Popular Posts

Khamis, 13 Oktober 2016

ALLAH BUAT APA...?





Tiba-tiba sebuah perbualan berlangsung sebagaimana berikut,



Lelaki A:
Ustaz, apa makhluk yang mula-mula diciptakan oleh Allah?



Ustaz:
Yang mula-mula diciptakan adalah al-Qalam, iaitu pena.



Lelaki B:
Bila pula Allah ciptakan alam semesta ni ye ustaz? Ada tarikh dia tak?



Ustaz:
Wallahu a’lam... saya tak tahu. (Ustaz berkerut dahi)



Lelaki B:
Apa yang Allah buat sebelum ciptakan langit dan bumi ni ustaz?



Lelaki A:
Ye la ustaz, boleh tak ustaz ceritakan sikit? Takkan Allah tak buat apa-apa, takkan Allah duk termenung je takde nak buat apa-apa sebelum tu?



Ustaz:
Yang korang ni tiba-tiba tanya perkara-perkara yang merepek ni kenapa? Kira ok lah kalau benar Allah tu termenung [1] sekalipun. Daripada tiba-tiba Dia lempang je korang ni, membuatkan engkau orang berdua tertonggeng! Baru korang tau apa yang Allah buat... (Dengan nada yang sedikit keras)



Lelaki A & B:
Terdiam, terkedu, dan terkesima...



Komen aku:

Perkara-perkara yang diluar pengetahuan kita, dari hal-hal yang ghaib (tidak dapat dikesan melalui pancaindera) dan tiada sumber wahyu yang memberitahukannya kepada kita, maka diamkanlah. Jangan pulak kita nak mempertanya-tanyakan persoalan-persoalan yang kita tiada diberi pengetahuan tentangnya. Jangan juga kita mengada-adakan sesuatu yang diluar maklumat pengetahuan kita. Banyak lagi perkara-perkara lain yang terzahir yang belum mampu kita kuasai dan fahami. Kenapa pula kita harus perlu melompat kepada perkara yang di luar bidang kuasa pengetahuan pancaindera kita??? Tidak cukupkah apa yang Allah telah beritahukan kepada kita?



“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya...” (QS 6: 59)



“...dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS 17: 85)



Katakanlah tiba-tiba seorang manusia yang tidak pernah pun rapat dengan kita dan tidak pernah mengenali kita secara tepat, menceritakan hal peribadi kita kepada orang lain dengan fakta-fakta yang tidak betul sama sekali, malahan si pendengar cerita orang tersebut pula bertanya dengan pelbagai hal tentang diri kita. Orang yang tersebut pun menceritakan tentang kita dengan hentam keromo sahaja...



Tentu kita marah bukan, kerana ada orang yang menceritakan hal kita dengan konteks yang tidak benar fakta-faktanya, malah kita sendiri tidak pernah memberitahukan kepadanya, tentulah kita rasa pelik dengan orang tersebut seolah-olah tahu segala-galanya tentang kita... Dan bukanlah itu yang kita kehendaki untuk diceritakan tentang diri kita...



“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.” (QS 17: 36)



“Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (QS 2: 169)



The point is – Janganlah kita mendahului Allah dalam berbicara & perbuatan... Cukuplah petunjuk wahyu dari al-Qur’an dan sunnah Rasul-Nya buat kita. Kita tidak lebih tahu dari-Nya melainkan melalui petunjuk-Nya yang benar.




Wallahu a’lam...

Footnote:

[1] wallahu a’lam, tidak pernah aku menemui atau diberitahukan perihal adanya dalil yang menetapkan atau menafikan bahawa Allah itu memiliki sifat termenung.

Jumaat, 7 Oktober 2016

MENZAHIRKAN KEJAYAAN





Semua orang tentu ingin menjadi seorang yang berjaya di dalam bidang apa saja yang sedang diharunginya. Dari sekian banyak orang yang punya keinginan itu, hanya sedikit yang mampu mewujudkannya. Berikut adalah idea yang sangat penting untuk di ketahui bagi mereka yang ingin berjaya di dalam segala usaha mereka. 


Selamat membaca...



1. Awali Dengan Impian dan Imaginasi


Sebelum manusia dapat mendarat di bulan, tidak pernah ada yang berfikir bahawa hal itu adalah sebuah kenyataan. Idea mendarat di bulan pada awalnya adalah sebuah mimpi indah yang tidak akan pernah terwujud. Namun impian dan imaginasi itu akhirnya berubah menjadi kenyataan ketika seseorang telah membuktikannya dengan pendaratan manusia pertama kali ke bulan. Yang perlu diingat adalah segala sesuatu kejayaan itu bermula dari impian dan keyakinan dengan didorong oleh kerja keras untuk mewujudkannya. Jika anda mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan punya niat untuk mewujudkannya, maka segeralah bangun dari mimpi anda. Bekerja keraslah untuk segera merubah mimpi anda itu menjadi kenyataan. Hanya seorang pemimpi yang mampu mencipta dan membuat strategi dalam produk, jasa ataupun idea yang mampu berjaya sukses. Mereka tidak mengenal kata tidak mampu atau mustahil.



2. Semangat dan Kegigihan


Semangat yang membara dan kegigihan adalah modal utama di dalam memulai sebuah perjuangan baru untuk mencapai kejayaan. Bila anda layu, tidak bersemangat dan dan bermalasan, yakinlah tidak lama lagi anda akan segera mengalami kegagalan mutlak. Carilah motivasi usaha anda itu dengan mempelajari perjuangan usahawan-usahawan yang berjaya mendahului anda.




3. Mempunyai Pengetahuan Asas-asas Perniagaan


Tanpa adanya pengetahuan asas-asas perniagaan hanya akan membuat usaha anda seperti seekor tikus makmal. Kemungkinan besar hanya akan banyak mengalami kegagalan. Tidak akan ada kejayaan tanpa sebuah pengetahuan. Yang terbaik adalah belajar sambil bekerja. Bekerja dengan orang lain dahulu sebelum anda menjadi usahawan sangat membantu anda menyerap ilmu dan pengalaman dan bersedia untuk berjaya.




4. Berani Mengambil Risiko


Setiap sesuatu yang kita usahakan tentu akan ada risikonya. Semakin besar hasil yang ingin dicapai, tentu kemungkinan risiko yang akan dialami apabila mengalami kegagalan juga besar. Orang yang berani mengambil risiko adalah calon orang yang berjaya. Jangan takut akan kegagalan, tapi jadikanlah kegagalan itu sebagai batu loncatan menuju kejayaan.




5. Kerja Keras


Hanya dengan bekerja keraslah sebuah usaha akan mengalami kemajuan dan kejayaan. Bohong apabila ada yang mengatakan dia meraih kejayaan yang gemilang hanya dengan duduk beberapa saat di tempat kerja seperti yang sering dikatakan pengiklan di laman sosial. Sebenarnya awal mula mereka merintis usahanya itu adalah dengan kerja keras tanpa mengenal putus asa dan banyak berkorban waktu dan tenaga.




6. Mahu Belajar Dari Pengalaman Orang Lain


Pepatah mengatakan: “Pengalaman adalah guru yang terbaik.” Seorang calon usahwan yang berjaya mahu mengambil pengalaman dari orang lain dan dari dirinya sendiri. Apa pun pengalaman seseorang itu baik kejayaan atau kegagalan harus dijadikan suatu pelajaran yang berharga sebagai panduan dia dalam memulai usaha atau mengembangkan usahanya.




7. Bersedia Menerima kritikan dan Nasihat Dari Orang Lain


Sebahagian orang menganggap bahawa kritikan yang ditujukan kepadanya itu adalah sebagai sebuah penghambat bagi kelangsungan usahanya. Akan tetapi bagi orang yang berfikir normal akan menjadikan kritikan atau bahkan nasihat dari orang lain itu sebagai gurunya yang membimbing dia ke arah kejayaan. Menerima kritikan bererti menyedari bahawa kita mempunyai kekurangan. Dengan mengetahui kekurangan yang ada pada kita, maka kita dapat memperbaiki kekurangan itu. Berterima kasihlah kepada orang yang mahu menegur dan mengkritik kita.




8. Menjalin Kerjasama Dengan Orang Lain


Betapa pun pandainya seseorang itu, apabila dia bekerja sendiri maka perjuangannya itu hanya akan sia-sia belaka. Tidak ada seorang usahawan pun yang mampu bekerja sendiri. Kerjasama dengan keluarga, teman, rakan sekerja dan pelanggan sangat penting bagi perkembangan suatu perniagaan. Merekalah yang akan memberi input, saranan dan kritik serta membantu di saat-saat sulit. Seorang usahawan harus mampu menjalinkan kerjasama dan bergaul untuk menjalin hubungan perniagaan dengan seluas-luasnya.




9. Berani Menghadapi Kegagalan


Jangan dianggap para usahawan yang telah berjaya dan maju tidak pernah mengalami kegagalan. Bahkan mereka pun suatu waktu pernah mengalaminya. Hanya saja mereka tidak pernah putus asa dan terus berusaha sampai berjaya. Orang yang takut gagal adalah orang yang pengecut dan tidak berani melakukan apa pun dan kerjanya hanya berkhayal saja.




10. Tidak Suka Menunda


Seperti kata pepatah: “Time is money!” Oleh kerana itu, janganlah suka menunda-nunda suatu pekerjaan. Lakukanlah saat ini, sekarang juga selagi ada kesempatan. Menunda suatu pekerjaan bererti adalah suatu kerugian yang akan membuat anda menyesal.





Selamat Datang Ke Dunia Darah dan Airmata...




MOTIVASI BUAT ANAK-ANAKKU....





Tidak dapat dinafikan lagi, memang cukup sukar untuk membangun motivasi di dalam diri sendiri. Bahkan mungkin kita tidak tahu dengan pasti bagaimana cara membangunkan motivasi di dalam diri sendiri. Padahal sesungguhnya banyak kaedah yang dapat dilakukan untuk menumbuhkan motivasi tersebut. 



1. Mulailah dengan rasa gembira


Jangan pernah merasa terbeban dengan tujuan hidup anda. Cuba nikmati hidup dan jalan yang anda tempuhi. Jika sejak awal anda sudah merasa ‘tidak suka’, rasanya motivasi hidup tidak akan pernah anda miliki.



2. Latih tubi dengan agresif 


Sama ada suka atau tidak, anda harus terus menerus melakukan latihan bila ingin mendapatkan hasil terbaik. Pada dasarnya tidak ada yang tidak dapat anda raih jika anda terus berusaha keras. Semakin giat berlatih semakin mudah pula mengatasi setiap kesulitan. 



3. Kembangkan terus tujuan anda


Jangan pernah terpaku pada satu tujuan yang sederhana. Tujuan hidup yang terlalu sederhana membuat anda tidak memiliki lebih kekuatan. Padahal untuk meraih sesuatu anda memerlukan cabaran serta rintangan yang lebih besar, untuk mengerahkan kekuatan anda yang sebenarnya. Tujuan hidup yang besar akan membangkitkan motivasi dan kekuatan tersendiri dalam hidup anda.



4. Ciptakan sensasi


Ciptakan sesuatu yang dapat “membangun” dan membangkitkan ghairah anda saat pagi menjelang. Misalnya, anda berfikir pagi ini harus menguasai modus operadi 5 bab Fizik. Walau kedengarannya mustahil, tetapi sensasi ini adakalanya memacu semangat anda untuk berusaha dengan cara yang kreatif lebih baik lagi melebihi apa yang sudah anda lakukan kelmarin. 



5. Tetapkan saat kematian


Anda perlu memikirkan saat kematian. Walau pun gejala ke arah itu tidak dapat dijangkakan. Membayangkan saat-saat terakhir dalam hidup ini, sesungguhnya merupakan saat-saat yang sangat emosional. Anda dapat membayangkan ‘flash back’ dalam kehidupan anda. Sejak anda menjalani masa kanak-kanak, remaja, hingga tampil sebagai peribadi yang dewasa dan mandiri. Jika anda membayangkan ‘ajal’ anda sudah dekat, ia akan memotivasikan diri untuk melakukan lebih banyak dan lebih berkualiti lagi selama hidup anda.



6. Tinggalkan rakan yang tidak perlu


Jangan ragu untuk meninggalkan rakan-rakan yang tidak dapat mendorong anda mencapai tujuan. Sebab, siapa pun rakan anda, seharusnya mampu membawa anda pada perubahan yang lebih baik. Ketahuilah bergaul dengan orang-orang yang optimis akan membuat anda berfikir optimis pula. Bersama mereka, hidup ini terasa lebih menyenangkan dan penuh motivasi.



7. Hampiri bayangan ketakutan 


Saat anda dibayangi kecemasan dan ketakutan, jangan melarikan diri dari bayangan tersebut. Misalnya, selama ini anda takut akan menghadapi masa depan yang kelam atau buruk. Datang dan nikmati rasa takut anda dengan cuba mengatasinya. Saat anda berjaya mengatasi rasa takut, saat itu anda telah berjaya meningkatkan keyakinan diri bahawa anda mampu mencapai hidup yang lebih baik.



8. Ucapkan “selamat datang” pada setiap masalah


Jalan untuk mencapai tujuan tidak selamanya semulus lebuhraya. Suatu saat anda akan menghadapi jalan berlubang, selekoh tajam dan penuh bebatuan. Jangan memutar arah untuk mengambil jalan pintas. Hadapi terus jalan tersebut dan fikirkan cara terbaik untuk mampu merentasinya. Jika anda memandang masalah sebagai sesuatu yang mengerikan, anda akan semakin sukar termotivasi. Sebaliknya bila anda selalu bersedia menghadapi setiap masalah, anda seakan-akan memiliki tenaga dan semangat tambahan untuk mencapai tujuan anda.




Selamat berjuang wahai anak-anakku. Kuasai diri untuk menguasai cabaran persekitaran ....

ICAHKU SAYANG....





Kadang-kadang kita kena paksa diri (mungkin ini cara kami orang dulu-dulu belajar), sekarang ini banyak sangat alasan ....study smart, not study hard.... dan lain-lain



Tetapi Walid ingin tambah dengan sebab ......untuk icah paksa diri icah...



Pertama

Icah pelajar aliran sains, maka icah tidak ada pilihan, MESTI score 5 mata pelajaran utama untuk pengiraan merit kemasukan ke IPTA (program asasi ataupun diploma di UA dan Politeknik Premier)

5 mata pelajaran utama itu adalah


1. Matematik 

2. Matematik Tambahan 

3. Fizik 

4. Kimia 

5. Biologi



Kedua


Jika ingin masuk matrikulasi pun, pengiraan merit akan mengambil kira 4 mata pelajaran
1. Matematik
2. Matematik Tambahan
3. & 4. Dua daripada mata pelajaran Fizik/ Kimia/Biologi
- walaupun boleh ambil fizik dan kimia tetapi kalau biologi rendah tidak boleh masuk modul 1 sains untuk berpeluang sambung ijazah sains/sains kesihatan.


Ketiga


Jika ingin sambung ijazah perubatan, pergigian atau farmasi, semua 4 mata pelajaran (matematik/matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi) kena dapat minima gred B di peringkat SPM, walaupun nanti akan memohon dengan kelayakan matrikulasi atau STPM dengan CGPA 4.00 sekali pun



Tetapi jika sekadar ingin masuk politeknik konvensional tidak mengapa, tetapi sanggup ke korbankan apa yang telah diusahakan semenjak tingkatan 4 dan sudah tahu bahawa itulah syaratnya yang icah nak kena usaha..... untuk dikorbankan untuk sekadar nak masuk politeknik konvensional sahaja....?



Fikir dan hadamkan...

Khamis, 6 Oktober 2016

TAMADUN ISLAM...?





Tidak ku ingati entah untuk kali keberapa aku akan terus berpendirian sebegitu, hingga datang bukti yang diperakui dan jelas yang membuktikan kefahaman aku adalah melencong dari kebenaran.



Malam tadi aku menegaskan kembali kepada seorang sahabat lamaku ketika di sekolah menengah dahulu. Terlepas dari mulutnya dia menyatakan bahawa aku adalah pengikut Ulil Absar, padahal aku tidak pernah sama sekali mengikut telunjuk kaum yang tinggal di perhutanan, malah aku juga tidak pernah berkumpul-kumpul di persada Batu Buruk. Aku bukan beraliran Jaringan Islam Liberal. Bukan juga kaum tradisional. Malah bagi sesiapa yang mengenali aku yang sebenarnya, mereka pasti mengerti bahawa aku pengikut Islam Ortodok yang Fundemental.



Aku katakan padanya, "Tindakan meletakkan sesuatu bangsa atau budaya kepada Islam adalah merupakan suatu bentuk kezaliman. Malah Islam tidak boleh disangkutkan padanya sebarang bentuk rupa. Justeru menamakan "Tamadun Islam" atau "Muzium Kesenian Islam", atau "Senibina Islam" adalah suatu bentuk penisbahan nama yang sedikit gelabah dan tergesa-gesa. Yang benar ialah "Tamadun Arab", atau "Tamaddun Parsi", “Tamadun Sepanyol/Andalusia”, “Tamadun Turki”, atau "Senibina Mooris"". Lalu aku dimintanya beberapa hujjah oleh beliau.



Sesungguhnya wajarlah kita mengetahui, bahawa apabila disebut Islam, maka lawannya hanya ada satu iaitu Kafir atau musyrik. Tidak ada yang ketiga selepas Islam dan Kafir. Begitu juga tatkala para pejuang Islam berhaluan kiri yang kerjanya membangkang, ketika menerangkan jenis-jenis negara dari sisi agama; negara islam, negara kafir dan kemudian mereka munculkan satu lagi jenis iaitu negara umat islam. Ini suatu hal yang pelik! Kerana andainya begitu, harus wujud jenis ke 4 - negara umat kafir atau bahkan negara kafir. dan begitu juga harus wujud manusia Muslim, manusia Musyrik dan manusia yang Umat Musyrik! Justeru yang benar hanya ada dua, iaitu Islam atau Kafir.



Lalu jika dikatakan "ini senibina Islam" maka yang tidak mempunyai ciri-ciri sebegitu adalah "senibina Kafir"? Kalau disebut "ini Muzium Kesenian Islam" maka yang tidak ada di sana dipanggil sebagai "Muzium Kesenian Kafir"? Dan terus kita akan diingatkan dengan gagasan baru oleh tiga (3) buah negara untuk membina kereta Muslim, yang sesetengah orang berseloroh "kereta mukmin". maka yang selama ini kita pakai adalah kereta kafir? Bukankah ini satu hal yang lucu. Setelah adanya produk berbentuk ubat gigi mukmin, perubatan Islam, universiti Islam, dan seumpamanya... makanya apakah yang disebaliknya yang tidak dinamakan dengan Islam atau mukmin itu adalah tidak mukmin atau tidak muslim? Makanya, seraya dia dipanggil perubatan kafir, ubat gigi kafir, dan universiti kafir...



Cuba kita tanyakan pada para ahli hukum, apa yang Islam tunjukkan dalam seni dan apa yang dilarang? Pasti para Cendiakawan Hukum akan berkata bahawa Islam menggariskan beberapa perkara dalam seni dan menetapkan sedikit larangan, yang semuanya adalah harus. Hinggakan terwujud satu prinsip umum yang dibina oleh Ibn Taimiyyah: "Asal Adat adalah harus hingga didatangkannya dalil yang melarang".Lalu apakah boleh kita katakan "ini seni Islam" padahal Islam tidak menyatakannya langsung! Malah Islam berlepas diri dari penamaan sebegini.



Aku tanyakan lagi, apakah seni itu sebenarnya terbit dari bangsa Arab? atau setelah nubuwah (kenabian), yang mana Muhammad saw mengubahnya menjadi suatu seni yang baru? Tetapi yang nyata Baginda saw meneruskan seni rupa yang wujud dan menghapuskan beberapa seni yang dilarang. Kemudian apakah Rasul yang memasukkan seni kubah dan menara dalam pembinaan masjid? Pastinya tidak. Kemudiannya tatkala Islam merembah ke China, sehingga kaum muslim di sana membina masjid dengan senibina budaya mereka, iaitu atapnya genting, kubahnya menajam dan menipis, di cat pula dengan warna merah, apakah masjid itu bersenikan buddha? Kemudian pendakwah datang ke tanah kita dan mengislamkan raja-raja kita, dan kita mula bangunkan masjid dengan awan larat dan segala rupa budaya tukang kita, maka apakah yang kita bangunkan itu adalah seni Hindu-Melayu? Begitu juga saat kerajaan Delhi membina Kota Agra, Taj Mahal dan banyak monumen lain yang bersenikan bangsa India, apakah boleh kita katakan semuanya adalah seni Hindu?



Lalu apakah boleh kita katakan semua ini? Pastinya tidak.



Rupanya bukan setakat itu sahaja kesalahan kita berhenti. Ketika kita meletakkan seni budaya Arab-Parsi sebagai "seni yang di-syahadahkan, dikhatankan dan di-Islamkan" maka kita telah menzalimi seluruh rupa seni yang ada di muka bumi ini dengan memberikan "kekafiran" tanpa sengaja dan tanpa sedar.



Ketika Islam membuka Turki, dan memasuki Hagya Sofia dan menukarnya dari Gereja kepada sebuah Masjid, mereka tidak menukar pun seninya walau seinci, melainkan membuang tanda salib dan ciri-ciri keagaman Nasrani. Dan mereka terus beribadah di dalamnya sehingga zaman kegemilangan kerajan mereka malap. Begitu juga saat aku menekan-nekan bebutang di papan kekunci ini, apakah papan kekunci ini bersenikan kekafiran?



Begitu juga sesetengah para ulama kita yang berserban dan berjubah, kadang yang bertasbih itu akan memandang sinis pada seorang yang berkemeja dan berseluar jean. Kononnya kita telah memakai pakaian yang tidak sopan, pakaian bangsa kafir. Padahal ketika nubuwah, Rasul tidak melucutkan jubahnya, tidak juga melurutkan serbannya, kerana jubah dan serban itu dipakai oleh pakciknya si Abu Jahal, dan kerana jubah dan serban itu pakaian bangsa Quraisy yang musyrik. Tetapi beliau tetap memakainya sehingga rohnya dijemput Tuhan. Apakah Nabi telah memakai pakain kufur? Pasti tidak!



Begitu juga saat seorang mat saleh yang memeluk Islam di kota New York atau di kota London, apakah dia harus membuang segala pakaiannya dan menggantikannya dengan pakaian Arab? Dia harus menggantikan topinya dengan semutar dan ketayap? Rasanya tidak, malah perbuatan memakai pakaian pelik di kalangan masyarakat setempat adalah terlarang andai membawa fintah.



Sesungguhnya Islam tidak pernah memberi satu bentuk pakaian sahaja, yang diberi petunjuk hanyalah prinsip-prinsip berpakaian, sehingga dengan itu seluruh umat Islam mendapat keluasan dan kesenangan dalam berbusana. Yang pasti, kita tidak seharusnya mencerca pakaian orang lain, malah adalah terlarang menghina pakaian Baginda saw.



Kemudian kesalahan kita makin membesar sehinggakan kita menamakan tamadun Arab dan Parsi itu sebagai Tamadun Islam. Tetapi kita berlaku curang dengan menamakan Tamadun Hindu dengan "Indus (merujuk nama tempat)", tamadun Budha-Cunfusius dengan "Tamadun China (merujuk nama tempat)", tamadun Nasrani dengan "Barat (merujuk nama tempat)". Kenapa semua Tamadun-tamadun besar itu tidak dinisbahkan kepada nama agamanya sahaja?



Apa alasan kita untuk berbuat begitu? Aku masih ingat ketika aku mempersoalkan penamaan ini kepada pensyarah aku. Dia (guru aku) menegaskan bahawa hanya Islam yang melahirkan Tamadun. Ini satu hal yang tidak benar. Jika kita suka meneliti, bahawa segala tamadun silam lahir dari semangat kepercayaan, iaitu mereka semua ingin memenuhi kehendak tuhan lalu mereka bangunkan biara, mereka merenung bulan, membuat segala alat dan teknik serta tercipta segala ilmu.



Kemudiannya, kalaulah itu merupakan tamadun Islam, maka harus bagi setiap negara yang menjadi negara Islam memiliki teknologi dan ilmu yang serupa. Kalau tidak pun, yang hampir sama. Kerana kita telah menetapkan bahawa tamadun ini di bina atas tunjang Islam. Tetapi kelihatannya; ilmu, teknologi, alat, serta kehebatan itu hanya ada dalam ruang lingkup sesuatu kerajaan dan bangsa geografi sahaja. Justeru bagaimana mahu kita jelaskan kepada dunia akan kalimat "Tamadun Islam" dan penafian kepada tamadun agama lain?



Justeru kalimat yang sebenarnya adalah Tamadun itu harus dinasabkan kepada kerajaan yang tertegak, atau kepada bangsa yang membina tamadun itu semata-mata, tanpa harus di'bin'kan kepada sebarang penamaan agama.



Sesunguhnya mungkinkah para cerdik pandai kita telah bersikap gelojoh saat menisbah-namakan Islam kepada Kesenian dan Ketamadunan. Sehingga penaman itu tidak memiliki hujjah yang kuat dan mereka terpaksa berputar-putar untuk mengukuhkan kehujjahan mereka.



Kita tidak harus berasa malu jika kita melepaskan nama "Islam" pada seni atau budaya atau tamadun. Kerana Islam tetap milik Allah swt. Malah bangsa kita ini banyak sangat berkhayal hal-hal silam yang tidak memberi kita sebarang kemajuan dalam berfikir dan kemajuan kebendaan.



Tidak perlulah terlalu banyak alasan dalam sikap serta prinsip beragama. Sehingga mungkin kaum sufi yang menuhankan Jalaluddin Rumi akan berkata: Tarian kami ini adalah tarian Islamik (seni Islam).



Yang kita harapkan ialah kita beragama dengan Islam yang suci malah tidak terkontaminasi (tercemar). Kita singkirkan khurafat-khurafat dan tahyul-tahyul. Kerana yang dinamakan Islam itu bermula dari lubuk akidahnya...



Sebagai mengakhiri coretan ini, renungilah maksud kalam Allah ini:



Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (QS 3: 11)

Rabu, 5 Oktober 2016

SEKADAR MENEGUR...





Mungkin membantah sesuatu lebih mudah daripada mengemukakan idea baru...?



Jadi akibat selalu sahaja aku membantah sesuatu idea mengenai perbaikan masyarakat dan sering menolak perjuangan jamaah-jamaah Islam yang wujud hari ini. Maka keharusan aku ialah mengemukakan satu gagasan yang secara umum dapat memahamkan manusia bagaimana bangsa umat yng menganut Islam sebagai keyakinan mereka mampu menjadi sebuah bangsa yang bertamadun tinggi.



Untuk bercakap seperti ini, aku memang menyedari bahawa aku ini punya peribadi ganda. Sebelah kanannya putih dan sebelah kirinya hitam. Siangnya dia menjadi manusia dan malamnya dia menjadi serigala. Tetapi apakah manusia yang punya peribadi ganda seperti aku, harus ditolak nasihatnya semata-mata dia miliki dua warna? Apakah hanya orang yang berserban dan berjubah sahaja diterima percakapannya? (sedang kaum tua yang berserban dan berjubah telah menjumudkan otak bangsa kita sekian lama atas alasan menjaga kemurnian agama). Malah syaitan juga pernah berkata benar dan sempat mengajar sahabat sebuah ayat yang dikenal dengat Ayat Kursi. Justeru kebenaran ataupun nasihat itu harus dipungut tanpa mengira dimana kita menemuinya.



Sungguh; aku semakin jelek dengan ramai orang bercakap tentang Islam. Semakin pening apabila tukang kebun juga boleh berfatwa tentang Jihad. Malah lebih menghinakan bila banyak dari penulis-penulis “bawah tanah” ataupun “atas tanah” membicarakan Islam semahunya. Tidak terkecuali para blogger yang aku hormati. Manusia jenis ini merasakan bahawa mereka itu benar dalam berkata-kata.



Aku tidak mencela mereka kerana dwi karektor mereka, tetapi aku mencela mereka kerana kefahaman mereka yang dangkal tentang Islam. Mencela mereka kerana tulisan-tulisan mereka menyesatkan umat.



Justeru aku menyeru kepada semua penulis untuk diam dari berkata-kata sebab pada akhir zaman ini, orang yang dangkal akan mengeluarkan fatwa. Dan orang ramai akan menjadikan orang jahil sebagai ulamanya. Maka sebagai langkah berhati-hati janganlah jadikan diri kita sebagai seorang daripada orang dangkal dan jahil itu. Biarkan para ulama’ ahli hadith saja yang berhujah dan berfatwa. Biarkan ahli tauhid saja yang menulis di kitab-kitab dan berkhutbah di mimbar-mimbar.



Untuk maju menjadi bangsa yang punya tamadun yang tinggi, umat Islam pertamanya harus kembali mengikuti Ajaran Islam. Itu yang pertamanya. Dan ajaran Islam ini bukan mengikut Tabligh yang berkelah ataupun mengikut parti politik yang bermain mercun. Bukan juga mengikut politikus yang semuanya menikus di balik serban dan jubah. Bukan! Bukan itu! Mengikut ajaran Islam ialah mengikut ajaran Salaf (umat terdahulu yang terdiri dari penganut Islam terawal) yang bersumber dari Rasulullah saw, yang merupakan kefahaman sahabat mengenai Islam.



Dalam meniti manhaj Salaf ini, setiap muslim akan mengerti bahawa kepatuhan hanya untuk Allah dan Rasul-Nya. Mengerti bahawa bomoh adalah para suruhan jin. Tilik adalah igauan. Mengerti bahawa dunia adalah alam yang harus diteroka untuk menuju ke akhirat. Mengerti bahawa negara adalah tanggungjawab. Manhaj Salaf menunjukkan bagaimana kita menyikapi alam dan segala isinya dengan sempurna.



Dengan mengikuti manhaj inilah, kita akan mengerti bahawa Palestin tidak akan dapat dibebaskan selagi kesatuan umat di sana belum dibawah panji Islam. Mengerti bahawa menyerang, menyembelih dan pembantaian terhadap orang awam adalah kekejaman. Mengerti bahawa banyak dari sengketa yang umat Islam alami hari ini adalah bersumber dari diri mereka sendiri.



Ikhwan yang didirikan oleh Hasan Al Bana yang mati dibunuh melahirkan radikal agama di bawah pimpinan Sayid Qutub. Taliban yang memporak-perandakan Afghanistan. Aliran sekular di Turki, Peristiwa Memali di Malaysia. Kesemua kebejatan ini lahir apabila manusia yang kerdil diangkat menjadi besar. Orang jahil dijadikan ulama’. Dan ulama’ ini akan mengikuti nafsunya untuk mengeluarkan hukum. Dan akhirnya hukum ini menimpakan kehinaan ke atas umat Islam sendiri. Lihatlah kempen “Keganasan” oleh Amerika yang ditujukan kepada umat Islam, berpunca daripada kejahatan sebahagian kecil umat Islam juga. Dan kejahatan ini berpunca dari kebodohan kita. Kebodohan ini berpunca dari kesesatan ulama’nya dan kemalasan umatnya.



Dan fenomena yang menarik untuk dikaji oleh orang yang berakal, yang hatinya terang, yang dia benar-benar ingin mencari kebenaran, ialah fenomena politik di tanah air kita. Apakah benar mereka dua kelompok itu, yang menjadi politikus itu memperjuangkan Islam? Kalau benar, Islam aliran apa yang mereka ingin tegakkan?



Yang benarnya, kedua-dua gerombolan itu punya niat yang mulia, tetapi jalan yang mereka tempuhi berliku panjang.



Aku mengharapkan mereka kembali untuk bersama-sama bergandingan membangunkan Islam dan penganutnya. Mengharap mereka meninggalkan aliran songsang mereka dan menuju kepada Islam yang benar, kerana niat mereka yang inginkan kebenaran itu sudah cukup untuk mereka berpegang tangan seandainya mereka benar-benar inginkan kebenaran.



Justeru, aku menyeru kepada penulis, politikus, para imam, para ulama’ dan semuanya untuk sama-samalah kita mengikuti jalannya Rasul, jejaknya sahabat, lorongnya tabi’in.



Biar kita jahat sekalipun, asalkan aqidah kita benar, insya Allah kita akan ke syurga. Rabb tidak menanyakan kepada kita ketika di alam kubur: “Siapakah yang kamu pangkah pada pilihanraya ke 14?” atau pun “Siapakah pemimpin parti kamu?”. Tetapi dia menanyakan: “Siapakah Rabb kamu”, “Siapakah Rasul kamu?”. Bagaimana kamu akan menjawab “Allah Rabb ku”, kalau kamu menyembah Allah, dan dalam masa yang sama kamu menyembah Tuan Guru atau Tuan Presiden? Bagaimana kamu menjawab “Muhammad Rasul ku” sedang dalam beribadah kamu menokon tambah?”.



Justeru, jalan yang paling utama, yang paling atas prioritinya ialah beraqidah dengan aqidah Salaf.



Kaum Muda sejak sebelum merdeka telah menunjukkan jalannya. Hanya saja kebenaran itu memang sulit untuk diterima. Jika ia mudah, tidak perlulah neraka dan syurga diciptakan.



Wallahu`alam

Sabtu, 1 Oktober 2016

APABILA MAKSIAT DISYUKURI...





Ketika baru sahaja sampai di sebuah gerai makan, sungguh aku pelik untuk beberapa saat dan ketikanya apabila terlihat ada juga si pelaku maksiat masih tahu untuk bersyukur dan mengungkapkan Alhamdulillah (kata pujian buat Tuhan) dengan “ikhlasnya” tatkala berjaya melaksanakan “tugasnya”... Mungkinkah mereka tidak mengerti agaknya (sekadar bersangka baik).



Sungguh merupakan suatu yang benar lagi sahih apabila kita menerima khabar mahu pun melangsaikan sesuatu tugasan yang disukai mengakhiri dengan rasa kesyukuran dan ucapan zikir hamdalah (pujian kepada Allah). Namun ia bukanlah sesuatu yang umum mencakupi untuk semua hal yang kita sukai menurut hawa nafsu kita. Tetapi ia sebenarnya ada pengkhususan, iaitu pada skop-skop pekerjaan yang BUKAN maksiat lagi tidak diredhai Allah.



Tetapi, mungkin ia sudah tidak lagi relevan agaknya, kerana penilaian “baik” zaman kini diukur bukanlah lagi pada nilaian atau piawaian wahyu tetapi adalah berdasarkan kayu ukur yang baru lagi bersifat moderate atas perkataan “ulama” bermanhaj modenis. Maka, dengan kriteria moden ini dapatlah kita menggabung serta mengkompromikan nilai keikhlasan, peribadahan, dan erti tawadhu’ dengan apa jua gerak kerja yang diberi wajah serta slogan “niat yang ikhlas lagi jujur”.



Makanya, dengan konsep kontekstual yang moden lagi toleransi kepada jiwa sanubari masyarakat yang mendabik diri sebagai pejuang modenisasi inilah segala permasalahan yang dulunya merupakan maksiat kini dapat dikompromikan sebagai suatu bentuk ibadah yang mempunyai nilai agama yang lebih unik dengan ciri estetika tersendiri. Maka, corak beragamanya manusia menjadi lebih indah, mudah, toleransi lagi relevan.



Maka, akhirnya bolehlah si perogol bersiri juga mendapat pahala dengan sujud syukur setelah gembira mendapat “nikmat” kepuasan dari si perempuan yang dirogolnya. Berpahala jugalah si pencuri dan perompak kasut di masjid-masjid apabila menadah tangan berdoa tanda syukur atas keuntungan jualan semula kasut-kasut terpakai tersebut, juga si pencuri motorsikal turut dipandang alim bila mana sudah tahu memulakan pencuriannya dengan lafaz basmallah, juga mendapat tempat yang mulia. Si perompak-perompak bank juga sudah tahu meng-asimilasikan kerjaya dengan konsep ubudiyyah kepada Tuhannya iaitu dengan menerapkan rasa ikhlas dalam setiap misi kerjanya. Sungguh perbuatan-perbuatan itu nampaknya sudah wajar diberi nilaian “standard ikhlas gred A++” dengan rasa “penuh kesyukuran” lantaran dihiasi ucapan memuji Tuhannya melalui ucapan alhamdulillah di akhir kejayaan tugasannya... Malah lebih cemerlang dan tertib apabila setiap permulaan tugasannya diawali dengan kalimah agung basmallah.



Ha ha ha... (maaf, hatiku tergelak spontan) Sungguh hebat sekali kalian menghalalkan kerja-kerja haram kalian ya...



Mungkinkah tidak lama akan datang nanti akan ada orang menghalalkan najis arak dan babi hanya dengan semudah melafazkan kalimah bismillah sebelum melahapnya dan mengucapkan hamdalah setelah kekenyangan???



Inilah sebuah perumpamaannya buat rakan-rakan artis di pentas popular yang dijulang bagaikan sekumpulan ulama dunia baru remaja masa kini. Oppss!!... bukan saja ulamanya golongan remaja, tetapi juga tokoh rujuk dan panel penampilan yang teraula generasi belia dan warga veteran yang moderate. Para ulama yang duduknya di masjid-masjid, mendidik dengan kitab-kitab hadis, serta mengajak dengan contoh suri tauladan bawaan Nabi, mana lagi terpakai. Semuanya perlu ditajdidkan dan disesuaikan dengan permintaan ramai. Lebih afdhal jika para ulama dan ustaz itu sendiri yang berpindah ke pentas tarian dan lakonan atas slogan “Niat baik lagi ikhlas dan murni” membetulkan masyarakat. Tidak sedarkah yang engkau sendiri sudah menjadi sumbang!!!



Rakan-rakan artis... Tidak kiralah engkau itu asalnya ulama ataupun ustaz. Yang memuzikkan al-Qur’an dan zikir menjadi hiburan bukan lagi Huda (petunjuk)...



Tatkala kau galak berpesta melanggar hukum Tuhan dengan penuh bangga, akhirnya tahu pula kalian mengungkap syukur... Tapi, sungguh aku pelik! Syukur untuk apa kalian itu? Untuk siapa kalian persembahkan kesyukuran kalian? Untuk Allah atau untuk Syaitan? Ataukah untuk memperli Tuhanmu? Atau untuk sekadar meletakkan landskap halal pada kandungan yang haram, bagai hotdog daging babi yang ditampal logo JAKIM kah? Atau mungkin kerana bangga lantaran selamat dari azab Tuhanmu kerana Dia tidak menyegerakan azab buatmu? Bolehlah buat lagi lepas ini...



Sewajarnya bukanlah kalian bersyukur atas anugerah dan kerja maksiatmu... Tapi bertaubatlah dan bersyukurlah atas peluang taubatmu yang masih ada itu. Berasa jijik dengan kepura-puraanmu itu...



Apakah kau rasa nikmat, bangga, dan gembira dengan maksiat memperagakan tubuh badanmu dengan cara yang haram lagi terlaknat? Kau bangga apabila dapat bergomolan dengan kaum bukan mahrammu? Kalian rasa seronok dan syukurkah dengan keadaan yang seperti itu? Yang diberi perumpamaan oleh Nabi mu yang jika kalian mengaku mengimaninya bahawa beliau saw ada menyatakan bahawa kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik dari bercampuran dengan kaum bukan sejenismu! Ataukah kalian bersyukur kerana berjaya mencabar Tuhanmu? Lantas bersikap mencontohi Syaitan, bangga di atas pentas durjana!!! Na’uzubillah...



Perbaikilah erti syukurmu. Kenalilah erti ikhlas yang benar. Tidaklah erti syukur itu kerana gembira melakukan keburukan, tetapi adalah apabila mendapatkan perkara yang baik menurut nilaian Tuhanmu dan menjauhi perkara-perkara keburukan yang dibenci oleh Tuhanmu serta dihindarkan dari hal-hal yang menyulitkanmu untuk melaksanakan tugasmu yang diredhai.



Dalam hadis Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya ada diriwayatkan sebagaimana maksudnya, “Bahawa dihidangkan kepada Rasulullah pada malam di mana beliau di-isra’kan berupa dua gelas khamar (arak) dan susu. Beliau memandang keduanya lalu mengambil susu, maka Jibrail berkata kepada beliau, “al-Hamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang telah menunjukkanmu kepada fitrah (jalan yang benar). Seandainya engkau mengambil khamar, niscaya umatmu tersesat”.” (Hadis Riwayat Muslim, dalam bab Rasulullah di-Isra’kan, no. 168)



Ini mempercontohkan kepada kita bahawa supaya mengucapkan pujian kepada Allah adalah apabila melaksanakan suatu hal yang baik menurut nilaian wahyu, bukan menurut baiknya pada hawa nafsu dan bukan atas hal yang terlarang.



Manakala meletakkan rasa syukur adalah atas nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kita dari sudut nilaian yang benar juga. Nikmat yang dimaksudkan dapat difahami sebagai suatu jalan yang baik-baik yang diredhai/disukai oleh Allah. Bukanlah nikmat itu adalah sedapnya melakukan sesuatu perkara atas nilaian hawa nafsu kita yang membelakangi petunjuk wahyu...




Ini dapat dilihat dari beberapa ayat berikut:


“Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Luth. Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing, sebagai nikmat dari Kami. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur (beriman di atas jalan yang benar), Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami, maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.” (QS 54: 34-36)



Bersyukur dengan menerima hal yang benar sebagaimana yang dapat difahami dari ayat berikut,


“Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (QS 76: 4)


“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur (yang tetap di atas jalan yang benar).” (QS 3: 144)



Dapat difahami bahawa bersyukur adalah dengan meletakkan diri kita di atas jalan yang benar dan bukanlah atas landasan dan perbuatan yang terkeluar dari kebenaran.



Apa yang sewajarnya bagi diri kita yang melakukan kesalahan, kesilapan dan menyedari dari perlakuan hal-hal yang maksiat adalah dengan menyegerakan taubat memohon keampunan kepada Allah s.w.t. lalu segera meninggalkan hal yang tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,


“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (QS 3: 135)



“Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (QS 151-152)



Aku belum habis lagi, tetapi hampir habis leteranku ini...



Sungguh untuk apakah kalian berbangga dengan kemenangan dan penerimaan anugerah “penyanyi mahupun aktor terbaik” itu? Adakah ia atas dasar menandakan hebatnya kalian dalam berlumba-lumba untuk menunjukkan siapakah pelaku maksiat terhebat abad ini? Ketahuilah bahawa takkan menjadi suci sesuatu yang memang jelas akan najisnya, begitulah perihalnya tidak akan halal daging babi dan arak selain meninggalkannya. Dan tidak akan berguna besi yang tidak dibuang karatnya. Begitulah juga tidak akan dipandang tinggi manusia yang meletakkan diri dalam kancah kemaksiatan... 


Wallahu a’lam... Semoga kita semua dibukakan ruang menuju ke jalan-Nya yang benar lagi diredhai-Nya...




Oh ya!... Tulisan ini juga ditujukan kepada si tukang sorak, tukang tepuk dan tukang undi para artis di pentas anugerah... 


Seronok...? 


Berhati-hati yaaa....