Popular Posts

Khamis, 9 Jun 2011

POLIGAMI DENGAN HATI...


Sebenarnya persoalan-persoalan yang saya utarakan di dalam entri yang lalu adalah bertujuan membuka minda dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Saya sengaja mengolah persoalan seperti itu dan agak menusuk ke lubuk hati yang paling dalam bagi mereka yang terasa, kerana sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada silap faham secara akli (fikiran semata-mata) lebih mudah untuk diuraikan dengan hanya membawa beberapa hujah logik sudah cukup.Tetapi sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada perasaan (yang asasnya adalah nafsu ; nafsu di sini adalah inginkan keselesaan sepenuhnya tanpa saingan) ia tidak mudah untuk diselesaikan melainkan mesti di asingkan antara akal dan perasaan dengan soalan-soalan yang menggugat…supaya akal bebas berfikir tanpa gangguan emosi yang menyerabut.


Itulah yang saya faham daripada uslub al Quran apabila menangani satu-satu isu membabitkan perasaan ( Bab Poligami). Itulah uslub Surah al Tahrim yang menghentak perasaan sampai ke lubuk hati yang paling dalam kepada dua wanita yang paling mulia di muka bumi ketika itu yang digelar “Ummahat al Mukminin” Ibu para Mukmin (Syadatina Aisyah ra dan Syadatina Hafsah ra  dan menjadi pengajaran kepada yang lain…) dengan hentakan berbentuk cabaran dan ugutan daripada yang Maha Berkuasa apabila berlaku kesilapan dalam menguruskan perasaan dengan cara yang tidak betul sehingga melahirkan tindakan yang tidak betul dan memberi kesan dengan tindakan Nabi saw.


“ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.


Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Robb nya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”  (al Tahrim : 4-5)


Apa lagi perkataan yang lebih keras dan menusuk kalbu kepada seorang wanita yang bersuami dalam rumahtangga bahagia dan suaminya itu orang yang paling mulia di muka bumi ini daripada perkataan dalam uslub ugutan“Menceraikan dan menggantikan dengan orang yang lebih baik…” 


Kita bandingkanlah siapa kita dan siapa suami kita untuk tidak terasa dengan teguran seperti ini… Rasulullah hanya cenderung untuk tidak lagi makan madu yang dimakannya  di rumah salah satu daripada isterinya kerana ingin meraikan perasaan isteri-isterinya yang lain lalu ditempelak oleh Allah: (al Tahrim ayat 1)


"Wahai Nabi! Kenapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Ayat ini amat jelas menunjukkan satu penegasan daripada Allah supaya mengembalikan kepada asas pemikiran yang betul dalam membuat apa-apa pertimbangan (sebagai Neraca) dalam apa-apa hal dan tidak melayan perasaan yang berbagai daripada pihak yang pelbagai kerana perasaan ini seperti yang saya pernah ungkapkan dulu bahawa,


” Emosi hanya penting untuk memahami serta menggambarkan sesuatu yang bersifat emosi…tetapi dalam menyelesaikan perkara emosi asas pemikiran rasional adalah dituntut kerana emosi sifatnya tidak tetap, adapun pemikiran ia bersifat tetap berdasarkan maklumat yang tepat…”


Sesiapa yang menjiwai uslub al Quraan ” Zauq Quraani“ akan dapat merasakan betapa tinggi dan beratnya  Tarbiyyah jiwa (Tazkiyyah al Nafs) yang diterima dan dilalui oleh para isteri Nabi, sudahlah mereka ditegur dengan teguran yang begitu keras dan menusuk hati , malah isu rumahtangga mereka  dipamerkan kepada khalayak umum oleh yang Maha Mengetahui…(bagi menjadi teladan kepada generasi seterusnya  hingga Kiamat…) dan itulahTarbiyyah dan itulah Maqam Qudwah sebenarnya bagi seorang wanita Muslimah…


Oleh itu seseorang itu boleh dianggap berjaya dalam tarbiyyahnya apabila dia berjaya melepasi keadaan paling sukar serta rumit dalam hidupnya dan dalam keadaan itu dia masih boleh bertindak  mengikut asas pemikiran yang betul dan tidak terpengaruh dengan tekanan perasaannya…


Oleh itu bagi seorang wanita mukminah, apabila Allah mentakdirkan dia berhadapan dengan isu poligami atau ujian hidup dalam rumahtangga berpoligami, sebenarnya Allah ingin mengangkat martabatnya dari sudut “Tazkiyatu al Nafs” (pembersihan jiwa) ke martabat yang paling tinggi apabila dia dapat melaluinya dengan berpandukan segala tindakannya berasaskan asas pemikiran yang betul (yang diajar oleh Al Quran dan Sunnah) tanpa melayan pujuk rayu perasaanya…kerana itulah keadaan yang paling berat dan rumit bagi seorang wanita…dan apabila dia berjaya melepasinya dengan taufik dan hidayah Allah, dia akan berada di “Maqam Qudwah ” walupun mungkin tidak menyerupai maqam para Ummahat al Mukminin dan juga Sarah dan Hajar…


Bagi saya isu Poligami ini adalah satu perkara yang lumrah, sama ada kita suka atau tidak, ia tetap akan berlaku kerana ia diharuskan… Dalam keadaan ia tidak diharuskan oleh undang-undang atau agama lain pun, ia tetap berlaku melalui pintu belakang…Persoalannya adakah kita hendak membiarkan ia  berlaku begitu sahaja  dan berdiam seribu bahasa tanpa terurus? Atau kita sebagai orang yang dikurniakan kebijaksanaan tampil untuk menguruskannya. Sekurang-kurang menguruskan daripada segi “Persiapan Minda Yang Betul” terhadapnya dan selok beloknya. Supaya apabila ia berlaku, ia tidak akan membawa kepada keadaan kelam kabut yang banyak menjejaskan dan menggadaikan perkara-perkara asas yang lain… ATAU kita sanggup membiarkan saja pengarah filem dan para artis untuk melakonkan aksi contoh Poligami terbaik sebagai penyelesaian kepada masyarakat…? Dan kita sebagai kumpulan dakwah atau orang yang ingin kembali kepada Islam hendaklah menjauhkan diri daripada berbicara tentangnya apalagi untuk mempraktikkannya kerana ia melambangkan seks yang selalunya jijik untuk dibicarakan…? 


Atas asas ini saya mengambil inisiatif ini untuk kali ini, dengan cara saya tersendiri bagi merawat beberapa aspek Tarbiyyah yang saya nampak dan dapat fahami daripada al Quran dan Sunnah semoga ia dapat memberi sumbangan manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan wanita.


wallahu`alam....

Jagalah Hati...

Wassalam

INDAHNYA POLIGAMI...


Berpoligami mudah dilaksanakan jika lelaki dan wanita benar-benar faham akan perlaksanaannya dalam Islam. Poligami adalah hukuman yang datang daripada Allah untuk umatnya supaya masyarakat hidup aman damai dalam institusi keluarga. Hukuman yang Allah turunkan memang sudah cantik dan lengkap namun lelaki dan wanita tidak berjaya melaksanakannya dengan baik.

Poligami ini diibaratkan sebuah projek yang melibatkan seorang lelaki dan 2 atau lebih orang wanita sebagai ketua dan ahli yang dinamakan Projek Rumahku Syurgaku. Oleh itu, perlulah ada persefahaman iman, akal dan nafsu semasa hendak menjayakan projek ini.

Apabila salah seorang ahli ataupun ketua menyalahgunakan salah satu daripada iman, akal dan nafsu, maka projek ini tidak berjaya. Sebaik-baiknya bagi menjayakan projek ini sebagai projek yang cemerlang di dunia dan akhirat, iman dan akal perlu mengawal nafsu.

Berpoligami memang dibenarkan oleh Allah kepada lelaki dalam surah an-Nisa ayat 3 "Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, ataupun empat. Tetapi, jika kamu bimbang tidak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja ataupun kamu nikahi budak-budak (hamba) yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”


Sebuah sketsa kehidupan…  


MUSLIMAH: Ustaz, Suami saya ingin berpoligami ustaz, apa kurangnya saya ustaz sehingga dia hendak berpoligami lagi. Tidak cukup satu, dia hendak tambah isteri pula?

USTAZ: Tujuan berpoligami tidak semestinya hendak menunggu kekurangan isteri baru boleh berpoligami. Antara tujuan murni berpoligami adalah suami hendak ikut apa yang Allah anjurkan di dalam Quran. Sebab hendak tegakkan sunnah Rasulullah saw. Sebab hendak ikut tradisi orang soleh.

MUSLIMAH: Tapi ustaz, yang ini hendak ikut sunnah, yang lain tidak pula ikut.

USTAZ: Yang dia sembahyang, puasa itu bukankah bermakna dia sudah ikut sunnah! Apabila dia menutup aurat, menuntut ilmu, berniaga itu juga ikut sunnah. Jadi jangan mudah-mudah cakap suami tidak ikut sunnah. Jadi apabila dia hendak tegakkan sunnah poligami ini, itu tidak sepatutnya kita halang.

MUSLIMAH: Yalah ustaz, masalahnya bolehkah dia adil?

USTAZ: Jangan kita sebut soal adil dahulu, sebab kita tidak tahu lagi. Sepatutnya kita berbaik sangka dengan Allah, moga Allah beri kekuatan kepada suami kita menjadi orang yang adil. Selepas itu, tugas kita pula membantu suami menjadi adil. Bukan kita main lepas tangan. Mungkin kita hendak tutup kelemahan kita, kita tuding jari suami tidak adil, sedangkan dia belum lagi berpoligami, tetapi kita sudah label dia sebagai tidak adil dalam berpoligami. Sebaik-baiknya, kita menyebut kita lemah dan tidak mampu hendak berpoligami daripada terus menghalakan kerisauan kepada suami. Sepatutnya kita halakan pada diri, masalah aku bagaimana? Seperkara yang kita perlu ingat, soal adil ini, ada seorang isteri kena adil. Dua isteri pun kena adil. Soal adil ini luas dan tidak perlu tunggu poligami baru timbul soal adil.

MUSLIMAH: Bukan apa ustaz, saya sayang sangat pada dia. Tidak tergamak saya hendak lepaskan dia pada orang lain.

USTAZ: Saya hendak betulkan sedikit. Bukan lepaskan terus. Ia sekadar berkongsi kasih sayang. Kalau dulu kita seorang sahaja yang menyayanginya atas nama isteri. Tetapi kali ini sudah ada orang lain, yang juga menyayanginya atas nama isteri. Saya hendak tanya, apa erti sayang? Sayang ertinya pengorbanan. Jangan sebut sayang ataupun cinta selagi tidak berkorban. Sanggupkah kita mengorbankan kasih kita itu? Kalau boleh, barulah bermakna sayang kita itu.

Seperkara lagi, erti sayang itu ialah apabila kegembiraan dia juga menjadi kegembiraan kita. Kesedihan dia pula menjadi kesedihan kita. Sepatutnya hati kita selari dengan suami kita. Kalau suami kita hendak berpoligami, tumpang gembiralah. Itu kesukaan suami kita dan syariat pun membenarkannya. Tetapi saya tidak menafikan, perkara yang lain mungkin senang. Tetapi bab ini susah sedikit.

MUSLIMAH: Saya bimbang ustaz, dengan isu yang digembar-gemburkan dalam akhbar berkenaan lelaki yang berpoligami menganiaya isteri.

USTAZ: Jangan sebut begitu, sekali lagi ditekankan di sini, berbaik sangkalah dengan Allah. Jangan kita samakan nasib kita dengan orang lain. Bergantung haraplah pada Allah swt. Yakinlah kita dengan Allah swt, Dia yang menentukan segalanya. Oleh itu, mintalah kebaikan daripada Dia. Tambahan pula, kisah rumah tangga porak-peranda tidak semuanya berlaku dalam poligami. Yang tidak berpoligami pun biasa kita dengar, porak-peranda juga. Tinggal lagi, akhbar memang suka highlight yang poligami sahaja. Bahkan banyak kes yang tidak berpoligami di mana suami menganiaya isteri. Ini tidak pula dipaparkan.

MUSLIMAH: Dengan saya seorang pun, dia susah ustaz. Jadi macam mana pula hendak poligami, tidakkah nanti lagi susah hidup dia.

USTAZ: Itulah yang disebutkan tadi, segalanya daripada Allah. Adakah semasa mula-mula puan kahwin dengan dia dulu, puan berfikir tentang hidup susah selepas kahwin? Mestilah tidak, tetapi atas dasar yakinlah, puan serta suami boleh hidup senang. Segalanya ketentuan Allah. Rezeki itu daripada Allah. Ibu-ibu boleh melahirkan anak, kerana mereka yakin rezeki Allah pada anak-anak. InsyaAllah, ada rezeki untuk orang yang berpoligami.

Sejarah juga membuktikan sahabat-sahabat dan para tabiin berpoligami tetapi mereka tidaklah mati kebuluran kerana berpoligami. Susah senang ini bukan pada ukuran poligami. Ada yang isteri seorang pun merempat juga. Sebaliknya ada juga yang isteri 4, boleh hidup senang. Tidak perlu tunggu suami gaji RM10,000. Memang Allah sudah janjikan sebegitu.

MUSLIMAH: Baiklah ustaz, tetapi apapun dia kena minta izin saya dahulu. Saya isteri pertama dia, kalau saya tidak izinkan, mana boleh dia poligami.

USTAZ: Itu undang-undang syariah negeri tetapi tidak ada disebut pun dalam Quran mahupun Hadis. Soal keizinan tidak timbul sebab dalam Quran, Allah sudah izinkan. Rasulullah pun sudah izinkan, malah diamalkannya pula. Jadi, siapa kita? Takkan kita pula tidak izinkan? Siapakah kita hendak mempersoalkan hukum yang Allah sudah tetapkan? Boleh nampak ataupun tidak?

MUSLIMAH: Memang berat ustaz. Baiklah saya mengaku saya tidak mampu menghadapi semua ini.

USTAZ: Sebenarnya inilah jalan untuk wanita seperti puan meningkatkan darjat puan. Jika setakat ada suami dan puan pun pergi kerja balik kerja, mungkin hidup puan tidak ada banyak ujian dan cabaran. Tetapi apabila berpoligami, puan kena banyak mujahadah. Maksudnya ada ujian. Puan ada rasa tercabar. Puan perlu banyak bersabar. Di sinilah peningkatan untuk puan, insya Allah. Mana yang lebih besar, suami puan ataupun peningkatan puan di sisi Allah? Di sini baru terserlah kebaikan poligami sebab ia satu cara hendak meningkatkan takwa. Jika dengan ibadah mungkin prosesnya lambat. Tetapi dengan poligami, ia menjadi cepat.

MUSLIMAH: Terima kasih ustaz. Berikanlah nasihat akhir ustaz pada saya.

USTAZ: Fikirkanlah mengapa puan boleh jadi sebegini terseksa hatinya kerana isu poligami? Sebabnya ialah, bagi puan, suami itu adalah segala-galanya. Itu perlu diubah. Suami bukan segala-galanya. Sebaliknya, Allah adalah segala-galanya. Ketahuilah kita, selama ini kita sudah membesarkan perkara yang kecil. Suami itu sekadar hadiah daripada Allah untuk kita. Dia boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Tetapi jangan sampai Allah kita pinggirkan ataupun kita kesampingkan. Jika tidak berlaku poligami, kita tidak nampak perkara ini. Usahakan supaya kita kuat dengan Allah,  insyaAllah nanti kita akan kuat menghadapi urusan dunia seperti poligami. Berdoalah pada Allah dengan doa ini,

"Ya Allah! aku mahukan redha-Mu. Seandainya dengan poligami ini aku akan mendapat redha-Mu, aku bersedia. Namun, aku lemah ya Allah, aku tidak mampu. Kau bantulah aku ya Allah bagi menghadapi poligami ini. Bantulah aku supaya aku berbaik-baik dengan maduku. Dan bantulah aku untuk sentiasa dapat menyenangkan suamiku. Juga, bantulah suamiku untuk menjadi kuat dengan-Mu ya Allah, moga-moga dengan itu, dia dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya. Moga-moga dengan itu, kami sekeluarga mendapat kebahagiaan yang hakiki daripada-Mu."


Moga bermanfaat…

JAGALAH HATI….
Wassalam

Rabu, 8 Jun 2011

CONTOH SURAT RASMI...



Suami bin Lelaki
17,Jalan Simpang Empat,
53000, Kuala Lumpur
Malaysia.

Isteri binti Perempuan
17, Jalan Simpang Empat,
53000, Kuala Lumpur
Malaysia.

08 Jun 2011

Puan,

PERKARA : PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI

Perkara di atas adalah di rujuk.


2. Sebab utama permohonan ini di lakukan adalah kerana saya ingin melengkapkan kuota yang telah di peruntukkan bagi saya. Buat masa ini kuota yang telah di isi cuma satu, memandangkan masih ada 3 kekosongan, eloklah jika dapat di penuhi secepat mungkin. Pihak yang akan mengisi satu kekosongan ini buat masa ini ialah Cik Hana Fazura binti Ramli yang merupakan setiausaha saya di pejabat. Memandangkan komitmen yang beliau tunjukkan di pejabat amat baik, eloklah jika kita masukkan dia bersama kita di dalam organisasi keluarga kita. Kekosongan yang selebihnya akan di isi di masa akan datang.


3. Untuk makluman pihak puan, yang sebenarnya masalah ini telah lama saya fikirkan tetapi memandangkan poket saya yang selalu nipis, terpaksalah saya tangguhkan dulu permohonan ini di samping kurangnya rasa keyakinan untuk mengemukakan permohonan ini. Kini, setelah saya dapat mengeluarkan kesemua duit pelaburan ASB saya, saya merasakan kembalinya semangat saya yang telah hilang selama ini.


4. Permohonan ini amat setimpal kerana dengan kedudukan sekarang ia menguntungkan kedua belah pihak dan juga pihak ketiga. Selama ini hidup kita bahagia sebab jika tidak, manakan mungkin puan dapat menjadi seperti sekarang. Semua yang puan miliki sudah bertambah besar. Kereta besar, rumah besar, rantai besar dan pakaian besar. Jika dulu potongan puan seperti gitar, kini sudah bertukar menjadi drum. Oleh itu, sudilah kiranya dapat kita kongsi bersama insan lain kebahagiaan kita ini.


5. Pihak puan juga dapat menikmati faedah dari kelulusan permohonan ini kerana puan akan tetap menikmati apa yang telah puan miliki sekarang dengan waktu bekerja lebih singkat dan sistem syif akan di perkenalkan iaitu 1 hari kerja dan 1 hari cuti rehat. Waktu bekerja yang selebihnya akan ditampung oleh pihak ketiga. Kebaikan yang puan akan nikmati ialah waktu rehat yang bebas kerana dalam waktu puan bercuti, saya selaku Penyelia tidak akan memantau aktiviti yang puan lakukan. Pada waktu itu saya cuma akan fokus kepada hasil kerja pihak ketiga. Menguntungkan bukan?


6. Segala kerjasama dari pihak puan saya dahulukan dengan ribuan terima kasih. Saya amat berharap pihak puan dapat meluluskan permohonan saya ini kerana adalah lebih baik jika kita dapat berkongsi kebahagiaan kita ini bersama insan lain. Saya harap permohonan saya ini di balas dengan senyuman penuh keikhlasan dari pihak puan dan tandatangan puan di atas kertas yang saya lampirkan bukannya balingan periuk nasi, pinggan-mangkuk, ketukan senduk dan perkara-perkara yang menyukarkan pihak puan untuk melakukannya.


7. Saya harap puan sudi meluluskan permohonan ini. Hadirkanlah senyuman puan, sebagaimana ketika kita menyambut orang baru iaitu bayi kita ke dalam keluarga kita 13 tahun lepas. Situasinya lebih kurang sama dengan masa kini. Kita akan menerima orang baru juga, cuma bezanya ialah jika 13 tahun yang lepas kita perlu menjaga dan membelainya dengan manja bersama tetapi kali ini, setiap urusan penjagaan dan belaian manja akan di laksanakan oleh saya sepenuhnya.


8. Akhir kata, saya harap permohonan saya ini dapat dibalas secepat mungkin. Semoga kita bersama-sama dengan pihak ketiga akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya.



Sekian, Terima Kasih.

"BERKORBAN DAN BERKONGSI KEBAHAGIAAN LAMBANG RUMAHTANGGA BAHAGIA"

Yang Ikhlas Memohon,

Suami bin Lelaki

Selasa, 7 Jun 2011

ANTARA DUA JALAN...



Manusia selalu tidak adil. Dia lebih selalu takut dengan keadaan yang serba pahit, sedih dan kecewa. Tetapi dia tidak pernah sedih dengan kesenangan, populariti dan kejayaan yang diraihnya. Apalagi jika manusia yang tidak pernah bahagia ketika mendapat kesedihan.


Allah Azza wa Jalla berfirman, “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan”(QS Al-Anbiya:35)


Manusia yang cerdik dan bijak adalah manusia yang mampu menafsirkan keadaan sulit serta pahit untuk menjadi suatu proses kematangan menuju kebahagiaan. Tidak ada manusia yang berjaya tanpa halangan. Sebaliknya, manusia kerdil dan jumud adalah manusia yang gelisah dengan adanya halangan, kepahitan dan kegagalan. Allah swt berfirman lagi, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” (QS Al-Baqarah:155)


Ingatlah saudara seakidahku semua, ada 2 kelompok manusia dalam hal mereka menghadapi kegagalan, iaitu


1. Manusia yang selalu tersenyum dalam keadaan apa pun, termasuk ketika dihinggapi kegagalan. Kerana menangis, meratap, apalagi melampiaskan dengan cara merosak tidak akan menciptakan keberhasilan, kecuali hanya akan melipat gandakan kesedihan yang sudah terjadi.


Allah swt berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Robb kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): "Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu".(QS Al-Fushilat:30)


2. Manusia yang dalam menghadapi kegagalan akan sangat reaktif, emosional, seakan-akan dunia sudah kiamat saat itu juga. Dia merasa jika kegagalan tidak segera dipamerkan dengan kekesalan, amukan atau makian, maka selamanya dia akan merasa menyesal seperti tiada harapan lagi di esok hari.


Allah swt berfirman, “ Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?” (QS Al-Munafiqun:4)


Berbahagialah ketika selama hidupnya manusia selalu dihadapkan dengan halangan, kerana janji Ilahi, Dia tidak akan memberikan kesulitan di luar batas kemampuan manusia itu sendiri. Kesulitan hidup, pahitnya hidup sepatutnya menjadi sarana menuju martabat yang lebih tinggi. Hanya dengan "mendaki" lebih tinggi dan lebih tinggi lagilah, manusia akan mampu memahami hakikat kehidupan yang luas ini.


Allah swt berfirman lagi, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), "Ya Robb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Robb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (QS Al-Baqarah:286)


Sekarang sudah terbentang 2 jalan di hadapan kita. Jalan manakah yang menuju kembali kepada-Nya dan jalan manakah yang akan membawa kita jauh dari-Nya? Ia adalah pilihan kita.


Allah swt berfirman, “maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.(QS Asy-Syams:8-10)


Optimislah !!



Jagalah Hati…


Wassalam.

Sabtu, 4 Jun 2011

KEHANCURAN SEORANG HAMBA...


Awal malapetaka dan kehancuran seseorang terjadi ketika penyakit sombong dan merasa diri paling benar bersemayam dalam hatinya. Inilah sifat yang melekat pada iblis. Sifat inilah yang berusaha di pindahkan oleh iblis kepada manusia yang bersedia menjadi sekutunya.

Sifat ini ditanda dengan ketidaksediaan untuk menerima kebenaran yang datang dari pihak lain; keengganan melakukan muhasabah diri ; serta sibuk melihat aib dan kesalahan orang lain tanpa mahu melihat aib dan kekurangan diri sendiri.

Padahal, kebaikan hanya wujud jika seseorang bersikap rendah hati; mahu menyedari dan mengakui kekurangan diri; melakukan introspeksi; serta siap menerima kebenaran dari siapa pun dan dari mana sekalipun. Sikap seperti ini sebagaimana dicontohkan oleh orang-orang mulia dari para nabi dan rasul.


Nabi Adam as dan Siti Hawa saat melakukan kesalahan dengan melanggar larangan Allah, mereka tidak sibuk menyalahkan iblis yang telah menggoda dan memberikan janji dusta. Malahan, mereka langsung bersimpuh sujud dan sembah pada Allah dengan mengakui segala kealpaan seraya berkata,

"Ya, Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi." (QS 7:23).

Demikian pula dengan Nabi Yunus as saat berada dalam gelapnya perut ikan di tengah lautan. Baginda as tidak menyalahkan sesiapa pun, kecuali dirinya sendiri, seraya terus bertasbih menyucikan Robb-Nya. Baginda as berkata,

"Tidak ada Robb selain Engkau. Mahasuci Engkau. Sesunguhnya, aku termasuk orang-orang yang zalim." (QS 21: 87).

Bahkan, Nabi Muhammad saw elalu membaca istighfar dan meminta ampunan kepada Allah swt sebagai bentuk kesedaran diri yang paling tinggi bahawa tidak ada manusia yang sempurna. Oleh itu, Baginda saw harus selalu melakukan muhasabah diri. Baginda saw bersabda,

"Wahai, manusia, bertaubatlah dan mintalah ampunan kepada-Nya. Sebab, aku bertaubat sehari semalam sebanyak seratus kali." (HR Muslim).

Begitulah sikap arif para nabi yang patut dijadikan teladan. Mereka tidak merasa diri mereka sudah sempurna, bersih, dan suci. Allah swt berfirman,

"Janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui orang yang bertakwa." (QS 53: 32).

Mungkin sebuah syair Gus Dur, mantan Presiden Indonesia ini sesuai untuk menyindir orang-orang yang selalu bongkak dan merasa dirinya paling benar dan merasa sudah bijak dengan disebabkan mereka hafal Al Quran dan Hadis sehingga berani mengkafirkan atau mengecap musyrik orang lain yang tidak sefahaman dengan dirinya, sedangkan mereka tidak pernah membaiki dirinya sendiri,

Banyak yang hafal, Quran hadis
Senang mengkafirkan orang lain
Kekafirannya sendiri tidak diperhatikan
Sesungguhnya masih kotor hati-akalnya ...


Oleh itu, daripada mengarahkan telunjuk kepada orang lain, lebih baik mengarahkan telunjuk kepada diri sendiri. Daripada sibuk melihat aib orang, alangkah bijaknya kalau kita sibuk melihat aib sendiri. Orang yang pandai adalah orang yang dapat memanfaatkan ilmunya untuk memperbaiki amal perbuatannya diri sendiri. Bukan orang yang suka membaiki amal perbuatan orang lain, akan tetapi kesalahan serta kekurangannya tidak pernah diperbaiki. Dalam Musnad Anas ibn Malik ra, Baginda saw bersabda,

"Beruntunglah orang yang sibuk melihat aib dirinya sehingga tidak sibuk dengan aib orang lain."

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Jumaat, 3 Jun 2011

PADA SAAT MEMASUKI PENGHULU SEGALA HARI...



Ketika kita mendapat hadiah ulang tahun kelahiran dari pasangan kita sebuah komputer riba canggih yang kita impikan selama ini, apa yang kita lakukan? Tentu kita akan mengucapkan terima kasih sambil memeluk pasangan kita bukan? Apakah kita telah bersyukur dengan pemberian hadiah itu? Mungkin jawapannya ya. Namun seiring perjalanan waktu, kerana pelbagai kesibukan kita, kemudian kita melalaikan hadiah komputer riba itu dan membiarkan saja, bahkan tidak pernah mahu menggunakannya lagi. Apakah kita masih termasuk orang yang bersyukur? Pasti jawapannya tidak, bukan? Lantas bagaimana dengan perasaan pasangan kita yang memberikan hadiah itu? Pastinya ia akan merasa kecewa dan menganggap kita tidak berterima kasih dan bersyukur dengan hadiah yang diberikan bukan?


Demikian juga dalam kehidupan ini. Sesungguhnya tanpa diminta Allah swt telah memberikan anugerah kepada kita dengan berbagai kurniaan yang sangat istimewa. Pernahkah kita berfikir betapa berharganya pelbagai anugerah istimewa yang telah diberikan Allah swt kepada kita? Sedarkah kita semua bahawa Allah telah kurniakan pelbagai anugerah yang tidak ternilai harganya dalam kehidupan ini? Ya, Dia Allah swt telah kurniakan kepada setiap manusia mulai dari kemampuan fizikal yang sempurna, kecerdasan otak yang luar biasa, kekuatan hati yang yang tidak ada bandingannya. Allah swt telah berikan kepada kita kedua mata untuk melihat, kedua telinga untuk mendengar, kedua kaki untuk mendirikan tubuh, hati, buah pinggang, jantung, paru-paru, tanpa kita harus membayarnya.




Apakah kita sering menganggap remeh dan kurang menghargai berbagai anugerah itu semua? Apakah kita merasa cukup hanya dengan mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas nikmat dan anugerah yang luar biasa ini? Ingatlah bahawa hidup ini adalah kurniaan Allah yang Maha Pemberi Kehidupan. Dengan berbagai anugerah istimewa, Allah swt mengharapkan kita mampu menggunakannya untuk tujuan mulia. Manusia dikatakan benar-benar telah bersyukur dan berterima kasih, jika kita telah mampu mengguna dan memanfaatkan sebaik mungkin berbagai kurniaan yang telah dianugerahkan Allah tersebut. Apabila kita telah menoreh prestasi-prestasi kebaikan dan memberikan manfaat bagi kehidupan dengan menggunakan kurniaan yang telah kita miliki tersebut.


Pada saat memasuki Penghulu Segala Hari seperti ini, sebaiknya kita bertanya, apakah kita telah menggunakan kurniaan yang telah diberikan Allah swt untuk tujuan-tujuan mulia ? Ada baiknya untuk berani bertanya ke dalam diri kita masing-masing, prestasi-prestasi apa saja yang sudah kita lakukan dengan menggunakan berbagai anugerah yang telah kita miliki? Manfaat dan kebaikan apa saja yang sudah kita lakukan dengan berbagai anugerah yang sudah kita miliki ? Sudah kita gunakan untuk apa saja, kedua penglihatan kita, kedua tangan kita, kedua kaki kita, kemampuan kecerdasan otak kita, kekuatan hati nurani kita selama ini ? Apakah kita biarkan saja tanpa menghasilkan manfaat bagi banyak orang lain ? Ataukah hanya kita gunakan untuk kepentingan-kepentingan memenuhi nafsu dan ego peribadi tanpa memikirkan kepentingan orang lain ?



Ada baiknya kita berani bertanya ke dalam diri,

“Sekiranya Allah yang Maha Pemberi Kehidupan mencabut kehidupan kita dan bertanya kepada kita, apakah kita sudah berani berdiri tegak dihadapan-Nya dengan mengatakan prestasi terbaik dan manfaat yang telah kita lakukan dengan menggunakan anugerah dari-Nya?”


Kita selayaknya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan waktu kehidupan untuk memasuki hari baru. Ada baiknya kita berusaha untuk menggunakan waktu ini lebih baik lagi. Menggunakan berbagai anugerah yang kita miliki untuk lebih memberikan serta memanfaatkan bagi kehidupan orang di sekitar kita. Menggunakan kurniaan yang telah diberikan Allah untuk hal-hal kebaikan. Memanfaatkan semua anugerah pemberian Allah secara optimum, bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga untuk manfaat bagi orang lain. Menggunakan kurniaan Allah yang ada dalam diri kita, seperti kekuatan fikiran dan kekuatan hati untuk melakukan prestasi dan kerja terbaik yang bermanfaat.



Lebih baik untuk tidak pernah meremehkan pelbagai anugerah yang ada dalam diri kita masing-masing. Kerana sesungguhnya hidup ini penuh dengan kurniaan istimewa. Kita sebaiknya mampu menggali pelbagai kekuatan dan keunikan peribadi kita untuk melakukan prestasi terbaik dalam kehidupan. Kita sebaiknya mampu membuktikan telah menggunakan kedua penglihatan, pendengaran, tangan, kaki, otak, dan semua panca indera kita untuk tujuan-tujuan mulia dalam kehidupan. Inilah bentuk rasa syukur dan ungkapan terima kasih kita kepada Allah swt atas segala kurniaan yang telah kita terima. Wallahu`alam.




Jagalah Hati…

Wassalam.

Rabu, 1 Jun 2011

WAHAI DIRI...


Terima kasih Allah kerana masih sudi memberi peluang kepada diri untuk terus menghirup udara di alam Mu ini.


Ampuni dosa diri ini ya Allah, culas kami pada perintah Mu, terkadang jarang untuk menyebut nama Mu, lupa untuk beristighfar kepada Mu…


Terima kasih ya Allah kerana masih sudi memberikan kami rakan taulan yang dapat memberi nasihat dan peringatan kepada hati yang kabur ini. Alhamdulillah, diri ini masih mampu untuk menadah tangan bermunajat, masih diberi peluang untuk menangisi dosa-dosa yang lalu dan melihat kebenaran kitab Mu yang diberikan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.


Wahai diri...


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6) Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10) (Surah as Syams : 1-10)


Cubalah menjenguk ke luar jendela memerhatikan kebesaran Allah menjadikan alam ini. Alangkah cantiknya bulan yang ditaburi bebintang menghiasi langit di waktu malam. Di sebalik bintang dan bibir langit masih ada lagi bebintang lain yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah. Di sana ada lagi galaksi dan planet, segala jenis tahi bintang, yang rosak binasa, yang terhasilnya planet baru... Maha Hebat pengetahuan Mu Ya Allah, diri yang kerdil ini tidak mampu untuk memikirkannya.


Indahnya siang, sang matahari yang menebarkan cahayanya dengan izin Allah untuk makhluk-makhluk yang mendiami bumi ini. Dengan mata yang terbatas ini, Allah memberikan kenikmatan untuk melihat warna warni dunia ini, dari gelapnya malam, Allah telah menukar pula kepada siang. Dari gelap kepada terang, dan itu juga perumpamaan kepada mereka yang mendapat hidayah dengan mereka yang lemas di dalam kesesatan dan zalim kepada diri sendiri. Terik sang mentari semakin terasa di ubun kepala, mungkin agaknya sudah hampir kita kepada penantian menunggu matahari di Padang Mahsyar. Allahu Allah.. terima kasih kerana masih sudi memberi peringatan kepada diri ini.


Wahai diri...


Seorang hamba Allah telah bertanya, “apa yang engkau mahu?” dan tentunya engkau akan berceloteh panjang memberitahu apa yang diingini:

1. Rumah

2. Kaya

3. Kereta yang besar

4. Jam tangan yang cantik, perhiasan diri yang lengkap, baju yang mahal, berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan, dan lagi... alangkah banyaknya kehendakmu yang tidak terbatas..


Lalu soalan itu ditanya berulang kali. Akhirnya lama-kelamaan kita akan terdiam pula kerana ketidak tahuan apa sebenarnya yang kita inginkan apabila semuanya sudah dipenuhi. Tentu selepas itu dirimu akan terasa kosong pula. Padahal wahai diri, engkau sebenarnya memerlukan cahaya iman yang selama ini selalu ada pasang dan surutnya.


Dan hamba Allah itu bertanya lagi.. siapa diri engkau sebenarnya? Wahai diri, engkau hanyalah hamba Allah yang hina, dan sepatutnya engkau tahu apa yang perlu dibuat oleh hamba yang hina yang menyembah kepada Robb nya.


Wahai Diri..


Tentu engkau tidak lagi tahu sampai bila waktu akan diberikan kepadamu, masa yang sudah berlalu itulah sebenarnya umurmu, dan masa yang akan datang bukan milikmu dan engkau tidak tahu sama ada masih diberi waktu untuk menikmatinya. Tidakkah engkau ingin menjadikan hidup ini sesuatu yang bermakna dan memberi manfaat untuk akhiratmu?


Lihatlah tumbuh-tumbuhan, haiwan yang kecil dan besar, mungkin kicauan burung itu sedang bertasbih riang, daun-daun bergeseran memuji Allah dan setiap satunya makhluk Allah yang disangkakan bisu rupanya sedang memuji-muji Allah, tetapi mengapa engkau jarang bertasbih dan memujiNya?..


Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al Isra' : ayat 44)



Jagalah Hati…

Wassalam.