Popular Posts

Jumaat, 5 Ogos 2016

KEPALSUAN SOLAT HAJAT DAN ALTERNATIFNYA...




Menurut para ulama hadis (para muhaddis), bahawa semua hadis-hadis yang berkaitan dengan solat hajat adalah hadis dha’if belaka (hadis lemah). Tidak boleh mengamalkan hadis-hadis lemah walaupun banyak jumlahnya. Maka mendirikan solat hajat dihukum bid’ah lantaran tidak ada hadis yang sahih untuk dijadikan hujjah atau sandaran.


Menurut Imam al-Bukhari rahimahullah (dan para imam hadis yang ramai) bahawa:

“Semua para rawi yang telah aku jelaskan tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal, Jld. 1. Hlm. 6)

Antara hadis-hadis lemah yang menjadi hujjah dan alasan kepada mereka yang melakukan solat hajat ialah:

(HADIS PERTAMA)

“Telah bersabda Rasulullah saw: Barangsiapa yang mempuyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang dari Bani Adam, maka hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya, kemudian solat hajat dua rakaat. Setelah selesai solat hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian ia membaca doa hajat..."


Hadis di atas ini sangat lemah. Dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1/477). Ibnu Majah No. 1384. Dan Hakim (1/320). Semuanya dari jalan Faaid bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abi Aufa secara marfu’.


Imam Tirmizi rahimahullah dalam riwayatnya menjelaskan tentang hadis ini bahawa:

“Hadis ini gharib (asing), pada sanadnya ada perbincangan (dipersoalkan) atau (maqal) disebabkan Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan hadisnya. Dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa”. (Lihat: Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamatus Solah wa-Sunnatu Fiha. Bab Ma Jaa Fi Solatul Hajah. Hadis 189)


Didapati sanad (rawi) hadis ini sangat lemah, kerana Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan oleh ramai (sejumlah besar) ulama hadis (muhaddis). Di bawah ini dibawakan penjelasan para ulama hadis tentang Faaid bin Abdurrahman Abdul Waruqa’:


Berkata Abdullah bin Ahmad dari bapanya (Imam Ahmad rahimahullah), bahawa hadis ini termasuk “Mungkarul hadis atau orang yang ditinggalkan (tidak boleh dipakai) hadisnya.


Berkata Imam Ibnu Ma’in: Faaid binAbdulrrahman dhaif (lemah hadisnya) dan bukan orang yang siqah (tidak dipercayai).


Berkata Imam Abu Daud: Faaid bin Abdurrahman Waruqa’ tidak berguna (istilah yang bermakna lemah/perawi yang lemah).


Berkata Imam an-Nasaii: Faaid bin Abdulrrahman dia perawi yang tidak siqah atau matrukul hadis (hadisnya ditinggalkan).


Berkata Imam Abu Hatim: Hadis-hadis dari Ibn Abi Aufa batil (Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa), maka hadisnya batil.


Berkata Imam al-Hakim: Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa dan hadis-hadisnya adalah maudu’ (palsu).


Berkata Ibnu Hibban: Hadis ini adalah “Mungkarul Hadis” iaitu jenis hadis yang darjat mungkar.


Berkata Imam al-Bukhari: Mungkarul Hadis. Dan menurut jarah Imam al-Bukhari:


“Bahawa setiap rawi yang telah aku katakan padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima segala riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal. 1/6)


Dengan keterangan ini, jelaslah bahawa hadis tentang solat hajat sangat lemah kerana telah lemahkan oleh ramai ulama hadis, malah menurut sebahagian besar ahli hadis (ulama hadis/muhaddis) ia adalah hadis palsu, mungkar atau matruk (ditinggalkan).


Oleh yang demikian, mengamalkan solat hajat untuk tujuan-tujuan tertentu seperti ingin lulus dalam peperiksaan, ingin menunaikan sesuatu hajat, sebelum berpergian atau sebagainya, maka ia adalah perbuatan bid’ah yang diada-adakan, kerana tidak ada keterangan, dalil atau hujjah yang sahih yang membolehkannya.



(HADIS KEDUA)

Bantahan terhadap Syaid Sabiq rahimahullah:

“Dari Abi ad-Darda’ ra berkata: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullahsaw bersabda!: Barangsiapa yang berwuduk, lalu dia sempurnakan wuduknya, kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurnanya, nescaya Allah akan menunaikan segala hajatnya (apa sahaja yang diminta) cepat atau lambat”.

Hadis Lemah. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad 6/442 – 443.


Hadis di atas ini lemah. Ia dimuatkan oleh Syaid Sabiq dalam kitabnya “Fiqih Sunnah”. Hadis ini dianggap oleh Syaid Sabiq sebagai hadis sahih, namun sebaliknya menurut al-Imam Nasruddin al-Albani rahimahullah bahawa hadis ini terbukti hadis yang lemah. (Lihat penjelasan Nasrudsdin al-Albani dalam kitabnya: Tamamul Minnah. Hlm 260) Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk membolehkan solat hajat. Begitu juga hadis ini dan yang semisal dengannya tidak mempunyai syawahid.


Menurut al-Albani rahimahullah: Hadis di atas ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya 6/442 - 443 dengan sanadnya yang lemah (dhaif). Di dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang majhul (tidak dikenali/tidak diketahui), iaitu Maimun Abi Muhammad. (Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 260)


Dengan demikian kenyataan Syaid Sabiq rahimahullah bahawa sanad hadis ini sahih adalah merupakan kesilapan dan tasaahul (bermudah-mudah) dalam mengambil hadis sebagai hujjah syara.


Dengan penjelasan ini, diharap para ulama yang mengamalkan serta membiarkan umat mengerjakan solat hajat diketika mereka ada hajat/keperluan, seperti amalan di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi apabila hampirnya menghadapi peperiksaan, atau juga persatuan-persatuan agama apabila ada perayaan-perayaan tertentu, masjid-masjid, surau-surau atau orang perseorangan apabila menghadapi hari-hari yang dianggap sebagai hari musibah, maka mereka (terutamanya para ulama) perlu berhujjah dengan hujjah dari syara untuk membolehkan solat hajat agar mereka tidak terjebak melakukan bid’ah yang ditegah oleh agama Islam.




PENGGANTI SOLAT HAJAT


1 - Adapun pengganti solat hajat apabila ada keperluan atau hajat, hendaklah solat istikharah sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sahih.

Antara para Imam hadis (Ahli Hadis) yang memuatkan hadis tentang solat hajat di dalam kitab-kitab mereka kemudian melemahkannya ialah:

Imam al-Hakim. Lihat: Kitab al-Mustadrak. 1/320.

Imam at-Tirmizi: Lihat: Sunan Tirmizi 1/477.

Imam Ibnu Majah. Lihat: Hadis no. 134.

Ibn Hajar. Lihat: Kitab Tahzibut Tahzib 8/255.

Imam an-Nawawi. Lihat: Al-Azkar. Hlm. 167.




2 – Berdoa (Secara Umum)

Iaitu berdoa secara umum tanpa menetapkan dengan kaedah-kaedah tertentu yang khusus yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah saw. Berdoa boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (al-Baqarah 2: 186)

Sebagai contoh, boleh juga berdoa di akhir solat (selepas tasyahhud dan sebelum salam), di dalam sujud dan seumpamanya yang sebagaimana disunnahkan.

“Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, ucapkanlah At-Tahaiyyat …., kemudian hendaklah seseorang kamu memilih doa yang disukainya dan hendaklah ia mengajukan permohonannya kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia”. (Hadis Riwayat an-Nasaii, Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad sahih)

Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah:

“Hadis ini secara tersurat menyatakan dibenarkannya berdoa pada setiap tasyahhud sekalipun pada tasyahhud awal. Pendapat ini dikemukan oleh Ibnu Hazam”. (Rujuk: Sifat Solat Nabi oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hlm. 198.)


Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan