Popular Posts

Selasa, 6 September 2011

SEBUAH RISALAH CINTA : BUAT YANG PATAH HATI...


Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja, siapa tahu nanti akan jadi musuhmu…”

Kita telah sering mendengar sepatah kata yang mampu menyihir hati menjadi bergetar kerananya, iaitu CINTA. Sebuah kata yang berjaya menjadi tonggak kehidupan di dunia, CINTA. Ia melahirkan sebuah perasaan damai yang bersemayam di hati setiap insan, CINTA. Satu kata yang telah mewarnai hidup setiap manusia, CINTA…

Kata yang telah membangunkan insan-insan yang tidur, yang menyedarkan orang-orang yang terlelap, dan yang membangkitkan orang-orang yang patah semangat. Itulah yang sering disebut CINTA.

Cinta yang indah, yang membuat dunia ini sempit bagai milik berdua, yang menjadikan bumi tempat berpijak bagai karpet merah dan permadani mewah, yang menjadikan langit bagai pantulan wajah orang yang dicintai, yang membuat lautan bagai lukisan tentang keindahan yang dicintai, yang membuat kicauan burung bagai panggilan dari sang pecinta

Namun, bila rasa cinta yang tumbuh di hati itu ternyata tidak sesuai dengan realiti, tidak sesuai dengan harapan yang semestinya, maka ramai orang menjadi gila akibat cinta mereka. Perasaan mereka yang awalnya diselimuti cinta yang lembut kini telah berubah menjadi perasaan yang kalut. Yang awalnya bunga asmara berkembang dengan indahnya, tiba-tiba menjadi kebun kering kontang seperti terkena rebut taufan. Yang awalnya perasaan cinta itu menjadi tiang penyangga yang kukuh, kini telah berubah menjadi sebuah tiang yang rapuh. Cinta yang awalnya menjadikan hati bagaikan bangunan yang megah kini telah menjadi debu penuh derita.

Ya, cinta yang awalnya menjadi sebuah ubat kini telah menjadi racun. Bila orang itu merasakan hancurnya cinta, maka ia juga akan merasakan hancur hidupnya. Hancurnya perasaan seseorang akan terpancar pada hancurnya diri orang itu sendiri. Ya, hanya kerana patah hati.

Seseorang yang patah hati seakan terumbang-ambing dan tidak lagi stabil. Dirinya gelap mata hanya kerana mata cintanya telah terpejam. Haruskah orang yang patah hati merasakan semua kepedihan itu…? Haruskah bila setiap orang yang patah hati meneguk habis setiap titisan penderitaan itu? Patutkah orang yang telah hancur cintanya menghancurkan hidupnya sendiri? Jawapannya adalah TIDAK!


BERMAIN HATI…?

Sebenarnya, cinta bukanlah satu kata yang dapat dengan mudah kita wujudkan. Perlu pelbagai macam rintangan, ujian, dan cubaan demi mematangkan cinta kita. Demi membuat cinta kita adalah cinta yang kuat, yang tidak mudah goyah, yang akan menjadi cinta yang kukuh, yang menjadi cinta yang berakar dalam hati, cinta yang benar-benar tidak lagi lemah.

Urusan cinta bukanlah hal yang mudah. Cinta yang lemah maka akan mudah pula dihempas zaman. Cinta yang rapuh maka akan mudah pula diruntuhkan waktu.

Cinta seharusnya perasaan yang kuat, perasaan yang benar-benar muncul dari lubuk hati terdalam. Ia mampu memunculkan setitis pelita cinta yang hangat. Yang mampu menjadi penggerak semangat tidak berputus asa. Yang muncul sebagai api cinta yang akan menerangi kehidupan kita.

Namun sebagai akibatnya, kita harus sentiasa bersedia ketika cinta itu diuji. Ini kerana dunia adalah medan pertarungan cinta. Cinta tidak akan pernah menjadi sempurna bila cinta kita itu sendiri tidaklah teruji dengan berbagai masalah.

Dan sudah semestinya setiap orang harus faham akan konsep ini. Kebanyakan orang tidak mengerti akan hal ini dan ketika cinta mereka diuji maka cinta mereka tidak kuat menahannya. Dan hasilnya…? Cinta itu akan mudah pudar. Cinta itu akan dengan mudahnya menghilang. Oleh kerana mereka tidak mengerti bahawa cinta itu adalah sebuah jalan yang menentukan dan bukan hanya sekadar permainan.

Cinta menjadi salah satu penanda aras kejayaan kita di dunia dan keselamatan kita di Akhirat. Perhatikanlah bagaimana jalan cinta orang-orang yang derhaka. Orang-orang yang hanya mencipta cinta sesuai dengan hawa nafsunya. Maka sungguh mereka adalah golongan yang rugi.

Tetapi bila kita mampu menjalankan cinta ini sesuai dengan kudrat dan kadarnya, maka inilah salah satu jalan keselamatan. Cinta yang tidak hanya suatu yang dipermainkan hawa nafsu, cinta yang tidak hanya menjadi senda gurau belaka.

Masihkah kita ingat bagaimana cintanya isteri Aziz kepada Nabi Yusuf as? Ketika ia dengan cinta yang telah dipermainkan hawa nafsunya mengajak Yusuf untuk berzina. Namun ingatlah ketika Nabi Yusuf as, yang saat itu sudah hendak ingin terjerat dalam rayuan wanita itu. Ia mampu menahan perasaannya kerana jiwa yang ia miliki tidak diperturutkan kepada hawa nafsunya.


CINTA…SEBUAH KATA KERJA

Dan yang harus diperhatikan oleh setiap orang ialah bahawa cinta itu sebenarnya sebuah kata kerja dan bukan kata sifat. Sebuah kata yang sudah seharusnya kita yang mengendalikan dan bukan kita yang dikendalikan.

Jika cinta dijadikan kata sifat dalam kamus kehidupan kita, maka kita akan hancur sendiri kerana cinta. Ini kerana bila cinta dan nafsu yang mengendalikan kita, maka hancurlah kehidupan.

Perhatikanlah bagaimana orang-orang yang tidak mampu mengendalikan cinta mereka. Mereka gelap mata kerana perasaan mereka sendiri, mereka hancurkan diri mereka dengan hati mereka sendiri. Akal mereka dikendalikan oleh selubung mabuk asmara. Fikiran mereka telah dikaburkan dengan “arak” yang bernama cintanikmat, namun mematikan

Tetapi lihatlah bagaimana orang-orang yang menjadikan cinta itu sebagai kata kerja. Sebagai sebuah perasaan yang mampu dikendalikan. Akal dan hatinya tidak dibawah kawalan hawa nafsu atas nama cinta. Mereka mampu mengatur kadar cinta mereka. Mereka tidak menjadikan diri mereka sebagai hamba gelora asmara mereka sendiri.

Bila cinta mereka sesuai dengan harapan, maka mereka akan bersyukur. Namun bila cinta mereka tidak sesuai dengan keinginan, mereka tidaklah kufur. Mereka tidak menghancurkan diri sendiri hanya kerana cinta. Mereka mampu mengatur hati dan perasaan mereka.


CONTOH TERBAIK

Dan bila kita ingin mengaplikasikannya dalam kehidupan kita, maka sudah seharusnya kita kembali melihat ke belakang. Melihat contoh terbaik yang berasal dari generasi terbaik, iaitu generasi sahabat, lalu tabi’in, dan para salafusoleh.

Suatu hari, Salman al-Farisi ra ingin meminang salah seorang wanita Madinah. Namun kerana Salman ra yang berasal dari Parsi tidak tahu bagaimana cara untuk meminang wanita Madinah, maka ia meminta bantuan sahabatnya, Abu Darda ra untuk meminang salah seorang wanita.

Ketika sampai di rumah si wanita dan setelah mengutarakan maksud dan tujuan untuk meminang, akhirnya keluarga wanita itu memberikan jawapan balas. Keluarga wanita itu menolak pinangan Salman, tetapi menerima Abu Darda ra jika Abu Darda ra berkeinginan untuk menikahi wanita itu.

Apa reaksi Salman ra? Adakah Salman ra marah kepada Abu Darda ra ? Adakah Salman ra melaknat Abu Darda ra? Adakah Salman ra memutuskan hubungannya dengan Abu Dardara ? Maka jawapannya adalah TIDAK…!

Yang terjadi adalah sebaliknya. Salman ra rela dengan keputusan keluarga wanita itu. Lalu dalam salah satu riwayat, Salman ra berkata,Aku menghendaki wanita itu, namun ia menghendaki kamu, wahai Abu Darda.

Dan dalam riwayat lain Salman ra berkata,Semua mahar dan nafkah yang ku persiapkan ini akan aku serahkan kepada mu, wahai Abu Darda dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian

Sebuah kisah yang benar-benar mengharukan hati kita. Membuktikan bahawa cinta bukanlah suatu yang liar, melainkan mampu dikendalikan. Dan Salman ra telah membuktikannya. Ia tidak diperbudak dengan cinta dan nafsunya. Namun ia melihat melalui kacamata keikhlasan. Ia tidak pernah memaksa kehendak cintanya dipenuhi. Kerana ia tahu bagaimana sebenarnya cinta yang matang. Ia tahu bahawa cinta yang sempurna datang dari hati yang kuat dan bukan hati yang lalai lagi lemah.

Sementara itu, ada lagi salah satu kisah unik dari Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

Dahulu Ibnu Qayyim jatuh cinta pada salah satu puteri Imam Al-Mizzi (salah seorang ulama ahlussunnah). Ia sangat mencintainya. Namun Imam al-Mizzi tidaklah menikahkan puterinya dengan Ibnu Qayyim, tetapi Imam Al-Mizzi menikahkah puterinya dengan Ibnu Katsir, murid Ibnu Qayyim sendiri.

Apakah dengan itu lantas Ibnu Qayyim marah pada Ibnu Katsir? TIDAK!. Lihatlah bagaimana orang-orang cemerlang menjadikan cinta itu sebuah kata kerja, sebuah kata yang ia sendiri yang mengendalikannya.

Kesimpulannya, patah hati bukanlah sebuah alasan. Bukan pula menjadi penghalang. Kerana cinta itu perlukan ujian untuk semakin mematangkannya. Cinta yang sempurna muncul dari hati yang kuat. Fahamilah bahawa cinta itu luas dan bukan sekadar permainan belaka. Hidupkan cinta kita dengan cinta, dan jangan hentikan curahan cinta kita itu hanya kerana patah hati. Bangkitlah dari kedukaan kita itu…!

Wallahua’lam.


Jagalah Hati…

Wassalam.

Isnin, 5 September 2011

HARAPAN vs ANGAN-ANGAN...



HARAPAN ADALAH YANG DISERTAI AMAL. JIKA TIDAK IA ADALAH ANGAN-ANGAN. 



Harapan dan angan-angan adalah dua perkara yang serupa tetapi datang melalui saluran yang berlainan, lalu meninggalkan kesan yang berbeza. Segala perkara yang datangnya dari Kudrat dan Iradat Allah swt akan diasingkan apabila sampai ke perbatasan langit dunia. Sebahagiannya diserahkan kepada dunia dan sebahagian lagi dipelihara daripada gangguan dunia. Apa sahaja yang diserahkan melalui dunia akan melahirkan kekeliruan dan keraguan serta menutup kebenaran. Apa yang tidak diusik oleh dunia akan tetap berada dalam kesucian yang murni dan tidak putus dari tali kebenaran. Sesiapa yang menerima hidangan dari dunia akan menerima kesannya iaitu gambar-gambar sangkaan dan khayalan. Salah satu kesan yang didatangkan oleh dunia adalah angan-angan.


Angan-angan adalah sejenis alam khayalan yang berada di bawah bumbung langit dunia. Di dalam alam ini seseorang itu boleh mendapatkan apa sahaja dengan cara berkhayal, dan yang diperolehi dari khayalan itu menimbulkan sejenis kelazatan atau kepuasan kepada nafsu orang yang berkenaan. Misalnya, seorang pemuda yang tergilakan seorang gadis, boleh mendapatkan gadis itu di dalam alam khayal dan berbuat apa sahaja yang mendatangkan kelazatan dan kepuasan. Alam khayalan ini juga yang menyambut penagih-penagih dadah dan peminum arak. Banyaklah yang boleh didapati di dalam alam khayalan, tetapi apabila kesedaran datang semula seseorang itu akan berpisah daripada semua yang dimilikinya di dalam alam khayalan tadi. Kelazatan di sana boleh dinikmati di sana sahaja, tidak boleh dibawa kepada alam nyata ini. 


Pada saluran yang tidak diganggu oleh dunia, perkara yang berbeza terjadi. Apabila seseorang memperolehi kurniaan dari Allah swt yang tidak dikotori oleh dunia, akan lahirlah satu tenaga di dalam dirinya yang dinamakan harapan. Jika angan-angan mengheret seseorang kepada alam khayalan, harapan pula mengemaskan kedudukannya berpijak di atas bumi kenyataan. Tenaga harapan adalah tenaga yang datangnya dari Allah swt. Pengurniaan tenaga harapan adalah tanda bahawa si hamba itu diasingkan daripada kekufuran kerana tidak berputus asa melainkan orang kafir. Tenaga harapan menjadi benteng memisahkan iman daripada kufur. Orang yang memperolehinya sebenarnya mendapat taufik dan hidayat dari Allah swt. Apabila Allah swt mengurniakan kepada hamba-Nya harapan itu tandanya yang Dia berkenan membawa si hamba itu kepada apa yang diharapkan. Tenaga harapan akan menggerakkannya menuju kepada apa yang disediakan untuknya. Pergerakan atau amal tidak terpisah daripada tenaga harapan.


Jauh sekali perbezaan antara orang yang berharap dengan orang yang berangan-angan. Rasulullah saw bersabda, “Orang bodoh adalah yang memperturutkan hawa nafsunya dan berangan-angan mendapatkan syurga dari Allah swt” ( Maksud Hadis ) 


Allah swt berfirman, “Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Robb kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!” (QS Fussilat: 23 ) 


Orang yang diheret oleh angan-angan akan jatuh ke dalam jurang kebinasaan, rugi di dunia dan lebih rugi lagi di Akhirat. Orang yang diheret oleh harapan dengan berbagai-bagai amal itulah yang berjaya, baik di dunia dan lebih baik lagi di Akhirat. 


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Ahad, 4 September 2011

DOA SEORANG ANAK KECIL...





Ya Allah yang Maha Besar…

Saat ini ku datang mengganggu Mu lagi, semoga Engkau tidak bosan mendengar suara dan ceritaku hari ini. Robb ku. kata ibubapaku Engkau selalu menjaga dan melindungiku dalam hidup ini. Bolehkah aku bertanya sesuatu tentang Mu, dimanakah Engkau berada…? Sebenarnya aku telah mendengar banyak sekali jawapannya. Kata mereka di langit tinggi rumah Mu, ada juga yang mengatakan di Syurga, dan kata bapaku…, Engkau ada di hati orang beriman…


Jawapan manakah yang benar, wahai Robb ku? Bolehkah aku mengatakan sesuatu pada Mu, aku pun ada jawapan untuk pertanyaan "Engkau dimana?". inilah jawapanku Ya Robb… aku merasakan kehadiran Mu ketika aku menutup mata dan menyebut nama Mu pada saat ini. Engkau ada di saat mataku tertutup dan hatiku mencari Mu.... Engkau selalu ada. Itulah yang ku fikirkan, sebab bila ku ingat pada Mu, aku akan menutup mata dan menyebut nama Mu dalam doaku.



Ya Allah yang Maha Pengasih…

Suatu hari nanti aku akan membesar menjadi dewasa. Ku harap Engkau tidak membiarkanku sendirian di sana kerana perjalanannya terlalu bergelora untuk aku menempuhi hidup ini. Aku melihat ramai orang berlumba-lumba meraih kejayaan hingga lupa untuk mengangkat mereka yang terjatuh… Aku tidak melihat makanan yang bersih dan sihat yang dapat mereka sajikan di meja makan hari ini. Aku tidak melihat anak-anak mereka bersekolah ataupun dapat melanjutkan pelajaran hingga menara gading. Aku melihat mereka terpaksa berada di jalanan, di pasar, di antara mereka yang asyik berbelanja, dan di tepian pantai menjaga dan memandang lautan Mu.


Aku melihat kegusaran di wajah mereka yang cuba di tutupi dengan senyuman tawar. Aku melihat mereka tidak peduli dengan apa jua yang mendatang. Aku melihat mereka begitu lemah dan berharap agar kesombongan manusia yang berharta berlalu pergi. Aku melihat mereka enggan pulang ke rumah tanpa satu kilogram beras yang harganya semakin mahal. Aku melihat mereka berjalan seperti orang kelaparan yang sedang mencari sisa makanan di negeri tanpa pepohonan dan belukar. Aku merasakan nafas mereka yang tersemput-semput seperti diburu pemburu liar. Aku mencium bau dari tubuh mereka tidak sewangi pandan yang ditanam ibu. Aku tidak tahu mengapa semua itu berlaku…seolah-olah hidup mereka tidak terlepas dari keadaan yang memilukan.



Ya Allah yang Maha Penyayang…

Lalu timbul pertanyaan dalam hatiku…, adakah mereka tidak pernah meminta belas kasih Mu? Adakah mereka sudah Engkau tetapkan sebagai orang-orang yang harus menanggung kesusahan? Dan sementara kami pula jauh dari semua kesusahan yang mereka alami. Apakah mereka tidak memiliki semangat dan harapan untuk mendapatkan hidup yang lebih baik? Apakah mereka kurang bekerja keras untuk menolong diri mereka sendiri? Apakah dunia bukan tempat bagi mereka untuk menikmati segala kebaikan yang Engkau berikan? Apakah dunia tidak layak untuk orang-orang seperti mereka mendapatkan rasa yang membuat pancaran kehidupan terlihat di wajah mereka?


Jika aku yang harus menolong mereka, mengapa kesusahan telah ada sejak lama sebelum kelahiranku…? Mengapa banyak mata yang melihat seolah-olah tidak bersimpati? Mengapa orang dengan mudah berlalu meninggalkan mereka tanpa teman? Mengapa seolah-olah tidak ada yang mengenali mereka… 



Ya Allah, sampai bilakah harus mereka tanggung penderitaan dan kesusahan…?


Ya Allah, sampai bilakah Engkau akan membiarkan keadaan ini…?


Ya Allah, sampai bilakah dunia dalam genggaman tangan Mu menangis pilu?



Ya Allah yang Maha Adil…

Kami semua bernafas dan menghirup wangi dunia Mu, tubuh yang sama, yang mudah lelah dan kesakitan, air mata yang sama yang mengalir kala dukalara menghampiri, hati yang sama sebagai takhta Mu, darah yang sama yang mengalir dalam tubuh kami, tubuh yang sama yang merasakan panas dan dingin yang Engkau berikan…Masih adakah sesuatu yang berbeza yang memisahkan kami dari penderitaan dan kebaikan dalam dunia ini…?



Ya Allah yang Maha Perkasa…

Demi nyawa kami yang tergantung dalam kekuasaan Mu, jangan biarkan mereka semakin jauh dari Mu kerana penderitaan yang panjang ini. Jangan biarkan kami terlena dan terucap bangga ketika berbagai kesusahan masih merajai sesama kami, saudara kami, bahkan mereka yang menyakiti kami…



Ya Allah yang Maha Mengetahui…

Jika semua yang ada di dunia ini adalah milik Mu, berikanlah pada mereka apa yang mereka perlukan walaupun hanya sehari, walaupun mereka akan berharap seribu hari lagi menerima dari Tangan Mu…



Ya Allah yang Maha Menguasai… inilah doaku malam ini setelah sepanjang hari berjalan melihat-lihat sekeliling tempat tinggalku di Aidilfitri ini...


Isilah ruang hampa di hati mereka yang berkata "Tidak ada Robb”
 




Wallahu`alam






Jagalah Hati...


Wassalam.

Sabtu, 3 September 2011

BUAT ISTERIKU...



Isteriku...
Marilah kita sambut malam ini
Dalam keheningan semesta
Dan luruhnya jiwa raga
Biarkan gelapnya bercerita
Dan pekatnya membuka rahsia kita
Biarkan anginnya mengikis dosa
Dan dinginnya membungkus luka
Agar berkurangan segala cemas
Agar rasa harap pun tidak terlepas


Isteriku...
Marilah mendekat
Agar dapat ku bisikan doa
Dan dapat ku cium aroma jiwa
Hingga terbaca segala harap
Dalam sikap
Dalam ucap
Dan segala hati yang tersingkap


Isteriku...
Bukankah purnama ada bersamamu
Hingga tetap mempersona semua kelemahanku
Maka jangan jadikan itu kesempatan untuk menjatuhkanku
Kerana aku pun sedar betapa lemahnya aku
Dan jangan jadikan kelemahanmu
Sebuah alasan untuk menjauhiku
Alangkah eloknya
Jika kelemahan kita menjadi kuat
Dengan saling mengikat
Dalam jiwa
Dalam kerdip mata
Dalam kata
Dalam kerja


Isteriku...
Bukankah bintang selalu menghias malam-malammu
Hingga nampak indah segala kekuranganku
Maka jangan jadikan itu kabus yang menutup kebaikanku
Kerana aku pun yakin betapa kebaikanku amatlah sedikit
Jangan pula sisi kekurangan ku
Menjadi helah mu untuk menahan hak ku
Mungkin sebaiknya kita ubah
Dengan semangat
Saling menghiasi hati
Saling mengisi
Saling memberi
Saling menahan diri
Saling mengingatkan lupa
Saling menegur jika alpa


Isteriku...
Bukankah mentari masih datang kala pagi
Hingga terang apa yang sebelumnya tertutup
Jika kau lihat ada kekuatanku
Jangan biarkan aku berjalan sendiri
Kerana sejujurnya aku tidak akan mampu menghadapi
Dan jangan sampai pula kekuatanmu
Sebagai alasan untuk meninggalkanku pergi
Rasanya akan hebat sekali
Jika kekuatan kita saling bergabung
Menyatukan yang terpisah
Menghimpun yang terserak
Saling merengkuh
Menjadi teguh
Menjadi kukuh


Isteriku…
Bukankah angin bayu masih menyapa
Hingga terasa indahnya menjejaki dunia
Maka jangan kau tutup mata dan telinga
Tegaklah bersamaku di sisi
Dalam peluk kasih pelangi
Aku merasakan cintamu setiap hari
Dalam dakap hangat mentari
Ku temukan kasihmu membakar semangat
Dalam taburan bintang di langit tinggi
Ku rasakan senyummu melembutkan hati


Isteriku…
Marilah istirehatkan hati
Dalam kelembutan malam penuh mahabbah
Rebahkan ego dalam hamparan rahmat
Baringkan kesombongan dalam selimut pasrah
Bebaskan sikap nifakmu dengan selendang keikhlasan
Ikat keluh kesahmu dalam kantong kesabaran
Marilah pejamkan mata
Agar hilang semua keinginan dunia
Agar besok dapat kita lanjutkan
Langkah ke depan
Perjalanan yang belum selesai
Menuju negeri keabadian...



Jagalah Hati...

Wassalam