Popular Posts

Selasa, 24 Disember 2013

HATI YANG MUSTAJAB...





Manusia mungkin tersilap penelitian. Ramai di kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari ustaz/ ustazah, teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan bererti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia...?


BERDOA...!



Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh Rasulullah saw ketika mana Baginda saw ditimpa musibah. 


Baginda saw bersabda, "Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba Mu, anak kepada hamba lelaki Mu, dan anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubunku di tangan Mu, berlalulah penentuan Mu terhadapku, hukuman Mu ke atas ku adalah adil. Aku bermohon kepada Mu dengan keberkatan setiap nama Mu yang Engkau namakan pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam Kitab Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaan Mu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. (Mustadrak Al-Hakim no.1869)


# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad (periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#



HURAIAN HADIS

Berdasarkan kepada hadis tersebut, dapat kita lihat bahawa ketika mana Baginda saw bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, Baginda saw memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasakan diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.


Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap Dia yang diminta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapa pun jua.


Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan, maka kadangkala proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.


Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar untuk dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga, hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.


Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apa pun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketika mana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.


Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas, bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada Rasulullah saw) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.


Ada pun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhluk pun yang memuji-Nyam maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.


Demikian, kita melihat dalam hadis ini yang memuji keadilan, keagungan Allah swt dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diri-Nya seperti Al-Ghafur, Ar-Rahim, Al-Aziz dan sebagainya.



PENJELASAN

Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul (diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.


Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita sebagaimana firman-Nya, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (QS 2:216)


Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadangkala Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.


Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.


Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Dalam  masa yang sama, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan