Popular Posts

Ahad, 27 Oktober 2013

DOA AWAL TAHUN PERSEKOLAHAN...





Segala puji hanya untuk Mu Ya Allah. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian...


Kami berhimpun di dewan yang mulia ini pada hari pertama persekolahan bagi tahun ini, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab...


Sesungguhnya, menjelang tahun baru bererti usia kami semakin meningkat. Jadikan kelanjutan usia ini satu rahmat kepada kami, untuk terus beribadah kepada Mu, jauh sekali daripada menderhakai segala perintah Mu. Hari-hari yang berlalu, jadikanlah ia sebagai renungan. Yang baik dan manis menjadi ingatan. Yang pahit menjadi pengajaran. Itulah sebaik-baik muhasabah, sebagai panduan untuk menjejaki hari-hari mendatang. Mudah-mudahan, kehidupan pada hari ini dan pada masa-masa akan datang, akan lebih cemerlang daripada kehidupan masa silam...


Ya Allah...perbaikilah hubungan antara kami, jinakkanlah hati antara kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan petunjuk kepada yang terang benderang cahaya, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahu pun yang tersembunyi...


Ya Allah... limpahkanlah keberkatan kepada kami, isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami dan seluruh muslim dan muslimat...


Bantulah kami bagi melaksanakan amanah mengajar dan menuntut ilmu ini, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hindarkan kami daripada melakukan amal perbuatan pimpinan syaitan. Berikanlah kekuatan kepada kami agar memperoleh keredhaan ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu untuk mengharapkan keredhaan Mu Ya Allah...


Ya Allah...Engkau tingkatkanlah keilmuan, keazaman dan komitmen kami, untuk terus menjalankan segala tanggungjawab. Justeru itu Ya Allah, tingkatkanlah semangat dan hasil kerja kami untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi, cekal dan proaktif, selaras dengan sabda rasul Mu yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang daripada kamu, yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, akan dilakukannya dengan penuh kesungguhan".


Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan dan mukminat seluruhnya sama ada yang hidup mahu pun yang telah meninggalkan kami...


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan selamatkan kami daripada azab api neraka... 


Aamiin...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

BUAT YANG DEMAM KUASA....





Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini...


Kuasa, kuasa dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia. Saya tidak ingin mengulas, tetapi hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan.


Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan muhasabah untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.



Akui kesilapan...


Nabi Musa as berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa as pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan Qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa as dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa as tersebut.


Nabi Musa as mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah swt menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firman-Nya, "Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya, "Sesungguhnya kami adalah utusan Robb sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israel mengikut kami"


Firaun menjawab, "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?"


Nabi Musa berkata, "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu, kemudian Robb ku mengurniakan daku ilmu pengetahuan dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Ada pun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israel"" (Surah al-Syu’ara : 16-22).


Inilah sikap pejuang yang ikhlas dan benar!.



Pohon maaf dan betulkan kesilapan...


Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Syaidina Uthman bin ’Affan ra, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran.


Beliau menyebut dalam suratnya, "Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku menerintah, aku telah jadikan umat ini dikusai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy’an al-Munkar.


Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat.


Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)"



Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata, "Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil.4, hlm.342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.



Maksud ‘rakyat didahulukan’...


Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah Syaidina Umar bin al-Khattab ra ini... Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab ra tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.
 

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata, "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya.


Lalu Umar bertanya, Dari mana diperoleh ini?. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" 



Awasi pengampu...


Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid, "Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan."


Tanya Harun al-Rasyid, "Jelaskan maksudnya untukku". Jawab Syaiban, "Sesiapa yang berkata kepada engkau: Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah lebih baik dari orang yang berkata Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!". Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.


Kata Syaiban lagi, "Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya". (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah)



Menyedari bebanan amanah...


Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ra apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai.


Kata anaknya: Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata, "Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.


Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.


Aku tahu Robb ku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis"



Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi ra yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya, "Lihatlah ke arah Kaabah". Harun al-Rasyid menjawab, "Aku sedang lihat". Kata beliau lagi, "Berapa jumlah mereka yang kau lihat?" Jawab Harun, "Siapa yang mampu membilangnya".

Kata beliau pula, "Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?" Jawab Harun, "Hanya Allah yang mampu menghitungnya". Kata al-‘Umari lagi, "Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti"
.

Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.



Menyedari kemampuan diri...


Syaidina Umar bin al-Khattab ra pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya, "Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-siakan tugas dan tanpa ditimpa fitnah". Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh.

Begitu juga dengan Syaidina Ali bin Abi Talib ra walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu.


Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. 


Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU IV...





Allah humma Ya Allah
kirimkan salam kami
kepada Nabi Muhammad saw
kami mencintainya
kami menyayanginya
beri kami kesedaran untuk bersyukur
seperti syukurnya Nabi Muhammad Mu
beri kami kekuatan untuk sentiasa mensyukuri Mu...


Ya Rahman
kami hanya hamba-hamba yang mengabdi pada Mu
kami hanya hamba-hamba
sebagaimana bumi yang berputar
bersama bulan, mentari dan galaksi...


Ya Allah
kami hanya hamba-hamba
seperti halnya para malaikat yang mengabdikan diri...


Ya Allah
beri kami kekuatan
agar kami mampu mengajarkan
anak-anak kami untuk sentiasa bersyukur
pasangan hidup kami untuk sentiasa mengucap syukur
keluarga kami agar menjadi ahli syukur...


Ya Allah
kami sedar hidup kami singkat
kami sedar hidup kami sementara
kerana itu curahkan ke dalam hati kami iman
tenteramkan kami dengan mengingati Mu
duhai Engkau kekasih hati
Duhai Ar Rahman Ar Rahim...



Walahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU III...





Ya Samii Ya Bhasir
Ya Zaljalaali wal Ikram
Wahai Allah Yang Maha Hidup
Wahai Allah Yang Maha Pemberi Nikmat
kami berlindung dengan keagungan Mu
kami berlindung dengan kemuliaan Mu
kami berlindung daripada lupa mengingati dan menyebut nama Mu
serta berpaling daripada mensyukuri Mu...


Ya Allah
kami mohon pada Mu
tunjukkanlah kami jalan yang lurus
tunjukkanlah kami agar sentiasa bersyukur kepada Mu
tunjukkan kami cara bersyukur yang benar...


Ya Allah
limpahkanlah kami
hati yang penuh kesyukuran
ucapan yang penuh kesyukuran
langkah yang penuh kesyukuran
kerana kami mengakui tanpa pimpinan Mu
kami lemah
kami lalai
kami hina...


Ya Allah
hari ini kami mengakui
bahawa Engkau jua sebesar-besar Pemberi Kurnia
kami bersyukur Ya Allah
atas bumi yang Engkau hamparkan
atas langit yang Engkau tinggikan
atas gunung yang Engkau pancangkan
atas alam semesta yang Engkau bentangkan
atas bintang-bintang yang Engkau taburkan...


Ya Allah
Engkau sebaik-baik Pemberi Nikmat
Engkau pancarkan sinar matahari
EngkKau tumbuhkan pepohonan
Engkau hidupkan haiwan-haiwan...


Ya Allah
sungguh kami sering lupa
mensyukuri hidup kami
mensyukuri waktu dan kesempatan kami
mensyukuri setiap helaan nafas kami
mensyukuri apa pun yang Engkau berikan...


Ya Rahman Ya Rahim
ajari kami untuk sentiasa mensyukuri
hal yang kecil dalam pandangan kami.


Ya Robb
kabulkan segala doa permohonan kami...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU II...





Duhai Robb pemilik langit dan bumi
Duhai Pemilik semesta raya...


Allah humma Ya Allah
kami bersyukur kepada Mu
alangkah banyak nikmat
yang Engkau curahkan kepada kami...


Engkau beri kami nikmat iman
Engkau beri kami nikmat Islam
Engkau beri kami nikmat ihsan
tetapi sedikit sangat syukur kami kepada Mu...


Wahai Allah Yang Maha Bijaksana
ampuni kami yang hanya bersyukur
apabila mendapat kesihatan
apabila mendapat makanan
apabila mendapat harta
apabila mendapat jawatan
apabila mendapat penghargaan
apabila mendapat keturunan
tetapi tidak pernah bersyukur jika mampu melaksanakan
solat berjemaah, bersedekah, berzakat,
berpuasa dan berhaji.


Ya Allah
Kami tidak pernah bersyukur dengan memiliki Nabi Muhammad saw
tidak pernah bersyukur menjadi umat Nabi Muhammad saw
tidak pernah bersyukur bahawa kami dilahirkan sebagai Islam
tidak pernah bersyukur bahawa kami telah dikurniakan iman...


Allah humma Ya Allah
ilhamkan kami kesyukuran menerima nikmat Mu


terlalu sedikit syukur kami dibanding rahmat Mu
terlalu sedikit doa kami dibandingkan berkah Mu
kami hanya ingin bersujud Ya Allah
kami ingin bersyukur Ya Allah
maka terimalah sujud ini
sebagai ungkapan rasa syukur kami
dan ungkapan permohonan ampun kami...


Ya Allah Yang Maha Menggenggam Jiwa
izinkan permintaan kami
redhai amal ibadat kami
tanpa redha Mu, semua tidak bererti
tanpa redha Mu semua tidak bermakna...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

MEWAHKAN TERATAK SYUKURMU I...





Ya Allah
Engkau ciptakan kami daripada segumpal darah
Engkau ciptakan kami menjadi segumpal daging
Engkau ciptakan kami dari tulang-belulang
Engkau ciptakan kami menjadi manusia
kini hati kami Engkau hidupkan...

Engkau tiupkan roh di hati kami
hingga kami menjadi manusia yang sempurna
yang mampu melihat
yang mampu mendengar
yang mampu berkata-kata
yang mampu berasa...


Demikian sempurna Engkau mencipta kami
hingga kami lupa bahawa kami diciptakan oleh Mu
demikian sempurnanya ciptaan Mu ini
hingga kami tidak menyedari
bahawa kami hanyalah ciptaan Mu
hingga kami tidak merasa
bahawa diri kami diciptakan daripada ketiadaan
hingga kami tidak menyedari
bahawa kami diciptakan hanya daripada setitis air yang hina...


Duhai Yang Maha Sempurna
saat kami mengakui 
bahawa Engkau yang menghidupkan kami
bahawa Engkau jua yang memberikan penglihatan kami...


Allah humma Ya Allah
inilah kami yang sentiasa lupa
bahawa hidup kami adalah milik Mu
mata kami adalah milik Mu
telinga kami adalah milik Mu
jiwa kami adalah milik Mu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 25 Oktober 2013

MUNAJAT SEORANG ISTERI DI SEPERTIGA MALAM...






Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Engkau ampunilah dosaku yang telah ku perbuat. Engkau limpahkanlah padaku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Engkau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal, Engkau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan, Engkau peliharalah lidahku dari kata-kata nista, Engkau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu, Engkau berikanlah aku sifat kasih sesama insan...


Ya Allah... sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arasy, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya...


Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian Mu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di Jannah Mu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia Mu, Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu, berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya...


Tetapi Ya Allah... sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, Engkau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan Mu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakan aku kekuatan untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Engkau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena...


Ya Allah... Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku, Engkau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Engkau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat Mu...


Ya Allah... Sekiranya aku ingkar dan durhaka, berikanlah aku petunjuk ke arah rahmat Mu. 


Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu, aku buta tanpa bimbingan Mu, aku cacat tanpa hidayah Mu, aku hina tanpa rahmat Mu...


Ya Allah... kuatkan hati dan semangatku. Tabahkan aku menghadapi segala cubaan Mu. Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami. Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah...


Hanya pada Mu Ya Allah ku pohon segala harapan...

Kerana aku redha dengan dugaan Mu...


Kerana aku sedar hinanya aku...


Kerana aku insan lemah yang kerap keliru...


Kerana aku leka dengan keindahan dunia Mu...


Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaran Mu...


Kerana pendek akalku mengharungi ujian Mu...


Ya Allah... aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati. Isteri yang dikasihi. Isteri yang solehah. Isteri yang sentiasa di hati suami. Amiin, Amiin, Amiin Ya Rabbal Alamiin.


Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan selamatkan daku dari azab api neraka.


Amiin Ya Robb...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...