Popular Posts

Selasa, 20 September 2016

BANTAHAN TERHADAP AMALAN ZIKIR DAN DOA SECARA BERJAMAAH







Sebahagian besar daripada kelompok umat Islam hari ini di sekitar kita telah sebati dan menganggap bahawa amalan zikir secara berjamaah dan dengan suara yang dinyaringkan adalah sebahagian daripada sunnah yang memiliki tuntunan (panduan) dari syari’at.



Oleh itu, sebahagian daripada susunan artikel ini telah dikhaskan untuk memberi pencerahan semula terhadap amalan tersebut dan sekaligus membantah keras terhadap corak dan bentuk amalan tersebut berdasarkan dalil-dalil yang akurat berserta kalam para ulama generasi awal.



Dalil-Dalil Yang Disangka Menjadi Sandaran Zikir Berjamaah;


“Dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri rodhiallahu ‘anhuma, mereka berdua bersaksi bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tidaklah suatu kaum duduk-duduk menyebut nama Allah Azza wa Jalla (berzikir), melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat, dan dipenuhi oleh kerahmatan, dan akan turun kepada mereka kedamaian, dan mereka akan disebut-sebut oleh Allah dihadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Imam Muslim 4/2074, hadis no: 2700)



Dan hadis:


“Dari sahabat, Abu Hurairah rodhiallahu ‘anhu, ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya bila ia mengingati-Ku. Bila ia mengingat-Ku di dalam dirinya, niscaya Aku akan mengingatnya dalam Diri-Ku, dan bila ia mengingati-Ku di perkumpulan orang (majlis), maka Aku akan mengingatnya di perkumpulan yang lebih baik dari mereka.” (Riwayat Bukhari 6/2694, hadis no: 2700, dan Muslim 4/2061, hadis no: 6970)



Dua hadis ini adalah antara dua hadis yang paling utama dan sahih dan seringkali digunakan oleh kebanyakan mereka untuk membolehkan dan menunjukkan sunnahnya amalan zikir berjamaah. Sekaligus, intipati hadis ini juga mewakili hadis-hadis yang lain yang seringkali digunakan oleh kelompok yang berkeras menyatakan zikir secara berjamaah itu adalah sunnah.



Untuk mengetahui maksud dan makna hadis-hadis ini, mari kita semak semula secara bersama akan keterangan para ulama’ tentang maksud dari kata majlis zikir:



“Abu Hazzan: Aku pernah mendengar Atha’ bin Abi Rabah (salah seorang tabi’in) berkata: ‘Barang siapa yang duduk di dalam majlis zikir, maka Allah akan mengampuni dengannya sepuluh majlis kebathilan. Dan bila majlis zikir itu ia lakukan di saat berjihad di jalan Allah, niscaya Allah akan mengampuni denganya tujuh ratus (700) majlis kebathilan.’ Abu Hazzan berkata: Aku bertanya kepada Atha’: Apakah yang dimaksud dengan majlis Zikir? Ia menjawab: iaitu majlis (yang membahas) halal dan haram, sebagaimana engkau menunaikan solat, sebagaimana engkau berpuasa, sebagaimana engkau menikah, sebagaimana engkau menceraikan, sebagaimana engkau menjual dan sebagaimana engkau membeli.” (Riwayat Abu Nu’aim, dalam kitabnya Hilyah al-Auliya’: 3/313)



Imam an-Nawawi asy-Syafi’i, berkata:

“Ketahuilah bahawa keutamaan/pahala berzikir tidak hanya terbatas pada bertasbih, bertahlil, bertahmid (membaca alhamdulillah), bertakbir, dan yang serupa. Akan tetapi setiap orang yang mengamalkan ketaatan kepada Allah Ta’ala, bererti dia telah berzikir kepada Allah Ta’ala, demikianlah dikatakan oleh Sa’id bin Jubair dan ulama’ yang lainnya. Atha’ (bin Abi Rabah) berkata: ‘Majlis-majlis zikir ialah majlis-majlis yang membicarakan halal dan haram, sbagaimana engkau membeli dan menjual, mendirikan solat, berpuasa, menikah, menceraikan, berhaji dan yang serupa dengan ini‘.” (al-Azkar, oleh Imam an-Nawawi, 9).



Pakar hadis dan fiqih abad ke-9H, iaitu Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata:


“Dan yang dimaksud dengan zikir di sini ialah: mengucapkan bacaan-bacaan yang dianjurkan untuk diucapkan dan diulang-ulang, misalnya bacaan yang disebut dengan al-Baqiyaat as-Shalihat, iaitu: Subhanallah, wa alhamdulillah, wa laa ilaha illallah, wa Allahu Akbar, dan bacaan-bacaan lain yang serupa dengannya, iaitu: al-hauqalah (laa haula walaa quwwata illa billah), Basmalah, hasbalah (hasbunaallah wa ni’ima al-wakil), dan istighfar, dan yang serupa, dan juga doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat. Kata az-Zikir kepada Allah bila disebut juga dapat dimaksudkan: kita terus-menerus mengamalkan amalan-amalan yang diwajibkan atau disunnahkan oleh Allah, seperti membaca al-Qur’an, membaca hadis, mempelajari ilmu, dan menunaikan solat sunnah. Kemudiannya zikir kadang kala dapat dilakukan dengan lisan, dan orang yang mengucapkannya akan mendapatkan pahala, dan tidak disyaratkan untuk selalu mengingat kandungannya, tentunya dengan ketentuan selama ia tidak memaksudkan dengan bacaan itu selain dari kandungannya.(*) Bila bacaan lisannya disertai dengan zikir dalam hatinya, maka itu lebih sempurna, dan bila zikir ini disertai dengan penghayatan terhadap kandungan bacaan itu, yang berupa pengagungan terhadap Allah, dan mensucikan-Nya dari segala kekurangan, niscaya itu akan lebih sempurna. Bila zikir semacam ini terjadi di saat ia mengamalkan amal sholeh yang diwajibkan, seperti solat fardhu, jihad dan lainnya, niscaya akan semakin sempurna. Dan bila ia meluruskan tujuan dan ikhlas kerana Allah, maka itu adalah puncak kesempurnaan.


(*) Misalnya: ketika ia membaca zikir Subhanallah yang ertinya “Maha Suci Allah”, akan tetapi ia memaksudkan dari bacaan ini: ia memohon perlindungan agar terhindar dari penyakit atau yang serupa.



(Fathul Bari, oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 11/209, baca juga Subul al-Salam, oleh Muhammad bin Ismail al-Shan’ani, 4/390-dst, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ at-Tirmizi, oleh al-Mubarakfuri, 9/222).



Al-Fakhrurrazi berkata: Yang dimaksudkan zikir dengan lisan ialah mengucapkan bacaan-bacaan yang mengandungi makna tasbih (pensucian), tahmid (pujian), dan tamhid (pengagungan). Dan yang dimaksud zikir dengan hati ialah: memikirkan dalil-dalil yang menunjukkan akan Zat dan Sifat-sifat Allah, juga memikirkan dalil-dalil taklif (syari’at), yang merupakan perintah, dan larangan, sehingga ia dapat mengerti hukum-hukum taklifi (hukum-hukum syari’at yang lima, iaitu: wajib, sunnah, mubah, makruh dan haram), dan juga merenungkan rahsia-rahsia yang tersimpan pada makhluq-makhluq Allah. Sedangkan yang dimaksudkan dengan zikir dengan anggota badan ialah: menjadikan anggota badan sibuk dengan amaliah ketaatan, oleh kerana itulah Allah menamakan solat dengan sebutan zikir, Allah berfirman: “Maka bersegeralah kamu menuju zikir kepada Allah (iaitu solat jum’at).” (al-Jum’ah, 62: 9)



Pengertian tentang makna zikir yang disampaikan oleh seorang tabi’in murid para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan dijabarkan Ibnu Hajar ini, selaras dengan hadis berikut:


“Dari sahabat Abu Hurairah rodhiallahu’anhu ia berkata: Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tidaklah suatu kaum (sekelompok orang) duduk di salah satu rumah Allah (iaitu masjid), mereka membaca kitabullah (al-Qur’an) dan bersama-sama mengkajinya (mempelajarinya), melainkan akan turun kepada mereka kedamaian, dan mereka dipenuhi oleh kerahmatan, dan dinaungi oleh para malaikat, dan Allah menyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Muslim)



Tatkala Imam an-Nawawi mensyarah hadis ini, beliau berkata: “Dan (InsyaAllah) keutamaan ini juga diperoleh bagi orang-orang yang berkumpul di sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian dan yang serupa dengan keduanya, sebagaimana halnya berkumpul di masjid.” (Syarah Shahih Muslim, oleh an-Nawawi, 17/22).



Inilah yang dimaksud dengan kata ‘zikir’ yang disebutkan dalam hadis-hadis yang tersebut. Dengan demikian, hadis-hadis ini adalah bersifat umum, mencakupi segala amaliah ketaatan, sama ada berupa ucapan lisan, atau amalan batin, atau amalan anggota badan.



Berdasarkan penjelasan yang telah kita perhatikan, dalil-dalil hadis yang menunjukkan majlis zikir itu adalah bersifat umum dan sama sekali tidak menunjukkan bahawa ia merupakan pemberi indikator (penunjuk) akan pensyari’atan ritual zikir secara berjamaah seperti mana yang difahami oleh beberapa kelompok umat Islam zaman ini yang melakukan ritual zikir berjamaah (beramai-ramai) dengan bacaan tahmid, tahlil, takbir, dan seumpamanya sama ada setelah selesai solat (kebiasaannya) atau selain dari waktu itu.



Agar lebih jelas lagi, mari kita semak penuturan sahabat Anas bin Malik berikut ini:


“Dari Muhammad bin Abu Bakar ats-Tsaqafi, bahawa ia pernah bertanya kepada sahabat Anas bin Malik rodhiallahu’anhu tatkala ia bersamanya berjalan dari Mina menuju ke padang Arafah: Bagaimanakah dahulu kalian berbuat bersama Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam pada hari seperti ini? Maka beliau menjawab: Dahulu ada dari kami yang membaca tahlil, dan tidak diingkari, dan ada dari kami yang membaca takbir, juga tidak diingkari.” (Riwayat Muslim 2/933, hadis no: 1285)



Inilah salah satu contoh nyata kaedah berzikir yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya, masing-masing berzikir dengan sendiri-sendiri, tidak dengan diketuai bertekongkan oleh satu orang imam, kemudian yang lainnya mengikuti secara berjamaah, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Islam zaman ini.



Kisah yang dituturkan oleh sahabat Anas bin Malik tentang metode berzikir yang dilakukan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya inilah yang dimaksudkan oleh sahabat Ibnu Mas’ud dalam ucapannya, tatkala melihat sekumpulan orang berzikir secara berjama’ah:

.
“Sungguh demi Zat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, sesungguhnya kalian ini sedang menjalankan ajaran (dalam berzikir) yang lebih benar berbanding ajaran Nabi Muhammad, atau sedang membuka pintu kesesatan?” (Riwayat ad-Darimi, dalam kitab as-Sunnan, 1/79, hadis no: 204, riwayat ini hasan atau shahih lighairihi, kerana diriwayatkan melalui beberapa jalur)



Maksud beliau rodhiallahu’anhu ialah: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya bila berzikir, tidaklah dengan cara diketuai oleh satu orang (jama’i), dengan satu suara dan bacaan yang sama, akan tetapi masing-masing berzikir dengan sendiri-sendiri (masing-masing) dan secara perlahan (merendahkan suara). Ini juga dapat dilihat apabila kata kalimat “zikir” itu sendiri ditafsirkan sebagaimana yang dipaparkan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, sehingga mencakupi majlis-majlis ilmu. Dan sebagai bukti akan penjelasan Ibnu Hajar diatas, dipaparakan beberapa kisah berikut:



“Sahabat Uqbah bin ‘Amr berkata kepada sahabat Huzaifah: Sudikah engkau membacakan apa yang pernah engkau dengar dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar beliau bersabda: Sesungguhnya tatkala Dajjal keluar kelak, ia akan membawa air dan api. Adapun yang ditunjukkan kepada orang-orang bahawa itu adalah api, maka itu sebenarnya adalah air yang dingin, sedangkan yang ditunjukkan kepada orang-orang bahawa itu adalah air, maka itu sebenarnya adalah api yang membakar. Sehingga barang siapa yang menemuinya, maka hendaklah ia memilih untuk memasuki kepada yang ia tunjukkan sebagai api, kerana sesungguhnya itu adalah air yang dingin …… (setelah Huzaifah selesai membacakan hadis-hadis yang pernah ia dengar dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam) Uqbah bin ‘Amr rodhiallahu ‘anhu berkata: Aku juga pernah mendengarkan beliau bersabda demikian itu.”(Riwayat Bukhari, 3/1272, hadis no: 3266)



Pada kisah ini sahabat Uqbah bin ‘Amr meminta sahabat Huzaifah untuk menyebutkan hadis-hadis yang pernah ia dengar dari Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan setelah selesai sahabat Uqbah ternyata pernah mendengar semua hadis yang sahabat Huzaifah bacakan. Ini salah satu bukti bahawa mereka bila bertemu saling mengingatkan tentang ilmu yang dimiliki oleh masing-masing mereka, bukan dengan cara membaca zikir yang ditekongkan oleh satu orang, kemudian ditirukan oleh yang lainnya (mengadakan ritual zikir berjamaah).



Contoh lain:


“Dari Syaqiq (bin Salamah) ia berkata: Suatu ketika sahabat Abdullah (bin Mas’ud) dan Abu Musa duduk bersama, dan keduanya saling mengingat-ingat hadis-hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian Abu Musa berkata: Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Sebelum datangnya kiamat, akan ada hari-hari yang pada saat itu ilmu akan diangkat, dan diturunkan kebodohan (kebodohan berleluasa), dan akan banyak terjadi al-haraj,’ dan al-haraj ialah pembunuhan.” (Riwayat Bukhari, 6/2590, hadis no: 6653. Muslim 4/2056, hadis no: 2672. Dan Ahmad dalam kitab al-Musnad, 4/392)



Contoh lain:


“Abu Salamah bin Abdirrahman berkata: Dahulu sahabat Umar bin al-Khatthab berkata kepada sahabat Abu Musa di ketika ia duduk di majlis: Wahai Abu Musa, ingatkanlah kita tentang Tuhan kita! Maka Abu Musa pun sambil duduk di majlis membaca (al-Qur’an), dan beliau memerdukan suaranya.” (Riwayat ad-Darimi, 2/564, no: 3493. Ibnu Hibban, 16/168, no: 7196. Abdurrazzaq dalam al-Mushannaf, 2/486, no:4179. Dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, 1/258)



Inilah majlis zikir yang dilakukan oleh para sahabat dan ulama’ terdahulu. Bahkan Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan:


“Dari Abi Utsman (an-Nahdi) ia berkata: Salah seorang gabernur pada zaman khalifah Umar bin al-Khatthab menuliskan laporan yang isinya: Sesungguhnya di wilayah saya, ada suatu kelompok orang yang berkumpul-kumpul kemudian berdoa bersama-sama untuk kaum muslimin dan pemimpin. Maka Umar menulis surat kepadanya: Datanglah dan bawa mereka besertamu. Maka garbernur itu datang, (dan sebelum ia datang) Umar telah memerintahkan penjaga pintunya untuk menyiapkan sebuah cambuk (pemukul). Dan tatkala mereka telah masuk ke ruangan, spontan Umar langsung memukul pemimpin kelompok itu dengan cambuk.” (Riwayat Ibnu Abi Syibah dalam kitabnya al-Mushannaf, 5/290, no: 26191)


“Dari sahabat Abu Hurairah rodhiallahu’anhu, ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku sentiasa bersamanya bila ia mengingati-Ku. Bila ia mengingati-Ku di dalam dirinya, niscaya Aku akan mengingatinya dalam Diri-Ku, dan bila ia mengingati-Ku di perkumpulan orang (majlis), maka Aku akan mengingatnya di perkumpulan yang lebih baik dari mereka.” (Riwayat Bukhari, 6/2694, hadis no: 2700. Dan Muslim, 4/2061, hadis no: 6970).


Daripada hadis tersebut, seandainya yang dimaksudkan dari hadis ini ialah ia berzikir dengan cara berjamaah, saya rasa firman-Nya tidak seperti itu bunyinya, tetapi akan seperti berikut: “Bila ia mengingat-Ku dengan berjama’ah/ramai-ramai”.



Adapun ayat 28 dari surat al-Kahfi, iaitu:


“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru (berdoa) kepada Tuhannya di waktu pagi dan senja, mengharapkan Wajah Allah (keredhaan-Nya)”, maka untuk memahami maksud ayat ini dengan jelas, mari kita semak bersama keterangan Imamul mufassirin, iaitu Ibnu Jarir at-Thabari:



“Allah Ta’ala berfirman kepada Nabinya Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam: Bersabarlah engkau wahai Muhammad, bersama sahabat-sahabatmu yang menyeru Tuhannya (berzikir/doa), di waktu pagi dan senja, iaitu dengan mengingat-Nya dengan ucapan tasbih, tahmid, tahlil, doa, dan amal-amal soleh lainnya, seperti: solat-solat fardhu dan lainnya. Mereka mengharapkan dengan perbuatan itu Wajah-Nya (keredhaan-Nya) dan tidak mengharapkan kepentingan dunia apapun.” (Jami’ al-Bayan fi Ta’wil Aay al-Qur’an, oleh Ibnu Jarir at-Thabari, 15/234)



Dan pada kesempatan lain, beliau berkata: “Berdoa (menyeru) kepada Allah, boleh secara mengagungkan dan memuji Allah dalam bentuk ucapan dan perkataan. Dan doa juga dapat dizahirkan melalui ibadah kepada-Nya dengan anggota badan, sama ada itu ibadah yang diwajibkan ke atas mereka atau lainnya yang merupakan amalan sunnah yang menjadikan-Nya redha, dan pelakunya dikatakan telah beribadah kepada-Nya dengan amalan itu. Dan sangat dimungkinkan bahawa mereka (orang-orang yang dikatakan menyeru kepada Allah pada waktu pagi dan senja) melakukan semua jenis ibadah ini, sehingga Allah mensifatkan mereka dengan sebutan: orang-orang yang menyeru Allah pada waktu pagi dan senja, kerana Allah telah menyebut al-Ibadah dengan sebutan doa, Allah Ta’ala berfirman:


“Dan Tuhanmu berfirman: Berdo’alah kepada-Ku, niscaya Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepada-Ku, akan masuk neraka Jahnnam dalam keadaan hina dina.” (Ghafir/al-Mukmin, 40: 60)



Inilah maksud dari kata doa dalam ayat 28 surah al-Kahfi, dengan demikian bila kita gabungkan pemahaman ini dengan pemahaman kata zikir, nescaya akan menjadi jelas bahawa tidak sedikit pun ada dalil atau isyarat yang menunjukkan akan disyari’atkannya zikir berjamaah ayat 28 dari surah al-Kahfi ini.



Apalagi bila kita menggabungkan pemahaman ini dengan pemahaman terhadap hadis berikut:


“Dari Abi Sa’id ia berkata: Suatu ketika Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam beri’itikaf di masjid. Beliau mendengar orang-orang saling mengeraskan suara bacaan mereka, maka beliau membuka tabir dan bersabda: Ketahuilah bahawa kalian semua sedang bermunajat kepada Tuhan, maka janganlah sebahagian kalian mengganggu sebagian yang lain, dan janganlah kalian saling mengeraskan dalam bacaan kalian, atau beliau bersabda: (Janganlah saling mengeraskan) dalam solat kalian.” (Riwayat Abu Dawud, 2/57, hadis no: 1332)




Fatwa Para Ulama’ Dalam Persoalan Zikir Berjamaah



1. Imam asy-Syafi’i berkata:


“Saya berpendapat bahawa seorang imam dan makmumnya hendaknya mereka berzikir kepada Allah sebaik selesai solat, dan hendaklah mereka merendahkan (memperlahankan) zikirnya, kecuali bagi seorang imam yang ingin agar para makmumnya belajar (zikir) darinya, maka ia boleh mengeraskan zikirnya, hingga bila ia merasa bahawa mereka telah cukup belajar (telah memahami), ia kembali merendahkannya, kerana Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya.’ (al-Isra’: 110). Maksud kata الصلاة (wallahu Ta’ala a’alam) ialah: doa. Laa Tajhar: Jangan engkau mengangkat suaramu, wa laa tukhofit: Jangan engkau rendahkan hingga engkau sendiri tidak mendengarnya.“ (al-Umm, oleh Imam asy-Syafi’i, 1/127).



2. Imam Yahya bin Abil Khair al-‘Imrani asy-Syafi’i, 


setelah menyebutkan pelbagai riwayat tentang zikir-zikir Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, ia menyimpulkan:


“Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam berdoa dan mengeraskan suaranya, ditafsiri bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam melakukan hal itu agar para sahabatnya belajar dari beliau. Dan riwayat perawi yang menyebutkan bahawa beliau (setelah selesai solat) diam sejenak kemudian berdiri dan pergi, ditafsiri bahawa beliau berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga beliau hanya memperdengarkan untuk dirinya sendiri.” (al-Bayan, oleh Yahya bin Abil Khair al-‘Imrani, 2/250).



3. Imam an-Nawawi berkata:


“Ulama’ mazhab Syafi’i (ashhabunaa), berkata: Zikir dan doa setelah solat, disunnahkan untuk dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali bila ia seorang imam dan hendak mengajari orang-orang (makmum), maka dibolehkan untuk mengeraskan suaranya, agar mereka belajar darinya, dan bila dirasa mereka telah cukup belajar dan sudah tahu, maka hendaklah ia kembali merendahkannya.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, oleh Imam an-Nawawi, 3/469)


Dari kedua penjelasan ini jelaslah bahawa zikir itu dilakukan sendiri-sendiri, sehingga yang sunnah ialah dengan cara merendahkan suara, kecuali bila si imam merasa bahawa jama’ahnya belum boleh berzikir, maka ia dianjurkan untuk mengajari mereka dengan cara mengeraskan suaranya. Dan bila dirasa mereka telah cukup belajar, ia kembali merendahkan suaranya. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa berzikir dengan satu suara dan ditekongkan oleh seorang ketua/imam, sama ada itu seorang imam solat atau selainnya maka ia tetap tidak sesuai dengan sunnah.




Zikir Secara Berjamaah Adalah Bida’ah



Imam Ibnu Katsir telah menceritakan bahawa, “Khalifah Makmun telah menulis kepada Ishak bin Ibrahim yang merupakan Timbalan Gabenur Baghdad pada ketika itu supaya mengarahkan orang ramai bertakbir dengan suara yang lantang setiap sebaik sahaja selesai solat fardhu... Dialah orang pertama yang memulakan perkara tersebut di Masjid Jamek Baghdad dan al-Rashafah. Selepas selesai solat, mereka akan bangun dan bertakbir tiga kali.” Menurut Ibnu Katsir yang seterusnya, “Inilah bid’ah yang direka cipta oleh Makmun tanpa ada sebarang sanad atau dalil yang sahih, ianya tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelumnya.” (Rujuk: al-Bidayah wan Nihayah, jil. 10, m/s. 194-195)



Amalan berzikir secara berjama’ah ini juga berkembang pada zaman Makmun disebabkan munculnya golongan-golongan Sufi dan Rafidhah iaitu golongan Syi’ah yang melampau. (Rujuk: al-Ahwa’ wa al-Firaq wa al-Bida’, jil. 2, m/s. 36)



.
Sunnahkah Amalan Berdoa Secara Berjamaah Selepas Solat


Sheikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah menjelaskan, “Mengenai perbuatan imam dan makmum yang berdoa bersam-sama (berjamaah) selepas solat, tidak seorang pun menukilkan perbuatan itu daripada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.” (al-Faataawa al-Kubra, 1/171)



Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan, “Berdoa selepas salam sama ada menghadap ke arah kiblat atau menghadap kepada makmum, semua itu tidak diajar oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak pernah diriwayatkan daripada baginda sama ada dengan sanad yang sahih atau hasan.” ... “Secara umumnya, doa itu sendiri dilakukan ketika solat bererti munajat kepada Allah. Oleh itu, mengapa seseorang tidak berdoa ketika sedang bermunajat kepada Tuhannya. Sedangkan, seseorang hamba itu paling hampir dengan Tuhannya adalah ketika solat.” (Za’adul Ma’ad, 1/249-250)



Imam Asy-Syatibi rahimahullah menyatakan, “Berdoa secara berjamaah tidak pernah dilakukan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam. Ia juga tidak pernah diucap atau ditaqrirkan (dipersetujui) oleh baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam.” (al-I’tishom, 1/295)



Beberapa Tempat Yang Disyari’atkan Doa/Zikir Dibaca Dengan Kuat (Jahr)


1 - Doa Qunut (Berjama'ah)


2 - Doa khatib yang baca khutbah


3 - Takbir Raya


4 - Talbiyah haji


5 - Doa solat Istisqa’ (Solat/doa minta diturunkan hujan) (Berjama'ah)


6 - Ketika meng-Amiinkan bacaan al-Fatihah di dalam Solat. (Berjama'ah)




Di Antara Tangisan Dan Menyembunyikan Zikir


“Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Tuhannya, laki-laki yang hatinya senantiasa tekait dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah di atas dasar cinta ini, seorang laki-laki yang dirayu oleh wanita bangsawan (memiliki kedudukan sosial) dan berparas cantik, kemudian ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, orang yang bersedekah dengan suatu sedekah yang ia sembunyikan, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di kesunyian, kemudian berlinanglah kedua matanya.” (Riwayat Bukhari, 1/234, hadis no: 629. Dan Muslim, 2/705, hadis no: 1031)



Allah Ta’ala berfirman:

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling bagus (iaitu al-Qur’an), sebuah kitab yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan-nya kemudian menjadi luluh kulit dan kalbunya menuju kepada zikir (mengingat) Allah.” (az-Zumar, 39: 23)



Ketika menafsirkan ayat ini, Ibnu Katsir asy-Syafi’i menyebutkan kriteria orang-orang Abraar (yang baik), di antaranya adalah:


“Kriteria ketiga: Mereka sentiasa menjaga adab (kesopanan) tatkala mendengarkan ayat-ayat al-Qur’an, sebagaimana dahulu yang dilakukan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum tatkala mendengar bacaan al-Qur’an dari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, kulit mereka tergetar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah. Mereka tidaklah berteriak seakan histeria, dan menangis dengan dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan, kesopanan dan rasa takut, yang tidak akan ada orang yang dapat menyamai mereka dalam hal itu. Oleh kerana itu mereka meraih pujian di dunia dan akhirat dari Tuhan Yang Maha Tinggi.” (Tafsir al-Qur’an al ‘Adzim, oleh Ibnu Katsir, 4/51).



Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabatnya, mereka tergentar oleh bacaan al-Qur’an, air mata mereka berlinang, hati mereka dipenuhi oleh rasa takut kepada Allah. Mereka menangis kerana kalbunya dipenuhi oleh keimanan, bukan kerana hanyut oleh suasana dan intonasi komando. Renungkanlah beberapa riwayat berikut ini:



“Dari sahabat Abdullah bin asy-Syikhkhir rodiallahu ‘anhu ia berkata: Aku pernah menyaksikan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sedang solat, dan di dadanya terdengar suara seakan suara periuk yang mendidih.” (Riwayat Ahmad 4/25. Abu Daud, 1/390, hadis no: 904. An-Nasa’i, 3/13, hadis no: 1214. Ibnu Khuzaimah, 2/53, hadis no: 900. Ibnu Hibban, 2/439, hadis no: 665. Dan al-Hakim, 1/396, hadis no: 971)



Ini menunjukkan bahawa beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam menahan tangisnya, sehingga yang terdengar hanya suara esak-kan di dada beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam, dan tidaklah sehingga menjadi tangisan dengan suara keras.




Dalam riwayat lain:

“Dari sahabat Abdullah bin Mas’ud ia berkata: Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadaku: Bacakan untukku al-Qur’an. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, apakah layak aku membacanya untukmu, sedangkan al-Qur’an kepadamu lah diturunkan?! Beliau menjawab: Ya. Maka akupun membaca surah an-Nisa’ hingga sampai ke ayat: ‘Maka, bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti) apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).’ (an-Nisa’, 4: 41). Beliau bersabda: ‘Sekarang berhentilah (cukup)!’ Dan ternyata kedua mata beliau telah berlinangkan air mata.” (Riwayat Bukhari, 4/1925, hadis no: 4763)



Beliau hanya menitiskan air mata, berbanding dengan tangisan kebanyakan orang pada zaman sekarang bila mendengar ceramah atau nasihat seorang penceramah, mereka menangis meraung-raung, sehingga masjid menjadi riuh-rendah kerana suara tangisan orang-orang yang menghadiri ceramah itu. (Situasi ini adalah merujuk pada sebahagian kelompok yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai golongan pengamal sufi dan tasawuf) Dan renungkan pula kisah berikut ini:


“Dari sahabat ‘Irbadh bin as-Sariyyah rodiallahu ‘anhu ia berkata: Pada suatu hari Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam solat berjamaah bersama kami, kemudian beliau menghadap kepada kami, lalu beliau memberi kami nasihat dengan nasihat yang sangat mengesankan, sehingga air mata kami berlinang, dan hati kami tergetar……”



Para sahabat hanya merasakan takut dan tergetar hatinya, dan mata mereka berlinang. Berbeza halnya dengan kebanyakan orang pada zaman sekarang, yang menangis meraung-raung. Subhanallah, apakah keimanan mereka lebih tinggi dibanding keimanan para sahabat?! Mustahil.



Ataukah penceramahnya lebih hebat, pandai dan tulus bila dibandingkan dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam? Na’uzubillahi min dzalika.



Asma’ binti Abi Bakar tatkala mendengar cerita bahawa ada sekelompok orang yang bila mendengar bacan al-Qur’an, mereka terjatuh pengsan, beliau malah membaca ta’awudz, pertanda beliau tidak menyukai hal ini, sebagaimana disebutkan dalam riwayat berikut:


“Abdullah bin Urwah bin al-Zubair, ia berkata: Aku bertanya kepada nenekku Asma’: Bagaimana dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bila mereka membaca al-Qur’an? Ia menjawab: Dahulu mereka sebagaimana yang disifatkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla, berlinang air matanya dan bergetar kulitnya. Akupun berkata: Sesungguhnya di sini ada beberapa orang yang bila mendengarkan bacaan al-Qur’an, mereka terjatuh pengsan: Nenekku berkata: Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan.” (Riwayat Sa’id bin Manshur 2/330, no: 95. Dan al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Iman, 2/365, no: 2062)



Bila ada yang bertanya: Kalau demikian, bagaimana caranya untuk membezakan orang yang benar-benar menangis kerana takut kepada Allah dengan orang yang menangis kerana hanyut oleh suasana dan intonasi suara penceramah?


Untuk menjawab pertanyaan ini, perhatikanlah jawaban seorang tabi’in berikut ini:


“Dari ‘Imran bin Abdul Aziz, ia berkata: Aku pernah mendengarkan Muhammad bin Sirin ditanya tentang orang yang mendengar bacaan al-Qur’an kemudian dia jatuh pengsan. Ia menjawab: untuk membuktikan kebenaran mereka, biarkan mereka duduk di atas tembok pagar, kemudian mereka diperdengarkan bacaan al-Qur’an dari awal hingga selesai, bila mereka tetap terjatuh, maka mereka benar-benar seperti apa yang mereka katakan (benar-benar khusyu’).” (Riwayat Abu Nu’aim , dalam kitabnya Hilyah al-Auliya’, 2/265).



Metode Muhammad bin Sirin ini adalah metode yang paling tepat untuk membuktikan kebenaran dan ketulusan tangis orang-orang yang menangis di saat berzikir dan mengaminkan do’a orang lain.



Dan menurut hemat saya, yang perlu ditanya dan direnungkan lebih mendalam dan pada setiap saat ialah: Mengapa masyarakat kita sekarang menangisnya hanya pada saat mendengar ceramah seseorang atau mengaminkan do’a seseorang, sedangkan tatkala mendengar bacaan al-Qur’an atau membaca al-Qur’an tidak ada tangisan? Apalagi tangisan, sebutir air mata saja tidak ada, terlebih-lebih bila ia membaca al-Qur’an di kesunyian, dan tidak ada yang mendengar bacaannya?!


Apakah ceramah, nasihat, dan do’a penceramah itu lebih fasih, hebat dan tulus bila dibandingkan dengan bacaan al-Qur’an?



Saya ingin mengajak pembaca yang budiman untuk jujur pada diri sendiri, dan bertanya kepada hati nurani masing-masing: Mengapa bila mendengar orang yang lembut suaranya dan merdu irama bacaannya kita merasa lebih khusyu’, sedangkan bila kita mendengar orang yang tidak menawan suaranya dan kurang enak iramanya, kita kurang khusyu’ atau bahkan tidak khusyu’?! Apakah al-Qur’an-nya berbeza, ataukah hati kita lebih terpengaruh oleh suara seseorang daripada makna al-Qur’an?



Marilah kita jujur kepada diri sendiri, sehingga kita tidak mendustai hati nurani kita, dan (na’uzubillah) tidak mendustai Allah.



Dan contoh nyata, mari kita renungkan kisah berikut ini:


“Dari Nuh bin Qais, ia menyatakan: Antaraku dan saudaraku Khalid dengan ‘Amr bin ‘Ubaid (tokoh golongan Mu’tazilah – pent.) terjalin persahabatan, sehingga ia sering berkunjung ke rumah kami. Dan bila ia mendirikan solat di masjid, ia berdiri seperti sebatang kayu, maka akupun berkata kepada saudaraku Khalid: Tidakkah engkau lihat ‘Amr, betapa khusyu’nya dan betapa rajinnya ia beribadah?! Maka saudaraku Khalid menjawab: Apakah engkau tidak pernah melihatnya bila ia solat di rumah, bagaimanakah ia mendirikan solat?! Maka akupun melihatnya tatkala ia solat di rumah, ternyata ia menoleh ke kanan dan ke kiri.” (Lihat kisah ini di kitab ad-Dhu’afa’ oleh al-‘Uqaili, dan 3/285, Mizan Al I’itidal oleh az-Zahabi 5/333).



Sesungguhnya semua ini kita akan dipertanggung jawabkan kelak di hadapan Allah subhanahu wa Ta’ala, di hari Kiamat. Pada saat itu kita tidak akan dapat berpura-pura di hadapan-Nya, sebagaimana digambarkan dalam firman Allah Ta’ala berikut ini:


“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka lakukan.” (Yaasiin, 36: 65)



Menangis ketika berzikir adalah salah satu sifat terpuji, asalkan tangisannya yang tersebut adalah benar-benar lahir dari ketulusan kerana Allah, oleh kerana itu dalam banyak dalil disebutkan bahawa yang terpuji ialah orang yang berzikir lalu menangis, sedangkan ia dalam kesunyian, bukan di dalam keramaian.




Kesimpulan:



1 – Berzikir adalah suatu yang disyari’atkan dan merupakan amalan yang tinggi nilainya di sisi Allah.


2 – Berzikir tidak terhad dengan tasbih, tahmid, tahlil, atau takbir semata-mata. Tetapi maksud kalimat zikir itu sendiri boleh membawa pengertian/penisbahan kepada majlis ilmu, kuliah ilmu, doa, bacaan al-Qur’an, perbincangan tentang agama, dan solat. Ia juga merangkumi segala amal yang merupakan perbuatan taqarrub mengingati Allah yang berupa ketaatan.


3 – Kalimat/lafaz zikir yang di-amalkan dan dipraktikkan mestilah tsabit dan sahih dari saranan wahyu iaitu sama ada dari dalil al-Qur’an mahupun sunnah. Dan lafaz-lafaz zikir tidaklah boleh direkacipta menurut kehendak hawa nafsu.


4 – Berzikir yang betul adalah dengan cara merendahkan suara dan tidak menguatkannya, cukup untuk diri sendiri mendengarnya. Di samping hati yang ikhlas dan tulus kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.


5 – Berzikir secara berjamaah bukanlah suatu sunnah tetapi adalah merupakan bida’ah iaitu suatu ritual dan amalan yang seakan-akan ibadah yang diada-adakan tanpa berpandukan dalil. Juga tidak tsabit kepada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam terhadap amalan berdoa secara berjamaah sebaik selesai solat.


6 – Tiada dalilnya yang menunjukkan adanya zikir-zikir yang dilafazkan dalam bentuk berlagu (nyaring) dan berirama atau dengan intonasi-intonasi yang tertentu.




Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan