Popular Posts

Jumaat, 25 Oktober 2013

MUNAJAT SEORANG ISTERI DI SEPERTIGA MALAM...






Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Engkau ampunilah dosaku yang telah ku perbuat. Engkau limpahkanlah padaku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Engkau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Engkau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Engkau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Engkau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu, Engkau berikanlah aku sifat kasih sesama insan...


Ya Allah... sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arasy, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya...


Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian Mu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di Jannah Mu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia Mu, Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu, berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya...


Tetapi Ya Allah... sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Engkau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan Mu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakan aku kekuatan untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Engkau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena...


Ya Allah... Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku, Engkau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Engkau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat Mu...


Ya Allah... Sekiranya aku ingkar dan durhaka, berikanlah aku petunjuk ke arah rahmat Mu. 


Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu, aku buta tanpa bimbingan Mu, aku cacat tanpa hidayah Mu, aku hina tanpa rahmat Mu...


Ya Allah... kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaan Mu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah...


Hanya pada Mu Ya Allah ku pohon segala harapan...

Kerana aku redha dengan dugaan Mu...


Kerana aku sedar hinanya aku...


Kerana aku insan lemah yang kerap keliru...


Kerana aku leka dengan keindahan dunia Mu...


Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaran Mu...


Kerana pendek akalku mengharungi ujian Mu...


Ya Allah... aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa di hati suami. Amiin, Amiin, Amiin Ya Rabbal Alamiin.


Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan selamatkan daku dari azab api neraka.


Amiin Ya Robb...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan