Popular Posts

Sabtu, 3 September 2016

MENGAPA PAHALA TIDAK BERBENTUK HARTA?




Sewaktu berusia awal 20an, aku pernah bertanya pada diri sendiri...


Mengapa Allah tidak mewujudkan pahala berupa harta? Kenapa harus menunggu Hari Akhirat? Allah kan Maha Kuasa (Al-Qâdir), Maha Kaya (Al-Ghaniy) dan Maha Pengasih (Ar-Rahmân).


Tidakkah lebih seronok dan bersemangat bila setelah solat, di hadapan kita terus terbentang untaian mutiara atau berlian sebagai ganjaran solat kita?


Bukankah semangat untuk beramal akan meningkat jika kita sedekah RM10.00, maka serta merta kita mendapat balasan RM100.00 (bila dilipatgandakan 10x) atau sehingga RM7,000.00 (bila diganjarkan 700x) bahkan lebih lagi?



Hal ini sebagaimana firman Allah yang maksudnya, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh biji, pada tiap-tiap biji: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah : 261)



Jika kita berwakaf untuk masjid, secara spontan kita mendapat istana megah yang menjulang tinggi serta bertahtakan intan, berlian, zamrud dan yaqut.

Jika kita mendapat ujian atau cubaan, misalnya sakit, maka setelah sembuh, Allah terus memberikan pada kita hadiah kenderaan BMW, Mercedes, Ferrari dan Rolls-Royce.


Andaikata seperti ini yang kita alami, insya Allah kita akan sentiasa sabar dalam menghadapi dan menjalani segala bentuk cabaran.


Tatkala seorang anak berbakti kepada orang tuanya, serta merta semua ujian dan peperiksaannya mendapat markah 100 bagi pelajar dan menerima penghargaan, baik anugerah ataupun penghargaan 


Bagi pelajar, setelah belajar ilmu apa pun, kerana diniatkan ibadah, maka Allah terus menyediakan seikat wang di hadapannya.


Ketika seorang isteri taat kepada suaminya, secara tuntas Allah memberi kurniaan berupa sutera, perhiasan dan kemewahan lainnya.


Selain itu, di akhirat nanti, tetap mendapat syurga. 


Amboi, betapa nikmatnya...!

Mungkin pertanyaan sebegini, agak mirip dengan slogan anak muda sekarang, “Kecil manja, muda berpoya-poya, tua kaya-raya dan mati masuk syurga.”



Begitu lama aku mencari jawapan yang mampu memuaskan diri. Aku mengaji kitab, membaca buku, mendengar ceramah, seminar dan bertanya dari pelbagai sumber. Setelah bertahun-tahun, inilah jawapan yang menurut pandanganku memuaskan, baik dari segi ilmu mahu pun akal...


Syeikh Ibnu Athaillah menerangkan bahawa jika pahala diberikan Allah dalam bentuk wang, permata, kereta, saham dan sejenisnya, maka dunia tidak akan mampu menampung seluruh pahala yang ada. Dunia ini terlalu sempit untuk menampung semua ganjaran tersebut. Itulah sebabnya kenapa akhirat—yang seluas langit dan bumi—dipilih sebagai tempat membalas semua ibadah yang kita lakukan.



Syeikh Ibnu Athaillah berkata lagi, “Oleh kerana itulah Allah yang menyayangi kita tidak memberi hasil jerih payah kita di tempat yang tidak kekal ini.”


M. Quraish Shihab menjelaskan bahawa jika pahala diberikan Allah di dunia dalam wujud harta kekayaan, maka Allah sungguh tidak adil. Kenapa? Kerana Allah memberikan ganjaran yang bersifat fana (tidak kekal). Wang boleh habis dibelanjakan, rosak, hilang bahkan dicuri atau dirompak. Sedangkan balasan berupa syurga berlaku abadi—selama-lamanya. Itulah bukti bahawa Allah Maha Penyayang (Ar-Rahîm) dan Maha Adil (Al-‘Adl).


Bukankah kita ingin agar yang kita miliki tidak hilang ataumusnah? Bukankah sifat dasar manusia adalah menginginkan kepemilikan tetap bahkan selama-lamanya? Itulah kenapa baru di syurga semua balasan diberikan.


Kalau diinginkan agar di dunia mendapat balasan wang atau perhiasan, sedangkan di akhirat tetap mendapat syurga, bererti dunia bukanlah ujian. Padahal, dunia diciptakan sebagai ladang (kebun atau sawah) untuk ditanam, yang dihasilnyadi akhirat kelak.

ٱلَّذِيْ خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيٰوةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Al-Mulk : 2)


Abu Bakar Muhammad bin Ali al-Kattani mengatakan, “Dunia diciptakan agar manusia menerima cubaan, dan akhirat diciptakan agar manusia bertakwa.”


Dan, bila tidak ada ujian di dunia ini, sungguh manusia bertabiat mudah bosan dan jenuh serta mendambakan cabaran serta persaingan. Contohnya di sekolah atau kuliah, jika tidak ada ujian, yang pandai mahu pun yang bodoh, rajin atau malas, cerdas mahu pun tidak; semuanya diperlakukan sama iaitu mendapat markah 00 dan lulus 100%. Apakah itu sebuah keadilan dan bentuk kasih sayang? Pastilah ramai yang akan memprotes.


Semua ibadah yang kita lakukan, sebenarnya untuk diri kita sendiri, bukan untuk kepentingan Allah.


Syeikh Ibnu Athaillah berpesan, “Ketaatanmu tidak bermanfaat bagi Allah, dan kemaksiatanmu tidak membahayakan-Nya. Sesungguhnya Allah memerintahkanmu berbuat taat, dan melarangmu berbuat maksiat, kerana setiap perbuatan kembalinya kepadamu juga.”


Dalam pesannya yang lain, Ibnu Athaillah menuturkan, “Tidaklah bertambah kemuliaan Allah kerana orang yang datang membawa ketaatan, dan tidak mengurangi kemuliaan Allah orang yang menjauhkan diri dan berpaling dari-Nya.”


Andaikata semua makhluk bertakwa kepada Allah, itu semua tidak akan menambah sedikit pun keagungan-Nya. Jika seluruh alam semesta derhaka kepada-Nya, hal itu juga tidak akan mengurangi sedikit pun dari kekuasaan-Nya. Kalau Allah menginginkan, maka Allah Maha Kuasa menjadikan manusia umat yang satu dan semuanya bertakwa.


Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. (Yunus : 99)


Sekiranya Allah menghendaki, kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (Al-Maidah : 48)


Kalau pahala diwujudkan di dunia ini dalam bentuk harta, maka dosa pun harus diwujudkan dalam balasan yang setimpal. Itulah yang disebut adil.


Allah akan membalas perbuatan dosa saat pertama kali kita melakukannya. Bukankah sungguh berat hidup seperti itu? Semua aib akan terbuka. Padahal, tidak mungkin manusia tidak berbuat dosa, kerana ada hawa nafsu dan pujukan syaitan. Kecuali Nabi tentunya, yang memang terjaga dari kesalahan atau dosa (maksum). Namun, kerana rahmat-Nya, Allah membiarkannya beberapa waktu, dengan harapan kita akan bertaubat dan kembali, juga agar kita malu kepada-Nya. Rasulullah saw bersabda :

كُلُّ بَنِيْ آدَمَ خَطَّائُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ الْمُسْـتَغْفِرُوْنَ

Setiap manusia melakukan kesalahan dan sebaik-baiknya orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat dan memohon ampun (istighfar). (HR Tirmizi)

لمَـَّا قَضَى اللهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فىِ كِتَابِهِ فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ، إِنَّ رَحْمَتِيْ غَلَبَتْ غَضَبِيْ


Ketika Allah telah selesai mencipta semua makhluk, maka Allah menulis dalam ketetapannya yang ada di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan amarah-Ku.” (HR Bukhari dan Muslim)



وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوْا لَذَهَبَ اللهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُوْنَ فَيَسْتَغْفِرُوْنَ اللهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ 

Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, jika kamu semua tidak berdosa pasti Allah akan mencabut kalian dan mendatangkan kaum yang berdosa hingga mereka memohon ampunan Allah, lalu Dia pun mengampuni mereka. (HR Muslim)



Pertanyaan selanjutnya adalah, “Mengapa kita masih didera rasa malas untuk beribadah?” Misalnya :

Tiap hari baca Al-Quran 1 muka surat sahaja

Tiap hari solat Dhuha 2 rakaat sahaja


Mengapa kita selalu menciptakan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakannya? Adakah kerana kita merasa diri pandai berdebat sehingga kita pun berani “berhujah” dihadapan Allah dan para Malaikat-Nya?


Kenapa kita tidak mahu bersabar sejenak untuk menunggu balasan pahala kita? 


Adakah kita mengira bahawa beribadah hanya membuang-buang waktu, tidak efisien dan sia-sia belaka? 


Lupakah kita bahawa wang, emas, perhiasan, untaian mutiara, kenderaan, istana yang menjulang tinggi dan bidadari akan kita perolehi? Tidak ingatkah kita bahawa semua itu tidak hilang, hanya menunggu waktu saja?


Mari kita merenung sejenak. Ketika kita mulai bekerja (contohnya diusia 23 tahun), biasanya kita akan mencarum di KWSP sebagai tabungan persaraan. Tabungan ini hanya boleh diambil ketika kita pecen. Itu bermakna, kita harus menunggu selama 32 tahun kerana untuk mendapat hasil tabungan tersebut. Kenapa kita boleh bersabar menunggu selama itu tanpa daapt menikmatinya segera? Mengapa kita mahu menabung setiap bulan demi pencen kita?


Rata-rata jangka hayat penduduk Malaysia mencapai usia 69-72 tahun. Bagi lelaki, harapan hidupnya mencapai usia 67, dan untuk perempuan mencapai 72 tahun. Jika kita pencen pada usia 55 tahun, bermakna hanya tinggal 14-17 tahun kemudian kita akan meninggal dunia.


Nah...!  jika kita mahu menabung demi pencen, lalu mengapa kita bermalas-malas diri menabung untuk masa depan kita nan abadi? Apa alasan kita menunda-nunda berbakti kepada Dia yang telah menciptakan kita?


Kita hanya perlu bersabar sedikit untuk menikmati hasil jerih payah kita dalam beribadah. Tidakkah kita mahu melakukannya? Tidakkah kita mahu menikmati tabungan akhirat dengan keuntungan 700%, bahkan lebih...?


Fikir-fikirkanlah....



Semoga Allah menyatu dan melembutkan hati semua umat Islam...
.

Wallahu`alam



Rujukan :
Abul Qasim Abdul Karim Hawazin al-Qusyairi an-Naisaburi, asy-Syaikh, “Risalah Qusyairiyah Sumber Kajian Ilmu Tasawuf (Ar-Risâlah al-Qusyairiyyah fî ‘Ilmi at-Tashawwuf)”, Pustaka Amani, Cetakan I : September 1998/Jumadil Ula 1419


Djamal’uddin Ahmad Al Buny, “Mutu Manikam dari Kitab Al-Hikam (karya Syaikh Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim Ibnu Athaillah)”, Mutiara Ilmu Surabaya, Cetakan ketiga : 2000
M. Quraish Shihab, Dr, “‘Membumikan’ Al-Qur’an”, Penerbit Mizan, Cetakan XXX : Dzulhijjah 1427H/Januari 2007


M. Quraish Shihab, Dr, “‘Menyingkap’ Tabir Ilahi – Al-Asmâ’ al-Husnâ dalam Perspektif Al-Qur’an”, Penerbit Lentera Hati, Cetakan VIII : Jumadil Awal 1427 H/September 2006


M. Quraish Shihab, Dr, “Wawasan Al-Qur’an – Tafsir Maudhu‘i atas Pelbagai Persoalan Umat”, Penerbit Mizan, Cetakan XIX : Muharram 1428H/ Februari 2007


Muhammad bin Ibrahim Ibnu ‘Ibad, asy-Syaikh, “Syarah al-Hikam”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan