Popular Posts

Isnin, 5 September 2016

KESALAHAN LAZIM DALAM SOLAT




Begitu banyak sekali kesalahan yang dilakukan oleh orang ramai setelah solat fardhu. Tetapi, kebanyakan mereka tidak menyedari akan perbuatan mereka itu adalah suatu yang salah dan tidak bersandarkan kepada dalil-dalil yang tsabit. Iaitu di mana mereka beramal tanpa mengikuti petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam yang shahih.


Di antara kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan adalah:

1 – Menyapu muka sebaik setelah salam.[01]


2 – Berdoa dan berzikir secara berjamaah dengan dipimpin oleh imam solat.[02]


3 – Berzikir dengan bacaan yang tidak ada dalilnya, sama ada dari sudut lafaz atau pun bilangannya. Malah sebahagian dari mereka mengamalkan zikir berdasarkan hadis-hadis yang dhaif (lemah) dan maudhu’ (palsu).


Contoh:

- Selepas salam, mereka melafazkan alhamdulillah.

- Membaca surah al-Fatihah, dan

- Membaca beberapa ayat-ayat terakhir dari surah al-Hasyr serta selainnya.



4 – Mengira zikir yang dibaca dengan menggunakan biji tasbih atau yang seumpama dengannya. Tidak ada satu pun hadis yang shahih berkenaan perbuatan mengira bacaan zikir dengan menggunakan biji-bijian tasbih. Malahan, sebahagian hadis berkenaan dengannya adalah maudhu’ (palsu).[03] Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan, “Berzikir dengan biji-biji tasbih adalah bid’ah.”[04]


Syaikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah menjelaskan bahawa berzikir dengan menggunakan biji-biji tasbih adalah menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, Nasrani, Budha, dan perbuatan tersebut adalah bid’ah dholalah.[05]


Tatacara yang disunnahkan di dalam melaksanakan zikir adalah dengan menggunakan jari-jari tangan:

“Dari Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata: “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mengira bacaan tasbih (dengan jari-jari) tangan kanannya”.”[06]


Dalam persoalan ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri memerintahkan Sahabat wanita supaya mengira “Subhanallah, alhamdulillah, dan mensucikan Allah dengan jari-jari, kerana jari-jari tersebut akan ditanya dan diminta untuk berbicara (pada hari kiamat).[07]



5 – Berzikir dengan suara keras (kuat/nyaring) dan beramai-ramai (secara berjamaah).

Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kita supaya berzikir dengan suara yang tidak keras (dengan perlahan). (Rujuk surah al-A’raaf, 7: ayat 55 dan 205, lihat Tafsir Ibni Katsir berkenaan ayat tersebut).


Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam melarang berzikir dengan suara yang keras sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, Muslim, dan selainnya.


Imam asy-Syafi’i rahimahullah menganjurkan supaya imam atau makmum tidak mengeraskan bacaan zikir.[08]


6 – Membiasakan berdoa di setiap selepas solat fardhu dan dengan mengangkat (menadah) tangan. Perbuatan ini sebenarnya tiada contohnya dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam.[09]


7 – Saling bersalam-salaman dengan para jama’ah solat sebaik sahaja selesai solat fardhu berjama’ah. Padahal, tidak ada pun contoh dari mana-mana para Sahabat atau pun Salafush Soleh radhiyallahu ‘anhum yang melakukan amalan tersebut. Jika sekiranya perbuatan tersebut adalah baik, maka sudah pasti riwayatnya akan sampai kepada kita, dan ulama akan menukil serta menyampaikannya kepada kita dengan sandaran yang shahih.


Para ulama menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah bid’ah yang diada-adakan di dalam agama.[10]


Perbuatan atau amalan berjabat tangan adalah dianjurkan, akan tetapi menetapkannya sebagai suatu amalan di setiap kali selesai solat fardhu adalah tidak ada contoh mahu pun sandarannya dari sunnah. 



Wallahu a’lam




Rujukan:


[01] Lihat Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah wal Maudhu’at (no. 660) oleh syaikh al-Albani.



[02] Al-I’tisham, imam asy-Syatibi (m/s. 455-456), tahqiq syaikh Salim al-Hilali, Fatawa al-Lajnah ad-Da’imah (7/104-105), Fatawa syaikh bin Baaz (11/188-189), as-Sunan wal Mubtada’aat (m/s. 70). “Perbuatan ini adalah bid’ah.” (al-Qaulul Mubin fi Akhtha’il Musollin (m/s. 304-305)).



[03] Lihat Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah wal Maudhu’at (no. 83 dan 1002)



[04] Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah (1/185).



[05] As-Subhah Tarikhuha wa Hukmuha (m/s. 101), cet. 1, Darul ‘Ashimah 1419H – syaikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid.



[06] Hadis Riwayat Abu Daud (no. 1502) dan at-Tirmidzi (no. 3486), Shahih at-Tirmidzi (3/146, no. 2714), Shahih Abi Daud (1/280, no. 1330), al-Hakim (1/547), dan al-Baihaqi (2/253). Hadis ini Shahih.



[07] Hadis Riwayat Abu Daud (no. 1501), at-Tirmidzi (no. 3486), dan al-Hakim (1/547). Dihasankan oleh imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-‘Asqalani.



[08] Lihat kitab Fathul Bari (2/326) dan al-Qaulul Mubin (m/s. 305)



[09] Lihat Zaadul Ma’ad (1/257) tahqiq syaikh Syu’aib al-Arnauth. Majmu’ al-Fatawa, syaikh bin Baaz (11/167-168).




[10] Al-Qaulul Mubin fi Akhtha’il Musollin (m/s. 293-294) – syaikh Masyhur Hasan Salman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan