Popular Posts

Ahad, 15 Januari 2012

BUAT PARA PENDAKWAH...



Orang beriman sentiasa berharap semoga Allah mengampuni segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Ia adalah kejayaan besar yang hanya dicapai setelah dia dapat melintasi pintu syurga beberapa langkah. Rasa tamak terhadap apa yang ada di sisi Al­Iah itu adalah satu keinginan yang manis dan lazat. Oleh itu kita hidup dari masa ke semasa dalam keadaan manis dan indah...



Malahan kita tidak merasa cukup hanya setakat melintasi pintu syurga sahaja, atau hanya tinggal di tingkat syurga yang rendah darjatnya. Bahkan kita bercita-cita untuk masuk ke Syurga ‘Illiyyin dan Syurga Firdaus yang tertinggi.



Di sini logiknya kata-kata, “Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di syurga, dia hendaklah berada di martabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia”



Satu dengan satu



Setiap barang ada harganya...



Tidak ada martabat tertinggi di dunia ini, kecuali martabat dakwah ke jalan Allah. Demikianlah kata-kata Syeikh Abdul Qadir al-­Kailani ra di dalam bukunya  “Futuh ul-Ghaib”.



Beliau adalah seorang pendakwah dan reformis. Oleh itulah, kita dapati setiap bukunya tertumpu kepada mesej dakwah dan kewajipan dakwah. Menurut pandangan beliau, “orang yang berjaya” ialah orang yang dipilih oleh Allah sebagaimana lafaz beliau, “…dan Allah jadikan seorang cendekiawan (jahbaz), pendakwah kepada Allah, memberi peringatan dan ancaman kepada mereka, menjadi hujah bahawa dia telah menyampaikan Islam, pembawa hidayah dan menyampaikannya.” Kemudian beliau berkata, “Itulah matlamat tertinggi di kalangan bani Adam. Tiada darjat lain mengatasi mereka kecuali darjat kenabian.”




MUKMIN BISU AKAN KETINGGALAN


Syeikh Abdul Qadir Kailani menganggap golongan bukan pendakwah sebagai “..orang mukmin yang ada hati tetapi tiada lidah, mukmin yang terlindung dari makhluk lain dan tertutup di sebalik tirai. Kekurangan mereka menutup mata dan hati mereka dari menerima hidayah”.



Oleh kerana mukmin tersebut tidak mempunyai lidah, maka martabatnya jatuh dan dia ketinggalan. Dia kehilangan pangkat hebat dan agung. Mukmin dari golongan yang pertama (yang berdakwah) dikatakan sebagai ‘jahbaz’ iaitu cendekiawan, pendakwah dan ‘hujah’. Pangkat-pangkat ini ibarat pancaran yang terang-benderang. Mukmin yang kedua pula (yang tidak berdakwah) dikatakan mukmin yang ‘mastur’ atau tidak terkenal. Perbezaan bunyi dan sebutan di antara dua panggilan tersebut amatlah jauh sekali umpama langit dan bumi.



Jurang keduanya amat jauh dan luas. Antara martabat dakwah dengan martabat iman yang tertutup dan menjauhkan diri dari orang ramai.



Jurang luas itu tidak lain melainkan disebabkan oleh faktor lidah yang menyatakan kebenaran. Tiada sebab lain. Sesiapa yang mempunyai lidah berani ini maka dia akan terkedepan dalam kumpulan yang berjalan menuju Allah. Memang semua berjalan menuju keredhaan Allah. Cuma soalnya, samakah antara yang berada di hadapan dengan yang ketinggalan di belakang?



Insya Allah, semua akan memasuki syurga. Tetapi samakah orang yang berada dalam rombongan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di Padang Mahsyar?



Kerana itulah Syeikh Abdul Qadir Kailani ra meletakkan kefahaman seorang pendakwah terhadap kemestian untuk mengubah perkara yang batil dan memenangkan hak merupakan satu kurniaan Allah kepada sesiapa yang Dia tahu ada kebaikan di dalam hatinya. Mesej ini diungkap dengan kata-kata yang ringkas, tetapi berharga, iaitu “Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Al­lah swt dan berjaya menghampirkan diri kepada-Nya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhluk-Nya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”



Demikianlah indahnya bahasa bila lahir dari pelita kenabian, sama ada dari aspek nasab atau ilmu. Syeikh Abdul Qadir ra berada di kemuncak kemuliaan kerana nasabnya dari keturunan Syaidina Ali kwh. Tambahan pula, beliau menguasai ilmu hadis dan memahami kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal ra, “Sesungguhnya kerja mengembangkan dakwah itu adalah taufik dari Allah. Dimudahkan-Nya bagi siapa yang ada kebaikan dalam hatinya. Tugas ini satu penghormatan dan bukannya bebanan.”



Renunglah dengan teliti terhadap kata-kata al-Kailani diatas, “… serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran…”



Kebatilan wajib diubah oleh pendakwah. Ubah ertinya hendaklah diperangi, dihapus dan dikuburkan.
Atau adakah kita berharap kebatilan itu sendiri meninggalkan tempatnya, menyerahkan tempatnya pada kita…?



Atau adakah kita berharap akan dapat berbincang dengannya mengunakan bahasa diplomasi…? Ia tidak mungkin berlaku sekali-kali. Cara ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Dalam undang-undang dakwah, yang ada hanya perkataan ‘mengubah-taghyir’ sahaja.




KITA HUBUNGKAN GENERASI LAMPAU DENGAN GENERASI SETERUSNYA


Oleh sebab itulah,  Islam hari ini sangat-sangat perlu kepada satu kumpulan pendakwah yang memiliki kefahaman ‘taghyiriyyah-mengubah’ ini, dengan memahami betul-betul kewajipan membawa petunjuk kepada manusia dan tahu betul-betul dimana mereka dalam angkatan dakwah yang sedang berjalan ini. Mereka yang mengerti bahawa mereka adalah satu mata rantai yang menghubungkan angkatan dahulu dengan angkatan yang akan datang nanti. Mereka sama-sama mengumandangkan nasyid, “Kita ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini. Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu. Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita, wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan”.



Betul….mereka telah berusaha penat lelah untuk menyampaikan akidah tauhid kepada kita, mentarbiyyah kita, mendidik kita dan menarik kita keluar dari bahaya kebinasaan. Oleh itu, sepatutnya kita setia dalam melaksanakan tugas dakwah yang telah diserahkan kepada kita seperti mana yang mereka lakukan.



Mereka telah menanam pohonnya, kita yang menikmati hasilnya. Seterusnya, kita pula perlu menanam supaya generasi yang datang dapat memakan buahnya.



Penanaman itu memerlukan kita bergaul dengan orang ramai, berbicara dengan mereka dan memperkatakan kebenaran secara terus terang.



Tetapi, bagi sesiapa yang memilih untuk mengasingkan diri dan enggan menghadapi pemikiran sesat dan kerosakan akhlak yang berlaku, maka orang itu samalah seperti yang dikatakan oleh Mustafa al-Rafi’ie, “Dia menyangka bahawa telah lari dari kehinaan dan menuju kemuliaan, sedangkan pelariaannya dari memerangi kehinaan itulah kehinaan bagi dirinya. Apa ertinya suci, amanah, benar, setia, kebaikan, ehsan dan lain-lain kehebatan pada seorang yang berada bersendirian di padang pasir atau di puncak gunung? Bolehkah dianggap kejujuran itu satu kehebatan pada seorang manusia jika di kelilingnya hanyalah ketulan-ketulan batu? Demi Allah, siapa yang langsung tidak memerangi keburukan, maka dia sebenarnya langsung tidak mempunyai kelebihan.”



Apakah bezanya antara seorang yang mengasingkan diri di puncak gunung dengan orang yang berada di tengah-tengah orang ramai tapi membisu seribu bahasa...?



Masalah umat Islam­ hari ini sebenarnya bukanlah terletak pada kurangnya bilangan mereka. Begitu juga masalah dakwah pada hari ini bukan disebabkan  kurangnya orang yang berpegang teguh dengan Islam di tengah-tengah kegawatan umat yang meninggalkan solat, mengamalkan bida’ah dan mendukung pemikiran kufur dan jahiliyyah. Di semua negara umat Islam sentiasa ada ramai angkatan muda Islam yang baik.



Masalah sebenarnya ialah mereka ini tidak kedepankan Islam mereka, tidak berdakwah atau mereka jika berdakwah pun, tanpa adanya tansiq di kalangan mereka.



Seorang mujahid dakwah dan ahli fiqh Islam, Al-Syahid Abdul Qadir Audah ra telah menyimpulkan hal ini. Beliau berkata, “Di dunia Islam pada hari ini ada generasi terpelajar yang mempunyai ilmu Islam yang tinggi. Mereka bersungguh-sungguh ingin mengembalikan semula kedudukan Islam yang telah hilang. Mereka tidak takut kepada cercaan orang ramai. Cuma, kekurangan mereka ialah mereka terlalu terpengaruh dengan pendekatan generasi terdahulu yang menumpukan usaha pada soal ibadah dan nasihat-nasihat umum sahaja. Sekiranya mereka tumpukan sebahagian besar usaha mereka untuk mengingatkan orang Islam terhadap perlunya menghidupkan semula syariat mereka yang telah dipinggirkan dan menghapuskan undang-undang mereka yang bertentangan dengan Islam, maka itu adalah lebih baik bagi mereka dan bagi umat ini..” 



Imam Ahmad ra sendiri melakukan Amal Tajmi’



Kerja pendakwah ialah dia mesti mengintai-ngintai manusia terbaik yang ada di dalam masyarakat, kemudian bergaul dan berkenalan dengan mereka, menziarahi  dan mengajar mereka jalan amal jama’i dan kerja tansiq.



Tindakan begini sebenarnya mengulangi balik apa dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, seorang pendakwah yang dihormati.



Diceritakan, “Apabila sampai berita kepada Imam Ahmad adanya seseorang lelaki yang soleh atau zuhud atau yang menegakkan kebenaran dan mengikuti perintah Allah, beliau akan terus bertanya tentang orang tersebut. Beliau amat gembira jika dapat berkenalan dan  mengetahui hal ehwalnya.”



Lihatlah, Imam Ahmad ra tidak bersembunyi dan lari dari orang ramai.



Pendakwah hari ini sepatutnya sentiasa mencari orang ramai, bertanya khabar, jumpa dan bermusafir untuk menemui mereka serta menziarahi mereka di dalam tempat berkumpul mereka. Orang yang hanya duduk di masjid atau di rumah  menunggu orang ramai datang, dia hanya akan tertinggal keseorangan selamanya dan dia hanya akan memahirkan diri dengan seni menguap dan mengantuk.



Sebagai contoh, lihatlah kesungguhan Imam Ahmad ra yang disebut sewaktu sebahagian ulama memperkenalkan Musa bin Hizam (guru kepada Imam al-Bukhari dan al-Tirmizi).


“Beliau (Musa bin Hizam) adalah seorang soleh dan thiqah. Walaupun begitu sebenarnya pada peringkat awal, Musa menganut fahaman Murji’ah. Kemudian Allah menolongnya melalui Ahmad bin Hanbal. Beliau berubah dan menjadi pengikut sunnah, membela sunnah dan menentang siapa yang menyalahi sunnah, terus berpegang pada agama dan sunnah hinggalah beliau wafat” 



Dalam kata-kata itu terkandung makna dakwah yang sangat besar. Perubahan tidak akan berlaku hanya dengan angan-angan semata-mata.



Bayangkanlah bagaimana tekunnya Imam Ahmad ra mendampingi beliau, duduk lama bersama, berbincang dengan lemah lembut, tenang, penuh hikmat dan nasihat yang baik sehingga berjaya mengubah cara fikir beliau dan akhirnya dia meninggalkan bida’ah golongan Murji’ah. Bida’ah itu telah membuatkannya beranggapan bahawa amalan bukanlah merupakan syarat kepada iman, tetapi iman hanyalah percaya di dalam hati sahaja. Imam Ahmad ra kemudiannya duduk lagi bersamanya, mengajarnya pula tentang hadis. Kemudian duduk lagi bersamanya bagi membangkitkan semangat. Begitulah secara terus­-menerus sehingga akhirnya beliau menjadi pembela sunnah yang setia, menentang ahli bida’ah dan pengikut hawa nafsu hinggalah beliau meninggal dunia.



Begitulah jalan dakwah dan khidmat untuk Islam. Begitulah sikap para pendakwah salafussoleh terdahulu.



Mesti berhubung dengan manusia.



Mesti duduk bersama mereka untuk mengajar.



Kita mesti tinggalkan isteri, anak-anak, majlis-­majlis keduniaan dan kesibukan perniagaan kita beberapa jam setiap hari. Berikan waktu itu untuk dakwah. Gunakan waktu itu untuk membantu or­ang sesat yang telah menjadi mangsa tipu daya dunia hari ini. Bantu ia ke jalan yang lurus. Atau gunakan waktu itu untuk membantu seseorang yang patah hati, kecewa dan sedih melihat realiti kehidupan muslim, tetapi dia sendiri dibelenggu dengan dunia. Moga kita dapat menggerakkan dan menggegarkan jiwanya sambil merangkulnya dengan bersungguh-sungguh.



Itulah rangkulan keazaman yang pernah dilakukan oleh Jibril as semasa memeluk Nabi kita, Muhammad saw sebanyak tiga kali di gua Hira’ di awal kenabian Baginda saw. Jibril as memeluk Baginda saw ke dadanya sungguh-sungguh. Kemudian barulah memerintahkan, “Bacalah dengan nama Robb mu yang telah menciptakan”



Begitu juga Rasulullah saw memeluk sepupunya Abdullah bin Abbas ra dan berdoa, “Ya Allah, ajarkan Al-Quran kepadanya.”



Pendakwah mungkin pernah “memeluk” kita, maka kita juga wajib memeluk orang lain yang meletakkan batas pemisah di antara zaman dan masa lapang dan selesa dengan zaman memikul amanah secara tekad, penuh keazaman dan kesetiaan.



Allah swt menolong beribu-ribu orang seperti Musa bin Hazam as melalui usaha-usaha Imam Ahmad as itu. Mereka semua telah berjaya pula menolak kacau bilau golongan Jahmiyah dan Muktazilah dan sekaligus mazhab al­-sunnah dapat dipertahankan.



Maka kita pula... berapa ramaikah pula yang akan berjaya dari usaha kita orang yang akan menangkis serangan timur dan barat...?



Bagi para salafussoleh ra, tiadalah saat yang paling gembira bagi mereka selain dari dapat melakukan kerja-kerja dakwah dan membimbing manusia hasil asuhan tangan mereka.



Abdul Qadir al-Kailani telah berkata, “Maha Suci Allah yang telah menggerakkan hatiku untuk memberi nasihat kepada manusia dan telah menjadikan kerja itu sebesar-besar cita-citaku.”



Dia berkata lagi, “Apabila aku melihat wajah seorang murid sodiq yang  lahir di bawah bimbinganku, aku merasai kenyang, puas, bangga dan gembira. Bagaimana ia boleh lahir dari bimbinganku...?” 



Inilah kepuasan dan kegembiraan mereka. Kegembiraan mereka bukanlah hanya kerana dapat mengarang kitab-kitab yang hanya mengulang-ngulang perkara yang sama.



Seorang alim yang sebenarnya ialah seorang pendakwah. Bagi yang hanya menulis kitab semata-mata, kita katakan kepada mereka, “Demi Allah, kamu bukanlah ulama’ atau orang yang bijaksana, tetapi kamu hanyalah pedagang ilmu.” 



Islam hari ini tidak memerlukan penambahan lagi terhadap kajian­-kajian di dalam cabang-cabang fiqh berbanding keperluannya kepada pendakwah yang bergabung tenaga, tolong­-menolong dan berganding bahu sesama mereka.





FIQH DAKWAH SEORANG MENTERI YANG JUGA SEORANG PENDAKWAH


Dengarkanlah kefahaman indah seorang faqih, ahli hadis, abid dan menteri kerajaan Abbasiyyah yang soleh, iaitu Ibnu Hubairah Al-Dauri ra tatkala beliau membaca firman Allah swt, “Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera)” (QS Al-Qasas 28: 20)



dan firman Allah swt, “Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera) katanya: “Hai kaumku, ikutlah rasul-rasul itu.” (QS Yasin 36:20)



Kata Ibnu Hubairah ra, “Aku perhatikan sebutan ‘dari hujung negeri’. Kedua-dua lelaki di dalam ayat tersebut datang dari jauh kerana ingin melaksanakan ‘amar makruf. Keduanya tidak menggunakan alasan jauhnya jarak  untuk duduk diam di rumah.”



Ayat yang mulia itu, walauupun kelihatan ringkas telah mendorong para pendakwah untuk berfikir. Terfikirkah para pendakwah pada hari ini untuk merasa susah memikul tugas dakwah yang memerlukan pergerakan seharian yang jauh? Pernahkah kita terfikir bahawa kesusahan ini telah dilalui oleh salafussoleh dari kalangan pendakwah golongan awal-awal Islam? Sifat-sifat mereka diabadikan di dalam al-Quran yang memaparkan siri pengembaraan dan perjalanan mereka ke tempat-tempat yang jauh hanya semata-mata untuk mengembangkan dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.



Firman Allah swt , “Kemudian, datanglah seorang lelaki berlari-laki dari hujung negeri, Katanya, “Wahai kaumku, ikutlah utusan­-utusan itu.”



Lelaki yang mendengar dakwah itu terus menerimanya setelah melihat segala bukti kebenaran dan logik apa yang disebut dalam ucapannya kepada kaumnya. Apabila hakikat iman itu telah bertapak di hati, bergeraklah hakikat itu di dalam hatinya dan dia tidak boleh mendiamkan diri lagi. Dia tidak boleh diam membisu di rumahnya dengan akidahnya sedangkan dia tahu kesesatan, kekufuran dan maksiat berleluasa di kekelilingnya. Malahan dia bersegera mendukung kebenaran yang tertanam dan bergerak-gerak di jiwanya, bergegas dari tempat yang jauh berjumpa kaumnya yang mendustai, menolak, menyangkal serta mengancam  Rasul-Rasul. Dia datang dari tempat yang jauh, dari hujung kota untuk melaksanakan tugas dakwah dan menyeru kaumnya kepada kebenaran. Dia menghalang niat jahat kaumnya yang hampir-hampir mencerobohi Rasul-Rasul Allah



Yang jelas lelaki itu bukan orang berpangkat ataupun berkuasa. Dia juga tidak  mempunyai keluarga ternama untuk mempertahankannya. Tetapi akidah yang hidup di jiwanya itu mendesak dan mendorongnya untuk datang dari kawasan yang paling jauh menemui kaumnya.




Wallahu`alam





Jagalah Hati...




Wassalam

Jumaat, 13 Januari 2012

KISAH PENCINTA ILAHI III...




Abu Yazid Al Bustami sejak kecil taat kepada Allah dan suka berbuat kebajikan. Kedua orang tuanya selalu menjaga diri untuk tidak makan kecuali yang halal. Abu Yazid, sejak dalam kandungan dan menerima air susu ibunya, tidak pernah berkenalan dengan barang Syuhbat, apa lagi haram. Pada tahap awal keinginannya, jika mendengar suatu kebaikan, beliau mudah lupa.


” Apakah ibu ingat pernah memakan sesuatu yang haram atau Syuhbat ketika mengandung atau menyusuiku, sebab jika mendengar kebaikan aku mudah lupa ? ” tanya Abu Yazid kepada ibunya.

” Anakku, suatu hari ketika sedang mengandung atau menyusuimu, aku melihat sepotong keju tergeletak di tempat fulan. Saat itu aku sedang mengidam, dan benar – benar menginginkan keju itu. Lalu ku ambil secuil keju dan kumakan tanpa sepengetahuan pemiliknya. “

Mendengar jawaban ibunya, Abu Yazid segera mengunjungi pemilik keju itu.

” Wahai fulan, dahulu ketika mengandung atau menyusuiku, ibuku telah memakan secuil kejumu. Sekarang aku mohon agar engkau sudi memaafkannya, atau engkau tetapkan berapa harga secuil keju itu, nanti aku akan membayarnya, ” kata Abu Yazid setelah bertemu pemilik keju.

” Ibumu telah kumaafkan dan apa yang ia makan telah kuhalalkan, ” kata pemilik keju.

Sejak saat itu, Abu Yazid tak pernah lupa, bila mendengar kebaikan. Anggota tubuhnya semakin ringan untuk berbuat kebajikan.

Pada suatu malam Abu Yazid Al Bustami dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke  gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap sedia dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya. Ia masuk ke gereja Samaan tanpa disedari oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia sama-sama menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, ” ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini.”

Semua paderi menjadi gempar dan mereka mahu orang itu di bunuh. Namun ketua paderi menghalang, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut. Menjawab 50 soalan bertanya satu soalan

Ketua paderi berkata, “wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikut agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuh kamu.”

Jawab Abu Yazid, “baiklah! Tanyalah apa saja yang kamu ingin tanyakan.”

Ketua paderi itu mengemukakan 50 soalan berterusan dan selepas ini Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Kata Abu Yazid, “saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang ada lagikah soalan-soalan lain?”
Semua pendeta menjawab, “tidak ada lagi,”

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. “beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit.”

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawapannya. Baru satu soalan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh soalan. Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.

Katanya, “bukan saya tidak mahu menjawab, tetapi saya takut kamu semua tidak bersetuju.”

Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk bersetuju dan menerima kata-kata ketua mereka.

“Bahawa kunci Syurga dan kunci langit itu tidak lain ialah “LAILA HAILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH.” Tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, “memang benar kata ketua kamu ini.” Semua paderi memeluk Islam Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

“Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya beritahu itu adalah benar. Saya tidak didesak oleh mana-mana tekanan. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan perkara ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu.”

“Dari mana tuan mengetahui perkara ini?” Tanya salah seorang paderi.

“Dari ketua sebelum saya.” Jelas ketua paderi.

“Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahawa perkara yang dikatakan itu adalah benar.” Sambung ketua paderi itu.

“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!” Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!


Berikut adalah pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawapan Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu baginya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wataala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardukan solat lima waktu: Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya): dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya): di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof Alaihissalam.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof Alaihissalam yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof Alaihissalam. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob Alaihissalam bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Ta’ala ( ertinya ) : telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang di bawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya): katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya): Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahku ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, “kami akan datang kepadamu secara patuh dan taat.”

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus Alaihissalam. Nabi Yunus Alaihissalam di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya): demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman Alaihissalam di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan. Kibas yang di bawa Jibril Alaihissalam sebagai korban ganti Nabi Ismail Alaihissalam, unta Nabi Salleh Alaihissalam yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa Alaihissalam.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti Firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa Alaihissalam

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta’mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu “tahun” yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji. Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam Alaihissalam.

42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud: Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang Maha Berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud: Maha Suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud: Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud: Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud: Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhluknya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya: Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebih seperti Firman Allah Taala (ertinya): dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam