Popular Posts

Jumaat, 25 Januari 2013

KEHEBATAN SEORANG WANITA...



” kalau beginilah sakitnya melahirkan anak, cukuplah kali ini. Sayang tak perlu mengandung lagi sebab abang tak sanggup nak tengok..”

Salah satu dialog dalam sebuah kisah, yang saya sendiri lupa dari mana saya baca. Yang pasti, kisah itu pernah dibaca sewaktu saya masih bujang. Saya berfikir sendiri, sakit sangatkah proses kelahiran itu? Dan saya pasti, bukan saya seorang berfikir seperti itu.
Hari ini, selepas sembilan bulan.
Sedar tak sedar, kandungan isteri sudah berada di trimester terakhir, bahkan sudah berada dalam fatrah boleh bersalin bila-bila masa sahaja. Tarikh secara rasmi pula hanya berbaki dua hari. Dan saya, menjadi peneman setia kepada segala apa yang dilalui oleh isteri sepanjang tempoh mengandung. Sekaligus, saya mendapat jawapan kepada semua soalan saya ketika bujang.
Hakikatnya saya dan kaum saya sama sekali tidak akan mampu menyelami kesakitan tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lalu timbul satu lagi persoalan, mengapa Allah takdirkan mengandung itu hanya untuk perempuan?
Firman Allah ta’ala :
Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang bathil, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (An Nahl : 72)
Menjadi hikmah Allah, tidak ada lelaki yang boleh mengandung walau sehebat mana pun dia. Dan menjadi hikmah Allah juga, hanya wanita boleh mengandung walau selemah mana pun mereka. Tentunya, Allah lebih tahu, siapa yang lebih mampu untuk menanggung beban dan amanah tersebut.
Merenung kehebatan Allah ini, banyak iktibar yang boleh diambil.

KEKUATAN DAN KEINGINAN MENYUMBANG
Di hadapan mata saya, seorang wanita membuktikan hakikat tersebut. Ketabahan dan kesabarannya selama sembilan bulan, menyedarkan saya bahawa ‘kekuatan’ itu ukurannya bukan pada tenaga fizikal semata-mata. Tetapi kekuatan hati dan tekad dalam diri mereka.
Kaum wanita, adalah kaum yang cukup istimewa. Cara mereka berfikir dan bertindak, adakala jauh lebih baik dari lelaki. Hasil kerja mereka seringkali lebih kreatif dan teliti. Paling hebat, komitmen mereka terhadap cinta dan kasih sayang dalam kehidupan.
Akhir-akhir ini, saya sendiri tidak sanggup melihat kesakitan yang dialami tatkalacontraction menyerang. Belum lagi tentang sakit pinggang, sakit kaki dan sakit belakang, akibat membawa beban berkilo-kilo selama berbulan-bulan. Namun dia bukan seorang yang cepat mengalah dan memilih untuk berada di pembaringan. Kudratnya tetap dikerah meskipun ditegah. Keinginannya untuk menyumbang adakala membuatkan saya pasrah.

Lantas teringat perbualan dengan seorang teman tidak lama dahulu. Waktu itu saya bertanya perasaannya setelah bergelar bapa.
” Memang penat. Namun penat menguruskan si kecil jauh lebih ringan berbanding penat ‘menguruskan’ isteri..”
Di awalnya, saya tidak dapat menangkap maksud tersirat. Rupanya, sesetengah wanita berperang dengan tekanan tersendiri selepas bersalin, iaitu tekanan kerana tidak dapat menyumbang dan meringankan bebanan. Daripada menguruskan diri, menguruskan rumah dan menguruskan bayi, kesemuanya terbeban di atas bahu suami. Isteri di waktu itu tidak mampu melakukan kerja, perlu banyak berehat apatah lagi jika masih terkesan dengan rasa sakit.
Jika kurang ketahanan dan motivasi, isteri boleh mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangan, biarpun suaminya mampu melakukan semua pekerjaan. Situasi ini akan merumitkan keadaan jika ianya berlarutan.
Mengingatkan ini, saya beristighfar berkali-kali. Wanita itu, sudah sembilan bulan menanggung beban. Sudah berpuluh kali menahan kesakitan. Dan nantinya, bertarung dengan mati pula untuk proses kelahiran. Sedangkan saya sebagai lelaki, hanya mampu melihat dan memberi sokongan. Langsung tidak mampu merasai apa-apa kesakitan. Apakah setelah itu, di waktu tangisan si kecil sudah kedengaran, tubuh yang lemah itu juga hendak diletakkan beban?
Dia wanita yang kuat dan cekal. Bulan-bulan yang dilalui, hari-hari yang ditempuhi, menjadikan saya seolah-olah mahu angkat tabik kepada isteri. Alangkah jika semua itu ditanggung dan dirasai oleh lelaki, pasti dan pasti tidak akan mampu diharungi sehingga ke saat ini.
Lama sebelum ini, dengan yakin beliau menyatakan untuk mengkhatamkan Al-Quran, sebagai ‘hadiah’ untuk si kecil yang bakal lahir nanti. Berjuang dengan sakit dan menghabiskan masanya dengan Al-Quran, beberapa hari lepas dengan wajah berseri-seri dia memberitahu Al-Quran telah khatam dan meminta saya membacakan doa khatam Al-Quran untuknya.
Tekad dan semangat yang menakjubkan saya. Sedang yang sihat, Al-Qurannya tidak pula kunjung khatam.

TEMAN

” Siapa akan jaga nanti berpantang? “

Itu soalan lazim dari sanak saudara di Malaysia, bila diberitahu tarikh bersalin sudah dekat. Dan saya, jujurnya tidak pernah memikirkan tentang itu secara serius. Saya tidak mengharapkan untuk orang lain jaga kerana saya ada. Tentunya tidak sama dengan keadaan di tanahair, di mana ada keluarga yang akan menjaga.
Memilih untuk bersalin di tanah arab, bererti bersedia menerima bahawa semua itu memang tidak ada.
Namun Allah datangkan juga insan-insan yang baik hati memberikan perhatian dan pertolongan. Saya terkesan dengan seorang sahabat kepada isteri, berpangkat adik. Meskipun tidak kenal rapat sebelumnya, namun begitu akrab dengan kami. Dari kacamata saya, tingkahlaku seseorang itu sudah cukup mencerminkan keikhlasannya. Pertolongan yang dihulur dan perhatian yang diberi, benar-benar menjadikan kami senang hati.
Isteri meluahkan rasa terharu dan saya tersenyum. Bukan semua orang punya hati seperti itu. Menolong orang tak mengira siapa dan sanggup bersusah payah untuk orang lain biarpun diri sendiri banyak kerja. Yang ramai, waktu senang datang bertempek namun tika perlukan pertolongan, menjauh entah ke mana.
Saya doakan, insan-insan seperti ini diberikan pertolongan dan rahmat berpanjangan dari Allah ta’ala. Saya teringat satu hadith Nabi s.a.w bersabda :
” Dan sesungguhnya Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya, selagi mana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain “

MOTIVASI

Dalam tidak sabar menunggu tangisan si kecil kedengaran, saat-saat getir sebelum proses kelahiran juga perlu diberi perhatian. Mahu berada di situ, perlukan motivasi dan semangat yang kuat. Dan saya dan keluarga, tidak putus memberikan semangat kepada isteri. Kini contraction sudah semakin kerap, dan berkemungkinan akan bersalin sedikit masa lagi.

Melihat wajahnya saja, saya yakin akan kekuatan dari dalam diri wanita tersebut. Nantinya akan ku bisikkan kepada si anak, bahawa ibumu adalah seorang pejuang yang penuh kental dengan keazaman. Dan catatan ini kelak akan menjadi tatapan, apabila engkau sudah dewasa dan mula mengenal erti kehidupan.

Wallahu`alam...



Rabu, 23 Januari 2013

KENANGAN LALU...





Aku akan selalu ingat yang walid selalu melukis rumah di kertas-kertas dan suratkhabarnya selepas menyelesaikan teka silang kata. Lukisannya cantik, dan teliti. Aku selalu kagum dengan lukisan rumah walid. Kata walid "satu hari nanti walid akan beli sebuah rumah banglo seperti lukisan ini". Hari ini aku tersenyum, kerana impiannya itu telah tercapai.


Aku akan selalu ingat yang walid pernah bekerja sebagai seorang buruh. Keluar sebelum subuh, balik subuh berikutnya. Walid selalu jarang ada di rumah, keluar bekerja untuk kami. Kalau ada pun di rumah, walid akan banyak berehat kepenatan. Satu hari kata walid dia bermimpi menjadi seorang guru. Kerana itu dia berhenti kerja dan sambung belajar. Hari ini aku tersenyum, kerana mimpinya itu telah nyata. Alangkah Allah menyayangi walid.


Aku akan selalu ingat ketika aku nyatakan kepadanya aku telah menyukai seorang perempuan. Dalam malu aku mengharap nasihat darinya, nasihat seorang ayah. Dia hanya diam. Aku pun kecewa. Hari berikutnya aku diminta menemaninya ke Kuala Lumpur menaiki bas. Sepanjang perjalanan itulah dia menasihatiku penuh tulus, tentang lelaki, perempuan dan sebuah keluarga. Mana mungkin aku lupa setiap bait katanya.


Aku akan selalu ingat setiap tazkirah subuh darinya. Kami adik-beradik selalu tersengguk-sengguk melayan kantuk, dan kadang rasa bebal terpaksa mendengar leterannya seawal pagi. Kini setelah jauh dari keluarga, waktu-waktu itulah yang selalu aku rindu. Aku rindu saat kami sama-sama tertidur di ruang tamu usai tazkirah kerana terlalu mengantuk, sedang walid keluar ke kedai membeli sarapan buat kami.


Aku akan selalu ingat ketika walid bercerita tentang kesusahan sepanjang hidupnya. Betapa kesenangan hari ini semata rahmat dari Allah. Dia tidak pernah mengatakan kesenangan kami hari ini adalah dari usahanya yang berterusan. Dan yang paling aku ingat saat umi menangis mendengar kata-katanya, "walid berubah selepas berkahwin dengan umi", sambil memegang lembut tangan umi. Selalu aku bertanya pada diri, suatu hari nanti dapatkah aku mencintai seorang isteri setulus walid?



Aku akan selalu ingat, setiap saat kami keluar menjala dan mencari ikan bersama-sama. Aku terlalu rindu menjahit jala buat walid, membuang sampah yang tersangkut di jala, mengutip udang-udang dan bersembahyang di tepi sungai beralas guni. Aku akan selalu ingat saat kami menikmati matahari naik di muara sungai. Alangkah rindunya!



Satu hari walid menasihat -

Jadilah seperti mutiara, yang terdampar jauh di dasar laut. Hanya yang tahu akan mencarinya. Atau jadilah seperti bintang, tinggi di awan menyinari malam. Tetapi harus kau tahu, tinggi bintang itu tak mungkin digapai. Atau sebaiknya, jadilah seperti rumput, yang diragut lembu, yang dipijak manusia, yang dicantas bila tinggi, yang dibakar bila kering. Rumputlah yang tak diendah manusia, namun sebenarnya dilihat Yang Esa.



(Aku cuba puisikan nasihat ini sekian lama. Mungkin nasihat ini harus dibiar sebegini, agar suara walid terus menasihatiku sampai bila-bila...)


wallahu`alam




Jagalah Hati...

Isnin, 21 Januari 2013

KASIH SAYANG...





Anak ketiga saya cukup suka membawa pelbagai isu. Dia akan datang kepada saya atau bondanya untuk mengenal pasti banyak perkara. Ada-ada saja aduan atau kritikan yang dilemparkan - selalunya mengenai tanggungjawab kamilah.


Dia akan menyalahkan saya jika sesuatu tidak memuaskan hatinya. Namun saya bangga memiliki anak yang kritis mindanya walaupun sesekali ada juga rasa tersinggung dengan keceluparannya.


Dia anak yang pandai mencari ruang. Kalau perlu merayu dia akan merayu. Kalau perlu menangis dia akan meraung. Kalau perlu 'mengugut' dia tak segan-segan melakukannya. Kadangkala ketawa besar saya dan suami dibuatnya.


Saya dan isteri perlu bersedia dan sepakat menghadapinya. Kami perlu menggunakan idea logik untuk mematahkan hujahnya yang kadangkala menggelikan hati - hujah seorang anak kecil yang jujur dan bersih.


Suatu yang saya kagum dengannya ialah sikapnya yang akan meminta maaf apabila hatinya  puas berhujah dengan saya. Jika dia kalah dia akan minta maaf sambil ketawa dan akan meminta maaf dengan lebih sempurna beberapa ketika kemudian.


Suatu malam dia masuk ke bilik saya. Saya dan isteri baru selesai solat Maghrib. Dia terus menghempaskan punggungnya di katil. Isteri saya menggenyitkan mata, isyarat akan ada perbahasan baru yang akan dibawa.


Isteri saya cepat-cepat melipat sejadah dan telekung.


"Dah sembahyang?" saya bertanya.


"Dah..." jawabnya sambil mencapai sebiji bantal, terus menekup mukanya.


"Adik tak lulus ujian matematik!" katanya pantas penuh kejujuran.


Saya tersenyum dan duduk di sebelahnya dan berkata "Tak apalah, adik boleh usaha lagi."


"Cakap je tak apa…! Nanti kata orang cakap Adik bodoh. Nanti walid dan ummi bagi tahu kawan-kawan walid dan saudara-mara  umimi, adik belajar tak pandai."


"Kalau dah usaha masih gagal nak buat macam mana?" saya cuba memujuk dengan suara lembut.


"Nanti lepas ni, walid dan ummi kena beli buku latih tubi," kata Adik masih menyembunyikan mukanya.


"Apa asyik nak beli buku aja. Buku latih tubi kan banyak dah, ulang ajalah!" bondanya menyampuk.


"Ummi cakap senang, UPSR tak dapat lima A nanti, marah...!"


"UPSR kan dua tahun lagi. Banyak masa utk berusaha."


" Kan beli buku tu tanggungjawab walid dan ummi, beli ajalah!"


"Betul tu....." balas saya. "Nanti walid beli hujung bulan ni."


"Asyik-asyik tunggu hujung bulan..... bosan!... Cuba jadi kaya macam bapa Emma tu, tak payah tunggu-tunggu hujung bulan."


Saya berpinar mendengar hujahnya. Sudah melampau, bisik hati saya. Namun saya sabarkan diri. Senang sangat anak sekecil ini mengeluarkan kata-kata begitu. Kalau besar nanti macam mana, hati saya terus berbisik.


"Adik..... tak baik cakap macam tu dengan abah!" bondanya berkata perlahan.


"Kalau susah sangat, biar Adik masuk perut mak lain. Adik masuk perut mak yang kaya. Tak payah tunggu hujung bulan," dia terus bersuara sambil menangis teresak-esak.


Hujahnya itu memeranjatkan saya dan isteri. Kami kelu seketika.


Alangkah senangnya anak sekarang menyelesaikan masalah. Begitu mudah seperti  mencampurkan 2 dengan 2.


Saya usap kepalanya. "Apakah walid dan ummi tak cukup baik buat Adik?" saya bertanya.


Tiba-tiba tangisannya terhenti. - Memberitahunya tentang takdir dan nasib dan ketentuan Allah agak sukar. Bercakap tentang qada dan qadar lagi tak sesuai. Dalam hal ini saya fikir hujah mesti logik. Saya mesti menang dalam perbahasan ini. Menang bererti Adik akan tenteram.


"Tak baik Adik berkata gitu, macam menyesal jadi anak walid..." saya mulakan, lembut. Dia membaling bantal terus menerkam saya. Disembam mukanya ke ribaan, menyesal agaknya.


"Cerita kelahiran seseorang berbeza. Ada yang lahir daripada perut mak yang kaya, ada yang miskin. Tapi semuanya terjadi atas dasar kasih sayang ," kata saya.


Adik memandang wajah saya, nyata sekali dia tak faham dan takkan dapat memahaminya, saya tahu. Saya katakan begitu sekadar bersuara.


"Setiap anak adalah hadiah daripada Allah. Adik adalah anugerah Allah kepada walid dan ummi. Walid dan ummi tak ada kuasa memilih. Adik juga begitu..." saya terus berkata-kata biarpun saya tahu, dia takkan memahaminya.


"Kerana kasih sayanglah Adik lahir dan kerana kasih sayang juga kami menjaga Adik dengan baik. Maka besarlah Adik dengan kasih sayang Adik tak besar dengan duit!"


Tiba-tiba Adik bangun, merangkul dan terus mencium pipi saya. Air mata saya mengalir.... . Kami berpelukan agak lama. Saya nampak isteir tersenyum.


"Nanti bila walid dapat gaji, walid beli buku Adik banyak-banyak tau. Adik nak dapat A semua dalam UPSR." katanya.


Dia kemudian melompat turun dari katil, menarik tangan saya dan umminya menuju ruang tamu.


Isteri saya ke dapur menyediakan makan malam.

Saya nampak ada keriangan di wajahnya. Saya keluar sebentar ke laman rumah sambil menanti makan malam disiapkan. Airmata saya meleleh lagi. Agak sukar saya hentikan tangisan dan rasa sebak itu...- terharu sungguh..... ..!!


Begitulah indahnya dan hebatnya kasih sayang sehinggakan dalam hadis Qudsi, Allah swt sendiri menyatakan kepada Rasulullah saw. "Wahai Muhammad, jika tidak kerana kasih sayang Aku pada mu, tidak akan Aku jadikan dunia ini......."


Manusia yang hidup tanpa kasih sayang ibarat makan nasi tanpa kuah dan lauk.


" wahai Robb ku, aku tak layak ke syurga Mu ...namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu. Kamilah hamba yang mengharap belas dari Mu…

Ya Allah jadikanlah kami hamba-hamba Mu yang bertakwa… ampunkan dosa-dosa kami, kedua ibubapa kami dan dosa semua umat Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia ".


Wallahu`alam



Jagalah Hati…

BILA CINTA BERBICARA...





Suatu ketika, seorang wanita kelihatan amat sedih. Wajahnya kusut masai. Air mukanya letih menahan tangis. Rupanya, dia baru saja kehilangan anak tercintanya untuk selama- lamanya.


Atas nasihat orang di desa, ia menemui seorang tua bijak di pinggir hutan. Mereka berkata, siapa tahu orang bijak itu dapat membantu menyelesaikan masalahnya. Kerana merasa amat cinta kepada anaknya yang telah mati itu, ia amat berharap agar dapat bertemu dengan orang bijak itu. Ditempuhlah perjalanan yang jauh dengan cepatnya.


Sesampainya disana, dia bertanya, "Guru, apakah Anda memiliki ramuan ajaib untuk mengembalikan anakku?"


Sang Guru tidak berusaha untuk berbalah atau menghalau wanita itu kerana permintaannya yang tidak masuk akal.


Dia cuma berkata, "Carilah bunga merah dari rumah yang tidak mengenal "kesedihan". Setelah kamu bertemu bunga itu, kita akan bersama-sama membuat ramuan ajaib untuk menghidupkan kembali puteramu."


Selesai mendengar itu, wanita tersebut segera berangkat mencari kemahuan sang guru.


Dalam perjalanan, dia nampak bingung. Tak ada satu petunjuk pun tentang di mana dan bagaimana bentuk rumah itu. Hinggalah, dia tiba di depan rumah mewah.


"Mungkin, penghuni rumah itu tak pernah mengenal kesedihan,"ucap wanita itu dalam hati.


Setelah mengetuk pintu, dia berkata, "saya mencari rumah yang tidak pernah mengalami kesedihan. Inikah tempatnya ?"


Wajah sang wanita masih memperlihatkan raut bersedih. Dari dalam rumah, terlihat wajah yang tak kalah sedih.


Pemilik rumah itu menjawab, "Kamu datang ke rumah yang salah."


Pemilik rumah itu bercerita tentang tragedi yang dialami keluarganya . Ia tak hanya kehilangan seorang anak, tapi juga suami dan kedua orangtuanya kerana kemalangan. Si wanita berasa amat kecewa.


Namun, dia menjadi terharu dengan cerita tuan rumah. Ia berfikir, "Siapa yang boleh membantu orang yang nasibnya lebih malang dari saya ini?"


Dia memutuskan untuk tinggal di sana dan menghiburkan pemilik rumah itu. Beberapa hari lamanya, dia bersama wanita pemilik rumah itu, saling bantu-membantu untuk menjalani hidup.


Beberapa minggu berlalu, wanita itu pun berasa si tuan rumah sudah kelihatan lebih baik. Lalu, ia berangkat lagi mencari rumah berikutnya. Tetapi, ke mana pun dia pergi, selalu bertemu kesedihan orang lain. Akhirnya, dia berasa bertanggungjawab untuk menghiburkan semua orang yang dikunjunginya. Hingga akhirnya, dia pun melupakan misinya.


PENGAJARAN CERITA INI...


Kita belajar makna cinta dari seorang ibu yang menyusui anaknya dalam dukungan. Kedua belah tangannya sibuk membetulkan selimut si bayi. Dalam dadanya tiada sesuatu selain ketulusan memberi atas nama cinta.


Kita belajar makna cinta dari seorang ayah yang membawa pulang sekarung padi dan sejag air setelah seharian berpenat-lelah di sawah. Dalam dadanya, tiada sesuatu selain kegembiraan memberi atas nama cinta.


Kerana cinta bukan hanya sekadar pelukan hangat, belaian lembut, atau kata-kata penuh romantis. Kita belajar apa itu cinta dari apa pun yang ada di muka bumi. Dari cahaya matahari, dari sepasang merpati, dari sujud dan tengadah doa. Dari apapun!


Pada semua kelahiran yang bersambut dengan cinta, hingga kematian dalam cinta, kita dalam hidup ini, tiada lain selain mewujudkan cinta.


Kerana itu, tiada yang boleh kita lakukan selain atas nama cinta kita yang teragung: cinta buat Yang Maha Agung, Allah swt.


Apapun keputusan-Nya buat kita, Allah yang berbicara, yang menentukan untung-nasib kita, kerana setiap sesuatu yang menyedihkan itu ada hikmah-Nya.



wallahu`alam


Jagalah Hati... 

BUAT PARA SUAMI...





Di satu petang, kita balik dari pejabat dengan hati yang penuh harapan, harapan disambut oleh isteri dan anak-anak di depan pintu. Pintu diketuk dan salam diberi. Apabila pintu dibuka, hanya anak sahaja yang menjawab salam.


Bagi anak perempuan kita cium pipinya dan anak lelaki pula kita usap kepalanya. Kebiasaannya, emak mereka juga akan menyambut dengan tersenyum simpul. Tetapi tiada pada petang ini. Kita pun terus ke bilik study untuk meletakkan brief case kita. Kita ke bilik tidur dan dapati isteri kita terbaring berselimut atau yang serupa dengan itu.


Kita pun bertanya, "Sakit ke?"... Isteri kita diam aje dengan wajah yang menggambarkan dia memang sakit. Kita pun terus ke dapur bancuh minuman sendiri dan dan minum depan TV. Lima minit kemudian isteri kita turun dan terus ke dapur menyediakan makanan untuk malam. Disebabkan kita nampak dia boleh ke dapur dan sediakan makanan maka kita pun terus ke bilik study sambung kerja pejabat atau keluar rumah untuk bermain badminton atau cuci kereta. Dalam hati kita berkata,'isteri tu taklah teruk sangat sakitnya, sebab nampak dia boleh berjalan ke dapur'.


Cuba kita selami, apa pula hati isteri kita berkata.


"Alhamdulillah, Abang dah balik, nanti nak ajak abang ke klinik jumpa doktor dan ambil ubat. Badan ni tak larat nak bangun. nanti dia naik ke bilik baru nak bersiap tukar pakaian ke klinik."


Abang pun tanya, "Sakit ke?" Dalam hatinya," Hai takkan tak nampak orang tengah sakit ni, tanya pulak. Tengok tu, dia buat tak peduli aje.. tengok TV pulak... sepatutnya ajaklah ke klinik......" Sambil turun ke dapur hatinya berkata, "Orang sakit, dia bukan peduli, tapi kalau dia yang sakit, macam-macamlah dia suruh kita buat untuk dia. Menyampah.. nanti kita dah tak bangun sangat, baru terhegeh-hegeh nak tolong usung ke klinik." Maka diusahakan juga ke dapur walaupun dirinya sakit, untuk berbakti pada anak-anaknya.


Suami-suami yang dimuliakan, isteri kita mempunyai jiwa 'anak kecil' apabila dia terkena demam, sakit kepala dan sebagainya dan lebih-lebih lagi "pening-pening-morning sickness".


Walaupun sakitnya itu tidak seberapa pada pandangan kita, tetapi sangat besar ertinya di sisi mereka. Mereka memerlukan kita membelai mereka sebagaimana doktor membelai pesakitnya yang datang mengadu sakit minta diubati. Mereka tidak minta di belai berjam-jam. Kalau lebihpun, hanya lebih sikit daripada doktor aje.



TAK SAMPAI LIMA MINIT PUN...


Kita kena jadi doktor yang pertama dulu. Bila nampak dia terbaring atau duduk yang menggambarkan dia sedang sakit. Maka, hendaklah terus mengadapnya sebaik saja kita masuk ke rumah. . Bila tanya pada anak, "Emak mana?" Anak jawab, "Dalam bilik ". Maka kita hendaklah terus ke bilik dengan beg brief case sekali. Dan belailah bagaimana doktor membelai pesakitnya. Dapatkan suhu badannya walaupun dia tak demam, letaklah tangan di dahinya atau tengkoknya.


Peganglah lengannya untuk mengira denyutan jantungnya walaupun kita tak tahu kadar yang menunjukkan dia tu memang sakit. Dengarlah bunyi paru-parunya bila dia bernafas dengan meletakkan tapak tangan kita di belakangnya dan urut sedikit walaupun kita tidak menggunakan alat yang doktor guna itu.


Sentuhan-sentuhan begini sudah cukup untuk menyembuh psikologinya. Tanyalah dia bila dia kena demam... dsb supaya dia luahkan penyakit psikologinya dulu dengan menceritakan puncanya dan offer cepat-cepat nak bawa ke klinik agar dia boleh berfikir dan menilai tahap sakitnya sama ada berbalui untuk di bawa ke klinik. Sebab kekuatan psikologinya telah diperolehinya dari "doktor yang disayangi" ini. Tidak perlu lagi dari doktor perubatan yang lain.


Biasanya dia akan kata, "Tak apalah bang, demam ni sikit aje, ...." Jika ini jawapannya, maka Alhamdulillah, ini bermakna hati dan jiwanya telah puas dan kuat dengan belaian kita dan dia REDHA akan demamnya itu. Begitu juga kepada si isteri jika suami anda sakit.


wallahu`alam




Jagalah Hati...

Jumaat, 28 Disember 2012

AKU CEMBURU DENGAN KEMATIANNYA...



“ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”, begitu ungkapan ahli paramedik yang datang dengan ambulan ke hotel tempat aku menginap di Madinah Al Munawwarah sebaik memeriksa denyut nadi isteri Haji Seman di bilik mereka. Aku pergi kepada Haji Seman dan berbisik di telinganya mengkhabarkan pemergian isteri beliau kerana aku kira dia tidak faham ungkapan itu yang disebut dalam Bahasa Arab. 


Sebak Haji Seman tak dapat ditahan, langsung bercucuran airmatanya ke bahuku. Hening pagi Jumaat itu begitu mendamaikan walaupun rancangan asal aku nak berqiyamullail di Masjid Nabawi bersama Haji Seman pada jam tiga pagi tergendala lantaran kematian isterinya. Sempat aku memandang wajah isteri beliau di pembaringan yang seakan tersenyum tenang sewaktu jenazahnya diangkat ke ambulan untuk disahkan kematiannya di hospital.


Tiga hari sebelum itu sewaktu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang aku sempat berbual dengan isteri Haji Seman yang juga rakan kepada ibuku. Memang lembut tutur katanya meminta aku tolong tengok-tengokkan dia dan suaminya sebab dia tidak begitu sihat. Aku diberitahu yang dia ada darah tinggi dan kencing manis. Hanya setibanya kami di Karachi, Pakistan sewaktu transit dalam perjalanan pergi baru aku diberitahu oleh Haji Seman perihal isterinya yang baru menjalani pembedahan mata buat kali ke-8.


Kami transit dua hari satu malam di Karachi. Pada pagi hari kedua Haji Seman meminta aku tolong carikan klinik untuk memeriksa keadaan isterinya yang muntah setiap beberapa jam selepas makan semenjak dari Subang. Aku beritahu Doktor yang memeriksa makcik ini ada darah tinggi dan kencing manis. Hasil pemeriksaannya mengatakan keadaan makcik stabil termasuk tekanan darahnya. Rumusan Doktor mengesyorkan kami mendapatkan ubat mabuk penerbangan dari farmasi kerana keadaan makcik tidak serius.


Sesampai di Jeddah, kesemua 99 jemaah Umrah bersamaku dijamu dengan makanan yang telah siap dibungkus oleh pihak katering muassasah. Makcik yang semakin lesu dalam perjalanan masih cuba menyuap nasi yang disediakan, namun selepas beberapa jam dalam perjalanan kami menuju ke Madinah, dia muntah lagi. Mujur suaminya Haji Seman sentiasa disisi melayani makcik dengan penuh kasih sayang meskipun mereka sudah berpuluh tahun hidup bersama.


Kami sampai di Madinah yang bercahaya pada awal pagi Khamis. Selesai semua jemaah aku aturkan bilik masing-masing, Haji Seman mengajak aku cari klinik untuk memeriksa isterinya sekali lagi. Mahu sahaja aku setujui permintaan Haji Seman sewaktu kami pulang dari solat subuh di Masjid Nabawi tetapi oleh kerana kami semua kepenatan akibat perjalanan yang meletihkan, aku mencadangkan agar makcik dibiarkan istirehat dahulu sambil memakan ubat mabuk yang dibeli sewaktu di Karachi. 


Selepas asar aku menuju ke klinik berhampiran bersama Haji Seman tetapi Doktor yang bertugas tidak ada. Pembantu klinik mencadangkan kami terus ke hospital sekiranya keadaan serius. Haji Seman mengalah untuk tidak ke hospital kerana keadaan isterinya tidak nampak terlalu serius. Aku teringat sebuah hadis yang diceritakan oleh Mutawwif kami tentang khasiat Kurma Nabi, lalu aku cadangkan Haji Seman membeli sedikit Kurma Ajwa untuk diberikan kepada makcik.


Sewaktu makan malam di hotel sesudah solat Isya, aku bertanyakan khabar makcik dengan Haji Seman. Alhamdulillah dia sudah makan tiga biji dari keseluruhan tujuh biji yang aku cadangkan untuk dimakan berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w berkenaan khasiat Kurma Nabi untuk menawar penyakit dalam perut. Haji Seman turut bercerita berkenaan keputusannya membawa isterinya untuk Umrah kali ini kerana nazarnya sewaktu Umrah sebelum ini yang berhasrat mahu membawa makcik seandainya pembedahan mata kali ke-8 berhasil memulihkan pandangannya yang semakin hilang.


“Anak-anak ada yang kurang setuju saya bawa mak dia kali ini sebab baru sebulan matanya dibedah. Tapi Alhamdulillah saya nekadkan juga sebab memang kali ini pandangan matanya bertambah baik”, ujar Haji Seman. “Lagipun kali ini memang saya bernazar, jadi saya fikir inilah kesempatan terbaik untuk saya Umrah berdua dengan makcik”, tambah Haji Seman yang sudah mencecah usia 60an pada masa itu sambil tersenyum.


Dari hospital aku dan Haji Seman dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian sambil menyerahkan passport makcik. Kami akhirnya solat subuh pagi Jumaat itu dibalai polis berkenaan. Sambil menunggu laporan disiapkan Haji Seman menyatakan kebimbangan bagaimana urusan penyelenggaraan jenazah makcik harus diaturkan sebab kami orang Batu Pahat yang sedang bermusafir di bumi Madinah yang bertuah.


Aku bertanya kepada Sarjan yang bertugas dan jawapannya begitu mudah. “Tak mengapa, jangan risau… segala urusan jenazah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi”. Lalu aku bertanya lagi, “apa yang kami sebagai ahli keluarga makcik ini perlu lakukan?”. Sambil tersenyum Sarjan berbangsa Arab itu menjawab, “duduk dulu, nanti saya buatkan teh. Lepas ini kami hantarkan ke tempat urusan jenazah, OK?”.


Kereta peronda polis yang membawa kami ke tempat urus jenazah meluncur sesudah selesai urusan di balai. Sesampai di situ, aku bertanya kepada lelaki pertengahan umur yang menguruskan tempat itu berkenaan sebarang bayaran urusan yang perlu. “Tidak… tidak… tidak ada sebarang bayaran. Semuanya ditanggung pihak kerajaan” ujarnya menolak sebarang pemberian wang kerana Haji Seman dilihatnya sedang mengeluarkan beberapa ratus riyal dari dompet.


“Sebelum zuhur hari ini jenazah akan dibawa ke Masjid. Duduklah berehat sahaja di sini sebab hari ini Jumaat. Pergi sahaja ke Masjid dengan jenazah kerana pastinya Masjid Nabawi akan penuh”, begitu cadangan Tuan Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Madinah Al Munawwarah kepada kami. Jam di dinding baru menunjukkan lewat 9:30pagi. Kami memutuskan untuk terus sahaja berada di situ mengikut cadangan Tuan Pengurus.


Haji Seman duduk di sebelahku. Beberapa minit kemudian, Tuan Pengurus keluar dari pejabatnya sambil membawakan dua gelas teh susu panas untuk kami berdua selain dua botol air mineral sejuk. Setelah Tuan Pengurus beredar aku bertanya kepada Haji Seman bagaimana keadaan makcik sebelum meninggal. Haji Seman tenang bercerita yang dia sendiri tidak nampak sebarang kelainan pada diri makcik malam itu selain kelesuan mabuk kapalterbang dan muntah segala makanan yang dimakannya.


“Malam tadi balik dari Isya’, saya bagi kurma Ajwa kepada makcik”, tutur Haji Seman memulakan cerita. “Saya tengok dia nampak lemah, jadi saya suapkan. Sempat habis tiga biji, saya berikan air zam-zam yang saya ambil di Masjid tadi. Alhamdulillah lepas itu dia baring semula sambung berehat. Tengah malamnya saya terjaga sebab nak tengok kalau-kalau makcik muntah lagi. Nampaknya dia rehat saja. Saya ke bilik air, bila saya selesai makcik dah terjaga. Dia tanya saya, abang sejuk ke? Kalau sejuk matikan air-cond bukakan tingkap. Saya matikan air-cond dan bukakan tingkap sebab saya kira mungkin dia yang tak tahan air-cond”, sambung Haji Seman.


“Awak nak minum air?” Haji Seman bertanya kepada makcik. “Boleh juga”, jawab makcik ringkas. “Saya ambilkan jus oren dan bagi dia lepas saya bukakan penutupnya. Dia minum separuh saja”, cerita Haji Seman kepada aku bersambung lagi. “Lepas minum, makcik panggil saya duduk di birai katil sebab dia nak baring di pangkuan saya. Kami berbual kosong perihal anak-anak dan lain-lain pengalaman berumahtangga sejak mula berkahwin sambil diiringi ketawa kecil. Berborak suami isterilah kan…” terserlah senyum Haji Seman sambil bercerita. 


“Dia tak muntah lagi lepas tu?” tanyaku menyelangi cerita Haji Seman. “Alhamdulillah memang tak muntah lepas makan kurma Ajwa sama air Zam-zam” jawab Haji Seman melayan soalan aku. “Kami terus berbual hingga jam 2:30pagi. Lepas tu saya bagitau makcik yang saya bercadang nak qiyamullail sambil nak mendoakan agar dia terus sembuh sebelum saya ke bilik air semula. Saya letakkan semula kepala makcik atas bantal. Saya tengok dia macam biasa je… sempat dia senyum sebelum saya masuk bilik air”. Suara Haji Seman seakan tersekat di kerongkong apabila ceritanya sampai di sini.


“Bila saya keluar dari bilik air, saya tengok makcik tidur… saya biarkan saja sambil bersiap nak ke Masjid macam yang kita janji lah kan…” Haji Seman mengungkit janjinya untuk qiyamullail di Masjid Nabawi bersama aku. “Hampir jam tiga pagi saya tengok makcik macam tidur tapi saya tak nampak macam dia bernafas. Saya panggil dia tapi dia diam tak jawab. Saya gerakkan dia pun tak ada jawapan…” Haji Seman berhenti sekali lagi dari bercerita.


Aku terdiam sejenak sambil berdetik di hati kecilku betapa romantiknya pasangan tua ini sehingga hujung nyawa si isteri. Beruntungnya Haji Seman beristerikan makcik ini. Tegar makcik berbual di pangkuan suami sambil bercerita dengan ceria demi mengembirakan lelaki pujaan hatinya meskipun ajalnya bakal berselang selepas beberapa ketika. “Ini benar-benar kisah Cinta bersulam CINTA Sang Pencipta” ujar hatiku berbisik sendiri.


“Macamana nak usung jenazah ke liang lahad nanti? Siapa yang gali liang? Siapa yang akan tolong kita nanti?” bertalu soalan Haji Seman kepada aku. Meskipun aku tak punya jawapan yang pasti, dengan yakin aku menjawab, “Takpe Haji… InsyaALLAH semuanya akan tersedia. Aku jadi begitu yakin kerana segala urusan setakat ini begitu lancar tanpa sebarang masalah malah terasa seakan kami dimuliakan sepanjang urusan dengan layanan yang ramah dan mesra. Memang terasa nak sangat bertanya kepada Haji Seman apa agaknya amalan makcik semasa hidupnya sehingga matinya begitu?


Jam 11:30pagi kereta buggy yang membawa jenazah sampai di pusat itu. Selesai jenazah diangkat ke atas kereta, kami berdua diajak ikut bersama menuju ke Masjid. Kami masuk melalui pintu Imam dan langsung di suruh duduk di dalam saf kedua meskipun pada masa itu Masjid sudah mula penuh. Bersungguh anggota polis menyuruh jemaah sedia ada memberikan ruang duduk untuk aku dan Haji Seman. Kami solat Jumaat berselang sebaris di belakang Imam Masjid Nabawi.


Selesai solat, bilal menyeru jemaah untuk solat jenazah. Sekali lagi kami terasa diberikan keistimewaan apabila Imam menoleh ke belakang dan bertanya, “wein sahibul janaiz?” (maksudnya - mana keluarga jenazah?). Kali ini Imam menunggu sehingga kami berdua berdiri betul-betul di belakangnya untuk menyembahyangkan jenazah makcik bersama puluhan ribu jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Nabawi. Rasanya bagi sesiapa yang pernah ke sana, pasti nilai situasi ini sukar digambarkan perasaannya.


Selesai solat jenazah diangkat beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan. Persoalan yang Haji Seman bimbangkan tentang siapa yang akan tolong usung jenazah terjawab sehingga aku dan dia sendiri terpaksa berlari sedikit mengiringi jenazah yang dipikul tangan-tangan para jemaah saudara seislam dari seluruh dunia dengan begitu pantas sekali. 


Keistimewaan urusan jenazah makcik tidak habis di situ. Aku dan Haji Seman terus mengiringi jenazah sehingga ke liang yang tersedia untuknya di dalam Perkuburan Baqi’. Ya benar… liang lahad makcik tersedia di kawasan perkuburan yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi’ yang bermaksud Syurga Baqi’ di kalangan ahli Madinah kerana di tanah perkuburan ini juga bersemadinya ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga seorang lelaki paling mulia pernah hidup di dunia bernama MUHAMMAD BIN ABDULLAH, pesuruh ALLAH yang disebut namanya di dalam kalimah syahadah.



Penggali kubur menghentikan jenazah dari terus diturunkan sambil berteriak, “wein sahibul janazah?”. Sekali lagi Haji Seman ditunggu untuk turun ke dalam liang menyambut jenazah isteri tercinta sebagai penghormatan buatnya bersama si isteri di dunia ini. Aku hanya memerhati di tepi liang lahad kali ini sambil hatiku terus meruntun mahu bertanya kepada Haji Seman apa sebenarnya amalan makcik semasa dia hidup bersamanya sehingga sampai begini mulia layanan ke atas jenazahnya.


Selesai sudah urusan jenazah makcik di bumi Madinah yang penuh barakah. Haji Seman meneruskan umrahnya dan melaksanakan umrah gantian untuk niat arwah isterinya. Aku diminta menemankan Haji Seman kerana dia rasa selesa kalau aku terus bersamanya. Di Makkah akhirnya aku tak mampu tahan keinginanku untuk mengetahui amalan atau sikap kehidupan arwah makcik bersama Haji Seman lalu aku mengajukan soalan.


“Haji, mintak maaf saya nak tanya ya… Arwah makcik dulu masa hidupnya selalu buat apa?” cetusku bertanya kepada Haji Seman pada suatu malam sewaktu kami pulang ke bilik hotel setelah selesai solat Isya di Masjidil Haram. “Hmmmm… entahlah. Tak ada yang terlalu istimewa kalau saya nak cerita. Arwah makcik tu orang biasa je”, agak kecewa aku dengar jawapannya tapi aku yakin mesti ada jawapan lain. “Cuma satu perkara yang saya rasa paling saya tak boleh lupa pasal arwah”, tambah Haji Seman. “Apa benda tu Haji?”, berbunga hati aku rasa nak tahu juga apa ceritanya.


“Masa saya mula-mula kahwin dengan arwah, hidup kami susah… Tapi Alhamdulillah saya dapat juga buka kedai runcit kecil, jual suratkhabar dengan barang-barang kecil di sebelah pejabat imigresen. Bila rezeki makin murah saya memang jadikan amalan bagi duit pada arwah selain duit belanja rumah. Bukan apa… saya ni tak berapa pandai kalau nak belikan hadiah yang cantik ikut mata orang perempuan, jadi saya bagi duit aje lah”, aku tekun mendengar cerita Haji Seman sambil terfikir di mana agaknya bahagian amalan arwah yang istimewa.


“Arwah ni jenis yang pantang kalau orang mintak tolong… mesti dia cuba juga nak tolong walaupun masa kami sendiri tengah susah”, aku mula terasa mungkin inilah bahagian cerita yang aku nak tahu sangat. “Setiap kali bila arwah nak bagi duit pada orang yang dia nak tolong, mesti dia tanya saya dulu… boleh ke bang? Mula-mula saya jawab ikut dialah sebab duit yang saya bagi tu dah jadi milik dia. Lama-lama sampai dah tua-tua pun dia tetap tanya atau bagitau saya setiap kali dia bagi duit tu pada orang lain, saya jadi lali dan jawab ya sepatah je”. Haji Seman membetulkan duduk silanya di atas katil hotel sedang aku terkulat mendengar kisahnya.


“Pernah satu ketika saya cakap, duit ini saya dah bagi kat awak. Kalau awak nak pakai untuk apa saja pun saya takkan tanya sebab saya percaya awak pun boleh fikir sendiri. Lepas-lepas ni kalau awak nak bagi sesiapa pun duit awak tu, awak bagi je lah… tak payah tanya saya pon takpe”, sambung Haji Seman lagi. 


“Saya cakap macam tu sebab dah berpuluh tahun kahwin pun dia masih tanya juga. Saya ingat masa tu arwah makcik jawab, saya tanya sebab duit ni awak yang bagi saya. Jadi duit ini saya anggap amanah suami dari awak untuk saya”. Terkesima aku mendengarnya. Haji Seman menyambung, “lepas pada tu, dia masih terus tanya saya macam biasa cuma saya dah malas nak halang dia dari terus bertanya perkara yang sama sebab pada dia yang penting saya redhakan dia guna duit tu”.


Aku rasa puas mendengar cerita Haji Seman seakan persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran aku terjawab secukupnya. Tidak hairanlah jika ALLAH menjemput arwah makcik sedemikian rupa. Dengan makanan terakhir di dunia adalah air zam-zam dan kurma Nabi yang disuapkan suami, dengan perginya setenang orang yang tidur sesudah berbual dengan suami di pangkuan, dengan segala urusan pengkebumian ditanggung sepenuhnya dan dipermudahkan, dengan disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi yang mulia dan dengan tempat semadi terpilih bersama para sahabat Rasulullah s.a.w di Jannatul Baqi’. SUBHANALLAH.


Aku belajar sesuatu yang sangat berharga dari pengalaman ini. Pada masa itu tahun 1999, aku bersama 99 orang jemaah berkongsi niat untuk beribadah menunaikan Umrah. Kematian arwah makcik isteri Haji Seman mengajar aku erti sebuah percintaan dalam hidup yang diulit serba kesederhanaan tetapi penuh dengan pengajaran tentang hubungan kemanusiaan yang didasarkan atas keinginan merebut Rahmat Tuhan. Justeru bagi aku yang bersama Haji Seman sepanjang menguruskan jenazah isterinya, aku merasakan kami diselubungi keistimewaan menerusi sebuah kematian sedang jemaah lain masing-masing terus berharap mendapat bahagian yang diinginkan. 


Bila difikirkan semula, memang aku takjub dengan cara Tuhan memberikan kemuliaan dan pengajaran. Mungkin jauh di sudut hati aku terselit sedikit kecemburuan atas Rahmat dan kasih sayang yang dilimpahkan. Bukan atas kedengkian, tapi atas rasa teruja sehingga aku terasa ingin menggantikan diriku di tempat arwah isteri Haji Seman lantaran segala apa yang aku saksikan.


Hanya semudah menjaga amanah suami dengan begitu bersungguh meskipun hidup tidak dilingkari emas permata, aku sendiri menyaksi dan merasai keistimewaan menguruskan jenazah makcik ini sedemikian rupa. Sesungguhnya benar sebagaimana ucapan Hadith Rasulullah, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” – Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 8 Disember 2012

WARKAH BUAT SI DIA...



Assalamualaikum w.b.t

Kehadapan pemilik rusuk kiri ku, semoga ketika ini kau sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta dan di bawah lindungan redha Pemilik segala yang ada di bumi dan di langit.


Sengaja aku menuliskan surat ini semata-mata sebagai peringatan kita bersama bahawa cinta itu bukan di tangan kita, tetapi di tangan Sang Pencipta.


Mungkin kini kau merasakan jarak, masa dan urusan dunia telah memisahkan kita. Tapi ingatlah, Jarak bukan alasan untuk kita berkasih. Masa bukan alasan untuk kita merindu. Dan urusan dunia bukan alasan untuk kita bercinta.


Ketahuilah bahawa cinta tidak pernah bersalah, kerana yang bersalah ialah pengendali cinta. Malah cinta itu bertamu tanpa diundang. Kerana itu cinta perlu dikendali dengan baik. Dilawan, sengsaralah jiwa. Dilayan, matilah jiwa.


Kendalikan cinta dengan sebaiknya. Andai cinta tidak didasarkan pada cinta dan keredhaan Allah, maka sia-sia sahaja ucapan cinta yang diluah. Malah mungkin sahaja cinta itu yang akan membuatkan diri kita jatuh ke lembah hina. Malah mendekatkan kita dengan azab-Nya. Nyahkan cinta seperti itu dari hidup kita. Junjunglah cinta Allah dan Rasul di atas setiap gerak geri agar cinta selain itu ikut serta dalam lindungan-Nya.


Mungkin kau tertanya apakah yang harus dilakukan untuk mendambakan cinta dari manusia soleh andai cinta tidak diluah dan rindu tidak disemai. Jawapanku mudah. Sudah lupakah kau pada ayat suci Al-quran yang bermaksud:


“ Sesungguhnya perempuan yang solehah untuk lelaki yang soleh dan yang jahat pula untuk perempuan yang jahat.”


Tetapkan hati dan yakin sepenuh jiwa bahawa janji Allah itu benar. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Cintailah manusia kerana Allah, bukan cintai Allah kerana manusia.


Seperkara yang penting, manusia sudah pasti tiada yang sesempurna malaikat. Jika kau mendambakan sempurna tiada cela dan cacat, sebenarnya kau telah tertipu. Malah hakikat pernikahan adalah untuk saling menampung yang kurang dari pasangan. Redhalah bahawa aku bukanlah lelaki sempurna. Begitu juga aku redha kau adalah wanita yang tidak sempurna.


Kerana apa aku mengharapkan pernikahan menjadi pengikat antara kita? Kerana tiada jalan lain yang lebih suci dan bersih selain jalan ini untuk menghalalkan sesuatu hubungan antara dua jantina berbeza. Mungkin kau menduga bahawa jalan ini sukar dan penuh liku. Ya, aku akuinya. Memang ianya sebuah jalan yang penuh liku. Kerana tiada sebuah kebahagiaan pun yang ingin digapai tanpa dibasahi peluh dan dicalari duri. Untuk memperoleh syurga Allah pun perlu mengorbankan harta dan jiwa. Jadi bersabarlah menghadapi kepahitan terlebih dahulu kerana aku yakin dipenghujungnya pasti kau akan temui kemanisan.


Marilah kita merealisasikan impian mahligai perkahwinan. Kerana hanya dengan perkahwinan, hati kita menjadi satu. Janji kita menjadi jitu. Dan cinta kita menjadi padu. Kemudian pasti datang menerpa kita sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku yakin kerana janji Allah tidak pernah dimungkiri.


Pesan terakhirku buat pemilik tulang rusuk kiriku, bagaimana mungkin rumah yang cantik dan besar dibina di atas tapak yang rapuh dan goyah. Begitu juga pernikahan yang suci dan mulia mana mungkin terbina atas dasar cinta yang palsu dan menipu. Kerana itu aku takut berjanji, kerana aku bimbang tidak mampu menunaikannya. Kita hanya merancang, keputusan tetap di tangan-Nya. Yakinlah. Insyaallah.


Yang benar,


Lelaki tidak sempurna.




Wallahu`alam


Jagalah Hati…