Tidak ku ingati entah untuk kali keberapa aku akan terus berpendirian sebegitu, hingga datang bukti yang diperakui dan jelas yang membuktikan kefahaman aku adalah melencong dari kebenaran.
Malam tadi aku menegaskan kembali kepada seorang sahabat lamaku ketika di sekolah menengah dahulu. Terlepas dari mulutnya dia menyatakan bahawa aku adalah pengikut Ulil Absar, padahal aku tidak pernah sama sekali mengikut telunjuk kaum yang tinggal di perhutanan, malah aku juga tidak pernah berkumpul-kumpul di persada Batu Buruk. Aku bukan beraliran Jaringan Islam Liberal. Bukan juga kaum tradisional. Malah bagi sesiapa yang mengenali aku yang sebenarnya, mereka pasti mengerti bahawa aku pengikut Islam Ortodok yang Fundemental.
Aku katakan padanya, "Tindakan meletakkan sesuatu bangsa atau budaya kepada Islam adalah merupakan suatu bentuk kezaliman. Malah Islam tidak boleh disangkutkan padanya sebarang bentuk rupa. Justeru menamakan "Tamadun Islam" atau "Muzium Kesenian Islam", atau "Senibina Islam" adalah suatu bentuk penisbahan nama yang sedikit gelabah dan tergesa-gesa. Yang benar ialah "Tamadun Arab", atau "Tamaddun Parsi", “Tamadun Sepanyol/Andalusia”, “Tamadun Turki”, atau "Senibina Mooris"". Lalu aku dimintanya beberapa hujjah oleh beliau.
Sesungguhnya wajarlah kita mengetahui, bahawa apabila disebut Islam, maka lawannya hanya ada satu iaitu Kafir atau musyrik. Tidak ada yang ketiga selepas Islam dan Kafir. Begitu juga tatkala para pejuang Islam berhaluan kiri yang kerjanya membangkang, ketika menerangkan jenis-jenis negara dari sisi agama; negara islam, negara kafir dan kemudian mereka munculkan satu lagi jenis iaitu negara umat islam. Ini suatu hal yang pelik! Kerana andainya begitu, harus wujud jenis ke 4 - negara umat kafir atau bahkan negara kafir. dan begitu juga harus wujud manusia Muslim, manusia Musyrik dan manusia yang Umat Musyrik! Justeru yang benar hanya ada dua, iaitu Islam atau Kafir.
Lalu jika dikatakan "ini senibina Islam" maka yang tidak mempunyai ciri-ciri sebegitu adalah "senibina Kafir"? Kalau disebut "ini Muzium Kesenian Islam" maka yang tidak ada di sana dipanggil sebagai "Muzium Kesenian Kafir"? Dan terus kita akan diingatkan dengan gagasan baru oleh tiga (3) buah negara untuk membina kereta Muslim, yang sesetengah orang berseloroh "kereta mukmin". maka yang selama ini kita pakai adalah kereta kafir? Bukankah ini satu hal yang lucu. Setelah adanya produk berbentuk ubat gigi mukmin, perubatan Islam, universiti Islam, dan seumpamanya... makanya apakah yang disebaliknya yang tidak dinamakan dengan Islam atau mukmin itu adalah tidak mukmin atau tidak muslim? Makanya, seraya dia dipanggil perubatan kafir, ubat gigi kafir, dan universiti kafir...
Cuba kita tanyakan pada para ahli hukum, apa yang Islam tunjukkan dalam seni dan apa yang dilarang? Pasti para Cendiakawan Hukum akan berkata bahawa Islam menggariskan beberapa perkara dalam seni dan menetapkan sedikit larangan, yang semuanya adalah harus. Hinggakan terwujud satu prinsip umum yang dibina oleh Ibn Taimiyyah: "Asal Adat adalah harus hingga didatangkannya dalil yang melarang".Lalu apakah boleh kita katakan "ini seni Islam" padahal Islam tidak menyatakannya langsung! Malah Islam berlepas diri dari penamaan sebegini.
Aku tanyakan lagi, apakah seni itu sebenarnya terbit dari bangsa Arab? atau setelah nubuwah (kenabian), yang mana Muhammad saw mengubahnya menjadi suatu seni yang baru? Tetapi yang nyata Baginda saw meneruskan seni rupa yang wujud dan menghapuskan beberapa seni yang dilarang. Kemudian apakah Rasul yang memasukkan seni kubah dan menara dalam pembinaan masjid? Pastinya tidak. Kemudiannya tatkala Islam merembah ke China, sehingga kaum muslim di sana membina masjid dengan senibina budaya mereka, iaitu atapnya genting, kubahnya menajam dan menipis, di cat pula dengan warna merah, apakah masjid itu bersenikan buddha? Kemudian pendakwah datang ke tanah kita dan mengislamkan raja-raja kita, dan kita mula bangunkan masjid dengan awan larat dan segala rupa budaya tukang kita, maka apakah yang kita bangunkan itu adalah seni Hindu-Melayu? Begitu juga saat kerajaan Delhi membina Kota Agra, Taj Mahal dan banyak monumen lain yang bersenikan bangsa India, apakah boleh kita katakan semuanya adalah seni Hindu?
Lalu apakah boleh kita katakan semua ini? Pastinya tidak.
Rupanya bukan setakat itu sahaja kesalahan kita berhenti. Ketika kita meletakkan seni budaya Arab-Parsi sebagai "seni yang di-syahadahkan, dikhatankan dan di-Islamkan" maka kita telah menzalimi seluruh rupa seni yang ada di muka bumi ini dengan memberikan "kekafiran" tanpa sengaja dan tanpa sedar.
Ketika Islam membuka Turki, dan memasuki Hagya Sofia dan menukarnya dari Gereja kepada sebuah Masjid, mereka tidak menukar pun seninya walau seinci, melainkan membuang tanda salib dan ciri-ciri keagaman Nasrani. Dan mereka terus beribadah di dalamnya sehingga zaman kegemilangan kerajan mereka malap. Begitu juga saat aku menekan-nekan bebutang di papan kekunci ini, apakah papan kekunci ini bersenikan kekafiran?
Begitu juga sesetengah para ulama kita yang berserban dan berjubah, kadang yang bertasbih itu akan memandang sinis pada seorang yang berkemeja dan berseluar jean. Kononnya kita telah memakai pakaian yang tidak sopan, pakaian bangsa kafir. Padahal ketika nubuwah, Rasul tidak melucutkan jubahnya, tidak juga melurutkan serbannya, kerana jubah dan serban itu dipakai oleh pakciknya si Abu Jahal, dan kerana jubah dan serban itu pakaian bangsa Quraisy yang musyrik. Tetapi beliau tetap memakainya sehingga rohnya dijemput Tuhan. Apakah Nabi telah memakai pakain kufur? Pasti tidak!
Begitu juga saat seorang mat saleh yang memeluk Islam di kota New York atau di kota London, apakah dia harus membuang segala pakaiannya dan menggantikannya dengan pakaian Arab? Dia harus menggantikan topinya dengan semutar dan ketayap? Rasanya tidak, malah perbuatan memakai pakaian pelik di kalangan masyarakat setempat adalah terlarang andai membawa fintah.
Sesungguhnya Islam tidak pernah memberi satu bentuk pakaian sahaja, yang diberi petunjuk hanyalah prinsip-prinsip berpakaian, sehingga dengan itu seluruh umat Islam mendapat keluasan dan kesenangan dalam berbusana. Yang pasti, kita tidak seharusnya mencerca pakaian orang lain, malah adalah terlarang menghina pakaian Baginda saw.
Kemudian kesalahan kita makin membesar sehinggakan kita menamakan tamadun Arab dan Parsi itu sebagai Tamadun Islam. Tetapi kita berlaku curang dengan menamakan Tamadun Hindu dengan "Indus (merujuk nama tempat)", tamadun Budha-Cunfusius dengan "Tamadun China (merujuk nama tempat)", tamadun Nasrani dengan "Barat (merujuk nama tempat)". Kenapa semua Tamadun-tamadun besar itu tidak dinisbahkan kepada nama agamanya sahaja?
Apa alasan kita untuk berbuat begitu? Aku masih ingat ketika aku mempersoalkan penamaan ini kepada pensyarah aku. Dia (guru aku) menegaskan bahawa hanya Islam yang melahirkan Tamadun. Ini satu hal yang tidak benar. Jika kita suka meneliti, bahawa segala tamadun silam lahir dari semangat kepercayaan, iaitu mereka semua ingin memenuhi kehendak tuhan lalu mereka bangunkan biara, mereka merenung bulan, membuat segala alat dan teknik serta tercipta segala ilmu.
Kemudiannya, kalaulah itu merupakan tamadun Islam, maka harus bagi setiap negara yang menjadi negara Islam memiliki teknologi dan ilmu yang serupa. Kalau tidak pun, yang hampir sama. Kerana kita telah menetapkan bahawa tamadun ini di bina atas tunjang Islam. Tetapi kelihatannya; ilmu, teknologi, alat, serta kehebatan itu hanya ada dalam ruang lingkup sesuatu kerajaan dan bangsa geografi sahaja. Justeru bagaimana mahu kita jelaskan kepada dunia akan kalimat "Tamadun Islam" dan penafian kepada tamadun agama lain?
Justeru kalimat yang sebenarnya adalah Tamadun itu harus dinasabkan kepada kerajaan yang tertegak, atau kepada bangsa yang membina tamadun itu semata-mata, tanpa harus di'bin'kan kepada sebarang penamaan agama.
Sesunguhnya mungkinkah para cerdik pandai kita telah bersikap gelojoh saat menisbah-namakan Islam kepada Kesenian dan Ketamadunan. Sehingga penaman itu tidak memiliki hujjah yang kuat dan mereka terpaksa berputar-putar untuk mengukuhkan kehujjahan mereka.
Kita tidak harus berasa malu jika kita melepaskan nama "Islam" pada seni atau budaya atau tamadun. Kerana Islam tetap milik Allah swt. Malah bangsa kita ini banyak sangat berkhayal hal-hal silam yang tidak memberi kita sebarang kemajuan dalam berfikir dan kemajuan kebendaan.
Tidak perlulah terlalu banyak alasan dalam sikap serta prinsip beragama. Sehingga mungkin kaum sufi yang menuhankan Jalaluddin Rumi akan berkata: Tarian kami ini adalah tarian Islamik (seni Islam).
Yang kita harapkan ialah kita beragama dengan Islam yang suci malah tidak terkontaminasi (tercemar). Kita singkirkan khurafat-khurafat dan tahyul-tahyul. Kerana yang dinamakan Islam itu bermula dari lubuk akidahnya...
Sebagai mengakhiri coretan ini, renungilah maksud kalam Allah ini:
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (QS 3: 11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan