Popular Posts

Khamis, 3 Mei 2018

BENTUK SEBENAR PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL



Golongan Islam Liberal khususnya di Malaysia jarang mengakui mereka menganut fahaman liberal. Kerana itu kita perlu berhati-hati dengan setiap dakyah mereka. Bagaimana untuk kita mengenali mereka? Iaitu dengan kita mengenali fikrah atau pemikiran mereka, manhaj yang mereka bawa dan ciri-ciri yang ada pada mereka. Antara bentuk fikrah atau pemikiran golongan Islam Liberal ialah:



1. Mereka menganut fahaman Pluranisme. 

Iaitulah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Absar Abdala dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Dis. 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.


Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman Pluranisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut;


a) Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para ulamak dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan ulamak-ulamak tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup. Sebagai contohnya; Astora Jabat dalam tulisannya di dalam Majalah Al-Islam (bulan Ogos 2006) telah melabelkan Mufti Dato’ Harussani dan ulamak-ulamak yang menghadiri Muzakarah tersebut sebagai merapu kerana mengeluarkan fatwa haramnya Kongsi-Raya tersebut. (lihat artikelnya dalam majalah tersebut di halaman 3 yang bertajuk “Ulama Jangan Merapu”).


b) Kerana terpengaruh dengan fahaman Pluranisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001. Kandungan memorandum tersebut ialah;


1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah sivil.


2. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.


3. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.


4. Tidak perlu dicatat dalam kad pengenalan seseorang muslim bahawa ia beragama Islam.


5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.


6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.


7. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.


8. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.


9. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.


10. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.


11. Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
(Harakah, 1-15 Jun 2006, halaman 10).


2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia 


Dalam isu murtad –seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani)-, golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan mahkamah Syariah. Hak tersebut menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalahtafsirkan ayat Allah yang berbunyi;

“Tidak ada paksaan dalam ugama”. (al-Baqarah; 256)


Menurut tafsiran ulamak-ulamak tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara Aqidah dan Iman. Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar dari agama kan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengan dalil as-Sunnah yang soheh iaitu sabda Nabi s.a.w.;

من بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya”. (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas)


Namun menurut tafsiran golongan Islam Liberal, ayat tersebut tidak hanya terpakai untuk orang-orang bukan Islam, malah juga untuk orang Islam yang hendak keluar Islam. Mereka menegaskan; orang Islam juga berhak keluar dari agama Islam dan tidak seharusnya dikenakan sebarang hukuman di dunia kerana telah ditetapkan hukumannya di akhirat. Mereka mengkiaskan perbuatan murtad dengan memakan riba yang tidak dikenakan sebarang hukuman di dunia. (Lihat kenyataan mereka ini dalam tulisan Naziree Md. Yusuf bertajuk “Toleransi Beragama dan Kesesuaian Hukuman Murtad di Malaysia”, Jurnal KANUN (Mac, 2006)).


Oleh kerana hadis Rasulullah di atas bertentangan dengan pendapat mereka, maka mereka menolaknya mentah-mentah dengan alasan ia bertentangan dengan al-Quran.


Menurut Dr. Muhammad Nur Manuty; Para pendokong Islam Liberal telah kehilangan izzah sebagai seorang muslim. Di kalangan mereka yang terdiri dari peguam-peguam dan ahli-ahli akademik tidak merasa gementar dengan fenomena mutakhir peningkatan jumlah orang-orang Islam yang telah menjadi murtad. Oleh kerana mereka beriman teguh dengan konsep HAM (Hak Asasi Manusia) tajaan Barat, atas nama kebebasan agama dan ekspresi, golongan Islam Liberal mengusahakan pelbagai ikhtiar untuk memudahkan mereka menukar agama dari segi bantuan guaman undang-undang. Hari ini mereka amat tidak bersetuju dengan kedudukan perlembagaan Malaysia yang masih menyukarkan penukaran agama seorang muslim dan prosedur di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pada satu ketika usaha mereka untuk meminggirkan identiti Islam dalam kad pengenalan hampir-hampir berjaya. Mujurlah masih ada pihak-pihak tertentu yang berwibawa di kalangan pegawai-pegawai muslim yang berjaya menghalangnya.
(Majalah I, Ogos 2006, hlm. 26).


3. Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman 

Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulamak-ulamak terdahulu. Tafsiran ulamak-ulamak terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal mansukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat dan ahli-ahli tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.


“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”. (Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, New Straits Times)


Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu-ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak hadis Nabi yang bermaksud “Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal/fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka” dengan mendakwa hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal.


Menurut fahaman golongan Islam Liberal, al-Quran hanya menerangkan tujuan agama, manakala akal manusialah yang menselarikannya dengan konteks zaman. Tafsiran akallah yang muktamad sekalipun lari jauh dari konteks ayat yang sebenarnya. Contohnya, firman Allah mengenai hukuman ke atas orang mencuri:


Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Maidah:38)


Menurut mereka, tujuan sebenar yang dituntut oleh al-Quran ialah menjatuhkan hukuman ke atas pencuri. Bentuk hukuman boleh berubah-ubah selari dengan peradaban manusia; hukuman denda, penjara dan sebagainya. Di zaman Rasulullah hukuman yang sesuai ialah hukum potong tangan. Hukum ini tidak sesuai lagi di zaman ini.


Contoh yang lain ialah dalam masalah Faraid. Al-Quran telah menetapkan kaedah pembahagian antara lelaki dan wanita iaitu;


Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
(an-Nisa’:11)


Namun kaedah pembahagian tersebut menurut mereka hanya merujuk kepada fenomena masyarakat di zaman Nabi s.a.w.. Pada zaman Nabi Muhammad menurut mereka hanya orang lelaki yang bekerja untuk menyara keluarga. Oleh demikian, kaum lelaki perlu diberi bahagian yang lebih. Adapun di zaman hari ini, kaum wanita juga turut sama berkerja sebagaimana lelaki. Kerana itu, pembahagian harta pusaka sama rata antara lelaki dan wanita adalah perlu pada zaman hari ini. Kedah pembahagian 2:1 tidak lagi adil jika diamalkan pada zaman ini. (Lihat; Kassim Ahmad, Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik, halaman 73).


4. Mempertikai Syari’at Allah dan hukum-hakam Fiqh dengan hujjah rasional 

Antara sikap golongan Islam Liberal ialah suka mempertikai Syari’at Allah dan hukum-hakam Fiqh Islam dengan menggunakan lojik akal atau rasional semata-mata. Sebagai contohnya, kenyataan mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir; “Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita dari kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat”. (5 Sept. 1997, Perhimpunan Agung UMNO, pita rakaman).


Pada pandangan mereka hukum syari’at Islam adalah ciptaan ulamak dan fuqahak. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam Syari’at yang Qat’ie. Antara hukum-hakam Syari’at yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah;


a) Hukum faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita
b) Keharusan poligami bagi lelaki
c) Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
d) Hukuman bunuh ke atas orang murtad
e) Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah.
f) Larangan wanita dari menjadi pemimpin termasuklah dalam solat.
g) Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
h) Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam
i) Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.


Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan Fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulamak dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulamak dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat dan sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.


Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) pernah menegaskan; “Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa mereka sebagai ulamak…Oleh itu sebarang penafsiran terhadap sumber-sumber Islam seperti al-Quran bukanlah milik para ulamak semata-mata”. (Utusan Malaysia, 26 September, 2000).


5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama 

Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.


Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.


Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang muslim. Ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.


6. Mendokong gerakan pembebasan wanita dan feminisme 

Gerakan pembebasan wanita mula wujud di Barat, kemudian telah menular ke nagara-negara Islam seperti Turki, Mesir, Maghribi, Lubnan, Iran dan lain-lain. Gerakan ini menjadi semakin meluas apabila ia mendapat sokongan daripada modenis-modenis seperti Mustafa Kamal Attartuk, Kamal Pasha, Kasim Amin, Zia Gokalp dan lain-lain. Rata-ratanya gerakan pembebasan wanita di negara-negara umat Islam telah dipengaruhi oleh Barat. Antara yang dituntut oleh mereka ialah;


1. Persamaan dalam harta pusaka
2. Hak poligami lelaki perlu ditarik balik.
3. Persamaan hak dalam penceraian.
4. Menentang pemakaian yang menutup aurat yang didakwa sebagai kuno dan merampas hak kebebasan wanita.
5. Menyeru wanita-wanita Islam agar mencontohi wanita-wanita Barat.


Mustafa Kamal Attartuk umpamanya telah menggubal undang-undang perkahwinan yang berdasarkan undang-undang Barat pada 17 Februari 1926 dan menggalakkan wanita membuka aurat.


Kasim Amin dalam bukunya yang bertajuk Al-Marah Al-Jadidah menentang pemakaian purdah di kalangan wanita Islam, menentang poligami dan penceraian yang dianggap sebagai penghinaan terhadap wanita. Wanita Islam mesti berpendidikan Barat dan mesti dilepaskan dari kongkongan lelaki, adat resam dan tradisi. Beliau menyebutkan; “Semua pihak sepakat bahawa hijab wanita adalah sebab kemunduran dunia Timur dan tidak berhijab adalah rahsia kemajuan barat”. (al-Marah al-Jadidah).


Di Mesir, Dr. Nawal El-Sadawy seorang pakar perubatan telah menghasilkan sebuah buku mengenai perjuangan wanita menjelaskan bahawa wanita intelek memang tidak sesuai mematuhi peraturan agama, seks dan politik yang mengongkong.
(Lihat; Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Ghazali Darussalam, hlm. 52).


Di Malaysia, gerakan feminisme dijuarai oleh Sisters In Islam (SIS) dan juga Astora Jabat. Dalam isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005) Sisters In Islam (SIS) bersama beberapa kumpulan wanita yang lain telah menentang kuat Rang Undang-Undang tersebut atas dakwaan kononnya ia akan menzalimi wanita. Sebelum itu, mereka juga menentang kuat Rang Undang-Undang Jenayah Syariah Trengganu (Hudud) dengan membangkitkan polemik kononnya ia menzalimi wanita yang dirogol. Namun setelah diselidiki, terdedahlah bahawa dakwaan mereka itu sebenarnya berpunca dari prasangka buruk mereka terhadap undang-undang Syariah dan juga kejahilan mereka dalam memahami peruntukan yang ada di dalam rang undang-undang tersebut. SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya.


Astora Jabat pula dalam tulisannya di dalam majalah Al-Islam (yang mana beliau menjadi ketua editornya) telah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita tidak wajib bertudung dan menyokong keharusan wanita menjadi imam dalam kes Aminah Wadud dan menganggap ulamak-ulamak yang menentang keharusan tersebut sebagai jumud kerana terikat dengan adat dalam kitab-kitab fiqh lama. (Al-Islam, Mei 2005)


7. Meragui kesahihan sebahagian teks al-Quran dan penyusunannya 

Di Timur Tengah keraguan tentang kesahihan al-Quran pernah disuarakan oleh Thaha Husain, Mansur Fahmi dan Nasr Abu Zaid dalam tulisan-tulisan mereka. Dalam bukunya “Sya’ir Jahiliyyah”, Thaha Husain telah menulis; “Taurat telah menyebut kepada kita mengenai Ibrahim dan Ismail serta al-Quran juga telah memperkatakannya, akan tetapi terdapatnya kedua-dua nama ini di dalam Taurat dan al-Quran belum mencukupi untuk menetapkan kewujudan keduanya dari segi sejarah”. (Halaman 26).


Di Indonesia, kumpulan Islam Liberal telah merancang untuk menerbitkan al-Quran edisi Kritis kerana al-Quran yang kita miliki sekarang iaitu Mushaf Utsmani mereka anggap diragui kesesuaiannya dengan perkembangan zaman ini. Seorang tokoh gerakan Islam Liberal Indonesia, Taufik Adnan Amal, pensyarah Kuliah Ulumul Quran di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Alaudin Makasar, telah menulis satu makalah bertajuk Edisi Kritis al-Quran menyatakan peri pentingnya menilai semula beberapa ayat atau bahagian daripada ajaran al-Quran yang mereka anggap tidak sesuai dengan perkembangan atau kemajuan zaman hari ini.


Di Malaysia, Kasim Ahmad dalam tulisannya telah meragui ayat terakhir dari surah at-Taubah di mana beliau mendakwa; “Tiap-tiap surah dalam Quran dibuka dengan kenyataan “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih”, dikenali sebagai Basmalah, kecuali surah 9 (yakni at-Taubah). Ketiadaan Basmalah dari surah 9 menimbulkan kehairanan kepada ahli-ahli tafsir selama 14 abad. Banyak teori telah dikemukakan untuk menghuraikan fenomena ini. Sekarang kita tahu bahawa ketiadaan Basmalah memainkan peranan penting sebagai suatu ciri dalam mukjizat matematik Quran dan juga satu tanda daripada Allah bahawa surah 9 (at-Taubah) telah dicemar dan perlu dibersihkan”. (Lihat bukunya; Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik, Kassim Ahmad, halaman 61).


Dua ayat terakhir surah at-Taubah yang didakwa oleh Kassim sebagai mencemari al-Quran (yakni menurut beliau ayat tersebut sebenarnya bukan ayat al-Quran, tetapi ditambah oleh para sahabat) berbunyi;


128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.

129. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."


Kassim sebenarnya mempunyai niat buruk tersendiri di sebalik kritikannya terhadap ayat tersebut. Ayat-ayat di atas memuji Rasulullah s.a.w.. Sikap Kassim yang anti hadis dan anti Rasulullah s.a.w. sudah tentu menjadikannya ibarat cacing kepanasan apabila membaca ayat seumpama itu yang menyanjung baginda.


8. Menolak dan mempertikai hadis Nabi s.a.w. dengan mendakwa ia bercanggah dengan al-Quran 

Harun Nasution tokoh Islam Liberal Indonesia pernah menyebutkan; “Bagiku, rukun iman itu tinggal lima, seperti disebut dalam al-Quran. Di dalam al-Quran tak disebutkan rukun iman ke enam iaitu Qada’ dan Qadar…”. (Kenyataan Harun Nasution ini boleh dilihat dalam buku bertajuk Refleksi Pembaharuan Pemikiran Islam 70 Tahun Nasution, tahun 1989. Buku telah diharamkan oleh JAKIM. Lihat; Jurnal Penyelidikan Islam JAKIM, Bil. 11, tahun 1998, halaman 113). Kenyataannya tersebut menunjukkan bahawa Harun Nasution menolak hadis kerana rukun Iman keenam (yakni Qadha’ dan Qadar) sabit melalui hadis soheh yang diterima oleh sekelian ulamak muktabar.


Di Malaysia kritikan terhadap hadis dilakukan dengan hebat oleh kumpulan anti hadis yang jika diselidiki merupakan nadi utama di belakang golongan Islam Liberal di negara ini. Dalam dakwaan mereka, hadis-hadis banyak yang bertentangan dengan al-Quran, oleh demikian ia perlu ditolak. A. Ghani Ismail (teman Kasim Ahmad dalam kumpulan anti-hadis) pernah menulis; “Kenyataan percanggahan di antara hadis dan al-Quran bukannya faktor yang diciptakan oleh musuh-musuh Islam melainkan ia akan ditemui sesiapa sahaja yang meneliti al-Quran dan membaca hadis-hadis yang kini dapat diperoleh terjemahan-terjemahannya dengan mudah. Sedang al-Quran menetapkan hukum sebat untuk zina, hadis menetapkan hukum rejam yang menjadi hukum yang dipusakai Arab Jahiliyah……Sedang al-Quran menyuruh manusia menimbangkan ayat-ayatnya dengan fikiran sendiri, hadis melarang perbuatan itu dan menjadikannya kewajipan ulama semata-mata….Sedang al-Quran menegaskan tiada siapa dapat memberi syafaat pada hari kiamat, hadis mengatakan ulamak dan syuhada boleh (memberi syafaat)”. (Ikuti tulisan penuh beliau bertajuk “Konflik Ulama-Umara Perlu Diselesaikan” dalam buku tulisan Dr. Mahmood Zuhdi, bertajuk “Beberapa Pemikiran Tentang Tajdid, Islah dan Tajdid”, terbitan DBP, tahun 1994).


Kassim Ahmad dalam bukunya “Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik” telah menyenaraikan lebih dari sepuluh perkara yang menurut beliau hadis memberi kenyataan yang bercanggah dengan al-Quran;


1. Menurut beliau; Al-Quran menegaskan bahawa rujukan kaum muslimin hanya satu sahaja ialah Kitab al-Quran. Namun hadis menegaskan ada dua iaitu al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadis).


2. Al-Quran menyebutkan lima sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebut enam iaitu dengan menambah Qadha dan Qadar.


3. Al-Quran mengajar syahadah hanya Lailaha-Illallah, tetapi hadis menambah Muhammadur-Rasulullah. Tambahan tersebut menurut Kassim bercanggah dengan ayat yang memerintahkan agar jangan menyengutukan Allah dengan sesiapapun.


4. Al-Quran melarang mendewa-dewakan manusia. Namun hadis memerintahkan agar mendewakan Rasulullah (Nabi Muhammad) iaitu dengan berselawat kepadanya ketika membuka dan menutup doa dan juga apabila mendengar namanya disebut.


5. Al-Quran menerangkan bahawa Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi tidak memiliki kuasa syafaat, namun hadis menjelaskan bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat.


6. Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad tidak diberi mukjizat melainkan al-Quran. Namun hadis menceritakan bermacam-macam mukjizat Nabi Muhammad selain al-Quran itu.


7. Menurut al-Quran, Nabi Isa telah wafat. Namun hadis menjelaskan bahawa beliau tidak mati dan akan turun di akhir zaman untuk membunuh Dajjal.


8. Al-Quran tidak menetapkan sebarang hukuman bagi orang murtad. Namnun hadis menetapkan bahawa orang yang murtad hendaklah dibunuh.


9. Al-Quran menetapkan hukuman ke atas orang berzina hanya seatan sahaja, namun hadis menambah satu lagi hukuman iaitu rejam.


10. Al-Quran memerintahkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun hadis pula melarangnya di mana Rasulullah s.a.w. pernah berkata; “Sesiapa mentafsir al-Quran mengikut fikirannya, biarlah ia menghuni neraka”.


11. Al-Quran mengajar kebebasan beragama di mana terdapat ayat menyebutkan “Tiada paksaan di dalam agama”. Namun hadis menetapkan orang yang murtad dihukum bunuh. Hukum ini menurut Kassim berasal dari Taurat.
(Lihat; halaman 139-151).


Astora Jabat dalam tulisannya pernah membuat kenyataan yang menolak adanya azab dan nikmat kubur walaupun berita tentangnya sabit dalam banyak hadis soheh. Begitu juga, beliau menolak pemakaian tudung oleh wanita Islam walaupun terang-terang terdapat hadis soheh yang menjelaskan kewajipan wanita bertudung.


9. Meragui peribadi Rasulullah s.a.w. 

Tidak cukup dengan mempertikai hadis-hadis Nabi, mereka turut meragui peribadi Nabi s.a.w.. Sikap mereka sama sebagaimana guru-guru mereka di kalangan Orientalis yang menyimpan niat jahat kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Bagi golongan Islam Liberal –kerana terpengaruh dengan Orientalis- Nabi Muhammad (Rasulullah) s.a.w. tidak lain hanyalah manusia biasa yang boleh silap dan boleh benar, boleh dipuji dan boleh dikritik. Contoh yang dapat kita bawa di sini mewakili pandangan mereka ialah ulasan Farish A. Noor yang telah menggemparkan umat Islam di Malaysia suatu ketika dulu dengan kenyataannya;


“Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik yang bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti sifat kemanusiaan nabi”. (NST, 4 Nov. 2000).


“Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku dan oleh itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin suku lebih dari pemimpin agama”. (NST, 1 Dis. 2001).


Penghinaan yang sama pernah dikeluarkan puluhan tahun sebelumnya oleh tokoh Islam Liberal dari Mesir iaitu Mansur Fahmi yang menulis dalam bukunya bertajuk “Keadaan Wanita Dalam Istiadat Islam dan Perkembangannya”; “Muhammad telah mensyariatkan untuk semua orang dan mengecualikan dirinya, sedangkan ia adalah pembuat syariat yang semestinya tunduk kepada apa yang ia menuntut orang lain melakukannya, tetapi oleh kerana ia mempunyai kelemahannya maka dikhususkan untuk dirinya dengan beberapa keistimewaan”. Di tempat lain di dalam buku itu beliau menulis; “Begitulah kita dapati beliau selepas tidur dengan nyenyak kemudian bangun untuk menunaikan sembahyangnya tanpa membaharui penyucian dan wudhuknya sedang orang-orang mukmin yang lain menjadi kemestian ke atas mereka memulakan wudhuk dan penyucian semula. Untuk mencari alasan kepada pengecualian yang dilakukan untuk kepentingannya, memadai dengan beliau mengatakan; “Sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hatiku tidak pernah tidur”. (Rujuk; Fathi Yakan, Dunia Islam Dan Tipu Daya Antarabangsa, halaman 57-58)


Golongan Islam Liberal telah tersesat jauh dari jalan kebenaran

Melihat kepada cara berfikir mereka dan juga pandangan-pandangan mereka sebagaimana yang telah kita bentang di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa golongan Islam Liberal berada jauh dari landasan Islam yang benar. Ada di antara pendapat dan buah fikiran mereka amat jelas bertentangan dengan akidah Islam dan boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam seperti mengiktikadkan bahawa agama lain juga benar, mendakwa al-Quran terdapat penyelewengan, menolak hadis atau as-Sunnah secara mutlaknya, menghina Syariat dan undang-undang Allah dan meragui peribadi Rasulullah s.a.w..


Dalam fatwa berkenaan perkara-perkara yang membatalkan keislaman yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Arab Saudi yang lalu (yakni Syeikh Abdul Aziz Bin Bazz), antara yang disenaraikan ialah;


(Keempat); Berkeyakinan bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad itu lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik, sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang melampaui batas lagi menyimpang dari hukum Allah (aturan-aturan Taghut) dan mengkesampingkan hukum Rasulullah. Maka orang yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. Sebagai contoh;


a) Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan perundangan yang diciptakan manusia lebih utama dari Syariat Islam atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad ke 20 ini, atau berkeyakinan bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dan Tuhannya sahaja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain.


b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah dalam memotong tangan pencuri atau merejam pelaku zina yang telah berkahwin tidak sesuai lagi di masa kini.


c) Berkeyakinan dengan dibolehkan menggunakan selain hukum Allah dalam segi muamalat Syari’ah atau dalam menentukan hukum pidana atau lainnya, sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama dari Syariat Islam. Kerana dengan demikian ia telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah menurut kesepakatan ulamak (Ijmak). Sedangkan setiap orang yang menghalalkan apa yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah dalam agama seperti zina, arak, riba dan penggunaan perundang-undangan selain Syariat Allah, maka ia adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam (Ijmak).


(Kelima); Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sebagai Syariat walaupun ia (yakni orang yang membenci itu) mengamalkannya.


(Keenam); Memperolok-olok terhadap sesuatu dari ajaran Rasulullah ataupun pahala maupun siksaan yang telah menjadi ketetapan agama, maka ia menjadi kafir.


(Kesembilan); Berkeyakinan bahawa sebahagian manusia diperbolehkan tidak mengikut Syariat Nabi Muhammad s.a.w., maka orang yang berkeyakinan sedemikian adalah kafir.


(Kesepuluh); Berpaling secara keseluruhan dari agama Allah atau dari hal-hal yang menjadi syarat mutlak sebagai muslim tanpa mempelajarinya dan tanpa melaksanakan ajarannya.
(Rujuk; Dalil al-Haj wa al-Mu’tamir, diterbitkan oleh Kementerian Hal-Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah Kerajaan Arab Saudi, 1420H).


Pluranisme bertentangan dengan al-Quran 

Menganggap semua agama adalah benar dan betul amat bercanggah dengan aqidah Islam. Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa agama yang benar di sisi Allah hanya satu iaitu Islam. Firman Allah;


“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”.(Ali Imran: 19)


Agama yang lain adalah batil dan sesat. Kerana itu Allah mengancam orang-orang yang mencari agama yang lain dari Islam bahawa mereka di akhirat kelak akan menempa kerugian kerana akan dihumban ke dalam api neraka;


“Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”. (Ali Imran; 85)


Malah secara terang dan jelas Allah menghukum penganut agama Kristian yang mengiktikadkan Tuhan itu tiga sebagai kafir dan akan diazab di akhirat jika mereka tidak bertaubat.


“Demi Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang Yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. dan jika mereka tidak berhenti dari apa Yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang Yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”. (al-Maidah: 73)


Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya pernah menegaskan;


“Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam kekuasaanNya. Tidak mendengar tentangku seorangpun dari kalangan umat ini sama ada ia seorang Yahudi atau Nasrani, kemudian ia mati dalam keadaan tidak beriman dengan risalah yang aku diutuskan membawanya melainkan ia akan tergolong dari penghuni neraka”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)


Maka bagaimana golongan Islam Liberal boleh mendakwa semua agama adalah benar dan betul, pada hal Allah dan Rasulnya telah menegaskan bahawa agama yang benar hanya satu iaitu Islam dan agama-agama yang lain semuanya batil dan penganut-penganutnya diancam dengan api neraka di akhirat kelak jika mereka tidak beriman dan memeluk Islam. Apakah kitab yang menjadi panduan mereka dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian yang amat bertentangan dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya.


Kongsi raya tidak harus bagi seorang muslim 

Tidak harus seorang muslim menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak. (Ahkam ahlil-Zimmah, juz. 2, hlm. 156). Firman Allah;


“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan; 72)


Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين). (Tafsir Ibnu Kathir dan Ahkam Ahlil-Zimmah)


‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;



“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat hadis ini dalam Ahkam Ahlil-Zimmah)


Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”. (Ahkam Ahlil-Zimmah)


Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.


Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);


قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solaul-Idaian)[1]


Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”. (Subulus-Salam, bab Solatil-Idain)


Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajan dan seumpamanya adalah dilarang oleh agama. (Al-Faidhul-Qadier, hadis no. 6106). (*Hari an-Niruz dan al-Mahrajan ialah dua hari yang disambut oleh Ansar yang ditegah oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas).



Bacaan dan Rujukan 

1. Al-Muamarat ‘Ala al-Islam, Anuar al-Jundi, ter. Dar al-I’tisam, Mesir (tanpa tahun).

2. Nahwa Manhaj al-Badail al-Islamiyyah, Anuar al-Jundi, Dar al-I’tisam, Mesir (1989).

3. Difa’ ‘An al-‘Aqidah wa as-Syari’ah Dhiddu Mata’in al-Mustasyriqin, Syeikh Muhammad al-Ghazali, ter. Dar al-Kutub al-Hadisah, Mesir (1963).

4. Tradisi Falsafah Ilmu, Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Pustaka Ilmi, Selangor (2002).

5. Islam, al-Quran dan Ideologi Masa Kini, Penyelenggara Sulaiman Nordin, DBP (1995).

6. Gugatan Pemikiran Islam, Zulkarnain b. Yusuf, ITM Cawangan Pahang (1996).

7. Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Ghazali Darusalam, ter. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (1998).

8. Wajah Peradaban Barat, Adian Husaini, ter. Gema Insani, Jakarta (2005).

9. Beberapa Masalah Ummah, Dr. Abdul Halim Hj. Mat Diah, ter. ABIM Wilayah Persekutuan (1989).

10. Dalil al-Haj wa al-Mu’tamir, ter. Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah wa al-Auqaf, Arab Saudi (1420H).

11. Jurnal Penyelidikan Islam, bil. 11 (1998), ter. JAKIM.

12. KANUN (Jurnal Undang-Undang Malaysia), Mac 2006, ter. DBP.

13. Akhbar Harakah

14. Majalah I, ter. Karangkraf.

15. Majalah Al-Islam, ter. Utusan Karya Sdn. Bhd.

ISLAM LIBERAL


Dengan ilmu mengenai kefahaman liberal hanya sebiji zarah, mereka gopoh membuat fatwa menghentam yang lain.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan sudah menjadi satu hobi di kalangan sebahagian agamawan untuk mengkritikan apa yang mereka labelkan sebagai “Islam liberal”.
Bagi golongan ini, fahaman liberal dan pluralisme sering dipaparkan sebagai ancaman kepada Islam.
Lazimnya, golongan ini mengaitkan kefahaman liberal dengan seks bebas, LGBT, persamaan antara agama dan hak asasi manusia. Selain daripada huraian yang sempit dan cetek ini, golongan agamawan ini lazimnya tidak dapat menerangkan dengan baik, adil dan tepat ciri pemikiran liberal.
Oleh itu, serangan mereka terhadap pemikiran liberal lebih merupakan hentam keromo dan menggambarkan kejahilan mereka.
Walaupun ada agamawan yang menganggap pemikiran liberal berasal dari Eropah dan muncul ketika Gerakan Pembaharuan di Eropah, idea utama pemikiran liberal mempunyai sejarah yang jauh lebih lama.
Idea utama pemikiran liberal umumnya berkait dengan konsep seperti kedaulatan undang-undang, proses demokrasi, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kebebasan beragama, sistem pasaran bebas, pemikiran rasional dan kesaksamaan manusia.
Dalam sejarah Barat, 2 peristiwa utama yang membawa kepada pelaksanaan idea liberal dalam pemerintahan ialah Revolusi Perancis dan Kemerdekaan Amerika.

Pentafsiran segar
Satu kelebihan yang terdapat pada pemikiran liberal ialah pentafsiran dan pelaksanaan prinsip pemikiran liberal tidak jumud dan tetap. Walau pun pandangan pemikir seperti John Locke, Voltaire and Rosseau membentuk kefahaman liberal klasikal, idea mereka bukanlah mutlak.
Sebaliknya, ia dipengaruhi dan dibentuk oleh pandangan dan pentafsiran berbagai pihak yang mendokong kefahaman liberal.
Sebagai contoh, konsep kebebasan beragama serta pemisahan di antara kerajaan dan agama diberi pentafsiran yang berbeza di kalangan negara liberal.
Di Perancis dan Turki pada zaman Ataturk, pegangan pada konsep ini bererti semua bentuk amalan agama tidak boleh dicampur dengan ehwal awam.
Pemisahan agama dari kehidupan awam dijadikan hujah untuk mengharamkan hijab. Namun, Amerika Syarikat dan Republik of Ireland memberi pentafsiran yang berbeza konsep-konsep ini.
Di Amerika Syarikat ia bererti kerajaan tidak boleh mencampur tangan dalam menentukan cara seseorang menganuti agamanya. Cara seseorang menganuti agamanya adalah hak peribadinya
Inilah sebabnya pemakaian hijab tidak dilarang di Amerika dan turut dibenarkan sebagai sebahagian dari pakaian seragam polis dan badan beruniform perkhidmatan awam.
Di Ireland, kebebasan agama bererti kerajaan tidak boleh menghalang penganut mana-mana agama dari mengamalkan agama mereka.
Di atas dasar inilah parlimen Ireland meluluskan akta untuk penubuhan Muslim National School yang turut mendapat bantuan kewangan kerajaan.
Jika kita meneliti ajaran Islam, kita akan mendapati banyak persamaan di antara nilai serta prinsip Islam dan nilai dan prinsip liberal. Di antara sumber prinsip ini ialah dalam Surah Al Hujurat.
Terdapat berbagai ayat dalam surah ini yang mengajar umat Islam tentang persamaan di antara manusia dan hak asasi manusia.
Piagam Madinah mengandungi berbagai peruntukan yang mengiktiraf hak golongan minoriti dan meletakkan mereka sebagai setaraf dengan umat Islam. Kesemua ini merupakan nilai dan amalan yang menggambarkan sikap terbuka (dan boleh dikatakan “liberal”) dan pluralis Islam.
Dari segi amalan pasaran bebas, terdapat ayat Quran dan hadis yang menyentuh halangan memanipulasi takaran dan manipulasi harga. Idea mengenai mekanisme pasaran bebas dibincang oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya “Muqaddimah” pada kurun ke 14.
Malahan, Oweiss berpandangan Adam Smith memanfaatkan idea mengenai sistem pasaran dari Muqaddimah. Ini kerana kitab Muqaddimah sudah pun ada di perpustakaan Oxford ketika Adam Smith berada di sana dan menulis bukunya “The Wealth of Nations”.

Al-Quran dan liberalisme
Pendirian Islam mengenai hak dan status wanita juga amat “liberal” jika dibandingkan dengan amalan yang wujud dalam masyarakat Quraish.
Alexandra Maev Jerome melakukan satu kajian menarik mengenai Al Quran dan pemikiran tokoh yang dianggap sebagai pengasas atau “founding fathers” di Amerika.
Walau pun tokoh pengasas ini berpegang kepada sekularisme, mereka tidak menolak keperluan mempelajari mengenai Islam. Beberapa tokoh ini turut memiliki naskah Al Quran.
Di antara tokoh yang meneliti Al Quran ialah Thomas Jefferson. Beliau adalah di antara tokoh yang turut berpandangan bahawa jawatan-jawatan awam dan politik di Amerika tidak harus dibataskan kepada penganut agama Krisitian sahaja.
Dan dia secara khusus menyebut ia harus dibuka kepada penganut agama lain, termasuklah orang Islam. Presiden Jefferson juga merupakan presiden Amerika yang pertama sekali mengadakan majlis iftar di White House pada tahun 1805. Jefferson mengadakan majlis iftar ini ketika menerima kunjungan duta Tunisia yang kebetulan berlaku dalam bulan Ramadan.
Satu lagi aspek menarik kajian Jerome ialah pemerhatian beliau ketika meneliti dokumen Declaration of Independence dan Perlembagaan Amerika. Beliau mendapati terdapat beberapa idea dan kenyataan dalam dokumen ini yang hampir sama dengan ayat Quran tertentu dan dengan Piagam Madinah.
Walau pun Jerome tidak menemui bukti bahawa Jefferson pernah membaca Piagam Madinah, beliau mendapati persamaan yang ditemui menarik. Sekiranya kita menganggap Declaration of Independence dan Perlembagaan Amerika sebagai 2 dokumen yang mentakrifkan hak asasi masyarakat liberal Amerika, apakah pula kesimpulan yang boleh kita buat mengenai hak-hak asasi bermasyarakat yang sama yang terdapat dalam Al-Quran dan Piagam Madinah.

Antara zaman nabi dan ‘dinasti Islam’
Bila sesorang jahil berbicara mengenai sesuatu hal, memang mudah menghukum secara borong. Apabila dikritik mereka akan melenting. Apabila pandangan alternatif diberikan, golongan yang bertindak sedemikian akan dilabel “Islam liberal”.
Sikap sebeginilah yang melahirkan pemikiran yang jumud dan sempit. Inilah yang berlaku apabila para agamawan hidup dan berfikir di bawah tempurung.
Dengan ilmu mengenai kefahaman liberal hanya sebiji zarah mereka gopoh membuat fatwa dan menghukum secara hentam keromo.
Allah mengingatkan kita dalam Al Quran: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya” (Al Isra: 36).
Sekiranya kita menilai sesebuah masyarakat berdasarkan pegangannya kepada idea seperti kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kebebasan beragama, sistem pasaran bebas, pemikiran rasional dan kesaksamaan manusia, dapat kita simpulkan kerajaan Islam pada zaman Rasulullah dan khulafa rasyidun merupakan kerajaan yang paling “liberal” pada zamannya.
Namun, nilai ini mula terungkai apabila pemerintahan Islam mula dikuasai oleh dinasti beraja. Sistem pemerintahan ketika itu mula menyimpang dari Islam sehinggalah hari ini.
Oleh itu, golongan agamawan yang menganggap kefahaman liberal sebagai ancaman kepada Islam perlulah jelas apa yang mereka khuatiri dan tentang.
Adakah mereka menentang kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kebebasan beragama, sistem pasaran bebas, pemikiran rasional dan kesaksamaan manusia?
Adakah mereka ingin menafikan hak-hak asasi yang terkandung dalam Surah Al-Hujurat?
Adakah mereka menolak masyarakat plural dan hak golongan minorti seperti yang dijamin dalam Piagam Madinah?
Adakah mereka menolak hak kebebasan agama seperti yang dijamin dalam Surah Al-Baqarah?
Golongan agamawan ini perlu keluar dari tempurung dan cuba fahami dengan baik apa yang mereka ingin bicarakan..

WAJAH MALAYSIA... (EPISOD 3)



Apa yang tak kena dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia?
Jika ditanya pembangkang, akan terdapat bermacam-macam jawapannya.
Bagaimanapun, bagi pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, pertimbagan ekonomi masih menjadi kebimbangan utamanya.
Bekas penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi itu antaranya menganggap anggaran ECRL akan angkut 60 juta tan barangan setiap tahun menjelang 2035 sebagai tidak masuk akal.
“Anggaran ini sukar diterima akal oleh kerana KTM sekarang hanya angkut sekitar enam juta tan setahun di seluruh Semenanjung.

“Kalaulah bahan lain yang sekarang diangkut dengan lori atau kapal juga diambil kira, unjuran ini masih tidak dapat masuk akal,” katanya.
Kenapa Dr mempersoalkan projek kereta api laju East Coast Rail Link (ECRL)?
Dikatakan ECRL akan menelan belanja lebih dari RM60 bilion; RM55 bilion akan dipinjamkan oleh bank pemerintah China dengan kadar bunga rendah. Di seluruh dunia, projek mega demikian biasa banyak melebihi anggaran kos yang diumumkan. Anggaran kos asal untuk ECRL sekitar RM27 bilion, tetapi anggaran RM55-60 bilion, yang disebut-sebutkan sekarang.
ECRL bukan sebarang kereta api, tetapi kereta api laju. Apakah terdapat begitu ramai penumpang yang mampu beli tiket mahal untuk ulang-alik dari KL ke Pantai Timur? Apa pula bahan mudah rosak yang memerlukan penyampaian laju dengan kos tinggi? Sudah tentu tak banyak; ini akan naikkan lagi kerugian serta beban hutang besar akibatnya.
Kereta api laju mana di dunia yang telah menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan tetap sepanjangnya selepas kerja pembinaan selesai? Di China? Jepun? Eropah? Amerika?
Tetapi ECRL boleh juga angkut barang muatan.
Kalau begitu, tak payah belanja lebih untuk kereta api laju. Dan apa pula kekurangan kereta api Pantai Timur dari Gemas yang sedia ada?
ECRL dikatakan akan angkut 60 juta tan setiap tahun menjelang 2035. Anggaran ini sukar diterima akal oleh kerana KTM sekarang hanya angkut sekitar enam juta tan setahun di seluruh Semenanjung. Kalaulah bahan lain yang sekarang diangkut dengan lori atau kapal juga diambil kira, unjuran ini masih tidak dapat masuk akal. Kalaulah unjuran itu tidak jadi, projek ECRL akan rugi lebih lagi, dan akan bebankan rakyat Malaysia lagi kerana terpaksa tanggung beban kerugian besar itu.
Setakat ini, kereta api Kemaman-Kuantan, yang telah siap beberapa tahun lalu, jarang dipakai walaupun kosnya jauh lebih kurang dari ECRL.
Ada mereka yang bela pelaburan China lain yang sukar terima ECRL dan cara pelaburan China ditadbir urus oleh kerajaan sekarang.
Betulkah syarikat China akan untung besar?
Beberapa syarikat China akan dapat untung dari projek ECRL, termasuk China Communications Construction Company (CCCC). CCCC telah dapat projek ECRL melalui rundingan langsung tanpa tawaran tender terbuka, walaupun ada syarikat Malaysia yang pernah menjayakan projek kereta api.
Diketahui umum bahawa syarikat asing, terutamanya syarikat China, membawa syarikat sekutu, bahan serta pekerja mereka sendiri, dan enggan memindahkan teknologinya.
Tetapi kadar bunga pinjaman China itu murah.
Menurut PM, ECRL dibiayai 85 peratus dengan pinjaman Bank Eksport-Import China dengan kadar bunga 3.25 peratus. Hutang dijamin kerajaan Malaysia, yang akhirnya akan ditanggung rakyat, yang semua bayar cukai seperti GST.
Hutang serta bunga mesti dibayar balik dalam tempoh 20 tahun setelah ditangguh selama tujuh tahun awal. Pendek kata, Malaysia hutang bank China untuk membayar syarikat China untuk membina ECRL.
Dulu, pada tahun 1980-an, hutang resmi Jepun kurang dari 2 peratus. Malaysia jimat dari segi kadar bunga, tetapi setelah nilai matawang bertambah kuat berbanding dengan Amerika Syarikat, nilai hutang itu meningkat lebih dari dua kali ganda! Jangan pula Malaysia ‘menang sorak, kampung tergadai’!
Kenapa pula ada pihak di Malaysia yang hendakkan ECRL?
Setelah menolak bayaran kepada CCCC, baki pinjaman RM55 bilion itu akan diperoleh oleh pihak tertentu. Menurut laporan berita, sebahagian besar digunakan untuk jelaskan hutang serta liabiliti 1MDB, dan sebahagian lagi dipakai untuk membiayai kempen PU14. Tidak boleh dinafikan bahawa sebahagian kecil akan menitis ke bawah.
Mereka tak peduli projek ECRL itu rugi besar, kerana rakyat akan menanggung seluruh beban hutang itu pada masa depan, bukan mereka.
Mereka yang kritik ECRL dituduh cemburu terhadap usaha ini untuk memajukan Pantai Timur?
Memang benar kami yang persoalkan ECRL dituduh menentang pembangunan dan kemajuan negeri Pantai Timur. ECRL dikatakan akan memajukan negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Malangnya, tiada sebarang bukti atau asas kukuh sebalik dakwaan itu.
Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan Persekutuan telah lama menyekat pembiayaan projek pembangunan di Kelantan, terutama sekali setelah ditawan semula PAS pada tahun 1990. Hasil petroleum negeri Terengganu pula telah lama disekat, sedangkan dana pelaburan Terengganu diambil-alih PM untuk dijadikan 1MDB.
Memang wang perlu untuk majukan Pantai Timur dengan usaha pembangunan yang melibatkan rakyat jelata. Misalnya, pencapaian orang Kelantan dari segi pendidikan patut dimanfaatkan. Tetapi kemudahan asasi, seperti bekalan air yang baik serta kemudahan sanitasi, termasuk jamban, yang bersih, sepatutnya disediakan oleh pihak kerajaan.
Banyak lagi yang perlu untuk memajukan Pantai Timur, tetapi satu projek gergasi seperti ECRL, yang bertujuan menguntungkan pihak tertentu, akan menelan belanja besar dan meninggalkan beban hutang berat yang ditanggung orang ramai. Harapan terhadap apa yang menitis atau meleleh ke bawah bukanlah strategi pembangunan yang dapat memajukan rakyat Pantai Timur.

WAJAH MALAYSIA... (EPISOD 2)



Pakar Ekonomi Profesor Dr Jomo KS menempelak petunjuk-petunjuk ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa dasar ekonomi kerajaan BN amat berkesan.
Beliau terus mendedahkan kepincangan pentadbiran Najib yang antara lain, katanya, memotong peruntukan Belanjawan untuk kesihatan, pendidikan, kebajikan serta keselamatan tetapi menambahkan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
JPM alat pemusatan kuasa
Soalan: Dr Jomo pernah menarik perhatian kepada pembesaran Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Jawapan: Sebelum pembubaran parlimen, JPM mempunyai 10 orang menteri, tiga timbalan menteri, ketua setiausaha negara serta 34,000 kakitangan. Menurut laman webnya, setakat 2017, Menteri dalam JPM termasuk: Jamal Khir Baharom, Joseph Kurup, Joseph Entulu Balaun, Shahidan Kassim, Paul Low Seng Luan, Nancy Shukri, Wee Ka Siong, Azalina Othman Said, Abdul Rahman Dahlan dan Hishamuddin Hussein.
Timbalan Menteri terdiri dari Razali Ibrahim, Asyraf Wajdi Dusuka dan Devamany S Krishnamany.
Mereka dibantu Ali Hamsa, ketua setiausaha negara, dan tiga timbalannya. Dalam JPM, terdapat 57 jabatan, 10 badan berkanun persekutuan, 13 syarikat, lima agensi pembangunan ‘koridor’, lima yayasan dan dua badan antarabangsa.
Separuh daripadanya ada di JPM dari dulu lagi, tetapi sebahagian lagi tidak sepatutnya ada di JPM, terutamanya badan badan pengawasan – yang sepatutnya bebas daripada kerajaan atau eksekutif semasa, termasuk PM sendiri. Maka, struktur JPM sekarang mencerminkan pemusatan kuasa baru dalam tangan PM.
Peruntukan Belanjawan JPM cepat naik
Betulkah JPM telah cepat berkembang dalam dekad yang lalu?
Sebegai contoh, semasa Mahathir (1989-2003), RM5.2 bilion, atau pun 4.6 peratus dari Belanjawan 2000 sebanyak RM111 bilion, diperuntukkan untuk JPM.
Di bawah Abdullah Badawi (2003-2009), RM7.1 bilion, 4.8 peratus dari Belanjawan 2006, diberi kepada JPM.
Penambahan pekerja JPM mencerminkan perkembangan ini. Bilangan pekerja JPM telah naik dari 4,414 pada tahun 1981 ke 9,673 20 pada tahun 2001, 25,332 pada tahun 2009 dan 33,904 pada tahun 2017, tidak termasuk mereka yang kerja di Jabatan Pendakwaraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)!
Di bawah Najib pula, peruntukan JPM antara RM15-20 bilion, atau 5-7 peratus dari Belanjawan pada tahun 2010-2015. Peruntukan JPM telah memuncak pada tahun 2016, dengan RM20.6 bilion, atau 7.6 peratus dari Belanjawan RM267 bilion.
Dengan tambahnya peruntukan JPM, peruntukan pembangunan Belanjawan jatuh ke hanya RM46 bilion (16 peratus dari Belanjawan) pada 2018, paras paling rendah sejak Najib memerintah.
Kuasa JPM meningkat lagi
Tetapi apakah JPM telah mengkenepikan kementerian yang sedia ada?
Peruntukan Belanjawan untuk kesihatan, pendidikan, kebajikan serta keselamatan semuanya dipotong akibat peruntukan lebih untuk JPM. Malah, peruntukan pembangunan untuk kementerian lain dibolot JPM.
Peruntukan pembangunan ‘budibicara’ JPA tidak dilaporkan ke Parlimen, apa lagi rakyat biasa, boleh dibelanja sewenang-wenangnya, ikut suka hati PM – tanpa ketelusan, yang bermakna PM tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa! Nampaknya, menteri lain pula tak berani merayu atau mengadu.
Lebih dari RM1.5 bilion untuk 1.6 juta pekerja kerajaan dijanjikannya beberapa hari sebelum Parlimen dibubar pada awal April. Bagaimana pula durian runtuh untuk pekerja kerajaan, rakyat India, BR1M, Teks1M, serta rakyat pulau Langkawi sebanyak RM2bn akan dibiayai?
Peruntukan Belanjawan tambahan sebanyak hampir RM9 bilion, yang diluluskan Parlimen pada Mac 2018, hanya untuk perbelanjaan lebihan, yang belum diperuntukkan, pada tahun 2017. Peruntukan Mac tidak merupakan peruntukan untuk perbelanjaan tambahan bagi tahun 2018.
Kuasa belanja tidak telus
Kenapa Dr pentingkan soal peruntukan pembangunan mengikut ‘budibicara’ PM?
Dana fasilitasi JPM, yang pernah digelarkan ‘dana gelap’ JPM telah diperuntukkan RM1.5 bilion pada tahun 2017 dan RM3.3 bilion bagi tahun 2018, tetapi tidak mencukupi untuk menunaikan semua janji barunya.
Ada dua jalan keluar: naikkan cukai lagi selepas PRU14 ataupun hutang lagi, yang bermakna cukai akan dinaikkan lagi pada masa depan. Tiada pilihan lain kalau janji PRU14 ditunaikan.
Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah pernah menerangkan bahawa peruntukan pembangunan ‘budibicara’ JPM tidak wujud sebelum Najib, sama ada pada zaman Mahathir atau Abdullah Badawi, apa lagi zaman Tunku, Razak dan Hussein.
Sepatutnya, kerajaan bertanggungjawab atas segala yang dikutip daripada rakyat, yang dipinjam dan dibelanja atas nama rakyat.
Wujudnya peruntukan pembangunan JPM demikian bercanggah dengan prinsip amanah sebalik proses Belanjawan, yang melibatkan duit rakyat, termasuk hutang yang mesti dibayar balik rakyat melalui cukai lebih tinggi, sama ada sekarang atau kemudian.