Popular Posts

Jumaat, 6 Januari 2012

BOLEHKAH KITA SELAMAT DARI SEKSAAN NERAKA...?





Saya simpan telah agak lama penulisan ini kerana bimbang ia boleh mendatangkan mudarat kepada saudara semuslim yang kurang memahami konsep khauf dan raja`. Ia tidak sesuai dibaca oleh saudara semuslim yang baru berjinak-jinak dengan budaya hidup tasawuf...

PERSOALAN: Apabila hidup ini seperti yang disampaikan oleh Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin tentang Keajaiban Hati adalah benar, maka akan ramai sekali manusia yang tidak akan selamat dari siksaan neraka. Ini kerana adalah sangat sukar, bahkan mustahil bagi manusia untuk menyelamatkan diri dari niat selain kepada Allah. Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia mempunyai dua niat dalam satu waktu, iaitu kepada Allah dan kepada manusia atau dunia disebabkan nafsu manusia condong kepada dunia yang memukau penuh ghairah ini.

Inilah kebenaran paling pahit buat kita sebenarnya. Maka akan sangat menghairankan jika masih ada manusia yang mampu tersenyum apalagi ketawa hidup di dunia ini kerana begitu mengerikan ancaman siksaan Allah kepada manusia di Hari Akhir nanti.

Soalannya, adakah hal itu benar atau ia hanya ilusi seorang Imam yang sudah mula dirasuki oleh keadaan “mabuk” dalam pemujaannya kepada Ilahi...?


JAWAPAN...

Memang benar bahawa untuk selamat dari siksaan Neraka adalah mustahil. Majoriti manusia memang tersesat. Saya katakan bahawa ia bukan ilusi dari Imam Al-Ghazali kerana bukan Al-Ghazali sahaja yang mengisyaratkan demikian. Malahan Al-Quran sendiri sudah menegaskan hal itu. Perhatikan firman-firman Allah sebagai dalil-Nya...

“Jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.” (QS 6:116)

Selain itu, memang sudah ditetapkan bahawa kita semua, pada dasarnya sedang menuju Neraka. Namun, jarang sekali orang memperhatikan hal ini.

“Dan tidak ada satu orang pun daripada kalian, kecuali mendatangi neraka itu. Hal itu, bagi Robb mu, adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.” (QS 19: 71).

Bahkan bagi sebahagian ahli hikmah, dunia ini pun sudah cukup untuk dikatakan sebagai neraka kecil. Tidak perlu lagi menunggu neraka yang sebenarnya kelak. Itulah yang membuat mereka minta diselamatkan sejak dari dunia ini lagi dengan senandung syair, madah, puisi dan sajak yang merayu-rayu pada Allah swt.

Ketika Allah menciptakan neraka, Dia berfirman pada Jibril as untuk pergi melihat neraka. Lalu Jibril as kembali dan berkata, “Demi kemuliaan Mu, tidak akan ada seorang pun yang ingin memasukinya.” Lalu Allah meliputi neraka penuh dengan perkara-perkara yang disukai nafsu dan syahwat manusia. “Pergi dan lihatlah kembali,” kata Allah. Dan Jibril as pergi, lalu kembali dengan berkata, “Demi kemuliaan Mu, aku bimbang tidak ada seorang pun yang akan selamat dari siksa api neraka.” (Tirmizi).

Perhatikan sebaik-baiknya, Jibril as sendiri pun merasa sangsi akan ada orang yang dapat selamat dari neraka.

Itulah intisari pokoknya. Secara umum, manusia di bawah sedarnya meyakini bahawa mereka dapat menjaga dan menyelamatkan diri mereka sendiri dari neraka. Mereka menyangka bahawa amal baik, perbuatan baik, bahkan perilaku membela agama, akan secara langsung menjadikan mereka sebagai ahli syurga. Perhatikanlah, betapa ramai muslim yang mati membawa kebanggaan dalam hati, kerana yakin sekali akan selamat dalam menghadapi pengadilan Allah swt...

Perhalusilah dalam melihat diri kita sendiri... Adakah masih tersisa keyakinan dalam diri kita, bahawa amal ibadah kita akan menyelamatkan kita kelak...?

Kebenarannya... bukan itu sama sekali yang menyelamatkan manusia, Tetapi yang menyelamatkan manusia, mutlak, dan tidak dapat tidak, hanya rahmat Allah swt sahaja. Hanya kehendak-Nya. Jika Allah “kebetulan” berkenan dan berbelas kasihan, maka Dia akan menyelamatkan kita.

“...Sekiranya tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih selama-lamanya...” (QS 24: 21)

“...sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Robb ku...” (QS 12: 53)

Padahal untuk sekadar beriman pun, adalah kehendak-Nya. Bukan kehendak kita, atau kehendak ibubapa kita.

“Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah...” (QS 10: 100)

Oleh itu, kita dilarang memaksa orang untuk menjadi “beriman” melalui paksaan mahu pun desakan. Jika memang Dia menghendaki, itu sangat mudah bagi-Nya. Tapi memang ia belum tentu menjadi kehendak-Nya.

“Jika Robb mu menghendaki, tentu berimanlah semua orang di muka bumi seluruhnya. Apa kamu hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman seluruhnya?” (QS 10: 99)

Itulah intinya... Yang harus tumbuh dari kita adalah sebuah pengharapan akan rahmat Allah swt, tanpa pernah berhenti walau sekejap pun. Hati kita mutlak menghadap kepada-Nya, memohon kasih sayang-Nya. Kita benar-benar bergantung dan berharap pada-Nya sahaja, bukan pada ibadah atau amal perbuatan.

Amal baik serta perbuatan ibadah pada dasarnya tidak akan menyelamatkan kita sama sekali. Ibadah dan amal statusnya hanyalah sebuah ungkapan pengharapan akan rahmat-Nya. Ia adalah ungkapan pengharapan dalam bentuk yang diperintahkan atau diwajibkan, sebuah bentuk pengharapan minimum yang harus dilakukan. Andaikan sahaja bahawa ia baru sebuah syarat untuk masuk gerbang istana Raja. Tapi bukan itu sahaja yang membuat Raja berkenan memberi. Dia harus juga mencintai kita.

“Tidak ada cara mendekatkan diri seorang hamba kepada Ku yang lebih Aku sukai selain melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah Aku fardhukan kepadanya. Namun hamba Ku itu terus berusaha mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan sunnah nawafil, sehingga Aku pun mencintainya.
Apabila ia telah Aku cintai, Aku menjadi pendengarannya yang dengan Aku ia mendengar, (Aku menjadi) penglihatannya yang dengan Aku ia melihat, (Aku menjadi) tangannya yang dengan Aku ia keras memukul, dan (Aku menjadi) kakinya yang dengan Aku ia berjalan. Jika ia memohon kepada Ku, sungguh, akan Aku beri dia, dan jika ia memohon perlindungan Ku, Aku benar-benar akan melindunginya.” (Hadis Qudsi riwayat Bukhari).

Di sisi lain, agama tidak seharusnya membuat seseorang berhenti tersenyum dan jatuh tenggelam dalam kemurungan atau putus asa. Agama yang induknya dalam kitab Quran, tidak dijadikan untuk membuat kita susah dan murung (QS 20: 2), tetapi sebagai peringatan bagi mereka yang takut (QS 20: 3). Ayatnya memang demikian: sebagai peringatan bagi orang yang takut. Jadi takut memang sebuah fasa untuk menuju-Nya.

Yang harus tumbuh memang khauf (takut) dan raja’ (harap). Bukan kebanggaan diri sebagai ahli ibadah, ahli jihad, ahli dakwah, pembela Islam, atau mati dalam keadaan merasa lebih baik dari orang lain, dan membawa kebanggaan atas semua itu.

“Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan walaupun hanya seberat zarah.” (Muslim)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa memang Allah menjadikan kita tertarik pada keduniaan. Kita memang hidup dan ditempatkan di dunia ini, dan dunia dalam kadar tertentu tentu kita perlukan sebagai alat untuk menempuhi jalan. Namun, selama kita menyangka bahawa apa yang sudah kita lakukan akan dapat menyelamatkan kita, baik di Akhirat ataupun di dunia ini, itu akan menjadi masalah besar dalam mendekatkan diri kepada-Nya.

Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda, “Mendekatlah kepada Allah (bertaqarrub) dan berusahalah sunguh-sungguh! Ketahuilah, bahawa setiap orang di antara kalian tidak bakal selamat kerana amalnya.” Para sahabat ra bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga engkau?” Rasulullah bersabda, “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahiku dengan rahmat dan kurniaan dari-Nya.” (Muslim)

Dari Jabir ra, beliau berkata, “Aku mendengar Nabi saw bersabda, “Tidak seorang pun di antara kalian dimasukkan oleh amalnya ke dalam syurga dan tidak pula diselamatkan dari neraka begitu juga aku, kecuali dengan rahmat dari Allah. (Muslim)

Renungkan, fikirkan sedalam-dalamnya dan menangislah semahunya kepada Allah swt...

Wallahu`alam
Jagalah Hati...

Wassalam

Rabu, 4 Januari 2012

JIKA SUATU MASA KITA TIDAK BERSAMA LAGI...




Jika suatu masa kita tidak bersama lagi
Aku ingin kau mengenang
segala kisah tentang kita
yang telah terpahat rapi di rangka langit
bersama segenap noktah-noktah peristiwa
juga canda dan pertengkaran-pertengkaran kecil
yang mewarnai seluruh perjalanan kita
Dalam Lengang, Tanpa Kata



Jika suatu masa kita tidak bersama lagi
Aku ingin kau tetap menyimpan
setiap denyut nadi yang berdetik
dan degup cepat debar jantung
saat mataku memaku matamu
diselang-seli derai gerimis menyapu beranda
Dalam Sepi, Tanpa Suara



Jika suatu masa kita tidak bersama lagi
Aku ingin kita meletakkan segala pedih itu
di sini, pada titik di mana kita akan berbalik
dan menyimpan senyum di belakang punggung masing-masing
lalu membiarkan waktu menggilingnya
sehingga ke sempadan cakerawala
bersama sesak rindu tertahan di dada
Dalam Diam, Tanpa Airmata



Jika suatu masa kita tidak bersama lagi
Aku ingin cinta itu tetap tersimpan rapi
pada larik bianglala, pada hujan, pada deru kereta,
pada embun di rerumputan, pada pucuk pepohonan
sambil memetik mimpi yang telah kita sematkan disana
lalu mendakapnya perlahan
Dalam Sunyi, Tanpa Cahaya



Jika suatu masa kita tidak bersama lagi
Aku ingin kita akan tetap saling menyapa
lalu merenjut angan kembali
seraya meniti ulang segala jejak yang sudah kita tinggalkan
lantas menyedari bahawa menjadi tua adalah sebuah nikmat
dan untuk itu kita tidak perlu ambil peduli
kerana kita tahu



Dalam Lengang, Tanpa Kata...


Dalam Sepi, Tanpa Suara...


Dalam Diam, Tanpa Airmata...


Dalam Sunyi, Tanpa Cahaya...


Ada Bahagia


Untuk Kita


Hanya Kita...




Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam

BILA SUAMI BERSUARA...



Wahai Isteriku...

Adakah akan membahayakan dirimu, apabila engkau menemui suamimu dengan wajah yang berseri dan dihiasi simpul senyum yang manis di saat dia masuk ke dalam rumah...?


Adakah memberatkanmu, apabila engkau menyapu debu dari wajahnya, kepala dan baju serta mengucup pipinya...?!!


Mungkinkah akan menyulitkanmu, jika engkau berkata kepada suami, “Alhamdulillah atas keselamatan Kanda, kami sangat rindu kedatanganmu, selamat datang kekasihku...”



Wahai Isteriku...

Berdandanlah untuk suamimu dan harapkanlah pahala dari Allah di waktu engkau berdandan kerana Allah itu Indah dan mencintai keindahan.


Pakailah pewangi yang harum dan berhiaslah serta pakailah busana yang paling indah untuk menyambut suamimu.


Jauhi dan tegahlah dirimu dari bermuka masam dan berkerut.


Janganlah engkau mendengar dan menghiraukan perosak dan pengacau yang ingin merosak serta menganggu keharmoniaan rumahtanggamu bersama suami.


Janganlah selalu kelihatan sedih dan gelisah, akan tetapi berlindunglah kepada Allah dari rasa gelisah, sedih, malas dan lemah.


Janganlah berbicara terhadap lelaki lain dengan lemah-lembut sehingga menyebabkan orang yang di hatinya ada penyakit mendekatimu dan menyangka hal-hal yang buruk ada pada dirimu.


Selalulah dirimu dalam keadaan lapang dada, hati tenteram ingat kepada Allah setiap saat.


Ringankanlah suamimu dari setiap keletihan, kepedihan dan musibah serta kesedihan yang menimpanya.


Suruhlah suamimu untuk berbakti kepada ibu bapanya.


Didiklah anak-anakmu dengan baik. Isilah rumah dengan tasbih, tahlil, tahmid, dan takbir. Perbanyaklah membaca Al-Quran, terutama surat Al-Baqarah kerana surah itu dapat mengusir syaitan.


Bangunkanlah suamimu untuk melaksanakan solat malam. Doronglah dia untuk melakukan puasa sunat, ingatkan dia akan keutamaan bersedekah dan janganlah engkau menghalanginya untuk menjalin hubungan silaturahim dengan karib kerabatnya.


Perbanyaklah beristighfar untuk dirimu, suamimu, serta kedua orang tua dan seluruh kaum muslimin. Berdoalah kepada Allah swt, agar dianugerahkan keturunan yang baik, niat yang baik serta kebaikan dunia dan akhirat. 


Ketahuilah sesungguhnya Robb mu Maha Mendengar doa dan mencintai orang yang merenget-renget dalam meminta. Allah swt berfirman, “Dan Robb mu berkata, “Serulah Aku, nescaya Aku penuhi doamu”” (QS Al-Ghafir: 60).



Wallahu`alam



Jagalah Hati...


Wassalam.

HATI YANG TERINDAH...




Pada suatu hari, seorang pemuda berdiri di tengah kota dan menyatakan bahawa dialah pemilik hati yang terindah yang ada di kota itu. Ramai orang kemudian berkumpul dan mereka semua mengagumi hati pemuda itu, kerana memang benar-benar sempurna. Tidak ada satu cacat atau goresan sedikit pun di hati pemuda itu. Pemuda itu sangat bangga dan mulai menyombongkan hatinya yang indah.



Tiba-tiba, sebuah suara dari kejauhan menyapa, ” Mengapa hatimu masih belum seindah hati Pak Tua itu...?”. Kerumunan orang-orang dan pemuda itu pun menjadi terkejut bercampur binggung lalu pergi melihat Pak Tua yang tidak jauh dari sana. Hati Pak Tua itu berdegup dengan kuatnya, namun penuh dengan bekas luka, di mana ada bekas potongan hati yang di ambil dan ada potongan yang lain di tempatkan di situ; namun tidak benar-benar sempurna dan ada sisi-sisi potongan yang tidak rata. Malahan ada bahagian-bahagian yang berlubang kerana di cungkil dan tidak di tutup kembali. Pemuda itu tercengang dan berfikir dalam hatinya, “Bagaimana mungkin hati Pak Tua itu boleh lebih indah dari dirinya...?



Pemuda itu melihat kepada Pak Tua tersebut, memperhatikan hati yang dimilikinya dan ketawa, ”Pakcik mesti bergurau”, katanya. “Jika dibandingkan hati Pakcik dengan hati saya, rasanya hati saya sangatlah sempurna, sedangkan hati Pakcik tidak lebih dari kumpulan bekas luka dan berlubang”. ”Ya”, kata Pak Tua itu, ”Hati kamu kelihatan sangat sempurna, namun demikian Pakcik tidak akan menukar hati Pakcik dengan hati kamu. Lihatlah, setiap bekas luka ini adalah tanda dari orang-orang yang kepadanya Pakcik berikan kasih Pakcik. Pakcik memotong sebahagian dari hati Pakcik untuk di berikan kepada mereka, dan seringkali mereka juga memberikan sepotong hati mereka untuk menutup kembali lubang yang Pakcik berikan. Namun kerana setiap potongan itu tidaklah sama, ada bahagian-bahagian yang kasar dan tidak rata. Yang sangat Pakcik hargai, kerana ia mengingatkan Pakcik akan cinta kasih yang telah bersama-sama kami bahagikan”.



“Adakalanya, Pakcik memberikan potongan hati ini begitu sahaja dan orang yang Pakcik berikan itu tidak membalas dengan memberikan potongan hatinya. Itulah sebabnya ada lubang-lubang di hati Pakcik... memberikan cinta kasih adalah suatu kesempatan. Walaupun bekas potongan itu menyakitkan, mereka tetap terbuka. Hal itu mengingatkan Pakcik akan cinta kasih Pakcik kepada orang-orang itu. Pakcik berharap, suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lubang-lubang itu. Sekarang, tahukah engkau keindahan hati yang sesungguhnya itu...?”



Pemuda itu berdiri membisu dan airmata mulai mengalir di pipinya. Dia berjalan ke arah Pak Tua itu, menggapai hatinya yang begitu muda dan indah, dan merobeknya sepotong. Pemuda itu memberikan robekan hatinya kepada Pak Tua dengan tangan-tangan yang gementar. Pak Tua menerima pemberian itu, meletakkan di hatinya dan kemudian mengambil sekeping dari hatinya yang sudah amat tua dan penuh luka, kemudian menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu. Potongan itu agak besar, tetapi tidak sempurna, kerana ada sisi-sisinya yang tidak sama rata. Pemuda itu melihat
ke dalam hatinya yang tidak lagi sempurna, tetapi kini lebih indah dari sebelumnya kerana cinta kasih dari Pak Tua itu telah mengalir ke dalamnya.



Mereka berdua kemudian berpelukan dan berjalan beriringan...



Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.

Selasa, 3 Januari 2012

SAYA KEMBALI BELAJAR...


Saya belajar... apa yang saya anggap terbaik, bukan tentu yang terbaik dari-Nya. Dan sebaliknya, yang terbaik dari-Nya belum tentu kita senangi. Teruslah bersyukur kepada-Nya atas semua nikmat dan kurniaan-Nya. Manusia hanya dapat terus berdoa dan berusaha untuk mendapat yang terbaik dari-Nya



Saya belajar... seberat apa pun cubaan yang diberikan oleh-Nya, pada akhirnya akan membuat kita menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab dan berguna. Syukurilah seluruh anugerah-Nya dengan hati ikhlas dan tulus. Segalanya berlaku dan ia berlaku dengan disertai hikmah.



Saya belajar... bahawa kedewasaan itu lebih berkaitan dengan berapa banyak pengalaman yang kita miliki dan apa yang kita pelajari dari pengalaman tersebut, dan kurang berkaitan dengan telah berapa tahun usia kita.



Saya belajar... walaupun kita berfikir tidak ada lagi yang dapat kita berikan dan lakukan, ketika seorang sahabat kesusahan dan memerlukan bantuan, kita akan selalu menemui kekuatan dan jalan keluar untuk terus menolong.



Saya belajar... jangan membandingkan diri sendiri dan kesusahan kita dengan orang lain kerana masing-masing kita ini berbeza.



Saya belajar...bahawa latar belakang dan persekitaran mempengaruhi peribadi saya, tetapi kita tetap bertanggungjawab dalam menentukan masa depan kita sendiri.



Saya belajar... bahawa saya harus bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan, serta tidak peduli bagaimana perasaan kita.



Saya belajar... bahawa saya punyai hak untuk marah, tetapi itu bukan bererti saya dapat berlaku sesuka hati saya tanpa memikirkan perasaan orang lain.



Saya belajar... bahawa saya harus memilih adakah menguasai sikap dan emosi, atau sikap dan emosi itu yang menguasai diri saya…



Saya belajar... bahawa tidaklah penting apa yang saya miliki, tetapi yang penting adalah siapa saya ini sebenarnya….



Saya belajar... jangan menilai orang dari penampilannya sahaja, itu mampu menipu. Bicara dan kenalilah orang tersebut lebih mendalam. Setiap orang memiliki kelebihan dan kebaikannya masing- masing kerana tidak ada orang yang sempurna di dunia ini.



Saya belajar... di saat susah lebih terlihat mana teman sebenar dan bukan.



Saya belajar... bahawa dua manusia dapat melihat sebuah benda yang sama, tetapi kadangkala dari sudut pandang yang berbeza….



Saya belajar... bahawa saya tidak dapat mengubah orang yang saya sayangi, tetapi semua itu bergantung dari kehendak Allah dan keinginan diri mereka sendiri….



Saya belajar... bahawa perlukan waktu bertahun-tahun untuk membina kepercayaan dan hanya beberapa saat sahaja untuk menghancurkannya…



Saya belajar... bahawa betapa buruknya patah hati yang saya alami itu, dunia tidak pernah berhenti hanya gara-gara kesedihan saya…



Saya belajar... hanya kerana 2 orang berbeza pendapat dan tidak kelihatan mesra, bukan bererti mereka tidak saling menyayangi, mencintai dan setia. Dan hanya kerana mereka selalu sependapat dan kelihatan mesra, bukan bererti mereka selalu saling menyayangi, mencintai dan saling setia.



Saya belajar... bahawa persahabatan sebenar sentiasa tumbuh subur walau dipisahkan oleh jarak yang jauh. Malahan ada beberapa hubungan sebegini melahirkan cinta sejati…



Saya belajar... bahawa jika seseorang tidak menunjukkan perhatian seperti yang saya inginkan, bukan bererti bahawa dia tidak menyayangi saya….



Saya belajar... bahawa saya tidak dapat memaksa orang lain menyayangi saya. Saya hanya dapat menunjukkan dan melakukan sesuatu untuk orang yang saya sayangi… selanjutnya terserahlah pada mereka...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...



Wassalam.

Isnin, 2 Januari 2012

MEMANCING KEKAYAAN MELALUI SEDEKAH...




Adakala kita begitu banyak berjanji atau bernazar...


“Jika saya di naikkan pangkat menjadi pengurus, saya akan memberi makan anak yatim“.


”Jika gaji saya dapat naik hingga 40% tahun ini, saya akan membelikan pembantu rumah saya baju”


” Jika perniagaan saya lancar dan mencapai sasaran, saya akan sembelih 2 ekor kambing dan di sedekahkan kepada fakir miskin “.


” Jika saya dapat jodoh tahun ini, saya akan menyumbang kepada masjid RM1,000.00”.


” Jika saya dapat menimang cahayamata tahun ini, saya akan menyumbang 1/8 pendapatan saya kepada ahli keluarga yang sempit rezekinya”.


” Jika hutang-hutang saya dapat dilunas, saya akan mengambil seorang anak angkat“


” Jika saya sembuh dari sakit yang saya deritai ini, saya akan membantu orang sakit yang tidak mampu“



Semua pernyataan atau janji-janji di atas tidaklah salah...


Tetapi, bagaimana jika semua itu tidak terjadi...?


Bukankah semuanya berlaku jika Allah yang berkehendak dan menentukan...?



Adakah jika semua yang kita inginkan tidak menjadi realiti, maka kita tidak jadi memberi makan anak yatim...?


Tidak jadi membelikan baju buat pembantu rumah kita...?


Tidak jadi sembelih 2 ekor kambing dan disedekahkan kepada fakir miskin...?


Tidak jadi menyumbang kepada masjid RM1,000.00...?


Tidak jadi menyumbang 1/8 pendapatan kita buat ahli keluarga yang sempit rezekinya...?


Tidak jadi mengambil anak angkat...?


Atau tidak jadi membantu orang sakit yang tidak mampu...?



Wahai saudara semuslimku...

Bersedekah itu adalah pancingan. Ya, pancingan atas segala ragam hajat, mahupun keinginan kita sebagai mahluk ciptaan-Nya...



Ketika kita menginginkan kehadiran anak, pancinglah dengan sedekah...


Ketika seseorang ingin mendapat jodoh, pancinglah dengan sedekah...


Ketika ingin mendapat kenaikan pangkat, pancinglah dengan sedekah...


Ketika seseorang yang menganggur inginkan pekerjaan, pancinglah dengan sedekah...


Ketika ingin perniagaannya bertambah maju, pancinglah dengan sedekah...


Ingin beli sebuah rumah, maka pancinglah dengan sedekah...


Ketika orang ingin dilepaskan kesulitannya, pancinglah dengan sedekah...



Sesungguhnya bersedekah mempercepatkan datangnya bantuan Allah swt. Jangan sayang-sayang dalam bersedekah, terutamanya bila ingin cepat dibantu Allah swt.



Maka, ketika kita mahu bersedekah, mahu mengorbankan harta kita, disaat kita tidak punya apa-apa dan di saat kita menderita, nilainya sangat luar biasa di sisi Allah swt dibandingkan dengan saat kita sedang bahagia lagi berharta...



Dan inilah kunci pembuka rezeki yang sebenarnya...!!



Ingatlah wahai saudara semuslimku.... Allah Maha Melihat, pengorbanan kita akan dilihat Allah dan Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maka jangan takut harta kita habis kerana bersedekah.



Ada 4 fadilat sedekah, iaitu


1. Mengundang datangnya rezeki


2. Menyembuhkan penyakit


3. Menghilangkan kesulitan


4. Memanjangkan umur



Jadi alangkah baiknya jika...


Sebelum dinaikkan pangkat, kita memberi makan anak yatim, kemudian setelah mendapat jawatan yang kita inginkan, kita memberi makan anak yatim lagi dengan lebih banyak.



Sebelum gaji naik 40%, kita hadiahkan pakaian kepada pembantu rumah kita. Setelah gaji naik, kita belikan baju lebih banyak lagi.



Sebelum perniagaan maju dan mencapai sasaran, kita sembelih dulu 2 ekor kambing dan dibahagikan kepada fakir miskin. Setelah perniagaan semakin maju, kita sembelih lagi 4 ekor kambing.



Sebelum dapat jodoh tahun ini, kita sumbang kepada masjid RM1,000.00. Setelah dapat jodoh, kita sumbang lagi buat masjid RM2,000.00



Sebelum dapat cahayamata, kita bantulah keluarga terdekat yang miskin. Setelah dikurniakan anak, kita tambah lagi bantuan untuk keluarga terdekat yang tidak mampu.



Sebelum hutang-piutang dapat dilunaskan, jual pemain DVD Blueray kita yang mahal, jual televisyen Plasma kita, atau apa pun harta yang kita cintai, wangnya digunakan untuk mengambil anak angkat. Setelah segala hutang-hutang dapat diselesaikan, kita tambah lagi anak angkat.



Sebelum sembuh dari sakit, kita membantu orang sakit yang tidak mampu. Setelah sembuh dari sakit, kita tambah lagi batuan untuk orang sakit yang tidak mampu...



Ingatlah wahai saudara semuslimku, Allah Maha Melihat apa yang kita lakukan kerana Dia jua Penggenggam segala kejadian dan harapan atas semua mahluk ciptaan-Nya. Jadi, janganlah menunggu hari esok... sebelum segalanya menjadi terlambat...




Wallahu`alam




Jagalah Hati...



Wassalam.