaz terakhir, putuslah roh dari jasadnya. Dollah meninggal di pangkuan Arif.



harta dan pelaburan paling bernilai ialah anak yang soleh...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Rabu, 15 Januari 2014

KESAN REDHA...





Seorang lelaki telah berumahtangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.


Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertakwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, dia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.


Rumahtangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan takziah.


Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.


Namun demikian, sebelum sempat sesiapa pun berkata-kata, si suami telah berkata, "Semoga tidak ada sesiapa pun dari kamu yang mengucapkan takziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kataku ini."


Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu.


Si suami meneruskan kata-katanya, "Demi Allah yang tiada Robb yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.


Maha Suci Allah, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana dia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga telah mendidik anak-anakku dengan sempurna.


Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadis Rasulullah saw, "Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."


Sebelum meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata, "Wahai Allah, aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah dia."


Ku ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku.


Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.


Maka barangsiapa yang bercadang untuk mengucapkan takziah kepadaku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha kepadanya.. Semoga Allah menerima isteriku dengan keredhaan-Nya. "



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 3 Januari 2014

RASA BERTUHANKAH KITA...?





Jika kita lihat di zaman Rasulullah saw, para sahabat ra rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Allah swt berkata, "Di mana engkau berada disitulah Aku berada". Maksudnya rasa bertuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Allah swt di mana pun dia berada.


Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Allah swt. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tetapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Allah swt, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Jika tidak dapat, minimum 15 minit sebelum solat.


Para sahabat Rasulullah saw, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Allah dan mengingati dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dan lain-lain, tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu pun tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.


Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, mungkin di tempat kerja atau di dalam bilik, tetapi kita sudah dalam keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.


Kalaulah kita menjaga hak-hak Allah swt, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Allah swt. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Allah yang akan membuka jalan kemudahan-Nya untuk kita. Jika kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Allah swt.


Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Allah swt untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita hanya kadangkala istiqamah, mungkin jika Allah swt memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya, tetapi istidraj.


Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dan seumpamanya. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Allah swt kepadanya.


Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Syaidatina Aisyah ra tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Allah swt.


Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumahtangga, mengurus anak-anak, mesyuarat dan lain-lain. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa betuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat ra, maka walau pun kehidupan mereka lebih susah, tetapi dapat pertahankan istiqamah.


Sebab bagi mereka, jika kita kita jaga hubungan dengan Allah swt, maka Allah swt akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah saw, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah solat malam. Sebab itu pernah Rasulullah saw bercerita pada para sahabat ra, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah saw nampak air pun ada di dalam rumah.


Sahabat ra yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat ra berkata, "Mudah-mudahan umat Rasulullah saw di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air". Rasulullah saw berkata, "Oh tidak begitu, sekarang adalah lebih baik". Seolah-olah Rasulullah saw berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.


Jika kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Allah swt. Walaupun kita letih pada malam hari, tetapi tetap Allah swt bangunkan kita pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walau hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Allah  beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.


Rasa bertuhan itu perlu dibawa ke mana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya, tetapi mesti dicuba. Allah swt menilai bukan kerana ibadah, tetapi usaha yang istiqamah sehingga datang rahmat Allah swt. Jika tidak berjaya, mohon ampun dengan Allah swt. 

Allah swt tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tetapi siapa yang mencuba, kemudian tidak berjaya tetapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Rabu, 1 Januari 2014

JIKA PERBUALAN TANPA CITA-CITA ISLAM...





Secara umum, bagi suami isteri yang tidak ada cita-cita Islam, di waktu ada masa terluang, mungkin menjelang tidur, waktu rehat-rehat, selepas balik daripada kerja atau di waktu-waktu cuti, perbualan mereka biasa berkisar sekitar:


} Makan minum, pakaian, keperluan rumah, melancong, duit,perabot, dan hal-hal mengenai dunia semata-mata.

} Menceritakan hal ehwal jiran-jiran, keluarga, masa depan, masa selepas pencen dan bila hendak naik pangkat.


} Cerita-cerita mengenai kerja di pejabat atau di sekolah terlalu banyak, tentang bos pejabat terlalu cerewet, guru besar suka menyinga, mengumpat dan mengata orang-orang tertentu yang mereka benci atau iri hati. Di celah-celah itu mereka bertekak, kata-mengata, tuduh-menuduh, bertegang-tegang urat di antara suami isteri. Masalahnya ialah cemburu dengan suami, suami tidak beli itu, tidak mahu beli ini, tidak tunai janji, tidak mahu bagi duit atau kedekut sangat. Suami pula tidak senang kerana isteri suka berleter, lebih suka tunjuk kasih kepada ibu dan ayah daripada suami, berkasar dengan anak-anak, masak tidak sedap, di luar bersolek, di rumah tidak mahu bersolek.


Itulah di antara perbualan-perbualan, perbincangan-perbincangan yang biasa dilakukan oleh suami isteri yang tidak ada cita-cita Islam. Cerita iman, cerita Islam, cerita ibadah, cerita akhlak, cerita Akhirat, cerita Ilahi, cerita dosa pahala, cerita bertaubat, cerita solat, cerita bagaimana hendak mendidik anak-anak secara Islam dan cerita susah tentang gejala masyarakat yang tidak sihat, tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka tidak minat hendak bercakap tentang ini semua.


Oleh itu manalah hendak timbul kasih sayang di antara suami isteri. Manalah hendak dapat ketenangan jiwa. Manalah anak-anak hendak taat dan hormat kepada ibu bapa.

Manalah suami tidak jemu dan isteri tidak merajuk selalu. Tidak hairanlah mengapa anak-anak terlibat dengan gejala-gejala tidak sihat, perhubungan renggang dan lari dari rumah. Bagaimanalah hendak mendapat kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.


Akhirnya berkahwin yang asalnya dengan tujuan hendak berhibur, tidak terhibur lagi. Hendak berseronok-seronok hanya waktu mula-mula berkahwin sahaja. Tidak sampai ke hujung. Akhirnya membawa kepada perceraian. Kalaupun tidak bercerai kerana takut berpisah dengan anak-anak, namun kehidupan suami isteri tidak ada apa-apa erti lagi. Kasih sayang sudah tiada, hormat-menghormati tidak wujud, bertolong bantu secara terpaksa, bermasam-masam muka selalu dan mudah sahaja bertengkar.


Anak-anak menjadi bingung, anak-anak benci duduk di rumah lalu mulalah liar. Tidak seronok di rumah. Suka keluar rumah untuk menenangkan fikiran. Akhirnya terlibat dengan aktiviti tidak sihat dan meruntuhkan akhlak...


Wallahu`alam



Jagalah Hati...

ORANG IKHLAS TERTINDAS...?





Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu...


Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.


"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.


"Mengapa?" balas saya.


"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakan sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?


Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "Kakak punya berapa orang anak?"


Sengaja saya bertanya soal-soal 'di luar kotak' agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.


"Oh ramai encik"


"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"


Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.


"Kakak, boleh saya bertanya?"

"Tanyalah encik" ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.


"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang 'menjadi' dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"


Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "Antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"


Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik, tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"


Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.


"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran" kata saya perlahan. Hampir berbisik.


"Maksud encik?"


"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."


"Tidak pernah saya terfikir begitu encik"


"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."


"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"


"Maksud kakak?"


"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"


"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"


Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.


"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita"


Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.


"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"


Kakak itu tersenyum dan berkata, "Tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."


"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?"


"Pasti ada! Insya-Allah."


"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allah jua yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."


"Subhanallah!"


"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."


"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.


"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"


"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."


"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."


"Maksud encik?"


"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."


"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"


Giliran saya pula tersenyum.


"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja, pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back. Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.


"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"


"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our CEO,  kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan"


"Maksud encik?"


"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."


"Kenapa?"


"Kita akan sakit jiwa!"


"Kenapa?"


Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur", balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.


"Tetapi Allah tidak berhenti memberi " kata kakak itu perlahan.


Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi. Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?


"Ah, kita terlalu ego"


Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan "orang ikhlas tertindas...?"



Wallahu`alam



Jagalah Hati...