Popular Posts

Sabtu, 1 Oktober 2016

APABILA MAKSIAT DISYUKURI...





Ketika baru sahaja sampai di sebuah gerai makan, sungguh aku pelik untuk beberapa saat dan ketikanya apabila terlihat ada juga si pelaku maksiat masih tahu untuk bersyukur dan mengungkapkan Alhamdulillah (kata pujian buat Tuhan) dengan “ikhlasnya” tatkala berjaya melaksanakan “tugasnya”... Mungkinkah mereka tidak mengerti agaknya (sekadar bersangka baik).



Sungguh merupakan suatu yang benar lagi sahih apabila kita menerima khabar mahu pun melangsaikan sesuatu tugasan yang disukai mengakhiri dengan rasa kesyukuran dan ucapan zikir hamdalah (pujian kepada Allah). Namun ia bukanlah sesuatu yang umum mencakupi untuk semua hal yang kita sukai menurut hawa nafsu kita. Tetapi ia sebenarnya ada pengkhususan, iaitu pada skop-skop pekerjaan yang BUKAN maksiat lagi tidak diredhai Allah.



Tetapi, mungkin ia sudah tidak lagi relevan agaknya, kerana penilaian “baik” zaman kini diukur bukanlah lagi pada nilaian atau piawaian wahyu tetapi adalah berdasarkan kayu ukur yang baru lagi bersifat moderate atas perkataan “ulama” bermanhaj modenis. Maka, dengan kriteria moden ini dapatlah kita menggabung serta mengkompromikan nilai keikhlasan, peribadahan, dan erti tawadhu’ dengan apa jua gerak kerja yang diberi wajah serta slogan “niat yang ikhlas lagi jujur”.



Makanya, dengan konsep kontekstual yang moden lagi toleransi kepada jiwa sanubari masyarakat yang mendabik diri sebagai pejuang modenisasi inilah segala permasalahan yang dulunya merupakan maksiat kini dapat dikompromikan sebagai suatu bentuk ibadah yang mempunyai nilai agama yang lebih unik dengan ciri estetika tersendiri. Maka, corak beragamanya manusia menjadi lebih indah, mudah, toleransi lagi relevan.



Maka, akhirnya bolehlah si perogol bersiri juga mendapat pahala dengan sujud syukur setelah gembira mendapat “nikmat” kepuasan dari si perempuan yang dirogolnya. Berpahala jugalah si pencuri dan perompak kasut di masjid-masjid apabila menadah tangan berdoa tanda syukur atas keuntungan jualan semula kasut-kasut terpakai tersebut, juga si pencuri motorsikal turut dipandang alim bila mana sudah tahu memulakan pencuriannya dengan lafaz basmallah, juga mendapat tempat yang mulia. Si perompak-perompak bank juga sudah tahu meng-asimilasikan kerjaya dengan konsep ubudiyyah kepada Tuhannya iaitu dengan menerapkan rasa ikhlas dalam setiap misi kerjanya. Sungguh perbuatan-perbuatan itu nampaknya sudah wajar diberi nilaian “standard ikhlas gred A++” dengan rasa “penuh kesyukuran” lantaran dihiasi ucapan memuji Tuhannya melalui ucapan alhamdulillah di akhir kejayaan tugasannya... Malah lebih cemerlang dan tertib apabila setiap permulaan tugasannya diawali dengan kalimah agung basmallah.



Ha ha ha... (maaf, hatiku tergelak spontan) Sungguh hebat sekali kalian menghalalkan kerja-kerja haram kalian ya...



Mungkinkah tidak lama akan datang nanti akan ada orang menghalalkan najis arak dan babi hanya dengan semudah melafazkan kalimah bismillah sebelum melahapnya dan mengucapkan hamdalah setelah kekenyangan???



Inilah sebuah perumpamaannya buat rakan-rakan artis di pentas popular yang dijulang bagaikan sekumpulan ulama dunia baru remaja masa kini. Oppss!!... bukan saja ulamanya golongan remaja, tetapi juga tokoh rujuk dan panel penampilan yang teraula generasi belia dan warga veteran yang moderate. Para ulama yang duduknya di masjid-masjid, mendidik dengan kitab-kitab hadis, serta mengajak dengan contoh suri tauladan bawaan Nabi, mana lagi terpakai. Semuanya perlu ditajdidkan dan disesuaikan dengan permintaan ramai. Lebih afdhal jika para ulama dan ustaz itu sendiri yang berpindah ke pentas tarian dan lakonan atas slogan “Niat baik lagi ikhlas dan murni” membetulkan masyarakat. Tidak sedarkah yang engkau sendiri sudah menjadi sumbang!!!



Rakan-rakan artis... Tidak kiralah engkau itu asalnya ulama ataupun ustaz. Yang memuzikkan al-Qur’an dan zikir menjadi hiburan bukan lagi Huda (petunjuk)...



Tatkala kau galak berpesta melanggar hukum Tuhan dengan penuh bangga, akhirnya tahu pula kalian mengungkap syukur... Tapi, sungguh aku pelik! Syukur untuk apa kalian itu? Untuk siapa kalian persembahkan kesyukuran kalian? Untuk Allah atau untuk Syaitan? Ataukah untuk memperli Tuhanmu? Atau untuk sekadar meletakkan landskap halal pada kandungan yang haram, bagai hotdog daging babi yang ditampal logo JAKIM kah? Atau mungkin kerana bangga lantaran selamat dari azab Tuhanmu kerana Dia tidak menyegerakan azab buatmu? Bolehlah buat lagi lepas ini...



Sewajarnya bukanlah kalian bersyukur atas anugerah dan kerja maksiatmu... Tapi bertaubatlah dan bersyukurlah atas peluang taubatmu yang masih ada itu. Berasa jijik dengan kepura-puraanmu itu...



Apakah kau rasa nikmat, bangga, dan gembira dengan maksiat memperagakan tubuh badanmu dengan cara yang haram lagi terlaknat? Kau bangga apabila dapat bergomolan dengan kaum bukan mahrammu? Kalian rasa seronok dan syukurkah dengan keadaan yang seperti itu? Yang diberi perumpamaan oleh Nabi mu yang jika kalian mengaku mengimaninya bahawa beliau saw ada menyatakan bahawa kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik dari bercampuran dengan kaum bukan sejenismu! Ataukah kalian bersyukur kerana berjaya mencabar Tuhanmu? Lantas bersikap mencontohi Syaitan, bangga di atas pentas durjana!!! Na’uzubillah...



Perbaikilah erti syukurmu. Kenalilah erti ikhlas yang benar. Tidaklah erti syukur itu kerana gembira melakukan keburukan, tetapi adalah apabila mendapatkan perkara yang baik menurut nilaian Tuhanmu dan menjauhi perkara-perkara keburukan yang dibenci oleh Tuhanmu serta dihindarkan dari hal-hal yang menyulitkanmu untuk melaksanakan tugasmu yang diredhai.



Dalam hadis Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya ada diriwayatkan sebagaimana maksudnya, “Bahawa dihidangkan kepada Rasulullah pada malam di mana beliau di-isra’kan berupa dua gelas khamar (arak) dan susu. Beliau memandang keduanya lalu mengambil susu, maka Jibrail berkata kepada beliau, “al-Hamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang telah menunjukkanmu kepada fitrah (jalan yang benar). Seandainya engkau mengambil khamar, niscaya umatmu tersesat”.” (Hadis Riwayat Muslim, dalam bab Rasulullah di-Isra’kan, no. 168)



Ini mempercontohkan kepada kita bahawa supaya mengucapkan pujian kepada Allah adalah apabila melaksanakan suatu hal yang baik menurut nilaian wahyu, bukan menurut baiknya pada hawa nafsu dan bukan atas hal yang terlarang.



Manakala meletakkan rasa syukur adalah atas nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kita dari sudut nilaian yang benar juga. Nikmat yang dimaksudkan dapat difahami sebagai suatu jalan yang baik-baik yang diredhai/disukai oleh Allah. Bukanlah nikmat itu adalah sedapnya melakukan sesuatu perkara atas nilaian hawa nafsu kita yang membelakangi petunjuk wahyu...




Ini dapat dilihat dari beberapa ayat berikut:


“Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Luth. Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing, sebagai nikmat dari Kami. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur (beriman di atas jalan yang benar), Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami, maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.” (QS 54: 34-36)



Bersyukur dengan menerima hal yang benar sebagaimana yang dapat difahami dari ayat berikut,


“Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (QS 76: 4)


“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur (yang tetap di atas jalan yang benar).” (QS 3: 144)



Dapat difahami bahawa bersyukur adalah dengan meletakkan diri kita di atas jalan yang benar dan bukanlah atas landasan dan perbuatan yang terkeluar dari kebenaran.



Apa yang sewajarnya bagi diri kita yang melakukan kesalahan, kesilapan dan menyedari dari perlakuan hal-hal yang maksiat adalah dengan menyegerakan taubat memohon keampunan kepada Allah s.w.t. lalu segera meninggalkan hal yang tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,


“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (QS 3: 135)



“Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (QS 151-152)



Aku belum habis lagi, tetapi hampir habis leteranku ini...



Sungguh untuk apakah kalian berbangga dengan kemenangan dan penerimaan anugerah “penyanyi mahupun aktor terbaik” itu? Adakah ia atas dasar menandakan hebatnya kalian dalam berlumba-lumba untuk menunjukkan siapakah pelaku maksiat terhebat abad ini? Ketahuilah bahawa takkan menjadi suci sesuatu yang memang jelas akan najisnya, begitulah perihalnya tidak akan halal daging babi dan arak selain meninggalkannya. Dan tidak akan berguna besi yang tidak dibuang karatnya. Begitulah juga tidak akan dipandang tinggi manusia yang meletakkan diri dalam kancah kemaksiatan... 


Wallahu a’lam... Semoga kita semua dibukakan ruang menuju ke jalan-Nya yang benar lagi diredhai-Nya...




Oh ya!... Tulisan ini juga ditujukan kepada si tukang sorak, tukang tepuk dan tukang undi para artis di pentas anugerah... 


Seronok...? 


Berhati-hati yaaa....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan