Popular Posts

Khamis, 1 September 2016

AL QURAN : BACAAN BERJAMAAH DAN KIRIMAN PAHALA BAHAGIAN III




Petikan Daripada Beberapa Kitab Yang Lain Berkenaan Kenduri Arwah

Yang Pertama:

Hadith yang sahih dikeluarkan oleh Abu Daud, A1-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Jafar, beliau berkata, “Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”
.


Dalam Hadith di atas, Rasulullah s.a.w. mengarahkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dukacita kematian. Ja’far bin Abi Talib mati syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun kelapan Hijrah, sebaik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada keluarganya supaya meringankan beban dukacita dengan memberi makanan kepada mereka.



Yang Kedua

Hadith Jarir bin Abdullah r.a, Maksudnya: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”

Diriwayatkan oleh Ahmad b. Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih.


Hadith di atas menunjukkan kepada kita, bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan dihidangkan oleh ahli si mati adalah dari perbuatan ratapan. Ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah dan hukumnya haram, sebagaimana dimaklumi.


Kedua-dua buah Hadith yang dipaparkan itu adalah terdiri dari Hadith-Hadith sahih. Hadith sahih amat tinggi martabatnya di mana ia menjadi sumber hukum yang kedua selepas kitab suci Al-Quran. Perbincangan di kalangan Imam-Imam mujtahid dan ulamak-ulamak agung dari empat mazhab mengenai hukum menjamu makan selepas kematian adalah pada asalnya berdasarkan kepada dua Hadith berkenaan.


Betapa kuatnya sesuatu hukum yang bersandarkan kepada Hadith sahih, sehingga Imam Syafie pernah menegaskan mengenai perkara itu, maksudnya, “Apabila sahihnya Hadith, maka itulah mazhab aku, jika tidak sahih, hendaklah kamu campakkannya di belakang dinding”.



Pandangan Ulamak Mengenai Menjamu Makanan Dan Perhimpunan Selepas Kematian.

Di bawah ini diperturunkan pesanan ulamak besar lagi mujtahid:

Imam Al-Syafi’e menegaskan dalam kitabnya (Al-Umm):

Maksudnya Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberikan makan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari malamnya kerana itu adalah sunnah dan ingatan (zikir) yang mulia dan ianya perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita, kerana apabila tiba berita kematian Jafar, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.


Maksudnya: “Aku benci diadakan ma`tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan makanan”.




Kata Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu :

Telah berkata Al-Syafie dalam Al-Mukhtasar: “Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya membuat makanan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, sesungguhnya ia adalah sunnah, dilakukan oleh golongan baik-baik. Kata Ashab kita (iaitu ulamak Fiqah Syafiiy) membuat pelawaan sungguh-sungguh supaya ahli mayat itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain di sunatkan juga kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka”.



Mengikut Kitab Al-Fiqahi Ala Al-Madhahib Al-Arbaah:

Setengah daripada perbuatan bid’ah yang makruh apa yang dibuat oleh manusia sekarang ialah melakukan penyembelihan ketika turunnya mayat dari rumah, ataupun semasa mayat berada di kubur. Hukumnya bid’ah dan makruh menyediakan makanan kepada mereka yang berkumpul untuk memberi takziah, dihidangkan makanan untuk mereka seperti dilakukan (menjamu makanan) di majlis-majlis atau perayaan kerana kegembiraan.


Jika memberi makan kepada orang ramai selepas suatu kematian sedangkan pewaris itu belum cukup umur, maka hukumnya haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dari Jarir bin Abdullah beliau berkata : “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”.



Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah (al-Fatawaa) berkata:

“Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, bahawa perbuatan ini tidak disyarakkan bahkan ia bid’ah berdasarkan kepada Hadith Jarir bin Abdullah kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan mereka memasak makanan untuk dijamu orang ramai adalah dari ratapan jahiliyyah”



Didalam Kitab Fiqh As-Sunnah, Oleh Sayyid Sabiq menyebut:

Di sunatkan membuat makanan kepada ahli si mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh). Imam Syafiiy berkata:


Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli mayat yang boleh mengenyangkan mereka untuk hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan perbuatan golongan yang baik-baik.


Ulamak mengatakan sunat mempelawa sungguh-sungguh supaya ahli mayat memakan makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan di sebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan.


Imam-imam mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya makruh ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada keluarga si mati. Kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan di atas kesibukan mereka yang sediakan ada dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan golongan jahiliyyah. Hujah ini berdasarkan Hadith Jarir bin Abdullah: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”


Setengah ulamak mengatakan hukumnya haram ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai.



Di dalam Kitab Hukmu Al-Quran Lil Amwat menyebut:

Antara bid’ah yang diharamkan ialah ahli si mati menjamu makanan kepada orang yang memberikan takziah atau memberikan makan kepada fakir miskin selepas mengiring jenazah, pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari keempat puluh dan tahunan. Tetapi yang sunnahnya sahabat handai dan jiran tetangga memberikan makanan kepada ahli si mati kerana Hadith Nabi bersabda: “Hendaklah kamu memberikan makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”. Diriwayatkan oleh Tarmidhi dan selainnya dengan sanad yang sahih.



Di dalam Kitab Ahkam Al-Janaiz Wa Bida’uha, sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani menyebutkan, antara bid`ah apabila terjadinya kematian adalah:


(i) Ahli si mati menerima tetamu dengan memberikan makan kepada mereka.


(ii) Hukumnya bid’ah apabila menerima jemputan bagi jamuan makanan daripada ahli si mati.



Kitab Sabil Al-Muhtadi

Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:


(i) Hukumnya bid’ah dan rnakruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan dijemput orang ramai supaya memakan makanan itu, sama ada jamuan itu diberi sebelum mayat dikebumikan atau selepas dikebumikan..


(ii) Hukumnya juga makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan menghadirinya.


Teks asalnya berbunyi:

“Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan”.



Kitab Kasyfu Al-Litham

Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:

(i) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak bila keluarga si mati memberi makan kepada orang ramai sebelum atau selepas dikebumikan mayat.


(ii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak membuat penyembelihan di kubur.


(iii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak apa yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu berhimpun dan berkumpul dengan memberi makan kepada orang ramai di malam pertama selepas pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan sebagainya seperti yang telah dijelaskan.


Teks asalnya berbunyi:

“Barang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang dibuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”



Kitab Bahru Al-Madzi

Maksudnya antara lain seperti:


(i) Keluarga si mati memasak makanan dan menghimpun orang ramai dan menjamu mereka makanan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan diikuti dari Nabi s.a.w dan dari sahabatnya.


(ii) Hukumnya bid’ah dan makruh jika keluarga si mati memasak dan mengumpulkan orang ramai dan menjamu mereka, kerana berpandukan Hadith Jarir bin Abdullah katanya, “Kami rnengira perhimpunan orang ramai kepada keluarga si mati dan mereka (keluarga) membuat makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.


(iii) Yang sunnah dan sunat ialah kaum kerabat si mati yang jauh, jiran tetangga dan sahabat handainya memasak dan menjamu kepada ahli atau keluarga si mati sekadar mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.




Bantahan Hadis

Ada sebahagian pihak yang berhujah dengan menggunakan hadis berikut bagi mempertahankan bolehnya mengadakan kenduri Tahlilan/arwah.

“Daripada ‘Asim bin Kulaib daripada seorang lelaki daripada kaum Ansar, dia berkata:

Kami telah keluar bersama Rasullullah s.a.w. pada suatu jenazah, maka aku melihat Rasulullah s.a.w. memesankan kepada penggali kubur, beliau berkata; Lebarkanlah dari bahagian dua kakinya dan bahagian kepalanya. Maka manakala Nabi pulang, datang seorang memanggilnya dari pihak isteri si mati (da’I imra’tihii], maka nabi memperkenankannya dan kami pun bersama-sama beliau lalu di hidangkan makanan. Kemudian Nabi meletakkan tangannya kepada makanan itu dan begitu juga orang banyak lalu mereka makan dan kami melihat Rasullullah s.a.w. mengunyah sesuap dalam mulutnya”.
(Abu Daud dan Baihaqi)


Jawab:


Prof.T.M. Hasbi Ash-Siddieqy dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum (6: 258) menegaskan bahawa pengarang kitab Subulus Salam (3: 97) menegaskan hadis tersebut adalah tidak sahih. Beliau juga menyebut (dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6: 258) bahawa dalam kitab Mizanul Iktidal oleh Az-Zahabi disebutkan telah berkata Imam Yahya Al-Qattan: “Saya tidak mendapati seorang yang bernama ‘Asim (salah seorang rawi) melainkan saya mendapatinya seorang yang tidak baik hafalannya”.


Dalam kitab yang sama (Mizatul Iktidal) juga disebutkan Imam Ibn Madiniy berkata bahawa ‘Asim bin Kulaib adalah orang yang kita tidak dapat berhujah dengan dia apabila sesuatu hadis itu dia saja yang meriwayatkannya (Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6: 258-259). Maksudnya, kalau ada satu riwayat dari jalan ‘Asim bin Kulaib itu dan tidak ada riwayat melalui jalan lain, maka riwayat atau hadis itu tidak boleh menjadi alasan. Dengan kata lain hadis yang diriwayatkan dari ‘Asim adalah lemah dan tidak boleh dijadikan alasan sesuatu hukum.



Penarikan Semula Fatwa Oleh Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah

Menurut sebahagian ustaz di malaysia bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah mengatakan bahawa adalah sampai pahala bacaan kepada si Mati. Sebenarnya Syeikhul Islam Ibn Taimiyah telah ruju’ (menarik balik dan membatalkan fatwa beliau). Akhirnya beliau kembali kepada fatwa Imam Syafie dan fatwa para ulama yang bermazhab as-Syafie yang mana beliau telah menegaskan:


“Bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf as-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah mati”

Penarikan semula Syeikhul Islam Ibn Taimiyah terhadap fatwa beliau yang pada asalnya membolehkan (boleh menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati), kemudian beliau mengharamkannya, kenyataan ini boleh ditemui di dalam kitab Imam fiqh yang bermazhab Syafie Ali Abdul al-Kafi as-Subki. Lihat: “Takmilatul Majmu” - شرح مهذب تكملة المجموع jld. 10 hlm. 417.



Berkenaan Wasiat Ibnu Umar Radhiallahu 'Anhuma


Ibnu 'Umar radiallahu 'anhuma berwasiat iaitu apabila beliau wafat hendaklah dibacakan di atas kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah. Athar inilah yang dijadikan hujjah untuk menghalalkan kenduri arwah. Athar ini adalah batil kerana bertentangan dengan amalan para sahabat. Athar ini syaaz, tidak dapat diterima untuk dijadikan hujjah. Athar ini tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat sebagaimana keterangan di bawah ini:

وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ

"Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibnu 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat." Lihat: Syarah al-Muhazzab, jld 10 hlm. 429 As-Subki.


Adapun hadis yang menyuruh agar dibacakan ayat al-Quran kepada orang yang nazak atau orang mati terutamanya surah Yasin adalah hadis lemah. Di dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Saad yang dikenali sebagai Abu Uthman. Dia tidak diketahui keadaannya (مجهول الحال). Hadis yang dimaksudkan ialah:

اِقْرَؤُوْهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ

"Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". Hadis Riwayat Abu Daud (2714) al-Janaiz. Ibn Majah (1438). Hadis lemah.



Hukum Mendoakan Orang Mati

Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan firman Allah:


"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami". (al-Hasyr 59: 10)


"Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab." (Ibrahim 14: 41)


“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman". (MUHAMMAD 47: 19)



Menetapkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan adalah bid'ah.

Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memperingatkan berkenaan perbuatan yang bid’ah:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan Rasul-Nya) maka amalan itu tertolak". (Hadis Riwayat Muslim)



HUKUM MENETAPKAN SESUATU AMALAN TANPA DASAR YANG TSABIT ADALAH BID’AH

Menetapkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan adalah bid'ah.



Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memperingatkan tentang perbuatan yang bid’ah:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan Rasul-Nya) maka amalan itu tertolak". (Hadis Riwayat Muslim)



مَنْ اَحْدَثَ فِىْ اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌَّ. رواه البخارى ومسلم.

"Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan (agama) kami ini sedangkan ia bukan (dari kami) maka ia tertolak". (Bukhari dan Muslim)


مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوِ رَدٌّ

Barangsiapa yang mencipta suatu urusan (agama) yang bukan atas suruhan kami, maka ia tertolak (bid’ah)".


Sesiapa yang mendakwa bid'ah hasanah atau sunnah mengadakan majlis-majlis tertentu seperti mengkhususkan berdoa atau pembacaan al-Quran untuk menghadiahkan pahalanya kepada orang mati sedangkan tidak ada contoh dari syara, maka itu adalah suatu pembohongan terhadap Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan adalah merupakan perbuatan bid'ah yang sesat, bukan bid'ah hasanah. Orang yang membohongi Nabi pada perkara-perkara akidah dan ibadah, mereka akan menerima azab yang pedih. Baginda bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ.

"Sesiapa yang berbuat dusta (pembohongan) atas (nama)ku, maka hendaklah dia bersiap untuk menerima tempat duduknya dari api neraka".



Tidak ada penetapan masa, hari, tempat dan cara beribadah kecuali yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Apa pun jenis amal sama ada berdoa atau membaca al-Quran apabila diubah-suai dan diadakan beberapa peraturan, maka ia termasuk bid'ah lebih-lebih lagi apabila dikhususkan untuk orang mati.


Mengkhususkan majlis kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau selamatan masih dilakukan oleh masyarakat Islam, yang mana semua perbuatan tersebut tidak ada dalilnya dari al-Quran dan al-Hadis. Nabi telah melarang pengkhususan ibadah dimalam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari tertentu:

عَنْ أبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَتَخُصُّوا لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ بِقِيَامِ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِى، وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمْعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اْلأيَّامِ اِلاَّ أنْ يَكُونَ فِى صَوْمٍ يَوْمُهُ أحَدكُمْ


"Dari Abi Hurairah, dari Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain, kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh seseorang kamu." (Hadis Riwayat Muslim (1930) as-Siyam).


Menetapkan malam-malam tertentu sebagai malam sunnah untuk beribadah jika tidak ada contohnya dari syara tetapi hanya bertaklid tanpa hujjah, maka itu adalah bid'ah yang wajib dijauhi. Allah Subhanahu wa-Ta'ala berfirman:

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu tauladan (contoh ibadah) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta dia banyak mengingati Allah". (al-Ahzaab 33: 21).


Ayat ini telah menjelaskan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam diutus semata-mata untuk dijadikan contoh dalam mengamalkan setiap ibadah jika mahu ianya diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sesiapa yang ingkar mematuhi dan mencontohi Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam termasuklah bentuk bagaimananya (كـَيْـفِـيـَّةٌ) dan cara-caranya, maka dia telah melakukan bid'ah dan menolak peranan Nabi Muhammad sebagai Rasul utusan. Baginda bersabda:

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُلُوْنَ الْجَنّةَ اِلاَّ مَنْ اَبَى . قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ وَمَنْ يَاْبَى؟ قَالَ مَنْ اَطَاعَنِيْ دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِيْ فَقَدْ اَبَى.


"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu dari Nabi salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu!? Rasulullah menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan".


Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menunjuk ajar dengan sempurna cara melaksana ibadah dan menentukan sah batalnya hukum-ahkam dalam syara yang wajib dipatuhi oleh setiap mukmin.


Sesiapa yang menyalahi cara dan bagaimananya (kaifiat) Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam serta para sahabat melaksanakan ibadah, maka dia telah membuat bid'ah dan fitnah. Allah Subhanahu wa-Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya:

“Maka hendaklah diawasi oleh mereka yang menyalahi perintahnya (perintah Allah dan Rasul) bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa oleh seksa yang pedih". (an-Nuur 24: 63)

تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاء لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَيَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ اِلاَّ هَالِكٌ.

"Aku telah tinggalkan pada kamu agama ini dalam keadaan putih bersih (jelas). Malamnya seperti siangnya, tidak ada yang menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali akan ditimpakan kepadanya) kehancuran". (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanadnya yang sahih)


Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah dengan mengucapkan, "Kami mendengar, dan kami patuh." Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (an-Nuur 24: 51) 

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (an-Nisa’ 4: 65)



TAMAT


Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan