“Kakak menunggu siapa?” aku cuba bertanya. “Tunggu suami” jawabnya. Aku melihat disampingnya ada sebuah beg laptop dan sebuah beg besar yang tidak dapat aku teka apa isinya. Dalam hati tertanya-tanya, dari mana kakak ini? Kelihatan seperti seorang wanita yang berkerjaya.
Akhirnya ku beranikan juga diri untuk bertanya, “Kakak kerja dimana?”
“Alhamdulillah 2 jam yang lalu saya rasmi tidak bekerja lagi” , jawabnya dengan wajah yang aneh menurutku, wajah yang bersinar dengan ketulusan hati.
“Kenapa?” tanyaku lagi.
Dia hanya tersenyum dan menjawab, “Kerana inilah satu cara yang mampu membuat saya lebih hormat pada suami” jawabnya tegas.
Aku berfikir sejenak, apa hubungannya? Hairan. Lagi-lagi dia hanya tersenyum.
" Adik, boleh saya cerita sedikit? Dan saya berharap ini dapat menjadi pelajaran berharga buat kita para wanita yang Insya Allah akan didatangi oleh lelaki yang sangat mencintai akhirat".
“Saya bekerja di sebuah syarikat multinasional, mungkin tidak perlu saya sebutkan nama syarikatnya. Gaji saya RM70,000 sebulan. Suami saya bekerja sebagai penjual roti canai di pagi hari dan aiskrim goreng pada waktu tengahari serta petang. Kami baru berkahwin 3 bulan lalu dan kelmarinlah untuk pertama kalinya saya menangis kerana merasa derhaka padanya.
Waktu itu jam 7 malam, suami baru menjemput saya dari pejabat, padahal saya pulang pada pukul 5 petang. Hari ini dia lewat. Saya sangat letih dan sakit kepala, begitu juga dengan suami saya yang turut sakit kepala. Sesampai dirumah, suami minta diambilkan air minum untuknya, tetapi saya berkata, “Abang, saya sakit kepala nie, Abang ambil sendirilah”.
Sakit kepala yang bersangatan membuat saya tertidur hingga lupa solat Isyak. Jam 11.30 malam, saya terbangun dan cepat-cepat solat, Alhamdulillah sakit kepala pun semakin mereda. Beranjak dari sejadah, saya melihat suami saya tidur dengan nyenyaknya. Menuju ke dapur, saya lihat semua pinggan mangkuk sudah dibasuh. Siapa lagi jika bukan suami saya yang mencucinya. Terlihat lagi semua baju kotor telah di basuh dan dijemur. Astagfirullah, kenapa Abang membuat kerja rumah ini. Bukankah Abang juga sakit kepala awal malam tadi? Saya segera masuk ke bilik, berharap agar Abang sedar dan mahu menjelaskannya, tetapi rasanya Abang terlalu letih, hingga tidak sedar juga. Rasa hiba mulai memenuhi jiwa saya. Saya usap wajah suami saya itu, ya Allah panasnya pipi dan dahinya, Masya Allah, Abang demam panas. Saya teringat atas perkataan terakhir saya pada suami tadi. Dia hanya meminta diambilkan air minum sahaja, tetapi saya membantahnya. Airmata ini menitis, betapa selama ini saya terlalu sibuk diluar rumah, tidak memperhatikan hak suami saya.”
Subhanallah, aku melihat kakak ini bercerita dengan semangatnya, membuat hati ini turut sama merasai kesedihannya. Dan ku lihat juga ada titisan airmata yang di usapnya.
“Adik tahu berapa gaji suami saya? Sangat berbeza jauh dengan gaji saya. Sekitar RM1,600-1,700.00 sebulan. Dan malam itu saya benar-benar merasa derhaka pada suami saya. Dengan gaji yang saya miliki, saya merasa tidak perlu meminta nafkah pada suami, walaupun suami selalu memberikan hasil jualannya itu pada saya. Dan setiap kali memberikan hasil jualannya , dia selalu berkata, “Sayang, ini ada titipan rezeki dari Allah, ambillah ya! Buat keperluan kita, walau tidak banyak jumlahnya, mudah-mudahan Sayang redha”, begitu katanya.
Kenapa baru sekarang saya merasakan dalamnya kata-kata itu. Betapa harta ini membuat saya sombong pada nafkah yang diberikan suami saya”, lanjutnya.
“Alhamdulillah saya sekarang memutuskan untuk berhenti kerja. Mudah-mudahan dengan jalan ini, saya lebih dapat menghargai nafkah yang diberikan suami. Wanita itu sifatnya begitu susah menjaga harta, dan kerana harta juga wanita sering lupa kudratnya, dan lebih malang, memperlekehkan pula si suami.” Lanjutnya lagi, tidak memberikan kesempatan untuk ku untuk berbicara.
“Beberapa hari yang lalu, saya berkunjung ke rumah ibubapa saya dan menceritakan niat saya ini. Saya sedih, kerana ibubapa dan adik beradik saya tidak ada yang menyokong niat saya untuk berhenti berkerja . Malah mereka membanding-bandingkan pekerjaan suami saya dengan orang lain.”
Aku masih terdiam, bisu, mendengar keluh kesahnya. Subhanallah,,apa aku mampu seperti dia? Menerima susuk suami apa adanya, bahkan rela meninggalkan pekerjaan.
“Kak, kita harus memikirkan masa depan. Kita kerja untuk masa depan anak-anak kita juga. Biaya hidup sekarang ini besar. Begitu ramai orang yang perlukan pekerjaan, tetapi kakak pula berhenti kerja. Suami kakak pun pendapatannya kecil. Lainlah jika suami kakak usahawan kaya, bolehlah kita bersantai-santai di rumah. Salah kakak juga, jika mahu jadi suri rumah, sepatutnya kawinlah dengan jejaka yang kaya, seperti doktor muda dulu yang berniat melamar kakak sebelum suami kakak sekarang ini. Tetapi kakak lebih memilih berkahwin dengan lelaki yang belum jelas pekerjaannya. Dari 4 orang anak ayah, cuma suami kakak yang tidak punya pendapatan tetap dan yang paling buat kami kesal, sepertinya suami kakak itu lebih suka hidup seperti ini. Ditawarkan kerja di bank oleh saudara sendiri yang ingin membantu pun tidak mahu, sampai hairan saya, apa mahunya suami kakak itu”. Ceritanya kembali, menceritakan ucapan adik perempuannya saat diminta pendapat.
“Adik tahu, saya hanya mampu menangis saat itu. Saya menangis bukan kerana apa yang dikatakan adik saya itu benar, bukan kerana itu. Tetapi saya menangis kerana imam saya dipandang rendah olehnya. Bagaimana mungkin dia meremehkan setiap titisan keringat suami saya, padahal dengan titisan keringat itu, Allah memandangnya mulia. Bagaimana mungkin dia menghina orang yang sentiasa membangunkan saya untuk sujud dimalam hari. Bagaimana mungkin dia menghina orang yang dengan kata-kata lembutnya selalu menenangkan hati saya. Bagaimana mungkin dia menghina orang yang berani datang pada ibubapa saya untuk melamar saya, padahal saat itu suami saya belum mempunyai pekerjaan. Bagaimana mungkin seseorang yang begitu saya muliakan, ternyata begitu rendah dihadapannya hanya kerana sebuah pekerjaaan. Saya memutuskan berhenti bekerja kerana tidak ingin melihat orang membanding-bandingkan gaji saya dengan gaji suami saya. Saya memutuskan berhenti bekerja juga untuk menghargai nafkah yang diberikan suami saya. Saya juga memutuskan berhenti bekerja untuk memenuhi hak-hak suami saya. Semoga saya tidak lagi membantah perintah suami. Semoga saya juga redha atas besarnya nafkah itu. Saya bangga dengan pekerjaan suami saya, sangat bangga. Bahkan begitu menghormati pekerjaannya kerana tidak semua orang memiliki keberanian dengan pekerjaan itu. Kebanyakan orang lebih memilih jadi pengangguran daripada melakukan pekerjaan yang seperti itu. Tapi lihatlah suami saya, tidak ada rasa malu baginya untuk menafkahkan isteri dengan nafkah yang halal. Itulah yang membuat saya begitu bangga pada suami saya. Semoga jika adik mendapatkan suami seperti saya, adik tidak perlu malu untuk menceritakan pekerjaan suami adik pada orang lain. Bukan masalah pekerjaannya, dik, tetapi masalah halalnya, berkatnya dan kita memohon pada Allah, semoga Allah swt menjauhkan suami kita dari rezeki yang haram”. Ucapnya terakhir, sambil tersenyum manis padaku.
Mengambil beg-begnya, wanita itu bergegas ingin meninggalkanku. Ku lihat dari kejauhan seorang lelaki dengan menggunakan motorsikal mendekat ke arah kami. Wajahnya ditutupi kaca helmet. Sambil mengucapkan salam, wanita itu bersama suaminya meninggalkannku. Wajah itu tenang sekali, wajah seorang isteri yang begitu redha.
Ya Allah….!
Sekarang giliran aku yang menangis. Hari ini aku dapat pelajaran paling baik dalam hidupku. Pelajaran yang menghapuskan gambaran lelaki idaman yang ada dalam benakku..
Subhanallah...!
Semoga pekerjaan dan harta tidak akan menghalangimu untuk tidak menerima pinangan dari lelaki yang baik agamanya.
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Wasalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan