Ini lebih memalukan daripada anak muda yang dalam perjalanan balik ke kampung. Bas bergerak laju dan malangnya jalan seperti ular dipalu. Di tengah lebuhraya dia merasa melungai, kepala pening. Tanpa sempat mengambil sebarang bekas, isi perutnya terkeluar tanpa sempat ditahan. Dia muntah di atas lantai bas. Lantas bau masam, hapak, busuk, malah bertebaran dan mencucuk hidung-hidung penumpang yang lain. Muka anak muda itu merah menahan malu. Dia lantas mengelap muntahnya. Dan dalam hatinya, dia terasa amat malu.
Lebih mengaibkan lagi...
Lebih mengaibkan dari seorang yang terlihat anggota sulitnya saat dia sedang menunaikan hajat di kedai mamak dan ada orang yang menolak pintu tandasnya. Dia terlopong seketika dan lantas menutup mukanya dengan sebelah tangan. Sebelah tangan yang tersisa itu dihalakan ke anggota sulitnya, ataupun diguna untuk menolak daun pintu. Perasaannya kecewa dan luluh. Kalaulah dia tiada wajah dan 2 biji mata, pasti dia tidak malu sebegitu teruk.
Maka barulah kita fahami bahawa malu itu letaknya di muka dan mata, mungkin juga minda. Kerana itu juga burung unta, saat dia ketakutan, dia akan menyorokkan kepalanya ke dalam tanah. Padahal badannya yang besar masih kelihatan dari kejauhan. Ini semuanya kerana muka.
Tetapi rupanya ada lagi hal yang amat memalukan selain dari 2 hal diatas.
Mungkin kita boleh andaikan bahawa; oleh kerana manusia yang melakukannya tidaklah terasa amat bersalah, atau amat memalukan, maka hal itulah yang menjadikan ia kemaluan yang teragung. dan orang yang melakukannya itu dipuja dan sokong.
Boleh bayangkan tak; bagaimana seorang yang berserban besar, berjubah besar, bertasbih besar, berpengikut besar, pendeknya semuanya besar-besar belaka. Orang ini juga digelar Tuan Guru Besar, senang sekali dia menggunakan perisai agama untuk kepentingan dirinya. Dia mengaibkan.
Dan murid-muridnya yang bergerombolan itu pula tidak segan silu untuk sentiasa mengucup tangannya. Mereka ta'jub dengan serbannya dan mengatakan: "Inilah Guru Mursyid". Maka sang guru adalah mustahil baginya kealpaan - kekhilafan - kelalaian - kesalahan. Dia ma'sum barangkali. Lantaran itu, apa saja yang terpacul dari muncung bibirnya adalah kebenaran, setingkat dengan perkataan Allah dan Rasul-Nya.Dan andai sang guru boleh meramal, dan melompat agak jauh dari kebiasaan orang, apatah lagi kalau mampu terbang. Maka para muridnya pasti akan menuhankannya disamping Rabb Azza Wa Jalla. Mereka tidaklah mengambil colok dan membakarnya lalu ditancapkan di hadapannya. Tidak! Mereka menuhankannya dengan mengimani setiap katanya tanpa bangkangan. Setiap hikayat yang dicanangkan diyakini benar dari Allah. mereka percaya sang guru boleh ke makkah dalam sekelip mata. Malah setelah mereka mati, para muridnya membayangkan wajahnya setiap kali mahu berzikir kepada Allah!
Sungguh memalukan sikap anak murid yang jumlahnya bergerombolan ini! Bagaimana mereka bersikap dan bersifat begitu. Sepertinya akal mereka tidak berguna, padahal mereka lah yang paling gemar membaca sifat 20 yang berisi mantiq/falsafah!
Saat mereka membahaskan arad dan jauhar bagi sifat Allah, maka akan bermunculanlah kalimat "mustahil Allah begitu", "ini tidak boleh kerana logiknya begini". Tetapi saat mereka berdepan dengan sang guru, maka logika yang mereka bangunkan keatas Allah terhapus, luluh, dan tidak dihitung langsung.
Nampaknya Allah itu tertakluk dengan Hukum makhluk, dan Sang Guru Mursyid itu terkeluar dari sebarang hukum. Maka jika demikian, Allah lebih kerdil dari guru mereka! Dan selayaknyalah Allah meletak jawatan sebagai Tuhan. Kalau degil juga, lucutkan saja dan berikanlah tugas Tuhan itu pada para Wali.
Mereka bukan sahaja mahu jadi tuhan, tetapi juga mahu jadi Rasul. Kalau datang pada mereka satu hadith nabi, maka mereka akan berkata: "Tangguh sebentar, kita semak kitab kuning akan tafsirnya dulu" walaupun makna hadith tersebut jelas maksudnya dan jelas sandarannya. Terkadang mereka melupakan ucapan nabi dan mengambil ucapan guru mereka atau imam mazhab mereka.
Kemudian antara kerja yang memalukan juga ialah para guru dan para murid ini tidak segan-segan memalsukan hujjah, mendhaifkan hadith yang sah, mengsahkan hadith yang dhaif, semata-mata untuk menyokong corak fahaman mereka.
Mereka tetap bongkak dengan alasan-alasan logik, emosi, prasangka. Saat lawan mengemukakan hujjah dari kalam para ulama silam, mereka menutup telinga dan yang lebih berani, mereka mendustakan kalam tersebut.
Cukuplah bagi kita saat Hasan As-Saqqaf menulis dalam kitab-kitabnya segala pembohongan, malah dia sempat keluar dalam TV dengan membohongi Syeikh Ramadhan Albuti! hal ini disaksikan oleh seluruh rakyat Jordania. Kemudian dia menulis di markasnya "aku lebih ilmuan dari Ibn Katsir"! dan saat dia menghinakan Ibn Taimiyyah, antara alasannya ialah Ibn Taimiyah tidak berkahwin, tetapi dia menamakan markasnya Imam Nawawi, padahal sang Imam (imam Nawawi) juga tidak berkahwin!
Inilah antara hal yang sangat memalukan dan mengaibkan. Yang tanpa kita sedari bahawa hal ini dilakukan oleh para ahli agama. Mereka orang agama, telah menutup kejahatan diri mereka dengan semutar serban dan jubah besar. Mereka menguasai ilmu agama, sedangkan kita terlalu sedikit pengetahuan akan ilmu tersebut. Maka mereka boleh memanipulasikan tanpa pengetahuan kita.
Ibarat doktor yang mempelajari ilmu kesihatan kemudian membuka klinik persendirian, dia mengatakan kepada kita bahawa sakit kita adalah kronik, harus dirawat segera, dibedah, diambil ubat perawatan. Padahal kita hanyalah sakit keletihan. Tetapi kerana kita amatlah jahil akan ilmu kedoktoran, maka kita ikuti saja. Kemudian apabila ada sanak saudara kita yang punya simtom serupa, maka kita pun mengatakan persis seperti kata sang doktor tadi. Kita mengimaninya berkurun lamanya.
Padahal jika mengikut ilmu kedoktoran yang hakiki, sikap doktor tersebut menyalahi etika kerja, malah ilmunya jua cetek. tetapi apakan daya, dia telah sampai dahulu ke kampung tersebut dan dia punya upaya pengaruh yang banyak. Maka apabila datang doktor yang membawa ilmu kedoktoran yang benar, maka doktor yang meracau itupun keketaran, terketar ketakutan memikirkan tiada pesakit yang mahu lagi membayar wang yang banyak kepadanya nanti. maka makar/muslihat harus dilancar. Kemudian fitnah itu dipercayai oleh para penduduk. Inilah natijah kerana kejahilan bertompok-tompok.
Hal yang sama berlaku kepada para ilmuan ISLAM silam, ilmu mereka didustakan oleh para guru serban besar. Dan tatkala datang warisan dari para ulama silam kepada umat, maka para guru serban besar membuat helah tipudaya.
Tetapi ada bezanya antara ilmu kedoktoran dan keagamaan. Hasil akhirnya keluar berbeza. Perdebatan antara doktor palsu dan doktor benar mudah dinilai. Kalau ilmu kedoktoran itu silap, hasilnya boleh dilihat sekejap, di dunia - mati atau masih hidup, sembuh atau makin melarat. Tetapi jika ilmu keagamaan itu silap, maka hasilnya hanya dapat dilihat di akhirat saja, dihumban dalam neraka atau dijemput masuk syurga. Hasil akhir hanya dilihat setelah mati, justeru umat mana mungkin akan mengerti dengan mudah. Yang akan mengerti hanya manusia ikhlas dan jujur pada diri, dan yang berfikir dengan menggunakan al-Qur’an dan as-Sunnah mengikut fahamnya para murid Baginda Muhammad s.a.w..
Walau bagaimanapun, manusia yang ikhlas mencari kebenaran kemudian dia jujur pada dirinya saat menemukan kebenaran itu, diatas timbangan al-Qur’an dan al-Hadith mengikut pemahaman para salafus-soleh, jumlah mereka sedikit. Tidak banyak. Yang banyaknya ummah yang tidak menggunakan minda, tidak mengerti al-Qur’an dan tidak mementingkan hadith. Lalu jadilah mereka seperti kerbau yang tidak mengerti apa-apa melainkan berkubang dan menyondol. Dan yang menarik hidung-hidung kerbau ini ialah para pengembalanya yang memakai baju besar dan tutup kepala yang besar. Dari kejauhan, orang sudah mengetahui bahawa dia adalah si badut-badut agama! Orang yang hanya berlakon di atas pentas agama… yang hakikatnya… mereka memang hanya sang pelakon…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan