Popular Posts

Khamis, 3 Mac 2011

SEBUAH CINTA...


Seorang ibu sedang sarat mengandung. Ia sedang berjalan tertatih tatih di sebuah jalan kerana terbeban oleh kandungannya yang sudah sarat.  Ke mana pun ia melangkahkan kakinya, ia dibebani oleh kandungannya, di jalanan, dirumah, berdiri, duduk bahkan tidur pun ia selalu terganggu oleh perutnya. Hanya satu harapan yang selalu menghiburnya siang dan malam, "Aku akan mendapatkan seorang anak yang akan menjadi kebanggaanku kelak". Tidak ada seorang ibu yang tidak bercita-cita seperti ini…


Ia pun terus bersabar menahan segala penderitaan yang menimpanya, hingga saat-saat melahirkan pun tiba.


Malam itu hujan turun dengan lebatnya, Si ibu merasakan bahawa kandungannya akan lahir malam ini juga. Lalu dikhabarkan pada si suami. Tanpa berlengah, si suami pun berlari di kegelapan malam mencari bidan yang rumahnya agak jauh dan harus ditempuhi dengan berjalan kaki.


Tiada yang mendorongnya untuk berlari dalam lebatnya hujan ini selain ingatan demi keselamatan . bayinya. Jika si ayah harus merenangi lautan api pun, pasti akan ditempuhinya, asalkan bayinya selamat.


Si ayah pun sampai di rumah mak bidan yang sudah terlelap tidur. Si ayah memaksa mak bidan untuk menolong isterinya bersalin. Si ayah rela mengorbankan semua hartanya, asalkan mak bidan mahu menolongnya.


Bidan itu dengan perasaan terpaksa kerana dikejutkan dari lena pun mengikuti si suami ke rumahnya. Si suami ini melayani bidan lebih dari layanan seorang hamba terhadap rajanya. Ia memayungi bidan seakan-akan tidak mahu setitis pun air hujan membasahi tubuh mak bidan.


Hati si ayah dipenuhi dengan rasa cemas, bimbang mak bidan berubah fikiran untuk membatalkan niat menolong urusan bersalin isterinya. Dibiarkan tubuhnya menjadi basah kuyup oleh lebatnya hujan. Walau air hujan itu berupa batu sekalipun, ia tidak akan memperdulikannya.


Ketika mereka tiba di rumah, mak bidan pun menyiapkan segala peralatan yang diperlukan.  Si ibu sudah menjerit jerit menahan sakit. Waktu dirasakan berjalan sangat lambat, Si suami yang bercucuran keringat dingin menunggu keadaan yang sangat kritikal ini, terlintas dalam fikirannya betapa indahnya jika kepedihan si isteri dapat dipindahkan kepadanya.


Tidak lama kemudian, terdengarlah tangis seorang bayi yang menjerit, memecah kesunyian malam yang baru saja reda dari hujan lebat. Selepas itu kelihatan mak bidan keluar sambil memeluk susuk bayi comel yang masih merah, sementara si ibu masih tidak sedarkan diri.


Si ayah menangis sambil memeluk bayi comelnya. Si ayah pun menghadapkan dirinya ke kiblat, lalu mendekatkan mulutnya ke telinga si bayi, "Allahu Akbar.. Allahu Akbar, Allahu Akbar.. Allahu Akbar.., Asyhadu An Laa Ilaaha Illallah.., Asyhadu a Laa Ilaaha Illallah.., Asyhadu anna Muhammadurrasulullah.." Si ayah mengazankan bayinya sambil bercucuran airmata kegembiraan.


Bayi comel itu terus diasuh oleh ibunya tanpa mengenal waktu. Ibunya mengatur segala-gala demi kesihatan bayinya, mengatur waktu bayi itu dimandikan, dengan air yang tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk, mengatur waktu agar bayi itu berjemur matahari di pagi hari, memakaikan pakaiannya, membersihkan tubuhnya, membedaknya, dan segala-galanya, lebih dari perhatiannya pada dirinya sendiri. Dengan penuh kasih sayang, sepasang suami isteri itu terus mengasuh anak mereka tanpa mengenal bosan.


Seringkali si bayi mengganggu tidur mereka, tapi itu semua tidak mengurangkan kasih sayang mereka. Mereka mengajarnya berbicara, mengenal nama-nama benda, menuntunnya berjalan, dan mengajarkannya semua perilaku kehidupan.


Si ibu sudah kehilangan waktu untuk menghias dirinya. Si ayah juga lupa waktu kerana bekerja keras untuk mencukupkan keperluan bayinya.


Anak mereka pun tumbuh semakin besar, tidaklah si ayah pergi meninggalkan rumah, pasti akan terbayang wajah riang anaknya di rumah,




Waktupun berjalan dengan pantas…..


Seorang lelaki tua terbaring di sebuah katil kayu. Ia tersengal-sengal menahan detik-detik sakratul maut. Di sampingnya, duduklah seorang pemuda berambut panjang dengan wajah yang kusam tanpa cahaya keimanan. Pemuda itu tidak tahu apa yang patut dilakukan pada ayahnya yang sudah di pintu kematian. Lelaki tua itu hanya memandang anaknya tanpa mampu berkata apa-apa. Fikirannya melayang beberapa puluh tahun yang silam, saat ia berlari-lari di tengah lebatnya hujan dalam kegelapan malam. Ia teringat ketika ia berteriak mengucapkan salam di rumah mak bidan sambil berharap mak bidan mahu membantunya. Ia teringat pada saat ia mencucurkan airmata kegembiraan dengan memeluk bayi comelnya. Ia teringat tatkala ia mendakap bayinya, lalu mengazankan si kecil, lalu menidurkan bayinya dengan senandung kasih sayang.


Kini bayi mungil itu berubah menjadi pemuda jalanan, berwajah kusam dan gelap dari cahaya hidayah seakan akan ia ingin berkata.., "Tak ku sangka… tak ku sangka.., bayi comelku yang dulu ku azankan dan ku timang akan jadi seperti ini..., aku tidak mengharapkan apa-apa darimu nak.., tapi bantulah ayah yang kini sedang di pintu kematian".


Betapa hancur dan pilunya si ayah yang harus menerima kepahitan hidup yang paling pedih.., menemui kematian dengan meninggalkan anak yang tidak mengenal keimanan. Lelaki tua itu pun menemui kematiannya dengan menyedihkan, dengan seribu kekecewaan yang terus akan menemaninya dikuburnya.



Pagi hari itu, seorang ibu setengah abad sedang duduk di beranda rumahnya, memandang kedatangan seorang pemuda berbaju melayu putih dengan sarung yang masih dibasahi air wuduk sambil membawakan sepatu ibunya dan memakaikan ke kaki si ibu, seraya mencium tangan ibunya dan berkata "saya mengaji dulu ummi". Lalu berlari terburu-buru dan hilang di kegelapan malam. Tangan si ibu masih dibasahi bekas air wuduk anaknya. Ibu itu memandang pemergian anaknya sambil termenung. Hatinya bersenandung doa, “Segala puji bagi Mu ya Allah, aku redha terhadap anakku, limpahkan kasih sayang Mu atasnya..” Tanpa disedari, si ibu itu mencucurkan airmata kegembiraan melihat keadaan anaknya..,


Maka turunlah limpahan rahmat dari yang Maha Agung terhadap pemuda itu, terhadap ibunya dan ayahnya. Mereka terus dinaungi kasih sayang Nya hingga mereka satu persatu dipanggil ke hadapan Nya.


Termasuk anak yang manakah diri kita ini wahai saudara seakidahku....?


Wallahu`alam


Jagalah Hati…

Rabu, 2 Mac 2011

DAKWAH ITU CINTA...


Nur Annisa,seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.



Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta Nur Annisa memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, Nur Annisa berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"



Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata anak gadisnya. Kadang kala terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya, terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan Annisa dengan hukum-Mu".



Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah Nur Annisa. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.Suaminya bernama Abu Khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah Nur Annisa, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan Nur Annisa. Dia bertanya kepada ibunya, "Mama, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu dan tuli?" Lalu si ibu menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".



Rupa-rupanya Nur Annisa mengambil serius kata-kata ibunya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, si ibu melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah Nur Annisa. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung.Tudung yang labuh. Nur Annisa pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Si ibu sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah swt kerana melihat perubahan yang ajaib.



Ajaibnya kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Si ibu melihat dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan ibadahnya pun melebihi si ibu sendiri. Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qurannya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan abangnya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit si ibu.



Pada suatu petang, si ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Alhamdulillah! Nur Annisa boleh mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya".



Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, si ibu masuk ke bilik Nur Annisa. Terlihat di atas mejanya terletak sebuah diari.Diari yang selalu Nur Annisa tulis. Diari tempat arwah menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu di buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini - Perubahan yang terjadi ketika arwah baru pulang dari rumah Abu Khoiri. Di situ tertera soal jawab antara Nur Annisa dan isteri jiran kami itu.



Butirannya seperti ini: Soaljawab (si ibu lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)




Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!



Isteri Abu Khoiri : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.



Annisa : tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.



Isteri Abu Khoiri : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah swt. Dan bila Allah swt berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?



Annisa : Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?



Isteri Abu Khoiri : Annisa, sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!



Annisa : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.



Isteri Abu Khoiri : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.



Annisa : apakah hakikat tudung?



Isteri Abu Khoiri : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah swt, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudarat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah swt, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.



Annisa : Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?



Isteri Abu Khoiri : Duhai Nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt. Duhai Nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis. Menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab. Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung, Allah swt.



Sampai di sini sahaja kisah itu si ibu baca kerana di sini tulisannya terhenti dan kelihatan banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Si ibu selak halaman berikutnya dan tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu


"buta ,tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah swt, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"



Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah swt menerima anak gadis ku disisi Nya. Amin.



Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam.



-Wallahu A'lam-

Selasa, 1 Mac 2011

ZIKRULLAH ADALAH ROH IBADAH...



Dari aspek kerohanian Islam, zikrullah merupakan kunci membuka hijab dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Al-Quran menempatkan zikrullah sebagai pintu pengetahuan makrifatullah, sebagaimana tercantum dalam firman Allah, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, atau sambil duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) Ya Robb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan neraka” (QS 3:190-191)


Kalimah “yadzkurunallah” yakni orang-orang yang mengingat Allah, di dalam `tata Bahasa Arab’ berkedudukan sebagai ma’thuf (tempat bersandar) bagi kalimat-kalimat sesudahnya, sehingga zikrullah merupakan dasar atau asas dari semua perbuatan peribadatan baik berdiri, duduk dan berbaring serta merenung. Dengan demikian, amalan zikir adalah termasuk ibadah yang bebas, tiada batas sempadannya. Boleh dilakukan sambil berdiri, duduk, berbaring, atau bahkan mencari nafkah untuk keluarga sekalipun tetap juga dikatakan berzikir, jika disandarkan kerana ingat kepada Allah. Juga termasuk ahli cerdik pandai yang mengkaji fenomena alam, sehingga menemui sesuatu yang bermanfaat bagi seluruh manusia.


Zikrullah merupakan alat membangkitkan kesedaran diri yang tenggelam. Oleh sebab itu, sifat zikir lebih komprehensif dari hanya berfikir. Kerana zikir melahirkan fikir serta kecelikkan hati yang luas, maka zikrullah tidak boleh hanya diertikan dengan menyebut nama Allah, akan tetapi zikrullah merupakan sikap mental spiritual dalam ikhtiar mematuhi dan memasrahkan diri kepada Allah swt.


Dari Abu Dardaa ra, Bersabda Rasulullah saw “Mahukah kalian aku beritakan sesuatu yang lebih baik dari amal-amal kalian, lebih suci di hadapan penguasa kalian, lebih mulia di dalam darjat kalian, lebih bagus bagi kalian dari pada menafkahkan emas dan perak, dan lebih bagus dari pada bertemu musuh kalian (berperang) kemudian kalian menebas leher-leher mereka atau mereka pun menebas leher-leher kalian ?” Mereka berkata : “baik ya Rasulullah”. Beliau bersabda : “zikrullah” atau ingat kepada Allah (At Tirmizi dan Ibnu Majah, dan berkata Al Hakim: shahih isnadnya).



Zikrullah ditempatkan pada posisi yang sangat tinggi, kerana merupakan jiwa atau rohnya seluruh ibadah, baik solat, haji, zakat, jihad dan amalan-amalan lainnya. Dari sisi lain, Allah sangat keras mengancam orang yang tidak ingat kepada Allah di dalam ibadatnya. Sepertimana firman Allah, “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riya’.” fashalli lirabbika … maka dirikanlah solat kerana Robb mu ( QS. 108:2 )


Perbuatan riya’ ialah melakukan suatu amal perbuatan tidak untuk mencari keredhaan Allah, tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di dalam masyarakat. Amal perbuatan seperti itu yang akan ditolak oleh Allah, dan dikategorikan bukan sebagai perbuatan Agama (Ad Din).


Banyak orang yang mendirikan solat, tetapi ia hanya mendapatkan rasa lelah dan payah ( Al Hadis )


Sabda Rasulullah saw, “Akan datang pada suatu masa, orang yang mengerjakan solat, tetapi mereka belum merasakan solat” (Ahmad, dalam risalahnya: Ash shalatu wa ma yalzamuha)


Jadi jelaslah maksud hadis di atas bahawa seluruh ibadah bertujuan untuk memasrahkan diri dan rela kepada Allah, sebagaimana pasrahnya alam semesta…


Untuk mencapai kepada tingkatan yang ikhlas kepada Allah serta menerima Allah sebagai junjungan dan pujaan, jalan atau sarana yang paling mudah telah diberikan Allah, iaitu zikrullah. Keikhlasan kepada Allah mustahil dapat dicapai, tanpa melatih dengan menyebut nama Allah serta melakukan amalan-amalan yang telah ditetapkan-Nya.


Abdullah bin Yusr pernah menyebutkan bahawa, sesungguhnya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat iman itu sungguh amat banyak bagiku, maka kabarkanlah kepadaku dengan sesuatu yang aku akan dapat melaziminya”


Baginda saw bersabda, “Sentiasa lisanmu basah dengan zikir (ingat) kepada Allah Ta’ala.”


Keluhan lelaki yang datang kepada Rasulullah saw menjadi pelajaran dan renungan bagi kita, yang ternyata syariat iman itu amat banyak jumlahnya dan tidaklah mungkin kita mampu melaksanakan amalan syariat yang begitu banyak tersebut, kecuali mendapatkan kurniaan, bimbingan dan tuntunan dari Allah swt. Rasulullah telah memberikan jalan penyelesaiannya dengan mencadangkan kita agar selalu membasahi lisan kita dengan menyebut nama Allah.


Dengan cara melatih berzikir kepada Allah, kita akan mendapat ketenangan, kekhusyukan dan kesabaran yang berasal dari Nur Ilahi.



KEUTAMAAN ZIKRULLAH

Apabila kita benar-benar mengerjakan zikir menurut cara yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya, paling kurang, terdapat 20 keutamaan yang akan dikurniakan kepada yang melakukannya, iaitu

1. Mewujudkan tanda baik sangka kepada Allah dengan amal soleh ini.

2. Menghasilkan rahmat dan inayat Allah.

3. Memperoleh sebutan yang baik dari Allah dihadapan hamba-hamba pilihan-Nya.

4. Membimbing hati dengan mengingat dan menyebut Allah.

5. Melepaskan diri dari azab.

6. Memelihara diri dari was-was syaitan dan membentengi diri dari maksiat.

7. Mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat.

8. Mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah.

9. Memberikan sinaran kepada hati dan menghilangkan kekeruhan jiwa.

10. Menghasilkan tegaknya suatu rangka dari Iman dan Islam.

11. Menghasilkan kemuliaan dan kehormatan pada hari kiamat.

12. Melepaskan diri dari rasa sesal.

13. Memperolehi penjagaan dari para malaikat.

14. Menyebabkan Allah bertanya tentang keadaan orang-orang yang berzikir itu.

15. Menyebabkan berbahagianya orang-orang yang duduk beserta orang-orang yang berzikir, walaupun orang itu tidak berzikir.

16. Menyebabkan dipandang ahlul ihsan, dipandang orang-orang yang berbahagia dan pengumpul kebajikan.

17. Menghasilkan ampunan dan keredhaan Allah.

18. Menyebabkan terlepas dari salah satu pintu fasik dan derhaka. Kerana orang yang tidak menyebut nama Allah  (tidak berzikir) dihukum sebagai orang fasik.

19. Merupakan ukuran untuk mengetahui darjat yang diperolehi di sisi Allah.

20. Menyebabkan para Nabi dan orang-orang mujahidin (syuhada) menyukai dan mengasihi.


Dengan sebahagian manfaat yang tercantum di atas, layaklah jika zikrullah didudukkan sebagai pintu pembuka jalan kebajikan dan jalan makrifatullah. Keutamaan-keutamaan tersebut bukan sekadar catatan yang menarik bagi kaum muslimin, akan tetapi hal tersebut dapat kita perolehi dan dirasakan dengan sebenar-benarnya, apabila kita serius dan sungguh-sungguh dalam melaksanakan amalan-amalan zikir kepada Allah. Wallahu`alam.



Jagalah Hati...

Wassalam.

BERNILAIKAH SOLATKU...?


Solat merupakan sarana paling utama bagi manusia untuk dapat selalu berinteraksi dengan Penciptanya. Dahulu Nabi Zakaria as menjadikan solat sebagai penolong ketika Baginda as meminta kepada Allah untuk diberikan keturunan. Doa Baginda as dikabulkan untuk mendapatkan seorang putera iaitu Nabi Yahya yang merupakan anugerah terbesar dalam hidupnya. Rasulullah saw bersabda, ‘Hal yang paling membuatkan aku senang adalah solat’. Dengan solat Baginda saw merasakan suatu kenikmatan yang tiada bandingan, berdialog dengan Allah swt.


Solat di ibaratkan kepala pada manusia. Manusia mustahil dapat hidup tanpa kepala. Demikian juga halnya, semua perbuatan baik manusia akan sia-sia jika tanpa disertai solat. Solat merupakan penanda aras diterima atau tidaknya amal perbuatan manusia. Rasulullah saw bersabda, ‘Pertama sekali yang diperhitungkan pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya diterima, maka seluruh amal solehnya diterima, namun jika solatnya ditolak, maka seluruh amal solehnya ditolak pula.’


Arwah bonda selalu berpesan, “ jika kamu mempunyai hajat baik urusan dunia ataupun akhirat, maka mintalah pertolongan kepada Allah swt dengan melaksanakan solat. Bacalah akhir surat Taha selepas solat, insya Allah dengan segala kebesaran-Nya akan dikabulkan hajat dan keinginanmu.’


Namun solat kita pada masa sekarang ini tidaklah seperti solat para salaf terdahulu yang penuh khusyuk dan perhambaan. Solat kita merupakan solat yang selalu dipenuhi kelalaian dan kealpaan, sehingga sangatlah kecil nilainya. Orang-orang sufi terdahulu yang tidak diragukan lagi kedalaman ilmu pengetahuannya, menambahkan tiga rukun pada rukun-rukun solat yang dikemukakan para ulama fiqh iaitu, khusyuk atau tadabbur (hadirnya hati), khudu’(merendahkan diri kepada Allah) dan ikhlas. Firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”


Penafsiran mereka dalam ayat ini adalah, ‘Janganlah kalian mendekati (mengerjakan) solat sedangkan kalian dalam keadaan mabuk oleh kesenangan dunia hingga fikiran kalian kosong dari dari segala urusan dunia.’


Sekarang kita saksikan orang-orang melaksanakan solat namun hati mereka masih selalu tertuju pada urusan dunia, baik urusan jual beli mahupun pekerjaan mereka. Akibatnya mereka lupa berapa rakaat yang telah mereka kerjakan, tidak mengetahui surah apa yang telah dibacakan imam. Mereka sama sekali tidak menghayati bacaan Al-Fatihah dan ayat-ayat yang lain dalam solat, mereka tidak menyedari bahawa mereka berdiri di depan Maha Penguasa dan sedang berdialog dengan Maha Pencipta. Urusan-urusan duniawi benar-benar telah menguasai hati manusia.


Arwah bonda juga pernah berkata, “Orang yang memikirkan urusan dunia dalam solat sama halnya dengan orang yang melumurkan Al-Quran yang suci dengan arak”. Solat yang seharusnya menjadi wadah yang suci telah mereka penuhi dengan kotoran-kotoran yang menjijikkan.


Tanpa ada niat ikhlas yang merupakan roh dari solat, orang yang demikian diibaratkan oleh Imam Ghazali seperti seseorang yang menghadiahkan selonggok bangkai dengan kemasan rapi kepada seorang raja. Tentunya perbuatan tersebut bukannya menyenangkan hati raja melainkan membuat dia marah dan murka kerana dianggap telah menghina kehormatan dan kebesarannya.


Para salaf terdahulu memandang solat sebagai hal yang sangat penting dan agung. Mereka selalu berusaha melaksanakan dengan sesempurna mungkin. Hingga ada diantara mereka acapkali dihinggapi burung saat solat kerana sangat khusyuk dan tenangnya. Ada pula yang sampai tidak merasakan dahsyatnya gempa bumi yang meluluh hancurkan bangunan-bangunan di sekitarnya. Bahkan Imam Ali bin Husin sama sekali tidak merasakan panasnya julangan api yang membumi hanguskan rumah beliau saat beliau tenggelam dalam solatnya. Saat ditanya beliau hanya berkata, ‘Panasnya api yang lain (api neraka) telah membuatku tidak merasakan panasnya api dunia.’


Rasulullah saw bersabda, ‘Ada seorang lelaki di antara kamu, rambut di kedua pipinya telah memutih namun tidak diterima satu pun solatnya.’ Ini menunjukkan bahawa tidak ada satu solat pun yang dia kerjakan dengan khusyuk. Padahal, mulai usia 15 tahun hingga enam puluh tahun sudah berapa kali dia mengerjakan solat. Jika tidak ada satu solat pun yang dia kerjakan dengan khusyuk, itu bererti hatinya benar-benar dikuasai urusan keduniaan.


Ini adalah masalah kompleks di tengah masyarakat Islam yang harus dilihat dengan serius, terutama bagi para penuntut ilmu. Adapun orang awam pada zaman sekarang yang sudah merasa cukup dengan solat  yang biasa mereka kerjakan juga perlu mengambil langkah segera untuk memperbaiki kualiti solat. Jika masih ada di kalangan kita yang mengeluh jika mendapati seorang imam solat terlalu lama. Dan dalam masa yang sama, lebih memilih imam yang lebih cepat dan ringkas sambil mengesampingkan unsur kekhusyukan yang sebenarnya keperluan dalam solat, maka tanyakan pada diri, “Bagaimana dengan solat kita…?” wallahu`alam.


Jagalah Hati….

Wassalam

SOALAN YANG PERLU DIJAWAB...


1. Pernahkah anda melihat ada orang yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadis Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadis yang berkaitan dengan hadis hasan, hadis hasan sahih, hadis dhaif - bahkan menyamakan hadis dhaif dengan hadis maudhu`)


2. Pernahkah anda melihat hujjah yang mengatakan ulama pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya lagi banyak salahnya kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulama yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.


3. Pernahkah anda melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulama agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadis sahih (sedangkan kalam ulama mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).


4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulama ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?




Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulama muktabar yang lain.


Saya teringat kisah Imam Syafie (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sejak kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umur 9 tahun. Kemudian belajar hadis dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadis, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadis, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.


Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie :

 'Tentang ilmu hadis, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadis kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'


Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.


Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta memberi komen atas pendapat gurunya (Imam Malik) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula Imam Syafie mengatakan ia sebagai bidaah sesat!. Ini kerana akhlak yang terbina di dalam diri seorang ulama yang benar-benar takutkan Allah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.


Begitulah - sehingga ramai murid Imam Syafie yang terdiri dari ulama-ulama besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadis), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin Abdullah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.


Subhanallah !!- mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulama yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab Syafie.


Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulama mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.


Allah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.


Firman Allah dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi,  “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".


Daripada Abu Hurairah dia berkata,  “Ketika Nabi saw  di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badwi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah saw meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi Baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan Baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, Baginda bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badwi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah Kiamat". Tanya badwi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda Baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat".  (Riwayat al Bukhari)



Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kita mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulama dan umat Islam.


Wallahu`alam


Wassalam.