Popular Posts

Rabu, 21 Disember 2011

HANYA KITA YANG MEMBUKA PINTU INI...




Pintu ini... kita sendirilah yang membukanya



Hidup ini memiliki banyak pintu, entah ada atau tanpa kunci.
Entah ia terkunci atau hanya tertutup.
Semua pintu mesti dicuba untuk membukanya.


Walaupun setelah dicuba ternyata pintu terkunci,
Tentunya kita pasti akan terus mencuba untuk membuka pintu belakang pula.
Jikapun ternyata semua pintu terkunci, masih ada jendela, kan?


Dan jika jendela juga telah terkunci,
maka kita masih boleh bertenang seketika untuk mencari jalan ikhtiar.


Tetapi kenapa kita memilih hanya duduk dalam kebingungan di pintu hadapan...?



Mari kita belajar tentang kehidupan melalui watak-watak ini...


Ada dua beradik tinggal di sebuah rumah sewa. Selama setahun ini, setiap pagi, kedua-duanya pergi kerja bersama-sama. Oleh kerana si abang pulang kerja lebih awal, maka sebagai adik, dia tidak pernah bimbang tentang bagaimana membuka pintu rumah bila pulang, sehingga dia merasa tidak perlu membawa kunci pendua.


Suatu hari, oleh kerana ada satu kebetulan, si adik pulang lebih dulu dari kebiasaannya. Sesampai di rumah, dia hanya duduk depan pintu sambil sesekali menatap ke jalan, menunggu abangnya pulang membawa kunci. Tetapi lama ditunggu, ditunggu dan tunggu, berjam-jam kemudian, barulah abangnya pulang.


Melihat adiknya lesu menunggu di depan pintu, si abang bertanya dengan rasa hairan, " Mengapa kamu duduk di sini?"


Adiknya menjawab, " Aku tidak bawa kunci rumah."


Si abang hanya tersenyum tanpa bicara lagi. Dengan ringan, dia sentuh daun pintu, kemudian... terbukalah pintunya.


Ternyata selama ini pintunya tidak berkunci.


Si adik sebegitu lama termanggu di depan pintu hanya kerana dia tidak ingin cuba menyentuh daun pintu rumah tersebut.



Cerita ini, menerangkan pada kita bahawa di dunia ini tidak ada yang namanya masalah yang tidak boleh diselesaikan.


Semua hanya kerana kita sering "tidak ingin ' menyelesaikannya, tidak ingin mencuba, enggan bertanya, enggan bergerak, sehingga masalah tidak juga selesai-selesai.


Pintu kehidupan kita, adalah kita sendiri yang membukanya.


Untuk apa bingung, adakah kita menanti orang lain membukakan...?


Dan kita... masihkah kita bingung dengan masalah yang sedang dihadapi...?


Tidakkah kita cuba bertanya jalan keluar dari orang lain atau kita hanya lari dari masalah itu sehingga meragut semua hari-hari indah yang sebenarnya ada atau tanpa masalah hari ini akan tetap berlalu juga.


Saudara semuslimku, hidup tanpa masalah itu bukan kehidupan. Tapi, adalah tugas kita mengendalikannya, bukan kita yang dikendalikan oleh masalah itu tadi...


Wahai saudara semuslimku, bersemangatlah...!


"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." ( QS Al-insyirah:6)



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

Isnin, 19 Disember 2011

MUNAJAT MUSTAJAB...




Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan.
Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan.
Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.
Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan.
Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku...
dan terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu.



Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap
dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan.
Namun begitu besar kasih Mu...
Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang.
Aku tidak pernah menafikan hak Mu sebagai Khaliq,
walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih.



Ampunkan aku Ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan Mu.
Jika bukan kepada-Mu, kepada siapa lagi harus ku mengadu...?
Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah...
namun aku hanyalah hamba Mu yang daif dan lemah.



Adakalanya aku kurang kesabaran.
Ada masanya aku goyah keimanan.
Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan.
Namun dengan limpahan kasih sayang Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.



Dalam usia begini... aku ingin menjadi lebih dekat pada Mu Ya Rahman.
Dalam usia yang makin jauh ini...aku ingin lebih merindui Mu Ya Rahim.
Dalam usia meniti senja ini...aku ingin sekali menyambut panggilan Kaabah Mu Ya Al Malik.
Dalam usia beruban ini yang ku inginkan
hanyalah ketenangan, kekhusyukan beribadah, segala kesederhanaan dan kerendahan hati
tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi.



Ya Muhaimin...
pimpinlah tangan hamba Mu ini...
pimpinlah hati hamba Mu ini...
pimpinlah langkah hamba Mu ini agar sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran.



Ya Al-Quddus...
sebagai hamba Mu yang hina dina,
aku tidak akan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku...
bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti siratulmustaqim Mu
dengan tenang dan mudah tanpa cela.



Ya Al Hakiim...
berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya.
Agar aku terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caraku.
Hulurkan kepadaku bijaksana agar aku mampu terus memacu kalam keinsanan
sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.



Terima kasih Ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku.
Engkaulah Yang Maha Besar... peliharalah aku agar terus berpegang teguh pada tali Mu.



Terimalah permohonan hamba Mu yang sedang bermusafir di bumi Mu ini Ya Al Rahim.



Amin Ya Rabbal 'Alamin.



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

ERTI KEHIDUPAN...




Sebuah kisah... seorang pemuda mendatangi lelaki tua bijak yang tinggal di sebuah desa yang begitu damai. Setelah menyapa dengan santun, si pemuda menyampaikan maksud dan tujuannya. "Saya menempuhi perjalanan jauh ini untuk mencari cara membuat diri sendiri selalu bahagia, sekaligus membuat orang lain selalu gembira."



Sambil tersenyum, lelaki tua itu berkata, "Wahai anak muda, orang seusiamu memang memiliki keinginan begitu, sungguh bukanlah ia luar biasa. Baiklah, untuk memenuhi keinginanmu, pakcik akan memberikan padamu empat kalimat. Perhatikan baik-baik ya...!"



"Pertama, anggap dirimu sendiri seperti orang lain!" Kemudian, orang tua itu bertanya, "Anak muda, adakah kamu mengerti kalimat pertama ini? Cuba fikir baik-baik dan beritahu pakcik apa yang kamu fahami tentang hal ini."



Si pemuda menjawab, "Jika boleh menganggap diri saya seperti orang lain, maka saat saya menderita, sakit dan sebagainya, dengan sendirinya perasaan sakit itu akan semakin berkurang. Begitu juga sebaliknya, jika saya mengalami kegembiraan yang luar biasa, dengan menganggap diri sendiri seperti orang lain, maka kegembiraan tidak akan membuatku lupa diri. Apakah betul, pakcik?"



Dengan wajah tenng, lelaki tua itu mengangguk-anggukkan kepala dan melanjutkan kata- katanya. "Kalimat kedua, anggap orang lain seperti dirimu sendiri!"



Pemuda itu berkata, " Dengan menganggap orang lain seperti diri kita, maka saat orang lain sedang berduka, kita mampu merasai kedukaannya, malahan menghulurkan tangan untuk membantu. Kita juga dapat menyedari akan keperluan dan keinginan orang lain. Berjiwa besar serta penuh tolak ansur. Betul, pakcik?"



Dengan raut wajah semakin cerah, lelaki tua itu kembali mengangguk-anggukkan kepala. Ia berkata, "Seterusnya ke kalimat ketiga. Perhatikan kalimat ini baik-baik, anggap orang lain seperti diri mereka sendiri!"



Si anak muda kembali mengutarakan pendapatnya, "Kalimat ketiga ini menunjukkan bahawa kita harus menghargai hak peribadi orang lain, menjaga hak asasi setiap manusia dengan adil dan saksama. Sehingga, kita tidak perlu saling menyerang peribadi dan menyakiti orang lain. Tidak saling mengganggu. Setiap orang berhak menjadi dirinya sendiri. Bila terjadi perbezaan pendapat, masing-masing boleh saling menghargai."



Kata lelaki tua itu, "Bagus, bagus sekali! Nah, kalimat keempat: anggap dirimu sebagai dirimu sendiri! Kamu telah menyelesaikan semua jawapan atas pertanyaan saya. Kalimat yang terakhir memang sesuatu yang sedikit luar biasa. Maka renungkan baik-baik."



Pemuda itu nampak kebingungan. Katanya, "Pakcik, setelah memikirkan keempat-empat kalimah tadi, saya merasa ada yang tidak secocok, malahan bertentangan. Bagaimana caranya saya dapat merangkum keempat-empat kalimah tersebut menjadi satu? Dan, berapa lama waktu untuk saya mengerti semua kalimah pakcik sehingga saya boleh selalu gembira dan sekaligus dapat membuat orang lain juga gembira?"



Spontan, lelaki tua itu menjawab, "Mudah. Renung dan gunakan waktumu seumur hidup untuk belajar dan mengalaminya sendiri."



Selepas pertemuan tersebut, si pemuda meneruskan kehidupan dan akhirnya meninggal. Sepeninggalannya, orangramai sering menyebut nama dan membicarakan tentang dirinya. Dia mendapat gelaran sebagai: "Orang bijak yang selalu gembira dan sentiasa menyebarkan kegembiraannya kepada setiap orang yang ditemui."




Pengajarannya, sebagai makhluk sosial, kita dituntut untuk belajar mencintai kehidupan dan berinteraksi dengan manusia lain di muka bumi ini. Selama kita mampu menempatkan diri, tahu dan mampu menghargai hak-hak orang lain, serta mengerti keberadaan jatidiri sendiri di setiap langkah dalam proses kehidupan, maka kita akan menjadi manusia yang bertolak ansur. Secara langsung, di mana pun kita bergaul dengan manusia lain, insya Allah akan selalu timbul kehangatan, kedamaian, dan kegembiraan. Sehingga, kebahagiaan hidup akan muncul secara semulajadi... sungguh luar biasa kehidupan ini...!



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

Ahad, 18 Disember 2011

DI KESEPIAN MALAM II...



Di waktu malam sepi, 
senyap sunyi.
Suasana hening,
dingin menusuk tulang
Hanya suara dengkuran manusia yang memecah sunyi
Sekali-sekali terdengar suara anjing-anjing liar di waktu malam sepi
Di waktu itu pencinta Ilahi bangun dengan penuh tenang
Membersihkan diri, berpakaian bersih
Berdiri dan berlutut,
berdiri dan sujud berulang-ulang kali sepuas hati
Berzikir, bertahmid, bertakbir dan bertasbih
Puja dan puji disemarakkan,
munajat membisikkan,
melahirkan cinta
Merafakkan doa
melahirkan hajat dan harapan
Mengagungkan dengan penuh khusyuk dan tawaduk,
menghina diri
Menghina diri di hadapan CINTA AGUNG-nya,
meminta perhatian
Air mata mengalir di pipi, jatuh ke bumi
Begitulah setiap malam yang berlalu


Di suasana kesepian malam,
di dalam keheningan suasana
Pencinta-pencinta Ilahi memuja CINTA AGUNG-nya, agar dia dicintai
Setelah memuja-memuji sepenuh hati
Meminta, mengharap sepuas hati
Dengan air mata dan tangisan minta dikasihi-Nya
Mereka berhenti menunggu subuh


Hati sentiasa bimbang,
takut cinta tidak berbalas
Namun putus asa tiada,
harapan sentiasa berbunga
Perhubungan tetap diteruskan

Wallahu`alam


Jagalah Hati...


Wassalam

DI KESEPIAN MALAM...



Di waktu malam gelap,
bintang-bintang berkerlipan
Pencinta-pencinta Ilahi bangun...merindukan Robb-nya


Dia lepaskan rindunya melalui solat
Bermunajat,
meminta-minta rahmat-Nya,
memohon keampunan-Nya


Pencinta-pencinta Ilahi mengharapkan kasih sayang-Nya


Di kesepian malam,
di suasana tenang dengan air mata berlinangan
Diluahkan rasa hatinya,
apa yang dihajatinya
Kepada Allah yang memang menunggu-nunggu
permintaan-permintaan hamba-hamba-Nya


Di waktu ketenangan malam,
di ketika doa hamba-hamba-Nya dikabulkan
Pencinta-pencinta Ilahi menadah tangan dengan penuh harapan
Memuji,
memuja,
mensucikan,
membesarkan Allah
Dengan ucapan-ucapan dan perasaan merendah diri


Begitulah berlaku setiap malam kepada pencinta-pencinta Ilahi
Tidak jemu meminta,
tidak putus asa mengharap kepada Robb-nya
Meminta keampunan-Nya,
meminta keredhaan-Nya,
mohon diberi
Dicucuri rahmat,
berkat,
diberi maghfirah
Meminta dengan merendah diri,
dengan air mata
Dengan rasa kehambaan,
rasa hina,
rasa lemah
Merintih,
rasa bersalah,
rasa berdosa,
rasa tidak berguna
Agar datang belas kasihan dari Ilahi,

Moga-moga rahmat Allah datang...


Wallahu`alam


Jagalah Hati...


Wassalam

Jumaat, 16 Disember 2011

TITIAN PERJALANAN...




Jika kita di tanyakan, di antara syurga dan neraka, yang mana akan di pilih...? Sudah tentu kita akan memilih Syurga. Selain syurga, apa pilihan yang kita ada? Neraka...!



Semoga Allah lindungi kita dari azab neraka. Adakah pilihan ketiga? Tidak ada pilihan keempat, kelima dan seterusnya.Bahkan tiada pilihan tengah-tengah. Yang ada hanya 2 pilihan, syurga atau neraka. 



Di dunia yang sedang kita beriktiar ini, kita juga perlu pilih jalan kehidupan, kalau nak syurga, maka kita juga perlu memilih jalan yang akan membawa kita ke syurga, kemudian istiqamah melalui jalan tersebut. Jika kita melalui jalan-jalan ke neraka, adakah kita akan sampai ke syurga? Maknanya, untuk memilih ke syurga, kita wajib memilih dan melalui jalan-jalan yang membawa kita ke syurga, insya Allah kita akan sampai ke syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah swt. Kata Ibnu Taimiyah ra, jika kita melakukan amalan-amalan syurga, bererti kita telah memasuki taman-taman syurga dunia, barangsiapa yang tidak memasuki taman syurga di dunia, dia tidak akan mampu memasuki taman syurga di akhirat kelak. 



Maka marilah kita bermuhasabah, sudah sejauh mana kita istiqamah melalui jalan-jalan ke syurga...? Beramallah dengan amalan ke syurga, walaupun sedikit tetapi tetap istiqamah. Sebaliknya janganlah kita berangan memilih ke syurga tetapi secara sedar atau tidak, setiap hari kita memilih dan melalui jalan-jalan kegelapan yang menuju ke neraka, walaupun kita tidak pilih untuk menuju ke sana.



Kita sedar kita lemah, terkadang buat salah dan silap, terikut juga lorong-lorong kegelapan. Maka bersegeralah bertaubat kerana taubat adalah jalan terbaik menuju ke syurga.
 

“..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kalian beruntung.” (QS An-Nuur:31).



Taubat yang kita lakukan adalah hijrah kita dari jalan kegelapan kepada jalan cahaya, kemudian istiqamahlah di jalan cahaya itu. 


“Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Robb kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (QS At-Tahrim:8) 



Rasulullah saw sendiri yang terlindung dari dosa, bahkan Baginda saw merupakan pemimpin dan penunjuk jalan-jalan ke syurga, tidak pernah terlepas memohon keampunan dari Allah swt.
 

“Demi Allah, aku minta ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.” (Bukhari)



Sebenarnya kita sudah ditunjukkan jalan-jalan menuju ke syurga oleh pemilik syurga, iaitu Allah swt. Malangnya kita yang terlupa, buat-buat lupa atau enggan untuk memilih dan melalui jalan-jalan itu.
 


Akhirnya di akhirat kelak, Allah swt akan melupakan kita, dan pada saat itu kita tidak ada pilihan lain, kita akan menjadi penghuni neraka Allah swt. Firman-Nya...


"Demikianlah keadaannya! telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepada mu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". (QS Taha: 126)


“dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi dari jalan yang benar.”
(QS Al-Isra’: 72)



Oleh itu, janganlah kita leka dan lalai dalam kehidupan. Selalulah ‘check’ jalan yang mana sedang kita lalui di sepanjang kehidupan.



Ingatlah saudara semuslimku...! Kita tidak ada pilihan melainkan memilih jalan ke syurga dan istiqamah di atas jalan tersebut. 



Akhirkata, ingin saya kongsikan petua yang disampaikan oleh Syaidina Ali Abi Talib kwh dengan enam jalan menuju ke syurga dan menghindari jalan ke neraka, semoga memberi panduan buat kita bersamam insya Allah...


“Barangsiapa menghimpun enam pengetahuan, maka tidak sukar baginya mencari syurga dan menjauhi neraka. Pertama, mengenali Allah kemudian mentaati-Nya, Kedua, mengenali syaitan kemudian menentangnya. Ketiga mengenali akhirat kemudian mengharapnya. Keempat, mengenali dunia, kemudian menjauhinya (zuhud). Kelima mengenali kebenaran lalu mengikutinya. Keenam mengenali kebatilan, kemudian menghindarinya.”




Wallahu`alam



Jagalah Hati...



Wassalam