Popular Posts

Jumaat, 23 September 2016

JANGAN PERKECILKAN AGAMA





Di kalangan umat Islam ada yang terkeliru dengan falsafah pembahagian agama kepada ajaran isi dan kulit. Berpegang dengan pembahagian ini, mereka kemudiannya mula menentukan manakah yang dikatakan isi dan yang manakah kulit mengikut kecenderungan nafsu mereka sendiri. Falsafah seumpama begitu popular di kalangan penganut tasawuf sesat yang mendefinisikan ‘ajaran isi’ sebagai ilmu hakikat yang hanya boleh dicapai oleh individu tertentu dari kalangan mereka, sedangkan ‘ajaran kulit’ pula mereka tafsirkannya sebagai ilmu syariat yang dipelajari oleh kebanyakan orang. Disebabkan falsafah ini, mereka memperlekehkan syariat Islam dan melihat para ulama syariat sebagai ‘ulama kulit’, manakala merekalah ‘ulama isi’ yang sebenar.



Kecelakaan falsafah ini tidak terhenti setakat memperlekehkan ajaran agama sahaja, malah ia akhirnya mengheret mereka sampai ke tahap melucutkan segala hukum taklif dengan dakwaan kononnya orang yang sibuk mempelajari ilmu hakikat atau yang telah mencapai maqam tertentu dalam hiraki ilmu tersebut, tidak lagi terikat dengan sebarang hokum hakam. Dengan perkataan lain, mereka tidak perlu lagi menunaikan solat, puasa dan zakat, sebagaimana mereka juga boleh melakukan zina, minum arak, dan judi.




Kesan daripada falsafah dualisme (isi dan kulit) ini telah terbawa-bawa ke dalam pemikiran umat Islam hingga menyebabkan mereka memperkecilkan sebahagian daripada hukum hakam agama serta mengabaikan banyak sunnah Nabi S.A.W., tetapi dalam masa yang sama mereka menghidupkan pula banyak amalan yang tidak ada dalam sunnah.




Sikap memperlekehkan ajaran agama terutamanya dengan alasan ‘ini perkara kecil dan furu’ (cabang), tidak perlu nak bincang’ menyebabkan mereka tidak lagi sensitif terhadap segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling mereka dan tidak lagi menegur kemungkaran walaupun dengan hati, sedangkan dengan hati itu adalah fardhu ‘ain yang jika diabaikan akan menafikan kewujudan iman dalam diri mereka. Akhirnya, dengan prestasi keimanan yang merudum ke tahap sifar, maka jati diri mereka juga hilang dan pegangan agama mereka juga terlucut.




Seterusnya bila ada pihak yang cuba menjelaskan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara, maka pihak yang menolak kebaikan dan mempertahankan keburukan akan berpaut kepada ‘hujah kedegilan (hujah emosi)’ sebagai senjata terakhir mereka, dengan berkata:



“itu perkara kecil sahaja, sekarang bukan masanya untuk berbincang perkara titik bengik seperti itu, tetapi masa untuk memikirkan perkara yang lebih besar, berkaitan pembangunan, perpaduan dan kasih sayang. Tak usahlah diganggu keharmonian hidup masyarakat dengan perkara remeh temeh seperti itu, masih ada banyak lagi perkara besar yang perlu diutamakan.”



Kata-kata seumpama ini dilihat bercanggah dengan prinsip beragama dalam Islam yang mana merangkumi seluruh aspek kehidupan, baik dari segi akidah, syariat, mahupun akhlak. Menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat tidak boleh dianggap sebagai mengganggu keharmonian hidup mereka. Ini kerana yang menimbulkan fitnah bukannya ajaran agama, tetapi kedegilan pihak yang mempertahankan kebatilan dalam kejahilan dan kesombongan tanpa hujjah syariat. Mereka segala menolak kebenaran walaupun setelah ditegakkan hujah kepada mereka. Orang-orang yang menerima Islam sebagai agamanya mestilah mematuhi segala ajarannya dalam segenap aspek, tanpa membeza dan memperkecilkan mana-mana bahagiannya. Allah subhanallahu ta’ala berfirman:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ



“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.”(2: 208)



Umat islam dilarang daripada memperkecilkan mana-mana amalan yang telah dijelaskan oleh Islam sebagai baik, meskipun pada pandangan mereka amalan itu hanyalah perkara kecil sahaja. Dalam hal ini Nabi S.A.W. bersabda (maksudnya):



“Janganlah kamu memperkecilkan (nilai) perkara kebaikan itu sedikitpun, meskipun (dalam hal) bertemu saudara (seagama) ‘dengan wajah manis’.” (Sahih Muslim, Hadis no.: 2626)



Sebagaimana umat Islam dilarang daripada memperkecilkan mana-mana perkara kebaikan, mereka juga dilarang daripada memperkecilkan mana-mana amalan yang telah dijelaskan oleh Islam sebagai perkara kejahatan. Allah subhanallahu wa ta’ala berfirman:



إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ



“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu Dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.” (24: 15)



Dalam ayat ini, Allah Subhanallahu wa ta’ala menemplak sikap golongan yang memandang ringan terhadap kesalahan berbohong kerana kesalahan itu pada hakikatnya dinilai di sisi Allah subhanallahu wa ta’ala sebagai amat besar. Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W. bersabda (maksudnya):



“Bila aku larang kamu daripada melakukan sesuatu perkara, maka hendaklah kamu menjauhinya.” (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 6858)



Dalam hadis ini, Baginda S.A.W. menyuruh umatnya supaya menjauhi segala perkara yang dilarang olehnya tanpa membezakan sama ada ianya perkara kecil atau besar. Dalam hadis yang lain, Baginda S.A.W mengingatkan (maksudnya):



“Takutlah kamu akan (siksaan api) neraka walaupun kerana (dosa kesalahan sekadar) sekerat buah tamar.”(Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 1317, 1351, & 3400)



Dalam hadis lain, Baginda S.A.W. pernah mengajar zikir sebelum tidur kepada para sahabat r.a. dengan lafaz (maksudnya):



“Ya Allah! Aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepadaMu, aku menghadapkan wajahku kepadaMu, aku menyandarkan belakangku kepadaMu. Tiada tempat perlindungan dan penyelamat daripada (ancamanMu) kecuali kepadaMu. Aku beriman dengan Kitab yang telah Engkau turunkan dan juga dengan Nabi Engkau yang telah Engkau utuskan.” (Sahih al-Bukhari (bersama Fath al-Bari – Syarah Sahih Bukhari oleh ibn Hajar, 1:357, no.: 247)



Kemudiannya lafaz zikir ini telah dihafaz dan dibaca oleh al-Bara’ Ibn Hazib r.a., sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi S.A.W., kecuali perkataan (kalimah) ‘wa binabiyyika’ yang membawa maksud ‘dan juga dengan Nabi Engkau’ beliau tukarkan dengan kalimah ‘wa birasulika’ yang membawa maksud ‘dan juga dengan Rasul Engkau’. Mendengarkan bacaan al-Bara’ itu, Rasulullah S.A.W. pantas menegur serta melarang beliau daripada menukar perkataan tersebut.(Sahih al-Bukhari Bukhari (bersama Fath al-Bari – Syarah Sahih Bukhari oleh ibn Hajar, 1:357, no.: 247)



Jika ditakrifkan secara logik, apa yang dilakukan oleh al-Bara’ hanyalah perkara kecil, bahkan dari segi maknanya perkataan rasul Nampak lebih mulia dan lebih terhormat berbanding perkataan nabi kerana setiap yang menjadi Rasul adalah nabi sedangkan bukan semua yang menjadi nabi itu Rasul. Akan tetapi al-Bara’ akur dengan teguran Nabi S.A.W. dan langsung tidak mempertikaikannya sebagai perkara remeh temeh. Teguran dan larangan Baginda S.A.W. daripada menukar perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa mengekalkan perkataan asal adalah suatu ajaran agama yang tidak boleh dipandang ringan. Kalau dalam hal penukaran satu kalimah daripada satu lafaz zikir pun diambil berat oleh Nabi S.A.W., maka dalam hal-hal yang berkaitan hokum halal dan haram atau sunnah dan bukan sunnah, tentulah Baginda lebih prihatin terhadapnya.



Umat Islam wajib menghayati seluruh ajaran agamanya kerana ajaran itu diturunkan oleh Allah Subhanallahu wa ta’ala bagi membina kehidupan mereka di atas muka bumi, supaya mereka mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat. Dalam konteks ini, Sheikh Muhammad Syaqrah berkata (maksudnya):



“Dan tidaklah tersembunyi dari pengetahuan orang berakal bahawa setiap suruhan dan larangan agama ini (Islam) mengandungi peranan yang berkesan dalam pembinaan insan, sama ada ia dari jenis perkara sunat, harus, atau wajib, dan sama ada ia dari jenis perkara makruh atau haram. Semua hukum hakam ini adalah cabang-cabang keimanan (seperti) yang telah disabadakan oleh Nabi S.A.W. (maksudnya):



“Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih, yang paling baik ialah ungkapan La ilaha Illa Allah dan yang paling rendah ialah membuang perkara mudarat dari jalan, manakala sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman.” (Sahih Muslim, Hadis no.: 35)



Kekurangan satu cabang darinya bermakna kekurangan sebahagian daripada iman itu sendiri, manakala keiltizaman seorang muslim dengan satu cabang pula bermakna pertambahan pada keimanannya. Kerana iman itu akan bertambah dan berkurangan dengan (sebab) perkataan dan perbuatan, dan ia adalah mazhab (pendapat) majoriti umat ini. (Muhammad Ibrahim Syaqrah, Tanwir al-Afham, hal: 36-44, dalam ‘Ilm Usul al-Bida’, hal: 254)



Menyedari kepentingan menghayati seluruh ajaran Islam, maka para sahabat tidak memandang ringan terhadap sebarang perkara keagamaan meskipun perkara itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai perkara kecil. Bahkan kerana bimbang akan terlanjur melakukan perkara haram mereka mengambil langkah berwaspada dengan meninggalkan sebahagian daripada perkara harus (syubhat).



Dalam sebuah atsar yang sahih (Riwayat yang tsabit kepada sahabat) yang diriwayatkan oleh ad-Darimi, Abu Musa al-Asy’ari r.a. memberitahu Ibn Mas’ud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W. dan juga para sahabat Baginda. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mas’ud menuju ke tempat halaqah zikir itu lantas menegur mereka dengan katanya (maksudnya):



“Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para sahabat r.a. masih ramai, baju Baginda inipun belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di Tangan-Nya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”



Mendengar kata-kata Ibn Mas’ud ini, mereka menjawab (maksudnya):



“Demi Allah wahai Abu ‘Abd Rahman! Tujuan kami hanya untuk kebaikan.”



Mendengar jawaban mereka itu, lalu Ibn Mas’ud berkata (maksudnya):



“Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya). Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkong mereka.” (Sahih al-Bukhari, no.: 3166) Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu.”



Menjelaskan kata-kata Ibn Mas’ud ini, ‘Amr Ibn Salamah (tabi’en yang thiqah – anak murid Ibn Mas’ud) berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan an-Nahrawan.” (Sunan ad-Darimi, lihat: Islah as-Sajid oleh al-Albani, hal: 11)



Peristiwa yang berlaku pada zaman sahabat ini mengandungi banyak pengajaran yang harus dihayati oleh umat Islam. Antara pengajaran itu ialah:



Pertama:



Bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai dengan menggunakan biji-biji batu adalah suatu bid’ah (tokoh tambah yang sengaja dilakukan dalam agama (ibdat) yang tiada dalam sunnah mahupun Qur’an) yang menyalahi Sunnah Nabi S.A.W. dan para sahabat.



Kedua:



Kata-kata Ibn Mas’ud: “Berapa ramai orang yang betujuan baik tetapi tidak betul (caranya)”, sebagai jawapan terhadap alasan yang mereka berikan, mengukuhkan lagi dasar penolakan Islam terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’.



Ketiga:



Kata-kata ‘Amr Ibn Salamah bahawa beliau melihat semua lelaki yang mengadakan halaqah itu menyertai puak Khawarij untuk memrangi para sahabat menunjukkan bahawa sikap mengambil mudah terhadap perkara bid’ah akhirnya mengheret pengamalnya kea rah bid’ah yang lebih bahaya dan lebih besar.



Keempat:



Orang yang menegur dan menjelaskan perkara bid’ah tidak sekali-kali akan terpengaruh dengan pemikiran puak khawarij, sebaliknya orang yang mengamalkan bid’ah itulah sebenarnya yang akan terheret ke dalam pemikiran puak berkenaan.



Kelima:



Kepentingan menjaga keharmonian masyarakat tidak harus dijadikan alasan untuk menangguhkan penjelasan terhadap sesuatu amalan bid’ah, asalkan penjelasan itu disampaikan melalui cara dan saluran yang betul.



Keenam:



Kekerdilan sesuatu perkara agama pada pandangan sesetengah pihak tidak harus dijadikan alasan untuk memandang remeh perkara tersebut.



Perkara bida’ah adalah antara perkara yang diberi perhatian serius oleh agama Islam. Nabi S.A.W. telah banyak memberi peringatan tegas kepada umatnya supaya menjauhi semua perkara tersebut dan peringatan Baginda itu tentulah mengandungi hikmah-hikmah yang tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Menjelaskan hikmah di sebalik peringatan Nabi S.A.W. ini, al-Hafiz Ibn Hajar berkata (maksudnya):



“Dan sebab (bagi) peringatan ini ialah (kerana) sesungguhnya (orang) yang mengadakan bid’ah itu kadangkala mengambil mudah dengannya kerana keremehan perkara itu pada peringkat awalnya, sedangkan dia tidak perasan kerosakan yang akan berlaku akibat darinya.” (Al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 13: 302)



Dalam konteks ini juga, Imam al-Barbahari berkata (maksudnya):



“Dan awasilah perkara-perkara bid’ah kecil kerana ia akan berulang sehingga menjadi besar. Demikianlah setiap (amalan) bid’ah yang diada-adakan di kalangan umat ini, pada mulanya adalah kecil dan mirip kepada kebenaran sehingga orang yang memasukinya (melakukannya) tertipu dengannya. Kemudian dia tidak dapat keluar lagi darinya lalu ia membesar dan menjadi satu agama yang dianuti sehingga menyalahi jalan yang lurus yang akhirnya terkeluar dari ketulenan ajaran Islam yang sebenar.” (al-Barbahari, syarah as-Sunnah, dalam ‘Ilm Usul al-Bida’, hal: 247)



Justeru bagi memantapkan jati diri, umat Islam tiada pilihan selain berpegang teguh dengan ajaran Islam secara keseluruhannya dan pada masa yang sama tidak memperkecilkan mana-mana ajaran tersebut. Jika diandaikan memang ada dalam Islam perkara isi dan kulit, maka hal itu tidak boleh dilihat sebagai mengurangkan nilai kepentingan perkara kulit berbanding perkara isi.



Jika hal ini hendak dibandingkan dengan buah-buahan, maka fungsi kulit perlu dilihat sama pentingnya dengan isi. Allah subhanallahu wa ta’ala tidak sekali-kali menjadikan kulit buah-buahan sia-sia tanpa faedah, sebaliknya Dia menjadikannya bagi tujuan yang sangat penting untuk menjaga keelokan isi daripada rosak dan binasa. Tanpa kulit yang teguh, mantap dan sihat, nescaya isi akan menjadi buruk lagi busuk. Bahkan, ada banyak jenis buah-buahan seperti buah zaitun, anggur, jambu, pear, epal, belimbing dan strawberi yang kelazatannya terhasil bila dimakan dengan kulitnya sekaligus. Maka, di manakah letaknya kelogikan dan relevannya falsafah yang membezakan kepentingan isi dan kulit itu?



Demikianlah juga kalau hal ini hendak dianalogikan dengan jenis kulit yang lain, seperti kulit badan manusia, binatang dan seumpamanya. Jika Allah subhanallahu ta’ala menjadikan fungsi semua jenis kulit begitu penting, maka demikianlah juga kedudukan perkara syariat yang ‘dianggap’ sebagai kulit mesti juga dilihat sebagai sangat penting. Allah subhanallahu wa ta’ala telah mensyariatkan segala ajaran Islam untuk menjaga pegangan agama penganutnya daripada terhakis dan terpesong. Tanpa amalan syariat, nescaya pegangan agama akan menjadi rapuh, lemah tak bermaya dan akhirnya hancur binasa.



Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan