Popular Posts

Rabu, 20 November 2013

JALAN MENUJU UKHWAH...





Alangkah mulia dan pengasihnya Engkau wahai Allah kepada hamba-hamba Mu. Engkau ciptakan mereka dalam keadaan lemah. Engkau bebankan ke atas mereka tugas-tugas yang ditolak oleh bumi dan langit. Akan tetapi Engkau Maha Pelembut lagi Maha Mengetahui. Engkau mengetahui bahawa mereka tidak berdaya, lalu Engkau mudahkan jalan bagi mereka yang jika ditempuhi, pasti mendatangkan keuntungan. Disebabkan mereka lemah, lalu Engkau berikan kekuatan. Disebabkan mereka berdosa, lalu Engkau berikan keampunan.



Ya Allah, Engkau mengetahui semua itu, kemudian Engkau mudahkan jalan menuju ukhwah ini agar ukhwah menjadi penebus dosa-dosa, menjadi syafaat, membawa mereka ke syurga dan mencegah mereka daripada api neraka. Engkau mudahkan jalan menuju ukhwah. Engkau terangkan dalam Al-Quran dan hadis Nabi Mu dengan jelas dan terperinci. Kami wajib bersyukur, beribadat, bertasbih dan sujud kerana kemurahan Mu. Kami harus mengucapkan salam pada Rasul yang mulia, begitu juga kami wajib berusaha mencapai ukhwah yang suci dan menempuh jalan ke arah itu. Jika tidak, bererti kami ingkar terhadap syariat dan zalim kepada diri kami sendiri.



Saudara-saudara semuslimku yang baik hatinya, marilah kita berjalan dalam taman indah yang diberikan oleh Allah pada kita. Di tangan kita tersedia Al-Quran dan Sunnah Rasul saw. Mudah-mudahan Allah mengembalikan barang kita yang hilang ( ukhwah ) dan dengan nikmat-Nya kita bersaudara.



Marilah kita fahami cara-cara ini dan kita kenali taman-taman tersebut agar kita berbai’ah kepada Allah, hidup di bawah lindungan-Nya, kerana buahnya adalah syurga. Siapa yang mendapat syurga, akan mendapat keuntungan yang besar. Sudah dimaklumi bahawa fitrah manusia ialah untuk mencintai orang-orang yang seumpama mereka – iaitu orang-orang yang berdekatan kecenderungan dan tabiat mereka. Jadi setiap insan bermesra dengan sesama jenisnya sebagaimana burung-burung terbang dengan sesama jenisnya.


Imam Malik ra hairan melihat burung merpati dan burung gagak berkumpul bersama. Dengan spontan ia berkata, ”Keduanya dapat bersatu, padahal jenisnya tidak sama. ” Ketika burung itu terbang ia melihat kedua burung itu dalam keadaan cacat ia berkata ” Sebab itulah burung-burung itu dapat bersatu.”


Berdasarkan pengalaman dan kajian, telah terbukti bahawa persaudaraan dan kasih sayang di antara manusia tidak tumbuh melainkan dengan adanya persamaan tabiat dan adat istiadat. Ukhwah yang tidak disertai oleh persamaan, lambat-laun akan hilang ikatan kasih sayangnya, kemudian dua orang yang bersaudara itu pun akan berpisah. Alangkah bijaknya penyair yang menyatakan, ”Kenapakah kamu berdua berpisah?” Dengan jujur saya menjawab, ”Pembawaannya tidak sama dengan pembawaanku, kerana itu kami berpisah. Memang manusia beribu-ribu macam pembawaannya.”


Jika kecacatan dapat menemukan dua burung yang berlainan jenisnya ( perkara ini banyak terdapat dalam alam burung ) tentu kesatuan pemikiran, perasaan , tujuan, saranan dan pertimbangan dapat mempersatukan orang-orang mukmin. Bukankah cara berfikir kita sama, perasaan kita sama, bekerja untuk tujuan yang sama, menempuh jalan yang sama dan menetapkan persoalan dengan ukuran yang sama pula?


Bukankah kita mengucapkan kata-kata yang sama bila kita berjumpa dan berjabat tangan? Bukankah kita disatukan oleh satu bai’ah kepada pimpinan yang satu.Nabi yang sama, Robb yang sama, kitab yang sama dan sunnah yang sama pula?. Bukankah kita bersatu ketika dipanggil oleh wanita teraniaya yang menjerit meminta tolong dalam Rumawi, lantas tentera Islam mengempur kerajaan itu untuk menyelamatkannya?. Bukankah kita semua merasa sedih kerana musibah yang menimpa saudara kita? Kita segera menolong, walaupun belum pernah bertemu sebelumnya dan belum pernah hidup bersama. Bukankah kita ini orang-orang yang dikatakan oleh agama.” Bila seorang wanita ditahan di Barat, orang-orang Timur harus mengirim tentera untuk menyelamatkannya.”


Benar, semua ini betul-betul terjadi.Siapakah yang lebih utama dan lebih layak daripada kita dalam ukhwah ini? Orang-orang mukmin memiliki sifat-sifat yang sama, kecenderungan yang sama, akidah yang sama. Justeru itu ukhwah adalah hasil yang lumrah daripada iman mereka. Ukhwah merupakan ciri khas daripada dakwah mereka. Allah yang Maha Agung berfirman, ”Sesungguhnya orang-orang yang mukmin itu bersaudara.” (QS Al-Hujurat, 10)


Bila kamu benar-benar inginkan kedudukan yang suci ini (ukhwah fillah) hendaklah berpandukan Al-Quran dalam segala urusan, jadikanlah sunnah Rasulullah saw sebagai cara hidup, dan kembalikah kepada petunjuk Al-Quran dalam semua permasalahan. Insya-Allah hati kita akan penuh dengan ukhwah dan ketenteraman. Seseorang hamba Allah tidak akan mendapat keimanan yang sempurna sehingga ia cinta dan benci kerana Allah.



Cara Pertama :

Masing-masing hendaklah mencerminkan diri sendiri sebagai Al-Quran yang berjalan di permukaan bumi di mana halamannya adalah amal perbuatan kita dan kalimatnya adalah denyutan jantung kita. Pada ketika itu jasad-jasad kita akan hidup sebagai satu roh dan satu nafas.



Cara Kedua :

Cara ini diterangkan oleh Nabi saw yang tercinta dalam hadis Baginda saw yang mulia, ” Demi Allah yang jiwaku berada ditangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah ku tunjukkan amalan yang apabila kamu lakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam sesamamu.” (Muslim)


Rasul saw menyuruh menyebarkan salam sesama kita.Laksanakanlah demi cintamu kepadanya dan terimalah nasihatnya.



Firman Allah, ”Tiadalah yang diucapkan itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu Allah yang diwahyukan kepadanya. ” (QS An-Najm, 3-4)


Maksud menyebarkan salam bukanlah sekadar ucapan sahaja. Bukan juga azimat atau tongkat sihir yang bila menyentuh hati orang-orang yang ditutupi oleh asap kemungkaran dengan spontan akan menjadi putih, bersinar dengan nur kasih sayang dan ukhwah. Akan tetapi, maksud salam mengandungi 3 pengertian yang luhur; cinta dan kasih sayang, memberi salam kepada saudaramu pada awal pertemuan serta tidak menyakiti juga memberi banyak keberkatan dan kebaikan kepada saudaramu daripada Allah swt.




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Isnin, 18 November 2013

SURAT CINTA UNTUK ISTERIKU...





Aku berusaha untuk mencapai keadaan yang lebih baik dari kelmarin. Walau pun tidak seutuhnya baik, namun sebuah usaha adalah bukti keseriusan...



Malam ini, ketika dikau tidur, aku membuat sebuah puisi. Yang nantinya ku selipkan di celah dompetmu dan aku berharap engkau membacanya ketika merasa muak denganku...



Aku berikan secarik kertas yang ku tulis dengan tinta kesedaran dan pemahaman. Sehingga dikau merasakan betapa dalam ketulusan hati ini ketika merayap, meresap dan menatap kesabaranmu dalam mendampingiku...



Sebuah makna kesetiaanmu bagiku...



Dalam tidur pulasmu, aku temukan goresan rasa di wajahmu...



Rasa yang membuat hidupku terus berjalan mengiringi waktu...



Rasa yang menjalankan kakiku untuk terus bergerak... bergerak menyusuri jalan yang engkau pukat dengan kesabaranmu



Rasa itu begitu kuat menyelimuti wajahmu sehingga menyebar menjadi rangkaian aura kecantikan bagiku. Ia ikut menghiasi perjalanan yang penuh dengan kejenuhan dan rasa itu yang merubah kejenuhan ini menjadi kedamaian...



Isteriku... dikau yang memiliki dan menorehkan rasa. Perlu engkau tahu... apakah rasa itu rasa yang engkau berikan kepadaku yang tanpa kau sedari rasa cinta dari hatimu dan batinmu bukan dari matamu...

rasa cinta itu yang membuat aku tetap disampingmu dan berusaha tetap disampingmu...



Salam kasih dari suamimu.....



Jagalah Hati...

Jumaat, 8 November 2013

DUNIA : ANTARA NIKMAT DAN DERITA....





Soalan:

Kenapakah Allah swt menjadikan dunia sebagai tempat keletihan dan penderitaan, kemudian selepas itu kemusnahan...?


Jawapan:

Sesungguhnya yang merasa demikian itu adalah bagi orang yang berpaling daripada iman sahaja. Manakala, sesiapa yang mengambil dunia dengan iman, iaitu beriman dengan Pencipta dunia dan Pencipta dirinya, tiadalah segala keperitan kehidupan itu menyusahkannya. Dan, wujudnya keletihan, keperitan, dan kesedihan bagi orang-orang yang tidak beriman dengan Allah adalah bukti atas kebenaran kewujudan 
Allah dan kebenaran jalan Allah  Dan, Allah tidak menjadikan dunia tempat kepayahan, kesulitan, kesedihan dan keletihan kecuali bagi mereka yang jauh daripada jalan Allah. Sebab itu, kita akan dapati orang-orang yang beriman dengan Allah bersikap redha atas apa-apa sahaja yang telah ditentukan-Nya kepada mereka dan, hal ehwal keduniaan yang sementara dan segala keperitan itu sama sekali tidak menjadikan mereka bimbang dan sedih. Inilah jawapannya apabila penyoal bermaksud keletihan dan kepayahan yang merunsingkan hati...



Kepayahan di dalam kehidupan adalah perkara biasa...


Ada pun apabila dia maksudkan kepayahan di dalam kehidupan dan keletihan semata-mata kerana kehidupan, maka perkara ini tidaklah dicela kerana insan sememangnya dituntut bertindak balas dengan alam jika dia mahukan kehidupan yang baik. Misalnya 
Allah telah menjadikan air untuk kita. Tetapi, sebagai ganti dari pergi ke tempat mata air menadahkan kedua-dua tangan, dia perlu membuat bekas minuman seperti gelas dan seumpamanya; sebagai ganti dari pergi mendapatkan sumber air setiap hari untuk pelbagai keperluannya, dia hendaklah membuat loji air di tempat tinggi dan paip-paip yang boleh mengalirkan air bersih ke rumah-rumah sebagai bekalan yang berterusan. Dan, apa-apa sahaja kesenangan yang dikehendaki oleh insan, maka dia hendaklah bersusah-payah berusaha mendapatkannya.



Keletihan hati penyebab penderitaan...


Namun begitu, di sana terdapatnya keletihan dan kepayahan lain yang menghasilkan penderitaan, iaitulah keletihan hati dan kedukaannya. Dalam hal ini 
Allah telah berfirman “Ada pun apabila datang kepada kamu petunjuk daripada Ku, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk Ku, nescaya tidak ada ketakutan ke atas mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” ( Al-Baqarah:38)


Firman-Nya lagi, "Maka sesiapa yang mengikut petunjuk Ku, maka dia tidak akan sesat dan tidak akan menderita (di Ākhirat); Dan, sesiapa yang berpaling daripada ingatan Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.” (Ṭaha:123-124)


Maka, pandangan yang berpendapat bahawa kehidupan di dunia ini dijadikan tempat keperitan dan keletihan adalah benar jika dinisbahkan kepada orang yang berpaling daripada ingatan 
Allah, apabila dia diuji-Nya dengan kepayahan tersebut di dalam kehidupannya seharian.



Sikap seorang mukmin menghadapi penderitaan kehidupan...


Bagi seorang mukmin, apabila dia mengalami kepayahan dan keletihan di mana semua itu adalah di luar daya kehendaknya , dan baginya pahala daripada 
Allah atas kesabarannya. Dia menginsafi kadang-kadang perkara yang mendukacitakannya itu adalah penghapus kesalahannya yang lain, dan hal demikian (kedukacitaan) berlaku di luar kemampuannya. Seorang mukmin juga selalu mendapati penjelasan atas setiap perkara yang terjadi di dalam kehidupannya.


Maka itu, apabila kita diberitahu si fulan itu menderita, kita tanyakannya, “Adakah dia menderita jasad dan anggota? Atau, dia menderita hati?” Dan, ini tidak akan berlaku kepada seorang mukmin kerana dia bersabar dan redha atas ketentuan 
Allah  ke atasnya. Ada pun penderitaan jasad dan anggota disebabkan keletihan dan kepayahan, maka sesungguhnya insan itu sendiri yang mendapat faedah dan turut memberikan manfaat kepada anak-anak, keluarga, dan umatnya. Ketika itu, pekerjaan yang meletihkan tersebut sangat disukainya.



Berpadalah dengan kehidupan dunia...


Kita melihat orang-orang yang terlalu taksub dengan kehidupan mengalami penderitaan hati di dalam dunia mereka kerana dunialah tujuan kehidupan dan matlamat. Mereka amat sibuk tentang pakaian-pakaian, makanan-makanan dan kesenangan mereka demi manusia semata-mata. Sedangkan, orang mukmin menganggap setiap pergerakannya di dalam kehidupan – semuanya itu – untuk dirinya, anak-anaknya, keluarganya, bangsanya dan dunia, maka sesungguhnya dia bekerja tanpa penderitaan hati kerana dia melakukannya bertujuan mencari keredhaan 
Allah. Justeru, dia tidak kisahkan kepayahan dunianya dan tidak kecewa apabila dia diuji dengan sebarang kesulitan di dalam kehidupan.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Ahad, 27 Oktober 2013

DOA AWAL TAHUN PERSEKOLAHAN...





Segala puji hanya untuk Mu Ya Allah. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian...


Kami berhimpun di dewan yang mulia ini pada hari pertama persekolahan bagi tahun ini, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab...


Sesungguhnya, menjelang tahun baru bererti usia kami semakin meningkat. Jadikan kelanjutan usia ini satu rahmat kepada kami, untuk terus beribadah kepada Mu, jauh sekali daripada menderhakai segala perintah Mu. Hari-hari yang berlalu, jadikanlah ia sebagai renungan. Yang baik dan manis menjadi ingatan. Yang pahit menjadi pengajaran. Itulah sebaik-baik muhasabah, sebagai panduan untuk menjejaki hari-hari mendatang. Mudah-mudahan, kehidupan pada hari ini dan pada masa-masa akan datang, akan lebih cemerlang daripada kehidupan masa silam...


Ya Allah...perbaikilah hubungan antara kami, jinakkanlah hati antara kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan petunjuk kepada yang terang benderang cahaya, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahu pun yang tersembunyi...


Ya Allah... limpahkanlah keberkatan kepada kami, isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami dan seluruh muslim dan muslimat...


Bantulah kami bagi melaksanakan amanah mengajar dan menuntut ilmu ini, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hindarkan kami daripada melakukan amal perbuatan pimpinan syaitan. Berikanlah kekuatan kepada kami agar memperoleh keredhaan ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu untuk mengharapkan keredhaan Mu Ya Allah...


Ya Allah...Engkau tingkatkanlah keilmuan, keazaman dan komitmen kami, untuk terus menjalankan segala tanggungjawab. Justeru itu Ya Allah, tingkatkanlah semangat dan hasil kerja kami untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi, cekal dan proaktif, selaras dengan sabda rasul Mu yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang daripada kamu, yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, akan dilakukannya dengan penuh kesungguhan".


Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan dan mukminat seluruhnya sama ada yang hidup mahu pun yang telah meninggalkan kami...


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan selamatkan kami daripada azab api neraka... 


Aamiin...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

BUAT YANG DEMAM KUASA....





Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini...


Kuasa, kuasa dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia. Saya tidak ingin mengulas, tetapi hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan.


Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan muhasabah untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.



Akui kesilapan...


Nabi Musa as berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa as pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan Qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa as dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa as tersebut.


Nabi Musa as mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah swt menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya, "Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya, "Sesungguhnya kami adalah utusan Robb sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israel mengikut kami"


Firaun menjawab, "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?"


Nabi Musa berkata, "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu, kemudian Robb ku mengurniakan daku ilmu pengetahuan dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Ada pun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israel"" (Surah al-Syu’ara : 16-22).


Inilah sikap pejuang yang ikhlas dan benar!.



Pohon maaf dan betulkan kesilapan...


Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Syaidina Uthman bin ’Affan ra, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran.


Beliau menyebut dalam suratnya, "Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku menerintah, aku telah jadikan umat ini dikusai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy’an al-Munkar.


Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat.


Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)"



Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata, "Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil.4, hlm.342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.



Maksud ‘rakyat didahulukan’...


Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah Syaidina Umar bin al-Khattab ra ini... Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab ra tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.
 

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata, "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya.


Lalu Umar bertanya, Dari mana diperoleh ini?. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" 



Awasi pengampu...


Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid, "Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan."


Tanya Harun al-Rasyid, "Jelaskan maksudnya untukku". Jawab Syaiban, "Sesiapa yang berkata kepada engkau: Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah lebih baik dari orang yang berkata Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!". Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.


Kata Syaiban lagi, "Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya". (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah)



Menyedari bebanan amanah...


Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ra apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai.


Kata anaknya: Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata, "Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.


Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.


Aku tahu Robb ku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis"



Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi ra yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya, "Lihatlah ke arah Kaabah". Harun al-Rasyid menjawab, "Aku sedang lihat". Kata beliau lagi, "Berapa jumlah mereka yang kau lihat?" Jawab Harun, "Siapa yang mampu membilangnya".

Kata beliau pula, "Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?" Jawab Harun, "Hanya Allah yang mampu menghitungnya". Kata al-‘Umari lagi, "Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti"
.

Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.



Menyedari kemampuan diri...


Syaidina Umar bin al-Khattab ra pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya, "Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-siakan tugas dan tanpa ditimpa fitnah". Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh.

Begitu juga dengan Syaidina Ali bin Abi Talib ra walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu.


Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. 


Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU IV...





Allah humma Ya Allah
kirimkan salam kami
kepada Nabi Muhammad saw
kami mencintainya
kami menyayanginya
beri kami kesedaran untuk bersyukur
seperti syukurnya Nabi Muhammad Mu
beri kami kekuatan untuk sentiasa mensyukuri Mu...


Ya Rahman
kami hanya hamba-hamba yang mengabdi pada Mu
kami hanya hamba-hamba
sebagaimana bumi yang berputar
bersama bulan, mentari dan galaksi...


Ya Allah
kami hanya hamba-hamba
seperti halnya para malaikat yang mengabdikan diri...


Ya Allah
beri kami kekuatan
agar kami mampu mengajarkan
anak-anak kami untuk sentiasa bersyukur
pasangan hidup kami untuk sentiasa mengucap syukur
keluarga kami agar menjadi ahli syukur...


Ya Allah
kami sedar hidup kami singkat
kami sedar hidup kami sementara
kerana itu curahkan ke dalam hati kami iman
tenteramkan kami dengan mengingati Mu
duhai Engkau kekasih hati
Duhai Ar Rahman Ar Rahim...



Walahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU III...





Ya Samii Ya Bhasir
Ya Zaljalaali wal Ikram
Wahai Allah Yang Maha Hidup
Wahai Allah Yang Maha Pemberi Nikmat
kami berlindung dengan keagungan Mu
kami berlindung dengan kemuliaan Mu
kami berlindung daripada lupa mengingati dan menyebut nama Mu
serta berpaling daripada mensyukuri Mu...


Ya Allah
kami mohon pada Mu
tunjukkanlah kami jalan yang lurus
tunjukkanlah kami agar sentiasa bersyukur kepada Mu
tunjukkan kami cara bersyukur yang benar...


Ya Allah
limpahkanlah kami
hati yang penuh kesyukuran
ucapan yang penuh kesyukuran
langkah yang penuh kesyukuran
kerana kami mengakui tanpa pimpinan Mu
kami lemah
kami lalai
kami hina...


Ya Allah
hari ini kami mengakui
bahawa Engkau jua sebesar-besar Pemberi Kurnia
kami bersyukur Ya Allah
atas bumi yang Engkau hamparkan
atas langit yang Engkau tinggikan
atas gunung yang Engkau pancangkan
atas alam semesta yang Engkau bentangkan
atas bintang-bintang yang Engkau taburkan...


Ya Allah
Engkau sebaik-baik Pemberi Nikmat
Engkau pancarkan sinar matahari
EngkKau tumbuhkan pepohonan
Engkau hidupkan haiwan-haiwan...


Ya Allah
sungguh kami sering lupa
mensyukuri hidup kami
mensyukuri waktu dan kesempatan kami
mensyukuri setiap helaan nafas kami
mensyukuri apa pun yang Engkau berikan...


Ya Rahman Ya Rahim
ajari kami untuk sentiasa mensyukuri
hal yang kecil dalam pandangan kami.


Ya Robb
kabulkan segala doa permohonan kami...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...