Popular Posts

Selasa, 6 Ogos 2013

1 SYAWAL...





di pagi yang hening
terdengar suara takbir
mendayu-dayu sarat dengan keinsafan
sarat dengan kerinduan



ku kuak jendela....
ku rasa angin pagi....
dinginnya....sedingin hati ini
ku layarkan pandanganku ku langit....
hari ini 1 SYAWAL



di pagi yang hening
ku rasa seperti pagi yang lain
tiada apa yang lain
udaranya masih sama



ku lihat di jendela..
ku terkenang seseorang...
ku tercari -cari wajahnya
dipelusuk rumah...
namun tiada ku jumpa...



derap langkah kakiku
melihat keluargaku
baru ku sedar
insan yang ku sayangi
tiada di sisi ku



pagi itu semua bergaya baju baru
namun hatiku masih sayu


mataku merenung ke pusara...
air mataku berhamburan
bagai tangisan tiada hujungnya
ku renung lagi



ku pejam mata
ku lihat pusara bonda
bonda yang amat ku cintai
ku lihat senyuman tulusnya
air mataku berderai lagi



hijab dunia tidak akan terbuka
apabila roh berpisah jasad
tiada mungkin bercantum kembali
tinggallah bonda di makam abadi



ku hadiahkannya Al-Fatihah
ku kalungkannya doa
ku siraminya air mawar...
mewangi seharum kasturi
walau hanya kemboja putih yang ada



bonda...
aidilfitri sekali lagi tanpa bonda
sekali lagi tanpa mengucup tangan bonda
memohon keampunan khilaf anakanda



bersemadilan bonda di sana
anakanda disini hanya mampu melihat bonda
hanya dalam mimpi
kerana itu sudah membahagiakan anakanda



bonda....jika dapat anakanda putar kembali masa
ingin anakanda kucupimu....pelukmu....ucapkan kata sayang
ucapkan kata maaf....
tapi itu cuma alam fantasi saja...kerana hakikatnya
ia tidak akan jadi realiti



bonda...
ingin anakanda selitkan rasa cinta...rindu pada bonda
ingin anakanda laungkan kalimah maaf pada bonda
ingin anakanda sujud di kaki bonda atas khilaf anakanda



bonda....
semoga kita berjumpa di padang masyar
semoga kita berkumpul semula
tika itu ingin anakanda peluk bonda...
dan tak ingin lepaskan



bonda...
anakanda akur janji Illahi
anakanda redha pada hakiki
anakanda pasrah apa yang terjadi



tinggallah bonda di alam barzakh sana
sementelah anakanda doakan kesejahteraan bonda
tinggalah bonda di sana..nescaya akan anakanda susuli bonda...
kerana anakanda rindu pada bonda...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 3 Ogos 2013

CINTA YANG PERGI...





Hati ini terasa sunyi tanpa nafas cintamu...



Hidup ini sepi tanpa senyuman darimu...



Diri ini senyap tanpa jiwa kasihmu...



Ruang hatiku gelap tanpa arah untuk melangkah...



Cinta, mengapa semua harus terjadi...???



Mengapa di saat terang dunia kalbuku, kau berlalu... kau tinggalkan sepenggal dusta dalam rasa...



Cinta... aku hanya mampu memeluk rasa, memeluk mimpi senja yang kelabu, meniti harapan fajar kelana...



Cinta... kau buat aku tidak yakin untuk melangkah...



Kau beri aku segenggam luka...



Mengapa cahaya pelangi menjadi api...



Selamat jalan cinta...



Selamat berbahagia di atas luka ku...



Biarkan kata merangkai hati serupa darah di balik tirai...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Khamis, 1 Ogos 2013

SEMALAM YANG GIRANG...





Baru semalam aku girang bersama kasih Mu...
Menganyam sejadah cinta,
Mengulit kembali tasbih pengharapan,
Membuang jauh-jauh palitan noda dan dosa,
Mencari sebuah nur kebahagiaan yang abadi,
Merawat hati yang tandus dan kelam,
Hanya untuk bersama Mu Ya Robb…



Namun hari-hari yang ku lalui...
Terasa semakin berat, semakin tandus,
Bila aku ingin mendekati Mu...



Mungkin inilah tarbiyah terhebat buatku,
Engkau mahu aku selalu tahu,
Bahawa Engkau menyayangi aku...



Dugaan inilah tarbiyah terindah buatku,
Aku tahu Engkau mahu aku lebih tabah,
Lebih matang dan lebih kuat,
Untuk mengharungi hari-hari yang mendatang…



Di Penghulu Segala Hari ini Ya Allah...
Aku mohon dekatkanlah hatiku pada Mu,
Temukanlah aku dengan insan-insan yang dekat dengan Mu
Supaya aku lebih tahu Engkau selalu ada untukku,
Aku ingin kembali pada Mu Ya Robb....



Amiin....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

SIAPAKAH BERLIAN DALAM HATIMU....?

 



Engkau adalah hidupku

Engkau adalah degup jantungku

Engkau adalah tarikan dan hembusan nafasku

Engkau adalah cinta dalam hidupku

Engkau adalah rahsia hidup...

yang hanya dapat dibuka dengan hati


Engkau adalah teman hidupku

Engkau adalah penolongku

Engkau adalah bentengku

Engkau adalah arah mata anginku

Engkau adalah pendengaranku

Engkau adalah penglihatanku

Engkau adalah ciuman yang ku hidu

Engkau adalah lisanku

Engkau adalah gerakan jiwa dan ragaku

Engkau adalah segalanya di atas segala bagiku




Hanya Engkau...

tempat aku bersandar



Engkau membawaku terbang...

menembusi batas hijaunya langit di balik jiwa dan raga



jangan tinggalkan aku sendiri

jangan pernah berpaling dariku

jangan pernah jauh dan...

jangan pernah menghindar dariku



saat itu Engkau berkata...

“Hambaku yang dikasihi...

Aku tidak akan pernah berpaling

Aku tidak akan pernah meninggalkanmu

selama kau tidak menggantikan Aku

dengan yang lainnya di alam semesta ini …



Dan...



menjadikan Aku satu-satunya berlian dalam hatimu...

Saat ini, selalu dan selamanya..."




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

PENAPIS CINTA...





Saudara semuslimku yang baik hatinya....



Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran...?



Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.



Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.



Apabila kisah cinta mula meleret dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajaran-Nya telah kamu ikuti?



Dan pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.



Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala diluar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.



Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.



Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.



Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah swt, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.



Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah swt...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

KISAH 3 SEKAWAN...





Di akhirat nanti, berlaku dialog di pintu syurga antara Malaikat Jibrail dengan Malaikat Ridhwan yang menjaga syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang lain.



Manusia yang berkenaan ialah pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur, dan seorang alim yang soleh.



Malaikat Ridhwan meminta pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.



Pejuang yang syahid itu dengan sikap kepahlawanan dan kesatria maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat oleh Jibrail.



JIBRAIL: Kamu pejuang yang mati syahid?



PEJUANG: Benar! Saya syahid kerana membela agama dalam suatu peperangan.



JIBRAIL: Syabas, beruntung kamu!



PEJUANG: Alhamdulillah, syukur.



JIBRAIL: Tetapi bagaimana kamu berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama?



PEJUANG: Mahu syahid. Jika menang, dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.



JIBRAIL: Bagaimana kamu tahu mati membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga…?



PEJUANG: Orang alim memberitahu aku.



JIBRAIL: Oh, orang alim beritahu.



PEJUANG: Begitulah. Saya amat yakin dengan apa yang dia beritahu.



JIBRAIL: Jika demikian, jagalah akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk syurga mendahului kamu.



Pejuang itu kelihatan malu. Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopannya mendahulukan dirinya daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.



Jibrail kemudiannya memanggil haji mabrur yang tidak cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.



JIBRAIL: Siapa kamu sehingga sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?



HAJI: Saya seorang haji mabrur. Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini balasnnya masuk syurga… Bukankah begitu?



JIBRAIL: Memang benar begitu. Tetapi daripada mana kamu dapat tahu?



HAJI: Guru saya, seorang alim yang salih.



JIBRAIL: Kalau begitu, jagalah kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.



Haji itu juga malu dan insaf, lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada orang lain yang lebih utama daripadanya.



Kemudian Jibrail memanggil orang kaya yang dermawan.



JIBRAIL: Kamu juga berebut-rebut mahu masuk syurga mendahului orang lain.



ORANG KAYA: Memang begitulah kerana syurga itu milik saya.



JIBRAIL: Mengapa kamu mendakwa demikian?



ORANG KAYA: Saya orang kaya dan berharta. Harta itu saya perolehi secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta. Kemudian harta itu saya belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik beradik, keluarga, waris jauh dan dekat dan orang yang memerlukannya. Saya bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.



JIBRAIL: Dari mana kamu tahu ini semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan syurga?



ORANG KAYA: Guru saya, orang alim.



JIBRAIL: Kalau begitu, orang alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai dermawan.



ORANG KAYA: Memang benar. Terima kasih saya kepada orang alim.



JIBRAIL: Jadi, mengapa kamu biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.



ORANG KAYA: Saya setuju begitu. Biarlah guru saya itu masuk dahulu.



JIBRAIL: Itulah yang sepatut-patutnya.



Orang kaya itu pun mengundurkan diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga. Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kemudian terus saja dia berucap:



“Maaf sahabat-sahabatku sekalian dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka. Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua.



“Saya juga tidak akan beroleh pahala yang terus menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar.



“Dan saya orang alim, dia pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain pembangunan. Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa, harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah.



“Oleh yang demikian, biarlah orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya tidak sehebat mereka.”



Akhirnya, Jibrail pun membuat keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.



Cerita-cerita sebeginilah yang selalu dibaca oleh ulama-ulama pondok dahulu kepada murid-muridnya dengan penuh penghayatan dan kasih sayang...




sesiapa yang membaca dan dapat memahaminya, akan terbentuklah dalam dirinya keperibadian yang mulia dan akhlak terpuji, kerana kandungannya mengarah kepada mensucikan diri, memahamkan dengan mudah gagasan kejadian alam ini dan dapat meyakini konsep ketuhanan secara lebih berkesan...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

ADAKAH HANYA AKU YANG KEHAIRANAN...





Aku hairan perihal orang yang diuji dengan kesakitan, bagaimana dia lupa mengucapkan, “... sesungguhnya aku telah ditimpa kesakitan, dan Engkau jua yang lebih mengasihani daripada kalangan yang mengasihani” ( QS 21:83)



sedangkan Allah swt berfirman, “Maka Kami telah perkenankan baginya, lalu Kami telah lepaskan apa-apa kesulitan yang menimpanya” (QS 21:84)



Aku hairan perihal orang yang diuji dengan tekanan, bagaimana dia lupa mengucapkan, “Sesungguhnya tiada Robb kecuali Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim” (QS 21:87)



sedangkan Allah swt berfirman, “Maka Kami telah perkenankan baginya, dan Kami telah melepaskannya daripada tekanan, sebagaimana Kami lepaskan orang-orang mukmin” (QS 21:88)



Aku hairan perihal orang yang takutkan sesuatu, bagaimana dia lupa mengucapkan, “Cukuplah Alllah bagi kami dan (Dia-lah) sebaik-baik Yang Menguruskan” (QS 3:173)



sedangkan Allah swt berfirman, Maka, mereka kembali bersama nikmat dan limpah (kurnia) daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh suatu kepayahan” ( QS 3:174)



Aku hairan perihal orang yang keluh resah di dalam hatinya pada suatu urusan, bagaimana dia lupa mengucapkan, “Dan, aku menyerahkan urusanku kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya” ( QS 40:44)



sedangkan Allah swt berfirman, "Maka, Allah melindunginya (daripada) kejahatan-kejahatan yang telah mereka rancangkan” (QS 40:45)



Aku hairan perihal orang yang Allah kurniakan kepadanya suatu nikmat lalu dia bimbang kehilangannya, bagaimana dia lupa mengucapkan, “Dan sepatutnya ketika kamu masuk (ke) kebunmu, kamu berkata, “Apa-apa yang Allah kehendaki! Tiadalah daya upaya kecuali dengan izin Allah" " ( QS 18:39)



sedangkan Allah berfirman, "Maka mudah-mudahan Robb-ku akan memberikan aku lebih baik daripada kebunmu” (QS 18:40)




Wallahu`alam



Jagalah Hati...