Popular Posts

Jumaat, 10 Februari 2012

TOLONG SAMPAIKAN PADA SI DIA...



Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya…


Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cinta-Nya…


Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa…


Tolong nasihati si dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai yang Maha Esa…


Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati yang Maha Kuasa…


Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya…


Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga…


Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya…


Tolong ingatkan si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupa…


Tolong ingatkan si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta…


Tolong ingatkan si dia aku kasihinya kerana santunnya…


Tolong tegur si dia, bila dia mulai mengagungkan cinta manusia…


Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya…


Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya…


Tolong sedarkan si dia, aku milik yang Maha Esa…


Tolong sedarkan si dia, aku masih milik keluarga…


Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarga…


Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana…


Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta…


Tolong sabarkan si dia, bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya…


Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya…


Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi puncak kegagalannya…


Tolong pesan padanya aku membiarkan yang Esa menjaga dirinya…


Tolong khabarkan pada si dia, aku tidak mahu membuat dia terlena…


Tolong khabarkan pada si dia, aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita- citanya…


Tolong khabarkan pada si dia, jadilah pendukung dalam kejayaanku…


Tolong sampaikan pada si dia, aku mendambakan cinta suci yang terjaga…


Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya…


Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan yang Maha Kuasa…


Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri…


Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia…


Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia…


Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya…



Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam

TAHUKAH KALIAN WAHAI SAHABATKU...?




Terkadang hati ini pedih merenung ke dalam diri sendiri...



Aku belum mampu tersenyum, tetapi, teringat ketika Rasulullah saw berkata kepada para sahabat Baginda saw, “ Siapakah di antara kalian yang dapat membuatku ketawa?”



“Saya ya Rasulullah”, jawab Syaidina Umar al Khattab ra. Kemudian Umar pun memulakan ceritanya. "Dahulu sebelum aku mengenal Islam ,aku pernah membuat patung berhala dari manisan. Sewaktu aku lapar, aku memakan berhala tersebut mulai dari kepalanya, terus ke tangannya hingga habis tidak tersisa"  Mendengar cerita Umar ra,  Rasulullah saw ketawa hingga kelihatan gigi geraham Baginda saw. Rasulullah saw pun bersabda, "Dimanakah akal kalian waktu Itu ?" Umar ra menjawab, "Akal kami memang bijaksana, tetapi waktu itu yang menciptakan alam menyesatkan kami".



Tetapi aku takut tersenyum terlalu lama wahai sahabat kerana waktu yang aku harungi bukanlah diciptakan semata-mata untuk tersenyum dan ketawa apalagi sampai terbahak-bahak...



Lalu Rasulullah saw berkata kepada Umar ra, “Ceritakan kepadaku hal yang membuat aku menangis?”. Umar ra pun memulakan ceritanya, " Dahulu aku ada seorang anak perempuan. Aku ajak anak tersebut ke suatu tempat. Tiba di tempat yang aku tuju, aku mulai menggali sebuah lubang. Setiap kali tanah yang aku gali mengenai bajuku, maka anak perempuanku membersihkannya. Padahal dia tidak mengetahui seseungguhnya lubang yang aku gali adalah untuk menguburkannya hidup-hidup sebagai persembahan berhala. Setelah selesai menggali lubang, aku kuburkan anak perempuanku hidup-hidup”. Mendengar cerita itu, menitislah airmata Rasulullah saw. Begitu juga dengan Umar ra yang menyesali perbuatan jahiliyyahnya sebelum mengenal Islam.



Lalu tahukah kalian...?



Sekelumit cerita Syaidina Umar al Khattab ra sebelum ia mengenal Rasulullah saw tersebut membuat hatiku kian pedih, lantaran terbayang cinta yang belum aku dapati dengan sempurna pada-Nya. Dan tahukah kalian wahai sahabat, yang sentiasa ku renungi hanyalah... “Adakah aku layak untuk hidup di Akhirat kelak? Adakah telah ku miliki syarat untuk memasuki syurga Allah swt? Dan adakah ada jaminan untuk ku terbebas dari azab-Nya yang pedih...?



Syaidina Umar ra yang terkenal sangat sadis dan kejam kepada sesiapa sahaja, saat beliau mengenal Rasulullah saw, hatinya luluh dan menjadi orang yang sangat sabar dan tawaduk...



Apakah aku harus terus bertanya, “Tahukah kalian wahai sahabat ...?”




Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

Khamis, 9 Februari 2012

JANGANLAH BIMBANG...



Sahabatku...
jika berita kematian telah sampai
di tengah-tengah kota dan di pelosok-pelosok desa
janganlah engkau bimbang
kerana giliranmu akan tiba juga
bahawa kematian akan datang menjemput engkau
cepat atau lambat pasti akan sampai waktunya


Sahabatku...
Jika engkau banyak ketawa di dunia ini
janganlah engkau bimbang
kerana nanti engkau akan banyak menangis di Akhirat


Sahabatku...
Jika engkau risau dengan siapa yang akan jadi saksi atas segala perbuatanmu di dunia ini
janganlah engkau bimbang
kerana Allah akan menjadikan tangan, kaki dan semua anggota tubuhmu sebagai saksi
mereka akan menjadi sebenar-benarnya saksi


Sahabatku...
jika engkau melupakan Allah di dunia ini
Janganlah engkau bimbang
Kerana Allah pun akan melupakanmu di Akhirat nanti
dan engkau tidak akan tahu kepada siapa akan meminta tolong


Sahabatku...
berapa banyak usiamu kau habiskan
sebesar itulah yang akan kau dapatkan
jika kau banyak berbuat dosa
janganlah engkau bimbang
kerana malaikat di kiri kanan akan mencatat segala perbuatan dosamu tanpa tertinggal
dan jika engkau banyak beramal
Semua catatan amalmu akan memberatkan timbangan kebaikanmu


Sahabatku...
Jika engkau lupa dengan panasnya api Neraka
janganlah engkau bimbang
kerana sesungguhnya Neraka selalu haus
ketahuilah bahawa Neraka berbahan bakar manusia dan batu
Panasnya melebihi panasnya api dunia ini


Sahabatku...
Padang Mashyar begitu luas
Melebihi luasnya alam semesta ini
Kita tidak akan pernah tahu
pada barisan mana kita akan digolongkan
kecuali kita mengikuti golongan manusia-manusia hebat
yang telah lulus uji dan dijamin syurga
janganlah engkau bimbang kerana dengan tahajudmu
dengan sedekahmu
dengan bacaan Quranmu, puasamu dan dengan semua amal baikmu
engkau akan selamat
Dari siksa yang pedih, insya Allah


Sahabatku...
Kita tidak akan pernah tahu
apakah kita akan berjumpa lagi disana
maka doakan aku
sebanyak doa yang kau panjatkan setiap malam


Sahabatku...
Dunia ini telah menipu kita
hingga kita lupa bahawa
usia kita cuma sesaat saja
Hingga kita merasa bahawa
Izrail tidak akan menjemput kita
Oleh itu, jagalah pandangan mata dan hatimu dari dahsyatnya tipuan dunia


Sahabatku...
Mari kita banyak menangis demi selembar taubat
Kerana setiap titisan air mata kita yang takut akan Allah
Akan memadamkan api Neraka…
memadamkan api neraka


Sahabatku...
kita tidak akan pernah tahu
adakah esok atau lusa
kita masih hidup atau sudah tiada
kita masih mampu melihat terbitnya matahari
dan mendengar kicauan burung
melihat anak-anak kita tertawa
untuk itu sahabat
marilah kita persiapkan bekal sebanyak mungkin
dan sebaik-baik bekal adalah iman dan takwa...
sebaik-baik bekal adalah iman dan takwa...
iman dan takwa...


Sahabatku...
Doakan aku…
Dan kita saling mendoakan dan memberi nasihat dalam kebaikan.
Untuk sahabat tercinta
walau di mana berada...




Wallahu`alam




Jagalah Hati...




Wassalam

Rabu, 1 Februari 2012

SUDAH LAMA...





Sudah lama,

aku menyulam khayalan pada tirai hujan

menata wajahmu disana seperti puzzle,

sekeping demi sekeping,

dengan pelekat kenangan di setiap sisinya

lalu saat semuanya menjelma sempurna

ku bingkai lukisan parasmu itu

dalam setiap leleh rindu

yang ku pelihara di sudut hati dengan rasa sugul

dari musim ke musim

“Cinta selalu memendam rahsia dan misterinya sendiri,

pada langit, pada hujan,” katamu.

Dan seketika, linangan air matamu menjelma

bagai deras aliran sungai yang menghanyutkanku

jauh ke hulu

dimana setiap harapan kita karam di sana




Sudah lama,

aku terpaku pada derai gerimis

memastikan setiap serpih mimpiku

untuk bersama menyeberang gerbang syurga di telapak kakimu

dapat menjadi nyata

tapi selalu, semuanya segera berlalu

dan sirna bersama desir angin di beranda

“Percayalah, aku ada dinadimu seperti kamu ada didarah ku,”bisikmu perlahan

ketika bayangmu, semakin pudar dibalik renyai hujan...





Wallahu`alam


Jagalah Hati...

Wassalam.

PADA SAATNYA...





Pada Saatnya,

Ketika musim berganti

Dan gugusan mendung yang ranum

Menitiskan titis hujan pertama

Biduk yang ku kayuh akan merapat ke dermagamu

Menyelak kabus keraguan

Lalu mendamparkan hasrat yang hangat dibakar rindu



Pada Saatnya,

Di hujung perjalanan

Akan ku bingkai binar matamu

Bersama rasa jiwaku

Menjadi lukisan indah di lekuk cakerawala

Dalam lelehan cahaya bulan melumuri langit

ditingkah semilir angin laut

dan tarian ombak

membelai lembut kristal pasir pantai




Pada Saatnya,

Akan ku buatmu terjaga dari lelap tidur

lalu bersama merenjut impian yang tidak segera selesai,

Dalam genangan cinta dipalung kalbu

Dan getar cumbu tidak berkesudahan...





Wallahu`alam




Jagalah Hati...




Wassalam

SELALU AKU RASA...





Selalu, aku rasa,

kita akan bercakap dalam senyap

Dengan bahasa langit yang hanya kita yang tahu

serta menyemai setiap harap yang kerap datang mengendap

lalu meresapinya ke hati dengan getir


Selalu, aku rasa,

kamu tersenyum di sana, ketika aku pun tersenyum di sini

dan kita, dengan bahasa langit yang kita punya itu,

secara bersahaja, menyapa larik-larik kenangan

dan meniti setiap selusur waktu

bersama desir rindu menoreh kalbu


Selalu, aku rasa,

kita tidak dapat menafikan

batas yang membentang

di mana jarak membingkainya lalu menjadikannya nyata

serta membuat kita sedar

bahawa pada akhirnya,

dalam pilu kita berkata...

"Biarlah, kita mengusap setiap serpihan senyap

dan menikmatinya, tanpa henti,

hingga lelap

tanpa tatap, tanpa ratap




Wallahu`alam








Jagalah Hati...






Wassalam

Ahad, 29 Januari 2012

WANITA...




Wanita bisa menjadi madu,
Kemanisannya menjadi pemangkin pada kebangkitan Islamiah.
Inilah yang diharapkan dari insan yang bergelar muslimah solehah.
Dan wanita juga mampu untuk menjadi racun, bisanya terus memudaratkan
Seraya menghancurkan agama yang dicintai... Nauzubillahi min zalik !



Jadilah perhiasan dunia,
yang dihiasi dengan bunga ketakwaan.
Sirami jiwamu dengan titis haruman iman,
Maka terpeliharalah dirimu dari fitnah dunia
Semaikan akhlakmu dengan benih mahmudah,
menjadikan dirimu disenangi segala makhluk dan juga Al-Khaliq.
Perkayakan dirimu dengan coretan ilmu yang bermanfaat,
sebagai petunjuk jalan dalam berbahtera melayar kehidupan duniawi,
destinasinya menuju ke akhirat sana...



Inilah titipan dari hamba-Nya yang tidak mengerti apa-apa.
Moga mengalirlah airmata keinsafan.
Sesungguhnya apa yang baik itulah ketentuan dari-Nya.
Segala kekurangan pula lahir dari diriku sendiri,
natijah dari kealpaan dalam menghadap diri pada-Nya yang Maha Esa...



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam