Popular Posts

Ahad, 11 September 2016

SUNNAH RASULULLAH SAW DALAM IBADAH KORBAN






Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T... Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan adalah setiap amal ibadat yang tersebut (yang hendak dilaksanakan) hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.



Sekiranya kedua-dua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T:


"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, 2)



Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:


"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” (Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258)


Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T:


Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab, 21)



Begitu juga menurut suatu hadis riwayat Muslim, maksudnya:

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” (Sahih Muslim, 1718)


Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.


Pertamanya, dalam persoalan hukum ibadah korban ini, para ulama telah berselisih pendapat dalam hal kewajiban penyembelihan binatang korban. Tetapi menurut pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Lihat: احكام العيدين hlm. 26. Ali Hasan Ali Abdul hamid) Ini bermakna setiap muslim yang berkemampuan wajib menunaikan kewajipan korban di setiap kali menjelangnya Aidil Adha (Hari Raya Korban).


Berkorban hanya sah dilakukan setelah selesai solat Hari Raya ‘Idil Adha atau di hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


“Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu menyembelih korban, sehinggalah selepas selesai solat (Aidil Adha)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Allah Azza wa-Jalla telah memerintahkan agar orang-orang beriman berkorban setelah menjelangnya ‘Idil Adha (Hari Raya Korban). Kewajipan berkorban telah disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Umat Islam diperintahkan agar mengikut millah (agama) Nabi Ibrahim sebagaimana seruan Allah Azza wa-Jalla di dalam firman-Nya:


“Kemudian Kami wahyukan kepadamu hendaklah mengikut millah (syariat) Ibrahim yang berdiri teguh atas jalan yang benar, dan bukanlah dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah”. (An-Nahl, 123)



Perintah Allah Tabaraka wa-Ta’ala menunjukkan tentang wajibnya berkorban, sehingga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah Azza wa-Jalla kepadanya. Allah berfirman:


“Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang benar!”. (As-Saffat, 37:102)



Jika Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup mengorbankan satu-satunya anak yang tersayang, Nabi Ismail pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tak ternilai kerana taat menunaikan perintah Allah dan cintanya kepadaNya, maka dimana bukti cinta seseorang yang mengaku beriman terhadap Rabbnya, mengapa tidak mengorbankan sedikit dari hartanya, iaitu dengan menyembelih seekor binatang korban di ‘Idil Adha.



DALIL-DALIL MENUNJUKKAN TUNTUTAN BERKORBAN


Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh (generasi awal) yang menyatakan bahawa berkorban hukumnya jatuh kepada wajib apabila ada kemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)


Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.


“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


“Di masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))


“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)


Telah dijelaskan dalam kitab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:

“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)


“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berkorban untuk orang yang belum berkorban dari umatnya dengan seekor kambing kibasy”. (Hadis Riwayat al-Barra’ bin Azib)


“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)


“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Imam Malik rahimahullah berkata:

“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)


Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Inilah antara pendapat Imam Syafie rahimahullah. Namun setiap kata-kata dan pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.



WAKTU MULA MENYEMBELIH KORBAN


Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat Hari Raya. Tidak dihukum sebagai ibadah korban bagi sesiapa yang menyembelih sebelum selesainya solat Aidil Adha. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Baginda bertanya apakah (disembelih) sebelum solat? Ia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Itu adalah daging kambing (sedekah) yang bukan kambing korban”.


“Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Hari Raya Korban) ialah kita solat, kemudian menyembelih (binatang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendpatkan sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan bagi keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim, 1961)


“Barangsiapa yang menyembelih sebelum kami bersolat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya”.


“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (solat Hari Raya), maka hendaklah dia mengulanginya”.
(Hadis Riwayat Bukhari, kitab Al-Adahi, 5561. Muslim, 1962)


“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam”. (Hadis Riwayat Bukhari)



HARI UNTUK MELAKSANAKAN BERKORBAN


Hari yang diizinkan menyembelih korban ialah hanya pada hari hari Tasyriq, iaitu sampai terbenamnya matahari diakhir hari Tasyriq. Demikianlah dari Ali bin Abi Talib, pendapat mazhab Hanafiah dan mazhab Syafi’eyah. (Lihat: Subulus Salam) Malah Imam Ahmad berpendapat seperti itu kerana beliau berkata:

“Ini adalah pendapat lebih dari satu sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Atsram menyebutkan antara mereka ialah: Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radiallahu anhuma”. (Lihat: Zaadul Ma’ad. 2/319)


Pendapat mereka ini ialah berpandukan kepada hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Pada semua hari-hari Tasyriq adalah hari sembelihan (korban)”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/8. Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Lihat: Zaadul Maadm, 11/318, Ibnul Qaiyim. Dan dihasankan oleh Sheikh Ali Hasan Abdul Hamid. Lihat: Ahkamul Iedain)


“Dari Ibnu Umar berkata: Berkorban dua hari setelah hari Adha Masuk Hari Raya)”. (Hadis Riwayat imam Malik)


Sesiapa yang menyembelih dengan niat untuk berkorban selepas hari-hari yang dinyatakan di atas, iaitu setelah berlalunya hari Tasyrik, maka tidak lagi terhitung sebagai ibadah korban, kerana hari Tasyriq telah luput, maka sembelihannya hanya dikira sebagai sedekah, tidak dihukum sebagai ibadah korban.



ADAKAH BATAS UMUR BAGI HAIWAN QORBAN?


Harus mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah

“Janganlah kalian menyembelih kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang cukup bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang cukup) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim)


Oleh kerana tidak ada ketentuan syar’i berkenaan batasan usia, maka terjadilah perbezaan pendapat di kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih dari kalangan mereka adalah sebagaimana berikut; Unta 5 tahun, lembu 2 tahun, kambing 1 tahun, dan kibas (domba) 6 bulan. Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah di dalam asy-Syarhul Mumti’, 7/460.



HAIWAN YANG TIDAK CACAT


Haiwan yang ingin dijadikan korban tidak boleh cacat atau ada kekurangan, seperti kurus, pincang (tempang), berpenyakit, buta walau sebelah mata, hilang telinga, tanduk atau kakinya. Syarat-syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Empat (jenis binatang) yang tidak dibolehkan dalam berkorban: Buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang (pincang) yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Hakim)




HADIS-HADIS LEMAH DALAM HAL INI


Hadis-hadis di bawah ini adalah hadis-hadis lemah. Walaupun sebahagian besar masyarakat Islam masih mengamalkan dan menerimanya sebagai hujjah dalam menunaikan ibadah korban, namun yang sebenarnya ia sama sekali tidak boleh dijadikan dalil/hujjah dan tidak boleh diamalkan untuk beribadah korban. Antara hadis-hadis berikut ialah:


“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari musfarah, al-musta’salah, al-bakhqaa’, al-musyaya’ah dan al-kasirah. Al-musfarah ialah yang dihilangkan telinganya dari pangkalnya. Al-musta’salah ialah yang hilang tanduknya dari pangkalnya, al-bukhqaa’ ialah yang hilang penglihatannya dan al-musyaya’ah ialah yang tidak dapat mengikuti kelompok kambing kerana kurus dan lemahnya, dan al-kasirah ialah yang tidak berlemak”.
(Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam Dhaif Abu Daud, no 599. Hlm 2/4)


“Saya membeli seekor kambing untuk berkorban, lalu serigala menerkamnya dan membaham punggungnya, kemudian aku tanyakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, baginda bersabda: berkorbanlah dengannya”. (Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani. Lihat: Daif Ibnu Majah no. 679)


“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menegah seseorang berkorban dengan binatang yang terpotong tanduk dan telinganya”. (Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, hadis in adalah mungkar. Lihat: Irwa’ul Galil 4/1149)

Ole
h kerana hadis-hadis di atas adalah lemah, maka binatang yang sengaja dipotong tanduknya, ekornya atau diberitanda (ditindik) di telinganya kerana sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, maka ia dibolehkan untuk dijadikan binatang korban.


Adapun binatang yang cacat sejak dilahirkan, dicacatkan tanpa ada sebab atau dicacatkan oleh gigitan binatang buas, maka ia tidak boleh dijadikan ibadah korban.



PERKARA-PERKARA YANG SUNNAH


Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya:


1 - Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (Hadis Riwayat Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah)


“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadis Riwayat Muslim)



Menurut Imam Nawawi rahimahullah:

“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)



Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)

2 - Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih:


“Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”. (Al-Haj, 22:28)


“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Makanlah (dagingnya), simpanlah (jika ada yang lebih) dan bersedekahlah”. (Hadis Riwayat Bukhari 5569. Muslim 197)


“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan aku untuk menyemblih binatang korbannya dan membahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan alat-alat yang melindungi tubuhnya. Dan tidak memberi (sebagai upah) tukang sembelih sedikitpun dari korban tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Menurut pendapat jumhur ulama, setiap yang bermanfaat yang datangnya dari tubuh binatang korban tidak boleh diperjualbelikan. Tukang sembelih yang diupah untuk menyembelih tidak mendapat daging korban dan tidak boleh diupah dengan daging korban, tetapi yang dia dapat hanyalah upah dari yang berkorban sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis di atas.


3 - Disunnahkan bagi yang berkorban menyembelih sendiri binatang sembelihannya, atau mewakilkan kepada orang lain (Lihat: أحكام العيدين hlm. 77. Sheikh Ali Hasan al-Halaby) jika ada halangan atau tidak berdaya melakukannya sendiri.


Untuk memperlihatkan syi’ar Islam, maka disunnahkan agar menyembelih di musalla (di tanah lapang yang digunakan untuk solat). Ini berdalilkan hadis dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


“bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di Musalla”. (Hadis Riwayat Bukhari)



MENYEMBELIH SECARA SUNNAH


Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam, tidak boleh menggunakan pisau yang diperbuat daripada tulang. Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar (بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ). Baringkanlah binatang korban pada sebelah sisi kirinya agar mudah memEgang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri, sebagaimana hadis Rasulullah:


“Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyembelih dua ekor kibasy yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)


Selain menggunakan pisau yang tajam semasa menyembelih, maka disyariatkan agar mencontohi cara atau sifat penyembelihan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, iaitu membaca “Bismillahi Allahu Akbar”, kerana menurut riwayat yang sahih baginda membacanya ketika menyembelih binatang korban. Antara hadis-hadis yang menjelaskan demikian ialah:


“Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum memyembelih hingga kami selesai solat, maka hendaklah dia menyembelih dengan menyebut nama Allah (بسم الله)”. (Hadis Riwayat Bukhari no 5562. Muslim no 1960)


“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Aku bersolat ‘Idil Adha bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setelah selesai solat, didatangkan kepadanya seekor kibas, maka baginda menyembelihnya dan membaca: Bismillahi Wallaahu Akbar”. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)



TIDAK MEMBERIKAN DAGING KURBAN SEBAGAI UPAH


Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim, 1317)



SATU SEMBELIHAN UNTUK SEMUA AHLI KELUARGA


Seekor binatang korban, sama ada kambing atau lembu, boleh dikongsi pahalanya untuk dirinya, untuk orang-orang yang dalam tanggungannya dan untuk kesemua ahli keluarganya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing. Kerana seorang ketua keluarga mewakili seluruh keluarganya apabila dia berkorban. Ini berdasarkan hadis:


“Berkata Ata bin Yasar: Aku bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari bagaimana sifat sembelihan dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam? Beliau menjawab: Jika seseorang berkorban seekor kambing, maka untuk dia dan semua keluarganya. Kemudian mereka makan dan memberi makan dari korban tersebut”. (Hadis Rriwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Malik dan al-Baihaqi. Dengan sanadnya yang hasan)


Namun, tidak ada larangan jika setiap individu dalam sebuah keluarga berkorban seekor kambing setiap seorang. 




Wallahu ‘alam, walhamdulillahi, was-shalatu was-salamu ‘ala Rasulullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan