Popular Posts

Rabu, 6 Mac 2013

KEBIASAAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN...





Pertama sekali saya mengucapkan syukur kepada yang Maha Pencipta, Allah swt di atas rahmat serta kasih sayang-Nya. Kedua, buat Junjungan Besar, Rasulullah saw, saya masih belajar untuk menyintaimu lebih dari hari-hari kelmarin.


Terima kasih buat keluarga saya yang sentiasa disisi setiap masa. Sedih atau gembira kita bersama. Suka dan duka kita harunginya. Mana mungkin saya lupa walaupun ada ketika kita masing-masing terluka. Adatlah menjadi pantai dan laut, ada waktu berombak juga.


Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sentiasa menceriakan hari-hari saya, berkongsi suka duka. Saya menghargai tiap detik kita bersama. Kenangan-kenangan yang dicipta kadangkala sukar untuk dilupakan. Kuntuman senyuman hadir disaat memori indah muncul semula.


Terima kasih buat anak-anak didik yang sehingga hari ini masih mengajar saya menjadi guru yang lebih baik daripada semalam. Mempercayai saya dengan sepenuh hati lebih daripada kalian percayakan diri kalian. Saya masih belajar untuk menjadi pendidik yang baik. Bimbinglah saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya sayang anda semua. Dalam jaga saya, dalam tidur dan dalam doa saya. Dan saya mahukan perasaan ini berpaksi hanya pada keikhlasan. Keikhlasan hanya kerana Allah. Namun, saya mohon maaf jika ia masih belum sempurna. Saya hanya manusia biasa. Banyak khilaf dan dosa. Mohon doakan saya agar saya menjadi hamba yang sebenar-benar hamba…


Ucapan di atas bukan kerana saya menang anugerah. Saya hanya ingin sampaikan rasa bahagia dan syukur saya kerana dikurniakan insan-insan hebat dikeliling saya. Ada waktu-waktu tertentu, saya sangat rindukan anda semua. Ada saat-saat tertentu, saya ingin lafazkan sayang saya namun tidak terluah. Pada Allah, saya sandarkan. Dia lebih mengetahui.


Entry ini untuk siapa? Untuk mereka?


Tidak. Tidak ramai antara mereka tahu blog saya. Kalau ada yang baca entry saya, terima kasih. Kalau ada yang ambil pengajaran, alhamdulillah. Kalau ada sekadar tengok-tengok,tidak apa-apa.


Saya tidak menulis untuk memberi peringatan pada para pembaca dan pelawat dengan sengaja. Saya menulis untuk memberi peringatan pada diri saya sendiri. Namun, jika ada yang membaca, saya sangat mensyukurinya. Saya suka membaca entry lama tulisan saya sendiri. Adakala, saat membaca saya terasa bahawa pemikiran saya salah, maka saya cuba betulkan. Kadangkala, ada rasa sedih sebab diri sendiri tulis, tetapi diri sendiri pun tidak buat. Bila baca, maka sedarlah diri bahawa saya kena berusaha lebih gigih untuk perbaiki diri.


Bagi yang telah berjaya, alhamdulillah, mudahan dapat kekal atau terus meningkat.


Saya bukan penulis yang hebat. Saya menulis berdasarkan sedikit ilmu yang dipinjamkan-Nya. Bahasa yang saya nukilkan yang agak-agak sedap dan boleh diterima pakai. Maka, jika ada tersilap dari sudut pandangan, fakta mahu pun bahasa, mohon ditegur. Insya Allah, saya menerimanya. 


Entry hari ini sebenarnya tentang apa…?


Kebiasaan yang semakin dilupakan…


Semalam, sewaktu yang memandu pulang  sampai di persimpangan lampu isyarat, lampu merah bertukar hijau. Saya melafazkan alhamdulillah. Ting! Terus dapat idea. Idea untuk dijana sepanjang pemanduan saya.


Saya mengucapkan alhamdulillah kerana selalunya bila saya tiba disimpang, saya terpaksa berhenti kerana lampu merah. Namun, hari ini, sesuatu yang luar biasa berlaku. Ianya hijau. HIJAU! Bukanlah luar biasa sangat, tetapi bagi saya, ia satu kurniaan yang saya perlu syukuri.


Saya adalah salah seorang antara manusia-manusia itu. Manusia yang bersyukur hanya disaat berlaku perkara yang diluar kebiasaan kita atau perkara-perkara yang kita anggap istimewa dalam hidup kita. Alhamdulillah, dapat keputusan cemerlang. Alhamdulillah, dapat naik pangkat. Alhamdulillah, dapat beli telefon bimbit baru dan macam-macam lagi. Salah? Tidak. Tidak salah. Malah, sangat perlu dicontohi. Bukan semua orang tahu mensyukuri nikmat yang diberi.


Namun, kita selalu lupa bersyukur pada kebiasaan kita. Rutin harian yang kita lalui. Setiap pagi, saat kita menyarungkan pakaian, kita lupa mengucapkan syukur. Kenapa?
Kerana hari-hari pun pakai baju pergi kerja. Tetapi kita lupa bahawa kita tidak pakai baju compang-camping. Kita pakai baju yang cantik. Ada yang pakai baju berjenama.


“Alhamdulillah, hari ini ada pakaian sempurna yang aku boleh pakai. Masih cantik walau dah lama. Ada orang lain hidup susah, pakaiannya compang camping. Terima kasih ya Allah.” 


Indahnya syukur,kan…?


Setiap pagi juga, kita pandu kereta. Tak kisahlah kereta jenama apa. kita lupa mengucapkan syukur. Kenapa? Dah memang biasa naik kereta pergi kerja. Apa nak dihairankan? Biasalah tu. Tapi kita lupa, ada insan yang hanya bermotosikal dan paginya lencun dibasahi hujan. Ada insan yang berjalan kaki sejauh mata memandang. Ada pula yang terpaksa menunggu bas penuh resah, bimbang kalau terlambat sampai ke destinasi.


“Alhamdulillah, hari ini ke tempat kerja dengan kereta sendiri dan ia dalam berkeadaan baik. Mudahan Allah selamatkan perjalanan ke tempat kerja. Terima kasih ya Allah.” 


Indahnya syukur,kan…?


Dah sampai tempat kerja. Ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja yang menyakitkan hati. Macam itulah hari-hari kerja. Situasi yang sama. Tidak berubah. Kerja siap juga walau dalam keadaan tidak berapa ikhlas. Kenapa? Sebab dah kerja kita, kan? Tetapi kita lupa, ada insan yang bertungkus lumus di luar sana mencari sesuap nasi untuk keluarga. Ada yang berkali-kali temuduga namun masih belum ada rezeki. 


“Alhamdulillah, hari ini masih berpeluang bekerja. Ya Allah, lindungi dan peliharalah hatiku daripada segala sifat-sifat buruk. Ikhlaskan aku bekerja kerana Mu ya Allah”. 


Indahnya syukur,kan…?


Insya Allah, waktu makan, ramai yang baca doa makan. Ramai yang bersyukur dengan nikmat yang diberi. Bila kenyang, tidak lupa sebut alhamdulillah. Kan? Kan? Mudahan kita semua kekal melakukannya. Paling penting ingatlah mereka yang tidak punya sebarang makanan walau hanya untuk mengalas perut.


Kebiasaan yang selalu dilupakan. Saya kira banyaknya nikmat Allah yang tidak terhitung dan andainya setiap kali kita menikmatinya dengan didahulukan dengan ucapan syukur, alhamdulillah dan terima kasih Allah, pasti dalam sehari beribu-ribu zikrullah kita lafazkan pada Allah. Zikrullah yang lebih bermakna kerana kita menghayatinya dengan sebenar-benar erti.Insya Allah.



Saya yakin bukan mudah melakukannya kerana ia rutin harian. Dan rutin harian perlukan masa untuk diubah dan diolah kembali. Ibarat seseorang yang dah biasa berjaga dimalam hari dan tidur diwaktu pagi, maka perlukan masa untuk mengubah jam biologinya.


Tapi, tidak mustahilkan?Insya Allah.


Kita mulakan malam ini. 


Alhamdulillah, terima kasih Allah yang memberikan saya peluang dan ilham menulis kali ini…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada rasa dahaga dan segelas air bersih…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada rasa mengantuk yang menasihatkan saya untuk tidur…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada sebuah katil dan sekeping tilam empuk yang memberikan lena tanpa gangguan…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada nikmat Islam…


Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana mengutuskan seorang Rasul Junjungan, Muhammad saw…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada ajaran Al-Quran dan Sunnah yang menjadi panduan…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada nikmat CINTA sebenar cinta…


Alhamdulillah…


Alhamdulillah…


Alhamdulillah…


Jika dihitung, tinta akan kehabisan dakwatnya…


Komputer riba pula akan kehabisan baterinya…


Manusia…? 


Manusia tidak akan kehilangan apa-apa, malah akan sentiasa ditambah nikmatnya.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan