Popular Posts

Selasa, 1 November 2016

BAHASA MELAYU : CONTOH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN SPM





Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesanya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Sdney 2000 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.


Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.


Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.


Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.




Contoh Jawapan Lemah


Petikan membincangkan faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan di negara kita dan langkah-langkahnya.


Salah satu faktor yang menghalang pembangunan sukan ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Sesetengahnya pula menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi. Kegagalan atlet pula sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan sendiri. Pengkritik sukan berpendapat bahawa sistem pendidikan lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan ibu bapa juga mementingkan pelajar anak-anak mereka. Di samping itu,moral atlet kita dikatakan rendah dan mengaku kalah.


Kesan yang dialami ialah kemerosotan mutu sukan di peringkat negara dan juga antarabangsa. Kerajaan juga telah mengalami kerugian kerana telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan tanah air.


Kesimpulannya, semua pihak mestilah menangani masalah ini dengan segera.

[123 patah perkataan]




Ulasan Pemeriksa



1. Pelajar mengemukakan pendahuluan tanpa mengubah arahan atau kata kunci pertama.


2. Isi tersurat
-Pelajar hanya mengemukakan 5 isi yang memberi 10 markah. Sewajarnya pelajar mesti mengemukakan satu lagi isi tersurat


3. Isi tersirat
-Pelajar gagal mengemukakan 2 isi tersirat. Isi tersirat kedua merupakan isi tersurat. Sewajarnya pelajar menulis sekurang-sekurangnya dua isi tersirat untuk memperoleh 4 markah.


4. Kesimpulan yang di tulis oleh pelajar tidak lengkap kerana tidak menggabungkan ayat berbentuk cadangan dengan ayat berbentuk harapan seperti yang disarankan di samping tidak ada kata hubung agar/supaya.




Jawapan Yang Dibaiki


Petikan membincangkan punca-punca yang membantutkan pembangunan sukan negara.

Antara puncanya ialah sikap profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain[S1] di samping sikap mereka yang menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.[S2] Selain itu, mereka menuding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan diri.[S3] Mereka harus menyedari bahawa kegagalan atlet dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan[S4] di samping sikap mereka sebagai perencang sukan tidak mempunyai visi.[S5] Seperkara lagi, sistem pendidikan mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid daripada menyertai sukan.[S6]


Antara kesannya ialah mutu sukan semakin merosot di peringkat negara dan antarabangsa.[T1] Selain itu, atlet tidak dapat menjalani latihan intensif sama ada di dalam ataupun di luar negara kerana persatuan tidak mempuyai kos untuk membiayai mereka.[T2]


Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama menanganinya supaya mutu sukan akan terus meningkat maju. 

[124 Patah Perkataan]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan