Popular Posts

Jumaat, 19 Mei 2017

WARKAH BUAT ICAH







بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh



Icah yang dikasihi,

Setelah bergelut selama hampir seminggu untuk membuat pilihan terbaik daripada segala pilihan yang ada, akhirnya Icah memilih untuk meneruskan legasi Along di Kolej Matrikulasi Pahang, Walaupun secara zahir kelihatan Asasi UNIMAS lebih dekat dengan dunia perubatan. Insya Allah ia menjadi pilihan terbaik untuk Icah menggapai cita-cita seterusnya dalam dunia pendidikan. 

Setelah 18 tahun berlalu, mulai 5 Jun nanti, Icah akan mula keluar dari kepompong rumahtangga yang selama ini Icah begitu selesa. Icah akan belajar untuk hidup bertemankan rakan taulan, guru dan pendidik, jauh dari keluarga. Icah akan mula belajar berdikari, menguruskan segala keperluan diri. Icah akan belajar bagaimana untuk menguruskan hati, masa dan kewangan. Segala ini akan Icah pelajari dan insya Allah, Icah akan mendapat kekuatan untuk menghadapi dunia baru ini. Walid dan umi sentiasa dan akan terus mendoakan segala kebaikan, sama ada untuk urusan dunia mahupun akhirat buat Icah…


Walau kelihatan seolah-olah walid gembira dengan pemergian Icah merantau menimba ilmu, namun hakikatnya tetap ada kesedihan dihati seorang bapa. Selama 18 tahun Icah dalam pemerhatian dan penjagaan walid. Segala makan pakai sakit dan demam dalam pengetahuan dan penjagaan walid dan umi. Bukan hanya Icah yang sedih kerana terpaksa berpisah dengan walid, umi, along dan darwish, tetapi kami pun turut merasainya. Kita sama-sama perlu belajar untuk saling merindui dan merawat kerinduan dalam kejauhan, insya Allah ia lebih indah apabila kita bertemu setiap kali Icah pulang nanti.


Icah merantau bukan hanya untuk mendapat kebaikan ilmu dunia, tetapi ilmu inilah kelak yang bakal membawa kebaikan untuk akhirat Icah, asalkan Icah meluruskan niat; belajarlah kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah swt. Ingatlah selalu, orang yang sentiasa mensyukuri apa jua nikmat adalah orang sentiasa dekat dengan kebahagiaan.


Belajarlah daripada segala kesilapan lampau agar Icah tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam menimba ilmu, dalam memilih rakan dan teman serta dalam penjagaan diri berkaitan pemakanan dan pengurusan diri.



Icah yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan silaturahim di kampus. Walid berharap Icah pandai memilih rakan taulan kerana dalam dunia baru Icah ini, pelajar datang hampir dari seluruh negara yang mempunyai latar belakang kehidupan pelbagai dan budaya hidup yang berbeza. Perhatikan baik-baik dengan siapa Icah mengangkat sebagai teman baik kerana melaluinya, destinasi Icah seterusnya akan dicorakkan.


Jika Icah mahukan kebaikan bagi diri Icah, maka janganlah mempelajari pelajaran Icah sendirian, tetapi ajaklah seorang teman untuk belajar bersama dan saling membantu untuk memahaminya.


Apabila Icah temui sesuatu masalah dan Icah merasakan bahawa Icah telah memahaminya, maka janganlah Icah merasa cukup dengan sangkaan itu sehingga Icah tinggalkan buku dari tangan dan menganggap diri lebih pandai dari kawan Icah.


Bersikap sopanlah dengan teman yang Icah pilih untuk belajar. Apabila Icah telah mengerti sebelum dia, maka janganlah membanggakan diri terhadapnya kerana dapat mendahuluinya. Apabila dia berbeza pendapat dengan Icah dalam memahami sesuatu masalah, maka dengarkanlah apa yang dikatakannya. Barangkali dia telah memahaminya dengan benar dan Icah yang salah dalam pemahaman.


Hindarilah perdebatan dengan cara yang batil dan jangan membela pendapat Icah jika Icah keliru. Kerana ilmu itu amanah, dan sesiapa yang membela kebatilan, maka dia telah menyia-nyiakan amanah Allah swt.


Jarang sekali seorang pelajar berkumpul dengan sekelompok temannya, melainkan dialog di antara mereka berlangsung sekitar perdebatan dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang mereka ketahui. Maka, janganlah Icah memotong perkataan orang yang sedang berbicara, dan jangan tergesa-gesa menjawab sebelum meyakininya serta jangan membantah tentang suatu masalah yang belum pernah Icah ketahui.


Jangan berdebat tanpa alasan yang benar dan jangan menunjukkan kesombongan terhadap orang yang menjadi regu debat Icah itu. Jangan keluar dari topik perdebatan hingga menyalahkan pendapat lawan dan jangan menyakitinya dengan perkataan yang menyakitkan serta jangan mengejeknya bila dia salah dalam pengertian.



Icah yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam menimba ilmu. Icah perbanyaklah menghafal ilmu, kerana mudarat pada ilmu adalah sifat lupa.


Ketahuilah bahawa di penghujung semester, Icah akan diuji tentang semua pengetahuan yang Icah timba. Dan ketika ujian, manusia akan dimuliakan bila dia mampu menjawab dengan baik. Sebaliknya, dia akan diremehkan pendapatnya oleh keluarga dan saudara-saudara, bila tidak berupaya menjawab dengan baik dan kelihatan hasil yang diperolehinya kurang memuaskan.


Jangan sampai hafalan Icah itu hanya sekadar menghafal kata-kata tanpa memahami maknanya. Akan tetapi, pusatkan perhatian Icah pada pemahaman makna-makna dan penetapannya dalam fikiran. Kerana ilmu adalah apa yang Icah fahami bukan apa yang Icah hafalkan.


Dialog antara para pelajar tentang masalah-masalah ilmiah adalah besar faedahnya. Dialog itu menguatkan pemahaman, melancarkan lisan dan membantu pengungkapan sasaran-sasaran yang dimaksud serta menghasilkan keberanian para pelajar.


Akan tetapi, Icah, hal ini tidak berguna di sisi Allah mahu pun manusia, kecuali bila akhlak Icah lurus, jauh dari perkataan keji. Icah katakanlah kebenaran walaupun terhadap diri Icah sendiri dan tidak terpengaruh oleh celaan orang dalam menyatakan kebenaran.



Icah yang dikasihi,

Inilah nasihat walid dalam bersilaturahim dengan guru-guru. Icah ingatlah bahawa sesungguhnya seorang guru itu tidak menyukai selain kepada murid yang taat dan beradab. Maka, adakah Icah suka apabila guru dan pendidik tidak redha kepada Icah dan tidak mengharapkan kebaikan?


Berusahalah meluangkan masa setiap hari untuk pergi menemui mana-mana guru diluar waktu kuliah untuk bertanya segala persoalan pelajaran. Wujudkan hubungan yang baik dengan para pendidik, agar Icah mendapat keberkatan ilmu yang disalirkan oleh mereka buat Icah. Hormati mereka selayaknya seorang guru.



Icah yang dikasihi,

Inilah nasihat walid berkaitan ilmu dan akhlak. Sesungguhnya akhlak yang baik adalah perhiasan manusia pada dirinya dan di antara saudara-saudara, keluarga dan teman-temannya. Maka, jadilah Icah seorang yang berakhlak baik, nescaya orang-orang menghormati dan menyayangi Icah.


apabila Icah tidak menghiasi ilmu dengan akhlak yang mulia, maka ilmu Icah akan lebih membahayakan daripada kebodohan kerana orang yang bodoh dapat dimaafkan tentang kebodohannya, tetapi, orang yang beramal tidak mempunyai alasan terhadap orang sekitarnya jika dia tidak memiliki perilaku yang baik.


Janganlah Icah terganggu dengan kata-kata orang pada diri Icah. Maafkanlah kesalahan mereka dan jangan sediakan tempat dihati Icah dengan segala bibit dendam untuk tumbuh berkembang. Ia akan menjadi virus yang bakal mematikan hati. Sebaliknya janganlah Icah merasa segan untuk meminta maaf walau ego tercalar kerana merasa Icah lebih benar dari mereka. Sesungguhnya memaafkan itu adalah kemuliaan dan meminta maaf adalah kekuatan



Icah yang dikasihi,

Akhir kata, walid berharap Icah membaca segala garapan walid ini dengan hati yang tenang dan dada yang lapang serta fikiran yang terbuka. Inilah secebis nasihat, ajaran, petunjuk dan panduan yang mampu walid berikan untuk Icah yang walid kasihi.


Icah telah menjadi seorang gadis, maka berfikir dan bergeraklah selayaknya seorang gadis muslim, bukan menuruti trend semasa gadis-gadis sebaya Icah, Bukan semuanya membawa kebaikan untuk akhirat Icah.


Berusahalah untuk mencapai impian dan sasaran melalui pencapaian yang cemerlang. Sasarkan CGPA 4.00, namun jika Allah rezekikan bukan itu angka yang Icah perolehi untuk peperiksaan, tetaplah bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan buat Icah. Nabi saw sendiri pun berpesan, bila meminta, mintalah Firdaus, Berdukacita bukan sifat seorang mukmin, maka jauhilah sifat itu. Walau apa pun pencapaian Icah nanti, itulah yang dinamakan suratan takdir.Redha dan teruskan perjalanan hidup kerana hidup ini masih panjang dan ranjaunya masih penuh onak dan duri.


Segala apa yang walid ajarkan berkaitan amalan sebelum solat maghrib itu, teruskanlah jika boleh. Namun jika ada aral melintang, maka berusahalah melakukannya selepas solat subuh. Usah pisahkan diri daripada membaca Al Quran setiap hari, walau hanya selembar sehari. Jangan lupa untuk turut mengamalkan asma husna yang walid pesan untuk dibaca; Al Rashid. Pohonlah ilmu, kebijaksanaan dan hikmah dari Pemilik segala Qalam.


Walau apa pun masalah, kesulitan serta kepayahan, maklumkanlah pada walid, ceritalah pada walid, kisahkan pada walid. Jika perlu, walid akan terus datang menemui Icah di KMPH ini tanpa mengira masa. Insya Allah dipermudahkan segalanya untuk Icah


Anak ku

Bawalah hatiku bersertamu

Ada oasis cinta di dalamnya…



Teguklah sepuasmu

Kau akan rasakan

Semangat yang tidak pernah padam

Tenaga yang tidak pernah habis

Untuk terus belajar



Salam kasih sayang dari

Walid



Remember that the Quran should always be placed as first priority in your heart. If you find that you listen to nasheed more than Quran, or if you see that Nasheed effect your heart more than the Quran, perhaps you should take a break from them and question your heart truly, as it is the Quran which will be an intercessor on the Day of Judgement; it is the Quran which will raise you in ranks - thus I ask you to evaluate yourself. May Allah guide us to the path of heaven

Tiada ulasan:

Catat Ulasan