Popular Posts

Selasa, 30 Oktober 2012

JALAN KELUAR DARI SYAITAN...




Di dalam Al Quran, akan kita dapati sebuah rakaman dialog antara Allah swt  dengan iblis yang dihukum oleh Allah. Dalam dialog tersebut, iblis menyatakan untuk selalu menyesatkan manusia. Hal tersebut terakam dalam surah Al A’raf ayat 16-17, “Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat’” 


Dari ayat Al Quran di atas dijelaskan bahawa Iblis akan selalu menghalang-halangi kita dari jalan yang lurus. Caranya, dia akan mendatangi kita dari muka, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri kita. Lalu apa maksud dari keempat-empat penjuru itu?


Dalam tafsir Ibnu Katsir dijelaskan bahawa yang dimaksud dengan firman Allah swt dalam surah Al-A’raf ayat 17 di atas adalah:


“Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka”:
Iblis akan membuat manusia ragu akan permasalahan akhirat (Min baini Aidihim),


“dan dari belakang mereka”:
membuat mereka cinta kepada dunia (Wa Min Kholfihim),


“dari kanan”:
urusan-urusan agama akan dibuat tidak jelas (Wa ‘An Aimaanihim)


“dan dari kiri mereka”:
dan manusia akan dibuat tertarik dan senang terhadap kemaksiatan (Wa ‘An Syama’ilihim).


Lalu timbul pertanyaan di benak kita, mengapa iblis tidak mendatangi kita dari ATAS dan dari BAWAH kita?Hal tersebut dijelaskan dalam sebuah tafsir Al Quran yang diredaksikan dari Al-Fakrur-Razi dalam tafsirnya berkata, “Diriwayatkan bahawa ketika Iblis mengatakan ucapannya tersebut, maka para malaikat menjadi kasihan terhadap manusia mereka berkata: “Wahai Robb kami, bagaimana mungkin manusia dapat melepaskan diri dari gangguan syaitan?” Maka Allah berfirman kepada mereka bahawa bagi manusia masih ada dua jalan: atas dan bawah, jika manusia mengangkat kedua tangannya dalam doa dengan penuh kerendahan hati atau bersujud dengan dahinya di atas tanah dengan penuh khusyuk, Aku akan mengampuni dosa-dosa mereka” (At-Tafsir Al-Kabir )


Dalam tafsir yang lain juga dikatakan bahwa Iblis tidak mendatangi kita dari atas, kerana rahmat turun kepada manusia dari atas (Tafsir Ibnu Katsir).


Oleh kerana itu iman adalah senjata kita. Berdoalah, mari kita berlindung kepada Allah atas segala godaan syaitan yang terkutuk 



Wallahu`alam



Jagalah Hati….



Wassalam

Rabu, 24 Oktober 2012

SOLEHAH....




Solehah...


Sepatah perkataan yang mudah disebut. Perkataan yang memberi maksud sesuatu yang paling baik diantara perhiasan-perhiasan dunia yang lain. Perkataan yang indah bilamana ia benar melambangkan maksudnya. Perkataan yang cantik bila ia dimiliki dengan sebenarnya oleh pemiliknya.


Namun solehah ternyata bukan mudah pada realiti kehidupan ini. Solehah itu bukan hanya boleh dinilai di penghujung perjalanan, namun sentiasa diberi nilai dalam setiap tahap-tahap kehidupan.


Mudahkah menjadi anak yang solehah? Bila balik bertemu ibu ayah sekali sekala, dua tiga hari di kampung, mempamer dan menonjolkan akhlak terbaik, mentaati tanpa jemu setiap permintaan ibu dan ayah. Tapi bila tinggal lebih lama, hati mula jemu, mula kurang sabar, suara tidak lagi rendah dan lunak – disuruh mula berdalih dan merasa berat, ditegur mula memberontak mempertahankan kesilapan...


Wahai anak, di manakah solehahmu pada ayah ibu yang terlalu banyak pengorbanan dilakukan untukmu…?


Mudahkan menjadi gadis yang solehah? Di akhir zaman yang mendatangkan fashion yang menampakkan keindahan berharga seorang perempuan, mampukah menepis nafsu yang sering ingin cantik di pandangan awam,,, Membiarkan diri dan tubuh dijamah pandangan lelaki murahan kerana tipis dan pendeknya pakaian...? 


Dengan akhir zaman yang membuka seluas-luasnya ruang perhubungan lelaki dan perempuan, dengan ransangan filem-filem, lagu-lagu dan bahan bacaan yang menghidup kan rasa cinta hingga menyala-nyala dalam dada, mudahkah untuk menepis kedatangan SMS, call, chatting YM, Facebook, email dan pelbagai medium yang bertalu-talu dari lelaki yang 'soleh' dan tak soleh?


Awalnya mungkin mudah, dengan prinsip cinta hanya untuk suami dan isteri, tapi jika konsistennya SMS yang mengambil berat lagi prihatin hingga menghidupkan warna merah muda dalam hati, mampukah lagi menolak? Mampukah lagi mengelak dari serangan-serangan perasaan ‘fitrah’ yang ingin disayangi dan menyayangi, lebih-lebih lagi teman-teman disekeling juga tidak lagi sendiri ?


Mudahkah menjadi solehah, jika pergaulan yang dirasakan sederhana mengundang curiga dimata masyarakat? Mengundang cemburu di hati si isteri-isteri? Mengundang fitnah di hati yang berlainan jenis?


Mudahkah menjadi isteri solehah? Di awal mahligai cinta dibina dalam pernikahan, waktu kasih membara, solehah itu seolah pasti terjadi, ada ketaatan sebelum dipinta, ada layanan kelas pertama, ada pengorbanan yang tidak terasa, ada kelembutan yang mempesona, diri terhias tersembunyi dan nyata..


Namun, bila masa berlalu memaparkan suami sebagai insan biasa-biasa punya banyak alpa, yang terus zahir pada suami adalah terlalu banyak keburukan dan kelemahan. Hingga tidak merasa perlu mentaati dirinya yang dulu pernah paling ditaati, hingga acuh tak acuh pada suami yang dulu mendapat cinta kelas pertama, hingga tidak mampu melihat apatah lagi mensyukuri pemberian suami pada keluarga.


Pudar kasih, luput sayang, yang ada hanya lah hati yang luka berbisa. Tiada penghormatan, tiada penghargaan, yang ada hanya ungkitan kesilapan pasangan . Tiada kesyukuran, tiada keredaan hingga diri memikirkan untuk meruntuhkan, melarikan diri dari perjanjian dan ikatan yang dibuat atas nama ALLAH…


Dimanakah solehah? Waktu belum dituntut menjadi pasangan, di luar ikatan mampu menjadi solehah memenuhi segala permintaanya, memohon maaf penuh perasaaan atas kesilapan padanya, mengasihinya sepenuh jiwa raga, tidak mahu melukai hanya ingin mencintai… merasa hebatnya aura sayang dua jiwa dipenuhi kata-kata sopan lagi manja…namun bila ikatan pernikahan yang benar-benar menuntut soleh dan solehah,.. terus sirna, kesopanan dan kelembutan hilang ditelan kejemuan… solehah, dimanakah solehah…?


Solehah…bagaimanakah untuk solehah..? Bagaimanakah untuk terus solehah selepas diri jauh meninggalkan solehah…? Bagaimanakah untuk tetap solehah diwaktu tidak lagi ingin solehah?


Bagaimana bertahan untuk solehah sewaktu sukarnya ingin menjadikan diri solehah?


Sukarnya solehah…sewaktu masih sendiri, terasa sukar menjaga kesucian diri dan hati.. kerana diluar sana tarikan untuk memudarkan solehah terlalu tinggi,… dan sewaktu sudah bersuami, mungkin lebih sukar kerana ada pula hati suami untuk ditaati , dijagai agar tidak tercalar, sedangkan hati dan iman sendiri masih terkontang kanting kering nur rabbani…


Solehah itu anugerah Ilahi. Mahal harganya, Tidak terhitung nilai kepayahannya, Kerana syurga balasannya.


Ya ALLAH ajari saudari semuslimku yang baik hatinya untuk solehah dalam menghadapi ujian-ujian dari Mu, ujian kesenangan atau kesusahan.


Bantulah mereka untuk memilih solehah dari yang lainnya dalam keadaan sukar atau mudah. Bantulah diri hamba Mu itu agar mampu mentaati Mu, yang dengannya menjadikan mereka mampu mentaati ibubapa dan sesiapa pun yang perlu di taati.


Bantulah mereka menunaikan segala suruhan Mu agar mampu di tunai hak-hak sahabat dan saudara mara demi cinta kerana Mu.. Bantulah mereka menjauhi segala larangan Mu agar Engkau memberikan jalan keluar atas segala urusan mereka… Bantulah kami ya ALLAH, dengan rahmat da kasih sayang Mu, perbaikilah urusan kami dan jangan biarkan kami membuat keputusan sendiri walau sekelip mata.


Bantulah diri saudari semuslimku yang baik hatinya untuk memilih solehah walau memilih solehah terasa letih, sakit dan sukar bagi mereka, namun izinkan semuany bertemu Asiah ra, Maryam ra, Khadijah ra dan Fatimah ra di dunia sana yang berkekalan...


Amiin….



Wallahu`alam




Jagalah Hati….



Wassalam

Selasa, 23 Oktober 2012

KITAKAH ISTERI YANG DIDAMBAKAN....?




Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami. 


Bukan lelaki sahaja yang menjadi tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang bernama perempuan itu juga boleh bergetar hatinya melihat lelaki yang soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH agar dipilih oleh lelaki soleh itu…


Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu… 


Ada yang inginkan yang kaya dan kacak… yang penuh sifat kelelakian. 


Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’… 


Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan. 


Namun, apakah realiti yang sering berlaku…? 



Bila suami baik… 


“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur. 


Bila suami bertanggungjawab… 


“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..” 


Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak. 


Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki.. 


Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…? 


Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..? 


Bila suami peramah… 


“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..” 


Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin. 


Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh… 


“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati. 


Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif.. 


Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..” 


Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman. 


Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’. 


Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi. 


“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..” 


“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…” 


“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…” 


Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya. 


Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya. 

Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik]. 


Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan. 


Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..? 


Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…? 


Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…? 


Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan? 


Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu. 


Tapi realitinya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu. 


Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi. 


Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah. 


Mampu membawa diri yang bagaimana..? 


Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya). 


Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita. 


Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu.. 


Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati. 


Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan. 


Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya.. 


Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman.. 


Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapa pun ditakdirkanNYA buat kita… 


Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan.. 


Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan…



Wallahu`alam




Jagalah Hati…




Wassalam

Ahad, 2 September 2012

SANDARAN HIDUP...





Tiada keuntungan yang sangat besar dalam hidup ini, kecuali orang yang tidak memiliki sandaran, selain bersandar kepada Allah swt. Dengan menyakini bahawa memang Allah jua yang menguasai segala-galanya;mutlak , tidak ada satu celah pun yang luput dari kekuasaan Allah, tidak ada satu noktah sekecil apa pun yang luput dari  genggaman Allah. Segala-galanya dengan sempurna Allah yang membuat, Allah yang mengurus dan Allah yang menguasai.



Ada pun kita sebagai manusia, diberi kebebasan untuk memilih dan telah di ilhamkan di hati manusia untuk memilih mana kebaikan dan mana keburukan. Potensi baik dan potensi buruk telah diberikan, kita  hanya perlu memilih mana yang akan kita kembangkan dalam hidup ini. Oleh itu, jangan salahkan siapa pun andaikata kita termasuk berkelakuan buruk dan hidup porak peranda, kecuali diri kita sendirilah yang memilih menjadi buruk,naudzubillah.



Sedangkan keberuntungan bagi orang-orang yang bersandarnya kepada Allah mengakibatkan dunia ini, atau siapapun, terlampau kecil untuk menjadi sandaran baginya. Sebab, seseorang yang bersandar pada sebatang tiang akan sangat takut jika tiangnya diambil kerana dia akan terguling dan terjatuh. Bersandarlah pada sebuah kerusi, takut kerusinya diambil. Begitulah orang-orang yang panik dalam kehidupan ini kerana dia bersandar kepada hartanya, bersandar pada kedudukannya, bersandar pada kekuatan fizikal dan pelbagai sandaran lain.



Padahal, semua yang kita sandari sangat mudah bagi Allah mengambilnya semula. Namun, andaikata kita hanya bersandar kepada Allah yang menguasai tiap kejadian, kita tidak pernah akan panik, insya Allah.



Kedudukan diambil, tiada masalah kerana jaminan dari Allah tidak tergantung pada kerusi itu, malahan kedudukan itu sering memperbudak diri kita, bahkan tidak jarang menjerumus dan menghinakan diri kita. Kita lihat ramai orang yang hidupnya porak peranda kerana jawatannya. Maka, jika kita bergantung kepada kedudukan dan kuasa, kita akan kehilangannya. Akibatnya, kita akan berusaha bermati-matian untuk kekalkan posisi itu hingga sikap kita jadi jauh dari kearifan.



Tetapi bagi orang yang bersandar kepada Allah dengan ikhlas, mereka merelakan kehilangan milikan jika ia tidak mendekatkannya pada Allah serta tidak membuat mereka terhormat pada pandangan Allah. Tidak mengapa jika kita tidak mendapat pujian dan penghormatan dari makhluk, tetapi mendapat penghormatan yang besar dari Allah swt. Percayalah, walaupun kita punya gaji RM100 ribu sebulan, tidak sukar bagi Allah membuatkan kita perlukan RM 120 ribu sebulan. Jika kita punyai simpanan RM 50 ribu, tetapi Allah beri penyakit seharga RM 100 ribu, bukankah ia lahirkan kekalutan hidup?



Semakin kita bergantung pada sesuatu maka, semakin diri kita diperbudakkan. Oleh kerana itu, para isteri jangan terlalu bergantung pada suami, kerana suami bukanlah pemberi rezeki. Suami hanya salah satu jalan rezeki dari Allah. Bila suami keluar rumah untuk mencari rezeki, alangkah indahnya jika sang isteri menitipkan doa kepada Allah… “ Ya Allah, Engkaulah penguasa suami hamba. Lindungilah matanya agar terpelihara, kirimkanlah harta padanya andai ada rezeki yang halal lagi berkah buat kami, pimpinlah suami hamba agar dia upaya berikhtiar di jalan-Mu hingga berjumpa dengan peruntukan rezeki yang berkat. Tetapi jika tiada peruntukan rezekinya, tolonglah diadakan ya Allah, kerana Engkaulah yang Maha Pembuka dan Penutup Rezeki, jadikan pekerjaannya menjadi amal soleh…Amin!”



Suami yang pergi bekerja dengan dibekalkan doa sang isteri akan melahirkan sebuah keluarga yang sungguh-sungguh menyandarkan dirinya hanya kepada Allah.Yang hatinya bulat tanpa ada celah, tanpa ada retak dan tanpa ada lubang sedikit pun; mutlak dan penuh hatinya hanya kepada Allah, maka bakal dicukupi segala keperluannya. Allah Maha Pencemburu pada hamba-Nya yang bergantung kepada makhluk, apalagi bergantung pada benda-benda mati. Mana mungkin? Sedangkan setiap makhluk ada dalam kekuasaan Allah.


                                         
Oleh itu, harus bagi kita untuk terus menerus mengurangkan pergantungan. Kerana makin banyak bergantung, maka persiapkan diri untuk lebih banyak kecewa! Maka sudah semestinya hanya kepada Allah sajalah kita bergantung harap, kita menyandarkan segala sesuatu dan sekali-kali tidak kepada yang lain, insya Allah.




Wallahu`alam





Jagalah Hati…



Wassalam

Ahad, 5 Ogos 2012

SAPULAH AIRMATA MU... (AKHIR)





"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah. 


"Kenapa?" 


"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Ain." 


"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `' 


`' Ain....insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain." 


"Tapi...abang harus ingat… Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin." 


"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku, masih hangat seperti dulu. 


Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. 


Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas. 


Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya. 


Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. 


Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau seminit pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. 


Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku… berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. 


Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermainku. 


Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memeluknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan. 


`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut. 


"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan. 


`' Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ? `'  Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku. 


`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'Aku menduga keikhlasan bicaranya. 


`' Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `' 


Aku mengukir senyum penuh ikhlas. 
Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku. 


Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati. 


Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. 


Giliran kami dihormatinya. 


Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. 


Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah. 


Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-siakan kasih sayangku padanya. 


Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayat-Nya sebanyak mungkin. 


Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepada-Nya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta. 


Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. 


Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka.
Kata mereka, Makcik Izah baik. 


Mereka suka ada dua ibu… lebih dari orang lain.
Ahhh...anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. 


Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri. 


Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. 


Aisyah, isteri Rasulullah saw juga cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami. Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. 


Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. 


Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah saw,  

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga."  (Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah). 


Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. 


Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. Kepada-Nya jua aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu.  Kepada-Nya jua aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini akan berkurangan. 


Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini. 



Tamat…..