Popular Posts

Selasa, 8 November 2016

MATEMATIK TAMBAHAN : RESEPI KEJAYAAN I





Ramai pelajar cuba mengorek rahsia kejayaan saya. Bagaimana cikgu belajar masa dulu??? Bagaimana cikgu boleh ingat beratus-ratus formula di dalam kepala cikgu??? Bagaimana cikgu boleh menyelesaikan masalah Addmath dengan cepat, dengan sekali lihat sahaja??? Bermacam-macam hal mereka tanyakan pada saya. Semuanya menunjukkan kekaguman mereka terhadap diri saya. Saya tersenyum sahaja. 



Sebenarnya tidak ada apa-apa pun yang pelik. Saya hanya cuma budak kampung sahaja. Daya intelek saya pun pada tahap sederhana sahaja. Bukan genius pun. 



Baiklah saya akan ceritakan. Saya mulakan dengan resipi pertama dahulu. SAYA MENCINTAI MATEMATIK. Itulah sebenarnya resipi pertama saya. Perkataan CINTA itu menggambarkan minat saya yang betul-betul mendalam padanya. Saya pantang berjumpa dengan soalan matematik. Kalau berjumpa, saya akan cuba untuk segera menyelesaikannya. Kalau tajuk soalan itu dah saya pelajari, saya akan selesaikannya secepat mungkin. Kalau belum dipelajari lagi, saya akan simpan dahulu soalan tersebut sehingga sampai waktunya. 




PENGALAMAN 1 : Semasa saya belajar dahulu, saya pernah terjumpa secebis soalan Addmath di atas rumput. Hanya satu soalan sahaja. Seingat saya, soalan persamaan dari tajuk TRIGONOMETRI Tingkatan 5. Saya mengambilnya dan menciumnya berkali-kali. Saya benar-benar menyayanginya. Soalan itu mungkin terjatuh. 


Kebetulan tajuk itu sudah saya pelajari. Maka saya segera menyelesaikannya. Kemudian bila saya berbincang bersama rakan tentang jawapannya, memang jawapan saya betul. Alhamdulillah,. saya jadi tambah bersemangat. 


Kemudian soalan itu saya ubahsuai sehingga menjadi beberapa soalan lagi. Saya hanya tukar anu (variable)nya. Alhamdulilah, saya boleh menyelesaikan semuanya dengan baik. Barangkali kerana berkat saya mencium dan mengasihi soalan pertama itu tadi, maka kefahaman saya dan semangat saya terus bertambah-tambah. Dan sehingga sekarang pun, kenangan itu masih melekat di jiwa saya. Sebuah pengalaman yang indah dan cantik. 




KONTRA MASA SEKARANG : Saya melihat ramai pelajar sekarang suka membuang nota pelajaran (tak kira nota panjang / ringkas) di merata-rata tempat. Mereka semacam tidak menghargai dan menyayangi ilmu yang mereka pelajari. Itu sangat menyalahi adat orang belajar dan sangat berbeza daripada trend pelajar-pelajar di zaman saya. Keberkatan hanya terhasil jika kita menghargai sesuatu. 


Ada sesetengahnya meletakkan buku di bawah, sama paras dengan kaki mereka. Ini pun tidak sopan dan boleh menghilangkan keberkatan ilmu yang dipelajari.. Ibu saya sangat pantang tentang perkara tersebut. Kalau dia tahu, segera dia meleteri saya. Saya pun pantang juga. Cukup benci. 


Lebih teruk lagi sekarang, ada yang membuang buku teks, buku rujukan dan kertas soalan peperiksaan (PMR &, SPM) di merata-rata tempat. Pada saya, itu sangat biadap dan langsung tidak mengetahui adab-adab sopan belajar ilmu. Apa nak jadi sebenarnya??? 


Kuat perasaan saya untuk mengatakan bahawa mereka sebenarnya tidak patut berada di bangku sekolah. Berikan mereka kerja yang sesuai. Kerja itu lebih berfaedah untuk mendidik mereka menjadi manusia SEDAR. Maksud saya, inilah kerja yang SEPADAN dengan kamu yang malas belajar dan TIDAK MENGHORMATI ILMU. . . 




PENGALAMAN 2 : Pada tahun 1990, saya pernah membeli sebuah buku kerja Addmath yang bersaiz sederhana dan berkulit nipis. Lebih kurang semacam buku Easymath. Kat mana saya beli, saya pun dah lupa. Tetapi buku itu amat saya sayangi. Saya gunakan buku itu semaksimum dan seoptimum mungkin. Habis semua latihan di dalamnya saya bantai. Tidak tersisa satu pun. 


Kemudian saya ulangi lagi membuat semua latihan di dalamnya. Berulang-ulang lagi, sehingga saya lupa entah berapa kali. Buku itu jadi lusuh kerana terlalu kerap digunakan. Di dalamnya penuh dengan contengan formula dan jalan kerja saya. Tetapi saya bangga dengan kelusuhan dan contengan itu. Memang saya menyayangi buku itu. Tetapi ia hilang entah ke mana. Mungkin kerana saya terlalu kerap berpindah. 




KONTRA MASA SEKARANG : Mereka membeli buku rujukan atau buku apa sahaja, tetapi mereka tidak menggunakannya sekuat daya mereka. Buku itu kelihatan cantik sahaja. Bersinar dan bercahaya seperti cermin yang tidak terusik. Bila sebenarnya, mereka menggunakan buku itu??? 


Pelajar-palajar zaman sekarang relatifnya sangat manja. Buku teks pun tidak digunakan sepenuhnya. Latihan-latihan di dalamnya tidak dibuat seperti di zaman saya. Sepatutnya mereka berusaha menggunakan buku itu sehabis daya mereka. Lebih teruk lagi, latihan / skill practice yang cikgu suruh pun, tak buat juga. Teruk betul. Pemalas. Macam mana nak berjaya. 




PENGALAMAN 3 : Guru Matematik Moden saya bernama En Farid, manakala guru Matematik Tambahan saya pulak bernama En Wahid. Kedua-duanya berambut kerinting. En Farid itu kecil sikit orangnya, tetapi En Wahid itu berbadan besar dan sasa. Saya diajar oleh kedua-dua ibubapa saya supaya menghormati guru pada setiap masa, setiap ketika dan setiap tempat. 


Kata ibu saya, guru adalah manusia suci (maksudnya, berhati suci) yang penuh berkat. Kerana itu, saya sangat meyayangi kedua-dua guru saya di atas dan juga para guru yang lain. Saya tidak pernah memberontak terhadap mana-mana guru saya, membenci mereka walaupun sekelumit, menyumpahi mereka dengan kata-kata yang tidak sopan atau berniat buruk terhadap mereka. Mereka adalah manusia suci yang penuh berkat pada saya. Merekalah mutiara hidup saya dan pujaan hati saya, selain kedua-dua ayah bonda saya. 


Bila saya menjadi guru seperti sekarang, barulah saya tahu nilai kasih sayang seorang guru terhadap murid-muridnya. Semua guru mempunyai sikap mulia seperti itu. Mereka mengajar tanpa pilih kasih, tanpa mengira penat dan lelah, tanpa mengira bangsa dan darjat, tanpa mengira jantina / gender, tanpa mengira status atau kedudukan murid. 


Mereka mengambil sikap adil untuk memberi yang terbaik kepada pelajar-pelajar mereka. Saya pun sama. Saya tidak suka pilih kasih. Saya memuji dan mengasihi sesiapa sahaja yang baik dan mendengar kata. Dan dalam menghukum pelajar, saya juga tidak pilih kasih. Sesiapa sahaja akan saya marahi tanpa mengira siapa dia. . 


Sebab itu, saya menyeru kepada semua pelajar saya, bekas-bekas pelajar saya dan semua pelajar di seluruh Malaysia, kasihilah guru anda, muliakanlah mereka dan sayangilah mereka. 


Mereka memberikan kamu ilmu untuk menjadikan kamu pandai dan berjaya di dalam hidup. Pulangan kesenangan bukan untuk MEREKA, tetapi untuk KAMU semata-mata. Bersandarkan kepada sabdaan Nabi Muhammad S.A.W, yang maksudnya (l.k) RENDAHKANLAH DIRIMU KEPADA ORANG YANG MENGAJAR KAMU, maka fahamlah kita bahawa semakin kita menghormati guru kita, maka semakin berkatlah hidup kita. Insya Allah. 


Sebab itulah, saya menyeru kepada semua, CINTAILAH ILMU, CINTAILAH BUKU SEBAGAI MEDIUM ILMU, CINTAILAH GURU YANG MEMBERIKAN KAMU ILMU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan