Popular Posts

Selasa, 1 Februari 2011

SUKARKAH MENGATAKAN, "AKU TIDAK TAHU...?"


Dari Abdullah ibn Amr ra bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “ Allah Ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Bukhari dan Muslim)


Hadis di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu persoalan agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jari mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.


Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.


Fahamilah bahawa proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulama takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya, "Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadis, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadis..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadis..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadis..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.


Dengan menghafal hadis semata-mata belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa. Selagi dia tidak mempunyai kemampuan ilmiah untuk membezakan antara riwayat yang maqbul (diterima) dan riwayat yang mardud (ditolak); antara yang sahih (baik) dan ma'lul (cacat). Demikian juga kemampuannya untuk mengambil hukum (istinbat) dan melakukan tarjih (menentukan riwayat mana yang lebih kuat); atau melakukan ta'luq (penggabungan) antara beberapa riwayat yang nampak berbeza, atau penggabungan antara nas-nas yang mengandungi beberapa pengertian dengan maqasid syar'iyyah dan kaedah-kaedah kulliyyah (umum).


Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya Al Faqih wa al Mutafaqqih Juz 2 Hlm 157 dari al Imam Syafie ra  berkata,  "Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif Kitab Allah (al Quran), Nasikh Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Takwil dan Tanzil, Nasikh dan Makkiyah dan Madaniyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadis Rasulullah saw; Nasikh dan Mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadis Nabi saw mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran. Disamping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram. Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."



Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?



Ulama salaf, iaitu ulama yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya (kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup. Para ulama muktabar yang benar-benar takutkan Allah seperti Imam Malik pernah berkata, “Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".


Ibn al Qasim berkata, "Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".


Ibn Abi Layla pernah berkata,  "Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul saw,  jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulama muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.



ANTARA MAKSUM DAN ORANG YANG BERILMU


Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulama, malahan yang baru menghafal beberapa hadis mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlak akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulama tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulama yang mengasaskan mazhab, seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulama-ulama, ustaz ustazah dan guru-guru.


Ya, benar, ulama tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulama muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulama yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Bahkan ulama muktabar yang mampu berijtihad ia memperolehi 2 pahala jika benar ijtihadnya, dan 1 pahala jika ijtihadnya tersilap. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman Allah, “ Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna” (QS az Zumar : 9)


Imam Ahmad Ibn Hambal ra pernah berkata, “Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara :


Pertama : Mempunyai niat ikhlas. Sebab jika tidak ada niat (ikhlas) dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.

Kedua : Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.

Ketiga : Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.

Keempat : Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.

Kelima : Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat istiadat dan selok belok kehidupan manusia. 
(Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam , I'lamul Muwaqqi'in' Juz 4 hlm. 199.)


Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulama muktabar hanya memandang ulama dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulama itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadis sahih dan beberapa ilmu yang baru.


Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlak para ulama muktabar. Lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulama mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab Hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.


Sebagai kata akhir, para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!"


Jagalah hati...

Wassalam.


WASIAT ADAB BELAJAR BUAT PUTERA-PUTERIKU...


Wahai anakku! Jika engkau mahukan kebaikan bagi dirimu, maka janganlah mempelajari pelajaranmu sendirian, tetapi ajaklah seorang temanmu belajar bersama dan membantumu untuk memahaminya.

Apabila engkau temui sesuatu masalah dan engkau merasakan bahawa engkau telah memahaminya, maka janganlah engkau merasa cukup dengan sangkaanmu itu, hingga engkau tinggalkan buku dari tanganmu dan menganggap dirimu lebih pandai dari kawanmu, dan berlagak seakan-akan engkau memberikan pelajaran kepada para pelajar.

Wahai anakku! Bersikaplah sopan dengan temanmu yang engkau pilih untuk belajar. Apabila engkau telah mengerti sebelum dia, maka janganlah membanggakan diri terhadapnya kerana dapat mendahuluinya. Apabila dia berbeza pendapat denganmu dalam memahami sesuatu masalah, maka dengarkanlah apa yang dikatakannya. Barangkali dia telah memahaminya dengan benar dan engkaulah yang salah dalam pemahaman.

Hindarilah perdebatan dengan cara yang batil dan jangan membela pendapatmu bilamana engkau keliru. Kerana ilmu itu amanah, dan sesiapa yang membela kebatilan, maka dia telah menyia-nyiakan amanah Allah swt.

Wahai anakku ! Perbanyaklah menghafal ilmu, kerana mudarat pada ilmu adalah sifat lupa.

Ketahuilah bahawa di penghujung tahun, engkau akan diuji tentang semua pengetahuanmu. Dan ketika ujian, manusia akan dimuliakan bila dia mampu menjawab dengan baik.

Sebaliknya, dia akan diremehkan pendapatnya oleh keluarga dan saudara-saudara, bila tidak berupaya menjawab dengan baik dan kelihatan hasil yang diperolehinya kurang memuaskan.

Wahai anakku! Jangan sampai hafalanmu itu hanya sekadar menghafal kata-kata tanpa memahami maknanya. Akan tetapi, pusatkan perhatianmu pada pemahaman makna-makna dan penetapannya dalam fikiranmu. Kerana ilmu adalah apa yang engkau fahami bukan apa yang engkau hafalkan.

Wahai anakku ! Jarang sekali seorang pelajar berkumpul dengan sekelompok temannya, melainkan dialog di antara mereka berlangsung sekitar perdebatan dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang mereka ketahui.

Maka, janganlah engkau memotong perkataan orang yang sedang berbicara, dan jangan tergesa-gesa menjawab sebelum meyakininya serta jangan membantah tentang suatu masalah yang belum pernah engkau ketahui.

Jangan berdebat tanpa alasan yang benar dan jangan menunjukkan kesombongan terhadap orang yang menjadi regu debatmu itu.

Jangan keluar dari topik perdebatan hingga menyalahkan pendapat lawanmu dan jangan menyakitinya dengan perkataan yang menyakitkan serta jangan mengejeknya bila dia salah dalam pengertian.

Wahai anakku ! Dialog antara para pelajar tentang masalah-masalah ilmiah adalah besar faedahnya. Dialog itu menguatkan pemahaman, melancarkan lisan dan membantu pengungkapan sasaran-sasaran yang dimaksud serta menghasilkan keberanian para pelajar.

Akan tetapi, wahai anakku, hal ini tidak berguna di sisi Allah mahupun manusia, kecuali bila akhlakmu lurus, jauh dari perkataan keji. Engkau katakan kebenaran walaupun terhadap dirimu dan tidak terpengaruh oleh celaan orang dalam menyatakan kebenaran.

 Jagalah hati wahai anakku...

Wassalam.

WARKAH SEORANG BAPA...


Dari sudut mana sekalipun kita melihat, ingatlah selalu bahawa semua susun atur Ilahi adalah yang terbaik, walau peristiwa yang berlaku itu sangat mendukacitakan hati, melemaskan fikiran dan dirasakan longlai langkah hidup......... 

Setelah bertarung dengan penyakit yang secara purata pengidapnya hanya dapat bertahan setakat 2 minggu selepas dilahirkan (hypophosphatasia-komplikasi dengan kandungan kalsium dalam tulang belakang), akhirnya perjuangan Alesha Abriza, satu-satunya permata hatiku berakhir sebaik sahaja azan subuh 15 Rabiulakhir 1427 berakhir. Pada subuh itu, genap usianya 150 hari di muka bumi ini. Dari jumlah itu, hanya 2 hari beliau berada disisi kami di rumah dan selebihnya di wad NICU Hospital. 

Alesha tetap memberikan senyuman kepada kami disaat-saat akhir kehidupannya. Beliau tidak pernah menyusahkan kami malahan doktor dan jururawat yang merawatnya. 

Dimalam terakhir hayatnya, Alesha langsung tidak menganggu kami. Sepanjang malam itu, Alesha tidur dengan amannya. Pada pukul 4.40 pagi, Alesha mulai menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami selamanya. Tubuh badannya mulai membiru dan menjadi sejuk.. Pihak hospital memberikan ruang kepada kami anak beranak untuk bersendirian. Kami bertiga, Alesha, isteriku dan aku sendiri berpelukkan dan membisikkan kalimah tauhid di telinganya. 

Sejenak sebelum Alesha menghembuskan nafasnya, azan subuh berkumandang. Isteriku memohon pada Alesha, katanya: "Lesha sebelum pergi senyumlah pada mama... mama dan papa redha Alesha pergi... senyumlah sayang". Kata-kata itu akan menjadi tangkal bagi saya selama-lamanya. Seolah-olahnya Alesha Abriza faham akan permintaan dari ibunya itu. Alesha telah menoleh pada ibunya, memberikan sekuntum senyuman yang paling manis buat ibunya, jelas juga kelihatan setitik air matanya mengalir di penjuru matanya, sebelum nafas terakhirnya diragut! Maka sempurnalah sudah rahmat Allah kepada hambaNya pada pagi itu. 

Impian isteriku untuk memandikan Alesha akhirnya terlaksana jua setelah tidak berkesempatan memandikannya sewaktu hayat Alesha. Pagi itu, jenazah Alesha dimandikan sendiri oleh ibunya. Sebaik sahaja jenazah Alesha dikapankan, kami telah dibenarkan untuk menciumnya. 

Sungguh tidak tertahan-tahankan air mataku mengalir ketika mencium dahi kecil Alesha dan membisikkan kata-kata tauhid di telinga arwah serta menyatakan bertapa aku terlalu sayangkannya, aku redha pemergiannya dan aku akan terus menganggapnya sebagai anak sulungku selamanya! 

Sewaktu jenazah disolatkan, ramai yang memohon agar aku sendiri mengimamkan solat jenazah. Namun aku takut tidak termampu nanti untuk membaca ayat-ayat Allah dengan betul mahupun takut tidak termampu untuk membaca doanya kerana terlalu pilu. Aku cuma mampu berdiri di shaf hadapan sahaja ketika itu. Bersolatpun dengan cucuran air mata yang tidak tertahan-tahan. Satu kejadian yang kurasakan istimewa pada masa itu adalah, sebaik imam mengangkat takbir, hujan turun dalam suasana mendung. Seakan-akan menangisi pemergian seorang bidadari syurga. Hujan tersebut betul-betul terhenti sebaik sahaja jenazah selamat dikuburkan dan doa arwah selesai dibacakan!. 

Mungkin itu satu-satu petanda rahmat dari Allah untuk bayi yang tidak berdosa itu. Di tanah kuburan, aku sendiri menyempurnakan pengebumian arwah. Aku sendiri menunggu arwah di liang lahad, aku sendiri melonggarkan ikatan kain kafannya, dan aku sendiri membuka penutup mukanya. Saat itu, saat ku buka penutup muka arwah, jelas kelihatan rupa Alesha yang tersenyum. Satu senyuman yang maha indahnya. Muka Alesha juga amat cantik dan berseri-seri. Indah bercahaya rupanya sehinggakan tika aku merapatkan mukanya ke tanah di dalam lubang lahatnya, masih jelas kelihatan cahaya dari mukanya.

Satu lagi peristiwa yang kurasakan agar istimewa berlaku. Tika kuburan selesai ditutup, saat menunggu imam membacakan doa bagi arwah (talkin tidak dibacakan kerana Alesha seorang bayi), jelas kedengaran di telingaku suara seseorang berkata: "Dua bidadari syurga sedang menunggunya... janganlah kamu risau." Suara itu amat jelas kedengaran seolah-olah bercakap kepada semua yang hadir pada masa itu. Selesai pengebumian, saya bertanya pada isteri dan ahli keluarga semuanya tidak mendengarkannya. Semoga, Alesha beroleh rahmat Allah. 

Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi seorang ayah, walaupun hanya seketika. Saya berpeluang merasa menjaga isteri ketika mengandung dan berpantang. Semua pengalaman itu telah menjadi rahmat yang tidak terhingga dari Allah. Insyallah, saya masih bersedia untuk mengulanginya. 


Al-Fatihah...

WASIAT AKHLAK BUAT PUTERA-PUTERIKU...


Wahai anakku, semoga Allah berkenan membimbing dan memberimu petunjuk untuk mengerjakan amal-amal yang baik. sesungguhnya kewajipanmu terhadapku adalah sekadar tanggungjawab seorang anak terhadap ayahnya tanpa mengurangkan hak Allah serta RasulNya.

Aku gembira jika dapat melihatmu dalam keadaan sihat tubuh badan, bersih hati serta lurus akhlakmu dengan memelihara adab, jauh dari perkataan keji, ramah tamah dalam pergaulan dan di cintai oleh rakan taulanmu.

Berusahalah agar engkau juga suka menolong orang-orang miskin dan menyayangi orang-orang yang lemah. Engkau ampunilah kesalahan-kesalahan orang lain dan memaafkan kejahatan-kejahatan mereka. Dalam masa yang sama, engkau tidak lalai dalam mengerjakan solat dan tidak mengambil ringan dalam beribadah kepada Allah.

Wahai anakku, jika engkau menerima nasihat dari seorang penasihat, maka akulah yang lebih patut engkau terima nasihatnya. Aku adalah guru dan pengajar serta pendidik jiwamu. Engkau tidak akan mendapatkan seseorang yang lebih mengharapkan manfaat dan kebaikan bagimu daripada aku.

Wahai anakku, sesungguhnya aku seorang penasihat yang jujur bagimu. Maka, terimalah nasihat-nasihat yang ku berikan kepadamu dan amalkanlah di hadapanku, di antara engkau dan saudara-saudaramu serta terhadap dirimu sendiri.

Wahai anakku, apabila engkau tidak mengamalkan nasihatku ketika engkau berada sendirian, maka akan sedikit sekali engkau akan mengamalkannya antara aku dan saudara-saudaramu.

Wahai anakku, apabila engkau tidak menjadikanku sebagai teladan, maka siapakah yang akan engkau teladani ? Untuk apa pula engkau paksakan dirimu duduk di depanku ?

Wahai anakku, ingatlah bahawa sesungguhnya seorang guru itu tidak menyukai selain kepada murid yang taat dan beradab. Maka, apakah engkau senang apabila guru dan pendidikmu tidak redha kepadamu dan tidak mengharapkan kebaikanmu ?

Wahai anakku, sesungguhnya aku menyukai kebaikan bagimu. Maka, bantulah aku untuk menyampaikan kebaikan kepadamu dengan mentaati dan mematuhi perintahku kepadamu untuk mengamalkan budi pekerti mulia.

Wahai anakku, akhlak yang baik adalah perhiasan manusia pada dirinya dan di antara saudara-saudara, keluarga dan teman-temannya. Maka, jadilah engkau seorang yang berakhlak baik, nescaya orang-orang menghormati dan mencintaimu.

Wahai anakku, apabila engkau tidak menghiasi ilmumu dengan akhlakmu yang mulia, maka ilmumu akan lebih membahayakan daripada kebodohanmu. Kerana orang yang bodoh dapat dimaafkan tentang kebodohannya. Akan tetapi, orang yang beramal tidak mempunyai alasan terhadap orang sekitarnya jika dia tidak memiliki perilaku yang baik.

Wahai anakku, janganlah engkau mengharap pengawasanku terhadapmu sepenuh masa, kerana pengawasanmu terhadap dirimu sendiri lebih baik dan lebih berguna daripada pengawasanku terhadapmu.

Wahai anakku, Rasulullah saw bersabda,” Sesungguhnya Allah memurnikan agama ini untuk Nya dan tiadalah kebaikan bagi agamamu , kecuali sifat dermawan dan akhlak yang baik. Oleh sebab itu, hiasilah agamamu dengan kedua sifat itu”.

wassalam.

Jagalah hati...

WASIAT TAKWA BUAT PUTERA-PUTERIKU...

Wahai anakku, semoga Allah berkenan membimbing dan memberimu petunjuk untuk mengerjakan amal-amal yang baik. sesungguhnya kewajipanmu terhadapku adalah sekadar tanggungjawab seorang anak terhadap ayahnya tanpa mengurangkan hak Allah serta RasulNya.

Aku gembira jika dapat melihatmu dalam keadaan sihat tubuh badan, bersih hati serta lurus akhlakmu dengan memelihara adab, jauh dari perkataan keji, ramah tamah dalam pergaulan dan di cintai oleh rakan taulanmu.

Berusahalah agar engkau juga suka menolong orang-orang miskin dan menyayangi orang-orang yang lemah. Engkau ampunilah kesalahan-kesalahan orang lain dan memaafkan kejahatan-kejahatan mereka. Dalam masa yang sama, engkau tidak lalai dalam mengerjakan solat dan tidak mengambil ringan dalam beribadah kepada Allah.

Wahai anakku, jika engkau menerima nasihat dari seorang penasihat, maka akulah yang lebih patut engkau terima nasihatnya. Aku adalah guru dan pengajar serta pendidik jiwamu. Engkau tidak akan mendapatkan seseorang yang lebih mengharapkan manfaat dan kebaikan bagimu daripada aku.

Wahai anakku, sesungguhnya aku seorang penasihat yang jujur bagimu. Maka, terimalah nasihat-nasihat yang ku berikan kepadamu dan amalkanlah di hadapanku, di antara engkau dan saudara-saudaramu serta terhadap dirimu sendiri.

Wahai anakku, apabila engkau tidak mengamalkan nasihatku ketika engkau berada sendirian, maka akan sedikit sekali engkau akan mengamalkannya antara aku dan saudara-saudaramu.

Wahai anakku, apabila engkau tidak menjadikanku sebagai teladan, maka siapakah yang akan engkau teladani ? Untuk apa pula engkau paksakan dirimu duduk di depanku ?

Wahai anakku, ingatlah bahawa sesungguhnya seorang guru itu tidak menyukai selain kepada murid yang taat dan beradab. Maka, apakah engkau senang apabila guru dan pendidikmu tidak redha kepadamu dan tidak mengharapkan kebaikanmu ?

Wahai anakku, sesungguhnya aku menyukai kebaikan bagimu. Maka, bantulah aku untuk menyampaikan kebaikan kepadamu dengan mentaati dan mematuhi perintahku kepadamu untuk mengamalkan budi pekerti mulia.

Wahai anakku, akhlak yang baik adalah perhiasan manusia pada dirinya dan di antara saudara-saudara, keluarga dan teman-temannya. Maka, jadilah engkau seorang yang berakhlak baik, nescaya orang-orang menghormati dan mencintaimu.

Wahai anakku, apabila engkau tidak menghiasi ilmumu dengan akhlakmu yang mulia, maka ilmumu akan lebih membahayakan daripada kebodohanmu. Kerana orang yang bodoh dapat dimaafkan tentang kebodohannya. Akan tetapi, orang yang beramal tidak mempunyai alasan terhadap orang sekitarnya jika dia tidak memiliki perilaku yang baik.

Wahai anakku, janganlah engkau mengharap pengawasanku terhadapmu sepenuh masa, kerana pengawasanmu terhadap dirimu sendiri lebih baik dan lebih berguna daripada pengawasanku terhadapmu.

Wahai anakku, Rasulullah saw bersabda,” Sesungguhnya Allah memurnikan agama ini untuk Nya dan tiadalah kebaikan bagi agamamu , kecuali sifat dermawan dan akhlak yang baik. Oleh sebab itu, hiasilah agamamu dengan kedua sifat itu”.

wassalam.

Jagalah hati...

WASIAT CINTA BUAT PUTERA - PUTERIKU...


Wahai anak-anak belahan jantungku...,

cinta yang sejati itu menyembuhkan, tidak menyakitkan. Jika kamu rasa cinta yang kamu alami sekarang menyakitkan dan kamu merana kerananya, itu adalah tanda cinta bukan cinta yang sebenarnya.

Cinta amat menyakitkan apabila diduga dengan perpisahan. Hampir semua orang rasa sakit dan berputus asa apabila berpisah. Betul katamu cinta itu memang bukan segala-galanya tetapi kehilangan cinta seperti kehilangan segala-galanya.

Benar, mencintai makhluk memang berpotensi besar mengalami kehilangan kerana setiap makhluk sudah dijanjikan dengan kematian yang pasti. Dan mungkin juga berpisah disebabkan cinta ditolak kerana hati manusia mudah berbolak-balik. Bukankah itu semua sudah dijelaskan dalam Quran dan kamu sendiri sudah diberitahu oleh guru dan sahabatmu di sekolah?

Sebaik-baiknya apabila kamu bercinta, harus sematkan dalam hatimu bahawa setiap yang dicintai tidak akan kekal lama. Namun terkadang cinta itu membutakan kenyataan dan melekakan sehingga kenyataan itu tidak kelihatan walaupun jelas di hadapan matamu. Kamu hanya tersedar sesudah perpisahan itu terjadi. Dan lantas kecewa sehingga kamu sanggup menyalahkan takdir.

Puncanya, kamu sendiri sudah tahu. Kamu mendahulukan cinta makhluk daripada cinta Allah. Kerana itulah apabila kamu kehilangan cinta makhluk, kamu rasakan hilang segala-galanya. Sedangkan Allah tidak pernah berpisah denganmu.

Sebelum kamu mencintai seseorang, kamu harus bersedia menerima dua kemungkinan, sama ada diterima ataupun ditolak. Apabila ditolak, amat perit sakitnya. Apabila diterima, kamu teramat gembira sehingga merasakan seperti dunia ini kamu yang punya. kegembiraan itulah yang membuta dan melekakan kamu daripada hakikat yang setiap cinta makhluk itu sudah dijanjikan perpisahan. Kamu lupa segala-galanya kerana cinta itu membutakan.

Sebaik-baiknya setiap pertemuan dan permulaan kasih itu sudah disemat kukuh bahawa cinta makhluk tidak pernah ada yang kekal. Semua manusia akan mati termasuk kita, mereka, dia dan semua makhluk yang hidup. Sebaik-baiknya juga utamakan cinta Allah kerana ia tidak akan berpisah denganmu. Tidak akan ditolak malah cinta ini pasti diterima walaupun sejahat mana pun kamu. Apabila kamu mencintai Allah, kamu tidak akan pernah rasa kehilangan. Allah tidak akan pernah melupakan kamu, sebaliknya kamulah yang membuat pilihan untuk sering melupakan dan membiarkan cinta ini.

Tidak akan ada sesiapa pun yang mampu merebut cinta ini daripada kamu. Tidak akan ada juga yang merampas Allah daripada kamu. Jika kamu bermesra dengan Allah, kamu tidak akan pernah terpisah denganNya. Allah juga tidak pernah berpisah dengan kamu kecuali kamu sendiri yang memilih untuk berpisah denganNya. Inilah cinta yang paling menyembuhkan dan membahagiakan. Berbahagialah orang yang menyedari hakikat cinta ini.

Nah, sekarang pilihan ada di tanganmu. Pilihlah sama ada ingin hidup bahagia ataupun derita. Pandai-pandailah memilih cinta kerana Allah sudah berikan kamu akal dan hati untuk menilai. Jangan hanya dinilai dengan mata kasar. Nilailah dengan mata hati dan akal berlandaskan redha Ilahi. Pasti kamu tidak akan kecewa lagi.

Pesanan terakhir, jangan takut melepaskan cintamu yang menyakitkan bagi meraih cinta sejati yang mendamaikan. Bahagia di dunia belum menjamin kamu bahagia juga di akhirat. Cinta sejati tidak menzalimi, cinta sejati berorientasikan Ilahi. Utamakan cinta Allah, cinta manusia akan datang selepas itu. Jangan khuatir jika belum berjumpa cinta sejati daripada manusia apabila kamu sudah berjumpa cinta sejati daripada Allah.

Kerana itulah aku masih di sini mencari dan terus mencari cinta sejati redha Ilahi.

BUAT PUTERI PUTERIKU...


Wahai puteri-puteriku..aku seorang bapa yang sedang memasuki usia tua kini. Usia muda telah aku lalui bersama kenangan, impian, lamunan dan cabaran dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan hak yang aku ingin sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteri-puteriku….banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan…..sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka  uratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yag sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masyaALlah!! Para wanitanya berpakaian terbuka, mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya?

Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya…

Wahai puteri-puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau dirompak barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong...aku dirompak.”

Seandaiya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dari ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang bakhil terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar kambing……dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu…iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku….Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang di hadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong …bohong …demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu puteriku?

Renungkanlah!