Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

PUASA SI MISKIN...

Antara pelajaran yang paling memberikan pengajaran padaku dalam meniti perjalanan hidup ini...

Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 

"Mana emak? " "Mak pergi menoreh," jawabnya. "Mana bapak?" "Bapak pergi kerja..." "Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan. 

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan. "Awak ada berapa orang adik-beradik? " "Sepuluh." "Adik ni yang ke berapa?" "Saya yang kelapan." "Mana abang-abang kamu pergi?" "Tolong emak menoreh." "Adik puasa hari ini?" "Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."Jawabnya. 

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu. Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?" "Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..". "Bapak kerja apa?" "Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk". 

Budak itu memberitahu, lebih baik bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. 

Aku berlalu dari situ dengan seribu satu keinsafan. Kebetulan disimpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. 

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. 

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. 

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: 

Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu. 

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah pakcik.." 

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? 

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. 

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat." Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?" "Cuma RM3.00 sehari." "Ayahnya bekerja macam mana" "Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari." 

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.. 

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? 

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalaupun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. 

Mudah-mudahan menjadi tauladan bagi kita dan hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada pada kita. Hidup kita susah hidup orang lebih lagi....  

BETAPA MISKINNYA KITA...

Suatu hari, ayah dari suatu keluarga yang sangat sejahtera membawa anaknya melawat ke sebuah negara yang sebahagian besar penduduknya hidup dari hasil pertanian, dengan niat untuk menunjukkan bagaimana kehidupan orang-orang yang miskin kepada anaknya.


Mereka menghabiskan waktu seharian di sebuah tanah pertanian milik keluarga yang kelihatan sangat miskin.


Apabila pulang dari perjalanan tersebut, sang ayah bertanya kepada anaknya.


"Bagaimana perjalanan tadi?""


Sungguh luar biasa, Pa.""


Kamu lihat kan bagaimana kehidupan mereka yang miskin?"tanya sang ayah.


"Iya, Pa," jawabnya."


Jadi, apa yang dapat kamu pelajari dari perjalanan ini?" tanya ayahnya lagi.


Si anak menjawab,"Saya melihat kenyataan bahawa kita mempunyai seekor haiwan peliharaan sedangkan mereka memiliki empat ekor.


Kita miliki sebuah kolam yang panjangnya hanya sampai ke tengah-tengah taman, sedangkan mereka memiliki sungai kecil yang tak terhingga panjangnya.


Kita memasang lampu taman yang dibeli dari luar negeri dan mereka memiliki bintang-bintang di langit untuk menerangi taman mereka.


Beranda rumah kita begitu lebar mencapai halaman depan dan milik mereka seluas horizon.


Kita tinggal dan hidup di tanah yang sempit sedangkan mereka mempunyai tanah sejauh mata memandang.


Kita memiliki pelayan yang melayani setiap keperluan kita tetapi mereka melayani diri mereka sendiri.


Kita membeli makanan yang akan kita makan,tetapi mereka menanam sendiri.


Kita mempunyai dinding indah yang melindungi diri kita dan mereka memiliki teman-teman untuk menjaga kehidupan mereka.


"Dengan cerita tersebut, sang ayah tidak dapat berkata apa-apa.


Kemudian si anak menambah,


"Terima kasih, Pa, akhirnya saya tahu betapa miskinnya diri kita."

KISAH PERANGKAP TIKUS...

Sepasang suami dan isteri petani pulang ke rumah setelah berbelanja di Pasar Tani. Ketika mereka sedang membuka beg plastik, seekor tikus memerhatikan gelagat sambil menggumam, "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar?" 

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus. Sang tikus jadi panik bukan kepalang. 

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, " Ada perangkap tikus di rumah....di rumah sekarang ada perangkap tikus...." 

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, " Ada perangkap tikus !" Sang Ayam berkata, " Tuan Tikus ! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku... 

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi. 

Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku." 

Tikus lalu menemui lembu. Ia mendapat jawapan sama. " Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Mustahil sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. " 

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang Ular berkata " Eleh engkau ni...perangkap tikus yang sekecil itu tak kan membahayakan aku."  

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. 

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. 

Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah. 

Walaupun si suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke hospital. 

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang ke rumah, tetapi masih demam. 

Isterinya meminta pada suami agar dibuatkan sup kaki ayam kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk di buat sup. 

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak juga sembuh. Seorang jiran mencadangkan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga si isteri tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. 

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. 

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, dan tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. 

Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah. 

Dari kejauhan...Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi. 

PENGAJARANNYA...
SUATU HARI, KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA... 

FIKIRKANLAH SEKALI LAGI.

INGATLAH...

Dari kejauhan,lampu lalulintas di satu persimpangan itu masih menyala hijau. Harun segera menekan pedal minyak kenderaannya. Dia tak mahu terlambat. Apalagi ia tahu penempatan di situ cukup padat sehingga lampu merah biasanya menyala cukup lama. Kebetulan jalan di depannya agak lenggang. Lampu berganti kuning. Hati Harun berdebar berharap semoga ia boleh melepasi lampu hijau itu dengan segera.

Tiga meter sebelum garis jalan, lampu merah menyala. Harun bimbang, haruskah ia berhenti atau terus saja.'Ah, aku tak sempat untuk memijakpedal break mendadak,' fikirnya sambil terus memandu laju.

Prit! Di seberang jalan seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun menepikan kenderaannya agak jauh sambil mengumpat dalam hati. Dari cermin pandang sisi ia melihat pegawai polis itu. Wajahnya tak terlalu asing baginya. 

Hey,itu kan Usof, teman sepermainannya semasa di sekolah menengah dahulu. Hati Harun agak lega. Ia melompat keluar sambil membuka kedua lengannya.

'Hai, Usof. Gembira sekali saya bertemu kau...' 

'Hai, Harun.' Tanpa senyum. 

'Aduh, saya ni sebenarnya nak cepat sangat nih.Saya memang agak terburu-buru. Isteri saya sedang menunggu di rumah.'

'Oh ye ke?' Nampaknya Usof agak ragu. 

' Ye la Sof, hari ini isteriku menyambut ulang tahun kelahiran. Dia dan anak-anak sudah menyiapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu '

'Saya faham. Tapi,sebenarnya kami sering memperhatikanmu melintasi lampu merah di persimpangan ini.'

'Ooo...' , sepertinya tidak sesuai dengan harapan. Harun mesti ganti strategi. 'Jadi, kau nak menyaman aku ker? Tapi sebenarnya tadi aku tidak melanggar lampu merah.

Sewaktu aku jalan lampu kuning masih menyala.' berdusta sedikit boleh melancarkan keadaan fikir Harun.

'Ok Harun. Sebenarnya saya melihat dengan jelas. Tolong keluarkan lesen dan kad pengenalan.'

Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu Usof menulis sesuatu di buku catatannya. Beberapa saat kemudian Usof mengetuk kaca keretanya. Harun memandang wajah Usof dengan penuh kecewa. Dibukanya kaca jendela itu sedikit.

'Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman.' 

Tanpa berkata-kata Usof terus kembali ke tempat dia bertugas Harun mengambil surat saman yang diselipkan Usof di sela-sela kaca kenderaan. Tapi,hei apa ini. Ternyata lesen memandu dan ic dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa ia tidak menyaman aku. Lalu nota ini apa? Semacam gurauan atau apa? Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Usof.

'Harun, Tahukah kau, bahawa aku dulu mempunyai seorang anak perempuan dan seorang isteri yang cantik. Sayang, mereka sudah meninggal dunia. Dilanggar pemandu yang tidak memperdulikan lampu merah di persimpangan ini. Pemandu itu dihukum penjara selama 3 bulan. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga anaknya lagi. Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi. Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar. 

Begitu juga kali ini, bila sahabatku sendiri memandu seperti pemandu itu. Maafkan aku Run. Doakan agar aku memperoleh ganti semuanya. Berhati-hatilah ketika memandu Run'- Usof

Harun terhenyak. Ia segera keluar dari kenderaan mencari Usof. Namun, Usof sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas. Sepanjang jalan pulang ia memandu perlahan dengan hati tak tentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan. 

Ingatlah...

Tak selamanya pengertian kita harus sama dengan pengertian orang lain...Boleh jadi suka kita tak lebih dari duka rakan kita. Hidup ini sangat berharga, jalanilah dengan penuh hati-hati, mengerti perasaan orang lain dan bertimbangrasa.

MEMAHAMI MAKNA "MANUSIA"...

Di dalam Al-Qur’an, Allah swt menamakan manusia dengan al insan, annas dan albasyar. Sebagai manusia, kita perlu memahami makna-makna tersebut agar dapat menangkap hakikatnya untuk selanjutnya menjalani kehidupan sebagai manusia sebagaimana yang Allah swt kehendaki, yakni mengabdi kepada-Nya. Allah swt berfirman: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi kepada-Ku” (QS.51:56).

Al insan
Menurut Dr. Quraish Shihab dalam buku tafsirnya, al insan di ambil dari akar kata yang bererti bergerak, lupa dan merasa bahagia atau senang. Ketiga makna ini menggambarkan sebahagian dari sifat atau ciri khas manusia. Ia bergerak bahkan seharusnya memiliki dinamisme; ia juga memiliki sifat lupa atau semestinya melupakan kesalahan-kesalahan orang lain dan ia pun merasa senang bila bertemu dengan jenisnya atau seyogianya selalu berusaha memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada diri dan makhluk-makhluk lainnya.

Penggunaan kata al insan untuk menyebut manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk Allah swt yang diberi beban tanggung jawab untuk mengabdi kepada-Nya dalam ruang lingkup yang seluas-luasnya sebagaimana dalam firman-Nya di atas. Manakala manusia tidak menggunakan waktu dalam kehidupannya untuk mengabdi kepada Allah swt, maka ia akan menjadi orang yang rugi dunia dan akhirat. Dalam kaitan ini Allah swt berfirman di QS.103:1-3 : ”Demi masa. Sesungguhnya manusia (al insaan) benar-benar dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”.

Oleh kerana itu, sebagai al insan, manusia seharusnya selalu waspada terhadap godaan-godaan syaitan kerana syaitan ingin menyesatkan manusia bukan secara fizik tapi manusia sebagai insan kerana Allah swt menggunakan kata insan ketika berfirman dalam QS. 17:53 “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: 'Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Namun, manusia yang disebut al insan juga bererti lupa, semestinya ia melupakan kesalahan-kesalahan orang lain terhadap dirinya sehingga ia menjadi pemaaf. Kenyataan yang terjadi banyak manusia yang menjadi lupa terhadap ketentuan-ketentuan Allah swt sehingga mengabaikan perintah-Nya. Untuk itu manusia harus selalu berzikir kepada Allah swt dalam segala keadaan.

Sekiranya manusia menyedari hakikat dirinya sebagai al insan yang bererti harus selalu membuat senang manusia dan mahkluk Allah lainnya, maka dalam hidupnya nescaya manusia akan selalu memberikan yang terbaik, melakukan kebaikan bahkan menjadi cermin dalam kebaikan dan kebenaran dan segala perbuatannya selalu memberikan manfaat kepada manusia lain dan lingkungannya, dan inilah manusia yang ideal.

Al basyar

Penggunaan kata al basyar untuk manusia lebih ditekankan kepada hal-hal yang bersifat jasmani dan naluri. Misalnya manusia itu boleh dilihat, disentuh, memerlukan makan, minum, berkembang biak dan lain-lain. Dalam kaitan ini Rasulullah saw sebagai al basyar sama seperti kita yang merasa lapar, haus, dan sebagainya. Allah swt berfirman : “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: 'Bahawa sesungguhnya Robb kamu itu adalah Robb yang Esa.' Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Robbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Robbnya.' (QS. 18:110)

Kerana jasmani manusia memiliki berbagai macam keperluan, maka sebagai al basyar manusia boleh memenuhi segala macam keperluannya dengan cara yang sesuai dengan ketentuan Allah swt. Manusia yang menghalalkan segala cara dalam memenuhi keinginannya, sama halnya seperti binatang bahkan lebih buruk lagi. “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.(QS. 7:179)

Kenyataan menunjukkan bahawa keinginan manusia yang bersifat jasmaniyah sangat besar bahkan boleh jadi sangat dominan. Kerana itu sebagai al basyar manusia harus mampu mengendalikan hawa nafsunya bukan membiarkan sebebas-bebasnya, juga bukan membunuhnya. Manusia yang mampu menggendalikan hawa nafsunya akan menjadi manusia yang bermartabat.

An nas

Di dalam al-Qur’an, Allah swt juga menyebutkan kata an nas untuk menyebut manusia. Secara harfiyah, an nas diambil dari kata nausu yang bererti gerak dan terambil dari kata unas yang bererti kelihatan. Demikian menurut Dr. Quraish Shihab. Dari makna ini kita boleh mengambil kesimpulan bahawa sebagai manusia, keberadaan kita di dunia ini harus kita tunjukkan atau kita tampakkan dengan gerakan kebaikan dan perbaikan. Secara fizikal, manusia akan menjadi sihat bila ia banyak bergerak. Pengabdian kepada Allah swt yang salah satunya adalah solat dan haji, dilakukan dengan banyak melakukan gerakan.

Sebagai makhluk yang harus bergerak, manusia harus saling mengenal antara satu dengan lainnya kerana manusia memang terdiri dari perbezaan jantina, suku, bangsa, bahasa, dan warna kulit. Namun setelah saling mengenal, manusia harus menyedari bahawa kemuliaan itu bukan terletak pada kebanggaan atas status bangsa, jantina, warna kulit dan lainnya, tapi Allah swt meletakkan kemuliaan mansuia itu pada takwanya. "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS.49:13). 

Wallahu a`lam.....

Jagalah hati.... 

DI MANAKAH ALLAH DALAM HATI KITA...?

Tanyalah diri kita sendiri, "DI MANA ALLAH DALAM HATI kita??" Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping dengan Nya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita? 

Kalau begitu,sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat pada Nya? 

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadap Nya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut: "Aku bersama hambaKu ketika dia mengingati Ku dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana Aku?"  

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah pada kita yang mampu bangun di tengah malam- Allah menyebut,"Adakah terdapat hamba Ku yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana Aku menerima taubatnya, yang memohon keampunan Ku, maka Aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka Aku berikan padanya?"  

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban kerana Nya untuk meninggikan syiar agama Nya walaupun pelbagai rintangan dan halangan. 

Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, terus bersyukur pada Nya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak, ibu bapa yang terlalu menyayangi kita walau saat kita tersungkur serta suami atau isteri yang mengasihi kita? 

Atau kita sekadar menerima nikmat Nya tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah. 

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari seakidahku! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak, pangkat dan jawatan..tapi apa yang paling penting..DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? 

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan kita ketika hendak bertemu dengan Allah pada Hari Pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini..sedangkan kita melakukan maksiat kepada Nya....wallahu`alam.

Jagalah hati.....

MENGENALI DIRI MELALUI DOA YANG DIPANJATKAN...

Sebaik-baik doa yang harus engkau panjatkan kepada Allah, adalah apa- apa yang Allah perintahkan kepadamu. (Ibnu Athaillah)

Saudaraku, nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sebenarnya jauh lebih besar daripada nikmat yang kita minta. Saat kita meminta rezeki, kita terlalai… padahal rezeki yang Allah curahkan kepada kita jauh lebih melimpah. Saat kita meminta kebaikan, padahal kebaikan yang Allah berikan jauh lebih banyak dari yang kita duga. Hanya kerana ilmu yang terbatas dan mata hati yang tertutup membuat kita jarang menyedari besarnya kurniaan tersebut.

Doa yang kita mohonkan kepada Allah terbahagi kepada tiga tingkatan. Tingkat pertama adalah doa meminta dunia. Inilah doa dengan tingkatan "terendah". Dalam doa ini, tidak ada yang kita minta selain dunia, termasuk minta harta berlimpah, minta kedudukan, minta untung dalam perniagaan atau pekerjaan, minta jodoh, dan sebagainya. Tidak salah kita berdoa seperti ini, bahkan dianjurkan dan bernilai pahala.

Tingkat kedua adalah doa minta pahala. Pada tingkatan kedua ini kita meminta agar Allah membalas semua kebaikan kita dengan balasan berlipat ganda. Puncaknya, kita meminta di masukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari neraka. Doa tingkatan kedua ini lebih bernuansa akhirat, dan nilainya lebih tinggi dari sekadar meminta dunia.

Tingkat tertinggi dari doa adalah meminta rahmat dan redha Allah. Inilah cita-cita tertinggi yang harus dimiliki seorang Muslim. Tentang hal ini, dalam kitab Hikam, Imam Ibnu Athoillah mengungkapkan bahawa "sebaik-baik doa yang harus engkau panjatkan kepada Allah, adalah apa-apa yang Allah perintahkan kepadamu."

Jadi, doa terbaik yang harus kita panjatkan kepada Allah adalah doa minta dikuatkan iman, doa minta diberi ketaatan pada semua perintah dan larangan, serta istiqamah dalam pengabdian. Rasulullah saw memberi contoh sebaik-baik doa, iaitu: Allahumma inni as'aluka ridhaaka wal jannah wa 'audzubika min sakhaathika wannaar. Ertinya, "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, redha Mu dan syurga; dan aku berlindung kepada Mu dari murka Mu dan api neraka".

Saat kita meminta redha Allah, maka saat itu kita telah meminta hal yang paling berharga dalam hidup. Sebab, tidak ada gunanya harta, pangkat, perniagaan, kecantikan, atau apa pun, bila Allah tidak redha kepada kita.


Bila Allah sudah redha, maka semuanya akan jadi mudah. Dunia, insya Allah akan kita dapatkan, dan akhirat pun akan kita peluk.

Oleh itu, daripada minta kecukupan, lebih baik kita minta tawakal; daripada minta nikmat, lebih baik kita minta syukur; daripada minta terlepas dari musibah, lebih baik minta sabar, dan seumpamanya. Hal ini bukan bererti kita tidak boleh berdoa. Silalah berdoa apa pun, selama tidak memohon kemaksiatan. Apa yang diungkapkan lebih menunjukkan skala keutamaan kita.


Utamakan keperluan, sisihkan keinginan….

Jagalah hati.

Wallahu`alam.