Popular Posts

Isnin, 13 Jun 2011

MADRASAH CINTA ILAHI...


Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah swt.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.
Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan ra ada menyatakan yang bermaksud: “Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”. (Lata’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah swt dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.


Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah swt terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta Ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka yang buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah swt. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah swt kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Baginda Rasulullah Muhammad saw.


Allah swt berfirman, maksudnya, “Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri” (ali-’Imran: 164)

Baginda saw adalah insan yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda saw sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda saw bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Walaupun Allah swt berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Robb dengan apa cara yang dikehendaki-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad saw.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah swt mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada Robb selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasik. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.


Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah swt kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah swt tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.

Melalui hadis Qudsi ini, Allah swt menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah swt gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah swt memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, “Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekalian alam” (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah swt kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah swt melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah swt berfirman, “Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah…” (al-Zumar: 53)

Allah swt dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis Qudsi, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda saw terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda saw melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud ra, Nabi saw beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda saw. Sebaliknya, istighfar Baginda saw adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah swt.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah saw bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah swt pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.


Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Ilahi itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta Ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah swt dan Allah swt pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah swt.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah swt yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyidina Muhammad saw.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta Ilahi. Cinta Allah yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dialah Robb yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Robb yang mengurniakan pertolongan dan Robb yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahu a’lam.


Jagalah Hati…

Wassalam.

APA YANG KITA KORBANKAN...?



Perhatikanlah bagaimana para mujahid sebelum kita berjuang dan menanggung derita. Lalu kita yang datang setelah mereka, apa yang telah kita perbuat…?


Sedangkan mereka, baik yang terdahulu mahu pun yang datang kemudian, telah menjual harta mereka untuk Allah, menjual diri mereka untuk Allah swt.


Perhatikanlah Syadatina Khadijah binti Khuwailid ra, tanyakan kepadanya apa yang telah beliau perbuat? Apa yang telah beliau lakukan? Rasulullah saw, pemimpin alam ini, berkata, “Ia beriman kepadaku disaat orang-orang ingkar. Ia membenarkanku disaat mereka mendustakanku. Dan ia menebusku dengan diri dan hartanya”. Semoga Allah swt meredhainya. Kerana inilah, beliau mendapat salam dari Allah swt.


Kemudian Syadina Abu Bakar As-Shidiq. Beliau memiliki 9 kedai di Kota Makkah. Kedai-kedai itu satu demi satu di tutup kerana besarnya infaq yang beliau keluarkan di jalan Allah swt. Pada saat hijrah, ketika kenderaan telah siap, beliau sudah tidak memiliki apa-apa lagi. Beliau menggunakan duri pohon kurma untuk menjahit bajunya yang usang, kerana tidak memiliki jarum. Sebuah jarum pun beliau tidak miliki !!


Sedangkan sebelum kedatangan Islam,kemahsyuran akan kekayaannya Syadina Abu Bakar As-Shidiq tidak terungkap. Menitislah airmata Rasulullah saw melihat sahabat agung Baginda saw yang berjalan mengenakan pakaian usang yang baru dijahitnya.


Beberapa hari sebelum kewafatan, Rasulullah saw berkata, “Sesungguhnya orang yang paling aku percaya harta dan dirinya adalah Abu Bakar. Andaikata aku hendak menjadikan seseorang dari umatku sebagai teman dekat, tentulah aku akan memilih Abu Bakar” (Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah). Semoga Allah meredhai mereka semua. Lalu bagaimana kebiadaban cercaan sebahagian pemuka syiah ke atas susuk tubuh para sahabat dapat diterima akal yang mengaku waras?


Kemudian Syadina Ali bin Abu Talib kw. Perhatikanlah bagaimana beliau mempertaruhkan nyawanya dengan tidur di tempat tidur Rasulullah saw ketika Rasul hendak berhijrah. Bagaimana beliau menunaikan titipan dan amanah, menghunus pedang di jalan Allah swt,  mencurahkan segala kemampuan untuk menolong agama Allah. Sehubungan dengan Syadina Ali kw ini, Rasulullah saw pernah bersabda, “Esok akan aku serahkan bendera Islam kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya”. Bagaimana agung kecintaan ini.


Perhatikanlah pula Syadina Hasan yang gugur kerana diracun. Perhatikanlah Syadina Husin yang tubuhnya terpisah menjadi dua. Meskipun demikian, mereka tidak akan menyesal di Akhirat nanti. Mengapa?. Kerana mereka telah menempuh jalan Rasulullah saw dan meneladani Baginda saw.


Bagaimana dengan kita wahai saudaraku? Roh kita tidak lebih mahal dari Roh Al-Husein! Tidak lebih mahal dari roh Hasan bin Ali! Tidak pula lebih mahal dari roh Ali bin Abu Talib kw. Lalu mengapa kita tidak merenungkan hal ini? Mengapa kita tidak bersikap sidiq?. Mengapa kita tidak bertawajjuh dan menghadapkan hati kepada Allah swt? Bukankah kita ingin melihat wajah mereka di Hari Kiamat nanti? Masuk bersama mereka? Kerana itu, ikutilah mereka, teladanilah mereka. Sesungguhnya tempat yang paling menyenangkan adalah tempat di mana mereka berada.


Adakah kita ingin berada dekat dengan mereka? Menemani mereka? Melihat mereka? Perhatikanlah niat kita, tujuan kita dan keikhlasan kita. Semua pintu telah terbuka untuk kita, namun mengapa kita enggan memasukinya? Masuklah bersama mereka yang masuk. Raihlah kejayaan bersama mereka yang berjaya. Hari ini adalah hari yang penuh dengan kurniaan. Hari diampuni-Nya segala dosa. Hari untuk menghadap kepada Allah swt. Hari untuk bertawajjuh kepada-Nya.


Setelah mereka, datanglah orang-orang yang selalu bermujahadah (nekad berjuang). Al-Muhajir Ahmad bin Isa datang dan berjuang, bahkan menginfakkan jutaan wang di jalan Allah dan berusaha mengembalikan umat manusia ke jalan Muhammad bin Abdullah. Al-Faqih Al-Muqaddam datang dan berjuang. Kemudian datang Habib Abdurrahman bin Muhammad Assegaf, Abu Bakar As-Sakron, Umar Al-Muhdhor dan Al-idrus, iaitu mereka yang selalu memerangi hawa nafsu. Berkata Al-idrus, “Setelah ku capai puncak kesulitan dalam memerangi nafsu, ku raih semua cita-citaku”.


Allah swt berfirman, “Adapun orang-orang yang berjuang di jalan Kami, Kami pasti akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami” (QS 29:69).


Lalu kemanakah perginya ilmu tersebut dari keluarga kita?. Ketahuilah, ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang tersimpan di hati para leluhur dan salafussolleh sekalian! Ilmu yang mereka milikilah yang akan menjadikan kita mulia, di dunia dan di akhirat. Lalu dimanakah letak ilmu tersebut dalam keluarga kita, anak perempuan dan isteri-isteri kita…?

Wallahu’alam




Jagalah Hati…

Wassalam.

Ahad, 12 Jun 2011

ANTARA KITA DAN MEREKA...


Di dalam hadis, Rasulullah saw bersabda: “Aku adalah orang pertama sekali memohon syafaat dan aku adalah orang  yang pertama kali diterima syafaatnya oleh Allah”.


Lihatlah di dalam hadis ini ! Rasulullah mengajar agar kita menjalin hubungan dengan Baginda saw, menjalin hubungan yang erat dengan Rasulullah saw. Dahulu para sahabat berkumpul yang dalam perkumpulan itu para sahabat mengingati Allah swt, mereka berkumpul mengingat Nabi Muhammad saw, mengingat orang-orang yang dimuliakan oleh Allah swt.


Lihatlah pula keadaan kaum muslimin sekarang, berbeza dengan keadaan para sahabat Rasulullah saw. Kaum muslimin di zaman kita berkumpul mengingati orang-orang yang tidak beriman kepada Allah swt, menyebut nama-nama orang yang hina di sisi Allah, sehingga betapa banyak kaum muslimin yang terpengaruh dengan pemikiran barat, pemikiran orang-orang yang tidak pernah sujud kepada Allah swt.


Kewajipan kita sebagai kaum muslimin adalah menyuburkan keimanan di dalam hati kita, kita tingkatkan keimanan kepada Allah swt dan tanamkan pada hati-hati kita bahawa kemuliaan hanya milik Allah swt dan Rasulullah saw, keagungan hanyalah milik Allah swt dan Rasul-Nya.


Allah berfirman di dalam al-Quran: “Kemuliaan, keagungan adalah milik Allah, milik Rasulullah dan milik mereka yang beriman kepada Allah. Adapun mereka orang-orang munafik tidak mengetahui kalau kemuliaan adalah milik Allah.”


Oleh kerana itu wahai saudara seakidahku, mari kita agungkan Allah swt, kita agungkan orang-orang yang diagungkan Allah swt, muliakanlah orang-orang yang dimuliakan oleh Allah swt. Kewajipan kita mengagungkan Allah swt, mengagungkan Rasulullah saw, mengagungkan para sahabat Rasulullah saw, mengagungkan para auliya Allah.


Disebutkan ketika pada suatu hari para sahabat berkumpul, mereka menyebut tentang keistimewaan para Nabi-Nabi yang terdahulu. Beberapa dari mereka mengatakan: “Lihatlah Nabi Ibrahim as yang dijadikan oleh Allah sebagai Khalilullah.” Maka beberapa sahabat yang lain mengatakan: “Tapi lihat Nabi Musa as yang lebih agung yang dijadikan oleh Allah sebagai Kalimullah, orang yang bicara langsung dengan Allah.” Beberapa sahabat lagi mengatakan: “Lihat Nabi Isa as yang dijadikan oleh Allah sebagai Ruhullah sebagai kalimatullah!” Beberapa lagi mengatakan tentang Nabi Adam as yang diciptakan oleh Allah secara langsung. Ketika mereka sedang menyebutkan keistimewaan para nabi yang terdahulu, datang kepada mereka Nabi Muhammad saw. Ketika Nabi Muhammad saw datang pada mereka dan mengucapkan salam kepada mereka, Rasulullah saw mengatakan kepada mereka: “Wahai para sahabatku, kalian berkumpul pada saat ini menyebutkan tentang keistimewaan para nabi utusan-utusan Allah, kalian mengatakan bahawa Nabi Ibrahim adalah Khalilullah dan memang demikian Nabi Ibrahim adalah Khalilullah. Dan kalian menyebutkan bahawa Nabi Musa adalah Kalimullah, nabi yang berbicara langsung dengan Allah, yang bermunajat langsung dengan Allah, dan memang demikian adanya Nabi Musa sebagai Kalimullah. Dan demikian pula dengan Nabi Isa dan Nabi Adam, yang mereka adalah orang yang mulia di sisi Allah `azza wa jalla.” Kemudian Nabi mengatakan kepada mereka:- “Dan ketahuilah wahai para sahabatku bahawa aku adalah Habibullah, aku adalah kekasih Allah, aku adalah orang pertama yang akan memberikan syafaat kepada umat manusia di Hari Kiamat nanti, aku adalah orang yang termulia dari semua makhluk yang diciptakan Allah, aku adalah nabi pertama yang akan memasuki syurga dan bersamaku orang-orang fuqara` dari kalangan orang-orang mukminin (orang-orang yang beriman kepada Allah).”


Lihatlah Rasulullah saw, bagaimana Baginda saw mengajarkan kepada kita agar menjalinkan hubungan dengan Baginda saw, agar kita selalu menguatkan hubungan dengan Rasulullah saw. Allah dan Rasul-Nya lebih layak kita agungkan, lebih patut kita muliakan kalau memang kita beriman kepada Allah swt dan Rasulullah saw. 

Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Sabtu, 11 Jun 2011

SEKADAR PESANAN DARI HAMBA ALLAH INI...



Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.

Wahai saudaraku,

Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Robb mu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dari-Nya tanpa perantaraan. Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. Engkau akan diangkat menjadi kekasih-Nya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijaga-Nya sehingga sesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdir-Nya, hati yang terang menatap rahsia-Nya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudan-Nya. 

Wahai saudaraku,

Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihi-Nya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan zauk dan penglihatan. Hatimu diberi-Nya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia Diri-Nya. Engkau mencapai makrifat dengan-Nya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dari-Nya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujud-Nya, engkau akan memahami firman-Nya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.

Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan zauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diri-Nya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Robb melalui guru manusia dengan mereka yang mengenal Allah dengan Ilahi sendiri. Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illallah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Ilahi dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.

Wahai saudaraku, 

Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. Rohmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Robb-nya.

Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menuju-Nya, dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju Robb mu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. Engkau akan memahami kalimah la ilaha illallah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan makam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi, namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.

Wahai saudaraku,

Berjalanlah dirimu kepada Allah dengan berpakaian syariat, tarekat, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekat itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat. Justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekat. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat di lihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Robb-nya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

Wallahu ‘alam.


Jagalah Hati...


Wassalam.

APA KHABAR HATI AWAK...?


Jarang sekali kita bertanya kepada orang, “apa khabar hati awak?” Tetapi sering kali kita bertanya, apa khabar awak hari ini? Sesiapa yang bertanya sedemikian, mungkin pelik bunyi dan loghatnya. Tetapi, itulah hakikatnya. 


Sedar ataupun tidak, kita sebenarnya selalu sakit. Sakit dek emosi kita, jiwa kita, perasaan kita. Apabila kita sering sakit-sakit badan, kita akan terus pergi berjumpa doktor ataupun pakar yang boleh mengubati sakit kita itu. Mungkin sakit gigi, demam, sakit urat ataupun sebagainya. Kerana sakit kita itu, kita nampak, kita sedar tentang sakit kita. Lantas kita pergi berubat. Mencari ubat yang sepatutnya untuk sakit kita itu. 


Namun, jarang sekali apabila kita sakit emosi, sakit perasaan ataupun sakit hati, kita terus ingin berubat ataupun kita ingin mencari penawar sakit kita itu. Jarang. Kebanyakkannya akan memendam terlebih dahulu. Memeram biar jadi panas, lantas membakar diri sendiri. 


Jadi, hendaklah kita cepat bertindak untuk mengubati hati kita yang resah, hati kita yang mati, hati kita yang tidak tenteram untuk terus segar dan bersemangat dalam menghadapi pelbagai masalah dan ujian. 


Sebelum kita mencari ubat dan penawar hati kita yang sakit itu, hendaklah kita mengetahui dahulu kenapa hati kita itu sakit. 


Antara masalah membuatkan hati kita sakit: 

1) terlalu banyak kerja – assignment, homework, kerja rumah, kerja pejabat 

2) suka berdengki dengan orang, sahabat, jiran dan dengki dengan keluarga 

3) suka mencari masalah orang 

4) banyak bercakap, jadi banyak terguris hati orang 

5) suka berfikiran negative 

6) banyak angan-angan 

7) sangat malas 

8) orang yang sensitif 


Dalam sebuah kisah, Ibrahim Adham sedang berjalan-jalan di negeri Basrah. Penduduk Basrah melihatnya segera datang, dan bertanya, "Ya Ibrahim, mengapa doa kami tidak dimakbulkan, padahal Allah telah berfirman, 'Apabila hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakan bahawa Aku dekat. Aku memakbulkan doa orang yang berdoa, apabila ia berdoa kepadaKu...' (QS 2:186)" 


Lantas Ibrahim menjawab, "Wahai penduduk Basrah, hal itu adalah kerana HATI kalian TELAH MATI dengan 10 perkara. Jika begitu, bagaimana ALLAH akan memakbulkan doa kalian?" "Ya Ibrahim, apakah 10 perkara itu?" Tanya penduduk Bashrah.... 

1) Kalian kenal ALLAH tetapi tidak menunaikan hak-hakNYA. 

2) Kalian membaca ALQURAN tetapi tidak mengamalkan isi-isinya. 

3) Kalian mengakui cintai RASULULLAH tetapi tidak amalkan sunnahnya. 

4) Kalian mengakui membenci SYAITAN tetapi menuruti ajakannya. 

5) Kalian mengakui ingin masuk SYURGA tetapi tidak memenuhi syarat-syaratnya. 

6) Kalian mengakui ingin selamat dari api NERAKA tetapi kalian menjerumuskan diri ke dalamnya. 

7) Kalian meyakini kepastian KEMATIAN tetapi kalian tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya. 

8) Kalian sibuk membicarakan KEBURUKAN ORANG tetapi kalian mengabaikan keburukan sendiri. 

9) Kalian MENGUBURKAN orang mati tetapi kalian tidak mengambil pengajaran daripadanya. 

10) Kalian mendapat NIKMAT ALLAH tetapi tidak pernah mensyukurinya. 




Mengikut Ibnul Qayyim rahimahullah pula, beliau menyebutkan ada lima perkara yang menyebabkan rosaknya hati, antaranya, 


1. Banyak Bergaul. 


Pergaulan adalah perlu, tapi tidak asal bergaul dan banyak teman. Pergaulan yang salah akan menimbulkan masalah. Teman-teman yang buruk lambat laun akan menghitamkan hati, melemahkan dan menghilangkan rasa nurani, akan membuat yang bersangkutan larut dalam memenuhi berbagai keinginan mereka yang negatif. 

Dalam tatapan realiti, kita sering menyaksikan orang yang hancur hidup dan kehidupannya gara-gara pergaulan. Biasanya output semacam ini, kerana motivasi bergaulnya untuk dunia. Dan memang, kehancuran manusia lebih banyak disebabkan oleh sesama manusia. 

Kerana itu, kelak di akhirat, banyak yang menyesal kerana salah pergaulannya. Allah berfirman, "Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku." (QS Al-Furqan: 27-29)

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." (QS Az-Zukhruf: 67) 

"Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini, kemudian di hari Kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu adalah Neraka, dan sekali-kali tidak ada bagimu para penolong." (QS Al-Ankabut: 25). 

Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka pertemanan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci dan melaknat. 

Kerana itu, dalam bergaul, berteman dan berkumpul hendaknya ukuran yang dipakai adalah kebaikan. Lebih tinggi lagi tingkatannya jika motivasi pertemanan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah. 





2. Larut dalam angan-angan kosong. 


Angan-angan kosong adalah lautan tak bertepi. Ombak angan-angan terus mengombang-ambingkannya, khayalan-khayalan dusta sentiasa mempermainkannya. Laksana anjing yang sedang mempermainkan bangkai. 

Angan-angan kosong adalah kebiasaan orang yang berjiwa kerdil dan rendah. Masing-masing sesuai dengan yang diangankannya. Ada yang mengangankan menjadi raja atau ratu, ada yang ingin keliling dunia, ada yang ingin mendapatkan harta kekayaan melimpah, atau isteri yang cantik jelita. 

Tapi itu hanya angan-angan belaka. Adapun orang yang memiliki cita-cita tinggi dan mulia, maka cita-citanya adalah seputar ilmu, iman dan amal salih yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Dan ini adalah cita-cita terpuji. Adapun angan-angan kosong ia adalah tipu daya belaka. Nabi memuji orang yang bercita-cita terhadap kebaikan. 





3. Bergantung kepada selain Allah. 


Ini adalah faktor terbesar perosak hati. Tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya dari bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah. 

Jika seseorang bertawakkal kepada selain Allah maka Allah akan menyerahkan urusan orang tersebut kepada sesuatu yang ia bergantung kepadanya. Allah akan menghinakannya dan menjadikan perbuatannya sia-sia. Ia tidak akan mendapatkan sesuatu pun dari Allah, juga tidak dari makhluk yang ia bergantung kepadanya. Allah berfirman, "Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka. Sekali-kali tidak, kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka." (QS Maryam: 81-82) 

"Mereka mengambil sembahan-sembahan selain Allah agar mereka mendapat pertolongan. Berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka, padahal berhala-berhala itu menjadi tentara yang disiapkan untuk menjaga mereka." (QS Yasin: 74-75) 

Maka orang yang paling hina adalah yang bergantung kepada selain Allah. Ia seperti orang yang berteduh dari panas dan hujan di bawah rumah labah-labah. Dan rumah labah-labah adalah rumah yang paling lemah dan rapuh. 

Lebih dari itu, secara umum, asal dan pangkal syirik adalah dibangun di atas ketergantungan kepada selain Allah. Orang yang melakukannya adalah orang hina dan nista. Allah berfirman, "Janganlah kamu adakan tuhan lain selain Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah)." ( QS Al-Isra': 22) 

Terkadang keadaan sebahagian manusia tertindas tapi terpuji, seperti mereka yang dipaksa dengan kebatilan. Sebahagian lagi terkadang tercela tapi menang, seperti mereka yang berkuasa secara batil. Sebahagian lagi terpuji dan menang, seperti mereka yang berkuasa dan berada dalam kebenaran. Adapun orang yang bergantung kepada selain Allah (musyrik) maka dia mendapatkan keadaan yang paling buruk dari empat keadaan manusia, yakni tidak terpuji dan tidak ada yang menolong. 





4. Makanan 


Makanan perosak ada dua macam. Pertama , merosak kerana zatnya, dan ia terbagi menjadi dua macam. Yang diharamkan kerana hak Allah, seperti bangkai, darah, anjing, binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku tajam. Kedua, yang diharamkan kerana hak hamba, seperti barang curi, rampasan dan sesuatu yang diambil tanpa kerelaan pemiliknya, baik kerana paksaan, malu atau takut terhina. 

Kedua , merosak kerana melampaui ukurannya. Seperti berlebihan dalam hal yang halal, kekenyangan kelewati batasnya. Sebab yang demikian itu membuatnya malas mengerjakan ketaatan, sibuk terus-menerus dengan urusan perut untuk memenuhi hawa nafsunya. 

Jika telah kekenyangan, maka ia merasa berat dan keranannya ia mudah mengikuti komando syaitan. Syaitan masuk ke dalam diri manusia melalui aliran darah. Puasa mempersempit aliran darah dan menyumbat jalan bagi syaitan. Sedangkan kekenyangan memperluas aliran darah dan membuat syaitan mudah tinggal berlama-lama. 

Barangsiapa banyak makan dan minum, niscaya akan banyak tidur dan banyak merugi. Dalam sebuah hadits masyhur disebutkan, "Tidaklah seorang anak Adam memenuhi bejana yang lebih buruk dari memenuhi perutnya (dengan makanan dan minuman). Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap (makanan) yang bisa menegakkan tulang rusuknya. Jika harus dilakukan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya." (At-Tirmidzi, Ahmad dan Hakim, disahihkan oleh Al-Albani).





5. Banyak tidur. 


Banyak tidur mematikan hati, memenatkan badan, menghabiskan waktu dan membuat lupa serta malas. Di antara tidur itu ada yang sangat dibenci, ada yang berbahaya dan sama sekali tidak bermanfaat. Sedangkan tidur yang paling bermanfaat adalah tidur saat sangat diperlukan. 

Segera tidur pada malam hari lebih baik dari tidur ketika sudah larut malam. Tidur pada tengah hari (tidur siang) lebih baik daripada tidur di pagi atau petang hari. Bahkan tidur pada petang dan pagi hari lebih banyak mudaratnya daripada manfaatnya. 

Di antara tidur yang dibenci adalah tidur antara solat Subuh dengan terbitnya matahari. Sebab ia adalah waktu yang sangat strategik. Kerana itu, meskipun para ahli ibadah telah melewatkan sepanjang malamnya untuk ibadah, mereka tidak mahu tidur pada waktu tersebut hingga matahari terbit. Sebab waktu itu adalah awal dan pintu siang, saat diturunkan dan dibagi-bagikannya rezeki, saat diberikannya barakah. 

Maka masa itu adalah masa yang strategik dan sangat menentukan masa-masa setelahnya. Kerananya, tidur pada waktu itu hendaknya kerana benar-benar sangat terpaksa. Secara umum, saat tidur yang paling tepat dan bermanfaat adalah pada pertengahan pertama dari malam, serta pada seperenam bahagian akhir malam, atau sekitar delapan jam. Dan itulah tidur yang baik menurut pada doktor. 

Jika lebih atau kurang daripadanya maka akan berpengaruh pada kebiasaan baiknya. Termasuk tidur yang tidak bermanfaat adalah tidur pada awal malam hari, setelah tenggelamnya matahari. Dan ia termasuk tidur yang dibenci Rasulullah saw.

wallahu`alam.



Jagalah Hati...


Wassalam. 

Jumaat, 10 Jun 2011

AUDIT AMAL...



Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.


Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan, “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”


Imam Hasan Al-Basri ra pernah berkata, “Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.


Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah swt dan dengan bantuan-Nya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.


Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.


Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.








Sheikh Abdul Qadir Isa ra berkata, “Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan.” (Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235)


Firman Allah swt, “…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)


Imam Qatadah ra berkata berkenaan dengan ayat ini, “Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…” (Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85)


Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini, “Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya”.


Firman Allah swt lagi, “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)


Maksud ayat tersebut ialah, Allah swt menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, sama ada ia suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.


Rasulullah saw bersabda, “Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…” (At-Tirmizi dan Ibn Majah).


Maksud perkataan “daana nafsahu” dalam hadis tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.


Imam Az-Zarruq ra berkata, “Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut.” (Qawa'id At-tasawwuf m/s 75)


Sheikh Abdul Qadir Isa ra berkata, “Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah swt, makhluk-makhluk-Nya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah swt. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia.”




Jenis-jenis Muhasabah Diri


Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.


Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu


Maksudnya ialah seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, sama ada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.


Al-Hasan berkata, “Allah swt merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah swt, maka dia meninggalkannya.”


Seterusnya, jika kita pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah swt dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah kita pastikan, adakah kita mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika kita tidak mampu lakukan keseorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.


Jika kita mampu melakukan perbuatan tersebut, maka kita perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.


Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong kita melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah swt, ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.


Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah swt, maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah swt untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah swt.


Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu


Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:


Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah swt dalam ketaatan.


Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ia dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.


Ketiga: Memerhatikan semula, niat dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah swt, maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah swt, kerana membantu kita dalam ketaatan kepada-Nya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah kita meminta ampun kepada Allah swt daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.


Kesimpulannya, muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah swt. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekeliling kita adalah untuk menyempurnakan kehambaan kita. Itulah interaksi Allah swt kepada kita melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuan-Nya.


Semoga Allah swt berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita dan agar kita dapat mencontohi Rasulullah saw dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda saw dengan Allah swt.


Wallahu a’lam…


Jagalah Hati…


Wassalam.