Popular Posts

Isnin, 12 September 2016

WAJAH AGAMA ZAMAN INI....





Setiap hari, aku terdengar lagu-lagu yang mengumandangkan segala bentuk pujian dan zikir. Ia adakalanya begitu mengusik jiwa untuk berfikiran kritis dan mengkritik.



Sungguh tidak aku sangka, di masa ini sudah ada kaedah baru lagi moden untuk memohon ampunan kepada Tuhan. Sungguh kreatif sekali, iaitulah dengan melagukan kalimah istighfar atau kalimah taubat. Lebih mengesankan apabila ia turut diiringi dengan muzik-muzik kontemporari yang antaranya dengan petikan gitar dan paluan drum ala-ala lagu balada romantik. Lebih menarik, ada juga si penyanyi dari kalangan wanita tidak bertudung dengan rambut mengurai. Diadun dengan gerak lenggok seorang wanita sudah tentunya.



Mungkinkah dengan berbuat begitu, mereka menyangka Tuhannya akan terhibur dan berasa sayu terhadap rayuan hambanya? Mungkinkah ada extra value (ganjaran tambahan) bakal diperolehi berdasarkan adunan tambahan yang dilakukan pada zikirnya?



Kalau dulu, kita mungkin pernah mendengar lagu "Alhamdulillah" yang dinyanyikan oleh Yasin & kumpulan Too Phat yang ala-ala hip hop. Mungkin itu adalah di antara revolusi manusia dalam melaksanakan ibadah zikirnya kepada Tuhan. Memuji Tuhannya dengan melaungkan kalimah hamdalah beriringan muzik hip hop ditambah dengan iringan joget tari bernama rap. Wahh, semakin jauh kini manusia berevolusi dalam agamanya.



Kalau dulu mungkin kaum kristian (Nashara) yang melagukan ayat-ayat biblenya di gereja-gereja mereka (juga sehingga sekarang). Namun, tidak aku sangka, umat Islam zaman ini pun sudah mula mengorak langkah seperti mereka.



Haruskah aku mengerti, sampai manakah lagi mereka akan terus berevolusi. Rupa mana lagikah yang mereka mahukan? Tidak cukupkah dengan apa yang dibawakan Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada kita semua yang berupa al-Qur'an & as-Sunnah. Malah telah siap dengan tafsirnya, iaitu atas kefahaman para sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang diredhai. Susahkah? Mengapa mahu begitu bijak mendahului utusan Allah sendiri dan para sahabat-sahabatnya?



Semoga terbuka akal untuk berfikir...



Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan