Popular Posts

Selasa, 30 Ogos 2016

SOLAT JAMAK : PENCERAHAN KEKELIRUAN




Melihat kepada persoalan yang biasa ditanya di forum-forum siber mahupun yang diterima secara langsung, saya terlihat masih ada kekeliruan di kalangan orang awam seperti kita tentang solat jamak (menghimpunkan dua solat dalam satu masa).


Antara kekeliruan/kesilapan yang boleh saya senaraikan adalah:

[a] Solat jamak hanya boleh dilakukan ketika bermusafir.

[b] Ianya mesti dilakukan secara pakej, iaitu dilakukan berserta dengan solat qasar.

[c] Apabila di dalam pertanyaan menyebut ‘menjamakkan solat’ yang dimaksudkan penanya adalah melakukan solat jamak dan qasar. Bukan solat jamak sahaja.

[d] Tidak melakukan solat jamak kerana tidak tahu lafaz niatnya.

[e] Tidak boleh melakukan solat jamak melebihi tempoh tiga atau empat hari (kerana terkeliru antara solat jamak dan solat qasar)

Tujuan saya menyusun risalah ringkas ini bukanlah untuk menghuraikan segala permasalahan solat jamak dan qasar tetapi sekadar berharap dapat memberi penjelasan dan pencerahan terhadap solat jamak sahaja. Semoga ianya dapat mengeluarkan pembaca daripada kekeliruan.


BERKENALAN DENGAN SOLAT JAMAK

Solat jamak bererti menghimpunkan dua solat dalam satu masa. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, jld. 2, ms. 336]

[1] - Zuhur + Asar di dalam waktu Zuhur (taqdim) atau di dalam waktu Asar (takhir).

[2] - Maghrib + Isyak di dalam waktu Maghrib (taqdim) atau di dalam waktu Isyak (takhir).

Dalil:

Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat Zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak (Jamak Takhir -pen).


Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) kemudian bagindapun berangkat (Jamak Taqdim -pen).


Apabila baginda berangkat sebelum Maghrib maka baginda mengakhirkan solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya (Jamak Takhir -pen).


Dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib) (Jamak Taqdim -pen). [Dikeluarkan Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits as-Sahihah – hadis no: 164.]


Namun perlu diingatkan bahawa solat jamak hanya dibolehkan antara Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian.


SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK SEMESTINYA SATU PAKEJ

Maksud solat jamak seperti yang telah dijelaskan. Solat qasar pula bererti mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 rakaat secara 2 rakaat apabila seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili , jld. 2, ms. 336]

Kedua-dua solat ini tidak semestinya dilakukan secara bersama. Kalau dilihat pada pensyaratan melaksanakan solat qasar dan jamak juga berbeza. Solat qasar hanya boleh dilakukan ketika di dalam keadaan bermusafir manakala syarat dibolehkan solat jamak pula lebih luas. Sila rujuk sub-topik SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN.


SOLAT JAMAK BUKAN DALAM KEADAAN BERMUSAFIR

Bermusafir bukanlah faktor penentu untuk melakukan solat jamak kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melaksanakan solat jamak ketika di Madinah. Disebut di dalam sebuah hadis dari Ibn Abbas:


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]

Imam al-Nawawi telah berkata:

“Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat (kebiasaan -pen) yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut al-Syafi'i”. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]

Syarat bagi melakukan solat jamak bukanlah terbatas kepada faktor musafir sahaja. Syarat-syarat yang lain akan diterangkan secara terperinci di dalam sub-topik berikutnya.


SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN


[1] - Bermusafir

Seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan. Sila lihat syarat-syarat lain di bawah.

[2] - Suasana yang sukar atau sulit

Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada meghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya. Ketika ditanya kepada Ibn Abbas radhialllahu‘anhu tentang mengapa dibolehkan solat jamak, beliau menjelaskan:


Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. [Atsar sahabat yang dikeluarkan oleh Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no:1211]


[3] - Jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak

Contoh keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya. Pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek. Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya. Dalilnya adalah:


Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas.
[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]


Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya (kebaikan – pent.). Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. [Lihat Koleksi Hadis Hukum, Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, ms. 350]

Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:

“...Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman –pen). Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi'ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya." [Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, jil. 13, ms. 424-425]

Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa

a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.

b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar.

c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.


[4] - Jamak kerana hujan

Antara salah satu sebab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solatnya di Madinah adalah kerana turunnya hujan lebat yang menjadi pegangan kuat mazhab Syafi’i. Hikmah yang boleh difikirkan adalah tindakan ini bertujuan supaya tidak menyusahkan umatnya untuk kembali semula ke masjid dalam suasana hujan yang pastinya menyebabkan para jemaah basah kuyup atau kotor kaki mereka kerana terpaksa meredahi becak dan lumpur akbat hujan tersebut. Disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas radhiallahu’anhu:


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan.[Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]


Sekalipun hadis tersebut secara jelas menyatakan bahawa Rasulullah shalallallahu ‘alaihi wasallam pernah melakukan solat jamak selain disebabkan ketakutan atau hujan, secara mafhum (fahaman tersirat) ianya menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solat ketika hujan.


Namun perlu diperhatikan syarat-syarat dan cara-caranya dilaksanakan:

a. Solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja. Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan.

b. Waktu yang dibenarkan untuk di"jamak"kan solat ialah pada waktu Zohor yang di”jamak”kan dengan waktu Asar, ataupun solat Maghrib yang di”jamak”kan dengan solat Isyak pada waktu Maghrib. Maknanya tiada “jamak taakhir” dalam kes “jamak” kerana hujan.

c. Hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jamaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib.

d. Hujan yang menyebabkan solat boleh di”jamak”kan ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan renyai – renyai.

e. Ada juga di kalangan ulama Syafi’iyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jamak kerana hujan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja, dan barangsiapa yang tinggal dekat dari masjid mereka tidak dibenarkan melakukan jamak. (Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab Syafi’i sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh dan tiada sandaran dalil yang kuat) [Lihat: al-Syarbini al-Khatib (t.t), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil: 1, hal: 275; al- Nawawi (1994M), Raudat al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil: 1, hal. 503, al-Hisni al-Syafii (1994M), Kifayat al-Akhyar, tahqiq: A Hamid Ba Haji, Beirut: Dar al-Khayr, hal. 140. Dinukil daripada tulisan Ustaz Maszlee Malik, Rukhsah Solat Jamak]


TIDAK TAHU LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK

Ini merupakan pengalaman peribadi suatu masa dahulu, keluarga, sahabat handai dan orang-orang yang bertanya. Antara peyebab ditinggalkan solat jamak adalah kerana tidak tahu bagaimana hendak melafazkan niat bagi solat jamak. Adakah “sahaja aku solat jamak zuhur dan asar…” ataupun “sahaja aku jamakkan solat zuhur dan asar..”? Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bagaimana melafazkan niat untuk apa jua solat sekalipun, termasuklah solat jamak. Itulah sebabnya mengapa tiada hadis sahih berkenaan cara-cara melafaz niat baik untuk solat fardhu mahupun solat sunat. Setiap amalan memerlukan niat, tetapi bukanlah memerlukan melafaz niat. Cukup sekadar lintasan azam/hasrat/keinginan di dalam hati kita mengetahui apa yang hendak/bakal dilakukan. Melafazkan niat itu hanyalah ijtihad ulamak bagi membantu orang yang mempunyai penyakit was-was yang keterlaluan.


Di dalam Ighatsatul Lahfan Ibn Qayyim rahimahullah menyatakan:

Niat ertinya menyegaja dan bermaksud sungguh-sungguh melakukan sesuatu. Dan tempatnya adalah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan... [Dikemukakan oleh Imam Ibnu Qudamah dalam Dzammul Muwaswisin, ms 5-6 dan Syaikh Sayyid Sabiq di dalam Fikih Sunnah, Victorie Agencies, jld. 1, ms.286]

Dalam menghuraikan tentang hadis "tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat", Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan:


Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud...

...Baidhawi berkata: "Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudharat, sedangkan syari'at aadalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya" [Dinukil secara berpisah dari Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari (terjemahan Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azam, jld 1 ms. 19]


Berikut adalah satu contoh bagi memudahkan pemahaman: Niat hendak makan roti canai. Tidak perlulah melafazkan atau menyusun ayat dalam hati "sahaja aku makan roti canai pada waktu tgh hari berserta kuah kacang dal". Memadai lintasan dlm hati kita mengetahui kita ingin menikmati roti canai maka kita pun pergi makan roti canai.


Namun ditegaskan, Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zuhur bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu Asar. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut bahawa solat Zuhur aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika dalam waktu yang pertama. [Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, jld. 2, ms. 377]



PENUTUP KATA

Moga risalah ringkas ini dapat menjawab persoalan dan merungkai kekeliruan tentang solat jamak. Moga pengetahuan mengenai solat jamak ini juga dapat menjadikan kita tidak mudah bersangka buruk dengan individu yang mengamalkan solat jamak berbeza dengan pemahaman ilmu kita yang terhad sebelum ini. Semoga Allah melimpahkan hidayah dan taufik-Nya kepada kita.


Wallahua’lam...

Khamis, 18 Ogos 2016

WARKAH BUAT ALONG...



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh



Along yang dikasihi,

Setelah 18 tahun berlalu, mulai hari ini, along akan mula keluar dari kepompong rumahtangga yang selama ini along begitu selesa. Along akan belajar untuk hidup bertemankan rakan taulan, guru dan pendidik, jauh dari keluarga. Along akan mula belajar berdikari, menguruskan segala keperluan diri. Along akan belajar bagaimana untuk menguruskan hati, masa dan kewangan. Segala ini akan along pelajari dan insya Allah, along akan mendapat kekuatan untuk menghadapi dunia baru ini. Walid dan umi sentiasa dan akan terus mendoakan segala kebaikan, sama ada untuk urusan dunia mahupun akhirat buat along…


Walau kelihatan seolah-olah walid gembira dengan pemergian along merantau menimba ilmu, namun hakikatnya tetap ada kesedihan dihati seorang bapa. Selama 18 tahun along dalam pemerhatian dan penjagaan walid, segala makan pakai sakit dan demam dalam pengetahuan dan penjagaan walid dan umi. Bukan hanya along yang sedih kerana terpaksa berpisah dengan walid, umi, nisah dan darwish, tetapi kami pun turut merasainya. Kita sama-sama perlu belajar untuk saling merindui dan merawat kerinduan dalam kejauhan, insya Allah ia lebih indah apabila kita bertemu setiap kali along pulang nanti.


Along merantau bukan hanya untuk mendapat kebaikan ilmu dunia, tetapi ilmu inilah kelak yang bakal membawa kebaikan untuk akhirat along, asalkan along meluruskan niat; belajarlah kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah swt. Ingatlah selalu, orang yang sentiasa mensyukuri apa jua nikmat adalah orang sentiasa dekat dengan kebahagiaan.


Belajarlah daripada segala kesilapan lampau agar along tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam menimba ilmu, dalam memilih rakan dan teman serta dalam penjagaan diri berkaitan pemakanan dan pengurusan diri.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan silaturahim di kampus. Walid berharap along pandai memilih rakan taulan kerana dalam dunia baru along ini, pelajar datang hampir dari seluruh negara yang mempunyai latar belakang kehidupan pelbagai dan budaya hidup yang berbeza. Perhatikan baik-baik dengan siapa along mengangkat sebagai teman baik kerana melaluinya, destinasi along seterusnya akan dicorakkan.


Jika along mahukan kebaikan bagi diri along, maka janganlah mempelajari pelajaran along sendirian, tetapi ajaklah seorang teman untuk belajar bersama dan saling membantu untuk memahaminya.


Apabila along temui sesuatu masalah dan along merasakan bahawa along telah memahaminya, maka janganlah along merasa cukup dengan sangkaan itu sehingga along tinggalkan buku dari tangan dan menganggap diri lebih pandai dari kawan along.


Bersikap sopanlah dengan teman yang along pilih untuk belajar. Apabila along telah mengerti sebelum dia, maka janganlah membanggakan diri terhadapnya kerana dapat mendahuluinya. Apabila dia berbeza pendapat dengan along dalam memahami sesuatu masalah, maka dengarkanlah apa yang dikatakannya. Barangkali dia telah memahaminya dengan benar dan along yang salah dalam pemahaman.


Hindarilah perdebatan dengan cara yang batil dan jangan membela pendapat along jika along keliru. Kerana ilmu itu amanah, dan sesiapa yang membela kebatilan, maka dia telah menyia-nyiakan amanah Allah swt.


Jarang sekali seorang pelajar berkumpul dengan sekelompok temannya, melainkan dialog di antara mereka berlangsung sekitar perdebatan dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang mereka ketahui. Maka, janganlah along memotong perkataan orang yang sedang berbicara, dan jangan tergesa-gesa menjawab sebelum meyakininya serta jangan membantah tentang suatu masalah yang belum pernah along ketahui.


Jangan berdebat tanpa alasan yang benar dan jangan menunjukkan kesombongan terhadap orang yang menjadi regu debat along itu. Jangan keluar dari topik perdebatan hingga menyalahkan pendapat lawan dan jangan menyakitinya dengan perkataan yang menyakitkan serta jangan mengejeknya bila dia salah dalam pengertian.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam menimba ilmu. Along perbanyaklah menghafal ilmu, kerana mudarat pada ilmu adalah sifat lupa.


Ketahuilah bahawa di penghujung semester, along akan diuji tentang semua pengetahuan yang along timba. Dan ketika ujian, manusia akan dimuliakan bila dia mampu menjawab dengan baik. Sebaliknya, dia akan diremehkan pendapatnya oleh keluarga dan saudara-saudara, bila tidak berupaya menjawab dengan baik dan kelihatan hasil yang diperolehinya kurang memuaskan.


Jangan sampai hafalan along itu hanya sekadar menghafal kata-kata tanpa memahami maknanya. Akan tetapi, pusatkan perhatian along pada pemahaman makna-makna dan penetapannya dalam fikiran. Kerana ilmu adalah apa yang along fahami bukan apa yang along hafalkan.


Dialog antara para pelajar tentang masalah-masalah ilmiah adalah besar faedahnya. Dialog itu menguatkan pemahaman, melancarkan lisan dan membantu pengungkapan sasaran-sasaran yang dimaksud serta menghasilkan keberanian para pelajar.


Akan tetapi, along, hal ini tidak berguna di sisi Allah mahu pun manusia, kecuali bila akhlak along lurus, jauh dari perkataan keji. Along katakanlah kebenaran walaupun terhadap diri along sendiri dan tidak terpengaruh oleh celaan orang dalam menyatakan kebenaran.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam bersilaturahim dengan guru-guru. Along ingatlah bahawa sesungguhnya seorang guru itu tidak menyukai selain kepada murid yang taat dan beradab. Maka, adakah along suka apabila guru dan pendidik tidak redha kepada along dan tidak mengharapkan kebaikan?


Berusahalah meluangkan masa setiap hari untuk pergi menemui mana-mana guru diluar waktu kuliah untuk bertanya segala persoalan pelajaran. Wujudkan hubungan yang baik dengan para pendidik, agar along mendapat keberkatan ilmu yang disalirkan oleh mereka buat along. Hormati mereka selayaknya seorang guru.



Along yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan ilmu dan akhlak. Sesungguhnya akhlak yang baik adalah perhiasan manusia pada dirinya dan di antara saudara-saudara, keluarga dan teman-temannya. Maka, jadilah along seorang yang berakhlak baik, nescaya orang-orang menghormati dan menyayangi along.


apabila along tidak menghiasi ilmu dengan akhlak yang mulia, maka ilmu along akan lebih membahayakan daripada kebodohan kerana orang yang bodoh dapat dimaafkan tentang kebodohannya, tetapi, orang yang beramal tidak mempunyai alasan terhadap orang sekitarnya jika dia tidak memiliki perilaku yang baik.


Janganlah along terganggu dengan kata-kata orang pada diri along. Maafkanlah kesalahan mereka dan jangan sediakan tempat dihati along dengan segala bibit dendam untuk tumbuh berkembang. Ia akan menjadi virus yang bakal mematikan hati. Sebaliknya janganlah along merasa segan untuk meminta maaf walau ego tercalar kerana merasa along lebih benar dari mereka. Sesungguhnya memaafkan itu adalah kemuliaan dan meminta maaf adalah kekuatan



Along yang dikasihi,

Akhir kata, walid berharap along membaca segala garapan walid ini dengan hati yang tenang dan dada yang lapang serta fikiran yang terbuka. Inilah secebis nasihat, ajaran, petunjuk dan panduan yang mampu walid berikan untuk along yang walid kasihi.


Along telah menjadi seorang gadis, maka berfikir dan bergeraklah selayaknya seorang gadis muslim, bukan menuruti trend semasa gadis-gadis sebaya along, Bukan semuanya membawa kebaikan untuk akhirat along.


Berusahalah untuk mencapai impian dan sasaran melalui pencapaian yang cemerlang. Sasarkan CGPA 4.00, namun jika Allah rezekikan bukan itu angka yang along perolehi untuk peperiksaan, tetaplah bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan buat along. Nabi saw sendiri pun berpesan, bila meminta, mintalah Firdaus, Berdukacita bukan sifat seorang mukmin, maka jauhilah sifat itu. Walau apa pun pencapaian along nanti, itulah yang dinamakan suratan takdir.Redha dan teruskan perjalanan hidup kerana hidup ini masih panjang dan ranjaunya masih penuh onak dan duri.


Segala apa yang walid ajarkan berkaitan amalan sebelum solat maghrib itu, teruskanlah jika boleh. Namun jika ada aral melintang, maka berusahalah melakukannya selepas solat subuh. Usah pisahkan diri daripada membaca Al Quran setiap hari, walau hanya selembar sehari. Jangan lupa untuk turut mengamalkan asma husna yang walid pesan untuk dibaca; Al Rashid. Pohonlah ilmu, kebijaksanaan dan hikmah dari Pemilik segala Qalam.


Walau apa pun masalah, kesulitan serta kepayahan, maklumkanlah pada walid, ceritalah pada walid, kisahkan pada walid. Jika perlu, walid akan terus datang menemui along di KMPH ini tanpa mengira masa. Insya Allah dipermudahkan segalanya untuk along



Anak ku

Bawalah hatiku bersertamu

Ada oasis cinta di dalamnya…



Teguklah sepuasmu

Kau akan rasakan

Semangat yang tidak pernah padam

Tenaga yang tidak pernah habis

Untuk terus belajar



Salam kasih sayang dari

Walid



Remember that the Quran should always be placed as first priority in your heart. If you find that you listen to nasheed more than Quran, or if you see that Nasheed effect your heart more than the Quran, perhaps you should take a break from them and question your heart truly, as it is the Quran which will be an intercessor on the Day of Judgement; it is the Quran which will raise you in ranks - thus I ask you to evaluate yourself. May Allah guide us to the path of heavens.

Sabtu, 6 Ogos 2016

BERNIAGA DENGAN HATI DAN BEKERJA DENGAN CINTA....




“Barangsiapa yang menjadikan dunia ini sebagai satu-satunya tujuan akhir (yang utama), nescaya Allah akan menyibukkan dia dengan (urusan dunia itu) dan Allah akan membuatnya miskin seketika, dan ia akan tercatat (ditakdirkan) merana di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuan akhirnya, Allah akan mengumpulkan teman-teman untuknya dan Allah akan membuat hatinya kaya dan dunia akan takluk dan menyerah kepadanya.”

- Al-Hadis -


Setiap orang yang bekerja atau menjalankan perniagaan tentu sudah memiliki mimpi-mimpi yang menjadi tujuan hidupnya. Sebahagian dari mereka memiliki visi atau tujuan yang jauh ke hadapan berdasarkan nilai-nilai suara hati nuraninya, sedangkan yang lain hanya berkeinginan menjadi seorang usahawan terkenal dan kaya raya. Bagi mereka yang berniaga dengan hati nurani, menjadi usahawan kaya raya bukanlah menjadi tujuan akhirnya. Memiliki kekayaan berlimpah bukanlah tujuan utamanya, melainkan sebagai sarana untuk memperbanyak kebaikan dan memperkaya jiwanya.



Keuntungan atau “profit” adalah penting dalam berniaga, walaupun demikian, keuntungan bukanlah tujuan akhirnya, kerana keuntungan dipandang sebagai sarana memberikan manfaat bagi orang lain sebanyak-banyaknya. Dengan kata lain, mereka memiliki keinginan memperkaya harta dan memperkaya jiwanya secara seimbang. Ini kerana, berniaga adalah sebahagian daripada ibadah yang harus dipertanggungjawabkan kepada Allah yang Maha Esa di kemudian hari.



Dalam perniagaan, keuntungan atau “profit” adalah darah bagi kehidupan usaha tersebut. Maka, hampir semua usahawan sepakat bahawa keuntungan adalah hal yang harus diperjuangkan demi perkembangan usaha niaganya. Bagi mereka yang hanya dimotivasikan oleh kepentingan materialisme, maka dalam berniaga lebih membawa nilai-nilai materialisme, mendahulukan kepentingan keuntungan harta yang sebanyak-banyaknya. Akibatnya, banyak usahawan yang rela melakukan berbagai penyelewengan etika, menempuh cara-cara yang kurang terpuji, mempercayai unsur-unsur mistik demi keuntungan uang semata.



Seringkali mereka tidak menyedari bahawa sesungguhnya nilai keuntungan itu bukan semata-mata diukur dari besarnya wang yang dibukukan. Mereka, cenderung melakukan pelbagai cara asalkan dapat mendatangkan kekayaan material bagi hidupnya. Kesannya, mereka mudah mengabaikan nilai-nilai murni dalam hatinya, demi meraih keuntungan. Inilah yang menjadikan ramai orang kehilangan makna kejayaan yang diperolehinya. Keberhasilan usaha dan harta yang dimilikinya tidak memberikan nilai tambah bagi kemuliaan dan kebahagiaan tertinggi hidupnya.



Mereka begitu sibuk mencari berbagai cara dan alternatif demi memaksimumkan pendapatan dan keuntungan perniagaan. Bahkan tidak sedikit yang tanpa disedarinya, telah dikuasai dan dikendalikan oleh kepentingan material ini, hingga mengabaikan nilai-nilai kebenaran. Secara mata kasar juga, kita dapat melihat kebanyakkan orang yang tenggelam dengan penyelewengan dan penipuan dalam dunia perniagaan adalah orang-orang yang terlena dengan kekayaan harta, sehingga mereka mengabaikan nilai-nilai Islam dalam hatinya. Mereka ini menjadi manusia yang begitu mendewakan harta kekayaan dan men-Tuhankan harta kekayaan.



Perniagaan sesungguhnya memiliki makna yang luas, bukan semata-mata dinilai dari keuntungan wang, namun ada makna yang lebih tinggi dari keuntungan material. Dalam berniaga, selain untuk meraih unsur-unsur material, kita juga perlu mempertimbangkan agar perniagaan yang kita lakukan, produk yang kita hasilkan dapat memberikan sumbangan kebaikan dan manfaat bagi orang lain sebesar-besarnya. Dengan demikian, berniaga akan selalu mempertimbangkan nilai-nilai etika, moral dan hati nurani.



Menurut Henry David Thoreau, “A man is rich in proportion to the things he can afford to let alone. – Seseorang yang mampu hidup sederhana, maka ia tidak akan pernah merasa kekurangan.” Maknanya, kita perlu mengembangkan budaya positif dalam berniaga, bukan hanya berorientasi pada kekayaan dan hidup kemewahan, melainkan berorientasi pada manfaat kebaikan bagi banyak orang lain.



Sesungguhnya perniagaan merupakan panggilan mulia dalam kehidupan, kerana perniagaan dapat menjadi jalan bagi seseorang untuk memperkaya harta kekayaan dan menggunakannya untuk memperbanyak kebaikan bagi orang lain. Ia juga dapat menjadi jalan memperolehi makna kehidupan dan kebahagiaan sejati melebihi nilai-nilai materialisme. Berniaga dapat menjadi lading amal dari ibadah dan bentuk pengabdian kita kepada Allah, jika dijalankan dengan mengutamakan nilai-nilai kebenaran. Perniagaan adalah juga sebahagian dari melayani orang lain dan harus dipertanggungjawabkan kepada Allah swt.



Mereka yang berniaga dengan berorientasikan kepada manfaat kebaikan bagi orang lain, menjadikan usahanya adalah jalan untuk meraih keberkatan hidup. Dengan demikian, mereka tidak mudah dikendalikan oleh nafsu kekayaan berlebihan, tidak serakah dan tamak akan harta kekayaan dan kekuasaan berlebihan. Meskipun mungkin dapat hidup serba mewah dan moden dengan keuntungan usaha yang diperolehnya, namun tetap menjalani hidup sederhana dan lebih senang memberikan manfaat kebaikan kepada orang ramai. Hidup sederhana bukan bererti tidak memanfaatkan segala kemudahan yang memungkinkan kita lebih maju, melainkan ia memberi makna hidup berhemat, tidak boros atau berlebih-lebihan dan memiliki keprihatinan yang tinggi kepada orang lain yang memerlukan di sekeliling kita. Wallahu`alam.



SEMOGA BERMANFAAT.



Jagalah Hati…



Wassalam.

Jumaat, 5 Ogos 2016

KEPALSUAN SOLAT HAJAT DAN ALTERNATIFNYA...




Menurut para ulama hadis (para muhaddis), bahawa semua hadis-hadis yang berkaitan dengan solat hajat adalah hadis dha’if belaka (hadis lemah). Tidak boleh mengamalkan hadis-hadis lemah walaupun banyak jumlahnya. Maka mendirikan solat hajat dihukum bid’ah lantaran tidak ada hadis yang sahih untuk dijadikan hujjah atau sandaran.


Menurut Imam al-Bukhari rahimahullah (dan para imam hadis yang ramai) bahawa:

“Semua para rawi yang telah aku jelaskan tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal, Jld. 1. Hlm. 6)

Antara hadis-hadis lemah yang menjadi hujjah dan alasan kepada mereka yang melakukan solat hajat ialah:

(HADIS PERTAMA)

“Telah bersabda Rasulullah saw: Barangsiapa yang mempuyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang dari Bani Adam, maka hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya, kemudian solat hajat dua rakaat. Setelah selesai solat hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian ia membaca doa hajat..."


Hadis di atas ini sangat lemah. Dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1/477). Ibnu Majah No. 1384. Dan Hakim (1/320). Semuanya dari jalan Faaid bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abi Aufa secara marfu’.


Imam Tirmizi rahimahullah dalam riwayatnya menjelaskan tentang hadis ini bahawa:

“Hadis ini gharib (asing), pada sanadnya ada perbincangan (dipersoalkan) atau (maqal) disebabkan Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan hadisnya. Dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa”. (Lihat: Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamatus Solah wa-Sunnatu Fiha. Bab Ma Jaa Fi Solatul Hajah. Hadis 189)


Didapati sanad (rawi) hadis ini sangat lemah, kerana Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan oleh ramai (sejumlah besar) ulama hadis (muhaddis). Di bawah ini dibawakan penjelasan para ulama hadis tentang Faaid bin Abdurrahman Abdul Waruqa’:


Berkata Abdullah bin Ahmad dari bapanya (Imam Ahmad rahimahullah), bahawa hadis ini termasuk “Mungkarul hadis atau orang yang ditinggalkan (tidak boleh dipakai) hadisnya.


Berkata Imam Ibnu Ma’in: Faaid binAbdulrrahman dhaif (lemah hadisnya) dan bukan orang yang siqah (tidak dipercayai).


Berkata Imam Abu Daud: Faaid bin Abdurrahman Waruqa’ tidak berguna (istilah yang bermakna lemah/perawi yang lemah).


Berkata Imam an-Nasaii: Faaid bin Abdulrrahman dia perawi yang tidak siqah atau matrukul hadis (hadisnya ditinggalkan).


Berkata Imam Abu Hatim: Hadis-hadis dari Ibn Abi Aufa batil (Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa), maka hadisnya batil.


Berkata Imam al-Hakim: Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa dan hadis-hadisnya adalah maudu’ (palsu).


Berkata Ibnu Hibban: Hadis ini adalah “Mungkarul Hadis” iaitu jenis hadis yang darjat mungkar.


Berkata Imam al-Bukhari: Mungkarul Hadis. Dan menurut jarah Imam al-Bukhari:


“Bahawa setiap rawi yang telah aku katakan padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima segala riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal. 1/6)


Dengan keterangan ini, jelaslah bahawa hadis tentang solat hajat sangat lemah kerana telah lemahkan oleh ramai ulama hadis, malah menurut sebahagian besar ahli hadis (ulama hadis/muhaddis) ia adalah hadis palsu, mungkar atau matruk (ditinggalkan).


Oleh yang demikian, mengamalkan solat hajat untuk tujuan-tujuan tertentu seperti ingin lulus dalam peperiksaan, ingin menunaikan sesuatu hajat, sebelum berpergian atau sebagainya, maka ia adalah perbuatan bid’ah yang diada-adakan, kerana tidak ada keterangan, dalil atau hujjah yang sahih yang membolehkannya.



(HADIS KEDUA)

Bantahan terhadap Syaid Sabiq rahimahullah:

“Dari Abi ad-Darda’ ra berkata: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullahsaw bersabda!: Barangsiapa yang berwuduk, lalu dia sempurnakan wuduknya, kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurnanya, nescaya Allah akan menunaikan segala hajatnya (apa sahaja yang diminta) cepat atau lambat”.

Hadis Lemah. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad 6/442 – 443.


Hadis di atas ini lemah. Ia dimuatkan oleh Syaid Sabiq dalam kitabnya “Fiqih Sunnah”. Hadis ini dianggap oleh Syaid Sabiq sebagai hadis sahih, namun sebaliknya menurut al-Imam Nasruddin al-Albani rahimahullah bahawa hadis ini terbukti hadis yang lemah. (Lihat penjelasan Nasrudsdin al-Albani dalam kitabnya: Tamamul Minnah. Hlm 260) Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk membolehkan solat hajat. Begitu juga hadis ini dan yang semisal dengannya tidak mempunyai syawahid.


Menurut al-Albani rahimahullah: Hadis di atas ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya 6/442 - 443 dengan sanadnya yang lemah (dhaif). Di dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang majhul (tidak dikenali/tidak diketahui), iaitu Maimun Abi Muhammad. (Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 260)


Dengan demikian kenyataan Syaid Sabiq rahimahullah bahawa sanad hadis ini sahih adalah merupakan kesilapan dan tasaahul (bermudah-mudah) dalam mengambil hadis sebagai hujjah syara.


Dengan penjelasan ini, diharap para ulama yang mengamalkan serta membiarkan umat mengerjakan solat hajat diketika mereka ada hajat/keperluan, seperti amalan di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi apabila hampirnya menghadapi peperiksaan, atau juga persatuan-persatuan agama apabila ada perayaan-perayaan tertentu, masjid-masjid, surau-surau atau orang perseorangan apabila menghadapi hari-hari yang dianggap sebagai hari musibah, maka mereka (terutamanya para ulama) perlu berhujjah dengan hujjah dari syara untuk membolehkan solat hajat agar mereka tidak terjebak melakukan bid’ah yang ditegah oleh agama Islam.




PENGGANTI SOLAT HAJAT


1 - Adapun pengganti solat hajat apabila ada keperluan atau hajat, hendaklah solat istikharah sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sahih.

Antara para Imam hadis (Ahli Hadis) yang memuatkan hadis tentang solat hajat di dalam kitab-kitab mereka kemudian melemahkannya ialah:

Imam al-Hakim. Lihat: Kitab al-Mustadrak. 1/320.

Imam at-Tirmizi: Lihat: Sunan Tirmizi 1/477.

Imam Ibnu Majah. Lihat: Hadis no. 134.

Ibn Hajar. Lihat: Kitab Tahzibut Tahzib 8/255.

Imam an-Nawawi. Lihat: Al-Azkar. Hlm. 167.




2 – Berdoa (Secara Umum)

Iaitu berdoa secara umum tanpa menetapkan dengan kaedah-kaedah tertentu yang khusus yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah saw. Berdoa boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (al-Baqarah 2: 186)

Sebagai contoh, boleh juga berdoa di akhir solat (selepas tasyahhud dan sebelum salam), di dalam sujud dan seumpamanya yang sebagaimana disunnahkan.

“Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, ucapkanlah At-Tahaiyyat …., kemudian hendaklah seseorang kamu memilih doa yang disukainya dan hendaklah ia mengajukan permohonannya kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia”. (Hadis Riwayat an-Nasaii, Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad sahih)

Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah:

“Hadis ini secara tersurat menyatakan dibenarkannya berdoa pada setiap tasyahhud sekalipun pada tasyahhud awal. Pendapat ini dikemukan oleh Ibnu Hazam”. (Rujuk: Sifat Solat Nabi oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hlm. 198.)


Wallahu`alam

SOLAT HAJAT ATAU QUNUT NAZILAH...?




Semenjak akhir-akhir ini, kita seluruh umat Islam sama ada di negara sendiri mahu pun di luar dari negara kita, telah didatangkan dengan pelbagai ujian dan mungkin juga musibah yang pelbagai sekali.


Maka, kita sebagai insan yang beriman dan bertaqwa (insyaALLAH), dengan berhempas pulas bergantung kepada ruang yang ada, sedaya upaya berusaha untuk membela umat Islam seluruhnya dalam isu-isu yang sepertinya ini. Namun…


Tapi, entah mengapa, budaya solat hajat menjadi begitu berleluasa di seluruh negara. la berpunca daripada sikap kebanyakan orang yang bertaqlid buta dan beramal tanpa ilmu serta anjuran oleh sesetengah tokoh masyarakat yang mengadakannya kononnya untuk mendidik masyarakat tentang kewujudan solat al-haajah (solat hajat).


Sepatutnya jika sesesorang itu benar-benar mempunyai sesuatu keperluan maka adalah tanggungjawab individu tersebut bangun di penghujung malam (sebagai alternatif) lalu berdoa kepada Allah secara individu. Jika dia inginkan seseorang yang alim atau sahabat-sahabatnya turut mendoakannya bolehlah dia meminta mereka mendoakan untuknya. Perbuatan-perbuatan ini adalah berasal dari perbuatan Nabi saw dan para sahabatnya. Dan dari satu sudut yang lain pula, nabi saw bersama-sama para sahabat melakukan doa melalui Qunut Nazilah di dalam setiap solat fardhunya, apabila datangnya kesusahan seperti peperangan atau penindasan kaum kafir ke atas umat Islam.


Berikut, kita rujuk terlebih dahulu dalil-dalil berkaitan solat hajat,


Adapun solat al-haajah, bagi mereka yang menganggapnya sunnah maka biasanya mereka akan berdalilkan hadith-hadith berikut:

a. Dari 'Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang memiliki hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluq-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do'a ini. La Ilaha iIIAIIah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Adzim (du'a ini tidak disalin semua)" (at-Tirmidzi, Kitab as-Solah, Ma jaa'a fi solaah al-haajah - Dho'if sunan at-Tirmidzi, no. 73)

Hadith ini dimasukkan oleh Imam Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at (iaitu kumpulan hadith-hadith palsu) akan tetapi ia dihukum oleh Shaykh al-Albani dalam Dha'if Sunan at-Tirmizi sebagai sangat dha'if. Ini adalah kerana di dalam silsilah perawi hadith ini ada seorang yang bernama Faid bin Abd al-Rahman. Dia sangat dho'if, dikatakan Mungkar al-Hadith oleh Imam al-Bukhari, Matruk (Ditinggalkan hadithnya tanpa ber'amal dengannya) oleh Imam Ahmad, Dho'if oleh Yahya ibn Ma'iin,

Hadith Kazhib (Hadithnya Bohong) oleh Abu Hatim al-Razi. Maka hadith ini tidak boleh dijadikan hujjah pensyari'atan solat hajat.


b. Dari 'Abdillah bin Abi Awfa al-Aslamiy bahawa satu hari telah keluar kepada kami Rasulullah saw, maka baginda bersabda,

"Barangsiapa yang memiliki hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan (perhatikan perbezaan matan hadith ini dengan yang sebelumnya, di mana di dalam hadith ini tiada terdapat suruhan agar memuji Allah dan berselawat di atas junjungan Rasulullah saw) kemudiannya hendaklah dia membaca doa ini. La Ilaha iIIAIIah al-Halim al-Kariim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Aziim (doa ini tidak disalin semua) kemudian dia meminta dari Allah akan perkara-perkara dunia dan akhirat, apa sahaja yang dia kehendaki, Sesungguhnya Dialah yang menentukan (ini juga merupakan penambahan di dalam riwayat yang sebelum ini)"(Diriwayatkan oleh Ibn Majah, Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiiha, Ma jaa'a fi solah al-haajah - Dho'if Sunan Ibn Maajah, no. 293)


Hadith ini juga terdapat penyakit iaitu Faid bin Abd al-Rahman sebagaimana yang sebelumnya. Maka hadith ini juga tidak sah dijadikan hujjah.


c. Dari Abi Ad-Darda' ra bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang berwudhu' lalu diperelokkan wudhu'nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka'at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (hadith ini tidak diterjemah sepenuhnya)"(Diriwayatkan oleh Ahmad, Musnad al-Qoba'il)

Hadith ini pada silsilah periwayatnya ada seorang yang bernama Maimun atau Abu Muhammad al-Mara'ii at-Tamimi, seorang yang majhul yang tidak diketahui siapakah gerangannya oleh 'ulama' hadith. Malah di dalamnya juga ada Yahya ibn Abi Kathir. Beliau adalah tsiqah tetapi terkadang dia meriwayatkan hadith secara mudallas dan terkadang dia meriwayatkan hadith dengan terputus sanad (Mursal). Jadi terdapat satu perawi yang majhul dan satu lagi yang ada mempunyai kes-kes yang tidak enak di dalam meriwayatkan hadith. Jadi, ia juga dho'if lalu tidak boleh dijadikan hujjah.


d. Dari 'Uthman bin Hunaif ra, bahawa telah datang kepada Rasulullah saw seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah saw bersabda, “Jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu, kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah!” Maka Rasulullah saw menyuruhnya supaya berwudhu' dengan elok lalu bersolat dua raka'at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi'hu fiya” (Hadith Hassan Sahih Gharib - at-Tirmizi: Kitab ad-Da'awat 'an Rasulillah, fi Du'aa' ad-Dho'iif. Ibn Majah: Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiha)

Hadith inilah merupakan hadith yang paling sahih berbanding hadis-hadis yang lain dalam menjadikan hujjah sebagai pensyari'atan solat hajat. Akan tetapi doanya tentulah tidak sesuai diamalkan kerana ia bersangkutan dengan tawassul kepada Nabi pada masa hidupnya.


Adapun sekarang, Rasulullah saw telah pun wafat. Maka tidak boleh lagi bertawassul melalui baginda saw.


Jika dilihat dari hadith-hadith di atas, sama ada yang dho'if atau pun yang sahih, ia dilakukan sendiri oleh tuan empunya hajat. Rasulullah saw, walaupun pada ketika itu masih hidup dan ada bersama lelaki yang buta itu, akan tetapi baginda saw tetap tidak mendirikan solat itu bersama-sama dengannya malah baginda saw menyuruh si buta itu sendiri melaksanakan solat untuk memohon hajatnya kepada Allah secara langsung. Cuma doanya sahaja bertawassulkan kepada Rasulullah saw (ketika hidup) sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw sendiri.


Solat ini di dalam mazhab asy-Syafi'ie diletakkan di bawah solat naafil (sunnat) yang didirikan secara individu. Solat nafil yang didirikan secara berjama'ah adalah seperti Solat 'Eid al-fitr dan Solat 'Eid al-Adha (solat raya), solat Istisqo' (solat minta hujan) serta solat gerhana. Solat al-haajah ini tidak diletakkan di bawah solat nafil yang dilakukan secara berjama'ah dan seelok-eloknya ia dilakukan secara individu.


Demikianlah yang diketahui dan diajar oleh para 'ulama' zaman-berzaman. Manusia yang paling hebat diuji oleh Allah adalah para Nabi-nabi 'alayhimussolatu wassalam bertepatan dengan sabdaan Nabi saw dalam sebuah hadith yang sahih: "Sesungguhnya di antara sedahsyat-dahsyat manusia yang diberi balaa' (ujian) adalah para anbiyaa', kemudiannya adalah orang yang selepasnya (dari segi keimanan) dan kemudian adalah yang selepasnya." (Riwayat Ahmad, al-Musnad) (al-Haithami, Majma' az-Zawwa'id) ( Silsilah al-Ahaadith as-Sahiihah, no. 145, 3267, 1165) (diriwayatkan hadis ini juga oleh beberapa perawi lain dengan lafaz yang sedikit berbeza)


Nabi Muhammad saw dan para sahabat sendiri telah melalui pelbagai keadaan di zaman mereka seperti:

a) Peristiwa penyiksaan ke atas Bilal, Khabbab dan para sahabat yang lain.

b) Pemboikotan ekonomi ke atas kaum Muslimin

c) Kejadian ba'iah ridhwan selepas 'Uthmaan tidak pulang ke pangkuan kaum Muslimin.

d) Berpuluh-puluh misi ketenteraan

e) Peristiwa hadith al-ifk yang menimpa 'Aisyah

f) Peristiwa pengepungan ke atas kota Madeenah oleh tentera Ahzaab

g) Peristiwa pembunuhan 'Uthman

h) Peristiwa perang saudara di antara Mu'awiyyah dan 'Ali


Walaupun terdapat begitu banyak dugaan dan cabaran yang menimpa kaum Muslimin di zaman Nabi saw dan para sahabat namun tidak pernah sekali pun kita mendengar Nabi saw atau para sahabat-sahabatnya menganjurkan solat haajah (malahan secara berjama'ah) sebagaimana yang dibudayakan oleh kebanyakan orang Melayu pada hari ini. Di sesetengah masjid di Negara kita, hampir tiap-tiap malam diadakan majlis solat haajah berjama'ah ini untuk pelbagai sebab yang mendatang. Ini tidak lain adalah rekaan dalam 'ibadah yang semua kaum Muslimin perlu menghindarinya. Sesungguhnya yang terbaik itu adalah dalam mengikuti Sunnah dan menjauhi bid'ah.



Berikut pula adalah kupasan berkaitan dalil Doa Qunut (Nazilah),

Hadis daripada Ibnu Abbas ra:

Ertinya: Rasulullah berqunut sebulan terus menerus dalam solat zuhur, asar, magrib, isyak dan subuh di akhir tiap-tiap kali solat apabila ia berkata "sami'allahu liman hamidah" dari rakaat akhir, beliau mendoakan kehancuran ke atas penduduk kabilah bani salim, kabilah ra'lun, zakwan dan 'Ushyayyah dan orang-orang yg dibelakang mengaminkannya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud & Imam Ahmad)


Rasulullah berbuat demikian kerana kabilah-kabilah tersebut mengaku memeluk islam dan meminta kepada Rasul saw supaya menghantar kepada mereka guru-guru yang akan mengajar mereka. Rasulullah saw lalu menghantar 70 orang guru tetapi mereka membunuhnya maka oleh kerana itulah Rasulullah saw berqunut nazilah. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw apabila hendak berdoa untuk kehancuran seseorang atau untuk kebaikan seseorang, beliau akan berqunut selepas rukuk.


Daripada hadis di atas juga bacaan doa Qunut sebenarnya tidak dihadkan kepada ketika solat subuh sahaja, sebagaimana hadis yang berikut:

Ertinya: “Bahawasanya Nabi saw tidak berqunut di dalam solat subuh melainkan apabila ia mendoakan kebaikan kepada satu kaum ataupun kehancuran satu kaum. (Diriwayatkan oleh Ibnu hibban, dan Ibnu Khuzaimah)



Imam asy-Syaukani pula mengatakan supaya jangan dikhususkan qunut itu di dalam satu solat sahaja tanpa dilakukan di dalam solat-solat (fardhu) yang lain.

“Adalah Rasulullah saw tidak berqunut melainkan apabila beliau berdoa untukk kebaikan seseorang atau mendoakan kehancuran seseorang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Abu Hurairah)



Kesimpulan,

Maka daripada situasi yang kita hadapi sekarang dan berpandukan kepada dalil yang telah kita lihat. Qunut nazilah adalah lebih utama (jelas akan kesahihan dalilnya dan tanpa perselisihan ulama) berbanding melakukan solat hajat. Jadi, adalah lebih utama jika kita semua seluruh masyarakat Islam di mana jua, agar bersama-sama mengamalkan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan saudara seagama kita dan mendoakan kehancuran musuh-musuh kita.


Wallahua'lam.

Khamis, 4 Ogos 2016

TATACARA SUJUD SAHWI...





Sujud syawi adalah nama bagi ‘dua sujud’ yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat disebabkan terlupa. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Risalah Sujud Syahwi, Majalah as-Sunnah, Edisi 12/VII/1424H/2004M, m.s. 41)


Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum atau sesudah salam oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua-dua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah saw (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jld. 2, m.s. 98)



Perlaksanaan sujud sahwi adalah atas beberapa sebab seperti berikut:


1 – Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

2 – Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.

3 – Mengalami keraguan (syak). Misalnya dia ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat samaada tiga atau empat. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, m.s. 382)


Sujud sahwi hanya disyariatkan ke atas kekurangan atau penambahan yang berlaku di dalam solat secara tidak sengaja.


Jika solat seseorang terlebih atau terkurang, maka hendaklah dia sujud dua kali. (Sahih Muslim, Hadis no.: 572)


1 - Tatacara Sujud Sahwi Ketika Berlaku Penambahan Di Dalam Solat (al-Ziyadah)


Apabila kita tersedar bahawa dalam solat kita, samaada ketika bersolat (masih dalam solat) atau sesudah selesai mengerjakannya (selepas salam), ada tertambah sesuatu seperti jumlah rakaat, sujud, duduk antara dua sujud, dan lain-lain, maka hendaklah sujud syahwi dilakukan selepas salam.


Sebagai contoh, andainya sesorang yang sedang bersolat maghrib tersedar yang dia telah melakukan empat rakaat dalam solatnya itu (berlaku penambahan rakaat) dan masih di dalam solatnya, maka hendaklah dia sempurnakan solatnya seperti biasa sehingga salam. Dan setelah itu (sesudah salam) dia perlu lakukan sujud syahwi (dengan dua sujud) lalu memberi salam sekali lagi.


Sekiranya pada rakaat keempat tersebut baru dia tersedar bahawa solat maghrib sepatutnya hanya tiga rakaat, maka dia harus duduk ketika itu juga untuk menyelesaikan (mengerjakan) tasyahhud akhir dan kemudiannya memberi salam. Dan sesudah saja salam, terus lakukan sujud syahwinya.


Andainya dia hanya teringat setelah memberi salam, maka dia perlu melakukan sujud syahwi dengan serta merta (ketika menyedarinya) lalu memberi salam.


Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas’ud ra:

Pada suatu ketika Nabi saw bersolat Zuhur lima rakaat, lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah? Baginda bertanya: Mengapa demikian? Para sahabat menjawab: Anda telah melakukan solat lima rakaat. Maka baginda pun sujud dua kali setelah memberi salam itu. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 1226)

Daripada hadis ini, jelas menunjukkan jika kita tertambah sesuatu di dalam solat tidaklah perlu diulangi solat tersebut, tetapi cukup dengan melakukan sujud syahwi.

Termasuk dalam hal ini (al-Ziyadah) adalah memberi salam sebelum sempurna solatnya. Contohnya, ketika seseorang sedang bersolat Asar lalu pada rakaat yang kedua dia telah melakukan tasyahhud akhir dan memberi salam untuk mengakhiri solatnya. Dalam hal ini, penambahan (al-ziyadah) adalah pada perbuatan menambah salam sebelum masanya. Andainya, dia menyedari hal permasalahan tersebut setelah berada pada sela masa yang lama (setelah mengakhiri solatnya) maka dia harus mengulangi semula solatnya. Namun, jika hanya beberapa ketika setelah memberikan salam, maka dia hanya perlu menyempurnakan baki solatnya itu lalu memberi salam. Dan kemudiannya terus melakukan sujud syahwi dan salam sekali lagi.

Daripada Abu hurairah r.a.:

Rasulullah saw solat bersama kami pada salah satu waktu solat di siang hari (Asar atau Zuhur), ternyata baginda hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Baginda lalu pergi ke sebuah kayu yang terbelintang di masjid lalu berteleku di atasnya seolah-olah sedang marah. Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kirinya sambil menggenggam jari-jarinya, sedang pipinya diletakkan di atas telapak kirinya bahagian luar. Kemudian ada yang segera keluar dari pintu-pintu masjid sambil mengatakan: “Solat telah diqasarkan (dipendekkan)”. Di antara orang ramai itu terdapat pula Abu Bakar dan Umar. Keduanya malu untuk bertanyakan akan hal itu. Kebetulan di antara mereka terdapat pula seorang lelaki bernama Dzulyadain, yang bertanya:

“Ya Rasulullah, apakah anda lupa atau solat tadi memang diqasarkan?” Baginda bersabda: “Saya tidak lupa dan solat tadi tidak pula diqasarkan.” Maka Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Apakah benar yang dikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab: “Benar.” Maka baginda pun menuju kembali ke tempatnya semula dan menyempurnakan baki rakaatnya, kemudian memberi salam. Sehabis salam itu baginda bertakbir, sujud sebagaimana sujud biasa atau agak panjang sedikit, lalu mengangkat kepala dan takbir. Seterusnya baginda takbir lagi lalu sujud biasa atau agak lebih lama, kemudian mengangkat kepalanya kembali. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 482)



2 - Tatacara Sujud Sahwi Ketika Terdapat Pengurangan Dalam solat


Sekiranya di dalam solat kita terdapat kekurangan secara tidak sengaja di dalam perkara yang rukun ataupun fardhu maka sujud syahwinya dilakukan sebelum salam. Contohnya apabila seseorang itu tertinggal tasyahhud awal dan terus bangun untuk meneruskan rakaat yang ketiga, maka dia tidak perlu untuk duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dia hanya perlu meneruskan solatnya dan kemudian selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam, hendaklah dia melaksanakan sujud syahwi. Sekiranya dia teringat bahawa dia lupa membaca tasyahhud awal ketika dia belum bangkit untuk berdiri ke rakaat ketiga secara sempurna, maka bolehlah dia duduk semula untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut.


Daripada Abdullah bin Buhainah r.a.:

Bahawasanya Nabi s.a.w. solat zuhur bersama mereka. Baginda bangkit pada rakaat kedua dan tidak duduk (maksudnya, tidak melakukan tasyahhud awal), para makmum pun ikut berdiri bersama Baginda hingga ketika hendak selesai solat, sedang makmum menunggu salamnya, Baginda bertakbir dalam posisi duduk lalu sujud dua kali sebelum salam, kemudian baru salam. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 829)


Mughirah bin Syu’ban r.a. pula berkata:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang di antaramu berdiri dari rakaat kedua dan belum sempurna berdirinya maka hendaklah dia duduk kembali, dan apabila telah sempurna berdirinya maka janganlah dia duduk dan hendaklah dia sujud dua kali. (Sahih Sunan Ibn Majah, Hadis no.: 1208, dinilai sahih oleh al-albani)



3 - Tatacara sujud Sahwi Ketika Berlaku Keraguan Dalam solat


Keraguan atau syak menurut Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin rahmahullah: “Syak (ragu-ragu) adalah kebimbangan di antara dua hal tentang yang mana sebenarnya telah dilakukan.” (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Prostration For ForgetfullnessIn The Prayer, (edisi Bahasa Inggeris diterjemah oleh abu Talhah Dawood), m.s. 11)


Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.:

Dan apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya, maka hendaklah dia memilih yang benar (menurut keyakinannya), lalu hendaklah dia menyempurnakan solatnya lalu salam, kemudian sujud dua kali. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 401)


Daripada Abdurrahman bin ‘Auf r.a., daripada Rasulullah s.a.w.:

Jika salah seorang di antara kalian ragu dalam solatnya, sehingga dia tidak tahu, apakah baru satu rakaat atau sudah dua rakaat, maka baiklah ditetapkannya sebagai satu rakaat sahaja. Jika dia tak tahu apakah dua atau sudah tiga rakaat, baiklah ditetapkannya dua rakaat. Dan jika tidak tahu apakah tiga ataukah sudah empat rakaat, baiklah ditetapkannya tiga rakaat, kemudian hendaklah dia sujud bila selesai solat di waktu masih duduk (selepas tasyahhud akhir) sebelum memberi salam, iaitu sujud syahwi sebanyak dua kali. (Musnad Ahmad, Hadis no.: 1656, & Sahih Ibn Hibban, Hadis no.: 2663, dihasankan (hasan lighairihi) oleh Syu’aib al-Arna’uth)


Bacaan Dalam Sujud Sahwi:


Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah saw berkaitan sujud syahwi, ternyata Baginda saw tidak pernah menunjukkan (mengajarkan) bacaan khusus yang pelu dibaca ketika sujud (syahwi) ini. Maka, bacaannya adalah sama sepertimana bacaan di dalam sujud solat seperti biasa.


Namun, di dalam masyarakat kita mereka selalunya mengamalkan bacaan seperti ini:

“Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi saw dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.


Malahan menurut Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah:

Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah saw. Doa yang dibacanya adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud syahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi saw. mahupun para sahabatnya. Tiada dalil yang yang tsabit berasal dari sunnah yang menunjukkan bacaan ini. Doa itu sebenarnya adalah doa yang diperolehi dari mimpi sebahagian kaum sufi. Oleh kerana itulah, jangan mengerjakan doa tersebut. Ambillah urusan agamamu dari kitab-kitab hadis yang sahih. (Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry, Bid’ah-Bid’ah Yang dianggap Sunnah (edisi terjemahan oleh Ahmad Munir awood Badjeber & Sulaiman, Qisthi Press, Jakarta, 2004), m.s. 76-77)


Dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut katanya: “Aku tidak pernah menemui asal usul (sanad) bacaan ini.”


Imam Nawawi ra berkata:

Sujud sahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu. (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72)


Maka sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat (tidak benat). (Sahih Muslim, Hadis no.: 867)


Bacaan Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud


Bacaan yang dibaca di antara 2 sujud sahwi menurut Syeikh Ibn Utsaimin Rahimahullah adalah:-

رب اغفر لي



"Rabbhig firli" - Ya Allah ampunkan dosaku. [al-Sharh al-Mumthi', 1/646, Dar al-Ansar, 2003]

HADIS MAUDHU’




Dari segi istilah di kalangan ahli usul, hadis maudhu’ ialah:


“Apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dalam bentuk pembohongan dan pendustaan berhubung dengan sesuatu yang baginda tidak pernah ucapkan, lakukan dan ikrarkan.”

Zaman Permulaan Hadis Maudhu’

Pernahkah kita terfikir sejauh mana ilmu agama yang kita miliki.


Adakah segala amal ibadah kita mencakupi sumber yang betul? Atau mungkin ia termasuk dalam sumber yang dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu).


Betapa naif pemikiran umat Islam pada hari ini, mereka mudah tertipu dengan sumber-sumber yang tidak sahih. Persepsi yang berbeza dalam menilai seseorang yang membawa ilmu agama bergantung kepada gelaran-gelaran yang hebat contohnya lebai, kiyai, ustaz atau ulama besar.


Pembohongan yang diada-adakan ini boleh membawa kepada amalan bidaah dan khurafat. Ketika pemerintahan Khalifah al-Rasyidin, umat Islam terbela dengan amalan-amalan yang bersumberkan dalil yang sahih.


Namun, ketegangan yang memecah-belahkan umat Islam berlaku pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiah bin Abi Sufian r.a. Bermula dari saat ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Yahudi, Nasrani dan orang munafik (Khawarij) demi menyesatkan umat Islam agar berpecah-belah dalam agama.


Rentetan itu, lahirlah pelbagai bentuk aliran dan fahaman politik. Antaranya golongan Rafidah (Syiah) dan Khawarij (anti khalifah). Masing-masing ingin mempertahankan pendapat dan pernahaman masing-masing dalam mentafsirkan al-Quran dan mentarjihkan hadis Rasulullah s.a.w.


Mereka juga telah melakukan pendustaan yang besar terhadap agama. Perbuatan ini bercanggah dengan apa yang dituntut oleh Islam. Hanya al-Quran dan sunnah dapat menetapkan sesuatu perkara dalam agama. Ijtihad yang sahih daripada salafussoleh dan para ulama amat digalakkan.



Sayangnya, anasir-anasir ini telah membawa umat Islam terpesong daripada ajaran yang benar. Mereka lebih mementingkan sesuatu yang tidak benar dengan mengadakan dakwaan-dakwaan dan hadis-hadis tentang pemimpin-pemimpin mereka.


Kemunculan hadis-hadis palsu belum mencapai kemuncak pada abad pertama dan kedua. Pemalsuan ini wujud untuk mengukuhkan kedudukan politik dan aliran masing-masing. Ketika itu, perkara bidaah dan khurafat tidak timbul kerana masih ada para ulama dan pemerintah yang mempertahankannya.


Tetapi, pemalsuan hadis dalam agama berlaku dengan meluas pada zaman tabi’in. Ini kerana, terdapat sebahagian individu yang kurang ilmu cuba mempertahankan fahaman dan aliran masing-masing. Mereka berani memalsukan hadis-hadis Rasulullah s.a.w tanpa kebenaran pemimpin mereka.


Perbuatan mereka membawa kesan yang mendalam kepada generasi umat Islam sekarang. Cuba perhatikan, betapa banyak perpecahan umat Islam yang bertopengkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 golongan. Semuanya akan dihumban ke neraka kecuali satu golongan sahaja yang dimasukkan ke syurga.


Mereka juga berhujah dengan al-Quran dan sunnah. Antaranya, Rafidah, Khawarij, Mu’tazilah, Murjiah, Qadariyah, Ibadiyah, Jahmiyyah, Asya’irah, al-Maturidiyah, Ja’fariyah, Qadyaniyah, Naqsyabandiyah dan sebagainya. Tetapi mereka masih berlawanan dengan syariat. Semua hujah mereka tertolak akibat pemalsuan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.


Melainkan satu golongan yang terdiri daripada mereka yang sentiasa menjunjung perintah ALLAH dan Rasulullah s.a.w dengan sumber yang sahih. Merekalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beruntunglah golongan yang menerima petunjuk ALLAH dan Rasulullah s.a.w serta mengamalkan sesuatu yang sahih dan tepat demi mempertahankan agama serta mendapat keredhaan ALLAH.


Sebab-sebab Pemalsuan Hadis


1. Wujudnya golongan dan aliran politik.

Perpecahan umat Islam berlaku selepas peristiwa fitnah di zaman Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufian. Ketika itu, umat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Rafidah (Syiah) dan Khawarij.

Ibn Abu al-Hadid berkata:

“Hadis maudhu’ direka oleh puak syiah. Pemalsuan ini bertujuan untuk kepentingan dan menentang musuh. Pihak musuh juga terdorong untuk melakukan pemalsuan hadis Rasulullah s.a.w apabila mengetahui puak syiah menyebarkan hadis palsu untuk menentang mereka.” (Rujuk Syarh Nahjul Balaghah, jil. 3, ms. 26)


Ini amat menyedihkan. Musuh-musuh Islam menggunakan puak Syiah untuk merealisasikan matlamat mereka. Akhirnya, mengorbankan putera-putera Amirul Mukminin dan cucu-cucu baginda.

Ahli bait sebenarnya bebas daripada pemalsuan dan pendustaan. Tetapi sikap ekstremis musuh-musuh Islam dalam menggunakan nama ahli bait berjaya memalsukan hadis semata-mata untuk melaga-lagakan mereka.


Abu al-Faraj bin al-Jauzi r.h. berkata:

“Hadis-hadis sahih mengenai Ali terlalu banyak. Hanya kaum Rafidah yang kurang menemuinya sehingga mereka sanggup memalsukan hadis dengan merendah-rendahkan Ali bin Abu Talib r.a.” (Rujuk al-Muntaqa Mm Minhaj al-I’tidal, ms. 480)


Amir al-Sya’bi r.h. berkata:

“Tidak ada pendustaan paling besar terhadap orang lain dalam umat ini seperti yang dilakukan ke atas nama Ali bin Abu Talib ia.” (Rujuk Tazkirah aI-Huffaz,jil. 1, ms. 77)

Puak Syiah juga sering melaungkan wasiat Rasulullah s.a.w kepada Ali r.a. agar memegang tampuk pemerintahan selepas baginda dengan mereka-reka hadis palsu yang berbunyi:

“Aku wasiatkan kepada orang yang menjadi tumpuan hatiku, pengganti dalam keluargaku dan orang yang terbaik memegang khilafah selepasku adalah Ali.” (Rujuk al-Fawaaid al-Majmu’ah Ii al-Aliadith atMaudhu’ah, ms. 348)


Mereka juga sanggup membuat hadis maudhu’ tentang Ali dan para penyokong beliau demi mempertahankan aliran dan fahaman mereka seperti:

“Wahai Ali! ALLAH telah mengampunkanmu, zuriat-zuriatmu, kedua orang tuamu, keluargamu, pendukungmu dan golongan pencintamu yang akan datang” (Rujuk al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 348)

Di samping itu, mereka juga mereka-reka hadis-hadis palsu yang mencela dan memfitnah Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah dan selainnya. (Rujuk Syarh Nahjul Balaghah, ms.158 - 159, jil. 1)


Ibn Abu al-Hadid r.h. berkata:

“Pembohongan yang paling keji oleh puak Syiah ialah cerita mengenai pengiriman landak laut ke rumah Fatimah dan dicincang oleh Umar serta dijadikan tali di leher Ali. Hal itu langsung tidak ada sumber. Riwayat ini tidak ada pada mana-mana riwayat hadis melainkan hadis yang direka oleh Syiah.”

Manakala kelompok yang mengagungkan para sahabat pula membidas hadis tersebut yang mampu mengangkat martabat mereka.


Abdullah bin Abi Aufa r.a berkata:

“Saya melihat Nabi s.a.w bersandar pada Ali. Tiba-tiba Abu Bakar dan Umar datang menghadapnya lalu beliau bersabda: Wahai Abu al-Hasan (Ali)! Cintailah kedua-duanya kerana dengan mencintai mereka, kamu akan masuk syurga.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah, ms. 347, jil. 1 dan al-Fawaaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 338)

Dalam kenyataan lain:

“Di dalam syurga tidak ada pohon kecuali pada tiap-tiap lembaran daunnya tertulis: Tiada TUHAN melainkan ALLAH, Muhammad itu pesuruh ALLAH, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zulnurain.” (Rujuk al-Fawaaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 342)

Katanya lagi:

“Orang-orang yang dipercayai di sisi ALLAH ada tiga: Aku (Nabi), Jibril dan Muawiyah.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah aI-Marfu’ah, jil. 2, ms. 4 dan 6)

Malah di dalam kenyataan lain dia menegaskan:

“Abu Bakar adalah menteriku dan memegang urusan umat selepasku. Umar adalah kekasihku yang berbicara atas lidahku. Aku daripada Uthman dan Uthman daripadaku. Sedang Ali adalah saudara dan pembawa panjiku.” (Rujuk al-Fawa’id aI-Majmu’ala fi al-Ahadith al-Maudu’ah, ms. 386)


2. Pemerintahan Islam telah menawan Kisra (Raja Parsi) dan Qaisar (Raja Rom).

Pemerintahan kafir telah jatuh ke tangan umat Islam. Islam tersebar luas ke seluruh pelusuk tanah jajahan dan umat Islam hidup bersama-sama dengan orang kafir.


Mereka menjadi tawanan orang Islam dan hilang kedudukan dalam negeri sendiri. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memesongkan akidah umat Islam. Selain itu, mereka telah menggambarkan Islam dengan gambaran yang buruk.


Antara hadis palsu yang direka oleh mereka supaya masyarakat menjauhkan diri dari Islam ialah:

“Sekumpulan Yahudi datang berjumpa Rasulullah s.a.w dan berkata: Siapakah yang menjunjung Arasy? Baginda menjawab:

Arasy dijunjung oleh singa dengan taring-taringnya. Air yang turun dari langit itu merupakan keringat peluhnya. Mereka berkata: Kami bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah s.a.w”


Abu al-Qasim al-Balkhi r.h. berkata:

“Demi ALLAH! Jelas ia palsu. Ini kerana, umat Islam telah sepakat bahawa para malaikat al-Muqarrabun (berada hampir dengan ALLAH) yang menjunjung Arasy.” ( Rujuk Qabul al-Akhbar, ms. 14)


Sebelum Abdul Karim bin Abu al-’Arja’ dipancung, dia telah mengaku sambil berkata:

“Demi ALLAH! Aku benar-benar telah memalsukan sebanyak 4000 hadis. Aku juga halalkan yang haram dan aku haramkan yang halal dalam hadis-hadis itu.” (Rujuk al-Laa’aliy al-Mashnu’ah, jil. 2, 248)


3. Perbezaan Kaum dan Imam Mazhab.

Sebahagian pemimpin Bani Umaiyah terlalu fanatik terhadap bangsa Arab. Bahkan, mereka memandang serong terhadap kaum yang bukan Arab. Sehinggakan kaum Mawali (bukan Arab) menganggap orang Arab adalah kaum yang sombong dan angkuh.


Faktor ini menyebabkan banyak hadis yang direka oleh mereka. Antaranya:

“Sesungguhnya perbualan mereka yang berada di sekitar Arasy adalah dalam bahasa Parsi.”


Jadi, kaum Mawali pula mula memalsukan hadis demi membidas dan mempertahankan kedudukan dan semangat ‘asobiyah (perkauman) antara mereka:

“Bahasa yang paling dibenci oleh ALLAH ialah bahasa Parsi. Manakala bahasa penghuni syurga adalah bahasa Arab.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, jil. 1, ms. 137)


Di samping itu, terdapat hadis-hadis maudhu’ bertujuan mengangkat martabat suku dan negara. Ini kerana, faktor perpindahan pusat pemerintahan Islam dan satu negara ke negara lain mendorong pemalsuan hadis tertumpu kepada sesebuah negara. Contohnya:

“Empat kota yang dikategorikan sebagai kota-kota syurga, iaitu Makkah, Madinah, Baitulmuqaddis dan Damsyik.” (Rujuk Tanzih alSyari’ah al-Marfu’ah,jil. 1, ms. 48)


Selain itu, fanatik dan taksub terhadap imam-imam mazhab muncul pada abad ketiga Hijrah. Ini kerana, para pengikut melanggar wasiat imam-imam mereka.


Contohnya:

“Terdapat di kalangan umatku seorang yang bernama Muhammad bin Idris (Syafie). Ia lebih berbahaya terhadap umatku berbanding Iblis dan terdapat di kalangan umatku seorang yang bernama Abu Hanifah. Dia adalah pelita bagi umatku.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, jil. 1, ms. 30)



4. Mereka-reka cerita untuk tatapan masyarakat.

Kehanyakan hadis maudu’ dihasilkan oleh tukang-tukang cerita. Golongan ini mereka-reka hadis palsu demi kepentingan diri sendiri untuk mendapatkan habuan daripada pendengar. Kadang-kala, mereka sekadar ingin menghiburkan hati para pendengar hingga sanggup mereka-reka sesuatu yang tiada sumber.


Oleh itu, para ulama hadis amat melarang munid-muridnya bermujalasah (duduk) dan mengikuti halaqah-halaqah tukang cenita.


Menurut sejarah, pada zaman Khulafa al-Rasyidin perkara ini masih belum berlaku. Jika ada pun, masih terkawal. Contohnya, Umar r.a melarang keras tukang cerita duduk di masjid. Oleh itu, tidak ada tukang cerita pada zaman mereka.


Manakala pada zaman tabi’in pula, terdapat banyak riwayat palsu yang direka oleh tukang cerita. Tetapi masih boleh dikawal. Salah satu contoh riwayat seperti hadis Abu Jaafar Muhammad al-Toyalisi, iaitu:

“Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in solat di masjid al-Rashafah. Kemudian ada seorang tukang cerita berdiri di hadapan jemaah. Dia berkata: Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in telah berkata, Abdul Razak meriwayatkan daripada Ma’mar daripada Qatadah melalui Anas, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mengucap Lailahaillallah, ALLAH akan menghadiahkan untuknya seekor burung yang berparuh emas dan berbulu marjan (permata) daripada setiap kata-katanya.”


Setelah menghabiskan ceritanya, dia telah memperolehi 20 helai wang kertas. Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in menoleh sesama sendiri. Lalu Ahmad bertanya kepada Yahya: Adakah kamu meriwayatkan hadis ini? Demi ALLAH baru kali ini aku mendengarnya.


Setelah selesai bercerita, tukang cerita itu tadi duduk sambil menunggu yang lain. Lalu Yahya menariknya dan berkata: Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada kamu? Sedangkan akulah Yahya bin Ma’in dan ini temanku Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar hadis itu daripada Rasulullah s.a.w Lalu si tukang cerita berkata:


Aku pernah mendengar orang berkata bahawa Yahya bin Ma’in adalah seorang yang bodoh! Sekarang aku dapat menyaksikan kebodohannya. Bukankah tidak mustahil ada Yahya bin Ma’in dan Ahmad bin Hanbal yang lain. Aku telah menulis sebanyak 17 orang Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Lalu Ahmad menutup baju ke mukanya dan berkata: Biarkan dia pergi. Dia (pemalsu hadis) seperti memandang rendah pada kedua-duanya.” (Rujuk al-Baa’ith al-Hadith, ms. 93-94 dan al-Jami’ li akhlaq al-Rawly wa Adab al-Sami’, ms. 149)


5. Perbezaan mazhab dan teologi.

Pemalsuan hadis ini juga dilakukan oleh pengikut mazhab fiqh dan teologi.

Contohnya:

“Sesiapa mengangkat tangan ketika rukuk, tidak ada solat baginya (terbatal).” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 181 dan Lisan al-Mizan, jil. 5, ms. 288-289)

Begitu juga kenyataan pengikut yang menyalahi pegangan Abli Sunnah Wal-Jamaah. Akidah mereka telah terpesong dengan mengatakan:

“Semua yang ada di langit, bumi dan antara kedua-duanya adalah rnakhluk kecuali al-Quran. Malah, akan muncul satu kaum daripada umatku yang akan berkata: Al-Quran itu ialah makhluk. Sesiapa yang mengatakan begitu, dia telah kafir kepada ALLAH yang Maha Agung dan isterinya tercerai saat itu juga.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah a!Marfu’ah,jil. 1, ms. 134)


6. Mencari pengaruh.

Pernah terjadi di zaman Khalifah Bani Umaiyah bahawa Abu Abdullah al-Hakim menyebut satu hadis daripada Harun bin Abu Ubay dan ayahnya berkata:

“Al-Mahdi berkata kepadaku: Tahukah kamu apa yang Maqatil katakan kepadaku? Maqatil telah mengatakan: Bila tuan ingin, aku akan membuat hadis palsu untuk tuan berkenaan dengan pembelaan Bani al-Abbas, namun aku menjawab: Aku sama sekali tidak memerlukannya.” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 187 dan al-Baa’ith al-Hadis, ms. 94)


Ghiyats bin Ibrahim pernah membohongi al-Mahdi mengenai hadis ketika beliau melihat al-Mahdi sedang bermain burung sambil berkata:

“Tidak ada perlumbaan kecuali memanah, bergurau, kuku kuda dan sayap burung.”

Setelah itu, beliau meninggalkan permainan itu dan memerintahkan agar burung itu disembelih setelah memberi 10,000 dirham kepadanya. Al-Mahdi berkata kepada Ghiyaths:


Aku bersaksi, leher kamu adalah leher pendusta pada Rasulullah s.a.w. (Rujuk al-Madkhal, ms. 20 - 21 dan Tadrib al-Rawi, ms. 187)

Antara hadis palsu yang lain seperti:

“Buah terung adalah ubat segala penyakit.” (Rujuk al-Manar karya Ibn al-Qayyim, ms. 19)


Dalam riwayat lain pula:

“Sesiapa yang memelihara ayam jantan putih, dia tidak akan didekati syaitan dan sihir” (Rujuk al-Manar karya Ibn al-Qayyim, ms. 21)


7. Zuhud yang Melampau.

Sebahagian orang soleh dan zuhud terhadap dunia sanggup membuat hadis palsu berkenaan targhib (hadis suruhan) dan tarhib (hadis larangan) berkenaan fadilat amalan tertentu (fadhail al-Amal) dengan harapan mendapat pahala daripada ALLAH. (Rujuk Qabuhil al-Akhbar, ms. 7-8 dan 15)


Meraka lakukan semua ini hanya ingin menggalakkan masyarakat untuk beramal soleh. Tetapi, mereka tidak tahu bahawa Rasulullah s.a.w melarang keras apa sahaja bentuk pembohongan terhadap baginda.

Apabila dibacakan sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang mendustakanku dengan sengaja, tempah lah tempat duduknya di dalam neraka. Lalu mereka menjawab: Kami tidak berniat mendustakan baginda. Tetapi, pendustaan demi (memenuhi kehendak) baginda.” (Rujuk Ikhtisar ‘Ulum al-Hadis, ms. 86)


Al-Hafiz Yahya bin Said al-Qattan r.h. berkata:

‘Aku tidak pernah melihat penipuan yang lebih dahsyat daripada penipuan yang dilakukan oleh orang-orang soleh dan zuhud. Antara penipuan yang dilakukan ialah hadis-hadis palsu berkenaan keutamaan surah-surah dalam al-Quran, masalah perubatan dan lain-lain. Apabila ditanya mengapa perkara ini perlu dilakukan, mereka menjawab: Saya memalsukan hadis ini sebagai galakan agar manusia lakukan kebaikan.” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 184 dan al-La’aliy al-Mashnu’ah, jil. 2, ms. 249)


Perlu diingat, tidak dinafikan memang wujud fadhilat beberapa surah di dalam al-Quran melalui hadis yang tsabit (sahih atau hasan) daripada Nabi s.a.w. Antaranya seperti membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat sebelum imam naik ke mimbar atau sebagainya. Namun, sebahagian ulama tidak benarkan mereka-reka fadilat surah tertentu dalam al-Quran.


Ini boleh diumpamakan dengan qiamullail yang mempunyai pelbagai fadhilat dan ganjaran. Melakukan solat tahajud pada satu pertiga malam lebih afdhal dan lebih besar ganjarannya berbanding pada awal malam. Namun, tidak bermakna seseorang hanya perlu bangun pada satu pertiga malam.


Dengan kata lain, sesiapa yang mampu membacanya pada waktu itu pasti ganjarannya lebih besar. Namun, membacanya pada selain waktu yang dilakukan oleh Nabi s.a.w juga mendapat pahala. Ini bermakna, kelebihan itu terletak pada waktu bukannya surah. Jika baginda menetapkan kelebihan pada surah sekalipun seperti surah al-Ikhlas menyamai satu pertiga al-Quran, bukan bermakna seseorang perlu membaca surah tersebut untuk mendapatkan pahala menyamai bacaan satu pertiga al-Quran. Tetapi, ia bermaksud sesiapa memahami apa yang tersirat di sebalik surah al-Ikhlas seolah-olah dia telah memahami satu pertiga daripada isi kandungan al-Quran.


Seluruh muslimin bersepakat bahawa haram memalsukan hadis secara mutlak.


Hukum Memalsukan Hadis

Ulama juga sepakat mengenai haram meriwayatkan hadis palsu tanpa menjelaskan kepalsuan riwayatnya. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun meriwayat walau satu hadis maudhu’ (palsu) berkenaan kisah, targhib (galakan), tarhib (tegahan), hukum-hakam ataupun selainnya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang meriwayatkan (menyebarkan) sebuah hadis daripadaku dan meyakini hadis itu palsu, sebenarnya dia juga termasuk salah seorang pendusta itu.” (Ditakhrij oleh Imam Muslim dan Samurab bin Junduab dari al-Mughirah bin Syu’bah. Rujuk Sahih Muslim, jil. 1, ms. 9)


Pada hari ini para syeikh, ustaz dan maulana begitu lantang meriwayatkan hadis dhaif atau palsu tanpa segan silu. Juga tanpa penelitian yang terperinci. Umat Islam hendaklah beramal dengan ilmu yang diyakini sahih. Buatlah penelitian dan kajian. Jangan terus mengamalkannya secara melulu.


Jauhkan diri daripada para ulama yang menyembunyikan ilmu ini. ALLAH melarang hamba-hamba-NYA menunaikan ibadah dalam keadaan ragu. Sebaliknya perlu disertai keyakinan. Namun, kebanyakan manusia memang suka menyanggahi perintah ALLAH.


(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (an-Nuur: 15)

Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempat duduknya di neraka. (Hadis Riwayat Ahmad)


Firman ALLAH S.WT:

“Sangkaan (ragu-ragu) itu sama sekali tidak akan mencapai kebenaran.” (Surah al-Najm: 28)


Sabda Nabi s.a.w:

“Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu yang diragui. Ini kerana, berkata sesuatu menurut sangkaan adalah percakapan paling dusta.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sabda Nabi s.a.w:

“Berhati-hatilah terhadap hadis yang berhubung kait dengan diriku kecuali apa yang telah kamu ketahui (jalan sanadrya).” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Abi Syaibah)


Cara Menyekat Pemalsuan Hadis

1 - Berpegang teguh serta meneliti sanad.


2 - Meningkatkan kaedah ilmiyah dan ketelitian dalam meriwayatkan hadis.


3 - Teliti dan cermat dalam menerima hadis.


4 - Mengetahui hal ehwal perawi ketika meriwayatkan sesuatu hadis.


5 - Mengetahui kaedah serta musthalah (istilah-istilah) hadis untuk mengetahui hadis maudhu’.



Cara Mengetahui Hadis Maudhu’

1. Pada Sanad

1.1 - Pengakuan perawi yang mereka-reka hadis maudhu’ itu seperti Abdul Karim al-Wadhdha’.


1.2 - Mengetahui sejarah hidup perawi.


1.3 - Perawi yang masyhur sebagai pendusta.


2. Pada Matan

2.1 - Kejanggalan riwayat atau matan hadis pada pandangan pakar bahasa.


2.2 - Makna matan yang tidak dapat diterima akal.


2.3 - Matan bertentangan dengan dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih.


2.4 - Lafaz matan yang tidak mungkin disembunyikan oleh para sahabat tetapi mereka langsung tidak pernah mendengarnya.


2.5 - Menyanggahi fakta sejarah.



Buku-Buku Mengenai Hadis Maudhu’

1. Tazkirah al-Maudhu’aat. (Abu al-Fadhi Muhammad bin Thahir al-Maqdisi (448-507H))


2. Al-Baa’its ‘ala al-Khalash Min Hawadith al-Qashshash. (Al-Hafiz Zainuddin Abdul Rahim al-‘Iraqi (725-806H))


3. Al-La’aliy al-Mashnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah. (Al-Hafiz jalaluddin al-Sayuti (849-911H))


4. Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘an al-Akhbar al-Syani’ah al-Maudhu’ah. (Abu al-Hasan Ali bin Muhammad (Ibn ‘Iraqi) al-Kannani (w. 963H))


5. Al-Fawaaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadits al-Maudhu’ah. (Al-Qadhi Abu Abdillah Muhammad bin Ali al-Syaukani (1173-1255H))


6. Al-Maqasid al-Hasanah Fi Bayan Katsir Min al-Ahadits al-Musytaharah ‘ala al-Sinah (Al-Hafiz al-Muarrikh Muhammad bin Abdul Rahman al-Sakhawi (83 1- 902H))



Lihatlah, betapa buruknya perangai ulama yang berani mempermainkan agama ALLAH. Mereka sengaja memperdayakan umat Islam bersumberkan al-Quran dan sunnah.


Oleh itu, telitilah setiap sumber yang kita ambil dan berhati-hatilah terhadap segala amalan yang telah kita lakukan sama ada bertepatan atau menyanggahi sunnah Rasulullah s.a.w.


Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan bertepatan dengan nash sahih yang diyakini lebih baik dan diterima oleh ALLAH berbanding amalan yang masih diragui kesahihan sumbernya.



[Di-ambil/Dipetik daripada Wudhu' & Solat Menurut Mazhab Syafi'e, oleh Abu Ruwais al-Syubrawi]