Tiba-tiba sebuah perbualan berlangsung sebagaimana berikut,
Lelaki A:
Ustaz, apa makhluk yang mula-mula diciptakan oleh Allah?
Ustaz:
Yang mula-mula diciptakan adalah al-Qalam, iaitu pena.
Lelaki B:
Bila pula Allah ciptakan alam semesta ni ye ustaz? Ada tarikh dia tak?
Ustaz:
Wallahu a’lam... saya tak tahu. (Ustaz berkerut dahi)
Lelaki B:
Apa yang Allah buat sebelum ciptakan langit dan bumi ni ustaz?
Lelaki A:
Ye la ustaz, boleh tak ustaz ceritakan sikit? Takkan Allah tak buat apa-apa, takkan Allah duk termenung je takde nak buat apa-apa sebelum tu?
Ustaz:
Yang korang ni tiba-tiba tanya perkara-perkara yang merepek ni kenapa? Kira ok lah kalau benar Allah tu termenung [1] sekalipun. Daripada tiba-tiba Dia lempang je korang ni, membuatkan engkau orang berdua tertonggeng! Baru korang tau apa yang Allah buat... (Dengan nada yang sedikit keras)
Lelaki A & B:
Terdiam, terkedu, dan terkesima...
Komen aku:
Perkara-perkara yang diluar pengetahuan kita, dari hal-hal yang ghaib (tidak dapat dikesan melalui pancaindera) dan tiada sumber wahyu yang memberitahukannya kepada kita, maka diamkanlah. Jangan pulak kita nak mempertanya-tanyakan persoalan-persoalan yang kita tiada diberi pengetahuan tentangnya. Jangan juga kita mengada-adakan sesuatu yang diluar maklumat pengetahuan kita. Banyak lagi perkara-perkara lain yang terzahir yang belum mampu kita kuasai dan fahami. Kenapa pula kita harus perlu melompat kepada perkara yang di luar bidang kuasa pengetahuan pancaindera kita??? Tidak cukupkah apa yang Allah telah beritahukan kepada kita?
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya...” (QS 6: 59)
“...dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS 17: 85)
Katakanlah tiba-tiba seorang manusia yang tidak pernah pun rapat dengan kita dan tidak pernah mengenali kita secara tepat, menceritakan hal peribadi kita kepada orang lain dengan fakta-fakta yang tidak betul sama sekali, malahan si pendengar cerita orang tersebut pula bertanya dengan pelbagai hal tentang diri kita. Orang yang tersebut pun menceritakan tentang kita dengan hentam keromo sahaja...
Tentu kita marah bukan, kerana ada orang yang menceritakan hal kita dengan konteks yang tidak benar fakta-faktanya, malah kita sendiri tidak pernah memberitahukan kepadanya, tentulah kita rasa pelik dengan orang tersebut seolah-olah tahu segala-galanya tentang kita... Dan bukanlah itu yang kita kehendaki untuk diceritakan tentang diri kita...
“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.” (QS 17: 36)
“Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (QS 2: 169)
The point is – Janganlah kita mendahului Allah dalam berbicara & perbuatan... Cukuplah petunjuk wahyu dari al-Qur’an dan sunnah Rasul-Nya buat kita. Kita tidak lebih tahu dari-Nya melainkan melalui petunjuk-Nya yang benar.
Wallahu a’lam...
Footnote:
[1] wallahu a’lam, tidak pernah aku menemui atau diberitahukan perihal adanya dalil yang menetapkan atau menafikan bahawa Allah itu memiliki sifat termenung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan