Popular Posts

Rabu, 2 November 2016

BAHASA MELAYU: CARA MENDAPAT MARKAH TINGGI DALAM PENULISAN





BAGAIMANA MENDAPAT MARKAH TINGGI ATAU GRED A DI DALAM PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU?



1. Baca semua soalan yang diberi:

  • Fahami arahan kehendak soalan.
  • Kenal pasti format yang perlu digunakan.
  • Karangan yang tidak terlalu panjang atau pendek mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.

2. Guna isi yang berlainan:
  • susun isi secara berturutan
  • letak isi mengikut perenggan
  • memberi huraian yang tepat kepada isi.
  • sebaik-baiknya karangan mengandungi nilai-nilai murni.

3. Penggunaan perkataan yang pelbagai:
  • ada menggunakan perkataan yang terkini
  • elak penggunaan perkataan sama yang berulang / kerap
  • penggunaan perkataan teknikal dengan tepat
  • elak perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima.

4. Susun ayat dengan kemas:
  • elak pengaruh struktur ayat percakapan daerah / dialek
  • guna ayat yang pendek tetapi lengkap
  • kebolehan menggunakan rangkai kata / ungkapan yang menarik

5. Penggunaan tanda baca pada tempat yang betul:
  • gunakan tanda baca pada tempat yang diperlukan
  • gunakan huruf kecil dan huruf besar pada tempatnya.

6. Dapat membezakan antara kata depan dan kata imbuhan:
  • dapat membezakan imbuhan an dan kan
  • guna imbuhan yang pelbagai - awalan / akhiran / sisipan / apitan ( sekurang-kurangnya 5 imbuhan yang berbagai jenis )

7. Tulis mengikut ejaan yang betul:
  • elak mengikut sebutan dialek / daerah
  • elak menulis huruf yang mengelirukan / cermat dalam bentuk tulisan

Tahukah kamu ?

Hanya terdapat 29 perkataan sahaja menggunakan ejaan yang disatukan. (contoh keretapi, jawatankuasa, dan lain-lain )



PUNCA-PUNCA PENULISAN KARANGAN MENJADI LEMAH DAN DIPOTONG MARKAH


A. Kesalahan memilih tajuk
  • Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

B. Kekurangan isi
  • Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.

C. Pembahagian perenggan
  • Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan!

D. Tidak merangka karangan
  • Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
  • Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).

E. Kesalahan tatabahasa
  • Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.
  • Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

F. Kesuntukan masa
  • Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.
  • Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.

G. Kesalahan lain
  • Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.
  • Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
  • Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan / bahasa Utara / bahasa Jawa / bahasa Bugis / bahasa SMS )



Di bawah ini adalah contoh kesalahan tatabahasa dan pembetulannya.
A. Penggunaan Perkataan Yang Berulang Dalam Suatu Ayat.
  • SALAH: Selepas mandi Yusri bersarapan, selepas itu dia memakai baju, selepas itu dia pergi ke sekolah pula dengan menaiki basikal.
  • BETUL: Selepas mandi, Yusri bersarapan dan memakai baju. Kemudian Yusri pergi ke sekolah dengan menaiki basikal.

B. Salah Menggunakan Perkataan dari dan daripada


SALAH: Kain batik itu datang daripada Terengganu.
BETUL: Kain batik itu datang dari Terengganu.

Nota: Perkataan 'dari' digunakan untuk tempat.
SALAH: Saya baru terima surat itu dari kakak.
BETUL: Saya baru terima surat itu daripada kakak.
Nota: Perkataan 'daripada' digunakan untuk orang.

untuk , supaya dan selama
  • SALAH: Jenna Bush pergi ke pasar untuk membeli sayur.
  • BETUL: Jenna Bush pergi ke pasar membeli sayur.
  • SALAH: Steve McNair menjerit untuk meminta tolong.
  • BETUL: Steve McNair menjerit meminta tolong.
  • SALAH: Rihanna bercita-cita untuk menjadi doktor.
  • BETUL: Rihanna bercita-cita hendak menjadi doktor.
  • SALAH: Siti Nurhaliza belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dalam ujian.
  • BETUL: Siti Nurhaliza belajar bersungguh-sungguh supaya lulus dalam ujian.
  • SALAH: Kami akan tinggal untuk dua minggu.
  • BETUL: Kami akan tinggal selamadua minggu.
  • SALAH: Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung untuksatu jam.
  • BETUL: Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung selama satu jam.

adalah dan ialah
  • BETUL: Adalahdengan hormatnya dimaklumkan ………….
  • SALAH: Denganhormatnya dimaklumkan ……………….
  • BETUL: Tuduhan itu adalah fitnah belaka.
  • SALAH: Tuduhan itu fitnah belaka.
  • SALAH: Keperluan asas manusia adalah makanan, perlindungan dan pakaian.
  • BETUL: Keperluan asas manusia ialah makanan, perlindungan dan pakaian.

bila dan apabila
  • SALAH: Zainal pun bangun bila namanya dipanggil.
  • BETUL: Zainal pun bangun apabila namanya dipanggil.
  • SALAH: Bila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.
  • BETUL: Apabila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.

ramai, banyak, semua dan para
  • SALAH: Ramai murid-murid menonton pertandingan bola sepak itu.
  • BETUL: Ramai murid menonton pertandingan bola sepak itu.
  • SALAH: Banyak pakaian-pakaian terpakai dijual oleh Ali.
  • BETUL: Banyak pakaian terpakai dijual oleh Ali.
  • SALAH: Semua guru-guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.
  • BETUL: Semua guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.
  • SALAH: Para-para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.
  • BETUL: Para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.
  • SALAH: Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah-hadiah pemenang-pemenang.
  • BETUL: Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah pemenang-pemenang.

yang dan bahawa
  • SALAH: Hasri memberitahu yang dia tidak dapat hadir ke sekolah.
  • BETUL: Hasri memberitahu bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah.
  • SALAH: Mereka memberitahu yang tindakan itu tidak adil.
  • BETUL: Mereka memberitahu bahawa tindakan itu tidak adil.

kata ganti nama
  • SALAH: Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja sini.
  • BETUL: Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja ini.
  • SALAH: Entah siapa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.
  • BETUL: Entah apa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.

kata ganti "dia" dan "ia"

Nota : kata ganti 
"dia" ialah kata ganti nama untuk manusia sahaja. Kata ganti nama "ia" ialah untuk binatang, benda, pokok masalah dan sebagainya.
  • SALAH: Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Dia dijaga dengan rapi oleh Sani.
  • BETUL: Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Ia dijaga dengan rapi oleh Sani.
  • SALAH: Perut Rosli memulas. Ia memulas sejak malam tadi lagi.
  • BETUL: Perut Rosli memulas sejak malam tadi lagi.

apa, mana dan bagaimana
  • SALAH: Baju apa yang kamu pakai ?
  • BETUL: Baju mana yang kamu pakai ?
  • SALAH: Mana katanya betul belaka.
  • BETUL: Apa katanya betul belaka.
  • SALAH: Apa pendapat tuan mengenai soal itu ?
  • BETUL: Bagaimana pendapat tuan mengenai soal itu ?

penjodoh bilangan
  • SALAH: Ibunya seorangyang baik hati.
  • BETUL: Ibunya baik hati.
  • SALAH: Amran pulang ke rumah dengan sebuah bas sekolah.
  • BETUL: Amran pulang ke rumah dengan bas sekolah.

Pada dan kepada
SALAH: Beri surat ini pada Hasrul.BETUL: Beri surat ini kepada Hasrul.Nota Cikgu Amiene Rev: Gunakan perkataan 'kepada' untuk orang.
Di dan pada
SALAH: Di masa rehat saya ke kantin.BETUL: Pada masa rehat saya ke kantin.Nota Cikgu Amiene Rev: Perkataan 'pada' mewakili masa.
C. Kesalahan Struktur Ayat (ayat bercelaru dan berbelit-belit)
  • SALAH: Dengan cepat berjalan adik kerana mengikut emak hendak ke pasar.
  • BETUL: Adik berjalan dengan cepat kerana hendak mengikut emak ke pasar.
  • SALAH: Semua kuih di atas meja itu telah dimakan oleh saya.
  • BETUL: Semua kuih di atas meja itu telah saya makan.
  • SALAH: Bila bangun tidur saya mandi dan makan pagi lepas itu pergi ke sekolah
  • BETUL: Apabila bangun tidur saya mandi dan bersarapan. Kemudian, saya pergi ke sekolah.
  • SALAH: Mamat kelihatan muram ibunya meninggal dunia
  • BETUL: Mamat kelihatan muram semenjak ibunya meninggal dunia.
  • SALAH: Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai selama-lamanya.
  • BETUL: Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai bila-bila.
  • SALAH: Apakah nama kamu?
  • BETUL: Siapakah nama kamu?

D. Tanda baca
Menggunakan tanda baca pada tempat yang salah
  • SALAH: Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik, gitar, piano dan, dram.
  • BETUL: Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik; gitar, piano, dan dram.

tidak menggunakan tanda baca pada tempat yang betul
  • SALAH: Jangan bergerak Kalau bergerak kamu akan ditembak, jerit polis kepada perompak itu.
  • BETUL: "Jangan bergerak! Kalau bergerak kamu akan ditembak," jerit polis kepada perompak itu.

Penggunaan huruf kecil / besar tidak pada tempat
  • SALAH: Siapakah pemenang dalam Pertandingan Syarahan anjuran berita harian itu?
  • BETUL: Siapakah pemenang dalam pertandingan syarahan anjuran Berita Harian itu?
  • SALAH: Jarak rumah saya dari Bandar Jerteh ialah 2.5 Kilometer.
  • BETUL: Jarak rumah saya dari bandar Jerteh ialah 2.5 kilometer.

E. Imbuhan
Tidak dapat membezakan antara kata depan dengan.imbuhan "di" dan "ke"
  • SALAH: Masukkan buku ini didalam beg.
  • BETUL: Masukkan buku ini ke dalam beg.
  • SALAH: Semua murid di kehendaki beratur dipadang sebelum masuk ke dewan.
  • BETUL: Semua murid dikehendaki beratur di padang sebelum masuk ke dewan.

Tidak dapat membezakan imbuhan "an dan "kan"
  • SALAH: Masakkan ibu sungguh lazat.
  • BETUL: Masakan ibu sungguh lazat.
  • SALAH: Masukan buku ini ke dalam almari.
  • BETUL: Masukkan buku ini ke dalam almari.

Lain-lain kesalahan
  • SALAH: Kejayaan Najib membanggakan dan mengembirakan ibu bapanya.
  • BETUL: Kejayaan Najib membangga dan menggembirakan ibu bapanya.
  • SALAH: Pasar Besar Jertih mempunyai tempat meletak kereta yang menyelesa.
  • BETUL: Pasar Besar Jertih mempunyai tempat letak kereta yang selesa.

Selasa, 1 November 2016

BAHASA MELAYU : CONTOH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN SPM





Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesanya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.




Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Sdney 2000 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.


Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.


Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.


Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.




Contoh Jawapan Lemah


Petikan membincangkan faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan di negara kita dan langkah-langkahnya.


Salah satu faktor yang menghalang pembangunan sukan ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Sesetengahnya pula menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi. Kegagalan atlet pula sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan sendiri. Pengkritik sukan berpendapat bahawa sistem pendidikan lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan ibu bapa juga mementingkan pelajar anak-anak mereka. Di samping itu,moral atlet kita dikatakan rendah dan mengaku kalah.


Kesan yang dialami ialah kemerosotan mutu sukan di peringkat negara dan juga antarabangsa. Kerajaan juga telah mengalami kerugian kerana telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan tanah air.


Kesimpulannya, semua pihak mestilah menangani masalah ini dengan segera.

[123 patah perkataan]




Ulasan Pemeriksa



1. Pelajar mengemukakan pendahuluan tanpa mengubah arahan atau kata kunci pertama.


2. Isi tersurat
-Pelajar hanya mengemukakan 5 isi yang memberi 10 markah. Sewajarnya pelajar mesti mengemukakan satu lagi isi tersurat


3. Isi tersirat
-Pelajar gagal mengemukakan 2 isi tersirat. Isi tersirat kedua merupakan isi tersurat. Sewajarnya pelajar menulis sekurang-sekurangnya dua isi tersirat untuk memperoleh 4 markah.


4. Kesimpulan yang di tulis oleh pelajar tidak lengkap kerana tidak menggabungkan ayat berbentuk cadangan dengan ayat berbentuk harapan seperti yang disarankan di samping tidak ada kata hubung agar/supaya.




Jawapan Yang Dibaiki


Petikan membincangkan punca-punca yang membantutkan pembangunan sukan negara.

Antara puncanya ialah sikap profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain[S1] di samping sikap mereka yang menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.[S2] Selain itu, mereka menuding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan diri.[S3] Mereka harus menyedari bahawa kegagalan atlet dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan[S4] di samping sikap mereka sebagai perencang sukan tidak mempunyai visi.[S5] Seperkara lagi, sistem pendidikan mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid daripada menyertai sukan.[S6]


Antara kesannya ialah mutu sukan semakin merosot di peringkat negara dan antarabangsa.[T1] Selain itu, atlet tidak dapat menjalani latihan intensif sama ada di dalam ataupun di luar negara kerana persatuan tidak mempuyai kos untuk membiayai mereka.[T2]


Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama menanganinya supaya mutu sukan akan terus meningkat maju. 

[124 Patah Perkataan]

BAHASA MELAYU : TEKNIK MENJAWAB RUMUSAN SPM





Strategi Menjawab



1. Membaca arahan soalan dengan teliti.


2. Mengenal pasti kehendak soalan.


3. Pelajar diingatkan bahawa bagi setiap soalan mempunyai dua kata kunci atau arahan atau tugasan iaitu:


(a) Arahan pertama meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersurat.


(b) Arahan kedua meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersirat.



4. Pelajar digalakkan menulis rumusan menggunakan teknik ataupun panduan yang diberi agar dapat membantu pelajar untuk melonjakkan diri untuk memperoleh markah cemerlang.




Panduan Menulis Rumusan



Bahagian Pendahuluan


i. Pelajar digalakkan menulis pendahuluan dalam sebaris ayat saja.


ii. Pelajar digalakkan supaya menukar arahan soalan dengan menggunakan perkataan yang bersinonim (sama maksud) dengan kata atau frasa tersebut.


Contoh:

(a) Faktor : sebab, punca

(b) Kesan : Implikasi, akibat

(c) Langkah : Usaha, cara


iii. Pelajar tidak perlu menulis kembali arahan atau kata kunci kedua dalam bahagian pendahuluan.


iv. Pelajar perlu menulis skop petikan untuk melengkapkan pendahuluan.


v. Formula rumusan :

Petikan membincangkan _(kata kunci pertama – tukar perkataan sinonim) dalam__(skop petikan) .




Menulis Isi-isi tersurat


i. Pelajar boleh mengenal pasti isi-isi tersurat yang terdapat di dalam petikan seperti mana arahan atau kata kunci pertama dalam soalan.


ii. Pelajar diingatkan bahawa di dalam petikan soalan kelazimannya terdapat 10 isi.


iii. Bukan semua isi tersurat harus ditulis kembali oleh pelajar. Pelajar hanya disarankan agar menulis maksimum tujuh isi tersurat.


iv. Isi-isi tersurat boleh dikenal pasti dengan menandai atau menggarisi ataupun membuat blok menggunakan pen berwarna.


v. Pelajar digalakkan menulis isi tersurat dengan menyusun mengikut tertib dengan menggunakan ayat yang gramatis dan lengkap.


vi. Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu, dan sebagainya.


vii. Hal ini dikenal pasti dapat membantu pelajar untuk boleh menjimatkan bilangan patah perkataan yang ditulis.


viii. Pelajar boleh menyalin semula ayat sama ada mengikut baris ataupun menyalin sebahagian ayat di dalam petikan tetapi pelajar dilarang menyalin bulat-bulat daripada petikan.


ix. Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.




Menulis Isi-isi Tersirat


i. Pelajar digalakkan membina isi-isi tersirat berdasarkan arahan atau kata kunci kedua dalam soalan.


ii. Pelajar perlu mematuhi arahan soalan iaitu isi tersirat merupakan isi yang tidak terdapat di dalam petikan yang diberi.


iii. Sekiranya pelajar menulis isi tersirat berdasarkan petikan, tiada markah untuk isi tersebut.


iv. Pelajar boleh mengemukakan dua, tiga atau empat isi tersirat tetapi sekurang-kurangnya tiga isi tersirat.


v. Pelajar digalakkan mengolah ayat dengan menggunakan ayat sendiri dengan syarat ayat tersebut hendaklah gramatis dan lengkap.


vi. Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu dan sebagainya.


vii. Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.




Penutup (Kesimpulan)


i. Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup sebagai kesimpulan dalam rumusan.


ii. Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup ini dalam bentuk dua bahagian iaitu:

a) Ayat berbentuk cadangan

b) Ayat berbenuk harapan


iii. Pelajar dikehendaki menulis ayat berbentuk cadangan dengan menyatakan kesan, akibat, atau implikasi kepada tema petikan.


iv. Seterusnya, pelajar hendaklah menyatakan ayat berbentuk harapan dengan menggunakan kata hubung supaya atau agar sebagai pelengkap kepada ayat penutup tersebut.


v. Formula kesimpulan iaitu:


Tema petikan + Ayat berbentuk cadangan (supaya/agar) Ayat berbentuk harapan.




Pemerengganan dalam Rumusan


Dari segi binaan pemerengganan, pelajar bebas menulis rumusan sama ada menulisnya dalam satu, dua, tiga ataupun empat perenggan.


INGAT! Dalam penulisan pemerengganan rumusan, tidak ada satu format khusus tentang bilangan pemerengganan kerana hal ini tidak menjejaskan markah pelajar. Namun, sewajarnya pelajar mampu mengemukakan rumusan dalam persembahan yang berkesan.


Namun demikian, pelajar digalakkan supaya menulis rumusan dalam empat perenggan seperti cadangan berikut :


a) Pemerengganan 1 – Pendahuluan

b) Pemerengganan 2 – Isi-isi tersurat

c) Pemerengganan 3 – Isi-isi tersirat (T)

d) Pemerengganan 4 – Penutup (Kesimpulan)




Panduan Mengira Perkataan dalam Rumusan



Pelajar digalakkan supaya mengingati panduan mengira perkataan dalam rumusan, perkataan yang dikira sebagai satu perkataan seperti berikut :


a) Tarikh

b) Gelaran

c) Nama khas

d) Perkataan berulang (kata ganda)

e) Penggunaan kata depan ‘di’ dan ‘ke’

f) Angka yang ditulis dalam bentuk nombor atau perkataan



Pemarkahan dalam Rumusan


1. Bahagian ini memperuntukkan 30 markah iaitu:

Isi 20 markah

Bahasa 10 markah



2. Pembahagian markah mengikut bahagian ialah:

Pengenalan 2 markah

Isi tersurat (S) 1 isi : 2 markah

Isi tersirat (T) 1 isi : 2 markah

Penutup/Kesimpulan 2 markah



3. Dalam rumusan, pelajar harus mengemukakan 10 isi untuk mendapat markah penuh isi iaitu 20 markah.



4. Dalam aspek bahasa, markah diperuntukkan 10 markah. Pemberian markah bergantung kepada jumlah markah yang isi yang diperoleh.



5. Sekiranya pelajar memperoleh markah isi sebanyak 20 markah, markah maksimum aspek bahasa selayaknya 10 markah.



6. INGAT! Pelajar tidak semestinya memperoleh separuh daripada markah isi secara automatik.



7. Hal ini perlu ditentukan setelah pemeriksa berpuas hati dengan jawapan pelajar. Aspek bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata, tanda baca dan sebagainya akan diteliti sebelum markah untuk bahagian bahasa diberikan.



8. Dalam markah bahasa, sekiranya pelajar menulis rumusan dengan menggunakan bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata yang baik, tepat, dan lancar dan tidak terdapat kesalahan bahasa dan tanda baca, pelajar layak mendapat markah tambahan untuk aspek bahasa sebanyak 1 markah.



9. Sekiranya pelajar berbuat sebaliknya, 1 markah akan ditolak daripada keseluruhan markah bahasa yang diperuntukkan.



10. Sehubungan itu, pelajar harus ingat bahawa penilaian dalam rumusan bukan sahaja dinilai dari aspek isi-isi yang dikemukakan oleh pelajar.



11. Pelajar harus mengetahui bahawa aspek bahasa seperti penggunaan istilah dan kosa kata ayat untuk memperlihatkan pertauatan idea atau wacana yang sesuai dan idea yang mengikut urutan dan sebagainya amat dititikberatkan oleh pemeriksa.



12. Pelajar harus mematuhi bilangan perkataan yang dibenarkan hanyalah 120 patah perkataan. Isi atau kesimpulan yang ditulis selepas itu tidak akan dinilai.



13. Sekiranya pelajar menulis rumusan tidak mencukupi bilangan yang diarahkan iaitu 120 patah perkataan atau kurang daripada itu, markah tidak ditolak.




Aspek Kelemahan Pelajar dalam Penulisan Rumusan


1. Pelajar dikenal pasti menulis semula arahan atau kata kunci soalan tanpa menukarkannya dengan perkataan lain yang bermaksud sama(sinonim).


2. Semasa menulis isi tersurat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan arahan atau kata kunci pertama di dalam petikan.


3. Pelajar menulis isi tersurat berulang-ulang.


4. Pelajar bukannya menulis fakta tetapi menjadikan contoh ataupun huraian sebagai isi tersurat.


5. Semasa menulis isi tersirat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan dengan arahan atau kata kunci kedua dalam petikan.


6. Pelajar boleh mengenal pasti isi tersirat berdasarkan isi tersurat yang disenaraikan dengan syarat mematuhi arahan atau kata kunci kedua di dalam petikan.


7. Pelajar tidak menulis kedua-dua bahagian yang dikehendaki dalam kesimpulan (ayat berbentuk cadangan dan ayat berbentuk harapan.


8. Pelajar menulis kesimpulan dalam rumusan dengan membina dua ayat ataupun lebih ayat.


9. Pelajar menyalin ayat bulat-bulat daripada petikan.


10. Menulis rumusan dengan menggunakan ayat yang tidak gramatis, ayat tergantung, ayat tidak lengkap dan sebagainya.


11. Menulis rumusan melebihi 120 patah perkataan.