Popular Posts

Sabtu, 6 Ogos 2011

DOA RAMADHAN...


Sesiapa yang berdoa dengan doa ini di bulan Ramadhan selepas setiap solat fardunya, Allah akan mengampuni dosanya hingga Hari Kiamat, insya Allah...


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang
اَللّـهُمَّ صَلِّ عَلى مُحَمَّد وَ آلِ مُحَمَّد
Ya Allah, sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad
اَللَّهُمَّ اَدْخِلْ عَلَى اَهْلِ الْقُبُوْرِ السُّرُوْرَ
Ya Allah, masukkan kebahagiaan kepada penghuni kubur
اَللَّهُمَّ اَغْنِ كُلَّ فَقِيْرٍ
Ya Allah, kayakan setiap yang fakir
اَللَّهُمَّ اَشْبِعْ كُلَّ جَائِعٍ
Ya Allah, kenyangkan setiap yang lapar
اَللَّهُمَّ اكْسُ كُلَّ عُرْيَانٍ
Ya Allah, beri pakaian setiap yang telanjang
اَللَّهُمَّ اقْضِ دَيْنَ كُلِّ مَدِيْنٍ
Ya Allah, tunaikan hutang setiap yang berhutang
اَللَّهُمَّ فَرِّجْ عَنْ كُلِّ مَكْرُوْبٍ
Ya Allah, bahagiakan setiap yang menderita
اَللَّهُمَّ رُدَّ كُلَّ غَرِيْبٍ
Ya Allah, kembalikan setiap yang terasing
اَللَّهُمَّ فُكَّ كُلَّ اَسِيْرٍ
Ya Allah, bebaskan setiap yang tertawan
اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ كُلَّ فَاسِدٍ مِنْ اُمُوْرِ الْمُسْلِمِيْنَ
Ya Allah, perbaiki setiap yang rosak dari urusan kaum muslimin
اَللَّهُمَّ اشْفِ كُلَّ مَرِيْضٍ
Ya Allah, sembuhkan setiap yang sakit
اللَّهُمَّ سُدَّ فَقْرَنَا بِغِنَاكَ
Ya Allah, kayakan kami dengan kekayaan-Mu
اَللَّهُمَّ غَيِّرْ سُوْءَ حَالِنَا بِحُسْنِ حَالِكَ
Ya Allah, ubahlah keburukan keadaan kami dengan kebaikan keadaan-Mu
اَللَّهُمَّ اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَاَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
Ya Allah, tunaikan hutang kami dan kayakan kami dari kefakiran
اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu
اَللّـهُمَّ صَلِّ عَلى مُحَمَّد وَ آلِ مُحَمَّد
Ya Allah, sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad

Jumaat, 5 Ogos 2011

BELAJAR PUASA DARI RAMA-RAMA...



Rama-rama adalah serangga yang sangat indah dan menarik. Sayapnya yang berwarna-warni dengan motif yang sangat elok serta kelincahannya terbang dari satu bunga ke bunga yang lain, menjadi daya tarikan bagi setiap orang untuk mengagumi makhluk ciptaan Allah ini.


Rama-rama tidak hadir begitu saja ke muka bumi ini, tetapi melalui proses metaformosis dari serangga yang bernama ulat. Menyebut namanya, mungkin ada sebahagian orang yang jijik, geli dan takut kerana ia menjadi penyebab kulit gatal, perosak tanaman dan sebagainya. Ia begitu sinonim dengan sifat yang tidak baik. Hampir tidak ada orang yang mahu menyentuhnya.


Namun, ketika seekor ulat berubah menjadi rama-rama yang cantik dan indah, semua orang pun berusaha memilikinya, malahan mengaguminya. Mereka tidak merasa takut dengan seekor rama-rama yang sesungguhnya berasal dari ulat. Itulah rama-rama, serangga yang indah dan menarik. Makanannya pula dari bahan-bahan pilihan dan selalu membantu proses pendebungaan tanaman.




Untuk menjadi rama-rama, seekor ulat terlebih dahulu menjadi kepompong. Itulah sebuah metamorfosis, yang dalam bahasa manusianya sedang menjalani puasa, menjauhkan diri dari makan dan minum, menutup dirinya dari hiruk pikuk kehidupan dunia. Ia begitu mirip dengan cara kita beriktikaf, iaitu merenung diri dan melakukan muhasabah diri, sehingga keluar menjadi rama-rama yang indah, disayangi semua orang dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


Itulah barangkali gambaran puasa Ramadhan yang diharapkan oleh Allah swt terhadap orang-orang yang beriman. Kita, umat manusia yang banyak melakukan salah dan dosa, hendaknya boleh belajar dari ulat dan mengubah diri menjadi manusia yang bertakwa dan disayangi Allah swt.


Petua untuk menjadi manusia yang disayangi Allah swt itu adalah, pertama, orang-orang yang berjalan di muka bumi ini dengan rendah hati (tidak sombong) dan apabila orang jahil menyapa, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. (QS 25: 63).


Demikianlah gambaran orang mukmin yang berpuasa, sentiasa menyebarkan kelembutan dan keindahan, serta tidak suka berbuat onar dan kerosakan, di manapun dia berada. Sebagaimana sifat rama-rama yang hinggap di sebuah dahan yang tidak akan pernah ada yang patah sekecil apa pun dahan yang dihinggapinya.


Kedua, mereka yang sentiasa mendirikan solat lima waktu dan solat tahajud di malam hari sebagai wujud syukur kepada Allah (QS 25: 64, 73). Sepertimana rama-rama, di manapun seorang mukmin berada, dia akan selalu melaksanakan perintah Allah, menebarkan kasih sayang, dan menolong orang lain. Sebab, ia menyedari bahawa sesungguhnya dirinya hanyalah seorang hamba yang juga tidak memiliki kemampuan apa-apa tanpa anugerah dari Allah swt.


Ketiga, orang yang berjaya dalam puasanya, ia akan memilih makanan dari yang halal dan baik-baik sahaja, layaknya seperti rama-rama yang hanya memilih sari madu bunga sebagai makanannya. Orang yang berpuasa dan mukmin sejati, akan sentiasa menjauhkan diri dari yang haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, dan lainnya. (QS 2: 168)


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Khamis, 4 Ogos 2011

SURAT CINTA DARI ILAHI...



Marilah kepada Ku hamba-hamba Ku

Bersegeralah pulang ke pangkuan Ku

Segeralah bertaubat…!

Aku tetap menerimamu, percayalah,

Aku tahu kamu hamba-hamba Ku…ciptaan Ku



Kamu adalah lemah

Kelalaian dan kealpaan adalah watak mu

Aku mahu kau akui kelemahan itu.

Setiap kali bersalah kamu datang kepada Ku

Kemudian mengakulah bersalah

Menangislah di depan Ku

Tanda penyesalan yang tidak sudah

Jika engkau lakukan lagi tanpa nawaitu

Menyesallah, merintihlah, menangislah



Ketahuilah wahai hamba-hamba Ku

Rintihan orang yang berdosa

Lebih aku cintai daripada tasbih para wali

Wahai hamba-hamba Ku

jangan bertangguh-tangguh lagi

Siapakah yang tidak bersalah, kamu adalah hamba

Tapi Aku suka orang yang mengaku salah

Aku cinta kepada orang yang bertaubat

Minta ampunlah kepada Ku

wahai hamba-hamba Ku

Janganlah bertangguh-tangguh lagi

Aku tetap menerima Mu



Bukankah Aku Robb mu

Kasih Ku kepada hamba-hamba Ku

Lebih dari seorang ibu yang kasih

kepada anak-anaknya

Begitulah kehendak Allah

kepada hamba-hamba-Nya

Mengikut keterangan Al Quran dan As Sunnah.



JAGALAH HATI

Rabu, 3 Ogos 2011

GELISAH MENYAMBUT RAMADHAN...



Ilahi…
Aku tidak tahu mengapa aku ini.
Aku berlainan sekali dari orang lain
Setiap kali kedatangan Ramadhan mereka menyambut dengan gembira
Muka-muka mereka kelihatan ceria

Tapi aku berlainan pula
Kedatangan Ramadhan penuh dukacita
Bukan aku benci dengan bulan Mu
Yang penuh dengan rahmat dan berkat
Tapi aku benci dengan diriku
Aku bimbang Ramadhan Mu aku tidak dapat mengisi dengan sebaik-baiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Bahkan adakalanya aku rasa puasaku terbatal selalu
Solat yang aku bina tidak sah
Tarawih dan bacaan Al Quranku tidak sampai ke mana

Ilahi…
Inilah yang menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan
Aku tidak tahu apakah ini satu kesalahan
Ampunkan aku ya Allah!
Maafkan aku!
Kalau ini satu kesalahan
Pimpinlah aku
Dan betulkanlah sikapku
Sekali lagi aku memohon ampun dari-Mu

Jagalah Hati...

Wassalam

Selasa, 2 Ogos 2011

PUASA MENUJU AKHLAK ILAHI...



Kesabaran… Mutiara kehidupan ini seakan-akan makin pudar dari dalam diri masyarakat kini, termasuk sebahagian umat Islam di negara tercinta ini. Oleh kerana kurangnya kesabaran, kita mudah emosional dan marah sehingga akhirnya terlibat dalam permusuhan, perkelahian, persengketaan sesama saudara muslim dan warga bukan muslim. Kesabaran seakan-akan tidak berharga dan tidak memiliki makna positif bagi kehidupan ini. 


Padahal, kesabaran sangat diperlukan sepanjang hidup. Kesabaran diperlukan ketika kita berhadapan dengan nafsu yang sering tidak terkawal. Contohnya, nafsu ingin makan dan minum di kala siang Ramadhan yang kali ini kita jalani. Keinginan tersebut dan kehendak untuk memuaskan syahwat dapat ditahan atau dikendalikan dengan kesabaran. Kesabaran juga diperlukan ketika nafsu serakah dan rakus terhadap harta dan kekuasaan menguasai diri kita. Dengan kesabaran, kita tidak melakukan rasuah dan penyelewengan kekuasaan.


Kesabaran juga seolah-olah tidak lagi menjadi "hiasan" hati dan akhlak masyarakat kita dalam kehidupan politik. Atas nama demokrasi, hak asasi, dan perubahan, ketidaksabaran terlahir dalam demonstrasi masyarakat, mulai dari pekerja, guru, pelajar, mahasiswa, hingga ke pekebun, penternak dan tukang sapu. Seakan-akan, makna serta kandungan kesabaran dan perubahan bertentangan.


Ketidaksabaran turut terlihat dari kelakuan elit dan pemimpin parti politik yang berlumba menggerak serta merebut pengaruh dari kalangan massa, termasuk dengan politik wang. Ketidaksabaran juga dapat dilihat pada kelakuan anggota keselamatan yang ringan tangan dan mudah menggunakan kekerasan. Hasilnya, sering ada korban, bukan hanya harta benda, bahkan nyawa. Selain itu,ketidaksabaran tersebut telah melahirkan luka-luka sosial.


Begitulah, tanpa kesabaran, yang ada hanyalah kerugian. Ketidaksabaran selalu berlawanan dengan keberuntungan. Kerugian biasanya datang sehingga sering menimbulkan penyesalan. Padahal, Allah swt selalu menyatakan bahawa Dia bersama orang-orang yang sabar. Tanpa kesabaran, orang yang bersangkutan bakal mengalami kerugian belaka. "Demi masa. Sesungguhnya, manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling mengingatkan (menasihati) tentang kebenaran dan kesabaran” (QS 103: 1-3) 


Kesabaran jelas diperlukan dalam amar makruf dan nahi mungkar untuk mewujudkan kebenaran. Kebenaran, kebaikan, dan islah (reformasi) yang ingin ditegakkan tidak dengan sendirinya membolehkan ketidaksabaran. Ketidaksabaran bertentangan dengan kebenaran dan kebaikan yang dalam pakej keberuntungan.




Hari-hari berpuasa dalam bulan Ramadhan kali ini biarlah menjadi madrasah latihan untuk membangun dan membangkitkan kesabaran. Pengendalian diri sebagai salah satu inti makna puasa Ramadhan dapat membawa kita untuk terbiasa dengan kesabaran. Nafsu perut (makanan dan minuman) dan seks (kelamin), misalnya, yang biasa menjadi pusat ketidaksabaran, mampu ditahan atau dikendalikan di kala kita berpuasa. 


Kesabaran, kata Imam Al Ghazali, adalah kesediaan mengubah perilaku dan menakluk hawa nafsu dengan mengikuti tuntunan agama.


Kesabaran merupakan kemampuan mengendalikan segala desakan hawa nafsu. Kemampuan itu sebenarnya telah ada dalam diri kita, yang oleh Al Ghazali disebut baits al-din (motif agama). Desakan hawa nafsu itu disebut sebagai baits al-hawa (motif nafsu). Dua hal tersebut selalu terlibat dalam aktiviti seharian kita "Kemenangan baits al-din atas baits al-hawa itulah yang disebut sabar." Kata Al Ghazali. Manakala Baginda Rasulullah saw bersabda “Iman itu, setengahnya adalah kesabaran dan setengahnya lagi adalah syukur." Dengan puasa, kita mampu menciptakan jarak dengan hawa nafsu dan kita juga mempunyai kesempatan melakukan muhasabah diri yang dapat bermuara pada pencerahan dan kebangkitan rohani (spiritual enlightenment).


Puasa memang bertujuan melahirkan manusia-manusia yang secara rohaninya bercahaya. Mereka yang telah diterangkan oleh cahaya Ramadhan mampu melihat dunia dengan perasaan optimistik, lebih tawakkal, dan percaya kepada kasih sayang Ilahi yang tidak pernah membiarkan manusia dalam kedukaan berterusan. Manusia yang dipimpin oleh cahaya Ramadhan lebih memiliki kesabaran dalam melakukan perubahan dan reformasi serta mengatasi pelbagai masalah, bahkan maksiat yang masih bertahan dalam hatinya. 


Dalam keadaan masyarakat yang belum sepenuhnya kondusif itu, falsafah puasa memberikan perspektif yang sangat dalam dan bermakna.


Perspektif itu membawa muslim untuk “bertingkah laku dan berakhlak dengan akhlak Ilahi”, akhlak yang penuh dengan kesempurnaan. Kesabaran sebagai salah satu akhlak Allah seharusnya dimiliki orang-orang berpuasa.


Sekali lagi, kesabaran sangat diperlukan dalam masa-masa yang penuh ujian dan cabaran kini. Dengan demikian, kesabaran yang dicapai melalui ibadah puasa sekaligus mengangkat martabat rohani kita. Jadi, kesabaran sangat penting dalam upaya menyelesaikan dan memecahkan masalah-masalah kehidupan berbangsa dan bernegara. Itulah yang kita perlukan dalam masa-masa kini dan mendatang di tanah air kita ini.


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam. 

Isnin, 1 Ogos 2011

RENUNGAN HARIAN BULAN RAMADHAN...


Memasuki bulan Suci Ramadhan, bererti kita memasuki Lembah Ilahi, dari hari ke hari, hingga genap sebulan atau 29 hari. Moga Allah swt berkenan membantu kita untuk menghayati puasa, baik puasa lahir mahupun puasa batin, puasa fizikal, apatah lagi puasa hati kita…



Hari pertama:

“Puasa itu untuk Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” Demikian hadis Qudsi. Bererti hari pertama ini, seluruh hasrat, kehendak, citarasa, tekad, tujuan dan niat, yang menggumpal di hati kita hanya untuk Allah swt semata. " Ya Allah, hatiku untukmu…dahaga kerongkong, dan perut keroncong ini adalah pesta hatiku dengan Mu… Hatiku tidak ingin selain dari Engkau ya Allah…”


Hari Kedua:

Dalam kata RAMADHAN, ada huruf Ra', Mim, Dhal, Alif, Nun. 

1. Ra', Ridlwanuhu = Redhanya Allah. 

2. Mim, Mahabatuhu = Cintanya Allah, 

3. Dhal, Dhomanuhu = Jaminan Allah, 

4. Alif, Ulfatuhu = Kemahalembutan-Nya, 

5. Nun, Nuruhu = Cahaya-Nya.

Semua diperuntukkan untuk orang-orang yang berpuasa. Bersyukurlah, kerana kita telah dicatat dalam Catatan-Nya sebagai orang yang berpuasa. Jika tidak, hanya lapar dan dahaga belaka.


Hari Ketiga:

Jika ada gelisah, sakit hati atau jika ada yang menjengkelkan di pagi hari, di terik matahari, atau menjelang senjakala tiba, kembalikan hati kita kepada-Nya. Mana tahu, ujian dan cubaan itu sedang mengangkat  naiknya darjat kita. Ingatlah kegembiraan orang-orang yang sedang berbuka, segala masalah jadi lupa.


Hari Keempat:

Mata, perut, hidung, telinga, kemaluan, mulut dan selurh anggota badan sedang menahan diri dari tarikan syahwatnya. Hati harus menahan diri dari segala mainan nafsu dan duniawinya. Roh, adalah arus kuat yang menggerakkan menuju Allah. Sirr (rahsia hati) tidak ingin ada selain Allah.


Hari Kelima:

Jika ada penyesalan kerana tindakan dosa yang kita lakukan selama empat hari lalu ketika berpuasa, janganlah penyesalan itu membuat kita semakin jauh dari harapan kepada-Nya. Kerana hari-hari esok adalah Cahaya-Nya.

Hari ini bukalah jendela pintu hati kita untuk menerima biasan cahaya pagi yang indah.


Hari Keenam:

Jangan lupa, seluruh amalan rutin yang biasa kita baca, wiridkan serta amalalan sunnah di bulan ini jangan kita abaikan sedikit pun. Apa pun kesibukan kita, masalah yang membuat diri kita tertekan sekali pun, jangan sampai memutuskan kabel yang menyambungkan diri kita dengan Allah.


Hari Ketujuh:

Mari melakukan konsert  rohani di bulan suci. Seluruh bunyi dan nada kita pendengarkan secara harmoni dalam hati kita. Serasa seluruh ragam zikir berbunyi bersama, dalam naik turunnya nafas hati, begitu bergema nadanya dalam seluruh semesta, tasbih, tahmid, takbir, hauqolah, istighfar, selawat Nabi, tahlil, yang tersembunyi dalam sunyi alam… Allah Allah Allah…..


Hari Kelapan:

Penjara dan kuburkan, seluruh sifat-sifat buruk kita, iri, dengki, takabur, riya, takjub pada diri sendiri, menuruti nafsu syahwat, menuruti kesenangan dunia, kemunafikan, kezaliman, dan kemusyrikan hati.

Jika sesekali hendak muncul sifat-sifat itu, cepat-cepatlah beristighfar dan kita lawan ia dengan segala cara dan daya kita.


Hari Kesembilan:

Islam, bererti hati kita harus di Islamkan, iaitu makna pasrah sepenuhnya  kepada Allah, agar selaras dengan kehendak-kehendak aturan-Nya.

Iman, bererti yakin, membenarkan, dan menenangkan hati kita dari segala hal selain Allah, agar iman tumbuh menjadi Syajarah Thoyyibah.

Ihsan, adalah buah dari Islam dan Iman kita, yang maujud dalam Muraqabah, Musyahadah dan Makrifah.


Hari Kesepuluh:

Sepertiga bulan sudah kita lalui. Masihkah kita terus melawan diri sendiri? Hasrat-hasrat sampah yang membuai diri kita?  Apakah masih kita biarkan diri kita bertampal dengan risalah-risalah mazmumah di hati kita?

Wahai diri, bangunlah dan melompatlah segera ke air jernih hati kita, harungi samudera sucinya, di sana banyak mutiara-mutiara kurniaan Allah.


Hari Kesebelas:

Jangan biarkan malam-malam suci ini tanpa bersama-Nya. Jangan biarkan kegelapan tanpa Lampu Cahaya-Nya. Jangan biarkan lolongan anjing di malam pekat yang menghalang malaikat, mengganggu suara munajat kita.  Jangan biarkan malam-malam kita bersyahwat berlebihan.

Jangan biarkan…. malam-malam seperti ini bersama TV dan hiburan


Hari Keduabelas:

Hati kita melangkah ke depan, bukan melangkah ke belakang, apalagi statik di satu tempat. Semangat hati dan rasa syukur harus terus terjaga untuk bangkit kepada-Nya.

Semakin baik, semakin lembut, semakin sabar, semakin ikhlas, semakin redha, semakin tawakkal, semakin dekat, semakin cinta. Itulah langkah hati ke depan, dengan meninggalkan hal-hal yang buruk.


Hari Ketigabelas:

Dunia ini bukannya tempat kebahagiaan dan kesenangan. Senang dan gembira sehari dalam 24 jam, paling lama hanyalah satu jam kita gembira dan bahagia. Selebihnya hati kita berjuang dengan pelbagai masalah bukan…?

Bahagia dan gembira hanya wujud di Akhirat. Oleh kerana itu, jika muncul kebahagiaan di dunia, itu hanyalah bonus-bonus dari Allah. Tetapi jika kita ingin bahagia, letakkan hati kita di Akhirat. Tubuh, akal dan fikiran kita saja ada di dunia.


Hari Keempatbelas:

Bilakah kita menjadi orang baik? Kata mereka, orang baik itu adalah orang yang di dalam dirinya sendiri tetap baik.

Bilakah kita menjadi hamba Allah? Kata mereka, hamba Allah itu pasrah menjadi “mainan” Allah.

Bilakah pula kita menjadi musafir di Jalan Ilahi? Kata mereka, para musafir itu mulai bersiap diri meninggalkan haru biru duniawi dari dalam hati.

Atau, bilakah kita menjadi para 'Ariffin? Kata mereka, para 'Ariffin itu terus menerus bersama-Nya dan disertai oleh-Nya.


Hari Kelimabelas:

Bersihkan terus menerus kaca cermin di hati kita,  agar cahaya-Nya yang memantul tidak kusam atau berbalam-balam.

Jika kita biarkan, maka akan tumbuh kotoran yang berkarat, terasa sangat sakit lagi  pedih ketika dibersihkan.

Sungguh jangan pula kita biarkan sampai retak-retak cermin hati kita, kerana retak cermin adalah membiarkan kemunafikan di hati kita. Dan Na'uzubillah jangan sampai kita terbalikkan cermin itu, kerana bercermin dari belakang cermin bererti telah terhijab dalam kegelapan.

Ini, sungguh, bulan Cahaya-Nya.


Hari Keenambelas:

Memang, ada sahaja masalah sehari-hari. Masalah muncul hanya kerana  Allah ingin menunjukkan betapa sampahnya duniawi itu, agar segera diri kita lari menuju kepada-Nya, dalam pelukan Kasih Sayang-Nya. 


Hari Ketujuhbelas:

Nafas kita telah ditentukan dan dihitung dalam takdir. Langkah kaki kita, kerlipan mata kita, suara yang keluar masuk dalam telinga kita, gerak geri bibir kita, ciuman hidung kita, rabaan tangan kita, bahkan gerak geri hati kita, semua dalam catatan-Nya.

Alangkah sia-sianya jika semua itu digerakkan Allah, sementara diri kita tidak menyertai-Nya dengan zikrullah.


Hari Kelapanbelas:

Jangan gelisahkan, jangan takutkan hati di atas apa yang berlalu dan yang akan datang. Kerana bila kita lihat diri kita sendiri, amal perbuatan kita sendiri, ibadah dan taqarrub kita selama ini, hati penuh luka, rasanya tidak bernilai apa-apa di hadapan-Nya. Tapi jika kita lihat Rahmat dan Anugerah-Nya, sesakit apa pun semuanya bermakna indah, agung, mulia dan betapa besarnya.


Hari Kesembilanbelas:

Pintu-pintu syurga telah dibuka sejak awal bulan ini. Pintu-pintu neraka ditutup sejak memasuki bulan ini, syaitan dibelenggu. Masukilah pintu-pintu-Nya dengan seluruh kebajikan kita, ubudiyah kita, taqarrub kita.

Jangan ada nafsu yang menghambat jalan kita.


Hari Keduapuluh:

Kedekatan Rasulullah saw dengan diri kita seperti air dalam pohon yang meliputi seluruh batang, akar, cabang, daun, bunga dan buah. Tidak ada yang tidak dialirkan oleh air itu.

Jika pohon hati kita terasa kering, itu kerana jejak-jejak Baginda saw tidak kita turuti, ucapan-ucapan Baginda saw tidak kita hiraukan, peringatan-peringatan Baginda saw kita abaikan.

Oleh itu, jangan di abaikan lagi selawat Nabi saw.


Hari Keduapuluh satu:

Sungguh menghairankan, di hari-hari yang sudah seperti ini, situasi dan keadaan umat sudah terpesong jauh dari akidah yang benar, masih ada lagi orang-orang yang terus menerus memanipulasi Ilahi untuk kepentingan diri, golongan dan keluarganya serta kekuasaannya. Di hari-hari seperti ini pula, sungguh menghairankan masih ramai orang yang mengeluh, tidak bersyukur dan redha kepada-Nya.


Hari Keduapuluhdua:

Nyalakan lampu-lampu di seluruh rumah, ruang hati dan bilik-bilik hati kita, melalui arus rohani yang digerakkan oleh zikirullah. Jangan biarkan cahaya kita terputus bekalannya...


Hari Keduapuluih tiga

Bacalah semua kehidupan nyata ini sebagai ayat-ayat Allah. Bulan ini Al-Quran turun pada Lailatul Qadar bukan? Bacalah keseharian yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita raba dan yang kita rasakan sebagai huruf-huruf yang menyusun kata, kalimat, ayat dan surat. Agar di mana pun, ke mana pun, situasi apa pun melanda diri kita, pandangan hati kita tidak tertoleh kepada selain Allah.


Hari Keduapuluh empat:

Lihat pula seluruh alam semesta, jangan sampai kita hanya melihat yang nampak nyata sahaja. Lihatlah yang ada di sebalik yang zahir itu. Disana ada Afa'al Allah, Asma Allah dan Sifat Allah. Jika yang nampak zahir masih jelas kelihatan, maka sesungguhnya yang di lihat itu telah menghijab diri kita dengan-Nya.


Hari Keduapuluhlima:

Hidupkan malam-malam tersisa ini dalam terang benderang Cahaya-Nya. Hidupkan siangnya dalam menahan terus apa pun selain Diri-Nya. Hidupkan pagi serta petang dan petang hingga ke pagi dalam getaran zikir dan tasbih. Hidupkan semuanya, agar hati kita tidak mati…!


Hari Keduapuluh enam:

Jawablah surat-surat Cinta-Nya kepada kita dengan jawapan hati kita, dari tinta rahsia hati kita yang paling dalam. Mungkin tidak ada lagi kata atau ayat yang tersirat kerana jawapan kita adalah kefanaan diri, dan Surat-surat-Nya adalah Kebaqaan-Nya yang menarik kita menuju pada-Nya.


Hari Keduapuluh tujuh:

Oh…! Pintu Makrifatullah terbuka. Allah juga yang memakrifatkan kita, bukan diri kita. Jangankan kita rasa mengenal diri-Nya kerana untuk mengenal diri kita sendiri pun sentiasa kebuntuan. Bolehlah kita mengenal diri sendiri, jika akhir pengenalan akan diri kita itu tidak lebih dari debu yang berterbangan, hingga kita mengenal Allah tanpa batas dan tiada tara. Allahu Akbar…!!!


Hari Keduapuluh lapan:

Allah Allah Allah… Semuanya tanpa kecuali. Allah Allah Allah….Semuanya tanpa henti. Allah Allah Allah…. Semuanya cahaya-Nya. Allah...Allah...Allah….Semuanya tiada kecuali Wajah-Nya…


Hari Keduapuluh sembilan:

Esok hari raya, bukan? Hari kemerdekaan yang hakiki. Hari segalanya penuh Takbir, Tasbih dan Tahmid. Hari lahir kembali. Lalu jangan lagi ada noda, luka dan aniaya diri sendiri.

 Jika masih ada dendam pada diri sendiri, jika masih ada emosi pada sesama, jika masih ada keraguan atas Rahmat dan Anugerah-Nya, segeralah bersihkan dengan permohonan yang mutlak pada-Nya.


Wallahu`alam.


Jagalah Hati…

Wassalam.