Popular Posts

Jumaat, 24 Jun 2011

KAMI ANAK YATIM II...


Segala puji bagi Allah swt yang mengurniakan rezeki tanpa batas, yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat, dan pengikut Baginda saw yang setia hingga Hari Kiamat.

Saudara Muslimku ! Alangkah banyaknya duka dan derita yang mengisi kehidupan ini. Ia memang tidak belas kasihan kepada sesiapa pun. Dan tidak ada seorang pun yang dapat meneguk air yang benar-benar jernih dari gelas kehidupan ini.

Dalam kehidupan ini, manusia beralih dari keadaan-keadaan bahagia kepada keadaan-keadaan menderita. Tidak ada bezanya, yang masih kecil mahupun yang sudah dewasa. Penjara-penjara kehidupan dan beban-beban beratnya cuma berbeza-beza tahap. Ada yang kecil dan berlaku beberapa saat saja, ada pula yang besar, dan berlangsung dalam masa yang panjang.

Saudara Muslimku ! Ini adalah gambaran dari sebahagian derita kehidupan itu, yang dialami oleh sebahagian orang di antara kita, yang kepahitannya mereka rasakan dalam masa yang panjang!

Kepahitan yang dirasakan oleh orang-orang fakir dan lemah itu, yang lebih dulu merasakan pahitnya kehidupan sebelum manisnya.

Tahukah kita, siapa orang-orang fakir itu ?

Mereka adalah anak-anak yatim! Mereka adalah anak-anak kecil, yang kehilangan susuk yang mencarikan nafkah bagi mereka sebelum mengerti apa itu nafkah, apa itu pekerjaan. Bahkan mereka adalah anak-anak yang kehilangan susuk yang membimbing mereka, sebelum mengenal apa-apa. Merekalah anak yatim! Anak yang dikejutkan oleh kematian ayahnya, sebelum sempat merasakan manisnya kasih sayang ayah, sebelum mereka merasakan perlindungan tangan yang perkasa itu!

Saudara Muslimku ! Kita sudah tahu, siapakah anak yatim itu! Wahai diri yang memiliki hati yang penyayang ! Tahukah kita, apa kewajipan kita terhadap mereka?

Saudara Muslimku ! Islam telah mendorong pemeluknya agar memiliki akhlak mulia. Salah satu akhlak mulia itu adalah menyantuni atau berbuat baik terhadap anak yatim.

Sesungguhnya, anak yatim adalah manusia yang paling memerlukan pertolongan dan kasih sayang. Kerana ia adalah anak yang kehilangan ayahnya pada saat ia 
sangat memerlukannya. Mereka perlukan pertolongan dan kasih sayang kita, kerana ia tidak mungkin mendapatkan kasih sayang ayahnya yang telah tiada.

Jika kita melihat seseorang yang penyayang kepada anak-anak yatim dan menyantuni mereka, maka ketahuilah bahawa ia adalah seorang yang berbudi dan berakhlak mulia.

Suatu ketika Saib bin Abdullah ra datang kepada Nabi saw, maka Nabi saw bersabda kepadanya, “Wahai Saib, perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam jahilliyah, laksanakan pula ia dalam masa keIslaman. Jamulah tamu, muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada tetangga.” ( Ahmad dan Abu Daud, Shahih Abu Daud, Al-Albani)

Dalam sebuah atsar disebutkan riwayat dari Nabi Daud as, yang berkata, “Bersikaplah kepada anak yatim, seperti seorang bapa yang penyayang.” (Bukhari)

Saudara Muslimku ! Kasih sayang dan berbuat baik kepada anak yatim, sebagaimana yang telah saya sampaikan kepada kita semua adalah sebahagian dari akhlak dan sikap orang-orang yang mulia. Ia tidak dapat dilakukan, kecuali oleh seorang hamba yang mulia, yang menghimpun budi pekerti mulia, yang mencintai kebajikan.

Abdullah bin Umar ra tidak pernah memakan makanan, kecuali dimeja makannya ada seorang anak yatim yang makan bersamanya.

Jadilah orang seperti itu, saudaraku ! Seorang yang penyantun, lemah lembut, dan berupaya berbuat kebaikan kepada anak yatim, mengusap air mata mereka dengan tangan dan harta kita serta memasukkan perasaan gembira ke dalam hati mereka.

Ketahuilah, bahawa jika kita mendapat taufik untuk melaksanakan itu, maka kita benar-benar manusia yang beruntung. Yang berhak mendapat gelar “Seorang yang Berbudi”.


KEPADA KITA YANG INGIN MENEMANI NABI DI SYURGA

Saudara muslimku ! Masuk syurga adalah kejayaan paling tinggi yang diraih oleh orang-orang yang beriman. Bagaimana pula dengan menemani Rasulullah saw di dalamnya? Itu adalah darjat yang akan diraih oleh orang-orang yang menyantuni anak yatim.

Rasulullah saw bersabda, “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di Syurga seperti ini”, Kemudian Baginda saw memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya. (Bukhari)

Imam Ibnu Bathol ra berkata, “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia dapat menjadi sahabat Baginda saw di syurga. Di Akhirat, tidak ada kedudukan yang lebih utama dari itu." 

Al-Hafiz Ibnu Hajar ra berkata, “Isyarat ini cukup untuk menegaskan kedekatan kedudukan pemberi santunan kepada anak yatim dan kedudukan Nabi saw, kerana tidak ada jari yang memisahkan jari telunjuk dengan jari tengah.”

Saudara Muslimku ! Tahukah kita, apa hasil yang akan diperolehi dengan menyantuni dan mengasihi anak yatim, apa sikap kita saudaraku, terhadap kebaikan ini ?

Jika kita termasuk orang-orang yang mampu, apakah kita pernah berfikir untuk menyantuni seorang anak yatim, sehingga kita menjadi sahabat Baginda saw di syurga? Untuk menyantuni anak yatim, kita tidak perlu memiliki kekayaan yang melimpah. Melainkan, siapa yang memelihara seorang anak yatim, memberinya makan dengan makanan yang sehari-hari kita makan, memberinya minum dengan minuman yang biasa kita minum, maka, insya Allah, kita akan memperolehi kedudukan tersebut.

Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang mengikutsertakan seorang anak yatim di antara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya, maka ia pasti masuk syurga.” (Abu Ya'la dan Thabrani, Shahih At Targhib, Al-Albaniy)

Wahai diri yang ingin memperolehi apa yang bermanfaat bagi dirinya, jika kita mendapat kesempatan untuk berbuat baik terhadap anak yatim, jangan sekali-kali kita sia–siakan. Jika kita tidak menyukai hal itu dan menyia-nyiakannya, maka fikirkanlah pahala bagi orang yang menyantuni anak yatim. Tidakkah kita ingin menjadi sahabat Baginda saw di syurga nanti ?!.

MULIAKANLAH ANAK YATIM, NESCAYA HATI KITA MENJADI LEMBUT DAN KEPERLUAN KITA DIPENUHI

Saudara Muslimku ! Jika kita mengeluhkan kerana hati kita yang keras, maka berbuat baik terhadap anak yatim merupakan kaedah yang dapat menjadikan hati kita lembut serta lunak. Ia adalah ubat diwasiatkan oleh Rasulullah saw yang telah diutus dengan membawa petunjuk dan kebenaran.

Diriwayatkan oleh Abu Darda’ ra yang berkata, “Ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi saw mengeluhkan kekerasan hatinya. Nabi saw pun bertanya, “ Sukakah kamu, jika hatimu menjadi lunak dan keperluan mu dipenuhi? Kasihilah anak yatim, usaplah mukanya, dan berilah makan dari makananmu, nescaya hatimu menjadi lunak dan keperluan mu akan dicukupkan.” “ (Thabrani, Targhib, Al Albaniy)

Saudara Muslimku ! Sesungguhnya, mengasihi anak yatim merupakan cara untuk melunakkan hati dan mengupayakan terpenuhnya keperluan kita. Sebab, orang yang mengasihi anak yatim telah meletakkan dirinya seperti ayahnya. Seorang ayah, secara nalurinya memiliki watak sayang dan mengasihi anak-anaknya. Adapun orang yang mengasihi anak yatim memiki satu sifat lain, iaitu mengasihi anak yang bukan anak kandungnya.

Barangsiapa keadaannya seperti itu, maka dihatinya terhimpun cahaya yang dapat melembutkan hatinya, sekalipun sebelumnya ia memiliki hati yang keras.

Tidak diragukan lagi, ini merupakan ubat yang mujarab. Kita tidak akan pernah mendapati orang yang menyantuni anak yatim, kecuali pasti memiliki hati yang pengasih.

Kebalikan dari ini, kita tidak akan menjumpai seorang pun yang tidak mengasihi anak yatim, kecuali ia memiliki hati yang keras dan berakhlak buruk.

Manfaat lain dari tindakan mengasihi anak yatim yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah saw kepada seorang yang bertanya kepada Baginda saw adalah, “Bahawa meyantuni anak yatim merupakan cara dicukupkan keperluan dan terwujudnya apa yang dicari”

Sesungguhnya, orang yang berbuat kebaikan kepada anak orang lain adalah orang yang telah memasukkan rasa gembira di hati mereka. Tidak diragukan lagi, Allah pasti tidak akan menyia-nyiakannya, kerana Allah swt Maha Pengasih dan Mencintai semua orang yang pengasih.

Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang yang pengasih, akan dikasihi oleh Ar Rahman (yang Maha Pengasih). Kasihilah siapa yang ada di bumi, nescaya engkau dikasihi oleh yang di langit.” ( Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain )

Saudara Muslimku ! Kasihilah anak yatim, nescaya Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat kita.


BAGAIMANA CARA BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM

Saudara Muslimku ! Berbuat baik kepada anak yatim, dapat dilakukan dengan beberapa cara:
a. Memberi mereka makan dan pakaian serta menanggung keperluan asasnya.

b. Mengusap kepalanya serta menunjukkan kasih sayang kepadanya. Tindakan ini akan mempunyai pengaruh besar terhadap kejiwaan anak yatim. Ibnu Umar ra jika melihat anak yatim, beliau mengusap kepalanya dan memberinya sesuatu.

c. Membiayai persekolahan mereka, sebagaimana seseoang  ingin menyekolahkan anaknya.

d. Mendidiknya dengan ikhlas, sebagaimana keikhlasanya dalam mendidik anak kandungnya sendiri.

e. Jika ia melakukan perbuatan yang mengharuskan di beri hukuman, maka bersikap lemah-lembut dalam mendidiknya.

f. Bertakwa kepada Allah dalam menjaga harta anak yatim, jika anak yatim itu mempunyai harta kekayaan. Jangan sampai hartanya di habiskan kerana menginginkan agar anak yatim itu kelak tidak meminta hartanya kembali. Sebaliknya, hartanya harus di jaga, sehinga ketika ia telah dewasa, harta tersebut dikembalikan kepadanya.

g. Mengembangkan harta anak yatim dan bersikap ikhlas di dalamnya, sehingga hartanya tidak habis dan boleh pula dizakatkan.

Saudara Muslimku ! Inilah beberapa gambaran tentang cara berbuat baik kepada anak yatim. Berbuat baik kepada anak yatim tidak hanya diperintahkan kepada orang-orang tertentu, akan tetapi setiap muslim diperintahkan untuk itu sebagaimana ia diperintahkan untuk melaksanakan semua amal yang baik dan soleh.

Jika Allah swt mengetahui ketulusan niat seorang hamba, nescaya Dia akan membantunya dalam melaksanakan perbuatan baik. Maka,hendaklah kita berkeinginan kuat untuk melasanakan amal-amal soleh, walaupun baru sekadar berniat di hati sampai suatu saat, Allah memberikan kesempatan kepada kita untuk melakukan amal soleh.

Sungguh, tidak ada orang yang lebih lemah daripada orang yang tidak mampu menyelinapkan niat di hatinya untuk melasanakan amal-amal soleh.


KEPADA SETIAP MUSLIM

Saudara Muslimku ! Berbuatlah baik kepada anak yatim, selain merupakan akhlak yang mulia yang diserukan oleh Islam, ia juga hanya dilaksanakan oleh orang-orang yang berhati penyayang dan berjiwa bersih.

Masyarakat muslim, adalah masyarakat yang diikat oleh ajaran-ajaran mulia yang diserukan oleh Islam

Ia adalah masyarakat yang telah digambarkan oleh Rasulullah saw dalam gambaran yang indah, ketika Baginda saw bersabda, “Engkau melihat orang-orang beriman itu dalam hal kasih sayang dan saling mencintai di antara mereka, adalah seperti satu tubuh, jika ada satu bahagian yang mengeluh (sakit), maka seluruh tubuh akan merasakan sakit dengan tidak tidur dan resah.” (Bukhari dan Muslim)

Gambaran ini memberitahukan kepada kita bagaimana sepatutnya keadaan dalam masyarakat muslim itu.

Anak yatim adalah sebahagian dari masyarakat muslim. Ia berhak terhadap apa yang menjadikan hak anggota masyarakat muslim lainnya, dan berkewajipan sebagaimana kewajipan anggota masyarakat muslim lainnya. Seluruh kaum muslimin wajib berbuat baik kepada anak yatim, menyantuninya, dan menggantikan kasih sayang ayahnya, serta memberikan kepadanya apa yang biasa mereka berikan kepada anak-anak dan isteri mereka.

Saudara Muslimku ! Tidaklah sukar bagi kita untuk mengambil seorang anak yatim, memberi makanan seperti yang biasa kita makan sehari-hari, memberi pakaian seperti pakaian yang biasa kita pakai, dan menjadikannya sebagai salah seorang anak kita.

Hendaklah, perbuatan baik kita ini didasarkan pada niat tulus untuk mencari redha Allah swt. Dengan harapan, kita dapat menjadi salah seorang dari mereka yang digambarkan oleh Allah swt dalam firman-Nya, “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Robb kami pada suatu hari yang (dihari) orang-orang bermuka masam penuh kesakitan. Maka Allah memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.” ( QS Al-Insan : 8-12)

Semoga Allah memberikan taufik kepada kita saudara muslimku, untuk melakukan amal-amal soleh. Semoga Allah menolong kita semua untuk tetap melaksanakan amal-amal soleh itu sampai tiba saat kematian.

Segala puji bagi Allah swt, selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada nabi kita, Muhammad saw, juga kepada segenap keluarga dan sahabat serta pengikut Baginda saw yang setia hingga Hari Kiamat.

 Jagalah Hati…

Wassalam.

Khamis, 23 Jun 2011

BERKORBAN PERASAAN JUGA SATU JIHAD...


Semua manusia pasti memiliki perasaan, hanya kadar tanggungannya berbeza-beza, ada yang kuat ada yang lemah. Perasaan adalah rasa-rasa yang terletak di hati nurani insan.Perasaan itu seperti rasa kasih, rasa cinta, rasa benci, rasa jijik, rasa simpati, rasa marah, rasa dendam, rasa rindu, rasa malu, rasa megah, rasa sombong, rasa takut, rasa serba salah, rasa kecewa, dan sebagainya.

Perasaan-perasaan ini yang merupakan fitrah manusia, tidak mudah untuk diasuh, dididik, didisiplinkan,dikendalikan dan diurus kerana ia ada yang positif, ada yang negatif. Yang positif hendak dilepaskan, yang negatif hendak ditahan.


Melepaskan yang positif adalah satu pengorbanan. Menahan yang negatif adalah juga satu pengorbanan. Mengorbankan perasaan dianggap satu jihad, yakni jihad batin. Bahkan lebih besar lagi daripada jihad-jihad yang lahiriah seperti mengorbankan tenaga, harta dan nyawa.


Jihad yang lahiriah tidak akan terwujud dengan tepat kalau tidak bersumber dan diawali dari jihad yang batin. Dari yang batin inilah mencetuskan yang lahiriah. Kalau yang batin tidak mampu dikorbankan, yang lahiriah sudah tentu tidak sanggup dikorbankan. Pengorbanan yang lahiriah adalah implimentasi dari pengorbanan yang batin.


Dengan kata lain, pengorbanan yang lahiriah itu adalah buah dari pengorbanan yang batin, iaitu pengorbanan perasaan. Perlu diingat, untuk mendapatkan keredhaan Allah swt, diperlukan pengorbanan. Tidak ada pengorbanan, tidak ada keredhaan. Tidak ada pengorbanan adalah sebenarnya sia-sia. Tidak ada pengorbanan adalah angan-angan. Tidak ada pengorbanan, tidak akan ada kejayaan di dunia dan Akhirat.


Mengorbankan perasaan, amat sukar dilakukan.Sungguh perit dan sakit. Sungguh tersiksa dan menyusahkan. Contohnya, kita kasih dan sayang pada pasangan kita. Kita suka dia tinggal di rumah saja untuk membelai kita. Apakah mudah kasih sayang itu kita korbankan untuk mengizinkan dia berjuang di luar rumah. Agar dia dapat menunaikan kewajiban kepada Allah di luar rumah walaupun mesti terpisah pada kita beberapa waktu.


Kita marah kepada seseorang. Dapatkah kita korbankan perasaan marah itu hingga kita sudi memberi maaf atau meminta maaf kepada orang itu. Sanggup memberi maaf atau meminta maaf ertinya kita sanggup mengorbankan perasaan ego atau sombong kita.


Kita sangat sayang dengan harta kita. Perasaan sayang dengan harta itu kita korbankan dengan cara harta kita itu kita infakkan di jalan Allah. Perasaan itu sudah tentu menyiksa kita.


Kita letih dan lesu setelah bekerja seharian. Perasaan kita ingin berehat. Ingin bersantai dan memanjakan badan. Tiba-tiba ada tetamu datang atau ada jiran yang memerlukan pertolongan kita. Sanggupkah kita mengorbankan perasaan dengan cara kita hormati tetamu atau kita pergi menolong tetangga kita yang memerlukan pertolongan kita itu?


Kita diuji dengan pelbagai ujian, miskin, kemalangan, bencana alam. Sudah tentulah hati kita susah. Begitulah perasaan kita di waktu itu. Kalau kita tidak dapat menahan atau mengorbankan perasaan kita, sudah tentu kita akan mengeluh, risau. Fikiran berserabut atau tidak menentu hingga memberi kesan di sudut kehidupan kita yang lain. Bahkan dapat menyusahkan orang lain. Sedangkan masalah tidak selesai juga. Malahan dapat menambahkan masalah.


Jika kita sanggup mengorbankan perasaan kita itu, timbul ketenangan. Fikiran kita stabil. Membuat kerja-kerja lain tidak terganggu. Orang lain pun tidak ikut mendapat kesusahan. Bahkan dengan pengorbanan perasaan kita itu datang simpati orang atau orang pun kasihan.


Kita orang kaya atau berilmu atau berpangkat besar dan berkuasa. Sudah tentu perasaan kita berbunga. Perasaan sombong pun datang. Perasaan megah pun ikut tiba. Kalau kita tidak korbankan perasaan yang telah disebutkan tadi, berapa banyak orang yang tersinggung? Berapa banyak orang yang dizalimi? Entah berapa banyak yang mendapat kesusahan. Sudah tentu timbul kesan sampingannya. Iaitu orang akan benci, masyarakat marah. Mungkin akan ada orang yang dendam dan bertindak kepada orang yang menyusahkan itu. Akhirnya kedua pihak tidak selamat. Kedua-dua pihak mendapat kesusahan.


Tapi kalau si kaya atau yang berilmu tadi atau yang berpangkat besar dan mempunyai kuasa sanggup mengorbankan perasaan yang negatif tadi, ia memberi kesan yang baik. Orang ramai akan menyayangi, masyarakat menghormati, orang memberi hati dan jiwa. Ertinya, sama-sama menerima faedah. Sama-sama mendapat kasih sayang, sama-sama harmoni. Itulah dia kelebihan mengorbankan perasaan.


Oleh kerana itu, mengorbankan perasaan adalah rahsia segala kebaikan. Dari mengorbankan perasaan itu, lahir kasih sayang, lahir kesabaran, lahir simpati, lahir pembelaan, lahir tolong-menolong, lahir ukhwah, lahir keredhaan. Maka kerana itu, mengorbankan perasaan adalah satu jihad. Kerana nafsu terpaksa dilawan. Melawan nafsu lebih besar daripada jihad di medan perang. Oleh itu mengorbankan perasaan amat perlu dilakukan.


Kalau perasaan tidak sanggup dikorbankan, sifat sabar tidak akan dapat dimiliki. Apatah lagi sifat redha. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, kita akan jadi pemarah. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, toleransi tidak akan terwujud. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, tolong-menolong, rasa simpati, ukhuwah, keharmonian,keamanan, kedamaian, semuanya tidak akan terwujud. Ringkasnya, mengorbankan perasaan itu sangat besar ertinya di dalam kehidupan masyarakat atau di dalam kehidupan manusia.


Oleh itu mari kita minta selalu kepada Allah hidayah dan taufik-Nya agar kita mampu mengorbankan perasaan, agar segala perkara lahiriah yang kita miliki dapat kita korbankan demi keredhaan Ilahi. Wallahu`alam.


Jagalah Hati…


Wassalam.

BIASA vs LUAR BIASA...



1. Sembahyang

Yang biasa

Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih Better late than never menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.

Luar biasa

Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 15 minit sebelum azan, dia telah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa .


2. Sedekah

Biasa

Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tidak di panggil siding media, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tidak mahu pahala sebab hanya sedeqkh yang ikhlas akan dibalas oleh Allah.

Luarbiasa

Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tidak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riya atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Allah.


3. Berjaga malam

Biasa

Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau melayan DVD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.

Luarbiasa

Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Allah, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita istiqamah beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.


4. Kerja

Biasa

Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tidak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu, kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tidak rasa apa yang berlaku adalah dengan kuasa Allah.

Luarbiasa

Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Allah. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Allah. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Ilahi sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Allah. Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.

Wallahu`alam



Jagalah Hati…

Wassalam.

Rabu, 22 Jun 2011

MERAJUK KE...?

Kenapa merajuk?


Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengendahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.


Siapa yang kena penyakit merajuk?


Penyakit merajuk ini boleh kena pada sesiapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.


Punca merajuk


Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, kita akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.


Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.


Apakah merajuk lebih baik dari marah?


Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di Akhirat kelak.


Bagaimana mengubati sikap merajuk?


Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Allah itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita, sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Ilahi ke atas diri kita. Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Allah memang hendakkan perkara itu berlaku.


Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Allah. Kita harus terima apa sahaja yang Allah timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengannya kita dapat bersabar. Allah akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula. Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Selasa, 21 Jun 2011

TANGISAN PERHIASAN HATI...


“Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Indahnya hidup dengan celupan iman. Saat itulah terasa bahawa dunia bukan segala-galanya. Ada yang jauh lebih besar dari yang ada di depan mata. Semuanya teramat kecil dibanding dengan balasan dan siksa Allah swt.

MENYEDARI BAHAWA DOSA DIRI KITA TIDAK AKAN DIPIKUL OLEH ORANG LAIN

Siapa pun kita, jangan pernah berfikir bahawa dosa-dosa yang telah dilakukan akan terpikul di pundak orang lain. Sama ada diri adalah orang kaya, pemimpin mahupun tokoh agama yang punya banyak pengikut. Semua kebaikan dan keburukan akan kembali ke pelakunya.

Maha Benar Allah dengan firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 164. “…Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Robb mulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.”

Lalu, pernahkah kita menghitung dosa yang telah kita lakukan. Seberapa banyak dan besar dosa-dosa itu. Mungkin, hitungannya tidak berbeza dengan jumlah nikmat Allah yang kita terima. Atau bahkan, jauh lebih banyak lagi.


Masihkah kita merasa aman dengan mutu diri seperti itu? Belumkah tersedar bahawa tidak seorang pun mampu menjamin bahawa esok kita belum berpisah dengan dunia? Belumkah tersedar tidak seorang pun yang mampu yakin bahawa esok ia masih boleh beramal? Belumkah tersedar kalau kelak masing-masing kita sibuk dipertanggungjawabkan apa yang telah kita lakukan…?


MENYEDARI BAHAWA DIRI KITA TERAMAT HINA DI HADAPAN ALLAH YANG MAHA AGUNG

Di antara keindahan iman adalah anugerah pemahaman bahawa kita begitu hina di hadapan Allah swt. Saat itulah, seorang hamba menemukan jati diri yang sebenarnya. Ia datang ke dunia ini tanpa membawa apa-apa. Dan akan kembali dengan selembar kain putih. Itu pun kerana jasa baik orang lain.

Apa yang kita dapatkan pun tidak lebih dari anugerah Allah yang tersalur melalui diri kita. Kita pandai kerana orang tua menyekolahkan kita. Seperti itulah sunnatullah yang menjadi kelaziman bagi setiap orang tua. Kekayaan yang kita perolehi mungkin berasal dari warisan orang tua atau kerana berkat persekitaran yang lagi-lagi Allah titipkan buat kita. Kita begitu faqir di hadapan Allah swt. Itulah yang Allah nyatakan dalam surah Faathir ayat 15 hingga 17, “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.”

MENYEDARI BAHAWA SYURGA TIDAK DAPAT DIMASUKI DENGAN AMAL YANG SEDIKIT

Mungkin kita pernah berangan-angan dalam fikiran kita bahawa sudah menjadi kemestian bagi Allah swt. akan memasukkan kita ke dalam syurga. Fikiran itu mengalir lantaran merasa diri telah begitu banyak beramal. Siang malam, tidak henti-hentinya kita menunaikan ibadah. “Pasti, pasti saya akan masuk syurga,” begitulah keyakinan diri itu muncul kerana melihat amal diri sudah lebih dari cukup.

Namun, ketika perbandingan nilai dilayangkan jauh ke generasi sahabat Rasul, kita akan melihat pemandangan lain. Bahawa, para generasi sekaliber sahabat pun tidak pernah merasa aman serta selamat kalau mereka pasti masuk syurga atau neraka. Dan seperti itulah dasar pijakan mereka.

Begitulah ketika turun perintah hijrah. Mereka melihat segala bayang-bayang suram soal sanak-saudara yang ditinggalkan, harta yang pasti akan dirampas, dengan satu harapan: Allah pasti akan memberikan balasan yang terbaik. Dan itu adalah pilihan yang tidak boleh disia-siakan.


Begitu juga ketika Allah mempertemukan mereka dengan pasukan yang tiga kali lebih banyak dalam daerah yang bernama Badar. Dan pertarungan serta pertaruhan saat itu bukan hal kecil, iaitu  nyawa. Lagi-lagi, semua itu mereka tempuhi demi menyongsong cita-cita besar, iaitu meraih syurga.

Begitulah Allah menggambarkan mereka dalam surah Al Baqarah ayat 214. “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

MENYEDARI BAHAWA AZAB ALLAH TERAMAT PEDIH

Apa yang boleh kita bayangkan ketika suatu ketika semua manusia berkumpul dalam tempat luas yang tidak seorang pun memiliki hak istimewa kecuali dengan izin Allah. Jangankan hak istimewa, pakaian pun tidak ada. Yang jelas dalam benak manusia saat itu cuma pada dua pilihan: syurga atau neraka. Di dua tempat itulah pilihan akhir nasib seorang anak manusia.

“Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (QS 80:34-37) Mulailah bayang-bayang pedihnya siksa neraka tergambar jelas. Kematian di dunia cuma sekali. Sementara, di neraka orang tidak pernah mati. Selamanya merasakan pedihnya siksa. Terus, dan selamanya.

Seperti apa siksa neraka, Rasulullah saw. pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan. “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahawa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Belum saatnyakah kita menangis di hadapan Allah? Atau jangan-jangan,hati kita sudah teramat keras untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah yang teramat jelas di hadapan kita. Imam Ghazali pernah memberi nasihat, jika seorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis kerana takut dengan kekuasaan Allah, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu…

Wallahu`alam.

Jagalah Hati... 

Isnin, 20 Jun 2011

KEBIJAKSANAAN ALLAH...


Orang yang tinggal di dalam masyarakat yang bodoh terus-menerus membuat perancangan masa depan dan berharap agar rencana-rencana itu berjalan sesuai dengan keinginannya. Akan tetapi,yang terjadi adalah sebaliknya. Penyakit yang tidak diharapkan datang atau kemalangan serius melemparkan hidupnya ke dalam kehancuran kerana kejadian-kejadian tersebut tidak termasuk dalam rencana masa depannya.

Saat menikmati kesihatan, ramai orang tidak pernah berfikir bahawa kesakitan akan menghuni tubuhnya juga, walau sering terjadi pada ribuan orang lain setiap harinya.

Itulah sebabnya,saat berhadapan dengan kejadian-kejadian yang tidak diharapkan, orang yang bodoh dengan segera menjadi kurang bersyukur terhadap Pencipta mereka. Mereka menolak kenyataan takdir seraya mengatakan, “Mengapa ini terjadi pada diriku?” Orang yang jauh dari akhlak Al-Quran cenderung enggan menyerahkan kepercayaan kepada Allah saat mereka sakit atau tertimpa kecelakaan, atau mencari kebaikan dalam peristiwa yang menimpa mereka.Beberapa orang yang tidak mengerti realiti takdir menganggap bahawa penyebab pernyakit hanyalah virus atau kuman.

Demikian pula saat kecelakaan lalu lintas, mereka menganggap pemandunyalah yang menyebabkan kecelakaan tersebut. Bagaimanapun,yang benar adalah sebaliknya. Setiap penyebab penyakit, seperti virus ataupun bakteria yang membahayakan manusia, semua itu sebenarnya adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah untuk tujuan-tujuan tertentu. Tidak ada satu pun dari mereka yang dibuat secara sia-sia. Mereka semua bertindak di bawah perintah Allah. Manusia mudah diserang virus kerana Allah menginginkannya demikian.

Jika seorang manusia menderita sakit kronik kerana serangan virus, hal itu terjadi dalam pengetahuan Allah. Jika sebuah kereta melanggar seseorang dan membuat orang tersebut cacat, kejadian ini juga merupakan peristiwa yang terjadi atas izin Allah. Tida kiralah dengan cara apa pun kita cuba untuk menghindari, kita tidak akan pernah dapat mengubah kejadian tersebut, malah bahagian terkecilnya sekalipun. Kita tidak dapat memindahkan bahagian terkecil dari gugusan takdir kita kerana takdir diciptakan dalam kesatuan. Bagi seseorang yang menyerahkan dirinya kepada Allah yang Maha Kuasa dan mereka yang percaya kepada kebijaksanaan dan kasih-Nya yang tidak terbatas, kecelakaan, penyakit, atau kesengsaraan, semuanya adalah cubaan sementara yang memimpin kepada kebahagiaan tertinggi.

Dalam situasi demikian, yang penting adalah kualiti moral yang baik, yang melekat dalam diri seseorang. Penyakit dan kecelakaan adalah peristiwa yang boleh dijadikan kesempatan bagi orang-orang beriman untuk menunjukkan kesabaran dan akhlak yang baik. Mereka mendekatkan diri kepada Allah. Di dalam Al-Quran, Allah berfirman tentang penyakit yang dihubungkan dengan pentingnya kesabaran melalui saat-saat demikian.

“Sesungguhnya kebajikan itu adalah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (QS 2: 177)

Seperti yang telah disebutkan di awal tadi, kenyataan bahawa di dalam ayat ini, penyakit juga termasuk dalam kesengsaraan kerana pertimbangan-pertimbangan tertentu. Seseorang yang dihadapkan pada dilema fizikal atau tertimpa kecelakaan, kita harus ingat bahawa semua itu adalah cubaan untuk kita walaupun kita tidak dapat segera menemui hikmah mengapa diri kita tertimpa musibah itu. Kita harus ingat bahawa hanya Allah jualah yang memberikan penyakit dan ubatnya. Ini sangat penting untuk memelihara sikap akhlak yang tepat. Mungkin kita harus melalui kesulitan sementara sebagai seorang hamba yang memiliki kepasrahan penuh kepada Robb-nya. Di Akhirat nanti, kita akan dibalas dengan kebahagiaan yang abadi, insya Allah.

Kita semua perlu ingat bahawa bagaimanapun juga, penting bagi kita untuk mengingat hal ini, juga untuk memelihara akhlak terpuji  di saat berhadapan dengan kejadian serupa. Hingga saat ini, kita perlu mengetahui bahawa semua penyakit diciptakan dengan maksud-maksud tertentu. Jika Allah menghendaki, seseorang mungkin tidak akan pernah sakit atau menderita. Akan tetapi, jika seseorang diberi ujian, ia harus sedar bahawa semua itu memiliki maksud. Semua itu membantunya untuk memahami kesementaraan dunia ini dan kekuasaan Allah yang luar biasa. Ketahuilah bahawa penderitaan berupa sakit yang diterima dengan ikhlas dan sabar merupakan rahmat dari Allah kerana dengan sebab penyakit itu Allah Azza wa Jalla menaikkan darjat kita serta menghapuskan dosa-dosa kita, insya Allah.

Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya, melainkan dihapuskan Allah Ta’ala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.” Dalam hadis lain, Baginda saw bersabda, “Tidak seorang jua pun orang muslim yang tertusuk duri atau lebih dari itu, melainkan dinaikkan Allah Ta’ala darjatnya satu tingkat, dan di hapus daripadanya satu kesalahan (dosa).” (Shahih Muslim)

Dari Abu Sa’id dan Abu Hurairah ra, keduanya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada suatu cubaan yang menimpa orang mukmin, seperti: sakit biasa, kesusahan, sakit serius, kesedihan dan kebimbangan, melainkan Allah Ta’ala menghapus dosa-dosanya kerananya.” Dalam hadis lain, Baginda saw bersabda: “Janganlah kamu menyalahkan penyakit, kerana penyakit itu dapat menghilangkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) anak Adam, seperti halnya dapur tukang besi membersihkan karat-karat pada besi.” (Shahih Muslim)

Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan ke hadrat Allah Azza wa Jalla. Selawat dan salam semoga tercurah kepada Junjungan kita, Nabi Muhammad saw.beserta keluarga dan sahabatnya.

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.