Popular Posts

Selasa, 22 Februari 2011

AKU INGIN MATI...


"Guru, saya sudah bosan dengan hidup ini. Sudah jemu betul rasanya. Rumah tangga saya berantakan, tidak lagi harmoni. Perniagaan saya pula semakin merosot . Apapun yang saya lakukan kelihatan hanya menghasilkan kekecewaan sahaja. Saya ingin mati."

Si Guru tersenyum, "Oh, kamu sakit."

"Tidak, saya tidak sakit. Saya sihat. Hanya sudah putus asa dan jenuh dengan kehidupan. Itu sebabnya saya ingin mati."

Seolah-olah tidak mendengar pembelaannya, Si Guru meneruskan, "Kamu sakit. Dan penyakitmu itu di panggil, 'Alahan Hidup'. Ya, kamu alergi terhadap kehidupan."

Banyak sekali di antara kita yang alergi terhadap kehidupan. Kemudian, tanpa disedari kita melakukan hal-hal yang bertentangan dengan norma kehidupan. Hidup ini terus berjalan. Sungai kehidupan terus juga mengalir, tetapi kita menginginkan status-quo. Kita berhenti di satu sudut dan kita tidak lagi ikut mengalir bersama aliran air. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit. Kita menahan diri untuk terus ikut mengalir bersama kehidupan. Itulah yang membuatkan diri kita sakit.

Selagi ia bernama usaha atau ikhtiar, pasti ada pasang-surutnya. Dalam hal berumah-tangga, turut dipengaruhi oleh masalah yang sama. Ia sebuah lumrah. Persahabatan pun tidak selalu berjalan lancar… tidak selamanya tenang. Mana ada yang berkeadaan statik dalam kehidupan ini. Adakah kita tidak menyedari sifat kehidupan memang sebegitu kejadiannya? Kita sentiasa ingin mempertahankan suatu keadaan. Tapi kemudian kita gagal, kecewa dan menderita.

"Penyakitmu itu boleh disembuhkan, asal saja kamu ingin sembuh dan bersedia menurut tunjuk ajarku." Demikian Si Guru memberikan saranan.

"Tidak Guru, tidak. Saya sudah betul-betul jemu. Tidak, saya tidak ingin hidup lagi." Lelaki itu menolak tawaran Si Guru.

"Jadi kamu tidak ingin sembuh. Kamu betul-betul ingin mati?"

"Ya, memang saya sudah bosan dengan hidup."

"Baiklah jika begitu keputusanmu. Petang esok kamu akan mati. Ambillah botol ubat ini. Setengah botol diminum malam ini, setengah botol lagi esok petang, pukul 6 dan tepat jam 8 malan nanti kamu akan mati dengan tenang."

Giliran si lelaki itu pula menjadi binggung. Setiap guru  yang dia datangi selama ini selalu berupaya untuk memberikannya kata-kata semangat untuk terus hidup. Yang satu ini aneh. Malahan, ia menawarkan racun pula. Tetapi, kerana dia memang sudah betul-betul jenuh, dia menerimanya dengan senang hati.

Sesampainya di rumah, dia terus menghabiskan setengah botol racun yang disebut "ubat" oleh gurunya itu. Dan, ia merasakan ketenangan sebagaimana tidak pernah ia rasakan sebelumnya. Begitu damai, begitu santai! Tinggal 1 malam, 1 hari lagi, dan ia akan mati. Ia akan dibebaskan dari segala macam masalah.

Malam itu, ia memutuskan untuk makan malam bersama keluarga di hotel 5 bintang. Sesuatu yang sudah tidak dilakukan selama beberapa tahun terakhir ini. Oleh kerana malam ini adalah malam terakhirnya, ia ingin meninggalkan kenangan manis buat ahli keluarganya. Sambil makan, ia bersenda gurau. Suasananya sangat santai.

Sebelum tidur, ia mencium kening isterinya dan membisik di cupingnya, "Sayang, aku mencintaimu." Hatinya berbisik, ‘Kerana malam itu adalah malam terakhir, aku ingin meninggalkan kenangan manis’.

Esoknya bangun tidur, ia membuka jendela kamar tidur dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya. Dan ia terasa ingin untuk melakukan jogging pagi itu. Pulang ke rumah setengah jam kemudian, ia melihat isterinya masih tidur. Tanpa mengejutkannya, ia masuk ke dapur dan membuat 2 cawan kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Hatinya berbisik, ‘Kerana pagi itu adalah pagi terakhir, ia ingin meninggalkan kenangan manis’.

Di pejabat, ia menyapa setiap orang, bersalaman dengan setiap orang. Pekerjanya pun menjadi binggung dengan tingkah laku majikan mereka, "Hari ini, perangai Boss kita aneh ya ?" Dan sikap mereka pun langsung berubah. Mereka pun menjadi ramah serta mesra. Hatinya terus berbisik, ‘Kerana siang itu adalah siang terakhir, ia ingin meninggalkan kenangan manis’.

Tiba-tiba, segala sesuatu di sekitarnya berubah. Ia menjadi ramah dan lebih toleransi, bahkan bersikap terbuka terhadap pendapat-pendapat yang berbeza. Tiba-tiba hidup menjadi indah. Ia mulai menikmatinya. Pulang ke rumah jam 5 petang, ia mendatangi isteri tercinta yang menunggunya di beranda depan. Kali ini si isteri pula yang memberikan ciuman kepadanya, "Sayang, sekali lagi abang ingin minta maaf, kalau selama ini abang selalu menyusahkanmu" Katanya.

Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, "Ayah, maafkan kami semua. Selama ini, ayah selalu tertekan kerana tingkahlaku kami."

Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalir kembali. Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Ia mengurungkan niatnya untuk bunuh diri. Tetapi bagaimana dengan setengah botol yang sudah ia minum, petang semalam?

Ia segera mengunjungi gurunya petang itu. Melihat wajah lelaki itu, rupanya Si Guru sudah mengetahui apa yang telah terjadi, "Buang saja botol itu. Isinya air biasa saja, kau sudah sembuh. Apabila kau hidup dalam masa ini apabila kau hidup dengan kesedaran bahawa maut dapat menjemputmu bila-bila masa saja, maka kau akan menikmati setiap detik kehidupan. Leburkan egomu, keangkuhanmu, kesombonganmu. Jadilah lembut, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan. Kau tidak akan jenuh, tidak akan bosan. Kau akan merasa hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan." Kata Si Guru.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih dan bersalam, malah memeluk erat Si Guru. Lalu ia pulang ke rumah, untuk mengulangi pengalaman malam sebelumnya.

Hingga kini, ia masih mengalir terus. Ia tidak pernah lupa hidup dalam masa ini dan belajar melepaskan beban di hati. Itulah sebabnya, ia selalu bahagia, selalu tenang, selalu hidup.

Hidup bukanlah merupakan suatu beban yang harus dipikul tapi merupakan suatu anugerah untuk dinikmati…..

Wassalam.

Isnin, 21 Februari 2011

MEMBUKA DUA TINGKAP DI DALAM HATI…


SAAT melakukan amalan muhasabah menilai amalan diri sendiri, perkara pertama  dan terpenting untuk disoal kepada diri ialah mengenai kesucian amalan. Apakah sudah hadir niat yang ikhlas pada setiap amal dikerjakan? Layakkah amal ibadat itu dipersembahkan kepada-Nya? Apakah sudah sempurna kefahaman mengenai ikhlas?


Ikhlas membawa maksud tidak mencampurkan amal dengan niat meminta pujian manusia atau melakukan amal kerana takut dicela orang, hendak mencari nama, darjat, penghormatan, kerana inginkan perhiasan dunia dan pangkat yang tinggi. Ramai orang yang beramal tersalah faham mengenai hakikat ikhlas. Mereka memilih untuk tidak beramal jika hati belum dapat membulatkan niat kerana Allah. Kata mereka yang jahil ini, "Buat apa beramal jika Allah akan tolak?"

Masalah utama yang akan muncul selepas timbul persoalan dangkal ini ialah orang ini sudah membuka ruang untuk syaitan duduk dalam hati dan meniupkan rasa was-was sehingga semua kebaikan tidak akan dibuat kerana takut tidak ikhlas.

Untuk menguatkan azam dalam beribadat, al-Fudhail bin Iyadh memberi petuanya: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak sedangkan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan kamu daripada kedua-duanya." Maknanya dibuat juga amalan itu sambil berjuang memantapkan niat semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya niat menjadi penyelamat terhadap rentetan amalan yang kita lakukan setiap hari.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (Surah Al-Furqan, ayat 23)

Apabila membaca wahyu ini, terasa hati kita begitu sedih memandangkan amal yang menjadi debu itu dan tiada nilainya di sisi Allah. Mungkinkah sembahyang, puasa, sedekah, zakat, haji atau keelokan budi pekerti yang kita tonjolkan terhadap sesama insan tidak bernilai di sisi Allah…?

Hakikatnya dalam beramal, seorang hamba dituntut untuk memenuhkan syarat tertentu. Syarat wajib dilakukan untuk mendapatkan darjat orang yang ikhlas di sisi Allah, iaitu.....


MEMBUKA DUA TINGKAP DI DALAM HATI…

Tingkap 'ikhlas' kerana Allah dan tingkap 'benar' caranya mengikut sunnah Rasulullah saw, bukannya amalan rekaan manusia atau amalan mengikut rasa hati sendiri.


Al-Fudhail bin Iyadh berkata lagi: "Sesungguhnya amal itu apabila dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar caranya, maka ia tertolak. Dan jika dilakukan secara benar tetapi tidak ikhlas ia tidak akan diterima juga. Kedua-duanya mesti ada iaitu ikhlas dan benar."


Tatacara ibadah yang benar mestilah seratus peratus ikut cara Baginda saw, bukan cara nenek moyang yang dipengaruhi budaya setempat, bukan cara syeikh yang suka menambah atau mengurang bahkan membuat sesuatu yang baru tidak pernah Rasulullah saw amalkan.


AMAL YANG BERKUALITI…

Amal yang berkualiti bukanlah sekadar menunaikan kewajipan, tetapi memberi pengaruh ke atas seluruh tubuh badan, jiwa dan raga. Amalan solat apabila dilakukan dengan berkualiti akan melahirkan sahsiah yang berdisiplin, rajin, jujur, amanah, dekat dengan Allah, jauh daripada maksiat, takut kepada akhirat dan berbekal untuk perjalanan ke alam barzakh.

Tetapi sembahyang yang hanya sekadar gerakan tanpa mempengaruhi apa pun yang berada dalam jiwa dan raga orang itu, maka solatnya mungkin berkualiti rendah. Jika pun berpahala hanya Allah saja yang berhak menilai.

Kualiti sesuatu amal berkait rapat dengan pengaruh ditimbulkan dalam keperibadian seseorang. Tidak hairanlah jika ada orang yang solat, tetapi merampas harta saudaranya, berpuasa tetapi bercakap dusta dan menunaikan haji pun suka mengamuk sakan. Semua itu membuktikan rendahnya kualiti ibadah yang mereka kerjakan.


BERAMAL KERANA MAHU BERBAKTI KEPADA ALLAH
Alangkah senangnya lidah melafazkan syukur kepada Allah, tetapi amalan dan perlakuan tidak menunjukkan sedemikian. Seorang hamba yang sudah melalui pelbagai rintangan untuk mendekati Allah, jiwanya terlalu sensitif apabila menerima kenikmatan ataupun dilanda musibah. Kedua -dua keadaan ini tidak mempengaruhi sedikit pun kualiti amalannya di sisi Allah.

Ketika senang atau susah hatinya tetap dekat kepada Allah. Semua yang berasal daripada Allah baginya hanyalah nikmat belaka. Maka hanya rasa syukurlah yang menghiasi lidah dan hatinya. Jika begitu, dia tidak akan mengendurkan langkah ke belakang ketika susah. Ibadah dilakukan diiringi dengan kegembiraan, redha dan syukur kepada Allah.

BERHATI-HATI DENGAN RASA PUAS DAN BANGGA
Amal boleh menyebabkan seseorang takbur dan sombong. Pandai menilai dan mengaibkan orang lain kerana kononnya ilmu dan amal yang dilakukannya lebih baik daripada orang lain. Selepas itu dia berasa berpuas hati dan tidak menemukan sebarang kecacatan dalam amalnya, berasa diri paling benar, paling tinggi imannya.

Maka lahirlah manusia yang terlalu yakin dengan kekuatan ilmu dan ibadatnya. Dia lupa siapakah sesungguhnya yang mencampakkan hidayah ke dalam hatinya, menggerakkan tubuh badannya untuk sujud, menuliskan catatan takdirnya hari ini, esok dan di penghujung hidupnya?

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Robb semesta alam." (Surah al-Takwir, ayat 29). Di sini kita boleh melihat belitan syaitan yang begitu halus merosakkan amal ibadat seorang hamba.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: "Jika tidaklah kerana kurniaan Allah, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nuur, ayat 21)

Orang yang sudah berpuas hati dengan amalannya akan dijangkiti penyakit malas untuk melakukan pembaikan. Ia berasa semua baik, jadi tidak perlu menambah ilmu dan amal. Lama-kelamaan dia pun terheret oleh arus semasa yang semakin mencabar. Amal dan ilmunya itu nyata tidak mencukupi untuk melawan kejahatan syaitan dan hawa nafsunya sendiri.

MENGHADIRKAN RASA TAKUT TIDAK DITERIMA AMAL

Ketika melakukan sesuatu kebaikan yang diniatkan kerana Allah, seseorang hendaklah mendampingi niat itu dengan rasa takut, sedih dan harap supaya Allah menerima amalannya.

Keempat-empat perasaan itu bagaikan cahaya yang menghiasi hatinya iaitu, ikhlas, takut, sedih dan harap kepada Allah. Allah berfirman yang maksudnya: "Dan orang yang memberikan apa yang sudah mereka berikan dengan hati takut, kerana (mereka mengetahui) mereka akan kembali kepada Robb mereka." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

Rasulullah saw bersabda mengenai ayat ini yang maksudnya: "Mereka ini adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah tetapi ia takut amalannya itu tidak diterima." (Hadis riwayat al-Tirmizi)


Untuk apa seseorang itu beramal? Tentu sahaja kerana dia beriman kepada Hari Kiamat dan pembalasan yang akan diberikan kepada seluruh makhluk. Demi mengingati hari pengauditan yang begitu ketat dan mahkamah Allah yang Maha Adil sewajarnya kita mengamati kembali bekalan apa yang sudah dipersiapkan untuk ke sana.

Wassalam


JAGALAH HATI.... 

Sabtu, 19 Februari 2011

INIKAH KEADILAN VERSI ALLAH...?


Ada sebuah pertanyaan yang baik ditanyakan oleh seorang rakan semalam.  Soalannya cukup ringkas dan sederhana, tetapi cukup sukar untuk dijawab, melainkan dengan izin Allah. Kurang lebih begini permasalahannya…


"Anggaplah ada seorang manusia yang hidup sebagai orang kafir selama enam puluh tahun di dunia. Lalu ia pulang ke akhirat dan dihukum ribuan tahun di neraka atau barangkali selamanya. Setiap harinya di neraka diwarnai dengan siksaan pedih yang tidak dapat dibayangkan. Inikah keadilan versi Allah? Maksiat enam puluh tahun dibalas dengan siksaan sedemikian rupa untuk jangka waktu yang sangat panjang. Lalu di mana bukti ke-Maha Adil-an Allah?"


Ada beberapa jawapan yang Allah swt ilhamkan untuk saya kongsikan bersama. Ia mungkin bukanlah jawapan yang terbaik, tetapi hanya itulah upaya saya…



YANG MEMBERI SEGALANYA LAYAK MENERIMA SEGALANYA

Perlu disedari sebuah hakikat bahawa betapa besarnya kesalahan seorang manusia yang kufur kepada Allah. Tidak menghargai pemberian orang lain itu kurang adab, tetapi mereka yang tidak menghargai pemberian Allah bolehlah dianggap kurang ajar. Sebagai contoh, saya memberikan saudara sebatang pen, maka pemberian saya hanyalah sekadar sebatang pen sahaja. Tetapi Allah memberi bukan saja pen, tetapi disertakan bersama dengan memberi akal yang mampu memahami cara menggunakan pen, memberi wang untuk membeli pen, memberi tangan untuk menggunakan pen, memberi mata untuk melihat hasil penggunaan pen (iaitu tulisan), memberikan kepuasan hati pada mereka yang membaca tulisannya, dan sebagainya. Segala yang ada dalam diri kita adalah pemberian Allah yang hakikatnya adalah anugerah, bukan perniagaan timbal balas.


Saya memberikan pen barangkali kerana saudara sudah memberi sejumlah wang kepada saya, atau memberikan barang lain sebagai pertukaran untuk pen tersebut. Mungkin juga, saudara pernah menolong saya di masa lampau sehingga saya merasa perlu membayar hutang budi dengan memberikan pen ketika saudara memerlukannya. Tetapi kenapa kita berniaga dengan Allah Yang Maha Tidak Memerlukan? Kitalah yang perlu sepenuhnya kepada Allah, bukan sebaliknya.


Oleh kerana segala yang kita miliki ini adalah pemberian mutlak dari Allah, saya rasa amat layak jika Dia memperolehi segalanya dari kita. Bukan bererti Dia memerlukan ketaatan dari kita, tetapi hanya  inilah sikap yang layak untuk diberikan kepada Dia Yang Maha Memberi. Maka, dosa kufur adalah dosa yang amat berat dan memang layak dihukum dengan teramat berat.



PERSETUJUAN AWAL

Mencuri pakaian di pasaraya hanya kes yang sangat kecil, tetapi mengapa dibalas dengan hukuman penjara yang lama? Alasannya adalah kerana ada sebuah persetujuan awal di antara para penggubal undang-undang dan masyarakat untuk memberikan hukuman seperti itu untuk tindakan tidak bermoral, walau hanya kes kecurian kecil. Sedikit berbeza dengan hukum Allah, kerana Allah tidak bersekutu, bersepakat atau berkompromi dengan siapa pun ketika menyusun hukum-hukum-Nya. Dan memang Allah tidak perlu bertolak ansur, apatah lagi telah di lantik para Rasul-Nya sebagai pemberi peringatan yang jelas.


Kita seharusnya bersyukur Allah masih sudi memberikan serangkaian peringatan sebelumnya. Kalau tiba-tiba Allah menjatuhkan hukuman tanpa diberi peringatan terlebih dahulu, siapa yang layak menyoal-Nya? Siapa yang merasa berhak untuk memprotes? Kerana Allah Maha Penyayang, maka Dia memberikan peringatan melalui Al Quran tentang siksaan-siksaan yang akan diterima jika kita kufur. Apa salahnya?



SEMUA PERINGATAN AWAL TELAH DIBERIKAN DENGAN JELAS

Yang benar itu sudah jelas benar dan yang salah sudah jelas salah, kecuali di mata mereka yang dikuasai oleh hawa nafsunya sendiri. Perincian sudah jelas di dalam Al-Quran dan Hadis. Akal juga sudah diberikan dengan potensi yang sangat luar biasa untuk membuat penilaian segala tindakan. Pancaindera juga sudah diberikan dengan sempurna. Lalu mahu apa lagi? Kalau sudah melihat lampu lalu lintas menyalakan warna merah, namun tetap melanggarnya, apakah wajar membela diri dengan segala alasan? Jika semua tanda dan peringatan sudah ditunjukkan dengan jelas, tentu tidak ada alasan lagi bagi para pelanggar peraturan.



KEBAIKAN JAUH LEBIH MUDAH

Sebenarnya berbuat baik itu lebih mudah. Jika sudah dipasang niat tulus, lalu berusaha dengan penuh komited, namun akhirnya gagal, tetap juga diberikan pahala. Sebaliknya, kalau terlanjur membuat dosa, menghapusnya juga tidaklah sukar. Kalau bersalah kepada sesama insan, kita cuma berusaha untuk memohon kemaafannya saja. Malahan dosa kepada Allah lebih ringan usaha untuk memohon pengampunan kerana Allah Maha Penyayang. Yang penting, bertaubat dengan sebenar-benarnya,insya Allah semua masalah dapat diselesaikan. Tambahan pula, kebaikan itu sesuai dengan fitrah manusia. Manusia yang membuat dosa sebenarnya sedang melawan fitrah dirinya terlebih dahulu.


Bukankah kebaikan itu mudah? Malahan, kasih sayang Allah membuat timbangan amal kita lebih berat daripada dosa-dosa kita. Jika memang masih lebih berat dosanya, apa lagi jika kufur terhadap Allah, maka wajar bagi Allah menimpakan siksaan yang amat berat padanya.



LOGIK MATEMATIK

Akhirnya, kalau mahu dihitung secara matematik, maka buatlah kiraan dengan jujur. Kesalahan paling dasar yang dilakukan oleh rakan tadi adalah ia hanya menghitung kejahatannya secara peribadi saja, tanpa memperhitungkan kerugian dari orang-orang yang menerima akibat dari perbuatannya. Seorang pencuri tidak dihukum kerana perbuatan mencuri saja, melainkan juga kerana ada yang telah dizalimi olehnya, dan tahap hukuman dia atas pencabulan undang-undang juga berbeza-beza, bergantung kepada jenis barang yang dicuri. Jika tidak demikian, maka pencuri pasti kereta BMW sama saja hukumannya dengan pencuri pakaian di pasaraya.


Sekarang kita kembali pada isu asalnya… Hidup enam puluh tahun dalam kekafiran, mungkinkah ia tidak membawa pengaruh pada kehidupan orang lain? Bahkan kekufuran yang paling pasif sekalipun akan menumbuhsuburkan kekufuran di sekitarnya. Orang yang mendiamkan kejahatan hampir sama saja buruknya dengan para pelaku kejahatan itu sendiri. Lebih parah lagi jika ia turut aktif dalam menyebarkan pegangan, mahupun fahaman kekufurannya. 


Sekarang anggaplah seumur hidupnya ia telah mempengaruhi hidup 50 orang untuk hidup dalam kekufuran. Jangka hayat 50 orang itu pula secara purata hingga berusia 50 tahun. Lalu 50 orang itu masing-masing mempengaruhi 50 orang lainnya untuk hidup dalam kekufuran pula. Jika perhitungan ini diteruskan, berapa besarkah dosa si kufur yang pertama? Sekali lagi dinyatakan, jika hendak mengambil kira secara logik matematik, bukankah balasan Allah itu adil dan teliti! Keengganan kita untuk bersikap adil menjauhkan kita dari pemahaman terhadap hukum Allah Yang Maha Adil.


Allah memang Maha Teliti, sedangkan manusia adalah tempatnya lupa...wallahu`alam.


Moga bermanfaat untuk perkongsian bersama saudara seakidah.



Wassalam.



Jagalah Hati…

Jumaat, 18 Februari 2011

HAMBA YANG MENCARI BAHAGIA....


Mati itu akan datang secara tiba – tiba, tanpa mengira sama ada si hamba yang didatangi itu berada dalam apa jua keadaannya, sama ada berada dalam ketaatan dan ingat jalan pulang atau lupa lalai penuh kealpaan. Kematian yang pasti datang menemui kita, mestilah kita sambut dengan penuh kehormatan, kerana utusan Allah yang diperintahkan untuk mengambil nyawa kita itu adalah malaikat yang dimuliakan Allah. Janganlah kita menghina utusan Allah tersebut dengan mempersembahkan kebencian kita untuk bertemu dengan Pencipta kita.

Kebencian ini timbul kerana kita merasakan kekurangan bekal untuk perjalanan tersebut. Puncanya, kerana hati kita masih bertaut dengan dunia – dunia yang fana, kerana kasih kita akan makhluk yang mengatasi kasihkan Pencipta. Di situlah timbul kebencian kita untuk menerima utusan kematian apabila ajal menjelang tiba. Kita tidak suka untuk menemui Allah, sedangkan kematian adalah tuhfatul mu’min (hadiah yang dianugerahkan kepada orang beriman), hadiah pertamanya adalah menemui Pencipta, Allah swt, menemui kekasih-Nya, Junjungan Nabi saw, belayar ke negeri abadi yang penuh kenikmatan sejati dan keluar dari negeri fana yang penuh ranjau duri pancaroba.

Tapi malangnya, kita tidak bersedia, kita sibuk dengan kenikmatan duniawi yang fana dengan menggadaikan kenikmatan abadi. Aduhhhhhhhhhhhhhhh bagaimana hendak kita kembali kepada-Nya. Kembali kita membawa apa???? Kubur itu tempat menghimpunkan segala amalan kita; yang baik dibalas baik, yang buruk, buruk juga balasannya. Dan itu hanyalah permulaan …… Allahu Allah. Hamba yang dapat kebebasan, berbahagia sepanjang masa, yang terbelenggu pasti menderita.

Oleh itu, wahai diri janganlah kita alpa akan negeri kembali. Dunia yang kita anggap luas dan indah ini, jangan sampai melalaikan kita kepada keindahan negeri yang abadi. Gunakanlah dunia yang sebentar ini untuk meraih kenikmatan yang hakiki. Itu tanda kebijaksanaan, bijak sana dan bukannya bijak sini. Sana itu abadi, manakala sini pasti akan sirna suatu hari nanti. Bersedialah untuk kembali kepada-Nya. Apabila kita memasuki gerbang barzakh, yang akan dibawa adalah amalan kita untuk diperkira baik buruknya, maqbul mardudnya … Allahu … Allah.

Marilah kita renungi satu cerita yang dinukil oleh Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam syarah beliau bagi nazam ‘aqidatul ‘awwam bagi Sidi Ahmad al-Marzuqi rahimahullah dengan jodol “Nuruzh Zholaam”. Pada halaman 30 karya tersebut dinyatakan sebagai berikut:-

“…. Diceritakan bahawasanya ketika wafat Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti Muhammad saw, jenazah anakanda Baginda saw diusung ke tanah perkuburan oleh empat orang, iaitu Sayyidina Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari r.a.. Ketika jenazah Sayyidah Fatimah diletakkan di sisi kuburnya, maka berkatalah Sayyidina Abu Dzar: “Adakah engkau tahu siapa yang kami hantar kepadamu, inilah Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti Rasulullah saw, isteri Sayyidina Ali al-Murthada, bonda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain.” Lalu mereka mendengar satu seruan dari kubur tersebut berkata: “Bukanlah aku tempat (membangga-banggakan) kebangsawanan dan nasab keturunan. Bahawasanya aku tempatnya segala amal soleh, maka tiada yang selamat daripadaku (yakni dari azab kubur) melainkan orang yang banyak kebajikannya, sejahtera hatinya (yakni hatinya bersih dari segala penyakit hati), dan tulus amalannya.


Allahu … Allah, inilah jugalah pesanan Baginda Nabi saw kepada anakanda kesayangannya tatkala hayat mereka di dunia, iaitu jangan hanya bersandarkan kepada nasab keturunan tetapi beramallah. Ini tidaklah bererti menafikan keutamaan dan fadhilat berketurunan mulia seumpama Sayyidah Fatimah, tetapi ia adalah pengajaran agar jangan hanya mengandalkan kemuliaan keturunan dengan meninggalkan amal-amal soleh dan membersihkan jiwa dari segala mazmumah. Ia mendidik agar sentiasa menjejaki jalan para leluhur yang mulia agar keturunan mereka juga turut mulia sebagaimana leluhur mereka terdahulu. Sungguh pelik dan menghairankan, jika ada orang yang kemuliaan keturunan dan kebangsawanannya tidaklah melebihi atau setara dengan Sayyidah Fatimah az-Zahra`, tetapi hanya bergantung dan berbangga-bangga dengan kebangsawanannya. Bukalah mata, janganlah tertipu dengan nasab keturunan, dan apa yang penting jangan memalukan para leluhur yang mulia. Menapaklah atas tapak-tapak kesolehan mereka, agar kamu pun akan terpimpin sebagaimana mereka yang terdahulu terpimpin menuju keredhaan Allah swt dan menjadi penyejuk mata Baginda Nabi saw. Moga kubur kita nanti diluaskan Allah dan dijadikan-Nya satu taman dari taman-taman syurga … amin.

Jagalah Hati...

Khamis, 17 Februari 2011

25 DOA DARI AL QURAN...


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (QS 2:186)

  • Ya Robb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka (QS 2:201)

  • Ya Robb kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir. (QS 2:250)


  • Ya Robb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (QS 2:286)


  • Ya Robb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. (QS 2:286)


  • Ya Robb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (QS 2:286)


  • Ya Robb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia). (QS 3:8)


  • Ya Robb kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (QS 3:147)


  • Ya Robb kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun. (QS 3:192)


  • Ya Robb kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): “Berimanlah kamu kepada Robb mu”, maka kami pun beriman”. (QS 3:193)


  • Ya Robb, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti. (QS 3:193)


  • Ya Robb, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji. (QS 3:194)


  • Ya Robb, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang kerugian (QS 7:23)


  • Ya Robb, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang-orang yang zalim itu. (QS 7:47)


  • Ya Robb, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya. (QS 7:89)


  • Ya Robb, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (kepada-Mu). (QS 7:126)


  • Ya Robb, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang’zalim, dan selamatkanlah kami dengan rahmat Engkau dari (tipu daya) orang-orang yang kafir. (QS 10:85-86)


  • Ya Robb, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit. (QS 14:38)


  • Wahai Robb, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini). (QS 18:10)


  • Ya Robb, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. (QS 25:74)


  • Ya Robb, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala. (QS 40:7)


  • Ya Robb, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (QS 40:8)


  • Ya Robb, lenyapkanlah dari kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman. (QS 44:12)


  • Ya Robb, berilah ampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Robb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. (QS 59:10)


  • Ya Allah, hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali. (QS 60:4)


  • Ya Robb, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (QS 66:8)

Selasa, 15 Februari 2011

MENGHAYATI KEKUASAAN ALLAH SWT...


Seseorang hamba Allah swt yang menghayati bahawasanya, tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan Allah swt, pasti akan merasakan kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah swt. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah swt membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah swt dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang melainkan dengan bantuan Allah swt.

Allah swt yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan perbuatannya. Namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt kerana sifat keupayaan yang dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah swt itu sendiri.

Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang telah pun terlahir pada dirinya makna La Haula wa La Quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah). Ungkapan tauhid ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah swt dan rahsia ketinggian kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan.

Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada Allah swt lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah swt.

Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya, sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah swt jua yang Maha Pemberi Manfaat dan Maha Menolak Kemudaratan.

Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan perbuatan-perbuatan Allah swt (af’aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi’al), maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut, iaitu untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah swt yang Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam kepompong hukum sebab musabab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya tidak dapat menghayati konsep Qudrat (kekuasaan), Iradah dan ilmu Allah swt dalam kehidupannya.

Rasulullah saw menyebutkan kepada Syaidina Ibn Abbas ra bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk menegah apa yang dikehendaki oleh Allah swt ke atas seseorang itu, nescaya makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah swt kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar’biin oleh Imam An-Nawawi).

Rasulullah saw mengajar konsep sebenar kekuasaan Allah swt dan betapa lemahnya makhluk di hadapan kekuasaan Allah swt. Aqidah ini jika diterjemahkan dalam diri seseorang muslim, maka dia akan menghadapi kehidupan ini dengan penuh ketergantungan hati kepada Allah swt tanpa rasa kebimbangan terhadap masa hadapan dan sebagainya.

Apa yang dikerjakan adalah apa yang dituntut oleh Allah swt dan tidak perlu risau apa yang dijamin oleh Allah ke atas dirinya. Allah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Berhati-hatilah, janganlah seseorang itu, tatkala mengetahui bahawasanya hanya Allah swt yang Maha Berkuasa dalam kehidupan ini, maka dia pun meninggalkan “berusaha” dan beramal dalam kehidupan ini, kerana mendakwa bahawa apa yang ditentukan oleh Allah swt pasti datang walaupun tidak berusaha.

Ini suatu angan-angan yang dusta. Ia juga merupakan bahasa orang-orang yang leka dan tertipu dengan kemalasan diri semata-mata. Sesungguhnya Allah swt sentiasa menyuruh para hambaNya berusaha dalam rangka menunaikan tugas kehambaan diri kepada Allah swt. Oleh yang demikian, usaha yang kita lakukan, kita lakukan kerana ia adalah perintah Allah dan dilakukan sebagai ibadah, bukan kerana kita bergantung kepada usaha kita.

Kita tidak boleh mengabaikan sifat upaya dalam diri kita yang dianugerahkan oleh Allah swt untuk menjadi pemalas dengan tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan ini, kerana selaku hamba, kita perlulah mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt kepada kita sama ada ibadah tersebut adalah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya mahupun ibadah umum seperti mencari rezeki dan sebagainya.

Dalam pegangan ahlus-sunnah, mereka menetapkan konsep Al-Kasb iaitu usaha bagi hamba-hamba Allah yang faham akan hakikat kehambaan diri. Usaha adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah swt ke atas kita kerana Dia telah pun menganungerahkan akal dan keupayaan dalam diri kita untuk melakukan tugas-tugas kehambaan dalam kehidupan seharian.

Imam Abdullah As-Syarqowi berkata, “Adapun mazhab ahluL-sunnah bahawasanya perbuatan-perbuatan semuanya terbit dengan Qudrat Allah semata-mata. Namun dalam masa yang sama, masih menetapkan wujudnya qudrat bagi hamba walau pun mereka menafikan qudrat hamba memberi kesan. Bagi seorang hamba itu masih ada bahagian untuk memilih (kurniaan Allah) yang daripada itulah dihitung untuk diberi pahala atau disiksa”.

Imam Junaid Al-Baghdadi ra ketika diberitahu tentang golongan yang meninggalkan amal lalu menjawab: “Sesungguhnya golongan arifin itu mengambil amal daripada Allah (maksudnya: tidak meninggalkan amalan), dan kepadaNya jua mereka kembalikan amalan tersebut (dengan melakukan amalan keranaNya dan denganNya)…”

Wallahu a’lam…
JAGALAH HATI...