Popular Posts

Jumaat, 11 Mac 2011

HIDAYAH ALLAH BUKANNYA MUDAH...


Memindah sebuah bukit yang besar lebih mudah berbanding dengan mengubah hati seorang manusia. Tegas Allah kepada Rasul Nya, " Wahai Muhammad, seandainya engkau membelanjakan seluruh isi dunia dengan hasrat supaya manusia menerima Islam, nescaya engkau akan kecewa. Engkau tidak akan mampu menjinakkan hati manusia TETAPI Allah lah yang menjinakkan hati-hati manusia". Oleh yang demikian di dalam mengingatkan manusia kepada Islam jangan sekali-kali kita lupa untuk berdoa kepada Allah agar melembutkan hati manusia untuk mencintai dan sayang kepada agama Allah yang dibawa oleh baginda Rasul saw.


Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibnu Khaldun menyatakan " Suasana persekitaran wujud sebelum seseorang bayi dilahirkan". Maka persekitaran menjadi antara penyebab untuk seseorang insan menjadi baik atau sebaliknya. Antara penyakit lain yang membawa kebinasaan kepada manusia ialah sikap terlalu sayangkan dunia dan panjang angan-angan.


Sesungguhnya kita sebagai hamba amat mendambakan taufik, hidayah dan Inayah Allah swt. Taufik boleh diertikan sebagai sikap Allah yang telah memilih kita, suka dan kasihkan kita. Hidayah pula adalah petunjuk dari Allah hasil daripada taufik Allah kepada kita. Sementara Inayah adalah pertolongan Allah untuk kita dapat melaksanakan segala titah perintah dan menjauhi setiap perkara yang dilarang oleh Allah.


Ingatlah, " Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah (suka beramal soleh) maka sudah tentu Allah akan suka bertemunya di hari akhirat kelak. Begitulah juga sebaliknya.




Ketenangan hati membawa erti seseorang itu aman dan tenteram, tidak gelisah, tidak runsing, lapang fikiran, tidak diganggu, mantap, stabil, berasa lega, tidak risau dan gundah.


Seorang yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya. Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu, ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur, sama ada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian di tempat kerja ataupun kerja-kerja di rumahnya atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.


Sebaliknya bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari ketenangan melalui proses yang salah yang tidak direstui oleh syarak seperti minum minuman yang memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan bersalah. Hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan yang sedia ada.


Sesungguhnya untuk mencapai ke arah hati yang tenang, ia bukan suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil. Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan ke atas diri individu seperti membina sikap positif, sebagai contoh " bertafakur ".

Seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati kuasa Allah. Manakala tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Insya Allah, jika diusahakan akan berjaya. Selain dari itu, pegangan dan amalan agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan. Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan Allah. Dalam Islam, solat fardu lima waktu dan sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan kepada individu berkenaan. Berzikir serta membaca Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa. Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman. Zikir mengajar individu supaya bertakwa kepada Allah.



Firman Allah, " Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati "


Sebenarnya hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram kerana selalu mengingati Allah di waktu ditimpa malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya di masa akan datang. Oleh sebab itu, hilanglah dukacitanya berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah (nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram baik di waktu susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang itulah kita mengingati Allah dan membersihkan jiwa. Rasulullah saw mengatakan bahawa sembahyang itu tempat ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh yang demikian senanglah hati menghadapi segala kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud, " Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Robb mu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Nya), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga Ku ".


Naluri semula jadi yang membezakan antara manusia dengan ciptaan Allah yang lain ialah daya ingin tahu yang menuntut mereka mencari ilmu bagi kepuasan akal. Sepertimana dalam kisah Nabi Ibrahim yang tertanya-tanya akan bagaimana keadaan dunia selepas mati. Bukan Baginda as tidak yakin dengan kemampuan Ilahi, tapi kerana rasa ingin tahu yang sentiasa mahukan bukti.




Islam sebagai agama fitrah, agama yang menepati naluri manusia, adalah cara hidup yang amat mementingkan ilmu. Jelas, kerana tanpa ilmu manusia tidak dapat melakukan apa-apa secara sendirian tanpa panduan. Hatta si kecil yang mahu menyuapkan nasi ke mulut pun terpaksa belajar daripada ibunya. Islam amat menyanjungi orang yang berilmu, kerana hanya orang yang berilmu yang dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.


Firman Allah: ``Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?'' (Az-Zumar: 9) ``Sesungguhnya orang yang paling takut pada Allah hanyalah para ulama.'' (Fatir: 28)


Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah ra, ``Sesiapa yang mengambil inisiatif untuk menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju ke syurga.'' (Hadis riwayat Muslim)




Betapa ilmu yang bermanfaat, dapat menundukkan hati manusia kepada Allah, seterusnya membawa jiwa-jiwa yang tenang dalam perhambaan ini kepada syurga. Pada asalnya, semua ilmu adalah membawa kepada kebaikan kecuali ilmu yang dipelajari daripada syaitan, iaitu ilmu sihir dan ilmu meramal nasib. Ilmu akan memandu pemiliknya ke arah jalan yang betul supaya mereka ini tidak mudah tersesat dalam perjalanan mereka. Jika pun tersesat, mereka ada keupayaan untuk kembali ke pangkal jalan dan tidak teraba-raba bagai pengemudi kapal di lautan gelap tanpa bintang penunjuk arah.


Islam telah menetapkan ilmu asas bagi seorang mukmin sebagai ilmu fardu ain. Ilmu ini mesti dituntut oleh seorang hamba bagi merealisasikan kehidupan seorang hamba dengan Ilahi, dengan dirinya dan dengan hamba-hamba yang lain. Ilmu yang paling penting ialah ilmu tauhid. Ilmu yang dapat mengenalkan seorang hamba dengan Penciptanya. Seterusnya ilmu asas untuk mereka melakukan pengabdian (ibadah) kepada Allah, iaitu ilmu fekah yang membicarakan sama ada sah atau tidak sembahyangnya. Akhirnya ialah ilmu akhlak yang mendidik manusia menjadi insan yang ikhlas beramal, melakukan yang terbaik untuk Allah dan manusia sejagat.


Namun untuk merealisasikan tuntutan syariah, tidak cukup tanpa ilmu-ilmu bantu yang dinamakan ilmu fardu kifayah. Untuk sembahyang contohnya, kita perlukan masjid yang memerlukan jurutera dan pekerja binaan. Ibadah haji pula memerlukan kapal terbang, yang perlu dicipta oleh saintis. Bahkan tanpa doktor yang tahu tentang ilmu kesihatan, kita sudah tentu susah untuk beribadah apabila badan sudah sakit. Oleh itu, ilmu fardu kifayah seperti ilmu kejuruteraan, kedoktoran, perkomputeran dan lain-lain juga diperlukan. Bahkan sekarang ini, para saintis amat diperlukan untuk membuktikan keajaiban fakta-fakta di dalam kitab al-Quran secara saintifik yang boleh menyerlahkan tentang kehebatan Allah yang mencipta!


Jelas, setiap perkara perlukan ilmu. Ilmu yang bermanfaat bukan sahaja pada diri sendiri, tapi pada orang lain juga.


Apa yang berlaku sekarang ialah ilmu yang sedang dipelajari itu sudah dilupai hala tuju asalnya. Ibarat seorang yang mendaki bukit yang menemui taman-taman indah di perjalanan, lantas terlupa tujuan asalnya untuk menawan puncak bukit tadi!


Ilmu yang pada asasnya membawa manusia kepada kebaikan tidak memberi sebarang kesan terhadap diri. Seolah-olah hati manusia tidak boleh berkomunikasi dengan minda mereka sendiri. Ya, akal tahu yang mana benar dan yang mana salah, tapi hatilah yang menggerakkan untuk melakukan kesalahan ataupun memilih kebaikan.


Daripada Nu'man bin Basyir ra melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, ``Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada seketul darah yang apabila ia rosak, rosaklah keseluruhan jasad dan apabila ia baik, baiklah keseluruhannya, ketahuilah itulah hati!'' (Muttafaq `alaih).




Lihatlah betapa ramainya orang yang berilmu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah walau ilmu memenuhi akal. Ada juga yang hanyut dengan ilmunya yang banyak sehingga menafikan hak orang lain untuk dihormati, disayangi dan dikagumi. Ilmu membuatkan dia ego, bongkak, sombong, besar diri dan keras kepala. Allah telah menjelaskan hal ini di dalam al-Quran: ``Adakah kamu sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu lupa pada dirimu sendiri, padahal kamu sendiri telah membaca kitab Allah, tidakkah kamu boleh berfikir?'' (Al-Baqarah: 44).


Rupanya ilmu hanyalah jalan mendapat hidayah atau petunjuk Allah. Ilmu itu rupanya cuma lorong menuju kebenaran dan ilmu itu bukanlah destinasi. Ilmu yang diperolehi oleh akal tidak mampu mengubah diri kita untuk mendapat rasa perhambaan kepada Allah, tapi hanya alat yang tidak semestinya dipergunakan ke arah kebaikan. Ibarat pisau yang menjadi bermanfaat kalau digunakan untuk memotong daging lalu dibuat sup, tetapi menjadi mudarat jika digunakan sebagai alat mencederakan manusia!


Firman Allah: ``Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.'' ( QS Az-Zumar:3).


Hidayah Allah tidak datang kepada manusia hanya kerana mereka berilmu, kecuali manusia itu benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Kepincangan akhlak yang berlaku sekarang ialah kerana hati manusia sudah tidak melihat ilmu sebagai wadah mengenal Allah dan alat untuk berbakti kepada masyarakat kerana Allah. Tanpa niat yang baik, natijah buruklah yang menunggu walau ilmu yang dituntut itu cukup baik.


Benar sekali bicara suci Rasulullah saw yang diceritakan oleh Umar al-Khattab: ``Sesungguhnya sebenar-benar pekerjaan adalah berasaskan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap insan itu apa yang telah diniatkannya.'' (Muttafaq alaih).


Apa yang berlaku sekarang ini ialah tiadanya unsur-unsur ketuhanan, mahupun kesedaran moral dalam menuntut ilmu. Remaja belajar adalah kerana arus, bukan kerana kesedaran atau niat untuk berbakti kepada Allah dan masyarakat setelah cukup ilmunya.


Kadang-kadang kita tahu perkara itu tidak baik tapi kita tetap melakukannya. Tandanya, tahu itu tidak memberi apa-apa kesan tanpa disusuli dengan amalan. Fahamlah juga kita, hidayah atau petunjuk kepada kebenaran itu bukanlah boleh dicari sebagaimana kita boleh mencari ilmu.




Hidayah itu milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, iaitu orang-orang yang mencari ilmu kerana mendambakan hidayah-Nya.


Kita diberi pilihan untuk menjadikan diri kita termasuk dalam orang-orang yang mendapat petunjuk Allah. Menjadi orang-orang yang soleh,yang terpilih dan yang termasuk daripada kalangan hamba yang diredhai-Nya. Dengan syarat, kita serius dalam memohon petunjuk Allah. Sentiasa bermujahadah, melawan segala nafsu buruk, menambah keikhlasan dan kualiti amalan kita.


Dengan niat perhambaan kepada Allah, tidak kiralah dalam amal ibadah khusus atau profesion seharian, pasti kita diselamatkan daripada melakukan maksiat kepada Allah swt. Hal ini kerana Allah pernah berjanji: ``Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.'' (QS Al-Ankabut :69)


Pohonlah hidayah Allah sebagaimana Allah mengarahkan kita melakukan permohonan setiap kali menunaikan sembahyang dalam setiap rakaat. ``Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.'' (QS Fatihah :6).


Doa ini akan sentiasa mengawal diri kita daripada tersasar arah tuju. Hanya dengan niat kerana Allah, ilmu yang dipelajari walau sedikit, akan memberi manfaat. Saintis yang beretika, pegawai yang amanah, jurutera yang ikhlas, ulama yang jujur, doktor yang mulia, ahli korporat yang tawaduk dan masyarakat berilmu, maju dan berakhlak, hanya akan lahir apabila ilmu diaplikasikan dengan betul bersama-sama hidayah daripada Allah. 


Wallahu`alam.



Wassalam.

Khamis, 10 Mac 2011

BAGAIMANA UNGKAPAN CINTA KITA PADA ALLAH...?


Beberapa tahun lalu, seorang penyanyi (saya lupa nama penyanyi tersebut) pernah menyanyikan lagu yang di antara liriknya berbunyi begini,  


aku mahu tidur ingat kamu
aku mahu makan ingat kamu
aku mahu mandi ingat kamu,
dan seterunya…..


Lagu itu memang berbicara tentang cinta dua anak muda. Tapi, apa tidak terlalu berlebihan bila di setiap waktu ia selalu mengingati kekasihnya. Padahal kekasihnya itu belum tentu jadi suaminya. Walaupun, ia hanya sekadar lagu, tapi setidaknya itulah cermin gaya anak muda saat ini.


Lantas, bagaimanakah ungkapan cinta kita kepada Allah? Bukankah kecintaan kita kepada Allah mesti di tempatkan di atas segala-galanya? Sementara, kecintaan kita kepada manusia harus dalam rangka kecintaan kita kepada Allah… 


Mengingat Allah (zikrullah) adalah salah satu aspek kecintaan seorang hamba kepada Penciptanya. Bahkan salah satu sifat orang-orang yang berakal (ulul albab) adalah selalu mengingati Allah (QS Ali Imran: 190-191). 




Dan jika kita mahu diingat oleh Allah, maka kita pun selalu harus mengingati-Nya. "Maka ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingati kalian" (QS Al-Baqarah: 152). 


Menurut Rasulullah saw, salah satu ciri orang hidup itu ialah zikrullah demi mengingati Allah. Baginda saw bersabda, "Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dibandingkan dengan yang tidak berzikir adalah bagaikan orang yang hidup dengan orang yang mati" (HR Bukhari). 


Yang dimaksud dengan zikir adalah merasakan keagungan Allah dalam semua keadaan. Zikir tersebut boleh berupa zikir fikiran, hati, lisan, dan perbuatan. Yang dimaksud dengan zikir perbuatan mencakupi pula tilawah Al-Quran, ibadat, dan keilmuan. Makna zikir inilah yang paling banyak dijelaskan oleh Al-Quran dan hadis Rasulullah saw. 


Berkenaan zikir dengan fikiran, Allah swt. berfirman: "Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak juga oleh jual-beli dari mengingati Allah, dan dari mendirikan solat, dan dari membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari dimana hati dan penglihatan menjadi goncang" (QS An-Nur: 37). Jadi merasakan keagungan Allah dan selalu merasa diawasi oleh-Nya harus terus menerus dititikberatkan, walaupun dalam kegiatan riadah atau berniaga. 


Manakala zikir dengan hati, Allah swt. berfirman: "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram" (QS Ar-Ra'd: 28). Jika seorang mukmin ingin selalu menemukan kenikmatan dan ketenteraman zikrullah di relung hatinya, hendaklah ia merasakan adanya keagungan Allah tertanam di dalam hatinya dan merasuk dalam jiwanya. 


Sementara itu, makna zikir lisan didasarkan pada sebuah hadis Qudsi. "Sesungguhnya Allah swt berfirman, "Aku bersama hamba-Ku bila ia berzikir kepada-Ku, dan kedua bibirnya bergerak menyebut nama-Ku" (HR Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah). 


Dalam hadis riwayat Tirmizi dari Abdullah bin Bisyir, seseorang berkata, "Ya Rasulullah, ajaran-ajaran Islam sudah sangat banyak bagiku, beritahukan aku akan sesuatu yang dapat saya pegang teguh." Rasulullah saw. menjawab, "Hendaklah lisanmu selalu basah dengan berzikir kepada Allah." 


Yang termasuk zikir lisan adalah semua doa dan mathurat yang diriwayatkan secara sahih dari Nabi saw dan diteruskan di zaman generasi sahabat dan generasi salaf yang soleh. Termasuk zikir juga adalah semua permohonan kepada Allah dan semua istighfar yang tercantum dalam Al-Quran atau diriwayatkan dari Rasulullah saw.


Moga saling mendapat manfaat…



Jagalah Hati


Wassalam.

BINGKISAN HATI...


Sebuah coretan membentuk susunan kata dari sebuah ingatan terhadap salah satu doa Rasulullah saw yang sentiasa menerbitkan airmata, lalu membentuk tasik hatiku…


Baginda saw menadah tangan sucinya dan melafazkan, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, anugerahkanlah aku dengan Cinta-Mu dan cinta dari orang-orang yang Engkau cintai. Ya Allah, anugerahkanlah aku dengan perbuatan yang menghantarkan aku kepada Cinta-Mu”


Memohon kepada Allah untuk membukakan hati kita terhadap Cinta Ilahi-Nya adalah permohonan yang paling penting yang sebolehnya kita lakukan dalam berdoa kerana tidak ada yang dapat menggantikan tempat bagi cinta.


Rasulullah saw yang disebut sebagai Kekasih Allah, yang diciptakan dari saripati cinta, dan sangat dicintai Allah sehingga seluruh ciptaan-Nya didedikasikan untuk Baginda saw tetap juga memohon agar dianugerahkan Cinta Ilahi. Mengapa?


Kerana siapa pun yang merasakan cinta itu, pasti akan memintanya lebih banyak lagi. Siapa yang berhati batu tidak akan meminta Allah memberikan cinta ini, tetapi orang-orang yang dapat merasakan cinta itu, tahu bahawa ia adalah kunci bagi semua kenikmatan hidup, kunci terhadap rahmat, keindahan, hikmah, dan kunci bagi semua anugerah yang dapat dihadiahkan Allah kepada hamba-Nya. Oleh sebab itulah, Rasulullah saw membimbing setiap manusia apa yang berharga dalam kehidupan ini.


Selanjutnya Baginda saw berdoa, “dan anugerahkanlah aku dengan cinta dari orang-orang yang mencintai-Mu…” Tahap pertama, iaitu Cinta Ilahi, adalah maqam para Rasul. Kita tidak mampu untuk melompat dari tangga terbawah menuju tingkat tertinggi dalam satu langkah. Allah bersifat transendental, kita tidak akan pernah dapat mengukur sesuatu mengenai Allah, tetapi lebih mudah untuk mencintai orang yang mewakili Cinta-Nya di antara semua umat manusia, kerana bagi kita sebagai orang awam, lebih mudah untuk mula mengerti dan mencintai manusia seperti diri kita. Kita tidak akan menemui apa-apa dalam hati mereka, kecuali Cinta Ilahi; oleh sebab itu mencintai mereka merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri ke arah Cinta Ilahi.


Rangkap terakhir dari doa Rasulullah saw ialah memohon kecintaan untuk melakukan perbuatan yang dapat menghantarkan Baginda saw kepada Cinta Ilahi. Permintaan yang dapat membawa berkat, yang melembutkan hati kita dan melemahkan sifat serakah dan ego. Ini adalah perbuatan yang dianjurkan oleh Allah melalui teladan dari para Rasul-Nya. Perbuatan yang disarankan dalam seluruh Kitab Suci-Nya. Dan, walaupun pada awalnya keadaan diri kita sukar untuk mengadaptasi dengan perbuatan mulia ini, insya Allah, dengan menyingsingkan lengan kita terhadap apa yang diredhai oleh Allah, Dia akan memperkuat hati kita.


Ini adalah tingkat ketiga cinta yang diminta oleh Rasulullah dalam doa Baginda saw, dan hikmah yang terpancar dari doa ini sudah cukup untuk menjadi bukti ketulusan Muhammad saw pada Ilahi. Sementara diri kita, seharusnya berusaha untuk selalu memohon cinta itu, Syaitan telah menyatakan perang terhadap niat seperti itu, kerana dia tahu bahawa bila cinta itu telah memasuki hati salah satu budaknya, dia akan kehilangan budak itu, dan dia tidak akan dapat menariknya kembali dengan segala kesenangan dunia ini. Orang yang telah merasakan cinta itu bahkan tidak akan memperhatikan kesenangan duniawi, atau hanya menganggapnya sebagai setitis dari dalamnya samudera.


Bersama doa ini mungkin kisah berikut dapat memberikan gambaran dan motivasi pada kita dalam melihat betapa hebatnya Cinta Ilahi… Suatu ketika Nabi Musa as pergi ke Gunung Sinai, Baginda as melalui sebuah gua yang didiami seorang petapa.


Petapa itu bangun dan memanggil Nabi Musa, “Wahai Musa, katakanlah kepada Allah agar aku dianugerahkan Cinta Ilahi-Nya, cukuplah walau sebesar zarah saja” Nabi Musa mengiakannya. Lalu Baginda as meneruskan perjalanannya. Kemudian, ketika Nabi Musa berbicara kepada Robb nya, Baginda as, menyampaikan permintaan petapa tadi. Allah menjawabnya, “Aku akan memberikannya Cinta Ilahi-Ku, tetapi tidak sebesar yang dia minta. Aku hanya akan memberikan satu bahagian terkecil dari sebutir zarah cinta itu”.


Ketika Nabi Musa kembali dari gunung, Baginda as dengan segera pergi untuk melihat apa yang terjadi dengan petapa tadi, untuk mengetahui bagaimana kesan satu bahagian terkecil dari zarah dari Cinta Ilahi yang terjadi pada dirinya. Ketika Nabi Musa as tiba, Baginda as melihat bahagian gunung yang menjadi gua itu telah hancur-lebur dan di sana terdapat sebuah jurang yang sangat dalam. Baginda as berteriak, “Wahai hamba Allah, apa yang terjadi, di mana kamu?”Lalu Nabi Musa melihat ke dalam jurang dan melihat petapa itu duduk di sana seolah-oleh dia berada di dunia lain, sepenuhnya tenggelam dalam cinta-Nya.


Mengapa petapa itu meminta secubit Cinta Ilahi? Kerana dia telah melakukan ibadah, namun tidak merasakan apa-apa. Dia merasakan kekosongan dalam hatinya dan kekosongan itu hanya dapat dipenuhi dengan Cinta Ilahi. Tanpa cinta, ibadah terasa hambar dan tidak berguna. Oleh sebab itulah, kita harus yakin bahawa ibadah yang kita dirikan di atas landasan cinta yang kuat akan mengolah cinta itu menjadi dinding dari bangunan yang menjadi amalan ibadah kita.


Ini lebih dari sekadar analogi, kerana bangunan pun terasa hidup dengan perasaan cinta orang-orang yang membinanya atau sebaliknya, mati kerana kekerasan hati para pembinanya


Oleh itu, bila kita melihat bangunan lama, walau dalam keadaan uzur seringkali menimbulkan perasaan tenteram kerana cinta dan kebaikan dari orang-orang yang membinanya. Hal ini khususnya dapat dirasai pada masjid tua, kerana para pembinanya membangunkan tempat itu dengan alasan yang sama, iaitu mendapat kecintaan Allah dan dengan kesolehan yang tulus. Di masjid-masjid tua sering timbul perasaan Kehadirat Ilahi, tetapi pernahkah kita merasakan suasana seperti itu di masjid baru, walau dengan senibina moden berkos tinggi? Rasanya tidak, kerana mereka telah mengeluarkan bahan paling penting dalam pembinaannya, iaitu cinta.  


Rasulullah saw membawa Cinta Ilahi, seluruh Rasul membawa aliran Cinta, tetapi sebahagian besar orang menjauhi mereka. Jadi yang menjadi amanah serta tugas kepada para pendakwah ialah memberikan aliran cinta itu kepada orang yang memintanya…wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam

Selasa, 8 Mac 2011

BUAT DIRIKU YANG LALAI...


Marah, apabila marah itu kerana Allah maka marah itu terpuji. Dan jika marah itu kerana selain-Nya maka marah itu tercela. Orang mukmin itu marah kerana Allah, bukan kerana dirinya. Dia marah kerana menolong agamanya bukan menolong dirinya. Dia marah apabila suatu batas dari batas-batas Allah itu dilanggar sebagaimana harimau marah apabila orang-orang mengambil anaknya.



Maka tentulah Allah murka kerana marahnya dan redha kerana redhanya. Jangan kamu lahirkan kemarahan kerana Allah padahal itu kerana dirimu, maka kamu menjadi munafik.



Dan yang serupa dengan itu kerana sesuatu yang kerana Allah itu sempurna, kekal dan bertambah. Sedangkan sesuatu yang kerana selainNya itu berubah dan hilang. Apabila kamu melakukan perbuatan maka tergelincirlah hawa nafsu dan syaitanmu dari padanya.



Dan janganlah kamu melakukannya kecuali kerana Allah dan mengikuti perintahNya. Janganlah kamu melakukan sesuatu kecuali dengan perintah yang pasti dari Allah.



Adakalanya perantaraan syarak atau dengan ilham dari Allah kepada hatimu yang sesuai dengan syarak . zuhudlah kamu terhadap dirimu, makhluk dan dunia maka Dia akan melapangkan kamu dari makhluk.



Gemarlah berhibur dengan Allah dan merasa lapang dengan dekat kepadaNya. Tidak ada hiburan kecuali berhibur denganNya dan tidak ada kelapangan kecuali berlapang denganNya, setelah bersih dari kekeruhan-kekeruhan hawa nafsu dan wujudmu.



Jadilah kamu bersama kaum itu maka kamu menjadi kuat dengan sokongan mereka, berangan-anganlah dengan pandangan mereka dan Dia akan bangga denganmu sebagaimana Dia akan bangga dengan mereka. Raja bangga denganmu di kalangan seluruh hamba sahaya.



Bersihkanlah hatimu dari siapa sahaja selainNya kerana denganNya kamu melihat apa yang selainNya. Secara global, kamu melihatnya kemudian dengannya kamu melihat perbuatan-perbuatanNya pada makhlukNya sebagaimana tidak boleh masuk pada raja-raja dengan kotor lahirmu (pakaian dan badan).



Bagaimanakah kamu masuk kepada Raja dari seluruh raja-raja yang mana Dia itu adalah Allah dengan najis batinmu? Kamu bejana yang penuh dengan minyak yang keruh. Bagaimanakah Dia berbuat kepadamu?Baikilah apa yang ada padamu, bersihkanlah dan setelah itu masuk kepada raja-raja. Di dalam hatimu terdapat kemaksiatan-kemaksiatan, dan takut kepada makhluk , mengharap mereka , cinta dunia dan apa yang ada padanya.



Seluruhnya ini termasuk kotoran hati. Tidak ada pembicaraan sehingga nafsumu mati dan kamu dibawa ke pintu usungan kejujuranmu. Ketika itu tidak mengapa kamu menghadapi makhluk. Adapun selama disisimu terdapat wujud mereka dan kamu melihat mereka maka janganlah kamu hulurkan tanganmu kepada mereka sehingga mereka menerimanya. Tidak ada pembicaraan sehingga di sisimu terdapat kekaguman dengan dekat kepadaNya di mana itu menyebabkan kesibukan padamu dari mereka, penerimaan mereka terhadap tanganmu, pemberian dan pencegahan mereka, sanjungan dan celaan mereka.



Apabila taubat itu benar maka benarlah iman dan bertambah menurut ahli sunnah. Sesungguhnya iman itu bertambah dan berkurang. Bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan. Itu pada hak orang-orang awam. Adapun orang khawash maka iman mereka bertambah dengan keluarnya makhluk dari hati mereka, dan iman mereka berkurang dengan masuknya makhluk ke dalam hati mereka.



Iman itu bertambah dengan tenangnya mereka kepada Allah dan berkurang dengan tenangnya mereka kepada selainNya. Mereka bertawakal kepada Tuhan mereka, percaya dengan teguh kepadaNya. Mereka mengesakanNya dan tidak mensekutukanNya. Dan pada yang demikian itu mereka terkena ujian, kerana mereka mentauhidkan di dalam hati dan bergaul dengan makhluk di lahir. Apabila mereka dibodoh-bodohkan maka mereka tidak membodoh-bodohkan. Allah berfirman tentang mereka, “Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata keselamatan.” (Al-Furqan 63)



Wajib atasmu diam dan santun terhadap kebodohan orang-orang bodoh, luapan naluri dan hawa nafsu mereka. Adapun apabila mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah maka kamu tidak diam kerana itu diharamkan. Menjadilah perkataannya sebagai ibadah dan meninggalkannya menjadi maksiat. Apabila kamu mampu untuk amar makruf dan nahi mungkar, maka janganlah kamu melalaikannya, kerana itu pintu kebaikan yang telah terbuka dihadapanmu maka bersegeralah memasukinya.



Isa as. itu makan dari serangga padang pasir, minum dari air sungai, dan berlindung dalam gua-gua. Apabila tidur, beliau berbantal dengan batu atau hastanya. Orang mukmin melakukan demikian dan azam untuk bertemu dengan Tuhannya pada keadaan yang seperti ini meskipun dia mempunyai bahagian-bahagian di dunia di mana dunia itu datang kepadanya. Dengannya itu, maka samarlah lahiriahnya, sedangkan dia memenuhinya dengan jiwa dan hatinya bersama Allah dengan tahap yang pertama, di mana dia tidak berubah kerana apabila zuhud telah menetap di dalam hati maka datangnya dunia tidak merubahnya.



Orang mukmin seandainya mencintai dunia, penghuninya, kesenangan dan kelazatannya, di mana dia tidak sabar walau sekejap. Dia sibuk dengan dunia baik siang mahupun malamnya, dia tidak beribadah, tidak ingat dan tidak taat kepada Allah. Maka Allah perlihatkan kepadanya cacat-cacat dirinya lalu ia bertaubat dan menyesali atas keterlaluannya pada hari-hari yang lalu. Dan Dia perhatikan kepadaNya cacat-cacat dunia dengan jalan Al-Quran , as sunnah dan guru-guru. Maka datanglah kepadanya zuhud terhadap dunia. Setiap kali dia melihat cacatnya maka Dia perlihatkan cacat-cacat lain lalu dia mengetahui bahawa dunia itu rosak. Dunia itu umurnya sampai waktu yang sebentar sahaja. Kenikmatannya hilang dan kebaikannya berubah. Akhlaknya rakus, tangannya menyembelih, perkataannya berbisa, suka merasakan, suka mencerai, tidak mempunyai tempat kembali. Tidak mempunyai pokok dan janjinya tidak dipegangi. Seperti membangun di atas air maka dia tidak dapat mengambil tempat yang tetap dan tidak pula rumah kerana berbalik-baliknya air itu.



Kemudian dia meningkat setingkat, dan dia menjadi kuat lalu dia makrifat kepada Allah, lalu dia tidak juga mengambil akhirat sebagai tempat menetap hatinya tetapi dia menjadikan dekat kepada Tuhannya sebagai tempat menetapnya di dunia dan akhirat. Dimana dia membangun rumah di sana untuk sirr dan hatinya.




Ketika itu tidak membahayakan baginya ramainya dunia walaupun dia membina 1000 rumah, kerana dia membinanya untuk orang lain, bukan untuk dirinya. Dalam hal itu mengikuti perintah Allah dan sesuai dengan qadha dan qadarnya. Dia mendirikannya dalam rangka berkhidmat kepada makhluk dan melapangkan kesempitan mereka. Dia menyiapkan makanan dan minuman untuk mereka tetapi dia tidak memakan daripadanya sedikitpun. Dia mempunyai makanan khusus yang tidak ada orang lain yang ikut makan bersamanya. Maka dia menjadi berbuka ketika memakannya, dan menjadi berpuasa dan lapar ketika makan makanan lain.



Orang yang zuhud berpuasa dari makan dan minum sedangkan orang yang arif itu berpuasa tanpa diketahui. Dia lapar, tidak makan selain dari dengan doktornya. Penyakitnya jauh dan ubatnya dekat.



Puasa orang zuhud itu siang hari, sedang puasa orang arif itu siang dan malam. Dia tidak berbuka dari puasanya sehingga dia bertemu dengan Tuhannya. Orang yang arif itu puasa tahunan, selalu demam. Puasa tahunan dengan hatinya, demam dengan rahsianya, dan dia tahu bahawa sembuhnya itu dengan bertemu Tuhannya dan dekat kepadaNya.



Wahai diri, jika kamu menginginkan kemenangan maka keluarkanlah makhluk dari hatimu. Janganlah kamu takut kepada mereka, jangan mengharap mereka, jangan berhibur dengan mereka, jangan memenangkan diri kepada mereka.



Larilah kamu dari seluruhnya dan jijiklah terhadap mereka seolah-olah mereka bangkai. Apabila hal itu telah betul bagimu ketika mengingati Allah dan gusar ketika mengingati selainNya…



Mengertilah..

Jagalah Hati...

Wassalam.

Sabtu, 5 Mac 2011

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT...


Seorang Pencari Kebenaran dengan kurniaan ilham dari Allah yang Maha Pemberi bertanya sebuah soalan pada hamba Allah lewat malam semalam di laman sosial ini.
Jawapan hamba Allah bukanlah sempurna, apatah lagi jauh dari yang terbaik. Namun, sebagaimana soalan tersebut yang di ilhamkan Allah, maka jawapannya moga mendapat bimbingan ilham dari Ilahi jua, insya Allah.
Moga kita sama-sama saling mendapat manfaat…  

SOALAN PENCARI KEBENARAN: Mengapa para sufi biasanya merahsiakan identiti dirinya dan suka memilih “murid” dalam memberikan bimbingan… Bukankah kita diwajibkan untuk menyebarkan kebaikan walau hanya 1 ayat… mengapa tidak berdakwah seperti para penceramah mahupun pendakwah atau mereka yang mengaku sebagai ulama…?

JAWAPAN HAMBA ALLAH: Sebenarnya bukanlah si sufi itu memilih-milih sesiapa untuk menjadi muridnya. Sebenarnya ia adalah antara mekanisme semulajadi alam. Contoh untuk memudahkan kita faham ialah makanan hanya bermanfaat jika diberikan kepada orang yang memang lapar. Sayang sekali jika kita, sebagai manusia, memberikan makanan kepada yang tidak memerlukannya. Mungkin makanan tersebut hanya disimpan hingga basi, atau dibuang atau juga mungkin membuat orang yang menerimanya menjadi muntah saat menjamu makanan tersebut. Padahal masih ramai lagi orang lain yang benar-benar memerlukan makanan.

Orang yang tidak lapar tentu tidak merasa perlu kepada makanan. Sebagaimana orang yang merasa sihat, tentu tidak merasa perlu untuk menemui doktor. Orang yang merasa sudah tahu agama, tentu tidak merasa perlu untuk belajar agama. Begitulah juga, orang yang tidak merasa lapar akan pengetahuan tentang Allah, tentu tidak akan merasa perlu untuk belajar tentang Allah swt.

“Sampaikanlah walau satu ayat,” memang merupakan hadis sahih Junjungan Rasulullah saw. Tetapi hakikatnya ialah, sampaikan kepada penerima yang betul, iaitu yang memang memerlukan, dan pada waktu yang tepat.

Andaikan di bumbung sebuah rumah kita pasang pembesar suara sepertimana yang biasa kita lihat di masjid-masjid dan kita melantunkan pula ceramah, pengajian dan zikrullah pada setiap pagi hingga ke petang tanpa henti demi atas nama dakwah, mungkin kita sebenarnya secara langsung telah menzalimi penghuni rumah dan jiran-jiran di sekitarnya. Siapa tahu, mungkin di sana ada bayi kecil? Orang tua yang sakit? Atau suami yang baru pulang kerja dan keletihan, sehingga gangguan bunyi dakwah tersebut membuat dirinya sensitif dan marah-marah pula pada anak isterinya.

Selain itu, pada orang-orang yang memang telah menerima tugas dari Allah Ta’ala (mengenal diri dan misinya) ada ruang lingkup dakwahnya sendiri, dan Allah sendiri yang menentukan. Tidak semua para Pencinta Kebenaran mesti menjadi penceramah dan tampil di depan masyarakat.

Ada yang memang tugasnya menjadi Rasul alam semesta (Baginda Muhammad saw), menjadi rasul bangsa tertentu saja (Musa, Isa as, dan lain-lain), menjadi mursyid untuk orang tertentu saja, yang muridnya itulah yang harus menjadi nabi (Syu’aib as). Ada yang harus menjadi panglima perang (Sa’ad bin Abi Waqqash, Khalid bin Walid). Ada yang harus menyampaikan khazanah Ilahiah melalui puisi (Jalaluddin Rumi). Ada yang harus menulis kitab (Al-Ghazali). Ada yang harus membuat buku dan menyampaikan ilmu ketuhanan yang rumit dan tidak untuk masyarakat biasa (Ibnu Arabi). Ada yang harus menjadi mursyid dengan penampilan mewah seperti sultan (Syeikh Abdul Qadir Jailani). Ada yang harus hidup penuh kesulitan, sakit kulit dan kefakiran seperti Nabi Ayub as. Ada pula yang diciptakan untuk kaya raya dan berkuasa seperti Nabi Sulaiman as.

Banyak sekali ragam tugas dan misi, demi menyampaikan dan menampilkan Khazanah Ilahiah. Oleh itu, jika seorang diciptakan sebagai, panglima perang, namun ia tampil di atas pentas dan berdakwah dengan cara klasik, ia sebenarnya telah menyalahi kehendak Allah bagi dirinya. Ia menyalahi tujuan penciptaannya.

Bukan bermakna orang-orang ini tidak berdakwah. Tapi, apa bentuknya dakwah mereka, sama ada sebagai penceramah, pelaksana dasar, pemikir, penulis, penyumbang harta atau pemimpin? Itulah yang Allah tentukan. Juga, ruang lingkupnya untuk siapa dakwah ingin disampaikan, adakah untuk umat, bangsa tertentukah, orang tertentukah, atau cukup untuk keluarga, dan mungkin hanya untuk dirinya sendiri.

Mereka yang tampil di pentas atau media dan berdakwah, atau mereka yang berserban dan berjubah, tidak bererti mereka menjadi lebih alim, lebih ulama, dan lebih soleh daripada mereka yang tidak tampil di khalayak  ramai dan berpenampilan biasa saja. Sama sekali tidak. Ukuran kesolehan dan kealiman sama sekali bukan pada penampilan lahiriyah seseorang. Dan, berdakwah untuk ribuan manusia sekaligus belum tentu lebih efektif dan lebih ‘berpahala’ (jika masih ingin membilang pahala) daripada berdakwah pada beberapa orang saja. Bukan jumlahnya, tetapi sejauh mana hati orang dapat didorong pada Khazanah Ilahiah yang ada pada diri kita. Walau hanya satu orang sahaja...

Lupakah kita pada Kalam Allah yang bermaksud, “Barangsiapa membunuh satu jiwa…maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa menghidupkan satu jiwa, ia bagaikan menghidupkan seluruh jiwa manusia.” (QS 5:32)
Menghidupkan jiwa’, secara hakikat juga bermaksud membebaskan jiwa manusia dari timbunan sifat jasadiyah dan keduniaannya sendiri.

Banyak orang-orang yang dicintai Allah tapi tidak tampil secara terbuka di khalayak untuk berdakwah, karena memang bukan itu tugasnya dilaksanakan. Dia dimudahkan pada bidang lain, tidak di bidang itu. Yang terpenting, orang-orang seperti ini tidak berdakwah hanya dengan kata-kata atau sekadar mengutip ayat. Mereka benar-benar mengerti apa yang mereka bicarakan dan lakukan. Juga, mereka berdakwah ‘bil hal’, dengan perbuatan. Tapi yang paling jelas, akhlak, perbuatan mahupun khazanah mereka semuanya dari sumber yang sama, iaitu Al-Quran, Al-Haqq dan kebenaran, walaupun mulut mereka belum tentu suka mengutip, memetik mahupun ‘berdakwah’ ayat-ayat kepada umat di depan khalayak. Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Semoga bermanfaat…