Popular Posts

Isnin, 19 September 2016

DUNIA HIBURAN : AGAMA BUKANLAH ROJAK...





Sejak dulu lagi aku nak ulas benda ni... 



Ok, ceritanya… minggu lepas aku berpeluang cuti panjang. Bila cuti-cuti macam ni, aku pun berpeluanglah untuk menonton TV, sebab ada masa yang terluang walaupun tidak banyak. Tadi malam aku tengok rancangan hiburan. Dan sebenarnya isunya bukan sahaja pada rancangan hiburan itu, malahan kebanyakan drama TV, filem, dan lain-lain rancangan TV. Dan jika diluaskan skopnya, bukan juga terhad kepada rancangan di TV, malahan di sekitar aktiviti kawan-kawan aku sendiri.



Ok, isunya ialah persoalan penyalahgunaan perkataan atau kalimah suci zikrullah. Isu ini cukup menyedihkan aku. Sebab, mereka seolah-olah sedang mencabar ALLAH dan merobek kesucian Islam. Em, Kalimah yang aku maksudkan adalah seperti:


Alhamdulillah…


Astaghfirullah…


InsyaALLAH…


Na ‘Uzubillah…


Bismillah…




Dan mungkin banyak lagi yang lain-lain malahan isu kubur dan al-Qur’an pun disalah gunakan. Sebagai contoh, dalam satu rancangan hiburan realiti, telah diselitkan satu segmen khas ‘menziarahi kubur’ bagi mengisi slot. Aku pun tidak tahu apa motifnya. Dari segmen yang berunsurkan entah apa-apa itu, yang mana amat jauh dari batas element Islam, tiba-tiba diselitkan satu element yang berbentuk kesedihan. Diadun dengan lagu dan lakonan yang menggambarkan kesedihan. Adalah slot itu memakan masa lebih kurang 3 ke 4 minit. Tapi, peliknya tidak pulak menimbulkan keinsafan kepada mereka. Lepas tu, jadi macam biasa jugak… Maksudnya, mati langsung tidak mengingatkan mereka supaya bertaubat dari kerja-kerja mereka.



Baiklah, berbalik kepada isu kalimah tadi. Em, banyak artis-artis kita mahu pun dari kalangan masyarakat kita sewenang-wenangnya menggunakan kalimah-kalimah tadi untuk perkara-perkara yang telah jelas haram. Sebagai contoh, dalam satu slot drama yang berpeluk-pelukan atau setidaknya berpegangan tangan. Kemudiannya mereka berlafaz janji, ‘InsyaALLAH kita pasti bahagia’... ‘InsyaALLAH kita akan kahwin’... selain dari itu, yang mana biasanya kita lihat pula di dalam suatu anugerah industri muzik atau perfileman mereka. Mereka seringkali mengucapkan (melafazkan), ‘Alhamdulillah... Syukur... Allah murahkan rezeki’ tatkala menerima anugerah. Padahal apa yang mereka lakukan tu adalah jelas salah disisi agama. Mana mungkin kerja-kerja haram, disusuli dengan kalimah kesyukuran Alhamdulillah. Sepatutnya mereka melafazkan kalimah taubat, dan segera meninggalkan kerja haram itu.


Ada yang bertanya, kenapa pulak haram? Jawapannya, dalam kerja-kerja lakonan dan bidang nyanyian, mereka sebenarnya bukan sekadar berlakon, malahan melakukan perkara yang jelas haram. Berikut saya nyatakan 3 daripadanya:



Berpegangan tangan, dan berpelukan di antara lelaki dan wanita. Hal ini jelas haram di sisi agama. “Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita yang tidak halal baginya.” (Hasan: Hadis daripada Abi Umamah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir)



Sengaja mendedahkan aurat. Dan paling teruk, sanggup menjadikan auratnya sebagai bahan pelaris atau sumber kewangan mereka. “Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan auratnya kecuali kepada mahramnya” (an-Nuur (24): 31), Rujuk juga al-Ahzaab (33): 32 & 59)



Sengaja menimbulkan syahwat di kalangan penonton awam dengan pelbagai aksi yang menghairahkan yang mana kebiasaannya dilakukan oleh artis wanita (tidak kira sama ada di TV atau di media-media cetak). Em, tidak mustahillah (tak hairanlah) masyarakat kita jadi longlai dan budaya seks bebas serta kes rogol meningkat. “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’ (17: 32), “... Berjayalah... orang-orang yang menjaga kemaluannya (syahwatnya)... (al-Mukminun (23): 1-5)



Saranan aku kepada mereka, hentikanlah perbuatan menghina ALLAH dan Islam. Janganlah kamu cuba walaupun sekali-kali mencabar batasan yang ALLAH hadkan itu. Perbuatan kamu hanya mencemarkan nama Islam dan lebih sedih, sebenarnya ia menghancurkan aqidah kamu sendiri. Dan paling teruk, sebenarnya kamu sedang mencabar ALLAH.



Kamu melakukan benda yang haram, tetapi kamu ucap syukur. Kamu melakukan kerja yang haram tetapi kamu berdoa supaya ALLAH mengizinkan kamu berjaya. Kamu tahu kerja yang kamu nak buat itu haram, tapi kamu ucap nama ALLAH, seolah-olah nak perli ALLAH (nak cabar ALLAH, seolah-olah kamu tidak takut dengan larangan ALLAH)! Apa semua ni? 



Hentikanlah!...


Perumpamaan kamu sebenarnya tidak jauh berbeza seperti:


Seolah-olah kamu mencuri ayam, kemudiannya bila kamu nak makan, kamu sibuk nak sembelih. Padahal, ayam tu tetap jugak haram kerana datang dari hasil curian.


Ataupun, kamu beli makanan dengan duit rompakan, tiba-tiba masa nak makan, kamu mulakan dengan Bismillah... (siap baca doa lagi...)


Em, kamu sensitif (melenting) bila dihidangkan dengan babi sebagai makanan (rujuk isu sosej, dan makanan yang dicampur dengan material khinzir), tapi kenapa kamu tidak sensitif dengan sumber kewangan kamu yang bercampur aduk tu? Padahal yang haram tetap haram... sama saja kesnya, cuma berbeza situasi. Apakah hanya tinggal babi sahaja yang haram?



Em, Carilah kerja yang baik-baik...



Akhir pena dari aku, renungilah terjemahan maksud bebarapa ayat ini:



Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil (mungkar) dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui. (al-Baqarah (2): 42)



Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya... (al-Mukminun (23): 1-5)



Bersegeralah kepada Taubat:



Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera (setelah menyedarinya), maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa’ (4): 17)



Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih. (an-Nisa’ (4): 18)



Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Ali Imran (3): 135)




ALLAHU ‘alam...




“…Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Zumar (30): 9)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan