Popular Posts

Sabtu, 10 Ogos 2013

MERANCANG HARI ESOK I....





Pernah pada suatu hari, emak memanggil anak - anak mak pulang ke kampung. Emak kata ada hal untuk berbincang dengan anak-anak. Lalu, pulanglah anak - anak mak bersama dengan cucu - cucu mak ke kampung.



Mak membentangkan tikar untuk anak - anak mak duduk bersimpuh bersama-sama. Dimulai dengan bacaan beramai - ramai ayat-ayat daripada Surah Yaasin. Lalu, mak meminta aku membacakan doa memohon keberkatan bagi majlis ringkas itu.



Mak memulakan ucap utama tentang perlunya rumah mak terus dikunjungi meskipun kelak nanti emak sudah tiada lagi. Mak kata lagi, mak tidak mahu rumah mak ditinggalkan sepi dan usang begitu sahaja.



“ Mak mahu anak-anak mak terus datang ke rumah ini. Mak mahu anak - anak mak membacakan tahlil dan ayat-ayat al-quran di rumah ini. Mak tidak mahu rumah ini tidak dibacakan quran lagi. “



Aku melihat sudah ada antara anak-anak emak sudah menitiskan air mata. Termasuk diriku.



Kemudian, mak berkata lagi



“ Sekiranya mak mati nanti , mak mahu anak-anak mak yang memandikan mak. Mak tidak mahu orang lain memandikan mak . Mak minta tolong supaya aurat mak ditutup sehinggalah mak ditanam. Mak harap anak-anak mak faham tentang ini ya “.



“ Ketiganya, hari ini mak akan beritahu kepada anak- anak mak semua tentang tanah-tanah yang akan mak bahagikan kepada anak-anak mak. “



Emak menerangkan satu persatu tanah - tanah yang ada dan siapakah pemiliknya. Emak juga mengingatkan tentang perlunya berbakti kepada tanah jika mahu menikmati hasilnya.



Peristiwa ini seakan-akan sudah terakam kemas dalam ingatan aku. Seolah - olah seperti semalam. Walaupun emak suri masih lagi sihat meskipun kadangkala sakit lutut emak sesekali menjengah , emak sekali lagi membuat kejutan kepada aku. Selaku ‘orang luar’ aku kagum akan sikap mak. Meskpun emak hanya seorang suri rumah, emak mampu memiliki prinsip hidup yang jarang aku lihat ada pada orang lain.



Emak sudah merancang kematian emak sendiri!



Emak mahu rumah warisan mak sentiasa diisi dengan alunan-alunan Al-Quran.
Emak mahu anak-anak perempuan mak seramai enam orang memandi dan mengkafankan mak.



Sangatlah sedikit dalam kalangan kita yang benar-benar merancang kematian kita. Mak telah melalui fasa kehidupan yang pelbagai. Tentu sahaja kesukaran dan kepayahan meniti titian kehidupan sudah hampir menemui jalan penamat. Anak-anak mak sudah berjaya melangsungkan kehidupan seperti yang mak mahukan. Bapa telah dahulu meninggalkan mak. Pasti sahaja ini satu tamparan buat mak. Separuh nafas mak terhenti dan mengingatkan tentang separuh nafas lagi yang bakal berakhir.



Peristiwa ini telah mencetus semangat mahu aku. Ya, aku juga mahu merancang kematian aku.



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan