Popular Posts

Jumaat, 3 Januari 2014

RASA BERTUHANKAH KITA...?





Jika kita lihat di zaman Rasulullah saw, para sahabat ra rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Allah swt berkata, "Di mana engkau berada disitulah Aku berada". Maksudnya rasa bertuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Allah swt di mana pun dia berada.


Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Allah swt. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tetapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Allah swt, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Jika tidak dapat, minimum 15 minit sebelum solat.


Para sahabat Rasulullah saw, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Allah dan mengingati dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dan lain-lain, tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu pun tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.


Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, mungkin di tempat kerja atau di dalam bilik, tetapi kita sudah dalam keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.


Kalaulah kita menjaga hak-hak Allah swt, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Allah swt. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Allah yang akan membuka jalan kemudahan-Nya untuk kita. Jika kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Allah swt.


Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Allah swt untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita hanya kadangkala istiqamah, mungkin jika Allah swt memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya, tetapi istidraj.


Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dan seumpamanya. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Allah swt kepadanya.


Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Syaidatina Aisyah ra tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Allah swt.


Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumahtangga, mengurus anak-anak, mesyuarat dan lain-lain. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa betuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat ra, maka walau pun kehidupan mereka lebih susah, tetapi dapat pertahankan istiqamah.


Sebab bagi mereka, jika kita kita jaga hubungan dengan Allah swt, maka Allah swt akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah saw, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah solat malam. Sebab itu pernah Rasulullah saw bercerita pada para sahabat ra, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah saw nampak air pun ada di dalam rumah.


Sahabat ra yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat ra berkata, "Mudah-mudahan umat Rasulullah saw di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air". Rasulullah saw berkata, "Oh tidak begitu, sekarang adalah lebih baik". Seolah-olah Rasulullah saw berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.


Jika kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Allah swt. Walaupun kita letih pada malam hari, tetapi tetap Allah swt bangunkan kita pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walau hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Allah  beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.


Rasa bertuhan itu perlu dibawa ke mana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya, tetapi mesti dicuba. Allah swt menilai bukan kerana ibadah, tetapi usaha yang istiqamah sehingga datang rahmat Allah swt. Jika tidak berjaya, mohon ampun dengan Allah swt. 

Allah swt tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tetapi siapa yang mencuba, kemudian tidak berjaya tetapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan