Popular Posts

Khamis, 17 Mac 2011

DEKLARASI CINTA...


Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.


Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini, hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah swt dan Nabi-Nya saw yang tidak asing lagi, Rabi'ah al Adawiyyah dalam syairnya, "Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya."


Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Rasulullah saw harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:




1. Menjunjung agama Nabi-Nya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah saw dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara 'kasih' dan 'taat' ini terlihat jelas dalam firman Allah swt, “Katakanlah (wahai Muhammad), "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu." (QS Ali 'Imran: 31)


Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.


Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah saw juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah swt dan Rasul saw.





2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah saw, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya saw dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda saw.


Selaku umat Muhammad saw, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad saw sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah swt. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Baginda saw serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda saw.


Kita juga dididik oleh Rasulullah saw dan ulama pewaris Baginda saw menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul saw dan Isra' Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi saw dalam kerangka ubudiah kepada Allah swt. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.


Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Rasulullah saw dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.




3. Orang yang mengasihi Rasulullah saw akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda saw; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.


Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy'ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.


Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah saw sambil mendendangkan syair kegembiraan: "Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!" Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Rasulullah saw. (riwayat Al-Baihaqi)




4. Seseorang yang mengasihi Baginda saw juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda saw termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda saw disebut di hadapan mereka.


Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Rasulullah saw selepas kewafatan Baginda saw tidak akan menyebut nama Baginda saw melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.


Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad saw, tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Rasulullah saw hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!


Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin,kurniaan dan kehendak-Nya.


Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi Muhammad saw sedangkan Baginda saw lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.





5. Orang yang mengasihi Rasulullah saw juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Rasulullah saw, terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.


Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.


Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.


Ini ialah sirah para Salaf al-Soleh; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah saw sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).


Anas ibn Malik ra misalnya, setelah melihat Rasulullah saw mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.




6. Orang yang mengasihi Rasulullah saw akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.


Allah swt menjelaskan, “Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)


"Mereka" yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda saw yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Ibnu Abbas ra menyatakan, di antara sahabat Baginda saw yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.


Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Syaidina Abu Bakar ra sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah saw. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda saw.




7. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah saw juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah saw yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda saw yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, "Akhlak Baginda saw adalah al- Quran itu sendiri".


Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.




8. Tanda kasih terhadap Rasulullah saw juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.


Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Rasulullah saw. 




Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?


Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah swt mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah saw ! wallahu`alam.



Jagalah Hati...



Wassalam.



Rabu, 16 Mac 2011

BILA AKAL MENAFSIR HIDUP...


Tidak ada seorang pun yang aku takuti di dunia ini, sama ada ia seorang Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar, Panglima Tentera, Ketua Polis, Pembunuh Upahan, atau sesiapa pun mereka itu. Rasa takut seorang manusia muncul kerana rasa bersalahnya. Rasa takut manusia akan hilang dan benar-benar hilang hinggalah ke saat kematiannya. Pengsan hanya membuat rasa takut yang bernilai sementara. Jika tujuan akhir hidup ini bermula dengan kematian, buat apa susah-susah untuk merasa takut. Ada orang yang takut mati, ada pula orang yang takut untuk hidup. Bayi menangis ketika dilahirkan mungkin kerana takut tidak akan mampu bertahan dan kuat terhadap godaan dunia yang akan dijalaninya.

Aku percaya tiap hal kecil dan besar semasa hidupku, semuanya adalah kehendak Allah. Tapi ketika aku keluar dari kenyataan tersebut, aku seolah seseorang yang mengatur, membentuk, memilih setiap apa yang ingin ku lakukan. Semua pertanyaan, semua masalah yang muncul dapat ku perolehi sendiri jawapan dan jalan penyelesaiannya, itulah proses hidup. Berdasarkan pada sangkaan tersebut, aku mampu mengendalikan diriku sendiri, aku tidak tergantung pada orang lain, walaupun adakalanya kerana keyakinanku yang merasa boleh mengendalikan diri sendiri, orang lain pula mempunyai pendapat yang berbeza. Mereka berpendapat bahawa aku diluar kendalian.

Salah satu penghalang, pengganggu, pembuat kacau adalah diriku sendiri. Kesalahan mengambil keputusan yang aku sesali, kesalahan menentukan langkah yang harus diambil membuat aku semakin yakin bahawa nasibku ditentukan oleh kemahuanku sendiri, dipengaruhi oleh ilmu, pengetahuan, sejarah hidup, keinginan, nafsu yang membentuk diriku dan terbentuk oleh diriku sendiri juga. Tidak ada situasi, orang, kejadian, masalah yang boleh  membuatku takut. Semua sudah terukur dan dapat difahami.

Takut miskin kerana orang di sekitar kita kaya. Takut bodoh kerana orang di sekitar kita pandai. Takut gagal kerana orang di sekitar kita berjaya. Semua itu hanyalah hal biasa, semua itu hanyalah takdir, semua itu hanyalah sekadar kehendak Allah. Tapi satu hal yang masih aku fikirkan ialah, apakah aku takut terhadapnya atau tidak…? Salah satu hal yang sering menerbitkan rasa takut pada diriku ialah, adakah aku tersesat…? Aku takut tersesat dan melencong dari “jalan yang lurus”. Untuk itu, aku harus selalu meminta petunjuk ke jalan yang lurus, petunjuk untuk orang yang diberi nikmat dan bukan jalan orang yang dimurkai dan apalagi yang sesat.

Takut neraka kerana ada orang yang dapat ke syurga, tidak juga sebenarnya. Dengan tingkah laku dan ilmu yang ada sekarang ini, mengalami siksaan neraka di akhirat nanti merupakan hal yang lumrah bagiku. Yang mampu diupayakan olehku hanyalah berusaha berbuat baik sebanyak mungkin dan lupakan; tidak ada yang tersimpan di memori untuk diingati, tidak ada yang layak diminta balasan atau pahala terhadap semua niat baik kita. Semua itu tidaklah seberapa. Semua itu hanyalah takdir.

Si A bijak, pandai hanyalah takdir. Si B kaya hanyalah takdir. Aku bodoh hanyalah takdir. Takdir di luar kehendak dan kefahaman manusia, jadi jalani sajalah. Ada saat dimana kedudukan kita boleh jadi terbalik. Ada saat di mana sesuap nasi yang hanya bercampur garam tidak terhitung nikmatnya dibandingkan sepinggan nasi penuh lauk pauk yang lazat.

Apa yang menyulitkanku adalah diriku sendiri, keinginanku, nafsuku. Jikalah aku mampu mengendalikan diriku, bukan diriku yang mengendalikan aku, aku yakin …pada saat itulah, kerana Allah yang Maha Pengasih, Penyayang dan Pengampun terhadap umatnya, habis sudah waktu siksaan hati terkurung dalam bentuk fizikal yang sangat tidak bererti ini, diambillah nyawaku agar tidak berbuat lebih banyak dosa lagi. Wallahu`alam.

 Wassalam

Selasa, 15 Mac 2011

SEIRINGKAN DOA DAN MALU...


“Mengapa doa-doa saya belum dikabulkan setelah sekian lama?” tanya seorang saudara seakidah kita. Sejujurnya, bukannya tidak mahu menjawab, tapi pertanyaan seperti ini sudah berulang kali diterima dari rakan-rakan, cuma dengan bentuk masalah yang berbeza, yakni tentang bilakah Allah memakbulkan doa.

Rasanya sudah banyak jawapan yang pernah diutarakan oleh ramai ustaz, namun kali ini, hamba Allah akan cuba mencari cara lain untuk membuat rakan-rakan mengerti, faham dan selalu bersangka baik (husnuzhon) kepada Allah swt.

"Memang sering kita berdoa kepada Allah, namun seperti Allah swt belum juga memenuhi hajat kita” jelas hamba Allah membuka jawapan.

“Namun ketahuilah bahawa banyak orang meminta harta yang banyak kepada Allah swt dalam doanya. Ada juga yang minta agar naik pangkat. Ada pula yang berdoa agar diberikan jodoh yang cantik, soleh serta solehah dan sebagainya. Belum lagi pelbagai permintaan ini dan itu sepuas hati mereka! Tidak sedikit manusia yang berdoa kepada Allah swt dengan nafsu syahwat mereka… Segala hal terbaik ingin mereka minta, sebab ia percaya bahawa Allah Maha Pemberi Anugerah akan sangat mudah mengabulkan permintaan mereka…. Namun sayang, mereka hanya mahu selalu menang. Selalu meminta, namun jarang memberi! Minta yang manis, tidak mahu yang pahit! Padahal mereka belum mengerti bahawa jika Allah swt memberi apa yang mereka inginkan, belum tentu hal itu membawa kebaikan untuk mereka….” jelas hamba Allah

“dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (QS. 2:216)

Itulah sifat manusia yang mengira bahawa mereka suka berdoa untuk diberikan anugerah apa yang mereka kira baik, padahal Allah swt memakbulkan doa mereka dengan tidak mengabulkan permintaannya!

Cuba kita bayangkan, apabila setiap makhluk Allah swt ciptakan semuanya kaya raya seperti yang mereka inginkan, apa jadinya dunia ini?!


Betapa banyak manusia yang ingin mendapatkan kuasa dan pengaruh. Ia menyangka bahawa bila ia mendapatnya, ia akan banyak melakukan kebaikan. Namun bila diberikan, rupanya ia tidak bersedia menerimanya sehingga kuasa bukan lagi sebagai anugerah, tetap menjadi musibah.

Maka makna yang terpenting yang harus menjadi pelajaran bagi kita adalah bagaimana kita mampu sentiasa mencuci hati dan fikiran kita untuk sentiasa redha atas keputusan Allah swt.

Jika Allah swt berkehendak membuat hidup kita lapang atau sempit, kita selalu mengucapkan Alhamdulillah. Allah membuat hidup kita senang atau susah, tidak ada masalah. Atau Allah swt mengangkat darjat kita kemudian Dia jatuhkan pun juga tidak mengapa. Yang penting asal Allah swt redha kepada kita, maka kita pun juga akan selalu redha kepada-Nya.

Inilah sebuah kisah yang termaktub dalam shahih Bukhari tentang permohonan para sahabat kepada Rasulullah saw.

Petang itu Rasulullah saw sedang menyampaikan khutbah Jumaat. Dalam keheningan dan kekhusyukan khutbah, maka terdengar teriakan orang-orang yang berdiri dan berseru kepada Baginda saw, “Ya Rasulullah, kemarau berpanjangan. Pepohonan kering dan haiwan ternak mati kehausan. Mohon kiranya Rasulullah berdoa kepada Allah swt agar berkenan menurunkan hujan.”

Rasulullah saw lalu berdoa kepada Allah swt, “Allahummas qinaa… Ya Allah berilah kami hujan… turunkan untuk kami hujan!”

Maka Allah swt pun memakbulkan permintaan Nabi-Nya. Maka angin pun meniupkan awan hingga berkumpul. Mendung pun menaungi manusia. Hingga saat Rasulullah saw turun dari mimbar, maka hujan pun turun membasahi bumi.

Dengan mustajabnya doa Rasulullah saw tersebut, maka hujan tidak berhenti turun hingga hari Jumaat berikutnya. Maka manusia pun menjadi resah sebab anugerah yang terlalu banyak.

Saat Rasulullah saw berkhutbah di Jumaat berikutnya, maka beberapa orang berdiri mencelah khutbah Baginda saw. Mereka berkata, “Ya Rasulullah, hujan yang turun ini terlalu hingga rumah-rumah rosak dan jalan menjadi becak. Mohon kiranya Rasulullah sudi untuk berdoa agar Allah swt menghentikannya.”

Mendengarnya, Rasulullah saw tersenyum… Lalu sejurus kemudian Baginda saw berdoa, “Allahumma hawalina la alaina…. Ya Allah, buatlah hujan turun di sekeliling kami bukan di atas kepala kami.”

Maka atas doa Rasulullah saw, Allah pun menghentikan hujan di Madinah, namun masih menurunkannya di luar kota Madinah.

Itulah kisah permintaan doa manusia yang pernah terjadi di zaman Rasulullah saw. Pelajaran yang dapat diambil dari hadis di atas adalah bahawa kita harus mengakui bahawa kita suka memaksa  dalam memnuhi kehendak peribadi saat kita berdoa kepada Allah swt.

Kebodohan dan keterbatasan ilmu kita member isyarat bahawa kita mengira bahawa apa yang kita inginkan adalah hal yang terbaik. Padahal setelah Allah swt kabulkan apa yang kita ingin, ia telah menjadi hal yang menyusahkan bagi diri kita.

Tidakkah kita merasa malu kepada Allah swt di kala Dia menyingkapkan suatu saat kepada kita bahawa apa yang kita minta rupanya amat buruk bagi kita?!

Pada kisah dalam hadis itu disebutkan bahawa Rasulullah saw sendiri pun tersenyum melihat tingkah laku manusia yang suka meyalahkan sendiri doanya. Bila Rasulullah saw saja tersenyum melihat kenaifan kita saat berdoa, lalu bagaimana dengan Allah swt yang mendengar semua permintaan dan munajat kita…?!

Maka jadikanlah hati kita sentiasa redha atas keputusan-Nya…!

Wallahu`alam.

Jagalah Hati...
 Wassalam

HIDAYAH ITU MAHAL...


Pernahkah kita terfikir bahawa kita sedang  berada dalam anugerah yang tiada ternilai dari Zat yang memiliki kerajaan langit dan bumi, sedangkan begitu banyak orang yang dihalang untuk memperolehnya?

Kita dapat tahu ajaran yang benar dari agama Islam ini. Tahu ini haq, itu batil… Ini tauhid, itu syirik…. Ini sunnah, itu bidaah… Lalu kita dimudahkan untuk mengikuti yang haq dan meninggalkan yang batil. Sementara, banyak orang tidak mengerti mana yang benar dan mana yang sesat, atau ada yang tahu tapi tidak dimudahkan baginya untuk mengamalkan al-haq, malah ia terus menerus berbuat kebatilan.

Kita dapat berjalan dengan teguh di bawah cahaya yang terang-benderang, sementara ramai orang yang bertatih meraba dalam kegelapan.


Kita tahu apa tujuan hidup kita dan ke mana kita akan tujui. Sementara, ada orang yang tidak tahu untuk apa sebenarnya mereka hidup. Bahkan kebanyakan mereka menganggap mereka hidup hanya untuk dunia, sekadar makan, minum, dan bersenang-lenang di dalamnya.


Apa namanya semua yang kita miliki ini, wahai saudara seakidahku, kalau bukan anugerah terbesar, nikmat yang tiada ternilai? Inilah hidayah dan taufik dari Allah swt kepada jalan-Nya yang lurus.


Dalam Tanzil-Nya, Allah swt  berfirman,  “Allah memberikan hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” ( QS Al-Baqarah: 213)


Hidayah di sini bermaksud petunjuk dan taufik. Allah swt memberikan hidayah ini kepada orang yang layak mendapatkannya, kerana segala sesuatu yang dikaitkan dengan kehendak Allah swt, maka mesti mengikuti hikmah-Nya. Siapa yang memperolehi hidayah, maka memang ia layak untuk menerimanya

Allah swt tidak meletakkan hidayah di dalam hati kecuali kepada orang yang layak mendapatkannya. Adapun orang yang tidak memperolehinya, maka Allah swt mengharamkannya beroleh hidayah tersebut. Allah yang Maha Mengetahui, Maha Memiliki Hikmah, Maha Mulia lagi Maha Tinggi, tidak memberikan hidayah hati kepada setiap orang, namun hanya diberikannya kepada orang yang diketahui-Nya berhak mendapatkannya dan dia memang layak. Sementara orang yang Dia Mengetahui tidak sepatutnya beroleh hidayah dan tidak sesuai, maka diharamkan-Nya dari hidayah tersebut.


Di antara sebab terhalangnya seseorang dari beroleh hidayah adalah fanatik terhadap kebatilan, kemaksiatan dan semangat kesukuan, parti, pemimpin serta golongannya, dan sepertinya. Semua ini menjadi sebab seseorang tidak mendapatkan taufik dari Allah swt. Siapa yang kebenaran telah jelas baginya namun tidak menerimanya, ia akan dihukum dengan terhalang dari hidayah. Ia dihukum dengan penyimpangan dan kesesatan, dan setelah itu ia tidak dapat menerima al-haq lagi. Maka di sini ada gesaan kepada orang yang telah sampai al-haq kepadanya untuk bersegera menerimanya. Jangan sampai ia menunda atau mahu fikir-fikir dahulu, kerana kalau ia menundanya, maka ia memang sepatutnya dihalang dari hidayah tersebut.

Allah swt berfirman, “Maka tatkala mereka berpaling dari kebenaran, Allah memalingkan hati-hati mereka.” (QS Ash-Shaf: 5)

“Dan begitu pula Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Quran) pada awal kalinya dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat.” (QS Al-An’am: 110)


Perlu di ketahui bahawa hidayah itu ada terbahagi kepada dua bahagian, iaitu,


1. Hidayah yang boleh diberikan oleh makhluk, baik dari kalangan para nabi dan rasul, para ulama atau selain mereka. Ini dinamakan hidayah irsyad (bimbingan), dakwah dan bayan (keterangan). Hidayah inilah yang disebutkan dalam ayat, “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) benar-benar memberi hidayah/petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS Asy-Syura: 52)


2. Hidayah yang hanya diberikan oleh Allah swt, tidak selain-Nya. Ini dinamakan hidayah taufik. Hidayah inilah yang ditiadakan pada diri Rasulullah saw, lebih-lebih lagi selain Baginda saw, dalam ayat, “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” (QS Al-Qashash: 56)


Yang bernama manusia, baik ia ulama, pendakwah atau seumpamanya, hanya dapat membuka jalan di hadapan sesamanya. Ia memberikan penerangan dan bimbingan kepada mereka, mengajarkan kepada mereka mana yang benar, mana yang salah. Adapun memasukkan orang lain ke dalam hidayah dan memasukkan iman ke dalam hati, maka tidak ada seorang pun yang berkuasa melakukannya, kerana ini hak mutlak Allah swt


Saudara seakidahku, bersyukurlah kepada Allah swt ketika kita dapati diri kita termasuk orang yang dipilih-Nya untuk mendapatkan dua hidayah yang tersebut di atas. Kerana berapa ramai orang yang telah sampai kepadanya hidayah irsyad, telah sampai padanya dakwah, telah sampai padanya al-haq, namun ia tidak dapat mengikutinya kerana terhalang dari hidayah taufik. Sementara diri kita, ketika tahu al-haq dari al-batil, segera kita  pegang erat-erat yang haq tersebut dan kita hempaskan kebatilan sejauh mungkin. Bererti hidayah taufik dari Rabbul Izzah menyertai kita. Ap yang tinggal sekarang, hidayah itu harus kita pelihara, kerana ia sangat bernilai dan sangat penting bagi kehidupan kita. Ia harus menyertai kita bila ingin selamat di dunia, apatah lagi di akhirat. Bagaimana tidak? Sementara kita di setiap rakaat dalam solat diperintah untuk memohon kepada Allah swt hidayah kepada jalan yang lurus, “Tunjukkanlah (berilah hidayah) kami kepada jalan yang lurus.” (QS Al-Fatihah: 6)


Bila timbul pertanyaan, bagaimanakah seorang mukmin meminta hidayah di setiap waktu solatnya dan di luar solatnya, padahal kata mukmin itu sendiri bermaksud ia telah beroleh hidayah? Bukankah dengan begitu bererti ia telah meminta apa yang sudah ada pada dirinya?


Allah swt membimbing hamba-hamba-Nya untuk meminta hidayah, kerana setiap insan memerlukannya siang dan malam. Seorang hamba sangat perlu kepada Allah swt setiap saat untuk mengukuhkannya di atas hidayah, agar hidayah itu bertambah dan terus-menerus dimilikinya. Seorang hamba tidak dapat memberikan manfaat dan tidak dapat menolak kemudaratan dari dirinya, kecuali apa yang Allah swt kehendaki. Allah swt pun membimbing si hamba agar di setiap waktu memohon kepada-Nya pertolongan, keteguhan, dan taufik.

Orang yang bahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah swt untuk memohon hidayah, kerana Allah swt telah memberikan jaminan untuk mengabulkan permintaan orang yang berdoa kepada-Nya di sepanjang malam dan di penghujung siang. Apatah lagi bila si hamba dalam keadaan tersepit dan terperangkap yang menyebabkannya sangat memerlukan bantuan Allah. Ini sebanding dengan firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya…” (QS An-Nisa’: 136)

Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan orang-orang yang telah beriman agar tetap beriman. Ini bukanlah perintah untuk melakukan sesuatu yang belum ada, kerana yang dimaksudkan dengan perintah beriman di sini adalah saranan agar tetap kukuh, terus-menerus dan tidak berhenti melakukan amalan-amalan yang dapat membantu seseorang agar terus di atas keimanan. Wallahu a’lam.

Berbahagialah dengan hidayah yang Allah swt berikan kepada kita dan jangan biarkan hidayah itu berlalu pergi dari diri kita. Mintalah selalu keteguhan dan istiqamah di atas iman kepada Zat yang Maha Mengabulkan doa. Teruslah mempelajari agama Allah swt. Hadirilah selalu majlis ilmu. Dekatlah dengan ulama, cintai mereka kerana Allah swt. Bergaullah dengan orang-orang soleh dan jauhi orang-orang jahat yang dapat menghancurkan pemahaman agama serta membuat kita terpikat dengan dunia.


Semua ini seharusnya kita lakukan dalam upaya menjaga hidayah yang Allah swt anugerahkan kepada kita. Satu lagi yang penting, jangan kita menjual agama ini kerana menginginkan dunia, ingin harta, kuasa, dan kerana cinta kepada pasangan kita. Sekali-kali janganlah kita kembali ke belakang. Kembali kepada masa lalu yang suram kerana jauh dari hidayah dan bimbingan agama. Ingatlah, “Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan.” (QS Yunus: 32)


Kata Al-Imam Al-’Allamah Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi rahimahullahu, “Kebenaran dan kesesatan itu tidak ada perantara antara keduanya. Maka, siapa yang luput dari kebenaran mesti ia jatuh dalam kesesatan.”


Lalu apa pandangan kita dengan orang yang tahu kebenaran dari kebatilan, ia berjalan di atas kebenaran tersebut dan berada di dalam hidayah, namun kemudian ia patah semangat, tidak teguh berpegang pada kebenaran lagi dan hatinya berbisik mengatakan ‘selamat tinggal kebenaran’? Wallahul Musta’an.


Sungguh syaitan telah berjaya  menyuntik tipu daya dan menghempaskannya ke jurang yang sangat dalam.


Ya Allah, wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu, di atas ketaatan kepada-Mu. Amin ya Rabbul ‘alamin ….
Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Ahad, 13 Mac 2011

SAAT DAN MINIT...


Masa hidup rata-rata manusia adalah sekitar 60 hingga 80 tahun. Ia kelihatan sangat panjang bagi orang yang tidak memahami erti Akhirat. Padahal di Akhirat nanti,  hidup adalah abadi, sama asa di syurga atau di neraka, maksudnya tidak terhad sekadar 500 atau seribu tahun atau sejuta tahun, tapi lebih dari itu. Bahkan sebelum Allah swt menentukan jalan pulang kita, sama ada masuk syurga atau neraka, kita pun masih harus mengikuti ‘masa menunggu’ di alam kubur selama ratusan hingga ribuan tahun; bergantung kepada iman, amal dan ibadah kita di dunia ini. Kemudian masih ada ribuan tahun lagi ‘masa menunggu’ di Padang Mahsyar, ratusan hingga ribuan tahun lagi ‘masa menunggu’ di proses pengadilan Akhirat dan seterusnya, sehingga 60 hingga 80 tahun di dunia sesungguhnya adalah waktu yang sangat singkat.

Rasulullah saw menggambarkan masa kehidupan di dunia ibarat orang yang sedang singgah sejenak dalam suatu perjalanan yang sangat jauh.
“Ada dua kenikmatan yang kebanyakan manusia merugi (terhalang dari mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.” ( Bukhari)

Hadis yang mulia di atas memberikan beberapa faedah kepada kita:
1.     Selayaknya bagi kita memanfaatkan waktu sihat dan waktu lapang untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah swt dan mengerjakan kebaikan-kebaikan sebelum hilangnya dua nikmat itu. Kerana, waktu lapang akan diikuti dengan kesibukan, dan masa sihat akan disusul dengan sakit.

2.     Islam sangat memperhatikan dan menjaga waktu kerana waktu adalah kehidupan, sebagaimana Islam memperhatikan kesihatan badan di mana akan membantu sempurnanya agama seseorang.

3.     Dunia adalah ladang akhirat. Maka seorang hamba seharusnya membekalkan dirinya dengan takwa dan menggunakan kenikmatan yang diberikan Allah swt untuk taat kepada-Nya.

4.     Mensyukuri nikmat Allah swt adalah dengan menggunakan nikmat tersebut untuk taat kepada-Nya. “Dan ingatlah ketika Robb mu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat itu kepada kalian. Dan jika kalian mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih’.” (QS surat Ibrahim:7).

Kenyataan yang ada hari ini, banyak waktu kita berlalu sia-sia tanpa kita manfaatkan dan kita pun tidak dapat memberikan manfaat kepada salah seorang dari hamba-hamba Allah. Kita tidak merasakan penyesalan akan hal ini kecuali bila ajal telah datang. Ketika itu seorang insan pun berangan-angan agar ia diberi kesempatan kembali ke dunia walau sedetik untuk beramal kebaikan, akan tetapi hal itu tidak akan diperolehinya.

Terkadang nikmat ini luput sebelum datangnya kematian pada seseorang, dengan sakit yang menimpanya hingga ia lemah untuk menunaikan apa yang Allah swt wajibkan terhadapnya. Ia merasakan dadanya sempit dan ia merasa letih. Malah adakalanya, datang kesibukan pada dirinya dengan mencari nafkah untuk dirinya sendiri dan keluarganya sehingga ia terluput menunaikan banyak dari amal ketaatan.

Allah swt berfirman, “Hingga ketika datang kematian menjemput salah seorang dari mereka, ia pun berkata: ‘Wahai Robbku, kembalikanlah aku ke dunia agar aku boleh mengerjakan amal soleh yang dulunya aku tinggalkan’. “ (QS Al-Mukminun: 99-100)

“Sebelum datang kematian menjemput salah seorang dari kalian, hingga ia berkata: ‘Wahai Robbku, seandainya Engkau menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat sehingga aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.’ Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila telah datang waktunya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (QS Al-Munafiqun: 10-11)

Oleh itu, seharusnyalah bagi insan yang berakal untuk memanfaatkan waktu sihat dan waktu lapangnya dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, sesuai dengan kemampuannya. Jika ia dapat membaca Al Quran, maka hendaklah ia memperbanyak membacanya. Bila ia tidak pandai membaca Al Quran, maka ia memperbanyak zikir kepada Allah. Bila ia tidak dapat melakukan hal itu, maka ia melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Atau mencurahkan apa yang ia mampu berupa bantuan dan amal kebaikan kepada saudara-saudaranya. Semua ini adalah kebaikan yang banyak namun luput dari kita dengan sia-sia.

Sedemikian pentingnya mengisi waktu dengan baik sehingga Al-Quran memiliki satu surah khusus mengenai waktu (surat Al Ashr). “ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. Rasulullah saw menggambarkan betapa pentingnya mengisi waktu dengan kebaikan dengan menganjurkan kita bersedekah walau dengan sebiji kurma sekalipun, atau menanam pohon walaupun esok kiamat tiba.
Wallahu`alam.
Jagalah Hati...
Wassalam.

WANITA TUA DAN DAUN KERING...


Dahulu di sebuah kampung Melayu, di sebuah negeri Pantai Timur , ada seorang nenek tua yang menjadi penjual bunga cempaka. Ia menjual bunganya di pasar, setelah berjalan kaki cukup jauh dari rumahnya. Selesai berniaga, ia selalu singgah ke sebuah masjid berhampiran pasar, tempat ia berniaga. Ia berwuduk, masuk masjid, dan melakukan solat Zuhur. Setelah membaca wirid sekadarnya, ia keluar masjid dan membongkok-bongkok di halaman masjid. Ia mengumpulkan dedaunan yang bertaburan di halaman masjid. Selembar demi selembar dikaisnya. Tidak satu lembar pun ia sisakan. Tentulah agak lama ia membersihkan halaman masjid dengan cara yang sedemikian. Padahal matahari waktu begini sungguh menyengat. Keringatnya membasahi seluruh tubuhnya.


Ramai pengunjung masjid merasa sayu kepadanya. Pada suatu hari, ahli jawatankuasa masjid memutuskan untuk membersihkan daun-daun kering sebelum perempuan tua itu datang.


Pada hari itu, sebagaimana biasa, ia datang dan terus masuk ke dalam masjid. Selesai bersolat, ketika ia ingin melakukan pekerjaan rutinnya, ia terkejut. Tidak ada satu pun daun kering berselerak di situ. Ia kembali masuk ke dalam masjid dan menangis dengan bersungguh-sungguh. Ia bertanya mengapa daun-daun itu sudah disapu sebelum kedatangannya. Orang-orang di situ menjelaskan bahawa mereka kasihan kepadanya. “Jika kalian kasihan kepadaku,” kata nenek itu, “Berikan kesempatan kepadaku untuk membersihkannya.”


Dipendekkan cerita, nenek itu dibiarkan mengumpulkan dedaunan itu seperti biasa. Seorang ustaz yang dihormati masyarakat diminta untuk menanyakan kepada perempuan itu mengapa ia begitu bersemangat membersihkan dedaunan itu.


“Saya ini perempuan bodoh, ustaz,” tuturnya. “Saya tahu amal-amal saya yang kecil itu mungkin juga tidak ikhlas saya jalankan. Saya tidak mungkin selamat pada Hari Akhirat nanti tanpa syafaat Junjungan Nabi Muhammad saw. Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Baginda Rasulullah saw. Kelak jika saya mati, saya ingin sangat agar Baginda saw menjemput saya. Biarlah semua daun itu bersaksi bahawa saya membacakan selawat kepada Baginda saw.”


Perempuan tua dari kampung itu bukan saja mengungkapkan cinta Rasul dalam bentuknya yang tulus. Ia juga menunjukkan kerendahan hati, kehinaan diri, dan keterbatasan amal dihadapan Allah swt. Lebih dari itu, ia juga memiliki kesedaran kerohanian yang luhur: Ia tidak dapat bersandarkan kepada amalnya. Ia sangat bergantung pada rahmat Allah swt. Dan siapa lagi yang menjadi rahmat semua alam selain Rasulullah saw…?


Moga kita saling mengambil manfaat dari pelajaran yang diberikan nenek tua ini...

Jagalah Hati...

Wassalam.