Amat sukar seandainya kita mahu merancang tetapi tidak mengetahui apa yang kita mahukan. Ibaratnya, mahu mengenggam segulung ijazah pada 3 atau 4 tahun masa hadapan perlulah dimulakan dengan rancangan - rancangan kecil. Realisasikan rancangan - rancangan kecil ini supaya pada akhirnya menjadikan kita semakin hampir mencapai matlamat yang hendak ditujui.
Menghadiri kelas,
Mengulangkaji,
Mencatat nota,
Mengulangkaji semula,
Menambah bacaan,
Membuat tugasan,
Mengharungi peperiksaan.
Begitulah rutin semester demi semester sehinggalah akhirnya segulung ijazah mampu dijulang tinggi.
Merancang kematian. Bagaimana pula mahu merancang kematian kita?
Barangkali yang pertama; sediakan duit secukupnya untuk perbelanjaan mengurus mayat diri kita sendiri. Jangan harapkan duit orang lain. Simpan pada tempat/bank tertentu dan maklumkan kepada waris terdekat.
Jangkakan jika aku mati bagaimana kehidupan orang sekeliling aku. Maklumkan alternatif begini dan begitu. Terangkan secara spesifik
Wasiat 1; Roh Islam
“ Jika ayah telah tiada, ayah mahu ummi didik anak kita dengan roh islam. Apapun cabaran, matlamat inilah yang paling teras dalam hidup kita. Ummi buat yang terbaik untuk anak kita. Anak kita boleh jadi sesiapapun meskipun seorang pelukis tetapi jiwa dan rohnya mesti ada roh Islam. Roh Islam yang sebenar - benarnya bukan mengambil cebisan-cebisan mana yang disukai semata-mata. Untuk itu, ummi haruskan fahamkan dan didik dengan ajaran Islam yang sebenarnya. “
Wasiat 2; Tentang harta dan kebendaan
" Rumah dan kereta ini abang belikan untuk isteri abang. Sungguhpun rumah ini hanya sederhana besar dan bukan rumah baru namun ia tetap rumah kita. Jual rumah dan kereta ini jika perlu sekiranya abang tiada lagi. Pulanglah ke kampung semula dan didiklah anak kita di sana. Carikan sekolah yang sesuai dengan hasrat abang dan realisasikan impian abang."
Wasiat 3; Jika Ummi dan Ayah Tiada
" Bagaimana jika kedua -dua (ayah dan ummi) tiada lagi di dunia menjaga kita. Sampaikan pesanan ini kepada insan yang menjadi pilihan kita. Dialah yang ayah percaya boleh mendidik anak kita dengan roh Islam. Ayah percaya keluarga dia mampu menunaikan amanah kita."
Wasiat 4 ; Hidupkan Islam, Al-Quran dan amalannya
" Sejauhmana kita berjaya sekalipun di dunia ini, kita tetap seorang hamba. Kita tetap akan kembali. Bukankah ‘itu’ halaman kampung asal kita dahulu? Kita tetap akan mati. Ayah mahu keluarga kita bertemu semula di jannah. Biarlah kita bersusah-susah di dunia ini sedangkan di akhirat nanti kita bakal bertemu semula. Untuk merealisasikan cita-cita ayah, marilah sama-sama kita hidupkan Islam dalam diri kita. Untuk itu, marilah kita dalami ilmu dan mengamalkannya."
Aku melakukan semua ini hasil daripada inspirasi daripada rancangan emak yang telah menyusun atur segalanya. Tidak pernah ada satu hari yang aku tinggalkan fikiran dalaman ini berlegar-legar di dalam kepala.Mudah-mudahan, isteri dan anak aku meladeninya dan mampu menghadaminya demi keutuhan sebuah ‘usratun hasanah' yang mahu aku capai. Biarlah orang lain sibuk merancang sesuatu yang hanya sementara tetapi biarlah aku sibuk dengan rancangan kematian ini. Rancangan kematian ini akan seluruhnya mengubah landskap dan perspektif kehidupan aku dengan menjadikan
1. Seluruh kerja professional aku sebagai ibadah kerana ibadah khusus aku tidak mampu menampung segala amalan ini.
2. Mendalami ilmu dunia dan akhirat dan seterusnya memadamkan kejahilan - kejahilan lama supaya dimansuhkan dan dibersihkan dengan 'air tangan’yang baru.
3. Sentiasa berusaha ‘memberi’ sebanyak-banyak kebaikan kepada orang lain dengan niat kerana Allah.
4. Sentiasa berusaha memelihara hati aku agar tidak terjebak dengan penyakit orang yang sombong; yang selalu merasakan dirinya terbaik dan ikhlas. Nauzubillah.
5. Memegang utuh kontrak ‘masa’ dalam surah Al-Asr. Memahami prinsip "yang berpegang kepada amalan soleh, kebenaran dan sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan dengan penuh kesabaran."
Kita mencarum insuran untuk masa depan anak, isteri, rumah. Kita mencarum 'hutang' yang semakin hari semakin menimbun. Kita merancang itu dan ini, tetapi kita tidak pernah merancang kematian kita.
Tanyakan kepada diri sendiri, mengapa tidak...?
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan